Thursday, 14 April 2011

Wahdaniah

Table of contents

1. MATAN
2. ALLAH Esa Pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan Perbuatan-Nya
3. Esa Pada Zat-Nya
4. Zat ALLAH Tidak Menyerupai Makhluk.
5. Zat ALLAH Tidak Bersusun-susun.
6. Kenal Diri Kenal Tuhan?
7. Fikir Setiap Kejadian ALLAH
8. Esa Zat ALLAH Tersendiri
9. Manusia Yang Menzalimi Dirinya
10. Perantaraan Antara ALLAH Dengan Manusia
11. Semua Makhluk Tunduk Kepada ALLAH
12. Percaya Al Quran Kolot?
13. Sama' ALLAH SWT
14. Makhluk Lain Kutuk Manusia?
15. Golongan Tak Standard
16. Jangan Samakan Dengan Perbuatan ALLAH
17. Manusia Tidak Mampu Buat Nyawa
18. Jiwai Sifat Wahdaniah Rasai Takut Pada ALLAH
19. Sikap Menafikan Sifat Wahdaniah
20. Terjebak Dengan Perbuatan Syirik
21. Murka ALLAH Kepada Mereka Yang Syirik
22. Esa ALLAH Pada Sifat
23. Sifat Berbilang Pada Kuasa
24. Sifat ALLAH berbeza Dengan Sifat Manusia

MATAN

Yang keenam Wahdaniah ertinya esa ALLAH Taala pada zat pada sifat dan pada perbuatan. Maka hakikatnya: ibarat daripada menafikan berbilang pada zat pada sifat dan pada perbuatan sama ada bilangan yang muttasil (yang berhubung) atau bilangan yang munfasil (yang bercerai).

Adapun makna esa Tuhan pada zat itu iaitu menafikan kam muttasil pada zat (menafikan bilangan yang berhubung pada zat) seperti tiada zat Tuhan bersusun daripada darah, daging, tulang, urat dan menafikan kam munfasil pada zat (menafikan bilangan yang bercerai pada zat Tuhan) seperti tiada zat yang lain menyamai seperti zat ALLAH Taala.

Makna esa Tuhan pada sifat iaitu menafikan kam muttasil pada sifat (menafikan bilangan yang berhubung pada sifat-Nya) iaitu tidak sekali-sekali bagi ALLAH Taala pada satu-satu jenis sifat-Nya dua sifat seperti dua Qudrat, dan menafikan kam munfasil pada sifat (menafikan bilangan-bilangan yang bercerai pada sifat) iaitu tidak ada sifat yang lain menyamai sebagaimana sifat Tuhan.

Esa Tuhan pada perbuatan itu menafikan kam munfasil pada perbuatan (menafikan bilangan-bilangan yang bercerai pada perbuatan) iaitu tidak ada perbuatan yang lain menyamai seperti perbuatan Tuhan bahkan segala barang yang berlaku di dalam alam semuanya perbuatan Tuhan sama ada perbuatan itu baik rupanya dan hakikatnya seperti iman dan taat atau jahat rupanya tiada pada hakikatnya seperti kafir dan maksiat dan sama ada perbuatan dirinya atau perbuatan yang lainnya semuanya itu perbuatan Tuhan. Tiada sekali-sekali hamba mempunyai perbuatan, pada hakikatnya hanya ada usaha dan ikhtiar yang tiada memberi bekas walhasil apakala dikata wajib bagi Tuhan bersifat Wahdaniah maka ternafilah kam-kam yang lima itu iaitu ternafi kam muttasil dan munfasil pada zat kam muttasil dan munfasil pada sifat dan kam munfasil pada perbuatan.

Maka dengan kenyataan yang di atas ini, zahirlah tiada zat yang lain, sifat yang lain dan perbuatan yang lain menyamai dengan zat, sifat dan perbuatan Tuhan. Yang demikian, tertolaklah segala kepercayaan-kepercayaan yang membawa kepada menyengutukan Tuhan bagaimana yang berlaku di sisi satu bangsa di dalam dunia ini ada mempunyai adat dan kepercayaan yang karut, sehingga membawa rosak imannya kerana kepercayaannya itu membawa menyengutukan Tuhan dengan yang lainnya.

Maka perkara yang seperti ini masih banyak pada masa ini dan banyak pula yang melakukan dia dengan tidak sedarkan mudharatnya merosakkan iman kepada Tuhan maka di sini disebutkan sebahagian daripadanya supaya dapat diketahui kesalahannya.

ALLAH Esa Pada Zat-Nya, Sifat-Nya dan Perbuatan-Nya

WAHDANIAH ertinya: esa atau tunggal. Perlu kita ingat di sini bahawa tunggal yang dimaksudkan bukan bermakna satu. Jika ia dimaksudkan satu, maka bererti yang ia mempunyai ikutan selanjutnya seperti dua, tiga, empat, dan seterusnya. Tunggal di sini mempunyai pengertian yang tersendiri yang dibuat oleh para ulama tauhid berdasarkan firman ALLAH:

surat:112 ayat:1

Terjemahannya: Katakanlah olehmu (ya Muhammad), "ALLAH itu Esa." (Al Ikhlas: 1)

Pengertian esa ini luas sekali dan lebih menyeluruh. Maka di sini kita akan membahagikan pengertian tersebut kepada tiga bahagian yang besar iaitu:

  1. ALLAH itu tunggal pada zat-Nya,
  2. ALLAH juga tunggal pada sifat-Nya, dan
  3. ALLAH juga tunggal pada perbuatan-Nya.

Esa Pada Zat-Nya

Mengenai tunggal ALLAH pada 'zat-Nya, ulama-ulama memberikan pengertian bahawa zat ALLAH itu tidak ada bilangan berhubung dan tidak ada yang bercerai. Dengan ertikata lain, zat ALLAH itu bukan terdiri daripada susunan-susunan tertentu. Yakni, zat ALLAH bukan terdiri. daripada susunan kulit atau susunan daging atau daripada darah atau tulang, atau daripada urat-urat.

Zat ALLAH Tidak Menyerupai Makhluk.

Ertinya zat ALLAH tidak menyerupai makhluk. Makhluk seperti manusia dan haiwan tersusun daripada daging, darah atau urat. Dan zat ALLAH tidak tersusun daripada kulit-kulit, getah, isi dan teras seperti pokok-pokok kayu. Juga, zat ALLAH tidak tersusun daripada bahagian-bahagian iaitu ada bahagian luar dan ada bahagian dalam seperti batu-batan atau batu-bata.

Zat ALLAH Tidak Bersusun-susun.

Inilah yang dimaksudkan bahawa zat ALLAH itu tidak mempunyai bilangan atau susunan yang berhubung. Semua makhluk atau alam ini, iaitu yang dikatakan selain ALLAH, mempunyai susunan-susunan atau bilangan-bilangan yang berhubung. Ertinya, semua yang bersifat makhluk ada struktur sama ada struktur luar mahupun struktur dalam. Zat ALLAH tidak demikian iaitu tidak berkulit, tidak berisi, tidak berdaging, tidak berdarah, tidak berurat, dan sebagainya. Bukankah struktur atau bilangan dan susunan itu sendiri pun ALLAH yang menjadikan?

Jadi jelaslah kepada kita bahawa zat ALLAH yang dikatakan tunggal atau esa itu adalah bersalahan dengan setiap zat makhluk; iaitu zat ALLAH tidak menyerupai zat makhluk yang dijadikan oleh-Nya. Walau dalam bentuk apa pun makhluk ini, sama ada sekecil-kecil makhluk seperti kuman dan bakteria atau yang sebesar-besarnya seperti bulan, matahari, langit dan bumi ini, semuanya mempunyai susunan atau bilangan-bilangan yang berhubung iaitu yang kita katakan struktur. Tetapi Allah tidak sekali-kali demikian.

Kenal Diri Kenal Tuhan?

Mengapakah demikian? Sebabnya, semua bilangan dan susunan itu, ALLAH yang menjadikannya. Sedangkan ALLAH, tidak ada siapa yang menjadikan Dia. Dia adalah tunggal atau esa dengan sendirinya, dan bukan tunggal yang dijadikan. Rasulullah SAW pernah bersabda:

Terjemahannya: Barang siapa yang kenal dirinya, maka dia kenal Tuhan.

Hadis ini, kalau kita fahamkan secara maknanya sahaja atau kalau kita ambil sekali lintas sahaja, menunjukkan seolah-olah begitu mudah benar untuk mengenali Tuhan iaitu cukup dengan sekadar mengenali diri kita. Ini akan berlaku kalau kita mengambil makna kesamaran dalam hadis ini. Dan ini jugalah yang menyebabkan ada orang yang menganggap bahawa kalau dia kenal dirinya, maka dirinya itulah Tuhan, atau di dalam dirinya itulah Tuhan.

Sedangkan apa yang kita ketahui, Tuhan tidak mempunyai susunan-susunan atau bilangan-bilangan tertentu seperti mempunyai struktur dan sebagainya. Manakala manusia nyata sekali terdiri daripada struktur yang tertentu seperti daripada sel-sel, urat-urat, darah, daging, tulang-tulang dan sebagainya. ALLAH tidak demikian!

Fahaman kesamaran begini merbahaya sekali. Ia boleh menjatuhkan seseorang itu kepada kekufuran. Betapa tidak, kalau seorang itu telah menganggap dirinya Tuhan atau di dalam dirinya itulah Tuhan hinggakan dia merasa tidak perlu lagi beriman, tidak perlu bersyariat, tidak perlu puasa, sembahyang, dan sebagainya. Dia telah menganggap dirinya suci dan tidak lagi berdosa kerana martabatya adalah martabat Tuhan. Bahaya sekali !

Fikir Setiap Kejadian ALLAH

Maksud Hadis ini yang sebenarnya ialah agar kita mengenal diri kita dengan memikirkan setiap kejadiannya, bagaimana ia tersusun dengan bentuk-bentuk yang baik serta bagaimana diri kita ini terjadi daripada satu kejadian yang cukup lengkap yang tidak ada satu pun kekurangan. Pendek kata semua ada dan semuanya baik belaka.

Kemudian hadis ini mengajak kita mengenal selain daripada diri kita iaitu setiap makhluk yang lain seperti haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan, dan bagaimana pula setiap makhluk ini dijadikan oleh ALLAH SWT. Dan akhirnya kita juga dikehendaki mengenal seluruh yang ada di alam ini seperti langit, dan setiap kejadian yang ada di langit iaitu semua bintang, bulan, matahari, dan sebagainya. Kemudian kita fikirkan pula apa yang ada di bumi ini seperti bukit-bukau, gunung-ganang serta lautan yang terbentang luas.

Dengan memerhati dan memikirkan semua itu, kita akan dapat merasakan kehebatan ALLAH SWT. Kita akan dapat merasakan kewujudan ALLAH SWT. Lantas kita akan dapat mengenal ALLAH. Kerana, daripada apa yang kita perhatikan pada makhluk-makhluk ini, semuanya bersifat lemah, dalam ertikata setiap satunya itu berhajat kepada sesuatu seperti berhajat kepada tempat perlindungan, berhajat kepada makan minum, berhajat kepada pertolongan, dan berhajat kepada berbagai-bagai kehendak yang begitu banyak sekali. Dapatkah hajat-hajat ini diperolehi daripada setiap makhluk yang ada itu?

Tentu tidak, kerana semua makhluk itu pun tidak lebih daripada apa yang telah ALLAH jadikan; tidak mempunyai kuasa-kuasa yang luar biasa. Semuanya juga akan musnah kalau didatangi sesuatu. Misalnya kalau turun hujan yang lebat hingga membanjiri bumi, semua makhluk yang melata di bumi akan terancam termasuklah tumbuh-tumbuhan yang akan turut musnah.

Kerana itu, dengan mengenal diri dan seluruh makhluk yang ada, kita akan dapat kenal siapa yang melengkapkan setiap hajat dan kehendak makhluk ini, iaitu ALLAH SWT yang Maha Berkuasa, dan tidak ada sesuatu pun yang menyamai-Nya sama ada dari segi zat, sifat, atau perbuatan-Nya.

ALLAH tidak seperti makhluk yang semuanya terdiri daripada susunan-susunan. Manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan misalnya, tersusun daripada sel-se1 yang halus, kemudian ada urat, ada daging, dan seterusnya. Manakala lain-lain kejadian seperti batu-batu, udara, air atau apa saja unsur di muka bumi dan di langit serta yang ada di alam ini, masing-masing juga terdiri daripada susunan-susunan iaitu yang dikatakan terdiri daripada atom-atom serta neutron dan proton, dan seterusnya. Dan semua benda dan makhluk tersebut terdiri daripada luar dan dalam iaitu ia ada bahagian luar dan ada bahagian dalam.

Esa Zat ALLAH Tersendiri

Manakala ALLAH tidak demikian. ALLAH itu tunggal dan tidak terdiri daripada susunan-susunan, atau tidak terdiri daripada luar dan dalam pada zat-Nya. Dan keesaan zat ALLAH ini tidak ada yang menyamai-Nya. Keesaan zat ALLAH adalah tersendiri. Inilah yang dikatakan tunggal zat ALLAH itu menafikan bilangan-bilangan yang bercerai dan bilangan-bilangan yang berhubung. Manakala semua makhluk (yakni selain ALLAH) ada mempunyai persamaan sama ada dari segi zat, sifat mahupun perbuatan.

Misalnya dari segi zat, semua manusia ini terdiri daripada darah, daging, urat, kulit, dan lain-lainnya. Dan ada yang luar serta ada yang dalam. Kemudian semuanya mendengar, melihat, bergerak, dan sebagainya. Dan kita dapati juga, semuanya mahu makan dan minum, tidur, berkahwin dan beranak, dan sebagainya.

Manusia Yang Menzalimi Dirinya

Alangkah bodoh dan jahilnya manusia pada hari ini yang ingin membuat sesuatu yang menyamai (kononnya) dengan zat ALLAH atau sifat ALLAH atau perbuatan ALLAH. Mereka akan mencipta lembaga-lembaga daripada batu-batu atau besi-besi atau daripada tembaga atau daripada kayu, malah ada juga yang daripada emas dan sebagainya, dan kemudian mereka umumkan dan isytiharkan bahawa itulah Tuhan mereka. Sedangkan kita telah diperingatkan dengan kalimah tauhid: "Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH." Ertinya Tuhan itu sahajalah ALLAH, dan ALLAH itulah Tuhan yang sebenar-benarnya. Maka selain daripada ALLAH, bukan Tuhan.

Tetapi bagi mereka yang zalim dan jahil, mereka tetap menganggap patung-patung atau lembaga-lembaga' yang mereka cipta sama ada dalam bentuk manusia atau bentuk binatang itu, adalah Tuhan.

Perantaraan Antara ALLAH Dengan Manusia

Tetapi cuba kita tanya mereka, apa benarkah itu Tuhan? Nanti mereka akan berkata bahawa Tuhan yang sebenar ada lagi satu; iaitu seolah-olah mereka mengatakan bahawa Tuhan itu ialah ALLAH. Ini memang bersesuaian dengan firman ALLAH:

surat:31 ayat:25

Terjemahannya: Jika engkau tanya kepada mereka (orang kafir), siapakah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi ini, nescaya mereka menjawab, 'ALLAH'. (Luqman: 25)

Dan kalau demikian, mengapa pula mereka membuat patung-patung dan lembaga-lembaga tersebut? Pada mereka, patung-patung itu adalah posmen yang menjadi perantaraan antara manusia dengan Tuhan. Patung-patung inilah yang kononnya menjadi pembawa berita atau pembawa doa dan permintaan mereka. Kononnya batu-batu yang mereka ukir itu boleh berkata-kata dengan Tuhan dan boleh mendengar kata-kata Tuhan.

Alangkah zalim dan jahilnya manusia ini. Sedangkan seekor lalat yang hinggap di muka patung itu pun tidak dapat ditepisnya, betapalah ia boleh menjadi perantaraan kepada manusia untuk menolong manusia dalam apa sahaja kesusahan dan bencana.

Kemudian, kata mereka lagi, Tuhan yang sebenar itu berada begitu jauh, dan Tuhan tidak nampak manusia ini. Kononnya mata Tuhan itu kabur; mereka mengandaikan Tuhan memandang dengan mata seperti mata manusia ini. Inilah antara kezaliman dan kejahilan manusia.

Semua Makhluk Tunduk Kepada ALLAH

Sebenarnya, kalaulah manusia tahu apa yang ALLAH katakan di dalam Al Quran, tentu manusia akan sedar bahawa batu-batu atau benda-benda yang digunakan untuk membuat patung atau berhala itu, malah semua makhluk di muka bumi ini sama ada pokok-pokok, haiwan, bukit-bukau atau gunung-ganang, semuanya bersifat lemah. Dan semua makhluk ini akan mengaku hina diri kepada ALLAH SWT.. Malah semuanya, sama ada yang bernyawa ataupun yang tidak bernyawa, mengakui bahawa ALLAH itu Maha Agung, Maha Suci daripada segala kesyirikan, dan tidak ada yang menyerupai-Nya. Firman ALLAH:

surat:57 ayat:1

Terjemahannya: Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada ALLAH (menyatakan kebesaran Allah). Dan Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Al Hadid: 1)

Di sini nyata ALLAH peringatkan kepada kita bahawa semua makhluk di bumi dan di langit, termasuklah batu-batu yang manusia jadikan patung dan berhala serta pokok-pokok, matahari, bulan, bintang dan sebagainya yang disembah oleh sesetengah manusia, sentiasa bertasbih dan bertakbir kepada ALLAH.

Percaya Al Quran Kolot?

Tetapi manusia tidak mahu percaya kepada Al Quran kerana kononnya Al Quran itu kolot, ortodoks, tidak standard, dan sebagainya. Kononnya, mana boleh berpegang kepada Al Quran, nanti ketinggalan zaman. Dan kalau kita tidak ukir patung-patung, nanti kita tidak maju sedangkan zaman ini adalah zaman sains dan teknologi; kerana itu, manusia mendewa-dewakan patung dan membesar-besarkan patung. Sedangkan batu-batu atau benda-benda yang dijadikan patung itu sendiri dijadikan oleh ALLAH, dan semuanya tunduk patuh memuji kebesaran ALLAH. Soal kita tidak boleh mendengarnya, itu perkara lain.

Sama' ALLAH SWT

Namun ALLAH tetap mendengar dan mengetahui kerana Dia bersifat Sama' iaitu mendengar sesuatu yang maujud atau sesuatu yang ada ini; dan ALLAH mendengar tanpa telinga. Dengan demikian, ALLAH mendengar apa sahaja yang ada di bumi dan di langit sama ada yang boleh bercakap ataupun yang tidak boleh bercakap, sama ada yang bernyawa ataupun yang tidak bernyawa.

Dengan ini juga, dapatlah kita faham akan pengertian bercakap yang sebenar. Kerana, sebagaimana yang dikatakan, setiap percakapan sama ada yang bersuara atau yang tidak bersuara, didengar oleh ALLAH. Ertinya semua makhluk ini bercakap sama ada secara bersuara atau tidak bersuara. Dalam ha1 ini, ada satu keterangan hadis yang bermaksud lebih kurang berikut:

Sesiapa daripada manusia yang ingkar (termasuklah yang kafir, yang musyrik dan yang derhaka) berada dalam kemurkaan ALLAH SWT. Mereka sentiasa dilaknat oleh setiap makhluk yang bernyawa dan yang tidak bernyawa.

Makluk yang tidak bernyawa itu adalah seperti benda-benda yang dimakan dan diminum, rumah yang menjadi tempat tinggal, bumi yang dipijak, pakaian yang dipakai, rumput-rumput serta tumbuh-tumbuhan, ikan-ikan di laut serta haiwan-haiwan di bumi. Semua makhluk ini melaknat mereka yang ingkar dan sombong kepada Allah SWT. Sedangkan semua makhluk itu sentiasa tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.

Makhluk Lain Kutuk Manusia?

Nyatalah daripada keterangan Hadis ini bahawa semua makhluk boleh bercakap sungguhpun tanpa suara. Hadis ini menerangkan betapa semua makhluk ini begitu benci kepada manusia dan jin-jin yang ingkar dan derhaka kepada ALLAH SWT; mereka ini sentiasa dikutuk dan dilaknat oleh semua makhluk di bumi dan di langit termasuklah para malaikat. Dan kutukan semua makhluk ini diterima oleh ALLAH SWT.

Dan inilah yang perlu kita fahamkan dan perhatikan. Kita hendaklah meyakini setiap perkara ini iaitu bahawa ALLAH sangat mendengar perkara-perkara yang maujud yang terdiri daripada semua makhluk yang telah ALLAH jadikan ini. Kerana, semua makhluk ini boleh bercakap, cuma kita sahaja yang tidak mendengarnya. Di dalam satu Hadis Qudsi, ALLAH berfirman dengan maksudnya:

Wahai manusia, ingatlah bahawa setiap hari bumi berkata kepada kamu, 'Wahai manusia yang sedang berlari-lari di atas belakangku, ingatlah satu hati nanti aku akan telan kamu ke dalam perutku. Aku akan himpit kamu, dan kamu akan berada dalam gelap gelita, kalau kamu masih berlari di belukangku dengan bersuka-ria dan mengikut hawa nafsu kamu."

Di sini jelas kita yang bumi bahawa ALLAH menunjukkan kepada ini sering bercakap dengan memberi ingatan kepada kita; kalau kita berjalan di atas belakangnya, kita dalam keadaan bersuka-suka mengikut hawa nafsu kita, suatu hari nanti, kita akan ditanam di dalamnyua. Selain itu, roh-roh orang yang sudah mati juga bercakap-cakap. Roh-roh ini sering berkata kepada manusia yang hidup di atas muka bumi agar sentiasa beringat-ingat kerana suatu hari nanti manusia-manusia ini akan menjadi seperti mereka juga. Manakala roh yang sedang menjalani penyeksaan akan berkata, "Wahai manusia, beringatlah kamu. Janganlah kamu menerima nasib semacam aku ini."

Dan bagi roh-roh yang sedang mendapat sebahagian nikmat Syurga, apabila mereka melihat manusia-manusia yang lalai dan lupa di muka bumi ini, mereka akan berkata, "Wahai manusia yang lupa dan lalai, tidakkah kamu ingin mendapat nikmat sepertimana yang kami dapat pada ketika ini?"

Semua kisah ini ada digambarkan dalam Al Quran, Hadis dan juga Hadis Qudsi. Kerana itu, kita hendaklah banyak membaca kitab-kitab mengenainya agar kita dapat mengetahui semuanya. Dengan itu sahajalah kita dapat membimbing hidup kita agar terselamat di dunia dan terselamat di akhirat.

Golongan Tak Standard

Tapi malangnya buku-buku demikian, orang tidak suka baca. Konon mana ada standard baca buku-buku seperti ini. Kita mesti baca buku-buku orang barat kerana di dalamnya ada banyak ilmu dan dengan itu ilmu pengetahuan kita bertambah. Barulah jadi orang bijak-bijak dan intelek. Mana ada faedah membaca buku tentang benda-benda bercakap, haiwan-haiwan bercakap, lebih-lebih lagi tidak munasabah bumi bercakap atau roh bercakap.

Sebab itu, bagi sesetengah orang yang percaya bahawa mayat di dalam kubur itu mendengar kita, dia pun beri salam apabila lalu di kubur, tetapi secara berbisik dalam hati sahaja. Dia takut beri salam kuat-kuat, kalau-kalau orang lain kata dia gila. Sebenarnya, mana boleh beri salam secara berbisik-bisik dalam hati sahaja. Memberi salam mendoakan kesejahteraan orang-orang yang di dalam kubur adalah disyariatkan ke atas kita. Sebab itu kita bacakan talqin dan kita doakan mereka yang sudah mati.

Namun setengah-setengah orang berkata bahawa talqin tidak perlu kerana, kata mereka, orang yang sudah mati tidak boleh mendengar. Masakan tidak boleh mendengar! Sedangkan ALLAH berkata, setiap benda yang ada ini semuanya boleh bercakap dan mendengar. Jadi mayat juga boleh bercakap dan mendengar apa yang kita cakapkan. Cuma apabila dia bercakap, kita tidak dengar. Tetapi ALLAH tetap mendengarnya.

Jangan Samakan Dengan Perbuatan ALLAH

Demikianlah sifat setiap makhluk yang ada di muka bumi ini dan yang ada di semua alam yang dijadikan ALLAH. Tidak ada satu pun yang boleh menyerupai ALLAH sama ada dari segi zat, sifat mahupun perbuatan. Kerana itu, janganlah kita membuat sesuatu yang boleh menyamakan perbuatan kita itu dengan perbuatan ALLAH, atau menyamakan perkara yang kita buat itu dengan apa yang dibuat oleh ALLAH seperti mengukir atau mereka patung-patung dan sebagainya. Bahkan menyimpan, patung-patung di rumah pun dilarang oleh syariat. Kerana, sungguhpun kita tidak menyembah patung-patung itu, namun disebabkan perbuatan membuat patung itu menyamai perbuatan ALLAH, maka ha1 ini amat dilarang.

Manusia Tidak Mampu Buat Nyawa

Kalau benarlah manusia ini pandai membuat patung patung sama ada bentuk manusia mahupun haiwan, mengapa tidak boleh memberi nyawa kepadanya? Ertinya manusia tidak mampu membuat nyawa. Dan ha1 ini akan dituntut oleh patung-patung itu di Akhirat kelak sama ada terhadap si pembuat atau si penyimpannya. Apa mampukah kita memberikan nyawa kepadanya. Sedangkan kita pun hanya ada satu nyawa yang diberi oleh ALLAH!

Jiwai Sifat Wahdaniah Rasai Takut Pada ALLAH

Jadi hendaklah kita fahamkan benar-benar tentang sifat Wahdaniah pada ALLAH ini iaitu: ALLAH adalah tunggal yang tersendiri atau tunggal yang tidak dijadikan sama ada pada zat-Nya, sifat-Nya ataupuu perbuatan-Nya. Kalau kita faham ini, maka akan timbullah perasaan takut di dalam jiwa kita bila ada tindak-tanduk kita yang sampai menafikan sifat Wahdaniah pada ALLAH ini, iaitu dengan memberikan penghormatan kepada selain ALLAH, seperti menghormati patung-patung, batu-batu, dan sebagainya. Jangankan menghormati batu-batu atau patung, menghormati dan mengasihi sesuatu yang lain daripada ALLAH pun ALLAH murka. Kerana, orang yang demikian bersikap tidak menghormati ALLAH, dan dia sombong serta takbur kepada ALLAH. Ini bermakna, menghormati dan mengasihi sesuatu yang selain daripada ALLAH adalah diibaratkan orang yang sombong dan takbur kepada ALLAH. Firman ALLAH:

Terjemahannya: Diserukan kepada mereka: Masuklah neraka Jahanam buat selama-lamanya, itulah seburuk-buruk tempat bagi orang yang menyombongkan diri. (Az Zumar: 72)

Ini sangat merbahaya. Jadi janganlah kita cuba menaruh kasih kepada yang lain lebih daripada kita kasihkan ALLAH. ALLAH sangat murka, dan kalau ALLAH murka ertinya kita akan ke Neraka. Kerana itu, yang perlu kita hormati ialah sifat ALLAH. Yang. perlu kita esakan ialah sifat ALLAH semata. Kalau kita meletakkan penghormatan dan kasih kita kepada yang lain-lain itu, kita tidak boleh dapat apa-apa daripadanya. Kerana semuanya itu bersifat lemah. Kita tidak boleh bergantung kepadanya, dan kita tidak boleh berharap kepadanya. Tempat kita bergantung dan berharap ialah kepada ALLAH semata-mata.

Sikap Menafikan Sifat Wahdaniah

Jangan pula kita menjadi orang yang mengetahui segala-galanya mengenai sifat Wahdaniah pada ALLAH tetapi dalam masa yang sama tindak-tanduk dan perbuatannya menunjukkan ia menafikan sifat Wahdaniah ALLAH itu. Orang seperti ini tahu keesaan Allah tetapi zahirnya, mereka akan berharap dan bersandar kepada yang selain daripada ALLAH. Hingga sumber rezeki mereka pun mereka anggap datangnya daripada perkara-perkara lain, dan bukannya daripada ALLAH. Kalau orang-orang ini hidup mewah dan kaya-raya, mereka seolah-olah tidak mahu diganggu oleh orang lain kerana pada mereka kekayaan dan kemewahan mereka itu adalah hasil daripada kebijaksanaan dan usaha mereka. Seolah-olah mereka mengetepikan keesaan ALLAH SWT.

Dan ada di antara mereka itu pula, kerana terlalu sombong dan bongkak kepada ALLAH, sanggup mempercayai bahawa memang sudah retak tangan mereka menjadi demikian. Orang-orang ini lebih mengharapkan petunjuk daripada ahli-ahli nujum dan tukang-tukang ramal untuk mengawal nasib mereka. Dalam ha1 ini, seolah-olah yang berkuasa itu bukannya ALLAH.

Terjebak Dengan Perbuatan Syirik

Begitu juga mereka yang melakukan berbagai-bagai bentuk pemujaan seperti puja laut, puja pantai, puja orang, puja pangkat, dan sebagainya. Perbuatan seperti ini boleh membawa kepada kesyirikan. Perhatikanlah, begitu mudah sekali seseorang itu jatuh syirik. Setiap perbuatan tadi dan perbuatan-perbuatan lain yang serupa dengannya, kalau ia lahir dari hati, menjadikan seseorang itu syirik. Kerana dia mengakui keesaan yang selain daripada keesaan sifat ALLAH, keesaan zat ALLAH dan keesaan perbuatan ALLAH.

Dalam ha1 ini, kalaupun ia tidak terlibat dengan syirik 100 peratus, mungkin ia akan jatuh kepada syirik yang tersembunyi atau syirik yang tidak 100 peratus. Namun, ha1 ini juga salah. ALLAH tetap murka. Syirik seperti ini dinamakan syirik khafi. Ia amat mudah berlaku dalam ibadah -ibadah kita seperti dalam sembahyang, dalam puasa, dalam zakat, dalam haji, dan lain-lain. Bentuk-bentuknya adalah seperti riyak, takbur, sombong, ujub, dan sebagainya.

Inilah yang amat perlu kita jaga benar-benar agar kita tidak terjebak di dalam perbuatan yang membawa kepada syirik, sama ada syirik nyata ataupun syirik khafi (tersembunyi). Kedua-dua bentuk syirik ini dimurkai ALLAH, dan inilah satu ujian yang besar bagi kita dalam melaksanakan syariat. Oleh itu, kita perlu benar-benar faham akan syariat agar kita benar-benar berada di atas landasan yang benar, dan agar kita terselamat di dunia dan di Akhirat.

Kalau sekadar manusia sahaja yang menuduh kita syirik, masih tidak mengapa kerana tuduhan manusia belum tentu tepat. Tetapi kalau ALLAH yang menuduh syirik, maka ia tepat sekali. Firman ALLAH:

surat:4 ayat:48

Terjemahannya: Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik (dosa orang yang menyekutukan ALLAH) tetapi Allah mengampunkan dosa selain itu bagi mereka yang ALLAH kehendaki. Dan siapa yang mensyirikkan ALLAH muka sesungguhnya mereka melakukan dosa besar. (An Nisa': 48)

Murka ALLAH Kepada Mereka Yang Syirik

Begitu sekali kemurkaan ALLAH kepada orang yang jatuh syirik. Syirik merupakan satu penzaliman yang amat besar: Namun kalau seseorang itu meminta ampun atau bertaubat sebelum mati, ALLAH tetap akan mengampunkan dosanya. Tetapi kalau tidak sempat, akan terjerumuslah ia ke dalam Neraka; kekal selama-lamanya. Jadi, berhati-hatilah, kerana bukan orang yang musyrik atau orang-orang yang menyembah berhala itu sahaja yang syirik. Kita juga boleh jadi syirik melalui perbuatan kita, perkataan kita, atau melalui hati kita. Rasulullah SAW memberi peringatan kepada kita dengan sabdanya:

Terjemahannya: Bahawasanya di saat-saat kedatangan Qiamat akan berlaku kelam kabut seperti sausana di sebahagian malam yang gelap, di waktu itu seseorang akan beriman di waktu pagi dan menjadi kufur di waktu petang, yang beriman di waktu petang akan menjadi kufur di waktu pagi. Ia menjual agamanya dengan nilaian dunia yang sedikit. (Riwayat: At Tarmizi)

Esa ALLAH Pada Sifat

Sekarang cuba kita perhatikan pula esa atau tunggalnya ALLAH pada sifat. Ini juga mempunyai pengertian yang tersendiri. Esanya ALLAH pada sifat bermakna, tiap-tiap satu sifat ALLAH itu adalah esa. Misalnya, Wujudnya ALLAH itu esa, Qidamnya ALLAH itu esa, Qudratnya ALLAH itu esa, dan seterusnya bagi sifat-sifat Allah yang lain. Contohnya, cuba kita perhatikan apa yang dimaksudkan Qudrat ALLAH itu esa.

Untuk itu, kita kaji sifat diri kita, kerana kita juga bersifat iaitu sifat yang sesuai dan munasabah dengan diri kita yang lemah ini kalau ALLAH ada sifat salbiah, kita juga ada sifat salbiah, dan kalau ALLAH ada sifat maani, kita juga ada sifat maani.

Kini kita kaji sifat salbiah kerana Wahdaniah itu adalah sifat salbiah ALLAH. Sifat salbiah ALLAH berlawanan dengan sifat salbiah kita. Misalnya, kalau sifat ALLAH itu Qidam (sedia ada) maka sifat kita adalah baharu, kudus dan ada permulaan. Dan kalau sifat ALLAH itu Wahdaniab (esa), sifat kita ini berbilang-bilang.

Sifat Berbilang Pada Kuasa

Apakah yang dikatakan sifat yang berbilang-bilang ini? Kita misalkan dengan kuasa. Dalam ha1 ini, kuasa kita bergantung kepada tenaga bagi membolehkan kita menggunakannya seperti untuk mengangkat sesuatu, memukul orang atau bertumbuk atau menolak benda-benda, dan sebagainya. Ertinya, tenaga kekuatan yang membawa kepada kekuasaan yang ada pada kita ini mempunyai susunan yang berhubung.

Kita perhatikan setiap aspek kuasa atau kekuatan ang ada pada kita Kita ada kekuatan pada tangan, kita ada kekuatan pada kaki, kita ada kekuatan pada mulut, kita ada kekuatan pada gigi, kita ada kekuatan pada mata, kita ada kekuatan pada telinga, dan sebagainya. Semuanya tersusun.

Kemudian tiap-tiap kekuatan itu berbeza pula dari semasa ke semasa. Misalnya, kekuatan itu tidak sama semasa kita kecil dengan semasa kita besar dan semasa kita tua, dan sebagainya.

Kekuatan yang berbeza-beza inilah yang dikatakan kekuatan yang berhubung dan berbilang. Iaitu berbilang dan berhubung pada sifat-sifat kita. Jadi, kuasa yang ada pada kita tidak sama dengan yang ada pada ALLAH yang mana kuasa kita berbilang-bilang dan bertingkat-tingkat daripada lemah kepada kuat dan kemudian lemah kembali. Ini kerana tingkatan kehidupan kita juga bermula daripada lemah, kemudian kuat, dan kemudian lemah kembali.

Firman ALLAH:

surat:36 ayat:68

Terjemahannya: Dan barang siapa yang Kami panjangkan umurnya, nescaya Kami kembalikan dia seperti kejadian asalnya (iaitu kembali menjadi lemah dan kurang akal). Maka apakah mereka tidak memikirkan? (Yasin: 68)

Kemudian kita perhatikan pula bagaimana kekuatan kita itu juga bergantung kepada alat yang juga berbilang-bilang. Kita misalkan kekuatan pada tangan. Kekuatan yang ada pada tangan ini tidak sama di antara satu tangan dengan tangan lain iaitu yang kanan tidak sama kekuatannya dengan yang kiri. Dan kekuatan ini pula berlainan kalau kedua-dua tangan sekali bergabung.

Sifat ALLAH berbeza Dengan Sifat Manusia

Semua ini menunjukkan kepada kita betapa sifat ALLAH itu berbeza dengan sifat manusia. Sifat kita ini berbilang-bilang dan berhubung-hubung. Lemahlah kita ini. Sedangkan Qudrat bagi ALLAH tidak ada bertingkat-tingkat dan tidak bergantung kepada alat. Qudrat ALLAH tidak ada bermula dan tidak ada berakhir. Qudrat ALLAH tidak ada yang menjadikan. Qudrat ALLAH itu lengkap; tidak ada yang menurun dan tidak ada yang menaik. Tidak ada kuasa yang boleh melemahkan kuasa ALLAH. Dan tidak ada kuasa yang boleh menambahkan kuasa ALLAH.

Nyata kepada kita bahawa Qudrat Allah itu esa atau tunggal dengan sendirinya. Inilah yang dikatakan Wahdaniah pada sifat ALLAH. Dan kerana itu juga, kita mesti yakini dan fahami benar-benar bahawa sifat yang ada pada manusia ini mempunyai bilangan yang berhubung, iaitu sekurang-kurangnya ia mempunyai tingkat-tingkatan: daripada lemah kepada kuat dan kemudian lemah semula. Dan ini termasuklah tingkatan-tingkatan yang terdapat pada setiap perkara sama ada pada penglihatan, pendengaran dan juga akal. Sedangkan Wahdaniah pada ALLAH menafikan bilangan-bilangan ini dalam ertikata segala sifat ALLAH itu esa, sama ada pada Qudrat-Nya, pada Hayat-Nya, pada Kalam-Nya, dan seterusnya pada sifat-sifat yang lain.

Kemudian pengertian esanya sifat ALLAH itu tidak terdiii daripada bilangan yang bercerai ialah: tidak ada sifat yang lain yang sama dengan sifat ALLAH. Ertinya, tiap satu sifat ALLAH itu, tidak ada yang menyamainya. Tidak sepertimana sifat yang ada pada makhluk ini. Misalnya, sifat yang ada pada satu orang sama sahaja dengan sifat yang ada pada seorang lain. Kalau seseorang itu mempunyai kekuatan pada tangan, maka orang yang lain itu pun demikian. Dan kalau kekuatan seseorang itu bertingkat-tingkat daripada lemah kepada kuat dan kemudian lemah kembali, maka kekuatan pada orang lain itu pun demikian juga.

Ertinya, ada persamaan pada makhluk ini. Hanya keesaan sifat ALLAH saja yang tidak bercerai iaitu tidak ada yang menyamainya. Kerana itu, janganlah kita cuba berlagak seolah-olah kita memiliki sifat-sifat yang ada pada ALLAH hingga melebihi apa yang ada pada makhluk yang lain, malah mengaku kita lebih berkuasa daripada ALLAH, sepertimana lagak manusia seperti Namrud, Firaun dan lain-lainnya. Mereka ini hingga sanggup mengaku diri sebagai Tuhan yang boleh membuat apa sahaja seperti boleh menghidupkan seseorang, boleh mematikannya, boleh memberi rezeki, boleh memberi perlindungan, boleh membuat langit dan bumi, boleh membuat Syurga dan Neraka, boleh menurunkan hujan, dan sebagainya. Ini syirik yang amat besar.

Kerana itu janganlah ada di antara kita yang apabila sudah boleh membuat sesuatu, seperti boleh menghentikan hujan atau membuat hujan, merasakan kita sudah mempunyai satu kuasa seperti Tuhan.

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 1 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi


No comments:

Post a Comment