Kejayaan itu lebih utama dari kemenangan. Tetapi gema kemenangan itu lebih sedap didengar dari kejayaan. Sedangkan hakikatnya kejayaan itu lebih penting dari kemenangan. Kita buat beberapa contoh yang dikaitkan dengan dunia dahulu. Ini kerana membahaskan hal dunia itu lebih mudah difaham kerana dunia itu dekat dan Akhirat itu jauh. Maksud dekat ialah sesuatu yang dapat kita lihat, rasa dan dengar. Kita tinggal di dalamnya. Akhirat belum nampak sebab itu dikatakan jauh. Di antara contoh-contohnya ialah:
Contoh 1:
Katalah ada suatu kawasan hutan seluas 2000 ekar dan banyak golongan atau individu yang meminta dengan kerajaan untuk memilikinya. Hendak mohon untuk dapat tanah hutan itu pun bukan senang. Kadang-kadang sampai 10 tahun. Setelah diminta-minta, rupanya yang dapat adalah satu golongan. Banyak yang meminta tetapi hanya satu golongan yang menang. Menang kerana mendapatkan tanah hutan itu.
Bila menang, iaitu dapat apa yang diminta itu, dikira hebatlah juga. Tetapi hendak menjayakan tanah hutan seluas 2000 ekar itu dengan segala yang ada di dalamnya, untuk sampai menjadi estet, kebun atau ladang, bukan mudah. Kemenangan untuk dapatkan hutan itu adalah mudah berbanding hendak bangunkan hutan itu. Kadang-kadang hendak bangunkan hutan itu, setelah 20 tahun baru berjaya.
Di sini, kemenangan pertama itu sebenarnya belum bererti apa-apa, kerana rupa-rupanya dalam kemenangan itu belum ada kejayaan. Ianya bertahap-tahap. Kemenangan pertama belum menjadi kejayaan.
Contoh 2:
Orang berjuang untuk dapatkan negara atau negeri sama ada secara politik atau perang, mungkin hendak menang itu mudah tetapi hendak berjaya, itu susah. Kita menang untuk dapat negara atau negeri. Tetapi apakah kejayaan bila dapat negara atau negeri? Tentulah hendak satukan orang ramai, hendak jadikan orang berkasih sayang, hendak didik orang untuk bekerjasama, hendak bangunkan pendidikan yang baik, hendak bangunkan ekonomi sama ada bertaraf bandar atau kampung, hendak bangunkan akhlak rakyat, hendak bangunkan pertanian atau ladang dan lain-lain lagi. Agak-agaknya kalau setakat mendapat negeri atau negara, adakah itu dikira berjaya? Kadang-kadang sudah menang tetapi kejayaannya macam mana?
Oleh kerana gema menang itu besar dan hebat, maka semua orang hendak menang. Tidak berjaya pun tidak apa. Rupanya manusia tertipu.
Contoh 3:
Katalah di sekolah, kita sama-sama belajar dengan kawan-kawan. Dari darjah satu sampai habis belajar, kita selalulah berlawan siapa menang dan siapa kalah. Ada yang menang dan ada yang kalah. Yang menang dikatakan cemerlang. Yang kalah itu ialah yang tidak cemerlang. Sampai universiti, yang seorang itu kalah sahaja. Yang seorang lagi menang sahaja. Itu sebenarnya baru menang dari segi ilmu. Bila habis belajar, hendak kahwin, hendak kerja dan hendak hidup, rupa-rupanya yang cemerlang itu hanya cemerlang di segi ilmu sahaja tetapi tidak tahu bagaimana hendak hidup. Hendak bekerja tidak pandai. Hendak bertani tidak pandai. Hendak bertindak pun tidak pandai padahal dia cemerlang semasa belajar. Dari segi ilmunya, dia menang dapat nombor satu tetapi hendak buka kedai untuk berniaga tidak pandai. Yang gagal tadi dapat menjadi jutawan. Memang dari segi ilmu, yang cemerlang itu menang tetapi dia gagal dari segi amalan.
Boon Siew, seorang tauke Cina yang sudah meninggal, dulu menjadi jutawan besar sedangkan dia tidak belajar di sekolah. Tidak pandai menulis dan membaca. Hendak tanda tangan pun tidak pandai. Tetapi dia yang mula-mula bawa masuk motosikal Honda ke Malaysia. Orang lain yang menang di sudut ilmunya hanya menjadi tukang beli motor Honda Boon Siew. Yang menang dari segi ilmu, beli Honda manakala yang tidak menang dari segi ilmu berjaya menjadi tauke Honda.
Jadi kejayaan lebih penting daripada kemenangan. Kemenangan itu cuma gemanya besar. Tetapi sebenarnya cuma dapat habuk, asap atau angin sahaja.
Kemudian bila kita bahas tentang kejayaan, kejayaan itu pun bertahap-tahap dan berlapis-lapis. Sudah disebut berjaya pun belum berjaya lagi. Berbalik kepada cerita hutan tadi. Mula-mula menang untuk dapatkan tanah hutan itu. Bila menang, kita ada kekuatan maka kita beli alat-alat dan kita pun tebang hutan. Bila berjaya membuka hutan, perkataan yang sudah didengar ialah ‘berjaya’. Mula-mula menang dapat tanah hutan. Itu masih dapat habuk. Bila sudah berjaya buka hutan, belum boleh makan hasil lagi. Walaupun sudah dikatakan berjaya tetapi belum dapat duit lagi. Kita sudah berjaya buka hutan tetapi masih belum bercucuk-tanam lagi.
Kalau kita hendak bahas antara kejayaan dan kemenangan, sebenarnya kejayaan lebih baik dari kemenangan. Kalau kita bahas kejayaan demi kejayaan, itu pun bukan mutlak kerana ada yang berjaya tetapi belum berhasil. Setakat nama berjaya sahaja. Belum sampai ke peringkat mendapat hasil, faedah dan kejayaan. Itu baru perbandingan antara dunia dengan dunia. Belum dibandingkan antara dunia dan Akhirat. Di dunia ini pun, bila menang belum bererti apa-apa. Bahkan bila sebut kejayaan pun, sesetengahnya belum bererti apa-apa. Sudah kita bahaskan tadi. Betapalah perbandingan dunia dan Akhirat. Erti kemenangan dunia dan Akhirat itu berbeza sangat. Mari kita bahas yang bersifat Akhirat pula.
1. Allah berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya pemimpin kamu itu adalah Allah, Rasul dan orang mukmin, yang mendirikan sembahyang, yang menunaikan zakat, yang tunduk dan patuh. Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul dan orang beriman menjadi pemimpinnya, maka sesungguhnya itulah dia parti Allah. Ketahuilah, parti Allah pasti akan mengalahkan (menang).” (Al Maidah: 55-56)
Walaupun yang disebut di sini, yang ‘mengalahkan’ atau yang akan mendapat ‘kemenangan’ adalah orang yang menjadikan Allah, Rasul dan orang mukmin yang taat sebagai pemimpin, oleh kerana ianya hanya untuk dunia, Tuhan hanya berkata, mereka itu diberi kemenangan. Tuhan tidak sebut, diberi kejayaan. Kita sudah bahaskan tadi, menang tidak ada erti apa-apa. Sebab itu dibahaskan contoh di dunia dahulu. Dalam ayat tadi, Tuhan sudah tolong dan sokong, tetapi itu pun Tuhan hanya hendak beri kemenangan di dunia yakni disebut, ‘ghalibun’ iaitu akan diberi kemenangan (mengalahkan). Kenapa tidak dikatakan ‘muflihun’ yang bermaksud kejayaan? Kerana kejayaan hanya akan diberikan di Akhirat. Walaupun Tuhan sudah berikan kemenangan kepada dia di dunia kerana dia orang Tuhan tetapi belum tentu menang di Akhirat. Mana tahu selepas menang, dia rosak. Di hujung-hujung dia gagal walaupun kemenangan itu pada peringkat awal atas dasar Tuhan. Sebab itu Tuhan hanya sebut ‘menang’ sahaja bukan ‘berjaya’. Sekalipun Tuhan sudah backing dan sudah beri kemenangan tetapi belum tentu berjaya terutama di Akhirat.
Hendak tafsirkan ayat ini susah. Hendak dijadikan ilmu itu payah.
2. Allah berfirman dalam satu ayat lain:
Maksudnya: “Bilamana penduduk satu kampung atau satu negara beriman dan bertaqwa. Tuhan akan turunkan berkat dari langit dan bumi.” (Al A’raf: 96)
Dalam ayat di atas, Tuhan katakan ‘berkat’ sahaja. Kalau dapat berkat, itu belum boleh dibanggakan sebab orang kafir pun boleh dapat berkat atas dasar doa dari orang soleh atau kerana dia anak orang soleh. Ini sangat tersirat. Sebab itu tidak bolehlah sewenang-wenang hendak menghurai ayat ini, takut orang terkeliru. Tuhan tidak sebut muflihun tetapi Tuhan hanya sebut berkat.
3. Di ayat lain, Allah berfirman:
Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Tuhan, engkau akan lihat manusia berbondong-bondong masuk Islam.” (An Nasr: 1-2)
Dalam ayat ini ada ilmu untuk diakalkan. Ada falsafahnya. Dalam ayat ini Tuhan menyebut ‘pertolongan’. Bila dikatakan pertolongan, belum boleh dibanggakan lagi. Belum tentu berjaya kerana ianya berlaku di dunia. Kalau di Akhirat tidak berjaya, bolehkah kita megah? Di Akhirat, kalau tidak berjaya akan ke Neraka. Sebab itulah Tuhan tidak berkata, “Bilamana datang kejayaan dari Allah,” tetapi Tuhan katakan, “Bilamana datang pertolongan dari Allah.” Ini kerana kejayaan itu adalah kemuncak hakiki.
Cuba perhatikan, bila Allah menyebut tentang kejayaan hakiki yang berlaku di Akhirat, barulah digunakan perkataan ‘muflihun’ yang bermaksud kejayaan. Yakni dalam surah Al Mukminun ayat 1-11:
Maksudnya: “Sesungguhnya mendapat kejayaan orang mukmin yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menghindari perkara yang sia-sia. Dan mereka menunaikan zakat. Dan mereka yang menjaga kehormatan kecuali kepada isteri mereka dan hamba sahaya milik mereka, maka mereka itu tidaklah dicela. Dan mereka yang melakukan sebaliknya, mereka itu adalah melampaui batas. Mereka yang menunaikan amanah dan janji-janji mereka, mereka yang sentiasa memelihara sembahyang mereka, mereka itulah yang mempusakai Syurga Firdaus dan mereka akan kekal di dalamnya.” (Al Mukminun: 1-11)
Kejayaan itu adalah Syurga Firdaus di Akhirat. Maksudnya kejayaan itu di Akhirat.
Berbalik kepada kejayaan di dunia, hutan itu apabila sudah dapat hasilnya, baru dianggap berjaya. Baru dikatakan kejayaan. Kalaupun dikatakan kejayaan, tetapi kalau diukur di sisi Akhirat, itu pun belum berjaya lagi sebab ianya belum hakikat. Untuk mendapat kejayaan di dunia pun susah. Kena melalui beberapa tahap. Tuhan hendak letakkan perkataan ‘kejayaan’ itu tidak sesuka hati. Kalau kejayaan itu di peringkat dunia, Tuhan hanya guna istilah-istilah seperti menang, mendapat pertolongan atau dapat berkat. Mengapa payah sangat Tuhan hendak menyebut kejayaan itu? Sebab kejayaan itu sebenarnya hanya di Akhirat.
Untuk mendapat kejayaan yang hakiki di Akhirat itu sudah Tuhan senaraikan ciri-cirinya. Dalam ayat di atas, orang yang mendapat kejayaan di Akhirat itu kerana memenuhi 7 syarat yang Allah tetapkan. Mungkin di dunia dia dianggap kalah. Mungkin dia dijajah, dikuasai atau masuk jel. Maha Besar Tuhan. Sebab itu kejayaan itu sangat mahal. Hendak menang atau hendak mendapat berkat, itu mudah. Hendak mendapat kejayaan, di dunia pun sudah susah, apatah lagi di Akhirat.
Al Quran itu kalau kita faham ayat yang pendek pun sudah cukup memberi ilmu. Hendak menterjemahkan ayat itu bukan mudah. Hendak mengaitkan ayat-ayat itu bukan senang. Cuba lihat, apabila kita membahaskan tentang kejayaan dan kemenangan, kita dapat ilmu. Ada perbezaan antara kemenangan dan kejayaan. Payahnya hendak mendapat kejayaan di dunia. Betapalah payahnya untuk mendapat kejayaan di Akhirat. Sebab itu, nampaknya susah hendak jumpa perkataan ‘kejayaan’ yang Tuhan gunakan itu. Hanya disebut kemenangan, pertolongan atau berkat tetapi tidak ‘kejayaan’. Kalau kita terpaksa memilih salah satu, antara menang atau berjaya, tidak menang pun tidak mengapa, asalkan berjaya. Kalau dapat kedua-duanya sekali, itu luar biasa. Oleh itu mengapalah hati megah dengan kemenangan?
Kenapa dalam azan, disebut ‘Marilah menuju kejayaan’? Kejayaan itu ialah bila kita mendapat sembahyang yang khusyuk. Kalau dapat sembahyang yang khusyuk, walaupun seseorang itu dijajah, dia akan mendapat kejayaan di Akhirat.
Ramai di antara rasul-rasul yang tidak berjaya atau tidak menang di dunia tetapi tetap berjaya di Akhirat. Bukan semua rasul yang menang di dunia tetapi mereka dianggap manusia yang berjaya di Akhirat. Kesimpulannya, susah hendak mendapat kejayaan di dunia, betapalah kejayaan di Akhirat. Itulah hakikat hidup yang sebenarnya.
Sajak
Kemenangan Perjuangan Kebenaran
Sudah menjadi Sunnatullah
perjuangan yang sesat atau batil
cepat diberi kemenangan
Lihat sahajalah sejarah
di antara perjuangan para rasul
dengan perjuangan Namrud, Firaun dan Abu Jahal
siapa dahulu mendapat kemenangan?
Perjuangan para rasul
didahulukan dengan kekalahan
apakah ia salah
tolong ambil perhatian
Awaslah!
Kalau ada satu jemaah atau satu parti
diberi kemenangan lebih dahulu
janganlah anggap itu kebenaran
Kerana apa yang berlaku di dalam sejarah
yang batil lebih dahulu diberi kemenangan
Oleh itu salah tidak mesti kalah
yang benar tidak mesti menang
dan mendapat kejayaan
Mengapa kebenaran didahului dengan kekalahan?!
Ia sudah tentulah mempunyai banyak hikmah
yang tersirat kalau kita faham
Pertama: Kebenaran mestilah melalui pendidikan
mendidik melalui masa yang panjang baru menang
Kedua: Para pejuang mestilah diuji lebih dahulu
dengan kesusahan dan penderitaan untuk tapisan
agar dapat orang yang benar-benar bertaqwa
Ketiga: Berlama-lama itu untuk mereka
diberi pahala yang besar
ini lebih penting dari menang
menang hanya nikmat dunia
pahala adalah di Akhirat
Keempat: Supaya terasa bahawa kebenaran itu
adalah sangat mahal hingga bersusah payah
baru diberi kemenangan
Kelima: Diuji dan panjang masa baru menang
supaya dapat orang yang benar-benar ikhlas
di dalam perjuangan
Keenam: Diuji dengan teruknya
dan panjang pula perjuangannya
supaya orang yang berlakon
dan hendak mencari peluang dan ambil kesempatan tidak boleh bertahan lama
akhirnya terbuka juga tembelang
Ketujuh: Supaya benar-benar terpisah
di antara orang Tuhan dengan orang syaitan
Kelapan: Berlama-lama berjuang baru dapat kemenangan supaya berlaku tapisan demi tapisan
hingga tinggal sedikit
yang tidak logik lagi mendapat kemenangan
kemudian diberi kemenangan
supaya nampak bahawa kemenangan itu dari Tuhan bukan dari tenaga pejuang
agar para-para pejuang merendah diri
dan tidak sombong serta bersyukur kepada Tuhan
Kesembilan: Agar yang tinggal itu pilihan dari pilihan agar kebenaran itu diberi kepada orang
yang benar-benar baik
yang telah menjual dunianya untuk Akhiratnya
setelah mereka berkuasa
mereka benar-benar boleh berkhidmat untuk Tuhan
dan kepentingan insan
bukan kepentingan peribadi, keluarga dan kroni-kroni hingga mereka disayangi oleh orang
Kesepuluh: Supaya mereka diberi kemenangan
dan terus disambung oleh generasi kemudian
berkurun-kurun lamanya
kerana berkat pejuang pertama yang begitu ikhlas
dan pilihan Tuhan
Orang kemudian hanya mendapat
rahmat dan berkat
Kesebelas: Kebenaran itu diberi kemenangan
setelah pengikut-pengikutnya tinggal sedikit
kerana diberi kemenangan secara khawariqul ‘adah
iaitu secara mukjizat atau secara keramat
supaya dapat dilihat oleh semua orang
yang menang itu adalah orang Tuhan
Kedua belas: Setelah diberi kemenangan
kepada orang Tuhan
mereka tidak akan ada hendak membalas dendam
dan menzalim kepada musuh-musuhnya
Ketiga belas: Setelah orang yang menang itu
membawa Tuhan dan kasih sayang dan keadilan
orang ramai pun jatuh hati dan sayang
mereka pun beramai-ramai masuk Islam
kerana terpengaruh
dengan pejuang-pejuang kebenaran
Keempat belas: Akhirnya lahirlah satu kehidupan
yang amat indah, berkasih sayang
bekerjasama, rasa bersama, bertolong bantu
macam satu keluarga bahagia dan harmoni
Hasil perjuangan lahirlah masyarakat atau negara baldatun thoiyibatun warabbun ghafur
Haraplah diambil perhatian
kalau ada golongan umat Islam
cepat atau sudah mendapat kemenangan
Itu bukan perjalanan para rasul
alaihimussolatuwassalam
Walaupun mereka umat Islam
sudah pasti perjuangan mereka di dalam kebatilan
Tanda tidak benar mereka menang
di dalam suasana ramai
Kemenangan mereka bukan dibacking oleh Tuhan
bukan secara khawariqul ‘adah
seperti berlaku kepada para rasul
alaihimussolatuwassalam
Walaupun menang tidak akan dapat menegakkan baldatun thoiyibatun warabbun ghafur
Mereka menang adalah secara istidraj
yang dimurkai oleh Tuhan
Setelah mereka berkuasa masyarakat tetap penuh
dengan gejala masyarakat yang tidak sihat
Koreksilah perjuangan
adakah menang secara taqwa
atau secara istidraj?
Apakah kamu mendapat kemenangan
setelah melalui tapisan demi tapisan?
Kamu menang di waktu sedikit atau ramai?
Setelah ada kuasa adakah orang sayang, taat setia
atau taat pura-pura kerana kepentingan?
Sesudah menang adakah kamu dapat menegakkan masyarakat yang bersih
daripada maksiat dan mungkar?
Berlakukah ukhwah, kasih sayang, keselarasan
rasa bersama, bekerjasama
hingga masyarakat penuh bahagia dan harmoni?
Oleh itu kemenangan kamu masih di dalam persoalan
Kemenangan kamu jangan-jangan
di dalam kemurkaan Tuhan
bukan keredhaan Tuhan
Tolong ambil perhatian
Menjelang Maghrib
30 - 08 - 2004
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi |
No comments:
Post a Comment