Thursday, 21 April 2011

Bacalah Atas Nama Tuhanmu

1. Apabila manusia mengingkari Tuhan
2. Bacalah atas nama Tuhan
3. 1. Baca
4. 2. Atas nama Tuhan
5. Berbuat kerana selain Tuhan punca perpecahan
6. Bencana akibat berkemajuan kerana selain Tuhan


Umat manusia di akhir zaman, sama ada yang Islam, bukan Islam, pemimpin, ulama mahupun rakyat jelata, semuanya sudah jauh daripada matlamat hidup sepertimana yang dikehendaki oleh Tuhan. Tuhan sekadar disebut-sebut di lidah sahaja, bukan dari hati yang penuh cinta dan takutkan-Nya. Islam hanya sebagai slogan bukan untuk diamalkan.

Kerana itulah kemurkaan Tuhan pun datang ke atas kehidupan manusia dalam berbagai-bagai bentuk dan sangat menakutkan. Ia terjadi dengan tujuan sama ada hendak menghukum manusia ataupun hendak menyedarkan manusia. Ia mengingatkan manu­sia agar kembali kepada Tuhan.

Namun demikian manusia masih dengan halatuju hidup yang sama dan enggan kembali kepada Tuhan. Buktinya apabila hendak menyelesaikan sesuatu masalah manusia merujuk dengan akal semata-mata, bukan merujuk kepada wahyu dari Tuhan.

Apabila manusia mengingkari Tuhan

Al Quran memaparkan kedegilan umat-umat para rasul dan nabi sebelum Nabi Muhammad SAW. Umat Nabi Nuh, umat Nabi Idris, umat Nabi Musa, umat Nabi Lut, umat Nabi Isa dan lain-lain begitu ingkar dengan rasul mereka dan Tuhan. Sedangkan Tuhan sudah hukum, sudah datangkan berbagai-bagai bencana, namun mereka tidak sedar dan tidak insaf juga. Bahkan mereka makin memusuhi para rasul dan nabi.

Rupa-rupanya apa yang berlaku sekarang, watak manusia sama sahaja. Kalau dulu degil, sekarang pun degil. Kalau dulu mereka mengancam orang yang membawa mesej dari Tuhan, sekarang juga berlaku penentangan terhadap kekasih-kekasih Tuhan. Sama ada secara sedar atau secara tidak sedar, manusia kini juga sangat menderhakai Tuhan.

Bahkan pada pandangan saya, sebahagian umat kini lebih jahat dari umat dahulu. Mengapa? Orang dulu buat jahat tidak dikait­kan dengan Tuhan, tidak dikaitkan dengan Islam. Sekarang ada yang buat jahat dengan menjual nama Islam dan nama Tuhan. Islam dikedepankan hanya dari segi percakapan, tetapi perbuatan mereka sangat bertentangan dengan ayat Tuhan. Hasilnya orang awam dan orang yang jahil tentang Islam jadi terkeliru. Dulu orang tidak terkeliru. Contoh, Namrud menentang Islam bukan atas nama Islam. Abu Jahal menentang Islam pun bukan juga atas nama Tuhan.

Pada saya jenayah paling besar di akhir zaman adalah apabila orang buat jahat atas nama Islam, orang buat ingkar atas nama Tuhan dan orang menghancurkan Islam atas nama Islam. Inilah bala akhir zaman dan inilah dia pancaroba akhir zaman.

Kerana itulah di kurun ini Tuhan akan utuskan orang-Nya. Iaitu pemimpin dari Tuhan dan pengikut-pengikut pemimpin itu juga dari Tuhan, untuk mencabar apa yang ada sekarang. Me­reka akan menunjukkan jalan menuju Tuhan melalui syariat Tuhan.

Bacalah atas nama Tuhan

Sekiranya umat Islam ikhlas dalam segala hal, di dalam kehi­dupannya maka cara hidup, cara berkemajuan, cara membangun, cara berjuang adalah mudah dan indah sahaja. Tuhan berfirman di dalam surah Al ‘Alaq:

Maksudnya: “Hendaklah kamu membaca atas nama Tuhanmu yang menciptakan.” (Al ‘Alaq: 1)

Mengapa di dalam ayat ini Tuhan tidak berkata, hendaklah kamu maju atas nama Tuhan? Mengapa Tuhan tidak berkata, berjuanglah atas nama Tuhan? Mengapa Tuhan tidak berkata, hiduplah atas nama Tuhan, membangunlah atas nama Tuhan, berekonomilah atas nama Tuhan? Mengapa Tuhan memilih perkataan, “Bacalah atas nama Tuhanmu?”

Di sini ada dua perkara yang akan dibahaskan iaitu:

1. Baca

2. Atas nama Tuhan

1. Baca

Bila kita gunakan falsafah akal, membaca maksudnya belajar. Tuhan kata belajar, kerana dengan belajar dapat ilmu. Dari ilmu kita boleh membangun. Tanpa ilmu tidak boleh membangun. Tanpa ilmu, kita tidak boleh berjuang. Tanpa ilmu, tidak boleh maju. Tanpa ilmu, kita tidak boleh bangunkan pendidikan. Itulah sebenarnya maksud bacalah yang diperintahkan Tuhan melalui ayat ini.

Ertinya Tuhan pilih perkataan yang paling tepat tetapi isinya syumul, menyeluruh dan global. Semuanya bersumber dari situ. Hendak maju dari ilmu, hendak berjuang dengan ilmu, hendak bangunkan ekonomi, pun dengan ilmu. Pendidikan dan kebu­dayaan juga dibangunkan dengan ilmu. Ilmu diperolehi dari membaca dan belajar.

Fahamlah kita kalau digunakan perkataan, ‘Hendaklah kamu membangun atas nama Tuhan,’ itu tidak syumul. Begitu juga perkataan berjuang atas nama Tuhan dan lain-lainnya. Tetapi apabila Tuhan mengambil perkataan, ‘Hendaklah kamu baca atas nama Tuhan,’ barulah syumul. Hasil membaca, kita mendapat ilmu dan jadi pandai, boleh membangun dan sebagainya. Kalau tidak ada ilmu, bagaimana hendak maju, membangun, berke­budayaan dan berekonomi? Ertinya akal boleh menerima bahawa dalam hidup ini hendak maju di sudut mana pun mesti bertitik tolak dari ilmu dan ilmu itu adalah hasil daripada membaca dan belajar.

2. Atas nama Tuhan

Di sini seolah-olah Tuhan berkata: “Belajarlah, majulah, berjuang­lah, membangunlah, berekonomilah, berpendidikanlah, berke­budayaanlah, mentadbirlah dan berhiburlah, semuanya mesti dilakukan atas nama Aku. Dunia ini Aku punya. Semua makhluk kepunyaan-Ku. Lalu kalau hendak bertindak dari sudut mana pun mesti dengan cara Aku. Jangan sekali-kali ikut cara kamu.”

Beginilah indahnya bilamana Tuhan telah beri satu formula dan anak kunci kepada manusia yang berbagai etnik dan bangsa. Iaitu apabila hendak bangunkan dunia melalui ekonomi, kebudayaan, kemajuan, supaya tidak bergaduh, tidak berperang sesama sendiri maka mestilah dibuat atas nama Tuhan.

Tuhan adalah pengikat, anak kunci kepada perpaduan sejagat. Kalau semua orang, semua etnik, semua bangsa, membangunkan dunia walau di sudut dan aspek mana pun atas nama Tuhan, ia akan terikat atas dasar Tuhan. Ia akan maju dengan selamat, membangun dengan selamat, berekonomi dengan selamat dan berkebudayaan dengan selamat. Kerana masing-masing semuanya menuju Tuhan. Tidak ada permusuhan dan tidak ada pergaduhan.

Berbuat kerana selain Tuhan punca perpecahan

Bilamana manusia belajar bukan atas nama Tuhan, mendapat ilmu bukan atas dasar Tuhan, hasil ilmu itu pula ia maju bukan kerana Tuhan, membangun, berekonomi, berjuang, berkebu­dayaan juga tidak atas nama Tuhan, maka dunia akan rosak dan kehidupan manusia akan jadi huru-hara.

Mengapa? Kerana kemajuan di sudut mana pun sangat mempengaruhi individu, keluarga, etnik dan bangsa. Bilamana manusia belajar, berilmu dan kemudian membangun atas nama peribadi masing-masing, keluarga masing-masing, kepentingan kelompok masing-masing, etnik masing-masing dan bangsa masing-masing, maka di situ sudah ada unsur perpecahan.

Kalau ada dua orang yang masing-masing berbuat di atas kepentingan diri masing-masing, di situ pun boleh berlaku per­saingan yang tidak sihat. Itu baru dua individu dengan kepen­ting­an masing-masing. Bagaimana kalau banyak kelompok, banyak etnik, banyak bangsa dan banyak ideologi? Bayangkan berapa ribu etnik yang ada di dunia? Bayangkan kalau antara bang­sa dengan bangsa, ideologi dengan ideologi, hendak rebut dunia yang hanya satu sahaja.

Umpama kalau kita ke gelanggang silat tapi tidak diprogram­kan, tidak disistemkan dan tidak diaturkan. Siapa suka boleh ber­silat dengan rentak masing-masing sama ada Silat Gayung, Silat Jawa atau Silat Cekak. Maka akan bergaduh dan huru-hara­lah di gelanggang itu.

Dunia ini adalah gelanggang tempat manusia bersilat dan menyajikan pelbagai kemajuan. Kalau tidak didisiplinkan atas nama Tuhan, masing-masing berbuat dengan ilmu masing-masing maka hasilnya inilah yang berlaku di dunia sekarang. Akibatnya tiada siapa yang senang dan tenang. Manusia sedang sakit dan dalam kepayahan.

Apalah erti maju jika hidup dalam keadaan huru-hara dan ketakutan. Apalah erti maju jika peperangan terus berlaku. Apalah erti maju jika penyakit dan gejala sosial terus bertambah. Semua­nya Tuhan lakukan adalah untuk menghukum manusia yang derhaka kepada Tuhan.

Bencana akibat berkemajuan kerana selain Tuhan

Sekiranya manusia bertindak membangunkan dunia walau di aspek mana pun, jika bukan atas nama Tuhan, itu dikatakan syirik dengan Tuhan. Syirik bukan hanya bermaksud menyembah ber­hala. Itu adalah syirik jali (syirik besar).

Beribadah dan berbuat segala sesuatu kerana selain Tuhan adalah syirik khafi (syirik tersembunyi). Membangunkan ekonomi bukan atas nama Tuhan adalah syirik. Berkebudayaan bukan atas nama Tuhan, juga adalah syirik. Berpendidikan dan berjuang bukan atas nama Tuhan adalah syirik. Sebab itulah Tuhan murka lantas Tuhan turunkan bala sehingga berlaku huru-hara, perga­duhan dan peperangan di kalangan manusia.

Memang dunia bertambah maju tetapi manusia sentiasa di dalam ketakutan dan kebimbangan. Memang dunia maju tetapi di dalam bahaya. Apalah erti semua kemajuan dan kemodenan itu? Kalau kita bandingkan sejarah manusia di zaman kuno dengan zaman moden ini, walaupun ramai manusia yang cerdik di zaman ini tetapi sentiasa ditekan ketakutan dan kebimbangan. Waktu kini ramai manusia yang bunuh diri. Empat ribu tahun dahulu, manusia tidak bunuh diri. Mengapa di zaman ramai orang pandai dan berkemajuan, ramai yang bunuh diri? Kerana ke­majuan itu tidak boleh mengubat orang yang sakit jiwa malahan ia menjadi penyebab kepada penyakit jiwa.

Jiwa manusia sudah kosong dari rasa cinta dan takut kepada Tuhan. Bahkan manusia sudah tidak kenal Tuhan dan tidak da­pat merasakan Tuhan berperanan di dalam setiap detik dan aspek kehi­dupan insan. Manusia sudah lupakan Tuhan sebagai tempat mengadu dan tempat bergantung. Maka jalan keluarnya adalah bunuh diri.

Jadi, umat Islam kalau hendak berbuat apa pun mestilah atas dasar:

a. Ilmu

b. Atas nama Tuhan

Ianya satu formula yang mudah dan indah. Dunia boleh sela­mat, manusia boleh selamat dan pembangunan boleh selamat bila pembangunan dibuat atas nama Tuhan dan kerana Tuhan. Buatlah apa pun, majulah, membangunlah tetapi biarlah atas nama Tuhan. Ini sesuai dengan ikrar kita setiap hari kepada Tuhan di dalam sembahyang:

“Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku kerana Allah pentadbir sekalian alam.” (Al An’am: 162)

Sajak

Sampai Masanya Datang Penyelamat

Apakah sudah berlaku di dunia hari ini?

Dunia yang serba maju dan cantik

serta alat-alat kehidupan yang canggih

Perangai-perangai manusia

satu sama lain susah-menyusahkan

Satu sama lain prejudis sesama

kerana hati sudah terlalu rosak

Rakyat menyusahkan pemerintahnya

dengan demonstrasi, selalu tidak taat

dan mengata dan menista di belakangnya

Bukan itu sahaja

rakyat selalu melakukan berbagai-bagai jenayah menyusahkan pemerintahnya

Pemerintah juga menyusahkan rakyatnya

dengan ketidakadilannya

kurang bertanggungjawab

rakyat dibiarkan pemerintah

Orang kaya pula menyusahkan orang miskin

dengan tamak, bakhil, mementingkan diri

tidak pemurah kepada mereka

Mereka terbiar miskin dan papa

depan mata orang kaya

dan korporat-korporat negara

Rakyat pula menyusahkan mereka

dengan kidnap diri atau keluarganya

atau merosakkan barang-barang

kepunyaan mereka

Adakalanya rakyat marah kepada mereka

lalu dibunuhnya

Menjadikan orang kaya takut sahaja

bimbang setiap masa

hendak berjalan seorang curiga sahaja

Guru-guru dengan murid-murid pun

satu sama lain susah-menyusahkan

Murid tidak aman kerana guru

guru juga tidak aman dengan murid-muridnya

Murid-murid tidak taat, degil

tidak ikut peraturan guru

menjadikan susah dibuatnya

Guru-guru juga tidak berakhlak di depan murid

tidak ada kasih sayang, murid pula yang terseksa

Bahkan di kalangan keluarga berlaku juga

susah-menyusahkan sesama keluarga

Suami menyusahkan isteri

kerana kurang bertanggungjawab

isteri meradang

Isteri juga tidak begitu taat dan hormat

dengan suaminya bahkan cakap pun tidak disukat

Selalu sahaja berleter dengan suaminya

masam muka selalu sahaja

Suami pula terseksa dibuatnya

Berlakulah seksa-menyeksakan satu sama lain

di dalam keluarga sedangkan hidup bersama

Begitulah juga ayah dan ibu

menyusahkan anak-anak kerana kasar mendidik

di samping kurang tanggungjawabnya

Anak-anak juga menyusahkan ibu dan ayahnya

kerana hidup sudah liar

dan tidak mendengar kata

Masing-masing ada program yang tersendiri

maka terjadilah singgung-menyinggung

satu sama lain di dalam keluarga

Begitulah seterusnya manusia

di dunia yang maju ini

satu golongan dengan golongan yang lain

susah-menyusahkan di dalam negara

Kalau orang politik apatah lagi sangat jahatnya

satu parti dengan satu parti satu sama lain

susah-menyusahkan

Kata-mengata, tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah

jatuh-menjatuhkan jadi budaya hidup

Susah-menyusahkan sesama mereka

hingga sampai bunuh-membunuh

Tidak kurang juga buruh dengan majikan

susah-menyusahkan di antara dua puak

Majikan kurang bertanggungjawab, buruh susah

buruh-buruh pula mencuri tulang, mencuri barang

majikan pula meradang

Kadang-kadang buruh menunjuk perasaan

terhadap majikan

majikan pula tidak mahu lebih kurang

Kalau sudah semua golongan dan puak

bertentangan dan berbalah

semua golonganlah yang susah

Kasih sayang gersang, pecah ukhwah

perpaduan renggang, lemahlah kekuatan bangsa musuh dapat mencelah akibat pecah belah

Kalau sudah semua golongan bermasalah

siapakah yang akan menjadi orang tengah?

Jika sudah semua puak berbalah

siapa lagikah yang menjadi penyelamat

kerana semuanya sudah tidak selamat

Maka kita tunggulah pemimpin dari Tuhan

bukan dari rakyat yang akan menjadi penyelamat

Sekarang sudah sampai masanya pemimpin dari Tuhan datang sebagai penyelamat umat

Menjelang Maghrib

10 - 08 - 2004

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment