Thursday, 21 April 2011

Istiqamah

Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah Hadis:
Maksudnya: "Amal kebaikan yang disukai Allah ialah yang sentiasa dilakukan walaupun sedikit." (Riwayat Bukhari)
Rasulullah menyuruh kita istiqamah dalam melihat kecacatan dan membaikinya. Juga dalam membuat kebaikan. Istiqamah sangat penting dalam semua hal. Sebab itu ada kata-kata ulama yang mengatakan:
"Janganlah engkau meminta untuk jadi wali tetapi mintalah untuk istiqamah."
Mengapa? Kerana istiqamah itu ciri seorang wali. Kalau kita boleh istiqamah, automatik jadi wali. Kalau kita minta jadi wali tetapi tidak boleh istiqamah, maka kita tidak akan jadi wali. Jadi kita mesti minta pada Allah agar kita boleh istiqamah dalam hal membuat kebaikan dan menjauhi maksiat supaya ciri wali itu ada pada kita.
Mengapa istiqamah itu mudah menyebutnya tetapi susah mengamalkannya? Sebab Rasulullah sudah sebut bahawa istiqamah itu ciri wali. Senangkah hendak jadi wali? Tentu susah. Maka susahlah hendak istiqamah kerana ia adalah ciri wali. Dalam Hadis tadi, Rasulullah berkata sebaik-baik amalan ialah yang sentiasa dilakukan walaupun sedikit. Kalau kita kaji, mungkin di situ ada dua hikmahnya iaitu:
1. Kita hendak tunjuk pada Tuhan, kita sukakan amalan itu. Sedangkan kalau kita tidak istiqamah, seolah-olah kita benci atau jemu dengan amalan itu. Tuhan tidak jemu beri pahala jadi mengapa kita jemu beramal?
2. Sesuatu amalan itu, walaupun sedikit tetapi ia beri kesan pada roh kita kalau kita istiqamahkan.

Istiqamah tentang perintah suruhan ada yang lahir dan ada yang batin. Ada yang fardhu dan ada yang sunat. Begitu juga perintah meninggalkan maksiat. Ada maksiat batin dan ada maksiat lahir.
Kita hendak perkatakan dulu tentang perintah suruh yang lahir. Yang utama tentulah perkara-perkara fardhu seperti sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, berzakat dan naik haji. Kita ambil contoh sembahyang sebab ia ibu segala ibadah yang lahir. Sembahyang itu bukan sahaja disuruh istiqamah melakukannya yakni kalau sudah sembahyang maka teruskan sembahyang, bahkan disuruh istiqamah di sudut sembahyang meliputi pelbagai aspek. Tidak bolehlah kita istiqamah dalam aspek-aspek tertentu sahaja sedangkan kesempurnaan istiqamah itu adalah dalam semua aspek. Kita tidak boleh kata kita sudah istiqamah sembahyang padahal ada aspek berkaitan sembahyang yang kita tidak istiqamahkan. Di antara istiqamah dalam mengerjakan sembahyang ialah:
1. Sembahyang di atas waktunya (awal waktu). Kalau kita boleh sembahyang di awal waktu, teruskan di awal waktu. Jangan sekejap awal waktu, sekejap lewat.
2. Dilakukan secara berjemaah. Jangan sekejap berjemaah, sekejap tidak.
3. Ketertiban dalam sembahyang. Kalau kita memang jenis sembahyang yang tertib, slow and steady, teruskan. Jangan sekali-sekala tertib, sekali-sekala laju.
4. Menghayatinya. Kadang-kadang kita hayati, mendalam rasa masa sembahyang tetapi kadang-kadang sembahyang tidak rasa apa-apa. Sembahyang yang lahir sahaja. Istiqamahkanlah menghayati sembahyang itu.
5. Kalau kita istiqamah sembahyang sunat rawatib, teruskanlah kerana ia menampal kecacatan sembahyang fardhu.

Beristiqamah dalam sembahyang sunat sama juga seperti sembahyang fardhu. Sedangkan istiqamah itu antara ciri kewalian. Itulah jenis-jenis istiqamah dalam sembahyang. Jadi kalau kita faham konsep istiqamah pada sembahyang ini maka kiaskanlah juga pada puasa dan zakat kecuali naik haji. Haji tidak perlu istiqamah sebab ianya cukup dilaksanakan sekali dalam hidup. Kiaslah dengan ibadah yang lain.
Kemudian kita akan huraikan pula tuntutan istiqamah terhadap perkara rohaniah. Ini susah kerana untuk istiqamah terhadap perkara yang lahir pun susah. Di antara perkara rohaniah yang hendak diistiqamahkan ialah:

1. Rasa bertuhan.
Senangkah kita hendak istiqamah untuk kekalkan rasa bertuhan? Kalau waktu di rumah, kita ada rasa bertuhan tetapi waktu berjalan hilang rasa itu.
2. Rasa kehambaan
Begitu juga rasa kehambaan. Perasaan kita terhadap Tuhan seperti rasa takut, rasa lemah, rasa hina, itu mesti istiqamah dan berterusan. Itu lagi susah. Katalah rasa itu ada tetapi bila disoal polis, bertukar rasa itu dari takutkan Tuhan kepada takutkan polis. Kita ini jenis mudah bertukar-tukar rasa. Kadang takut dengan Tuhan, kadang takut dengan polis.
3. Rasa malu
Rasa malu juga susah untuk istiqamah dan dirasakan secara berterusan. Kadang-kadang kita malu dengan Tuhan, kadang-kadang tidak malu dengan Tuhan tetapi lebih malu bila berdepan dengan menteri.
4. Sabar.
Tidak mudah untuk berterusan bersabar. Susah hendak istiqamah dalam bersabar. Kadang-kadang kita sabar, kadang-kadang tidak sabar. Dengan kawan boleh sabar tetapi dengan anak isteri tidak boleh sabar. Dengan orang lain boleh sabar tetapi dengan anak murid, asyik hendak penampar.

Demikianlah juga dengan redha dan lain-lain sifat rohaniah. Memang susah hendak istiqamah dengan amalan batin. Rasulullah SAW ada bersabda:
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah Taala tidak memandang gambaran rupa kamu dan tidak kepada bangsa kamu dan tidak kepada harta benda kamu tapi Dia memandang batin kamu dan amalan-amalan kamu." (Riwayat At Tabrani)
Sudahkah kita istiqamah dengan yang batin, yang Allah lihat itu? Yang lahir agak mudah untuk diistiqamahkan. Contohnya kalau kita seorang guru, kita mengajar dan akan terus mengajar. Bagi yang berdakwah, terus berdakwah dan yang berjuang, terus berjuang. Itu yang lahir. Untuk istiqamah yang batin, awal-awal lagi diberitahu, ianya memang susah.
Kita ada usaha lahir dan usaha batin. Usaha batin inilah yang sangat sulit. Sila ambil ingatan. Kadang-kadang ilmu begini kita tidak sedar dan kita tidak ambil berat. Kalau kita buat sungguh-sungguh perintah Tuhan dalam melaksanakan amalan tetapi kadang-kadang tidak berjaya, mungkin Allah maafkan. Tetapi kalau kita terasa susah hingga kita rasa tidak mahu masuk jadi calon wali, sehingga putus asa dengan Tuhan, itu dosa besar. Ini adalah termasuk kesalahan yang tersirat, yang ramai orang tidak faham.
Melakukan perkara yang dilarang oleh Allah adalah dosa. Dosa ada dua yakni dosa lahir dan dosa batin. Perlu istiqamah dalam meninggalkan maksiat lahir dan batin ini. Di antaranya ialah:
1. Kalau kita tidak menipu, teruskan. Istiqamahkan tidak menipu itu.
2. Begitu juga dengan mencuri atau mengumpat. Istiqamahlah meninggalkannya. Yang lahir mudah untuk kita tinggalkan tetapi yang batin lebih susah.
3. Rasa tidak sabar, itu dosa batin. Syirik khafi itu dosa batin. Contohnya, setelah banyak kali gagal dalam usaha kita, kita pun mula persoalkan Tuhan. Demikian juga bila dapat kejayaan, rosak hati. Terasa itu dari kemampuan kita, bukan dari Tuhan. Jadi syirik khafi itu kalau kita mula tinggalkannya maka tinggalkan terus kerana ia adalah salah satu dari maksiat batin. Istiqamahlah meninggalkannya.
4. Begitu juga kalau kita tidak ada prejudis dengan orang, teruskan, pertahankan sifat itu. Kalau kita sudah dapat kawal hasad dengki, teruskan mengawalnya. Begitu juga dengan berdendam.

Demikianlah antara contoh-contohnya. Jadi kalau menunaikan perintah suruh yang bersifat batin itu susah untuk diistiqamahkan maka sama halnya dengan hendak istiqamah meninggalkan maksiat batin. Kalau kita rajin baca kitab, kita akan tahu bahawa orang yang banyak ibadah, dia dikategorikan sebagai abid bukan wali. Sebab abid adalah seorang yang istiqamah dalam ibadah lahir. Ini dapat dibuktikan dengan sejarah Barsisa, seorang abid yang mati kafir sedangkan kadar ibadah lahirnya, malaikat pun terkejut. Tetapi ibadah batinnya tidak boleh dikawal sehingga dia mati kafir. Begitu juga seorang abid lagi iaitu Bal'am. Akhirnya dia mati setelah berbuat maksiat.
Kalau kita lihat seseorang itu kuat beramal secara lahir, jangan kata dia wali. Katalah dia abid sebab belum tentu dia istiqamah dengan amalan batinnya. Wali itu diukur istiqamahnya pada amalan batinnya. Membahaskan istiqamah dalam hal batin ini sangat sulit. Untuk kekalkan yang lahir seperti sembahyang berjemaah pun susah apatah lagi yang batin.
Katalah dalam hal hendak istiqamah sembahyang berjemaah itu, dia boleh berterusan berjemaah dalam empat bulan, tetapi belum tentu dia boleh kawal yang batin. Kalau ada di dunia ini orang yang boleh istiqamah terhadap hal-hal lahir dan batin, maka sahlah dia wali.


Sajak

Istiqamah

Ada orang lahirnya ibadah para-para wali
Tapi hatinya syaitan
Ada orang ibadah lahirnya ibadah para wali
kerana banyaknya
Tapi hatinya haiwan
Ada orang ibadah lahirnya
ibadah biasa sahaja, tidaklah banyak
Tapi hatinya adalah hati wali
Ada orang ibadah lahirnya adalah ibadah para wali
hatinya juga hati wali
Orang jadi wali adalah faktor hatinya
sekalipun yang lahir
ibadah yang wajib-wajib sahaja
Orang jadi wali bukan faktor ibadah lahirnya

Tapi orang jadi wali adalah faktor hatinya
Fikirannya bersih, rohnya bersih
nafsu sangat terdidik
Kalau orang boleh beristiqamah
dengan hukum-hukum yang wajib
pun boleh jadi dapat pangkat wali
Kerana mengekalkan istiqamah itu tidak mudah
Ia adalah sifat para wali sahaja
Kerana hendak mengekalkan istiqamah
40 hari sahaja pun payah dapat
Betapalah hendak kekalkan istiqamah
selama 40 tahun
Atau sepanjang umur kita
dari sejak baligh lagilah payahnya
Nabi ada bersabda yang bermaksud
kalau tidak silap saya
"Janganlah engkau minta jadi wali tapi mintalah istiqamah."
Kerana istiqamah itu salah satu ciri para wali
Di antara ciri-ciri hati wali itu mengikut Al Quran:
"Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah itu
tidak takut ke atas mereka itu hal-hal dunia
dan mereka tidak berdukacita
hendak berhadapan dengan hari kematian."

Menjelang tidur
30 - 09 - 2004

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment