2. 1. Pemimpinnya dijanjikan
3. 2. Keturunan pemimpin dijaga
4. Ciri-Ciri yang Lahir
Tidak ada orang yang tidak sukakan kebenaran. Kebenaran adalah kehendak bersama atau milik bersama. Kebenaran itu mahal sebenarnya. Kebenaran itu hebat. Kebenaran itu ajaib. Kebenaran itu adalah sesuatu yang indah, tenang, menyenangkan, bahagia dan harmoni.
Begitulah sifat atau watak kebenaran. Jadi kalau begitu tentu semua orang mengkehendakinya. Semua bangsa, etnik, agama perlukannya sebab ia indah, senang, menyenangkan, tenang dan menenangkan. Jadi kebenaran yang hebat itu menjadi keperluan bersama manusia. Kebenaran yang dimaksudkan adalah:
- Kasih sayang
- Keadilan
- Perikemanusiaan yang amat tinggi
- Rasa bersama dan bekerjasama
- Kesatuan dan perpaduan
- Mengutamakan orang lain dan bertolak ansur
- Ilmu pengetahuan yang membawa kebaikan
- Merendah diri pada Tuhan dan sesama manusia
- Memikirkan kepentingan orang lain
- Sangat simpati dengan orang susah, orang yang mendapat kemalangan dan orang yang mendapat ujian.
Itulah sebahagian daripada kebenaran. Inilah yang dunia mahukan. Ini yang dunia kehendaki semenjak dari Nabi Adam hingga hari ini. Bahkan hingga dunia ini dikiamatkan oleh Tuhan nanti. Walaupun begitu, hendak mendapatkan kebenaran dalam kehidupan amat sulit. Kalaupun dapat, hanya satu atau dua perkara sahaja. Manusia inginkan kebenaran tetapi manusia tidak menemuinya. Itu menunjukkan kebenaran itu tidak mampu manusia cipta. Kebenaran itu bukan ciptaan manusia.
Kebenaran adalah dari Tuhan. Sebagaimana firman-Nya di dalam Al Quran:
Maksudnya: “Sesungguhnya kebenaran dari Tuhanmu maka janganlah engkau menolak.” (Ali Imran: 60)
Ertinya kebenaran bukan ciptaan manusia tetapi ia dari Tuhan yang diberikan kepada manusia. Bagi mendapatkan kebenaran dari Tuhan untuk keperluan bersama manusia, Tuhan mensyaratkan kebenaran itu mesti diperjuangkan. Kalau kebenaran itu tidak diperjuangkan maka kebenaran itu tidak akan dapat dimiliki oleh manusia. Sebab itulah sehingga hari ini, kebenaran yang sempurna, yang lengkap, yang serba ada, belum dimiliki oleh manusia. Kerana itulah manusia hari ini hidup tidak menentu. Hidup dalam derita. Berlaku krisis demi krisis dan tidak ada ketenangan. Bahkan di rumah-rumah ibadah pun tidak ada ketenangan. Kecuali hanya berlaku sekali-sekala seperti di zaman Rasulullah SAW.
Mahalnya kebenaran itu. Semua orang perlukannya tetapi sangat susah untuk dimiliki kerana ia adalah anugerah dari Tuhan. Kalau manusia mahu memilikinya, hendaklah diperjuangkan kebenaran itu.
Perjuangan kebenaran
Memperjuangkan kebenaran melalui sebuah jemaah yang dipimpin oleh seorang pemimpin bukan satu perjuangan yang kecil. Ia satu perjuangan yang hebat kerana kebenaran itu dari Tuhan.
Apa yang datang dari Tuhan; yang hendak diperjuangkan melalui jemaah supaya kebenaran itu dapat dimiliki oleh manusia sejagat; bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan seorang pemimpin yang bukan calang-calang pemimpin. Mestilah pemimpin itu ditunjuk oleh Tuhan. Kalau pemimpin itu tidak ditunjuk oleh Tuhan, tidak mungkin kebenaran itu dapat dipersembahkan kepada dunia hingga boleh diterima oleh masyarakat dunia dan menjadi hak bersama. Hingga masing-masing dapat kebahagiaan bersama.
Padahal jemaah-jemaah yang wujud di dunia sejak dulu hingga sekarang ataupun parti-parti yang wujud dari dulu sampai sekarang, semua berkata hendak perjuangkan kebenaran dengan membawa berbagai-bagai nama dan istilah. Namun kebenaran yang hendak dicari dan diperjuangkan itu tidak pernah ditemui. Yang berlaku hanya kekacauan, ketidakadilan, haru-biru dan krisis sana sini. Makin berjuang, makin lahir berbagai-bagai krisis dan kekacauan.
Kalau bukan melalui pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan, kebenaran dari Tuhan itu tidak dapat disajikan ke tengah masyarakat. Jadi pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan sahajalah yang akan mampu memperjuangkan kebenaran itu. Yang paling utama pemimpin itu ialah para rasul. Tapi berlaku juga dalam sejarah orang yang bukan rasul boleh membawa kebenaran iaitu membawa keindahan hidup yang sempurna. Antaranya Tholut, Zulkarnain, para Khulafaur Rasyidin yang memimpin selepas wafatnya Rasulullah, Sayidina Umar Ibnu Aziz, Salahudin Al Ayyubi dan Muhammad Al Fateh.
Jadi kebenaran hak bersama, hak semua orang, hak semua etnik, hak semua bangsa dan hak semua agama. Maka sebab itu pemimpinnya mesti ditunjuk oleh Tuhan. Kalau tidak, tidak akan mampu melaksanakannya.
Kalau kebenaran itu sudah terserlah, ia akan mudah diterima. Kalau kebenaran itu sudah meluas, maka tidak susah orang memahaminya sebab keindahannya sudah dapat dirasai bersama. Kalau ada yang menentang pun, itu golongan minoriti yang ada kepentingan dan hasad dengki. Majoritinya mudah untuk menerima.
Yang susah dalam perjuangan kebenaran adalah waktu hendak memulakannya atau waktu hendak diasaskan yakni waktu kebenaran itu belum nampak lagi. Peringkat ini amat sulit dan amat susah. Kalau pemimpin itu tidak sabar dan tidak mempunyai ilmu yang cukup, dia tidak mungkin boleh buat. Sebab itu hanya pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan sahaja yang boleh melakukannya kerana pemimpin itu sentiasa dimonitor dan dibacking oleh Tuhan.
Sungguh mahal kebenaran. Hanya pemimpin yang Tuhan tunjuk yang boleh melaksanakannya. Kalau tidak, keadaan akan haru-biru dan kacau-bilau. Kalau kebenaran itu sudah terserlah, sudah nyata, itu mudah. Tetapi waktu hendak diasaskan yakni waktu hendak bermula, sangat besar cabarannya. Terutama apabila penguasa-penguasa dunia menganggap perjuangan kebenaran itu satu kejahatan, satu perjuangan yang membawa huru-hara, yang mengancam dan mencabar keselamatan di sesebuah negara. Sebab itu dikatakan hanya orang yang ditunjuk oleh Tuhan sahaja yang boleh melakukannya.
Ciri-ciri perjuangan kebenaran
Sebelum terserlah kebenaran, bagaimana kita hendak pastikan sesuatu perjuangan itu membawa kebenaran? Peringkat awal itu yang susah, iaitu untuk pastikan benar atau tidak benarnya perjuangan itu. Oleh itu kita mesti tahu apakah buktinya perjuangan itu membawa suatu kebenaran. Dan apa buktinya bahawa pemimpinnya ditunjuk oleh Tuhan terutama kalau dia bukan rasul. Dalam erti kata yang lain, apa buktinya dia adalah mujaddid. Perlu dikenal pasti ciri-ciri kebenaran secara umum sama ada pada pemimpinnya, pengikutnya dan jemaahnya. Ini penting. Kalau tidak nanti, yang benar dikata tidak benar dan yang tidak benar dikata benar. Yang benar ditentang manakala yang tidak benar diterima. Di sini akan disebutkan ciri-cirinya secara umum sama ada pada para pemimpinnya, pengikutnya atau jemaahnya.
Ciri-ciri kebenaran itu ada dua kategori iaitu:
1. Ciri yang tersirat
2. Ciri yang lahir
Ciri-Ciri yang Tersirat
Terhadap perkara-perkara yang tersirat, payah untuk dikenal pasti. Kecuali oleh orang-orang yang rapat dengan perjuangan dan pemimpin. Jadi tidak semua orang tahu sebab ia sangat tersembunyi dan tersendiri. Manakala ciri yang lahir, lebih mudah dilihat. Walaupun ciri-ciri yang tersirat itu payah untuk dikenal pasti tetapi ianya akan disebutkan juga di sini. Di antaranya:
1. Pemimpinnya dijanjikan
Memang kebenaran itu datangnya dari Tuhan. Jadi, ia sudah dimonitor oleh Tuhan sebelum wujudnya jemaah. Itu yang dikatakan tersirat. Hanya orang tertentu yang nampak. Dalam jemaah, yang paling penting ialah pemimpin. Tanpa pemimpin, jemaah tidak dapat digerakkan. Jadi pemimpin ini Tuhan sudah monitor sejak dia belum lahir lagi. Hal ini dapat dikesan oleh sesetengah orang yang Tuhan beritahu. Contohnya, datuk atau ayahnya, orang-orang soleh di zaman itu atau tokoh-tokoh rohani yang memberitahu bahawa akan lahir dari sulbi ini orang yang begini-begini. Ertinya, sebelum lahir pemimpin itu lagi, pelbagai bangsa sudah mendapat isyarat. Bila lahir pemimpin itu, lebih-lebih lagi mereka dapat kenal pasti. Contoh-contohnya:
a. Pemimpin yang paling utama adalah Rasulullah SAW. Sebelum baginda lahir lagi sudah ramai orang yang tahu. Namanya pun sudah diberitahu, dari bangsa apa dan dari mana. Hal itu terkenal dalam sejarah. Inilah ciri tersirat yang dimaksudkan.
b. Ia juga berlaku kepada pemimpin yang ditunjuk Tuhan, sekalipun dia bukan rasul. Sebagai contoh, Umar Ibnu Aziz adalah piut kepada Sayidina Umar Al Khattab. Sayidina Umar tidak bertemu dengan Umar bin Abdul Aziz yang jarak antara keduanya dekat 100 tahun. Namun Sayidina Umar sudah diberitahu bahawa akan lahir dari sulbinya, seorang yang akan membawa keadilan memenuhi dunia dan ada tanda di dahinya. Seolah-olah Sayidina Umar nampak, padahal Sayidina Umar bukan rasul dan Umar Abdul Aziz pun bukan rasul.
c. Sewaktu Imam Syafie dijemput bertemu gurunya, Imam Malik, waktu itu umurnya antara 9 ke 12 tahun. Kali pertama bertemu Imam Malik, Imam Syafie dinasihatkan agar menjaga akhlaknya kerana dia ada masa depan, ertinya akan jadi pemimpin. Waktu itu Imam Syafie masih budak tetapi Imam Malik sudah tahu. Rupa-rupanya Imam Syafie menjadi mujaddid yang kedua.
2. Keturunan pemimpin dijaga
Termasuk yang tersirat itu ialah Tuhan menjaga keturunan pemimpin itu. Inilah yang saya maksudkan Tuhan monitor dari jauh lagi. Ratusan dan puluhan tahun sebelum Rasulullah, keturunannya tidak cacat, sama ada dari pihak ibu mahupun ayahnya. Ertinya Rasul dari keturunan yang sangat bersih. Kalau pemimpin yang bukan rasul, keturunannya agak bersih. Kalau Rasul sangat bersih keturunannya. Kalau mujaddid agak bersih. Tuhan jaga keturunannya. Macam orang Yahudi juga, bila hendak lahirkan pemimpin, 200 ke 300 tahun sebelum itu, mereka sudah monitor. Mereka campur-campurkan atau kahwin-kahwinkan sesama orang yang paling jahat hingga lahirlah pemimpin yang jahat yang akan buat kerja untuk mereka.
Bukti jelas adalah Mustafa Kamal Atarturk di Turki. Yahudi monitor kelahirannya 200 tahun sebelumnya bagi melahirkan seorang pemimpin yang boleh hancurkan Islam di Turki. Dicampur-campurkan anak zina dengan dikahwin-kahwinkan anak zina hingga lahirnya Kamal Atarturk. Dia tidak kenal siapa ibu bapanya. Lihatlah bagaimana orang Yahudi belajar dari Tuhan. Orang Islam tidak belajar. Ini kaedah Tuhan. Dari jauh sudah monitor. Tuhan hendak lahirkan orang baik manakala Yahudi hendak lahirkan orang jahat tetapi kaedahnya sama. Begitu dalamnya ilmu orang Yahudi kerana mengambil ilmu Tuhan. Yang kita, buat tidak tahu. Maha Besar Tuhan. Itu yang tersirat.
3. Peribadinya terpelihara
Termasuk yang tersirat, waktu pemimpin itu baru lahir hingga dewasa, nakal macam mana pun, lasak macam mana pun dia namun ada padanya sifat-sifat tertentu yang Tuhan beri supaya jangan sampai dia memiliki sifat-sifat yang jahat. Kalau Rasul sudah tentulah terpelihara. Sebab itu Sayidina Abu Bakar, oleh kerana berkawan dengan Rasulullah sejak kecil, dia nampak betul Rasulullah itu pelik, luar biasa dan ajaib. Seolah-olah baginda itu malaikat berupa manusia. Sebab itu bila Rasulullah isytihar, “Ana Rasulullah”, Sayidina Abu Bakar kata, “Sadaqta – kamu benar.” Sedangkan kawan-kawan yang lain berdolak-dalik hendak terima atau tidak. Sayidina Abu Bakar terus jawab, “Engkau betul.”
4. Ilmunya dari Tuhan
Selain itu yang juga tersirat ialah, pemimpin kebenaran itu, kalau dia rasul, dia dapat 100% ilmunya dari Tuhan. Tapi kalau dia bukan rasul, ilmu yang asas-asas dia dapat dari guru dan tambahan yang banyak-banyak itu, Tuhan ilhamkan. Ini sangat tersirat, yang orang tidak nampak. Hanya tuan punya diri yang tahu. Sebab itu kalau dikatakan sebuah jemaah itu membawa kebenaran, pemimpin itu bawa kebenaran, yang mana dia itu benar-benar ditunjuk oleh Tuhan maka waktu dia memimpin, dia tidak ambil ilmu dari bahan bacaan. Dia tidak kutip-kutip dari apa yang dia dengar. Dia tidak merujuk sana sini. Ilmu itu betul-betul dari dia. Seseorang yang mengambil ilmu dari sumber lain, bukan dari dia sendiri, kalau dia buat jemaah, walaupun niat dia baik tetapi itu bukan kebenaran kerana tidak dibacking dengan ilmu dari Tuhan. Ilmunya bercampur aduk, tidak dari satu line atau satu saluran sahaja. Itulah antara ciri-ciri yang termasuk dalam ciri-ciri yang tersirat tadi.
5. Pemimpin sangat sabar
Di sudut yang lain, pemimpin kebenaran itu sangat sabar. Seorang yang sangat sabar bukan senang untuk dikenal. Kalau bukan Tuhan tunjuk, tidak akan jadi sabar. Sebab itu Tuhan berkata dalam Al Quran:
Maksudnya: “Dan setengah dari kalangan mereka itu kami jadikan pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami setelah mereka sabar.” (As Sajadah: 24)
Jadi orang sabar sahaja Tuhan jadikan pemimpin kebenaran. Itu semuanya tersirat. Payah hendak dikenal pasti. Tapi proses itu berlaku. Orang tertentu atau orang terdekat sahaja yang kenal, seperti anak isterinya.
6. Mendapat bantuan ghaib
Antara ciri yang tersirat lagi ialah pemimpin kebenaran itu dapat bantuan ghaib dari Tuhan. Ini tidak dapat dilihat kerana ia tersirat. Sama ada dari segi ilmu, keselamatannya mahupun makan minum. Nampak macam tidak bekerja tetapi rezekinya dijamin. Kadang-kadang nampak macam hendak ditimpa bahaya tetapi tidak jadi. Adalah sebab-sebab yang menyebabkan tidak jadi. Ini ramai orang tidak faham kerana ia sangat tersirat.
Ciri-Ciri yang Lahir
Kemudian hendak disebutkan pula di sini, ciri-ciri yang boleh dilihat secara lahir yakni:
1. Peribadi pemimpin kebenaran berbeza
Pemimpin kebenaran itu ibadah, akhlak, sikap dan cara hidupnya nampak berbeza dari pemimpin-pemimpin lain. Itu dapat dilihat.
2. Pengikut sangat taat
Selain itu, yang nampak dilihat ialah pengikutnya sangat taat. Bukan saja taat bahkan fanatik. Sehingga orang yang tidak senang merasa sakit hati. Hinggakan kalau zaman Sahabat itu mereka dianggap orang yang bodoh. Terlalu taat dan takut. Ikut sahaja. Apa sahaja yang Rasulullah cakap, para Sahabat ikut. Musuh-musuh Rasulullah ambil peluang dengan berkata bahawa itu mesti sihir dari Nabi Muhammad dan ianya mesti ajaran sesat. Kalau tidak, tidak mungkin pengikut taat melulu.
3. Yang sayang, sangat sayang dan yang benci, terlalu benci
Begitu juga dapat dilihat orang yang benci, benci sangat dan yang sayang, sayang sangat terhadap pemimpin itu. Dua-dua mabuk. Satu mabuk cinta dan satu mabuk benci. Yang satu penyakit cinta, manakala satu lagi penyakit benci. Dua-dua tidak stabil. Yang kanan, kanan sangat manakala yang kiri, kiri sangat. Bagi sesuatu yang tidak terlalu benar, maka orang yang sayang, tidak sayang sangat dan yang benci, tidaklah benci sangat. Itu menunjukkan apa yang dibawa itu kurang benar. Ada orang benci tetapi tidak benci sangat. Ada orang suka tetapi tidak suka sangat. Tidak disebut fanatik atau taksub. Begitulah kita lihat sepanjang sejarah.
4. Pengikutnya tidak ramai
Pemimpin ini, secara lahirnya dilihat pengikutnya sedikit. Pengikut kebenaran tidak ramai tetapi pengaruh pemimpin itu besar. Ciri-ciri perjuangan kebenaran itu jumlah pengikutnya tidak besar tetapi pengaruhnya besar. Kalau bukan perjuangan kebenaran, ahlinya ramai tetapi pengaruhnya sedikit.
5. Sangat berpengaruh
Perjuangan kebenaran itu walaupun ahlinya tidak ramai, oleh kerana ia bersifat sejagat maka semua golongan ada. Bukan Melayu sahaja atau Arab sahaja atau Malaysia sahaja. Sama ada di kalangan ahli mahupun di sudut pengaruh. Kalau ada ciri itu, itulah kebenaran. Begitu juga peringkat masyarakatnya. Tidaklah hanya ada orang pandai sahaja atau orang bodoh dan orang miskin sahaja. Tidak begitu. Sebab sudah dikatakan tadi, sifat kebenaran itu global. Ahlinya pun global. Di dalamnya ada orang miskin, orang pandai, orang bodoh, orang kaya. Itulah lagi antara ciri kebenaran yang lahir.
6. Hasil perjuangannya besar
Jemaah kebenaran itu ahlinya tidak ramai tetapi hasil perjuangannya lebih banyak daripada jemaah yang bukan kebenaran walaupun ahlinya ramai. Begitu juga perjuangan kebenaran itu walaupun membawa Tuhan, membawa Islam, orang tidak Islam pun suka. Sebab kebenaran itu kepunyaan bersama. Islam atau tidak Islam, itu hidayah dari Tuhan, bukan hak kita. Tetapi berkaitan dengan kebenaran, kerana ia keperluan semua bangsa maka semua bangsa dan etnik boleh terima walaupun tidak Islam.
Itulah dia di antara ciri-ciri kebenaran yang tersirat dan yang lahir. Kalau kita bahaskan, banyak lagi. Tetapi sekadar itu sudah cukup. Dengan itu diharapkan dapat kita bezakan antara jemaah kebenaran dengan yang bukan kebenaran. Antara pemimpin yang benar dan tidak. Sedikit sebanyak kita sudah faham. Ertinya kita sudah mengenal pasti antara dua puak iaitu yang hak dan yang batil secara umum.
Sajak
Perjuangan Kebenaran
Setiap para pejuang-pejuang Islam
tunjukkanlah bukti, jangan banyak cakap
Kalau cakap saja kebenaran menjadi slogan
buat tidak, orang kafir pun boleh cakap
Kebenaran itu adalah pada perbuatan dan sikap
cakap hanya mentafsirkan sikap
Perbuatan dan sikap
barulah orang ramai mendapat manfaat
Kalau pejuang-pejuang kebenaran benar-benar hak contohilah para Sahabat
Mereka setiap hari memasukkan orang kepada Islam
Islam berkembang cepat
Perpaduan mereka ibarat susunan batu-bata yang kuat
Setiap hari berkhidmat dengan masyarakat
masyarakat dapat manfaat
Mereka itu di malam hari
menjadi abid-abid memuja Allah
siangnya bagaikan singa
Sibuk berjuang dan berkhidmat
Apakah pejuang-pejuang Islam hari ini
macam Sahabat
Jangan-jangan ada yang tidak bersembahyang
Perpaduan hanya omong kosong
kenyataannya atau realitinya tidak ada
Mereka itu berlemah lembut tapi tegas
Sikap pejuang-pejuang Islam hari ini
keras bukan tegas
Pejuang-pejuang hari ini banyak bercakap
tidak berbuat, orang ramai tidak hormat
Role model tidak ada pada ibadah mereka
akhlaknya, perpaduannya, ekonominya
kebudayaannya, kebersihannya, masyarakatnya
Orang yang tidak berjuang
adakalanya lebih baik dari mereka
Masyarakat pejuang hari ini tidak ada yang indah
Sesama mereka tidak ada bela-membela
Pemimpin mereka tidak ditaati
hanya pengikut-pengikutnya sahaja
fanatik membabi buta
Tanya mereka berapa ramai orang masuk Islam
di tangan mereka?
Yang sudah Islam dapat ditingkatkan
kualiti keislamannya
setiap masa berlakukah?
Pejuang kebenaran berlaku di dalam jemaahnya khawariqul adah yang luar biasa, kalau tidak ada bukan kebenaran namanya
Ujian banyak tapi bantuan Tuhan
lebih banyak dari ujian
Di dalam ujian ada hiburan
Ujian tidak menyekat kemaraannya
itulah kebenaran
Nampak pengikutnya sedikit tapi pengaruhnya besar
dan merebak tidak boleh disekat
Pejuang kebenaran daerah perjuangannya tidak terbatas
bersifat sejagat kerana Islam itu untuk sejagat
Tapi yang kita lihat hari ini pejuang Islam
hanya bersifat ‘local’, dunia tidak kenal
Itu pun sudah memperlihatkan perjuangan itu tidak hak
bahkan tertolak
Waktu Dhuha
18 - 04 - 2004
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment