Thursday, 21 April 2011

Mengapa Kita Patut Tegakkan Islam Sebagai Undang-Undang Bukan Sekadar Aqidah Dan Ibadah?

Hari ini di seluruh dunia kalau kita mengajak umat Islam agar menjadikan syariat Islam yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah sebagai undang-undang hidup, ramai di kalangan umat Islam rasa tidak senang. Mereka yang tidak senang itu bukan orang Islam biasa tapi cerdik pandainya terutama yang mendapat pendidikan Barat. Mereka rasa tidak senang dan membangkang. Bahkan sebahagian ulama pun ada yang berdalih dengan mendatangkan berbagai-bagai hujah mengapa Islam itu tidak boleh dijadikan perlembagaan hidup di dalam negara.

Mereka itu bila disebut sahaja Islam patut dijadikan perlembagaan dan undang-undang, ada yang mencemik. Ada yang kerut muka. Ada yang mengatakan:

  • "Nanti apa kata bangsa lain."
  • "Nanti orang takut."
  • "Boleh membawa huru-hara."
  • "Kita tidak mahu patah ke belakang."
  • "Kita akan jadi mundur."

Bahkan bermacam-macam perkataan yang kita akan dengar daripada lidah mereka yang tidak setuju.
Kalau Islam itu ditegakkan sebagai aqidah dan ibadah, tidak mengapa. Mereka tidak menyanggah kerana golongan yang menentang itu pun sebahagiannya orang yang beraqidah dan melaksanakan ibadah. Cuma yang mereka tidak setuju ialah undang-undang Islam itu dijadikan perlembagaan hidup. Ini mereka tidak boleh terima. Kalau kita datangkan hujah-hujah dan dalil-dalil dari nas-nas Al Quran dan Sunnah pun mereka tidak akan setuju. Orang Islam zaman ini lebih senang menerima logik akal atau fikiran yang rasional. Katanya ini adalah zaman teknologi, zaman IT, zaman globalisasi, zaman langit terbuka dan zaman dunia tanpa sempadan (borderless world), bukan zaman unta.

Sekiranya ada sesiapa yang serius juga memperjuangkan serta beria-ia sungguh untuk mendaulatkan Islam sebagai undang-undang, dia akan dicurigai, dimusuhi, ditentang, dihalang, dibuang, dituduh memecah belah umat dan menggugat keselamatan negara. Kerana itulah umat Islam yang lemah semangat atau yang ada kepentingan, sudah tidak mampu lagi memperjuangkan Islam itu secara global kerana tidak sanggup menerima risiko yang berat.
Sebenarnya kalau kita menggunakan hujah akal pun, adalah logik, rasional, patut serta munasabah bahawa Islam itu dijadikan undang-undang hidup untuk semua manusia di dalam berbagai-bagai bidang kehidupan mereka. Kalau jiwa tidak berpenyakit, akal mereka pun boleh menerima mengapa Islam itu patut dijadikan perlembagaan hidup. Tapi apabila jiwa sudah berpenyakit, terutama penyakit cinta dunia dan kuasa, hujah apa sekalipun yang dibawa, orang yang jiwa berpenyakit itu tetap tidak akan menerima. Mereka tetap juga akan berdalih dan menolaknya.
Di sini mari kita bawa hujah-hujah dan dalil-dalil akal yang amat logik dan rasional mengapa syariat Islam yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah itu patut dijadikan perlembagaan hidup manusia bukan hanya sekadar di dalam sebuah negara tetapi juga untuk manusia sejagat. Di antaranya adalah seperti berikut:

  1. Dunia ini adalah ciptaan Tuhan dan seluruh isinya termasuk manusia adalah ciptaan-Nya juga. Oleh itu siapa dapat menafikan bahawa dunia dan seluruh isinya adalah kepunyaan dan milik Tuhan. Manusia hanya menumpang sementara waktu di atas muka bumi ini. Oleh yang demikian adalah tidak logik dan tidak masuk akal bahawa Allah yang bersifat Rahman (pemurah) kepada hamba-hamba-Nya, demi kebaikan dan keselamatan hamba-Nya tidak membuat peraturan untuk manusia hidup di bumi ini. Tentulah Allah membuat peraturan. Takkanlah manusia yang menumpang ini pula yang membuat peraturan.

    Sebagai contoh, kalau kita duduk di rumah tumpangan, apakah kita yang berhak membuat peraturan dan menentukan disiplin atau yang empunya rumah itu yang berhak membuat peraturan dan disiplin? Tentulah akal kita boleh menerima dan patut menerima yang punya rumah itulah yang berhak membuat peraturan. Kita yang menumpang tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan di rumah tumpangan itu. Ertinya Allah jua yang berhak membuat peraturan di dunia dan bukannya manusia.
  2. Setiap bangunan yang hendak dijadikan tempat orang menumpang seperti hotel, hospital, guest house, tidak pernah berlaku tuan punyanya tidak menetapkan peraturan. Demi keselamatan rumah itu bahkan demi keselamatan penumpang sudah tentu tuan punya rumah itu membuat peraturan. Apatah lagi Tuhan Pencipta alam yang Maha Bijaksana yang sangat kasih terhadap hamba-hamba-Nya, demi keselamatan hamba-Nya sudah pasti Dia membuat peraturan. Tidak munasabah Tuhan mencipta makhluk-Nya tanpa peraturan dan undang-undang. Tidak masuk akal, setelah makhluk dicipta kemudian Tuhan biarkan tanpa peraturan. Sedangkan manusia pun bila membuat sesuatu diadakan peraturannya.
  3. Di dalam kehidupan kita di dunia, tidak pernah berlaku bahawa setiap sesuatu ciptaan itu; demi keselamatan barang ciptaan itu; katalog dan manual penggunanya dibuat oleh si pengguna. Biasanya tukang cipta tentulah lebih arif tentang ciptaannya daripada pengguna. Oleh kerana itulah katalog dan manual pengguna bagi sebuah kereta contohnya, yang mengandungi peraturan-peraturan tentang pengendalian kereta, pencipta keretalah yang membuatnya. Kalau begitu, tentu lebih logik lagi untuk akal menerima bahawa demi keselamatan dunia terutama keselamatan manusia, maka Allah jua yang Maha Mengetahui tentang ciptaan-Nya itu. Sudah tentu Allah membuat peraturan untuk dunia dan manusia iaitu syariat Islam yang termaktub di dalam Al Quran dan Sunnah.
  4. Akal dan fitrah semula jadi kita tidak boleh menerima jika ada orang datang ke rumah kita, kemudian dia memandai-mandai membuat peraturan. Dialah yang hendak menentukan peraturan-peraturan di rumah kita. Dia hendak berbuat sesuka hati. Begitulah juga bagi akal yang waras dan jiwa atau fitrah yang bersih, sudah tentu boleh menerima bahawa kita sebagai hamba Allah yang menumpang di dunia ciptaan-Nya ini tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan di dunia ini dan membuat apa sahaja dengan semahu-mahunya. Kerana dunia ini bukan ciptaan dan kepunyaan kita. Kita ini adalah ciptaan Allah. Kita hanya menumpang sementara waktu di dunia ini. Adalah dianggap tidak beradab kalau kita yang membuat peraturan dan bertindak sesuka hati, kemudian kita tolak peraturan dari Allah pencipta bumi tempat kita menumpang ini dan juga yang mencipta kita. Sepatutnya kita rasa malu dan merasa bersalah jika kita menolak peraturan Tuhan.
  5. Katalah di dalam sebuah rumah yang besar, di dalamnya ada keluarga yang besar, yang dikepalai oleh seorang ayah yang bijaksana dan bertanggungjawab. Demi kebaikan keluarga itu dan agar mereka boleh hidup bersatu padu, boleh hidup aman damai, mana lebih logik diterima oleh seluruh keluarga? Peraturan dari ayah sebagai ketua keluargakah yang boleh menyatupadukan seluruh keluarga atau setiap orang bebas membuat peraturan untuk semua?
    Fitrah semula jadi dan akal yang waras tentu boleh menerima bahawa peraturan dari ayah lebih mudah kerana yang membuat peraturan itu adalah ayah bersama. Tiada siapa yang iri hati. Tapi kalau dibebaskan setiap orang membuat peraturan untuk semua orang di dalam rumah itu tentu akan timbul perbalahan. Abang yang tua tentu tidak boleh menerima pandangan adik kerana dia merasa tercabar. Dia akan berkata: "Mengapa patut saya mengikut adik." Yang adik pula walaupun dia adik, mungkin kerana dia merasa lebih pandai dari abang-abangnya memandangkan dia lulusan universiti sedangkan abangnya bersekolah rendah sahaja, maka dia akan berkata: "Aku kelulusan universiti, mengapa pula aku mesti ikut abang yang tidak berpelajaran." Jika setiap orang membuat cadangan, mesti ada kepentingan. Yang lain tidak akan boleh terima kerana curiga.
    Begitulah di dalam dunia ini ada berbagai-bagai kaum dan bangsa yang sama-sama duduk menumpang di bumi Tuhan. Kalau setiap orang, kaum atau bangsa membuat peraturan, dalam bentuk sistem dan ideologi ciptaan masing-masing seperti fahaman sosialisme, nasionalisme, komunisme atau kapitalisme untuk diguna pakai kepada semua manusia, manusia lain yang sama-sama menumpang tentu menganggap orang yang mencetuskan sistem atau ideologi itu mesti ada kepentingan untuk kaum, bangsa atau kelompoknya. Ertinya ada yang curiga.
    Selain itu ada golongan lain pula yang akan merasa tercabar. Mereka akan berkata: "Mereka manusia macam kami juga. Kami juga ada kemampuan membuat sistem hidup. Mengapa kita mesti ikut mereka." Kerana manusia ini ada ego, payah bagi manusia hendak mengikut satu sama lain. Kalau begitu, bilakah manusia hendak bersatu? Tapi kalau semua manusia ini menerima peraturan Tuhan iaitu Tuhan yang sama yang menciptakan bumi dan menciptakan mereka sebagai manusia, ego mereka tidak akan terpukul atau tercabar. Mereka sama-sama menumpang di bumi Tuhan dan menerima Tuhan yang kepunyaan bersama iaitu Tuhan bersama. Kalau ada yang menentang itu manusia yang sudah terlalu jahat kerana mereka yang kena cipta (makhluk) hendak melawan Khaliq yang mencipta mereka.
  6. Di dalam kehidupan manusia di dunia ini, demi keperluan dan kepentingan bersama, manusia memerlukan berbagai-bagai sistem hidup, seperti sistem politik, ekonomi, masyarakat, pendidikan, perhubungan, ketenteraan, kebudayaan, perhubungan antarabangsa dan sebagainya. Kalau begitu apa yang hendak ditakutkan sangat dengan undang-undang Islam kerana di dalamnya mengandungi berbagai-bagai sistem kehidupan yang lebih mantap, lebih baik lagi adil demi untuk kebaikan manusia sejagat. Hal ini telah berjalan beberapa lama dan telah dibuktikan oleh sejarah sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke tujuh ratus tahun kemudian. Semua kaum dan bangsa yang bernaung di bawah sistem itu rasa selamat dan berpuas hati, sekalipun ada di kalangan mereka tidak memeluk Islam yakni tidak menukar aqidah dan agama mereka. Mereka berasa selesa duduk di bawah sistem Islam yang dibawa oleh umat Islam daripada undang-undang dan peraturan hidup yang dibuat oleh bangsanya, kerajaannya dan rajanya sendiri.
  7. Selain aqidah dan ibadah, peraturan dan undang-undang lain serta akhlak di dalam Islam, ia bersifat sejagat. Ertinya fitrah semula jadi manusia boleh menerima dan boleh berkongsi bersama bahkan apa yang dikongsikan bersama itu, itulah perkara yang mereka bersama-sama mencari. Semua orang atau golongan tidak kira bangsa, etnik dan agama menginginkannya kerana ia merupakan keindahan hidup manusia. Contoh perkara yang menjadi keinginan bersama ialah sifat-sifat positif seperti adil, jujur, menunai janji, penyayang, pemurah, mengutamakan orang lain, bekerjasama, memberi maaf dan meminta maaf. Contoh perkara yang dibenci bersama ialah yang negatif seperti benci kepada perzinaan, mencuri, menipu, khianat, berbohong, membunuh, merompak, menzalim dan pemalas. Di dalam Islam perkara-perkara yang positif tadi sangat digalakkan dan dipuji serta diberi pahala oleh Allah. Sifat-sifat negatif tadi sangat dibenci, sangat ditentang. Di dunia lagi ada hukuman-hukumannya dan di Akhirat nanti kena hukum lagi iaitu dicampakkan ke dalam Neraka. Di dalam ajaran agama lain dan di dalam mana-mana ideologi, dua perkara yang kita sebutkan itu tidak diambil berat dan tidak dipentingkan. Kalau ada pun disebut tidak secara serius, tidak seperti di dalam ajaran Islam.
  8. Keindahan dan kebaikan sistem Islam itu telah terbukti. Ia telah dicatat dalam sejarah bahkan telah dijadikan bahan kajian. Keindahan dan kebaikannya telah diterima bersama dan diakui oleh berbagai kaum, bangsa dan penganut agama lain seperti Kristian dan Yahudi. Mereka rasa terjamin dan amat selesa duduk di dalam sistem itu. Hal sedemikian belum dapat dibuktikan oleh mana-mana sistem yang lain seperti fahaman yang dibawa oleh Barat sama ada bersifat agama seperti Kristian atau bersifat ideologi seperti faham liberalisme, kapitalisme, sosialisme, demokrasi atau komunisme seperti yang diamalkan di China dan Rusia. Sejarah telah mencatatkan ideologi mereka itu penuh dengan sejarah hitam. Berlaku berbagai-bagai penzaliman dan penindasan. Manusia hidup di dalam neraka, walaupun di masa yang sama mereka membawa kemajuan dan pembangunan. Yang paling menderita di bawah sistem mereka adalah umat Islam. Dunia tahu tentang hal ini dan tiada siapa yang boleh menafikan.
  9. Selepas negara-negara umat Islam dijajah, terutama dijajah oleh bangsa-bangsa Barat, kemudian negara-negara tersebut telah merdeka satu demi satu, sejak 60 tahun yang lampau, hampir semua negara-negara umat Islam yang telah merdeka itu, undang-undang negara mereka belum kembali kepada Islam. Kalau ada pun hanya pada nama. Dalam amalan belum berjalan betul dan serius secara Islam. Negara-negara umat Islam ada yang undang-undang negaranya berdasarkan sosialisme atau nasionalisme, ada yang berdasarkan liberalisme, kapitalisme atau fahaman demokrasi Barat. Semuanya dengan tujuan untuk membangunkan perpaduan, kasih sayang, kemajuan, ilmu pengetahuan, pembangunan, kekuatan ekonomi, ketenteraan, keharmonian masyarakat dan agar masyarakat bersih daripada gejala-gejala negatif atau tidak sihat. Untuk kembali kepada perlembagaan Islam, mereka masih takut dan bimbang. Bahkan ada yang anti dan memusuhi undang-undang Islam. Tapi apa telah terjadi? Secara umum, kemajuan dan pembangunan negara-negara umat Islam belum sampai ke mana, ilmu masih bersandar dengan orang lain dan krisis politik tidak habis-habis, negara miskin, sekalipun khazanah negaranya kaya. Kalau ada negara yang kaya, kekayaannya hanya diperolehi oleh golongan yang kecil dan terbatas. Rakyat umum masih ramai yang papa kedana. Pergaduhan, pergeseran, pembunuhan dan peperangan lebih banyak berlaku di negara-negara umat Islam. Gejala masyarakat seperti dadah, rasuah, zina, arak, perpecahan keluarga, rogol, sumbang mahram masih berleluasa berlaku di negara-negara umat Islam. Hal-hal ini berlaku disebabkan sistem-sistem yang telah disebutkan tadi. Bukan kerana berjalannya undang-undang Islam di negara-negara itu. Patutnya dengan pengalaman-pengalaman ini umat Islam menjadi sedar dan insaf terutama para-para ulamanya, pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli ekonomi, cendekiawan-cendekiawan dan pemimpin-pemimpin masyarakat kerana mereka boleh berfikir.
    Sepatutnya umat Islam kembali kepada ajaran Islam dengan penuh berani dan tekad bahawa Islam itu memang kepunyaan mereka, yang telah terbukti kebaikannya, beratus-ratus tahun yang silam. Dengan ajaran Islam, umat Islam menjadi tuan guru, contoh teladan dan ikutan bangsa-bangsa lain. Oleh itu apa hendak ditunggu-tunggu. Dengan sistem orang lain sudah kita cuba dan hasilnya adalah kehinaan, kelemahan, perpecahan, kemungkaran, kerosakan masyarakat dan kemelaratan.
    Apakah kita hendak teruskan undang-undang dan sistem yang kita pinjam itu, yang telah merosakkan kita? Atau kita tunjukkan keberanian kita dengan menerima Islam semula secara total sebagai perlembagaan hidup demi kebaikan kita dan juga alam sejagat.
  10. Barat dengan fahaman dan ideologi mereka, di sudut ilmu dan fizikal, memang mereka berjaya. Mereka telah meneroka berbagai-bagai bidang ilmu. Sains dan teknologi mereka tinggi dan canggih, kemajuan dan pembangunan mereka mengkagumkan tetapi di segi atau di aspek pembangunan insaniahnya mereka gagal. Insaniah mereka punah-ranah, musnah, hancur dan lebur. Apa tidaknya, malu sudah tiada. Kehidupan lucah menjolok mata. Perlakuan seks macam haiwan, merata-rata tidak kira tempat dan masa. Rogol, zina, homoseksual dan lesbian jadi budaya. Zina bukan sahaja berlaku dengan yang bukan muhrim, dengan muhrim pun biasa sahaja.
    Sistem kekeluargaannya punah-ranah, hidup nafsi-nafsi, bertukar-tukar bini, seks bebas biasa sahaja. Agama sudah tidak ada tempat. Orang tuanya terbiar manakala orang mudanya liar. Bunuh-membunuh dan tembak-menembak jadi hiburan. Bunuh diri sebagai jalan keluar bagi menyelesaikan masalah yang tidak boleh hendak diselesaikan. Pemimpin-pemimpin dan cerdik pandai mereka telah bingung. Mereka ingin mencari jalan keluar daripada kemelut dan kekusutan yang ada. Mereka tidak nampak jalan. Mereka telah jemu dan rasa kecewa dengan sistem hidup mereka sendiri tapi tidak ada alternatif. Hendak ikut Islam, tidak ada model. Umat Islam pun macam mereka juga kerana sistem hidupnya sama atau hampir-hampir sama.
    Oleh itu mengapa umat Islam tidak mahu berfikir lagi? Mengapa kita mengikut orang Barat yang sistem hidup mereka sudah gagal. Sistem mereka telah merosakkan insaniah manusia. Ianya boleh membangunkan fizikal tapi memusnahkan insaniah. Sistem hidup mereka berjaya melahirkan lambang-lambang syaitan, lambang-lambang haiwan dan lambang-lambang pokok kayu tetapi gagal melahirkan lambang-lambang Tuhan pada diri manusia.

Itulah di antara hujah-hujah mengapa manusia sejagat terutama umat Islam sendiri patut dan mesti menerima undang-undang Islam sebagai perlembagaan hidup. Hujah-hujah yang telah diberi tadi boleh diterima oleh akal. Bahkan memang logik sangat diterima. Oleh itu apa lagi yang tidak kena dengan undang-undang Islam? Apa lagi yang hendak ditakuti? Akal pun merasakan undang-undang dan sistem Islam itu tidak kolot, tidak ketinggalan zaman, rasional, bahawa adalah logik undang-undang Islam itu patut didaulatkan dan ia tidak memalukan. Akal yang waras dan tidak prejudis, boleh menerimanya bahkan merasa ia patut diterima. Kita harap moga-moga negara kita Malaysia adalah negara pertama di dunia, di akhir zaman ini yang akan menerima Islam sebagai perlembagaan negara.


Sajak

Selarikan Kehendak Kita
Dengan Kehendak Tuhan

Selarikanlah kehendak kita
dengan kehendak Tuhan
Kehendak Tuhan penuh hikmah
dan terjamin keselamatannya
Kehendak kita bukan ada pertimbangan
Hanya mengikut hawa nafsu
atau ego dan angan-angan
Selaraskan, kenalah makan, minum, pakaian, bekerja
berjuang, berkeluarga, berpolitik, berekonomi
dengan kehendak Tuhan
Jangan pula kehendak Tuhan lain
kehendak kita lain
Kehendak Tuhan kita tolak
kehendak kita yang kita terima
Ia akan merosakkan kehidupan kita
Sedangkan fitrah semula jadi kita sebagai manusia
tidak mahu kerosakan
Hari ini rata-rata kebanyakan manusia
kehendaknya yang diamalkan
Kehendak Tuhan sudah tidak dihormati
dan dikesampingkan
Apa sudah jadi kepada kehendak manusia?
Perpecahan berlaku, peperangan terjadi
Jenayah menjadi-jadi menakutkan semua orang
Kasih sayang dan persaudaraan punah dan musnah
Sedangkan manusia tidak mahu itu semua berlaku
Sistem kekeluargaan hancur sama sekali
Perhubungan murid-murid
dengan guru-gurunya punah-ranah
Perhubungan suami isteri
hanya di waktu baru berkahwin
Perhubungan anak-anak dengan ibu bapa
renggang dan tunggang-langgang
Manusia bukan mahu perkara-perkara
yang disebutkan tadi berlaku
Tapi manusia sudah tidak tahu
bagaimana hendak mengatasinya
Para pemimpin, cerdik pandai sudah bingung
Sekarang semua golongan sudah hidup
dalam ketakutan
Resah, gelisah, kecewa, putus asa
Akibat menerima kehendak sendiri
dan menolak kehendak Tuhan
Bilakah manusia itu mahu menerima
kehendak Tuhan?
Agar dunia kembali aman damai
dan harmoni

Menjelang Maghrib
31 - 12 - 1999
(25 Ramadhan 1420)

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment