2. Sumber dan Dasar Mendidik Manusia
3. Bil Hikmah (Dengan Hikmah)
4. A. Memahami Akal Manusia
5. Peringkat-peringkat IQ Manusia
6. B. Memahami Nafsu Manusia
7. C. Memahami Hati atau Roh Manusia
8. D. Memahami Jasmani atau Fizikal Manusia
9. Bil Mauizatul Hasanah (Dengan Nasihat yang Baik)
10. Berita-berita Gembira (Tabsyir)
11. Khabar yang Menakutkan (Tanzir)
12. Sejarah Orang Soleh
13. Sejarah Orang Derhaka
14. Berfikir Tentang Kebesaran Allah
15. Latihan Khidmat Masyarakat
16. Wajadilhum Billati Hiya Ahsan (Berbahas dengan Cara yang Baik)
Mendidik manusia bermaksud mendidik insaniahnya. Insa-niah manusia pula terdiri daripada empat elemen iaitu akal, roh atau hati, nafsu dan fizikal atau jasmani. Keempat-empat elemen inilah yang perlu dididik dan dibangunkan. Hasil dari pendidikan insaniah, lahirlah tamadun insaniah ataupun apa yang kita namakan pembangunan insan. Apabila insan telah terbangun, lahirlah akhlak yang baik, manusia yang jujur, berkasih sayang, pemurah, takutkan Tuhan, bertaqwa, mengutamakan orang lain, yang boleh berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat padanya dan berbagai-bagai lagi sifat mulia. Sementara dari pendidikan material atau kebendaan maka terhasillah tamadun lahiriah dan kemajuan fizikal.
Siapa yang layak mendidik manusia
Di dalam membangunkan dunia atau tamadun kebendaan ini, Tuhan tidak mengutuskan para nabi dan rasul, tetapi Tuhan datangkan ahli-ahli fikir, filasuf-filasuf atau ahli-ahli falsafah. Namun di dunia ini bukan hanya ada material tetapi ada perkara lain yang menggerakkan material dan sudah tentulah ianya manusia. Iaitu manusia yang berperanan sebagai khalifah Tuhan dan manusia yang berfungsi sebagai hamba Tuhan. Manusia seperti ini sahaja yang mampu mentadbir pembangunan tamadun kebendaan ini dengan selamat.
Tamadun insaniah bila Tuhan hendak bangunkan, Tuhan utuskan rasul. Tuhan tidak utuskan ahli akal atau ahli fikir. Lebih-lebih lagi, bila manusia telah tersangat rosak, tamadun insaniah telah runtuh, akhlak telah menyembah bumi dan khalifah yang hendak menggerakkan tamadun itu sudah tidak berperanan lagi. Tuhan tidak mengutuskan ahli falsafah kerana ahli falsafah memang tidak mampu. Sebaliknya, Allah SWT utuskan para nabi dan rasul. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang agung.” (Al Qalam: 4)
Dan Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan kerana menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Malik)
Rasul-rasul sajalah yang boleh dan mampu membangunkan insaniah. Jika di zaman tidak ada rasul dan di waktu itu manusia telah terlalu rosak, Tuhan akan datangkan mujaddid. Mengapa perlu didatangkan mujaddid? Ini kerana ulama di waktu itu walau beratus ribu ramainya tetapi tidak mampu mendidik manusia. Bila ulama yang ramai itu tidak mampu lagi membangunkan insaniah, maka Tuhan utuskan mujaddid. Sepertilah di zaman adanya rasul, oleh kerana ulama dan ahli agamanya sudah tidak mampu mendidik, sudah tidak dapat menangani penyakit masyarakat, maka ketika itu, seolah-olah sudah wajib Tuhan datangkan rasul. Sama juga, bila ulama zaman ini sudah tidak mampu, ketika ini wajib Tuhan datangkan seorang mujaddid. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Allah mendatangkan pada umat ini di setiap awal seratus tahun mujaddid yang akan membaharui agama.”
Di sini barulah kita nampak, untuk membangunkan insaniah sangat susah, terpaksa Tuhan campur tangan. Tuhan melantik orang-Nya. Tidak seperti membangunkan tamadun material, sesiapa pun boleh membangunkan dunia kebendaan. Tetapi dalam hal hendak membina manusia, tiada seorang pun boleh campur tangan. Malaikat pun tidak mampu. Seolah-olah Tuhan berkata: “Aku sendiri akan menyelesaikannya, dengan cara Aku datangkan orang Aku, yang disokong (backing) oleh Aku.” Yang mana kalau di zaman adanya rasul, dia dinamakan rasul dan setelah tiadanya rasul, dia dinamakan mujaddid.
Tegasnya, membangunkan insaniah sangat susah. Sebagai bukti, katakanlah seseorang itu telah berumur 66 tahun. Kita tolak 6 tahun yang awal dalam hidupnya kerana dia tidak sedar lantaran belum mumaiyiz. Kalau orang itu memejamkan kedua-dua matanya, dia akan nampak dua perkara yang berbeza iaitu satu keadaan yang mundur dan satu keadaan yang telah membangun dan maju.
Di waktu sekolah rendah atau ketika berumur 7 tahun, orang itu sangat pemarah. Sejak 60 tahun dahulu hingga sekarang, marahnya masih tidak berubah. Sedangkan dalam tempoh 60 tahun itu, hutan belantara sudah menjadi kampung. Kampung sudah menjadi bandar. Dahulu tidak ada jalan, sekarang sudah ada jalan. Jalan raya sudah menjadi highway atau lebuh raya. Tetapi sifat pemarah orang itu masih ada hingga sekarang. Kalau 60 tahun dahulu dia ada perasaan tamak, hingga sekarang pun tamak masih ada. Di zaman dunia sudah berubah, hutan telah menjadi bandar, sepatutnya hutan mazmumah dalam hatinya telah menjadi bandar mahmudah.
Sepatutnya perubahan berlaku serentak dan seimbang. Yang material sudah cerah dan terang-benderang. Tetapi insaniah masih gelap-gelita. Tamak dan pemarah masih ada lagi. Kalau dulu dia bersikap, “Orang lain hendak mati, matilah. Kalau orang lain hendak sakit, sakitlah. Biar aku hidup seorang.” Ertinya sangat mementingkan diri sendiri. Sekarang pun begitu jugalah perasaannya. Hutan sudah menjadi bandar tetapi insaniah masih seperti dulu.
Ini menunjukkan betapa susahnya membuat perubahan pada diri manusia. Patut sangatlah Allah melantik rasul. Kalau bukan rasul, pasti tidak mampu. Padahal dalam masa 60 tahun, banyak perubahan pembangunan telah berlaku. Contohnya, di sesetengah tempat yang kita pergi lihat, tiba-tiba kita berkata, “Eh... inilah tempat kita dulu. Dulu ini tempat kita melastik burung tetapi sekarang sudah menjadi jalan raya.” Orang pula dalam masa 60 tahun, sedikit pun tidak berubah.
Kesimpulannya, barulah kita faham bahawa untuk membangunkan material, sesiapa pun boleh. Maka kita tidak boleh bermegah. Tetapi untuk membangunkan insaniah dan mendidik manusia, lebih-lebih lagi manusia yang sedang ‘sakit’ adalah sangat susah. Hanya orang Tuhan dan orang yang ditunjukkan oleh Tuhan sahaja mampu melakukannya.
Sumber dan Dasar Mendidik Manusia
Untuk membangunkan insaniah dan mendidik manusia ini, asas-asas didikan dan dasar-dasarnya telah Tuhan nyatakan di dalam A1 Quran:
Maksudnya: “Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berbahaslah dengan mereka secara yang baik.” (An Nahl: 125)
Berdasarkan ayat di atas, Tuhan menerangkan bahawa hendaklah kamu mengajak manusia kepada Tuhanmu. Ertinya, mengajak kepada syariat, aqidah dan juga tasawufnya atau akhlaknya. Seterusnya untuk menegakkan kebenaran, menegakkan jemaah, ekonomi, kebudayaan dan sebagainya hendaklah melalui tiga dasar yang utama:
- Bil Hikmah (dengan hikmah)
- Bil Mauizatul Hasanah (dengan nasihat yang baik)
- Wajadilhum billati hiya ahsan (berbahas dengan cara yang baik)
Berdasarkan kepada tafsiran ayat di atas, di sini asas dan dasar-dasar sistem pendidikan Islam yang disebutkan itu dikembangkan dan diperluaskan supaya teknikalnya dapat difahami dan ianya dapat digunakan sebagai panduan.
Bil Hikmah (Dengan Hikmah)
Maksud hikmah ialah ilmu di dalam ilmu. Iaitu hati yang sentiasa dipimpin oleh Tuhan. Ertinya orang yang hendak mendidik orang lain itu hatinya sentiasa dipimpin. Ilmunya sangat mendalam dan seni. Ilmunya bagai lautan dan berlapis-lapis. Ia faham mengenai ilmu akal, roh atau hati, nafsu dan jasad. Orang yang tidak ada hikmah, ia akan mendidik secara kasar sahaja. Manusia susah untuk melakukan perubahan. Didikannya tidak membuahkan hasil yang diharapkan.
Justeru itu, untuk mendidik manusia kepada Tuhan, mendidik manusia kepada syariat Tuhan dan mendidik insaniah kepada berakhlak, ilmu hikmah mestilah ada. Pendidik itu sendiri perlu benar-benar tahu dan memahami mengenai manusia, iaitu akalnya, minatnya, kekuatan berfikirnya, kecenderungannya, bakatnya, nafsunya dan fizikalnya. Ia faham tentang psikologi manusia. Supaya teknik-teknik yang diaplikasikan dalam pembelajaran dan pendidikan mendatangkan kesan kepada pelajar. Pendidik yang berjaya ialah pendidik yang benar-benar memahami dasar yang pertama ini iaitu bil hikmah. Ia benar-benar faham empat elemen dalam diri manusia iaitu:
1. Memahami akal manusia
2. Memahami roh atau hati manusia
3. Memahami nafsu manusia
4. Memahami fizikal atau jasad manusia
A. Memahami Akal Manusia
Secara umum, cara mendidik dalam satu kelas adalah sama tetapi secara individu, ada perbezaan berdasarkan minat seseorang yang agak berbeza dan kecenderungannya yang berbeza. Jika di peringkat sekolah tinggi, pengasingan perlu dibuat dengan mengambil kira bakatnya, minatnya, tahap IQ dan sebagainya.
Pendidik perlu memahami akal manusia. Semua peringkat akal, tidak kira sama ada cerdik atau lemah, wajib mempelajari ilmu fardhu ain, sementara ilmu-ilmu lain seperti fardhu kifayah, yang sunat-sunat dan yang harus, dipelajari mengikut kemampuan akal setiap pelajar. Semuanya mestilah diklasifikasikan. Mereka yang cerdik, diberi peluang belajar sepuas-puasnya kerana mereka adalah aset bangsa dan negara. Jika ibu bapanya tidak berkemampuan, negara harus menanggung dan memberi mereka biasiswa. Anak-anak ini adalah aset negara iaitu aset bersama. Kalau tidak disokong dan dibantu, negara akan rugi. Pendidik juga perlu memahami peringkat-peringkat IQ pelajar. Ada yang sederhana dan ada yang baik. Kadang-kadang ada yang tinggi IQnya tetapi kehidupannya susah. Golongan ini perlu dibantu.
Peringkat-peringkat IQ Manusia
Seperti yang telah dikatakan, IQ manusia berperingkat-peringkat. Peringkat-peringkat tersebut umumnya boleh dikategorikan seperti berikut:
1. IQ istimewa atau genius.
Dalam bahasa Arab disebut ‘abqari’. IQ taraf pertama iaitu otak genius, ia melampaui cerdik. Bagi otak genius, kemampuannya boleh melahirkan teori baru dan ia tidak mengambil dari orang lain. Penemuan ilmu adalah dari dirinya sendiri, tidak kira sama ada dia Islam atau bukan Islam. Tegasnya, teori ini tidak ada pada orang lain. Penemuannya langsung tidak diambil dari orang lain. Ini dikatakan otak istimewa atau genius. IQ yang paling atas sekali. Di dalam istilah agama, orang IQ peringkat pertama ini adalah pembuat matan, seperti Imam Syafie, Imam Malik, Imam Hambali dan lain-lain imam mazhab.
2. IQ cerdik iaitu IQ peringkat kedua.
Ia tidak mampu melahirkan teori dan membuat penemuan ilmu baru tetapi hasil penemuan atau teori orang genius tadi boleh difahami dan boleh dihuraikan dengan lebih luas lagi. Dia boleh memahami sesuatu perkara yang mungkin tidak boleh difahami oleh orang lain. IQ peringkat ini luar biasa sebab boleh menghurai matan. Di dalam dunia ini tidak ramai orang yang mempunyai IQ cerdik seperti ini. Dalam bahasa Arab IQ cerdik ini disebut ‘zaka’. Orang yang cerdik ini dipanggil ‘zaki’. Contoh peringkat IQ yang kedua ini seperti Imam Sayuti, Imam Fakhrurrazi dan sebagainya.
3. IQ cerdik biasa atau cerdik sederhana iaitu IQ peringkat ketiga.
Orang yang mempunyai IQ cerdik biasa ini boleh memahami apa yang dihuraikan oleh orang IQ peringkat kedua tadi. Tetapi oleh kerana tidak mampu memahami kesemuanya maka dikeluarkanlah sahaja apa yang benar-benar difahaminya. Di dalam mentafsirkan sesuatu ia menjadi berkurangan. Jika dia menulis, buku dan huraiannya lebih panjang. Dia dipanggil tukang syarah. Lazimnya mereka ini adalah penulis ‘hasyiah’.
4. IQ normal atau sederhana.
Peringkat IQ ini adalah IQ kebanyakan orang. Ini IQ peringkat awam.
5. IQ lemah
Yakni di bawah IQ orang awam. Peringkat ini disebut bodoh.
6. IQ paling bawah
Ia disebut dungu.
Jika pemimpin, pendidik dan ibu bapa faham tentang kategori IQ ini, maka setelah selesai fardhu ainnya, dalam berhadapan dengan ilmu fardhu kifayah, mereka sudah tahu di dalam kumpulan mana hendak diletakkan pelajar-pelajar atau anak-anaknya, sepadan dengan tahap-tahap IQ mereka. Adalah malang bagi satu bangsa kalau ada kanak-kanak yang tinggal di hujung kampung, miskin pula, keluarganya bukan orang kenamaan atau bukan kroni orang kenamaan, hanya mendapat pendidikan setakat darjah 6 tetapi IQnya genius. Bila dewasa, dia hanya jadi petani sahaja. Itu adalah satu kerugian besar sedangkan dia adalah aset bangsa.
Begitu juga cerdik, iaitu IQ peringkat kedua dan ketiga. Kalau tidak disuruh mengaji dan diberi peluang belajar serta tidak mendapat pendidikan yang secukupnya, alangkah ruginya bangsa. Sebab itu, mana-mana negara yang tidak ada keadilan, hanya anak-anak kroni yang mendapat peluang. Yang bukan kroni tidak didorong dan tidak diberi peluang. Hanya belajar setakat darjah enam. Ini merupakan suatu kerugian besar buat bangsa tersebut.
Inilah yang terjadi dalam negara yang tidak stabil politiknya. Anak-anak yang ibu bapanya berlainan aliran politiknya menjadi mangsa. Sebab itu, kadang-kadang kita lihat di universiti-universiti, tidak ditemui ramai ahli fikir. Sebabnya, orang-orang yang IQnya baik tetapi miskin, orang tidak peduli dan tidak masuk universiti. Kesannya, ramai yang berada di menara gading bukan dari golongan ahli fikir. Mereka itu dapat degri atau ijazah hanya kerana bernasib baik mendapat peluang belajar. Kalau orang yang otaknya genius diberi peluang belajar di universiti, berapa banyak negara untung. Sebab itulah bangsa kita tidak ada ahli fikir. Tidak lahir pujangga dan pendeta-pendeta.
B. Memahami Nafsu Manusia
Nafsu kalau tidak dididik ke arah kejahatan pun, dia tetap akan buat kejahatan. Allah telah nyatakan di dalam Al Quran:
Maksudnya: “Sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan.” (Yusuf: 53)
Betapalah kalau dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat. Malang bagi suatu bangsa yang nafsunya memang jahat, dididik, diasuh dan dibaja pula ke arah kejahatan. Akan lahirlah orang pandai yang jahat, orang bodoh yang jahat, pemimpin yang jahat dan pendidik yang jahat. Ini lebih bahaya dari persoalan tidak kenal IQ tadi. Sebab itu nafsu perlu dikenali tahap-tahapnya dan tingkatannya. Nafsu wataknya memang jahat, kalau dibiarkan ia tetap jahat, betapalah kalau dididik ke arah kejahatan oleh sistem pendidikan yang jahat dan yang mengajar pun adalah orang jahat. Betapa jahatnya kejahatan yang akan berlaku. Jadi nafsu ini perlu dididik. Sebab itu Tuhan ingatkan kita tentang ini di dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang-orang yang berbuat baik.” (Al Ankabut: 69)
Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsu, ditingkatkannya daripada jahat kepada baik, maka Tuhan akan memberi petunjuk kepada jalan yang baik. Itu janji Tuhan. Sebab itu nafsu kena dididik. Nafsu adalah musuh utama manusia. Kedua baru syaitan. Nafsu musuh dalaman. Syaitan hanya musuh luaran. Tetapi pelik, manusia tidak pandang seperti itu. Berbeza pandangan manusia dengan pandangan Tuhan. Lihat sejarah ketika Rasulullah SAW balik dari peperangan Badar, Rasulullah bersabda:
Maksudnya: “Kita baru balik dari peperangan yang kecil kepada peperangan yang maha besar.” Para Sahabat bertanya: “Apakah peperangan yang maha besar itu ya Rasulullah?” Jawab baginda: “Perang melawan nafsu.” (Riwayat Al Baihaqi)
Sebab itu orang yang besarkan Tuhan akan memandang nafsu itu besar dan wajib diperangi. Nafsu itulah yang sangat menyusahkan. Sebab itu dalam ajaran Islam kita mesti bermujahadah dalam melawan nafsu.
Di dalam ajaran Islam, nafsu ada tujuh peringkat:
1. Nafsu Ammarah
Nafsu yang paling jahat dan paling zalim. Jika berbuat kejahatan, dia berbangga dengan kejahatannya. Kalau terpaksa susah kerana kejahatannya, dia sanggup. Jika ada orang mengingatkannya tentang kejahatannya, dia akan menjawab, “Saya anak jantan.” Bayangkanlah, kalau orang macam ini jadi pemimpin dan berkuasa.
2. Nafsu Lawwamah
Nafsu yang mencerca dirinya sendiri. Sentiasa kesal dengan diri sendiri. Tidak hendak berbuat jahat tetapi tidak mampu melawan nafsu. Bila melakukan kejahatan, sedih tapi buat lagi. Ada kalanya buat jahat sehingga dikenakan hukuman dalam penjara. Janji tidak buat lagi tapi buat juga. Rasa sedih lagi dan buat jahat bukan kerana seronok tapi lemah melawan nafsu. Walaupun sudah niat tidak mahu buat lagi dan sudah serik, namun terbuat juga lagi. Contohnya, ketika lalu di kebun orang, ternampak limau, rambutan dan sebagainya, walaupun sudah berazam tidak akan mencuri, tetapi ambil dan mencuri lagi. Orang nafsu di peringkat ini sudah mula sedar tetapi tidak larat hendak melawan hawa nafsunya.
3. Nafsu Mulhamah
Erti pada lafaz ialah nafsu yang telah diberi ilham, sudah mula dipimpin, diberi hidayah. Tuhan ambil perhatian sebab dia sudah mula mendidik nafsunya. Apabila seseorang itu bersungguh-sungguh melawan nafsunya, atas belas kasihan Allah maka Tuhan akan pimpin. Oleh kerana baru dididik, ibarat orang berjalan hendak menyeberang dan melintas jalan yang di tengah-tengah ada benteng, dia sudah berada di atas benteng. Ertinya dia sudah di atas sempadan (border). Kalau tidak ada ribut atau ujian, jika mati insya-Allah selamat. Sebab sudah di atas border tapi belum sampai ke seberang. Namun masih dalam bahaya kerana apabila datang ribut, dia mungkin berbalik semula. Atau bila ujian datang, walaupun tidak jatuh tetapi sudah mula goyang. Orang di atas border ini tidak dikatakan tenang, masih dalam keadaan bahaya. Baru diberi ilham. Bila sudah sampai ke seberang barulah, masuk kawasan selamat dan barulah dikatakan tenang.
4. Nafsu Mutmainnah
Istilah mutmainnah bermaksud tenang, tidak digugat oleh kesenangan dan kesusahan, tidak digugat oleh sihat atau sakit, orang hina atau orang puji. Semuanya sama sahaja. Pujian orang tidak menyebabkan hati terasa sedap dan tidak berbunga. Orang keji, tidak terasa sakit. Tidak ada perasaan hendak marah atau berdendam. Sebab hatinya sudah tenang, perkara positif atau negatif tidak menggugatnya. Orang ini sudah menjadi wali kecil, sudah naik di atas border orang soleh. Nafsu peringkat ini sudah sampai ke kawasan selamat, tidak tergugat lagi. Maka Tuhan mengalu-alukan ketibaannya, dengan ayat:
Maksudnya: “Wahai nafsu (jiwa) yang tenang (suci). Kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dengan (hati) redha dan diredhai (Tuhan). Maka masuklah kamu dalam golongan hamba-hamba-Ku. Dan masuklah kamu ke dalam Syurga-Ku.” (Al Fajr: 27-30)
Dari ayat ini, seolah-olah Tuhan tidak sabar hendak menyambut tetamu-Nya: “Mari-mari, cepat-cepat Aku tidak sabar, Aku hendak jumpa engkau ini.”
Kemudian, dalam ayat tadi, Tuhan berfirman:
Maksudnya: “Kembalilah dalam keadaan redha kepada Aku, dan Aku redha dengan engkau.” (Al Fajr: 28)
Tuhan mengalu-alukan dan kalau mati pada waktu itu, dia selamat. Oleh kerana dia sudah selamat, sebab itulah Tuhan menyeru. Manakala bagi orang yang nafsunya belum selamat, dia akan mati dalam keadaan jikalau Tuhan hendak azab pun boleh, hendak diampunkan pun boleh.
Semuanya atas sebab keadilan Tuhan. Kalau kita hendak mengharapkan kekuatan diri sendiri, bimbang tidak selamat. Sebab itu kita mesti mencari kekuatan lain. Di antaranya perbanyakkan selawat, berbuat baik, bertawasul dengan guru-guru dan lain-lain, mudah-mudahan itu menyelamatkan. Allah berfirman:
Maksudnya: “Bergaullah dengan hamba-hamba-Ku (iaitu para rasul, para nabi dan wali-wali), dan masuklah ke Syurga-Ku.” (Al Fajr: 29-30)
Ertinya, cari-carilah sebab untuk mendapatkan rahmat dari Allah SWT. Bila mencapai peringkat nafsu mutmainnah, barulah selamat. Nafsu-nafsu di bawah daripada peringkat itu tidak selamat.
5. Nafsu Radhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu radhiah ini, dia meredhai apa sahaja yang Allah takdirkan kepadanya. Ia terhibur dengan ujian. Ia merasakan ujian adalah hadiah dari Tuhan. Bila orang menghinanya, dia berterima kasih kepada Tuhan dan dia rasa bahagia. Sebab itu mereka yang berada di maqam ini, bila kena pukul, mereka rasa puas. Bila ditampar, seolah-olah minta ditampar lagi. Nafsunya sudah jadi malaikat.
6. Nafsu Mardhiah
Orang yang berada di peringkat nafsu ini ialah apa saja yang mereka lakukan mendapat keredhaan Tuhan. Mereka inilah yang disebut dalam Hadis Qudsi: “Mereka melihat dengan pandangan Tuhan, mendengar dengan pendengaran Tuhan, berkata-kata dengan kata-kata Tuhan.” Kata-kata mereka masin, sebab itu mereka cukup menjaga tutur kata. Kalaulah mereka mengatakan celaka, maka celakalah. Kerana kata-kata mereka, kata-kata yang diredhai Tuhan. Mereka memandang besar apa saja yang Tuhan lakukan.
7. Nafsu Kamilah
Nafsu peringkat ke-5, ke-6 dan ke-7 adalah darjat atau peningkatan kepada nafsu mutmainnah tadi. Bagi nafsu kamilah, manusia biasa tidak boleh sampai ke maqam ini. Kamilah hanya darjat untuk para rasul dan para nabi. Manusia biasa hanya setakat peringkat keenam sahaja iaitu mardhiah. Ini sudah taraf wali besar.
Itulah 7 peringkat nafsu manusia. Jadi orang yang hendak mendidik manusia mesti faham peringkat-peringkat nafsu ini. Kemudian perlu faham macam mana pula hendak mendidik setiap peringkat-peringkat nafsu tersebut supaya manusia menjadi manusia.
Hari ini nafsu sudah tidak diperangi dan tidak dianggap musuh yang wajib diperangi. Sebab itu, tanyalah ulama mana sekalipun, tidak ada seorang pun yang memasukkan pendidikan nafsu dalam sukatan pelajaran. Ayat Al Quran dan Hadis yang dibaca dan dipelajari di sekolah pun tidak ada ayat-ayat yang berkaitan dengan nafsu dan kejahatannya. Usaha memerangi nafsu tidak diaplikasikan dalam tindakan. Bila sebut musuh, yang mula-mula nampak ialah Yahudi dan Amerika sahaja. Sedangkan Yahudi dan Amerika itu budak mainan nafsu. Orang jahat itu hanyalah budak mainan nafsu.
Bertambah pelik lagi, manusia hendak membaiki buah yang pahit, dia potong buahnya. Sedangkan buah datang dari pokok. Buah pahit itu ibarat perangai jahat. Pokok itu nafsu. Jalan paling mujarab hendak menyelesaikan buah yang pahit ialah dengan memotong atau menebang pokoknya. Ulama pun sudah tidak faham bagaimana hendak menebang pokok nafsu. Ulama yang hafaz Al Quran dan Hadis pun tidak mampu memahaminya.
Contoh lain, polis yang menjaga keamanan apabila hendak menyelesaikan masalah perompak dan pencuri, cara yang lazim dilakukan ialah menangkap dan mengurungkan mereka dalam penjara. Tetapi sebenarnya, yang paling berkesan untuk jangkamasa panjang ialah dengan menukar sistem pendidikan. Itulah cara terbaik memerangi dan membendung kejahatan merompak dan mencuri.
Nafsu itu dididik. Bila ini berlaku, nafsu menjadi jinak. Nafsu yang jahat menjadi baik. Nafsu kalau dididik akan jadi pemurah, akan membesarkan Tuhan, tawaduk, tawakal, redha, berkasih sayang dan boleh berlapang dada. Maka lahirlah buah-buah yang manis walaupun di atas pokok yang pahit. Allah berfirman:
Maksudnya: “Adapun orang yang takut pada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari keinginan hawa nafsunya, maka sesungguhnya Syurgalah tempat tinggalnya.” (An Naziat: 40-41)
C. Memahami Hati atau Roh Manusia
Untuk mendidik manusia tidak boleh secara luaran sahaja. Pendidik perlu mendidik lahir dan batin secara bersepadu dan yang terpenting sekali ialah yang dalam (hati). Allah SWT menyatakan dalam Al Quran:
Maksudnya: “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu mengubah apa yang ada di dalam dirinya.” (Ar Raad: 11)
Yang dimaksudkan ‘apa yang ada dalam diri’ adalah hati atau roh atau nafsunya. Apabila manusia telah terdidik akan lahirlah kemanusiaan. Tetapi jikalau pendidik tidak faham bagaimana hendak mendidik manusia, bukan kemanusiaannya yang akan lahir tapi kehaiwanannya yang akan terserlah. Apabila manusia telah bersifat haiwan sedangkan mereka adalah khalifah, apa yang akan terjadi? Bagi mereka, pentadbiran, peraturan dan disiplin itu menyeksa dan menyusahkan mereka. Kenali luar dan dalam diri manusia sebelum mendidik. Sebab itulah untuk melakukan kerja mendidik, bukan sebarang orang melainkan orang yang bertaqwa sahaja yang boleh melakukannya.
Pendidik yang mempunyai ilmu hikmah sahaja mampu memahami roh manusia. Kalau kita tidak dapat memahami roh manusia, ulama besar macam mana sekalipun tidak boleh mendidik orang. Roh itu dikatakan hati, ataupun raja dalam kerajaan diri. Raja kepada peribadi. Raja itulah yang menentukan sikap. Bahkan raja itulah yang menentukan cara berfikir seseorang. Jadi bagaimana hendak memahaminya?
Apa itu hati? Hati itu ibarat cermin. Cermin kalau dihadapkan kepada sesuatu benda, akan nampak arca atau imej benda itu. Itu pun kalau cermin itu cerah. Tetapi kalau hati yang diibaratkan cermin itu tidak dijaga dari kecil, sejak dari sekolah tadika lagi tidak dijaga, ia akan jadi hitam bila dewasa. Hitam dengan bintik-bintik dosa. Cubalah bayangkan cermin yang sudah hitam dihalakan ke arah matahari, lantunan cahayanya pun tidak dapat dilihat. Kalau dihalakan ke bulan pula, tidak boleh nampak bulan di dalam cermin itu. Bila dihalakan ke rumah yang cantik pun tidak akan nampak rumah yang cantik itu di dalam cermin. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, kalau baik daging itu maka baiklah manusia, kalau ia rosak maka rosaklah manusia. Ketahuilah itulah hati atau roh.” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Nukman bin Basyir)
Begitulah hati, sejak dari kecil penuh dengan mazmumah kerana tidak dijaga dan dididik oleh emak ayahnya. Jika sudah hitam pekat kerana dosa-dosa, ia tidak nampak kebenaran. Tidak cinta rasul, tidak ada rasa kasih sayang dan tidak ada perikemanusiaan. Sebab itu orang yang hatinya dijaga dari kecil, tidak pernah lekat walau satu habuk pun dosa, apabila menjadi dewasa, dia akan mendapat benda-benda pelik seperti mimpi benar, kasyaf, nampak benda-benda ghaib dan mendapat ilmu ilham. Sebab hati itu wadah tempat Tuhan hendak beri hidayah. Kerana itulah, tidak hairan orang-orang dahulu selalu mendapat berbagai-bagai ilham, kasyaf dan mimpi benar.
Kita perlu memahami tentang hati dan perlu tahu sama ada hati itu kotor atau bersih. Kalau sudah kotor, perlu pula tahu bagaimana hendak membersihkannya. Allah berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah sangat suka kepada orang yang bertaubat dan suka kepada orang yang menyucikan hatinya.” (Al Baqarah: 222)
Firman Allah lagi:
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikannya (hati).” (Asy Syam: 9)
D. Memahami Jasmani atau Fizikal Manusia
Jasad manusia tidak berperanan untuk berfikir, berkehendak atau merasa. Ia hanya alat untuk melaksanakan arahan ketiga-tiga unsur tersebut. Jasad lahir manusia ibarat robot. Fizikal hanya perlu dijaga agar nampak cantik dan sihat. Ia tidak memerlukan perhatian sangat dalam membentuk manusia.
Bil Mauizatul Hasanah (Dengan Nasihat yang Baik)
Setelah seorang pendidik mempunyai hikmah, iaitu memahami ilmu mengenai manusia tentulah dia hendak memulakan pendidikan. Di sini timbul persoalan cara pendekatan dan teknik mana yang hendak digunakan? Apabila merujuk kepada Al Quran, kaedah (method), pendekatan atau uslub perlaksanaan pendidikan inilah yang dikatakan ‘Mauizatul Hasanah’ yang bererti nasihat-nasihat yang baik. Oleh itu, dalam mendidik perlu menggunakan nasihat-nasihat yang baik yang boleh kita pelajari dari Al Quran seperti berikut:
Role Model
Seorang pendidik yang bercita-cita hendak mendidik manusia mestilah menjadi role model kepada murid-muridnya di dalam semua sudut kehidupan. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik kepada umat. Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah ada contoh yang baik untuk kamu bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan hari Akhirat.” (Al Ahzab: 21)
Sejarah Rasulullah SAW juga boleh menjadi panduan bagaimana role model itu berlaku. Suatu hari seorang ibu datang menemui Rasulullah SAW bersama anaknya. Dia mengadu kepada baginda perihal anaknya yang terlalu suka makan manisan. Peliknya, Rasulullah SAW tidak memberi apa-apa nasihat tetapi meminta ibu itu menemuinya kembali di minggu hadapan.
Seminggu kemudian ibu tersebut menemui Rasulullah SAW bersama anaknya, lalu baginda berkata, “Wahai anak, kurangkan makan manisan.” Ibu itu terus berkata, “Wahai Rasulullah, kalau itu sahaja yang ingin tuan ucapkan, mengapa tidak disebut sahaja minggu lepas.” Rasulullah SAW menjawab, “Sebenarnya saya juga sukakan manisan tetapi oleh kerana ingin menasihati anak ini, sudah seminggu saya tidak makan manisan.” Begitulah Rasulullah, dalam soal sekecil itu pun, baginda sendiri melaksanakan dahulu apa yang ingin baginda ucapkan.
Oleh itu, seorang pendidik mesti menjadi role model kepada orang yang hendak dia didik:
- Kalau hendak kenalkan orang dengan Tuhan, pendidik perlu mengenal Tuhan dahulu.
- Jika hendak suruh orang cintakan Tuhan, pendidiklah perlu mencintai-Nya dahulu.
- Kalau hendak menyuruh orang takutkan Tuhan, pendidiklah yang perlu takut Tuhan dahulu.
- Jika hendak membaikkan orang, pendidik perlu baik dahulu.
- Kalau hendak suruh orang berakhlak, pendidik perlu berakhlak dahulu.
Allah mencela orang yang mengajak manusia ke arah kebaikan tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya sepertimana firman-Nya:
Maksudnya: “Adakah kamu menyuruh manusia berbakti dan kamu lupakan dirimu sendiri sedangkan kamu membaca kitab. Mengapa kamu tidak berfikir?” (Al Baqarah: 44)
Bahkan Allah amat murka kepada orang yang hanya pandai berkata-kata tetapi tidak pandai mengkota. Firman Allah:
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak berbuat, amat besar kebencian di sisi Allah bila kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.” (As Saff: 2-3)
Di dalam kitab Matan Zubad disebutkan:
Maksudnya: “Orang alim yang tidak beramal dengan ilmunya akan diazab lebih dahulu daripada penyembah berhala.”
Berita-berita Gembira (Tabsyir)
Di antara cara mendidik manusia adalah dengan membawa khabar-khabar atau berita-berita gembira agar mendorong manusia untuk membuat kebaikan dan caranya berbeza mengikut peringkat umur. Bagi orang dewasa, khabar gembira yang hendak dibawa hendaklah bersifat lebih umum sama ada khabar gembira tentang kemenangan yang akan dia perolehi di dunia seperti firman Allah Taala:
Maksudnya: “Sesungguhnya bumi ini diwariskan kepada hamba-hamba-Ku yang soleh.” (Al Anbiya: 105)
Sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “Islam akan bangkit semula di akhir zaman dari sebelah Timur.”
Atau khabar gembira tentang nikmat-nikmat yang akan mereka perolehi di hari Akhirat kelak. Firman Allah SWT dalam Al Quran:
Maksudnya: “Ada pun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka Syurga Makwa sebagai anugerah atas apa yang mereka kerjakan.” (As Sajadah: 19)
Untuk mendidik anak-anak kecil, mereka boleh digembirakan dengan menghadiahkan wang atau makanan, dibawa berjalan-jalan, diberi pujian dan sebagainya.
Khabar yang Menakutkan (Tanzir)
Di antara teknik mendidik yang diajar oleh Allah adalah dengan menyebut-nyebut khabar yang menakutkan. Sama ada perkara yang menakutkan itu di dunia ataupun di Akhirat. Pendidik boleh mengajak orang yang mereka didik memikirkan perkara yang menakutkan di dunia ini yang Allah lakukan setiap hari kepada mereka yang ingkar dengan-Nya, dengan didatangkan bencana alam berupa gempa bumi, banjir, ribut, tsunami atau ancaman penyakit dan kemalangan. Begitu juga ancaman Allah kepada orang yang menderhakai-Nya dalam firman-Nya:
Maksudnya: “Adapun orang-orang yang fasik maka tempat kembali mereka adalah Neraka. Setiap kali mereka mahu keluar darinya, mereka dikembalikan ke dalamnya, lalu dikatakan kepada mereka: Rasakanlah azab Neraka yang dahulu kamu dustakan di dunia.” (As Sajadah: 20)
Oleh itu dalam mendidik, pelajar-pelajar tidak boleh dibelai-belai dan dimanjakan sahaja. Ada kalanya mereka perlu dimarah, sekali-sekala perlu dirotan mengikut kesalahan yang mereka lakukan. Generasi dahulu, jika menyerahkan anak mereka kepada pendidik, mereka serahkan dengan sebatang rotan sebagai simbolik agar dididik dengan apa cara sekalipun supaya anak itu menjadi manusia yang berguna.
Anak-anak didik ini perlu ditakut-takutkan dengan balasan di Akhirat ataupun kesusahan di dunia. Oleh itu mendidik mesti membawa unsur-unsur tanzir kerana dengannya akan menjadikan orang takut membuat kesalahan dan dosa.
Sejarah Orang Soleh
Para pendidik juga perlu memahami sejarah dengan baik kerana salah satu uslub didikan ialah menceritakan sejarah kehidupan orang-orang soleh. Ertinya ketika mendidik, para pendidik perlu menyulam-nyulam dengan cerita-cerita orang-orang yang baik. Perlu diketahui, cerita boleh mempengaruhi orang ramai untuk membuat kebaikan. Dengan menceritakan kisah orang-orang soleh ini, hati orang yang mendengar teringin hendak meniru perbuatan orang yang terdahulu. Begitulah fitrah semula jadi manusia. Oleh itu kisah teladan orang-orang soleh hendaklah dibawa selalu ketika mendidik seperti yang Allah ceritakan dalam Al Quran.
Sejarah Orang Derhaka
Salah satu unsur dalam didikan ialah dengan membawa cerita nasib orang-orang yang jahat supaya menjadi ingatan dan sempadan kepada murid-murid agar menjauhi kejahatan dan dosa seperti cerita-cerita Firaun, Namrud dan kejahatan orang Yahudi, sama ada balasan kejahatan mereka itu berlaku di dunia mahupun di Akhirat. Ini adalah kerana cerita-cerita nasib orang-orang yang jahat akan sangat memberi kesan kepada para pendengar. Sudah tentu mereka yang mendengar tidak mahu menerima nasib seperti orang yang terdahulu. Oleh itu sejarah orang-orang yang jahat juga perlu diketahui.
Berfikir Tentang Kebesaran Allah
Di dalam mendidik, para pendidik hendaklah mencungkil-cungkil dan memperlihat-lihatkan kepada anak murid mengenai kebesaran Allah. Cuma cara merperlihatkannya disesuaikan mengikut tahap umur. Pendidik perlu mengajak anak didiknya berfikir tentang kebesaran Allah.
Segala fenomena yang Allah lakukan seperti hujan, ribut, gelombang di laut dan segala ciptaan Allah seperti gunung-ganang, langit, bumi dan hutan rimba dijadikan didikan kepada anak-anak murid untuk mengenal kebesaran Tuhan. Apabila manusia diperlihatkan dengan kebesaran Tuhan, mereka semakin takut dengan Tuhan. Dengan menampakkan nikmat-nikmat Tuhan, manusia akan bertambah sayang dengan Tuhan sebab manusia dapat melihat nikmat Allah itu. Jika disebut-sebut dan dicungkil-cungkil maka datanglah rasa sayang dan cinta kepada Tuhan.
Oleh itu dalam mendidik manusia, agar mereka tidak jemu jika dilakukan di dalam kelas sahaja, para pelajar tersebut perlu dibawa keluar, berekspedisi umpamanya. Ketika berekspedisi, setiap apa yang dilihat, hendaklah dicungkil hikmahnya dan disyarahkan kepada mereka supaya orang yang kita didik itu terbangun akal dan rohnya.
Latihan Khidmat Masyarakat
Di antara kaedah (method) pendidikan yang perlu dilakukan juga, agar anak didik tersebut mampu melaksanakan ilmu mereka adalah dengan melatih mereka melaksanakan kebaikan. Sekali-sekala setelah mengajar di kelas agar murid-murid berbuat baik, pendidik hendaklah membawa keluar pelajar-pelajarnya agar melaksanakan kebaikan. Contoh latihan yang boleh dibuat ialah membawa murid-murid keluar untuk bergotong-royong membersihkan masjid, tanah perkuburan atau pergi ke ladang dan membantu petani bertani. Tujuannya adalah untuk:
a. Melatih murid-murid bersusah payah, supaya mereka tahu betapa susahnya seorang petani. Susah untuk mendapatkan rezeki.
b. Supaya terbangunnya perasaan perikemanusiaan di hati mereka. Bukanlah pendidikan itu membaca kitab sahaja. Pendidikan yang sebenarnya ialah para pendidik dan pelajar-pelajar perlu turun ke gelanggang untuk melihat sendiri kehidupan orang miskin. Hasilnya akan terbangunlah fitrah kasih sayang. Fitrah kemanusiaannya akan hidup. Supaya rasa sayang pada manusia itu subur di dalam diri mereka.
Wajadilhum Billati Hiya Ahsan (Berbahas dengan Cara yang Baik)
Kita perlu tahu, di dalam pendidikan, kita juga akan berhadapan dengan golongan dewasa yang cerdik dan berpelajaran. Mereka pula terikat dengan bermacam-macam ideologi dan anutan agama. Contohnya profesor atau ahli falsafah yang berfahaman sosialis, kapitalis atau sebagainya. Bukan suatu yang mudah bagi pejuang dan pendidik untuk membawa mereka kepada Tuhan. Untuk membuatkan mereka faham, cinta dan takut Tuhan sehingga mereka terasa bangga dengan syariat Tuhan. Dengan itu pejuang dan pendidik mesti menguasai ilmu akal yang bersifat falsafah.
Oleh kerana di dalam pendidikan ini, kita akan berhadapan dengan berbagai golongan penganut agama dan ideologi, sudah semestinya kita kena faham segala macam ilmu. Seorang murabbi mesti faham ilmu politik, ilmu masyarakat, ilmu manusia, ilmu psikologi, ilmu kebudayaan, isu-isu semasa, hal-hal dunia dan lain-lain. Sebab bila timbul perbincangan terhadap sesuatu isu, mereka ada pandangan dan kita boleh menangkis hujah mereka. Contohnya, bila timbul perbincangan tentang Tuhan, kalau mereka menolak Tuhan, kita ada hujah. Begitu juga bila mereka menolak syariat, kita boleh menangkis hujah mereka dengan hujah kita.
Sekiranya begitu gambaran seorang murabbi yang hendak mendidik seseorang atau sesuatu kelompok atau bangsa kepada Tuhan, supaya manusia cinta dan takut kepada Tuhan, supaya manusia berakhlak dan membangun mengikut kehendak Tuhan, ertinya seorang pendidik yang ingin berjaya mesti terlebih dahulu memiliki ilmu hikmah, ilmu kaedah mendidik dan mampu menguasai ilmu yang lain secara meluas.
Hari ini para pendakwah, ulama-ulama, para pendidik, ustaz-ustaz, ilmunya sangat singkat, dangkal dan terbatas. Sedangkan ramai di kalangan mereka yang hafaz Al Quran dan tidak kurang juga yang hafaz Hadis. Tapi malangnya apa yang mereka keluarkan hanyalah terjemahan semata-mata. Mereka tidak mengikut kaedah mauizatul hasanah (nasihat-nasihat yang baik) dan juga kaedah wajadilhum billati hiya ahsan (berbahas dengan cara yang baik). Mereka tidak mengikut perkembangan dan isu semasa. Walhasil, setelah 30 tahun menjadi pendidik dan menjadi pendakwah, tidak ada seorang pun yang masuk Islam di tangan mereka.
Bagi jemaah Islam pula, dari mula jemaah itu dibangunkan, setelah 30 tahun berjuang, mampu pula menarik 100 ribu orang ahli tetapi sebuah model kedai runcit pun masih belum terbangun. Apa yang tidak kena dengan mereka? Mereka seronok berjuang tetapi ilmu hikmah mereka lupakan dan ilmu kaedah perbincangan mereka ketepikan. Natijahnya, berpuluh tahun berjuang, tidak ada sebarang perubahan walaupun zaman terus berubah. Di sinilah kegagalan pejuang-pejuang Islam, walaupun sudah lama berjuang, musuh-musuh Islam sudah berkembang maju, mereka tetap di takuk yang lama. Akhirnya, timbul rasa sakit hati bila melihat pembangunan yang dibuat oleh musuh, sedangkan mereka berjuang bagi pihak Tuhan tetapi tidak membangun, maka marah dan mengamuklah mereka. Akhirnya mereka menjadi militan.
Apabila menjadi militan, hakikatnya mereka mengundang risiko yang lebih besar. Mereka akan ditekan oleh Amerika, Barat dan negara-negara musuh yang lain. Hasilnya umat Islam yang tidak bersalah pun dipersalahkan. Musuh tidak akan melepaskan peluang yang ada maka seluruh umat Islam dituduh militan. Agama Islam dan pejuangnya sering dikaitkan dengan pengganas manakala umat Islam terus-menerus menerima tekanan.
Sebagai kesimpulan, untuk membangunkan insaniah manusia hingga benar-benar menjadi hamba dan khalifah Allah yang mampu memakmurkan dunia ini dengan pembangunan dan kemajuan yang bersih tanpa kekotoran bukanlah suatu kerja yang mudah. Hanya utusan Tuhan yang terdiri dari kalangan rasul dan mujaddid sahaja yang mampu memikul tugas ini. Sekiranya ulama-ulama yang lain faham hal ini, mereka tidak akan membuka gelanggang dan wadah sendiri. Mereka akan ikut mujaddid.
Sewaktu ada rasul, walaupun ada ulama, mereka wajib mengikut rasul. Begitu juga halnya di zaman adanya mujaddid, para ulama mesti mengikut mujaddid sekalipun mereka hafaz Al Quran dan Hadis. Perlu diingat, hanya mujaddid sahaja yang Tuhan janjikan. Tetapi pada hari ini, semua yang mendakwa dirinya ulama, ingin membuka wadah dan gelanggang perjuangan sendiri. Akhirnya tidak ada satu gelanggang pun yang berjaya akibat tidak dapat memahami kehendak-kehendak Tuhan dalam hal-hal semasa. Sebahagian daripada mereka sebenarnya amat faham perlunya mengikut mujaddid tetapi nafsu sombong yang menghalang mereka daripada menerima kebenaran yang dibawa oleh mujaddid.
Demikianlah gambaran secara ringkas bagaimana mendidik insaniah manusia. Baru kita faham, untuk mendidik manusia bukan kerja yang mudah. Ia tidak semudah membangunkan material. Kerana itulah membangunkan material boleh dibuat oleh sesiapa pun. Tetapi kerja membangunkan insaniah tidak boleh dilaksanakan oleh sebarang orang. Bagi orang yang faham kenyataan ini, dia mesti bersama orang Tuhan dan bersama mujaddid, barulah perjuangan mengenalkan Tuhan dan syariat-Nya akan berjaya.
Sajak
Manusia yang Tidak Dididik
Secara Tuhan
Manusia yang tidak dididik secara Tuhan
Kenalkan Tuhan, cintakan Tuhan
takutkan Tuhan
Ertinya rohnya terbiar
nafsunya terbiar
akal fikirannya terbiar bersendirian
Sungguh malang, kemanusiaannya gersang
Nafsunya akan melulu, kehendaknya terlalu
halal haram dia tidak peduli
Yang penting kehendaknya lulus
kemahuannya tembus
Rohnya juga terbiar
akibatnya perasaannya diikutkan sahaja
Kalau dia benci sampai mati
kalau dia rasa marah
sampai ke sudah
Berdendam tidak sudah-sudah
sakit hatinya membawa mati
Berfikir untuk tuntunan nafsu jahatnya
bagaimana hendak menjayakannya
Berfikir hendak melepaskan dendamnya
bagaimana hendak melakukannya
Berfikir bagaimana hendak meluah
rasa marahnya
Bagaimana hendak menjayakannya
hingga puas hati
Apa hendak jadi itu lain kira
Yang penting berjaya, puas hati
masuk penjara pun tidak mengapa
Sungguh dahsyat manusia
yang tidak dididik secara Tuhan
Nafsunya rakus, gelojoh, hatinya hitam
oleh mazmumah, hatinya pun keras
akal fikiran tunduk kepada nafsu jahat
Kalau manusia semacam ini ramai di dunia,
dunia sudah jadi neraka sebelum Neraka
Menjelang Maghrib
21 - 02 - 2004
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment