Thursday 14 April 2011

Hayat

Table of contents

1. Matan

2. Pengertian Al Hayat
3. Hakikat Sifat Al Hayat
4. Bahasan Antara Sifat dan Zat
5. Empat Bahagian Sifat 20
6. ALLAH Hidup Buat Selama-lamanya

Matan

AL HAYAT ertinya hidup tiada dengan nyawa dan nafas dan tidak dengan kejadian yang empat anasir dan tiada hidupnya dengan makan minum. Maka hakikatnya ialah satu sifat yang tetap ada qadim lagi azali berdiri pada zat ALLAH Taala. Ia mengesahkan segala sifat yang ada berdiri pada zat daripada sifat idrak (pendapat) iaitu Qudrah, Iradah, Samak, Basar dan Kalam. Dan sifat Hayat itu menjadi syarat pada hukum aqli bagi segala sifat maani (lazim daripada tiada Hayat maka melazimkan tiada sifat maani dan lazim daripada ada Hayat ada segala sifat maani).

Pengertian Al Hayat

AL HAYAT ertinya "hidup". Apabila dikatakan ALLAH Taala bersifat Hayat atau hidup, hidupnya ALLAH SWT itu tidak dengan nyawa. Hidupnya ALLAH SWT juga tidak dengan bernafas. Dan juga ALLAH SWT itu hidup tanpa empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Dengan perkataan lain, zat ALLAH Taala bukannya terdiri daripada unsur-unsur itu. Zat ALLAH SWT itu juga tidak hidup dengan makan dan minum.

Hidup yang ada bernyawa serta hidup yang memerlu kepada bernafas dan hidup yang terdiri daripada unsur tanah, air, api dan angin, serta kemudiannya berkehendak kepada makan dan minum, adalah hidup makhluk. Iaitu hidup benda-benda yang dijadikan; benda-benda
yang baharu.

Manakala ALLAH SWT tidak demikian. Sebabnya ialah nyawa, nafas' unsur yang empat itu, makan dan juga minum, semuanya ALLAH yang menjadikannya. Kerana itu ALLAH tidak memerlukan benda-benda itu. Firman ALLAH SWT:

surat:29 ayat:6

Terjemahannya: Sesungguhnya ALLAH itu terkaya daripada sekalian alam. (Al Ankabut: 6)

Semua benda yang ALLAH jadikan adalah yang baharu atau dikatakan alam. Benda-benda seperti nafas, nyawa, makan dan minum serta tanah, air, api dan angin yang kita sebut tadi adalah termasuk alam yang ALLAH jadikan. Dan kerana ALLAH itu terkaya daripada sekalian alam iaitu ALLAH tidak memerlukan alam sepertimana yang ALLAH firmankan di atas, maka ALLAH tidak memerlukan benda-benda itu. Tegasnya, ALLAH tidak berhajat kepada sekalian alam walau macam mana bentuknya sekalipun.

Sekiranya ALLAH SWT itu memerlukan kepada makan, minum, nafas, nyawa serta empat unsur tadi, maka dengan sendirinya ALLAH telah menyerupai segala yang baharu. Kalaulah ALLAH itu serupa dengan segala yang baharu, tentulah lojiknya ALLAH itu juga bersifat baharu. Sedangkan tiap-tiap yang baharu pula ada sesuatu yang menjadikannya. Kerana itu, berertilah ALLAH itu ada yang menjadikan. Kalaulah ALLAH itu ada yang menjadikan, tentulah bukan ALLAH namanya.

Jadi, kalau ada orang yang mengatakan bahawa ALLAH SWT itu memerlu kepada makan dan minum, memerlu kepada nafas dan nyawa, memerlukan tanah, air, api dan angin, ertinya ALLAH sudah menyerupai segala yang baharu. Dan kalau demikianlah, maka ternafi pula sifat Mukholafatuhu Taala Lilhawadisi bagi ALLAH TAALA. Iaitu sifat yang menunjukkan kepada kita bahawa ALLAH SWT itu berlawanan serta berlainan (tidak serupa) dengan segala makhluk atau segala yang,
baharu.

Oleh sebab itulah hidup ALLAH Taala tidak bernyawa, tidak memerlukan nafas, tidak memerlukan makan dan minum, dan tidak memerlukan tanah, air, api dan angin. Malah hidup ALLAH SWT itu tidak serupa sepertimana hidup makhluk seperti manusia umpamanya. Kalau kita perhatikan, manusia ini hidupnya bermula dari kanak-kanak, kemudian remaja dan selepas itu dewasa, dan akhirnya tua. Tetapi hidup ALLAH SWT tidak sepertimana tingkat-tingkat hidup yang disebutkan itu. ALLAH tidak menempuh hidup zaman kanak-kanak, zaman remaja, zaman dewasa, dan zaman tua.

Hidup makhluk memang ALLAH sunnahkan demikian. Kerana ALLAH yang menetapkan peraturan hidup makhluk ini terutamanya manusia, maka terjadilah sebagaimana yang ALLAH sunnahkan. Tetapi sebaliknya, ALLAH itu tidak ada siapa yang menjadikan, dan sebab itu ALLAH tidak hidup melalui proses tadi. Dan ALLAH tidak mati kerana tidak ada siapa yang hendak mematikan ALLAH, kerana ALLAH tidak ada yang menjadikan. Matinya makhluk seperti manusia ini adalah disebabkan ada yang menjadikan dan kerana itu ada yang mematikan iaitulah ALLAH SWT.

Hakikat Sifat Al Hayat

Kemudian, apakah hakikat sifat Hayat bagi ALLAH SWT? Hakikat sifat Hayat bagi ALLAH SWT ialah suatu sifat yang qadim lagi azali dan yang berdiri pada zat ALLAH SWT. Dengan sifat Hayat inilah mengesahkan segala sifat idrak atau "pendapat".

Apabila kita mengatakan bahawa sifat Hayat ALLAH SWT itu qadim lagi azali, ertinya sifat Hayat ALLAH SWT itu tiada permulaan. Atau boleh juga kita katakan bahawa sifat ini tidak bermula atau tidak didahului oleh tiada. Sebab, sifat Hayat ALLAH SWT ini berdiri di atas zat ALLAH SWT. Kalau zat ALLAH SWT itu tidak ada yang menjadikan yang bererti zat ALLAH SWT itu tidak bermula, maka tentulah sifat ALLAH SWT juga tidak bermula.

Bahasan Antara Sifat dan Zat

Untuk membahaskan antara sifat dengan zat, kita boleh bahaskan sifat dan zat pada makhluk. Kita ambil sekeping kertas sebagai contohnya. Kertas adalah sejenis makhluk. Yang kita dapat lihat pada kertas itu ialah sifatnya. Ertinya, dengan kita melihat sahaja pada benda itu, berdasarkan sifat yang ada padanya, lantas kita mengatakan yang ia adalah kertas.

Kemudian, cuba kita pegang kertas itu agar dapat kita
rasa. Yang dapat kita rasa itulah yang dikatakan zat bagi kertas itu. Dengan itu, apakah dapat kita pisahkan sifat kertas itu dari zatnya? Tentu tidak. Inilah yang dikatakan, sifat berdiri di atas zat. Perbahasan kita ini hanya kepada sifat dan zat makhluk. Sifat dan zat ALLAH SWT tidak boleh kita bahaskan demikian kerana sifat dan zat ALLAH SWT tidak serupa dengan makhluk. Cuma, sifat ALLAH SWT juga berdiri di atas zat-Nya.

Kemudian, dengan sifat Hayat bagi ALLAH SWT inilah yang mengesahkan segala sifat idrak pada ALLAH SWT. Sifat idrak pada ALLAH SWT ialah seperti sifat Qudrah, sifat Iradah, sifat Ilmu, sifat Samak, sifat Basar, dan sifat Kalam. Mengapakah ia dikatakan sifat idrak? Ini
adalah kerana sifat-sifat ini bertakluk atau mengenai pada satu benda lain. Atau dengan kata lain, ada perkara yang diperolehi hasil dari sifat ini.

Sebagai contoh, kita ambil sifat Ilmu bagi ALLAH SWT yang bererti "mengetahui". Hasil dari sifat mengetahui ini ialah ada benda yang diketahui. Begitu pulalah dengan sifat Basar atau melihat; hasil dari sifat melihat, kita dapati ada benda yang kena lihat. Seterusnya sifat Kalam atau sifat berkata-kata yang mana hasil darinya ada benda yang dikatakan. Inilah yang dikatakan sifat idrak atau sifat pendapat atau sifat bertakluk. Iaitu sifat yang melampaui pada benda yang lain.

Empat Bahagian Sifat 20

Manakala sifat-sifat yang lain bagi ALLAH SWT tidak melampaui atau tidak mengenai benda yang lain. Contohnya seperti sifat Qidam iaitu sifat sedia ada. Sifat ini tidak kena kepada benda yang lain, atau tidak melampaui benda yang lain. Atau sifat Baqa' iaitu kekal; sifat ini tidak kena pada yang lain dan kerana itu ia bukannya sifat idrak atau sifat pendapat. Sifat ini tidak ada takluk.

Seterusnya, sifat Hayat bagi ALLAH SWT ini adalah menjadi syarat pada hukum akal bagi segala sifat maani. Adapun sifat 20 ,ALLAH Taala yang kita pelajari ini boleh dibahagi kepada empat bahagian. Setakat ini kita belum lagi hendak membahaskan bahagian-bahagian ini kerana ada 10 sifat bagi ALLAH SWT yang belum kita pelajari. Setelah kita mempelajari kesemuanya, baharulah kita akan bahaskan keempat-empat bahagian itu. Empat bahagian itu ialah:

  1. Sifat Nafsiah
  2. Sifat Salbiah
  3. Sifat Maani
  4. Sifat Maanawiyah

Sebagai keterangan ringkas, sifat nafsiah ialah sifat yang dibangsakan kepada diri atau zat. Sifat ini hanya satu iaitu sifat Wujud bagi ALLAH SWT.

Manakala sifat salbiah termasuklah sifat Qidam, Baqa', Mukholafatuhu Taala Lilhawadisi, Qiamuhu Taala Binafsihi, dan Wahdaniah.

Sifat maani pula ialah yang kita katakan sebagai sifat idrak, iaitulah Qudrah, Iradah, Ilmu, Hayat, Samak, Basar dan Qalam.

Dan yang selain dari sifat-sifat tadi adalah termasuk sifat maanawiyah, iaitulah Kaunuhu Qadiran, Kaunuhu Muridan, Kaunuhu 'Aliman, Kaunuhu Hayan, Kaunuhu Sami'an, Kaunuhu Basiran dan Kaunuhu Mutakalliman. Demikian empat bahagian sifat 20 yang akan kita bahaskan kelak.

Jadi, sifat Hayat bagi ALLAH SWT ini adalah menjadi syarat pada hukum aqli atau akal bagi segala sifat maani. Ertinya, lazim daripada tiadanya sifat Hayat bagi ALLAH SWT ini maka melazimkan tiadanya segala sifat maani. Manakala dengan adanya sifat Hayat bagi ALLAH SWT ini, maka melazimkan adanya segala sifat maani. Mengapakah dikata demikian ? Ini adalah kerana, sekiranya ALLAH Taala itu tidak bersifat Hayat atau hidup, tentulah tidak adanya sifat Qudrah bagi ALLAH Taala dan seterusnya tentulah tidak adanya sifat Iradah bagi ALLAH SWT. Tentulah juga tidak adanya sifat Samak, Basar, Ilmu dan juga Qalam.

Cuba kita bahaskan pernyataan ini secara makhluk
Katakanlah seseorang itu sudah mati iaitu tidak lagi hidup. Apakah sesudah itu ada penglihatan atau pandangan padanya? Dengan ertikata yang lain, apakah seseorang yang sudah mati itu boleh melihat dengan mata kasarnya atau boleh mendengar dengan telinga kasarnya? Kalau masa hidupnya, dia boleh berbuat demikian tetapi setelah dia mati, dia tidak lagi boleh melihat dan mendengar. Dan sesudah dia mati, kekuatannya juga tamat. Begitu jugalah dengan ilmunya, pengetahuannya yang walaupun masa hidupnya dia profesor yang banyak membentangkan kertas kerja, tetapi apabila dia mati, ilmunya pun habis.

Itulah taraf makhluk seperti kita ini. Segala penglihatan kita pendengaran kita kekuatan kita ilmu kita kata-kata kita dan kehendak-kehendak kita semuanya akan habis atau tidak berguna lagi apabila nyawa kita berpisah dari jasad. Sebab, semuanya itu bergantung kepada nyawa kita. Bila nyawa sudah tidak ada, kita tidak boleh cakap besar lagi. Kalau kita sedar semua ini, nescaya kita tidak akan cakap besar. Tetapi, kita masih mahu cakap besar lagi. Sedangkan cakap-cakap kita itu pun tamat apabila kita sudah mati, walaupun masa hidup dulu, cakapcakap kita itu berapi-api hingga terpegun orang mendengarnya. Jadi, lemah sangatlah makhluk ini.

Daripada huraian di atas, kita dapat menyimpulkan pengertian bahawa sifat Hayat bagi ALLAH SWT itu adalah mengesahkan segala sifat maani. Atau dalam kata-kata yang lain, lazim daripada sifat Hayat inilah maka adanya segala sifat maani. Kalau tidak ada sifat Hayat bagi ALLAH SWT ini, maka tentulah tidak ada sifat maani. Bererti, pergantungan sifat maani itu adalah kepada sifat Hayat. Sepertimana yang kita contohkan kepada makhluk di atas tadi yang mana apabila mati saja seseorang itu, maka penglihatannya, pendengarannya, kekuatannya, kehendaknya serta kata-katanya dan ilmunya, semuanya akan tamat. Jadi sifat Hayat bagi ALLAH SWT ini juga menjadi syarat menurut hukum akal tentang adanya sifat maani.

ALLAH Hidup Buat Selama-lamanya

Jadi kalau adalah orang yang mengatakan ALLAH itu mati, maka tidak adalah sifat maani kerana dengan tiadanya sifat Hayat, tidak adalah sifat maani yakni tidak adanya sifat Qudrah, sifat Iradah, sifat Samak, sifat Basar, sifat Ilmu dan sifat Qalam. Tetapi Maha Suci ALLAH itu daripada mati. ALLAH hidup buat selama-lamanya, dan hidup ALLAH SWT itu tidak seperti hidupnya makhluk; hidup ALLAH tidak bernyawa, tidak bernafas, tidak memerlu kepada anasir-anasir tanah, api, air dan angin dan tidak juga memerlu kepada makan dan minum. Hidupnya ALLAH juga tidak melalui proses zaman kanak-kanak, zaman muda remaja, zaman dewasa dan juga zaman tua yang akhirnya mati.

Jadi hidup ALLAH Taala itu adalah hidup tersendiri yang tidak sama dengan hidup makhluk. Dalam hal ini perlulah kita fahamkan benar-benar di sini bahawa sifat idrak itulah yang dikatakan sifat maani. Janganlah kita terkeliru di sini. Dan sifat-sifat yang termasuk di dalam sifat ini ialah Qudrah; Iradah, Ilmu, Samak, Basar dan Qalam. Kemudian sifat idrak ini, ada benda yang kena atau ada benda yang dilampaui atau ada kesan daripada sifat ini. Dengan kata lain, sifat ini bertakluk.

Dan maani pula adalah pecahan daripada perkataan maana yang bermaksud "erti" atau "tujuan". Cuba kita ambil salah satu daripada sifat maani iaitu sifat mendengar. Mendengar ialah maana atau erti ataupun tujuan yang terbit daripada telinga. Dan ini kepada makhluk. Dikatakan sifat mendengar itu sifat muanu juga iaitu sifat mendengar dengan tiada telinga, kerana ALLAH Taala mendengar dengan tiada telinga. Jadi, kalau kepada makhluk, dikatakan sifat mendengar itu sebagai sifat maana dengan ertikata tujuan atau erti mendengar itu daripada telinga. Tetapi ALLAH Taala tidak demikian kerana sepertimana yang kita bahaskan mengenai sifat Mukholafatuhu Taala Lilhawadisi bagi ALLAH Taala, iaitu Maha Suci ALLAH SWT itu daripada menyerupai segala yang baharu.

Sehubungan dengan ini, maka jadilah tujuan sifat maani itu ialah sifat yang ada yang berdiri pada zat ALLAH SWT. Kerana itu, apabila kita katakan ALLAH itu Qudrah atau kuasa, ALLAH itu bersifat Iradah dan lain-lain, maka perkataan ini menunjukkan adanya sifat-sifat bersendirian yang berdiri pada zat ALLAH SWT.

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 2 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

No comments:

Post a Comment