Monday, 11 April 2011

Tuhan Penguasa Mutlak Dunia Dan Akhirat

Ayat keempat Surah Al Fatehah ialah:

Maksudnya:

"Raja (Tuhan) yang Memiliki hari Akhirat."

(Al Fatehah: 4)

Mengapa Tuhan tidak sebut Dia mentadbir hari Akhirat, (Rabbul yaumiddin)? Mengapa disebut Akhirat sahaja, tidak disebut dunia? Inilah tajuk huraian di bawah ini.

Tuhan pilih perkataan 'Malik', 'Yang memiliki' atau boleh dimaksudkan 'Yang Menguasai'. Atau 'Yang Mempunyai Hari Akhirat'. Sebelum itu Tuhan sebut 'alam' iaitu dunia dan Akhirat Dia yabg punya, tetapi sekarang Dia hanya sebut Akhirat sahaja. Mengapa? Di sini kita dapat dua hikmah:

1. Agar manusia dapat melihat kuasa Tuhan secara mutlak.

Mengapa Tuhan tidak sebut 'Tuhan yang menguasai dunia dan Akhirat'?

Mengapa 'dunia' tidak disebut? Apakah kuasa Tuhan di dunia tidak mutlak? Kalau dikatakan 'Tuhan yang menguasai dunia Akhirat', maka bagi orang yang bertuhankan akal; oleh kerana hanya pandang dengan mata; mereka nampak bahawa Amerika pun ada kuasa. Yang sebenarnya, dunia Akhirat itu kuasa mutlaknya di tangan Tuhan tetapi oleh kerana diganggu oleh mata dan oleh akal maka pandangan hati kabur dan pandangan hati tertutup. Seolah-olah kuasa Tuhan di dunia adalah tidak mutlak. Amerika kata, 'Saya kan ada kuasa juga.' Jepun kata,"Saya pun menguasai." Orang Melayu yang jadi hamba kecacai ini berkata, "Amerika tu berkuasa." Sama-sama tunjuk dengan akal.

Tetapi kalau dikatakan Tuhan yang menguasai Akhirat, siapa boleh cakap dia juga kuasai Akhirat? Kalau Tuhan katakan, Dia menguasai dunia Akhirat, manusia terkeliru sebab orang akal akan berkata ada yang lain yang berkuasa. Sebab itu Tuhan tidak sebut begitu. Dia sebut kuasa-Nya di Akhirat. Nampak kuasa Tuhan itu mutlak. Kalau disebut Tuhan menguasai dunia dan Akhirat, hanya orang yang bersih hatinya sahaja yang terasa. Hanya orang rohani saja yang nampak. Berapa banyak orang yang bersih hatinya? Majoriti manusia sekarang menggunakan akal dan mata sehingga terasa ada manusia yang berkuasa di dunia seperti Amerika, Eropah dan Jepun.

Bila sebut Tuhan itu menguasai Akhirat, orang terasa hebatnya Tuhan. Tuhan, tuan punya Akhirat yang mutlak. Tidak ada siapa yang boleh share tentang Akhirat.

2. Tuhan hendak memperkecilkan dunia

Bila Tuhan sebutkan Akhirat sahaja, tidak sebut pun dunia, ertinya dunia tiada harga. Seolah-olah Tuhan berkata begini, "Dunia tiada harga pada Aku, tiada nilai walau sebelah sayap nyamuk pun. Sedangkan Kamu berebut sehingga bergaduh dan berperang kerana berebutkan dunia itu. Oleh kerana dunia tidak ada harga bagi-Ku maka satu masa Aku akan kiamatkan, Aku hancurkan sehingga tiada apa yang tinggal melainkan Akhirat dan Aku." Terasalah hinanya dunia yang manusia pandang mulia, yang direbutkan sampai berperang, tiba-tiba Tuhan hancurkan begitu sahaja.

Nampak hinanya dunia ini. Ini hikmahnya. Kalau dapat disyarahkan begitu, orang dapat dibangunkan rohnya. Dunia tidak ada nilai. Kalau ada nilai, Tuhan tidak akan hancurkan. Akhirat itu dikekalkan, menunjukkan begitu berharganya Akhirat.

Inilah hikmah-hikmah terbesar selain daripada hikmah lain yang banyak. Bila disebut 'Malikiyau middin', terasa kuasa Tuhan yang mutlak. Tidak ada campur tangan. Untuk menunjukkan kepada manusia bahawa kuasa Tuhan itu mutlak agar nampak kekuasaan itu.
Selain itu, oleh kerana manusia pandang mulia akan dunia itu sehingga mereka bergaduh kerananya, Tuhan hancurkan begitu sahaja agar manusia terasa tiada harganya dunia itu. Mengapa kita bergaduh berebutkan sesuatu yang tidak bernilai. Tetapi manusia tidak pernah dididik begitu.

Orang kata, "Dunia hendak, Akhirat pun hendak juga." Rosaklah. Orang kata janganlah lupa dunia tetapi sebenarnya mereka melupakan Akhirat. Mereka memang percayakan Akhirat tetapi mereka kata, "Memang Akhirat penting, perlu utamakan Akhirat tetapi jangan lupakan dunia." Begitulah yang ulama syarahkan.

Tetapi kenyataannya mereka perlekehkan Akhirat. Konon Akhirat itu penting tetapi tindak tanduknya mementingkan dunia. Kalau ingat Akhirat pun sekali-sekala. Sebab itu Tuhan sebut 'Malikiyau middin'. Tuhan hendak tunjukkan kekuasaan-Nya secara mutlak di Akhirat dan dunia itu dihancurkan secara mutlak untuk menunjukkan tiada harganya.

3. Manusia mukmin di Akhirat bebas merdeka

Tuhan tidak pilih perkataan rabb tetapi Maliki, menunjukkan Tuhan tidak guna perkataan mentadbir atau mendidik. Padahal di dunia Tuhan mendidik, di Akhirat pun Tuhan mendidik. Tidak lepas dari didikan, ilmu dan kehendak Tuhan. Mengapa Tuhan sebut begitu (yang Memiliki Hari Akhirat)? Supaya jelas bahawa manusia mukmin di Akhirat kelak akan bebas sebebasnya.

Seolah-olah Tuhan tidak campur tangan. Indahnya hidup, bebas merdeka (tetapi Maha Suci Tuhan dari tidak campur tangan). Seolah-olahnya begitu kerana hendak hiburkan manusia. Kalau guna kalimah rabb, masih nampak campur tangan Tuhan. Itu cara Tuhan hendak hiburkan manusia. Begitu juga kalau masuk Neraka, Tuhan begitu sahaja seolah-olah Tuhan tidak campur tangan. Mustahil Tuhan tidak campur tangan tetapi sengaja Tuhan hendak beritahu, seolah-olah Tuhan tidak peduli langsung. Seolah-olahnya begitu.

Kalau di dunia kena hukum, boleh juga makan. Tidak terasa takut sangat tetapi di Neraka, Allah tidak peduli langsung. Yang di Syurga pula bebas sebebasnya. Tidak ada peraturan atau undang-undang. Apa yang dikehendaki, boleh dapat. Hendak jadi raja, boleh. Hendak terbang pun boleh. Syurga itu besar. Kalau ada yang hendak minta jelajah dalam satu saat, boleh, dengan kuasa Tuhan. Bebas sebebasnya. Sebab itu Tuhan pilih kalimah, 'Malikiyau middin'.

4. Mengembara dalam sembahyang melihat dahsyatnya hari Akhirat

Kalau manusia mampu menghayati, maka manusia akan boleh mengembara dalam sembahyang untuk melihat kedahsyatan yang Allah lakukan di Padang Mahsyar di mana manusia akan berada di bawah matahari yang terik tanpa pakaian selama beratus tahun Akhirat mengikut ukuran Akhirat (satu hari Akhirat bagaikan 100 tahun di dunia). Tetapi orang mukmin diberi kebebasan.

Mudah-mudahan kita akan menjadi orang Akhirat. Tadi disebutkan, di dunia ini ada tiga golongan manusia iaitu orang mata, orang akal dan orang roh. Orang rohani itu melihat tidak seperti orang mata atau orang akal melihat. Orang rohani itu tidak ramai, mereka yang boleh menganggap dunia ini Tuhan punya sedangkan manusia lain menganggap dunia ini mereka punya. Walhal kita tidak patut jadi tuan punyanya. Yang paling rugi, kita rebut dunia yang kita nampak emas, intan berliannya, sedangkan di sisi Tuhan ia umpama bangkai yang tiada nilai apa-apa walaupun senilai sebelah sayap nyamuk.

Katalah orang bergaduh kerana dunia, yakni hendak menguasai beberapa negara. Bukan semua negara dia boleh dapat. Mungkin dapat 2/3 dunia. Kalau keseluruhan dunia itu tiada nilai, dapat 2/3 dunia tentu makin kecil dan makin tiada nilai. Katalah Amerika dapat kuasai 1/2 dunia, maka lebih-lebih lagi tidak berguna sebab ia bukan dapat semua. Mati masuk Neraka. Kalau masuk Neraka pun boleh tahan juga sebab dia sudah dapat 1/2 dunia. Pada logik akal, kalau bergaduh kerana hendak tawan dunia, boleh tahan juga. Tetapi bergaduh cuma kerana berebutkan ikan dalam pinggan sahaja sampai masuk Neraka, atau dalam kelas, ada beberapa puluh murid, bergaduh sebab hendak jadi ketua, sehingga bakar sekolah, hanya kerana itu masuk neraka, betapa ruginya. Sampai sanggup perkecilkan guru, mak ayah dan timbulkan huru-hara. Tidak payahlah pandang dengan hati, dengan akal pun sudah terasa bodohnya manusia begitu. Kalau tidak taubat, walaupun bergaduh hanya kerana berebut seekor ikan bilis, boleh masuk Neraka!


Sajak

Akibat Tidak Takut Tuhan
dan Hari Pembalasan

Kalau manusia sudah tidak takutkan Tuhan
Tidak ngeri dengan Hari Pembalasan
Apa alasan, manusia dapat menahan diri
Daripada membuat kejahatan
Kalau pun dia tidak buat jahat
Hanya berlakon di depan manusia dan insan
Di belakang manusia dibuat kejahatan macam syaitan
Lebih-lebih lagi kalau dia ada kuasa
Dengan kuasanya boleh menyorok kejahatan
Kalau dia buat kejahatan
Siapa berani hendak menghukumnya
Dia ada kuasa boleh menghukum orang
Dia boleh lari dari hukuman
Lebih-lebih lagi yang buat jahat itu raja dan sultan
Dia hanya boleh menghukum
Tapi terlepas dari hukuman
Sedangkan orang berkuasa
walaupun tidak nampak kejahatannya
Padahnya besar sekali
Membabitkan agama, negara dan bangsa
Rakyat jelata sekalipun dia jahat
Tetapi kejahatannya tidak seperti
orang yang berkuasa
Di samping mereka tidak boleh menghukum
Kerana tidak ada kuasa kepada mereka
Mereka terdedah kepada hukuman
Kejahatan mereka buat walaupun banyak
Tapi masih dapat dibendung
dengan sekatan dan hukuman
Tapi kalau orang yang berkuasa membuat jahat
Yang menyebabkan agama, bangsa dan negara
Mereka dapat menyorokkan kejahatan
Atau mereka terlepas daripada hukuman
Kalaupun berlaku
jarang-jarang sekali di dalam kehidupan
Kejahatan yang dilakukan
oleh orang-orang yang berkuasa
Lebih besar daripada yang dilakukan
oleh rakyat jelata
Kerana itulah setiap manusia itu
Lebih-lebih lagi yang berkuasa, raja atau sultan
Kena takutkan Tuhan
Kena takutkan Hari Pembalasan
Mengutamakan Akhirat
daripada dunia yang sementara
Semua manusia tidak kira yang berkuasa
Atau rakyat jelata, kena dididik
Supaya manusia itu apa statusnya sekalipun
takutkan Tuhan
Agar mereka tidak buat jahat
Dan menjadi baik
Untuk faedah manusia dan insan
Apa yang berlaku di dunia
Walau tinggi kedudukan mereka
Walau hebat status kehidupan
Semakin jauh daripada didikan
Siapa berani mendidik mereka?
Kerana mereka tinggi kedudukan
Jadi yang dibisingkan di dunia ini
Kejahatan rakyat jelata
Tetapi kejahatan orang yang berkuasa
tidak dihebohkan
Walaupun orang tahu, tetap ditutupkan
Begitulah watak dunia
Yang selalu kena hukum rakyat jelata
Yang jarang kena hukum orang yang berkuasa
Padahal kejahatan orang yang berkuasa
Lebih bahaya kepada agama, bangsa dan negara
Oleh itu orang yang berkuasa
Sepatutnya lebih takut dengan Tuhan
daripada rakyat jelata.

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

1 comment: