Kalau dulu, ajaran yang dibawa oleh Rasulullah macam air yang begitu jernih yang tidak perlu diproses atau ditapis lagi kerana ianya datang dari sumber yang asli. Siapa yang meminumnya bukan saja boleh melepaskan dahaga tetapi boleh menyihatkan badan. Itulah ajaran Islam. Itulah kebenaran dari Tuhan. Itulah ajaran aqidah atau tauhid, syariat dan akhlak. Inilah ajaran-ajaran kebenaran dari Tuhan. Itulah air yang paling jernih. Air yang telah menjadi ubat kepada dunia waktu itu. Air yang dapat membaiki aqidah, roh, nafsu, hati, lahir dan batin manusia. Itulah kebenaran yang asli dari sumber yang asli.
Setelah lebih 1400 tahun ditinggalkan oleh Rasulullah, air kebenaran itu sudah mengalir begitu jauh dan memakan masa yang lama. Perjalanannya begitu jauh sebelum sampai ke destinasinya iaitu laut. Air itu sudah menempuh berbagai-bagai keadaan sepanjang alirannya. Sudah melalui lumpur, bertemu dengan rumput-rumput busuk, kayu-kayu yang reput dan najis-najis haiwan yang telah bercampur baunya dengan air tersebut. Sebab itu bila sampai kepada kita hari ini, air itu sudah berubah dan itulah yang kita minum. Ada yang minum air mustakmal, air mutanajis dari najis mughalazah, mutawasitah, mukhafafah, air berlumpur, air yang sudah bercampur dengan najis haiwan dan air yang sudah bercampur dengan daun-daun kayu yang sudah busuk.
Hasil meminum air yang sudah begitu berubah, maka akibatnya adalah seperti apa yang kita lihat sedang berlaku pada masyarakat orang Islam:
1. Umat Islam terdiri daripada berbagai bangsa dan etnik yang duduk di berbagai-bagai negara. Setelah meminum 'air' yang sudah digambarkan tadi, dengan maksud 'menerima kebenaran yang sudah berubah', apa sudah terjadi kepada dunia Islam? Apa sudah terjadi kepada masyarakat Islam? Yang telah terjadi adalah aqidah mereka dan pegangan agama mereka terbahagi kepada 73 golongan dengan 73 mazhab. Itu yang pokok atau yang asas. Kalau dikaji dengan lebih halus, dalam perpecahan aqidah itu ada perpecahan lagi. Dan dalam perpecahan itu ada perpecahan lagi dan begitulah seterusnya dari segi aqidah dan dari segi pegangan agama itu sendiri. Maka akhirnya sudah terpecah kepada 700 pecahan. Itu perpecahan dari segi aqidah dan pegangan agama. Dari segi itu pun sudah cukup menakutkan kita. Sudah rasa mustahil untuk disatukan semula.
2. Sesudah itu, timbul lagi perpecahan lain, contohnya perpecahan dari segi politik. Ada yang berfahaman komunis, sosialis, kapitalis dan ada yang berfahaman demokrasi. Ada juga yang berfahaman pragmatisme. Di dalam semua itu ada lagi perpecahan. Di dalam kapitalis itu, ada pecahan-pecahan kapitalis. Begitu juga dalam demokrasi, sosialis dan sebagainya. Tidak diketahui berapa pecahannya. Itu semua tambah menakutkan. Perpecahan pertama itu pun sudah susah hendak disatukan. Datang lagi perpecahan yang kedua dan seterusnya.
3. Berlaku pula perpecahan atas nama bangsa. Dulu Rasulullah dapat mengikat semua bangsa dengan satu aqidah hinggakan pada waktu itu mereka malu hendak menyebut nama bangsa masing-masing. Sebagai contoh, sebelum kedatangan Rasulullah, seseorang itu berbangga kerana berbangsa Mesir. Di zaman Rasulullah, mereka berbangga mengaku diri orang muslim dan bukan bangsa Mesir. Hendak menyebut bangsa pun sudah tidak mahu. Semua etnik hanya mahu mengaku dirinya muslim. Tetapi sekarang, masing-masing berbangga dengan bangsa sendiri. Contohnya, seseorang itu bangga mengaku dirinya orang Melayu atau orang Arab, Jordan, Iraq, Indonesia, Jawa, Banjar, Cina, Turki dan sebagainya. Atas nama bangsa, berpecah lagi. Dalam satu bangsa pula berpecah lagi sehingga entah berapa ratus perpecahan kecil. Lagilah rasa mustahil hendak disatukan.
4. Tidak cukup dengan itu, ditambah lagi dengan perpecahan-perpecahan di sudut lain pula. Contohnya, perpecahan dari sudut status. Orang kaya tidak boleh bersatu dengan orang miskin. Orang pandai tidak boleh bersatu dengan orang yang tidak pandai. Orang yang ada jawatan tidak boleh bersatu dengan yang tidak ada jawatan. Berpecah lagi atas nama status. Bahkan dalam perpecahan status itu pun, banyak lagi perpecahan-perpecahan kecil. Lagi menakutkan. Sehingga terasa sudah hancur lebur umat Islam hari ini. Tidak cukup dengan perpecahan itu, timbul lagi perpecahan orang kampung tidak boleh bersatu dengan orang bandar.
5. Kita belum lagi menceritakan atau menggambarkan perpecahan di sudut umat Islam tidak beramal. Dari huraian tadi, dapat dilihat dengan akal tentang gambaran perpecahan manusia dan umat Islam serta sudut-sudut perpecahan. Kalaulah perpecahan-perpecahan yang sudah banyak berlaku seperti yang digambarkan tadi adalah perpecahan yang berlaku sambil umat Islam terus beramal, maka itu masih boleh tahan. Boleh tahan kalau dikatakan seseorang itu walaupun berbeza dan tetap dengan apa yang dipunyainya dan apa yang ada padanya tetapi tetap bertindak dan beramal dengan amalan yang sama. Tetapi kebanyakannya tidak beramal. Keyakinan masing-masing yang sampai berpecah dengan orang lain itu dalam keadaan tidak beramal. Buktinya boleh diambil dari satu sudut yakni ibadah. Dalam 73 mazhab itu, dalam setiap satu mazhab, ramai yang tidak sembahyang. Maknanya mazhab itu boleh dinamakan mazhab yang tidak beramal. Kalau ada mazhab yang beramal, itu boleh tahan. Setidak-tidaknya, nampaklah hasil dari keyakinan itu, iaitu ada sikap, tindakan, atau projek yang terhasil. Setidak-tidaknya bagi orang yang hendak mencari kebenaran boleh memilih berdasarkan hasil dari keyakinan itu. Tetapi 73 mazhab yang berpecah itu ialah mazhab yang tidak beramal.
6. Dalam 73 mazhab itu, ada yang berjuang dan ada yang tidak berjuang walaupun aqidahnya sama. Orang yang berjuang dan tidak berjuang bukan boleh berdekatan. Mereka sentiasa renggang. Itu satu perpecahan lagi iaitu perpecahan antara yang berjuang dan yang tidak berjuang. Bagi yang berjuang pula ada bermacam-macam cara, walaupun dalam satu fahaman dan dalam aqidah yang satu. Bila hendak berjuang, lahirlah teknik, cara atau method yang tidak sama. Ada yang militan, ekstrim, cara politik, cara kebajikan, ada cara kasih sayang dan sebagainya. Dalam perjuangan pun ada perpecahan lagi.
7. Berlaku juga perpecahan di aspek lain iaitu dalam hal perasaan-perasaan yang dinamakan mazmumah. Ini disebut perpecahan dalam mazmumah. Setiap mazhab ada yang hasad dengki, lahirlah mazhab hasadiah (hasad dengki). Begitulah seterusnya, lahir mazhab pemarah, mazhab ego dan berpecah lagi kepada pecahan-pecahan lain.
Jadi kalaulah masyarakat orang Islam sudah begitu sekali rupa perpecahannya sehingga tidak ada satu sudut kecil pun yang tidak ada perpecahan, ertinya, bolehlah dikatakan masyarakat umat Islam ini sudah kronik penyakitnya dan sudah menunggu maut atau nazak. Para doktor pun sudah bingung, bagaimana hendak mengubatinya. Malah para doktor pun terkena penyakit yang sama. Walaupun ada doktor namun hakikatnya seperti tidak ada doktor.
Kalau diibarat barang busuk, dunia Islam ini penuh dengan najis. Tidak tahu bagaimana hendak dibasuh atau di mana hendak dimulakan proses pembersihan itu. Walaupun ulama ramai tetapi ulama pun terkena najis yang sama.
KEDATANGAN MUJADDID SETIAP AWAL KURUN
Oleh kerana dunia hari ini sudah tidak ada rasul maka jangan menganggap bahawa ada lagi rasul yang akan datang. Bahkan sesiapa yang menganggap ada lagi rasul yang akan datang, ia kafir kerana anggapan itu bertentangan dengan Hadis dan bertentangan dengan Al Quran. Tetapi dengan kasih sayang Tuhan, walaupun tidak ada lagi rasul dan nabi, Tuhan melahirkan pemimpin yang ditunjuk, yang bukan rasul dan bukan nabi tetapi berwatak rasul. Tidaklah 100% berwatak rasul tetapi sebahagian besarnya ada watak rasul. Tentulah pemimpin itu dibezakan daripada rasul yang sebenar. Dan pada peribadinya ada watak-watak rasul. Itulah yang dikatakan mujaddid atau reformer (yang membaharukan).
Mujaddid inilah yang Tuhan utuskan setiap 100 tahun sekali iaitu setiap awal kurun hijrah sebagai pengganti rasul sebab rasul sudah tidak ada. Sekarang, umat Islam sudah menerima kedatangan 14 orang mujaddid. Peranan mujaddid itu pula tidak sama antara kurun ke kurun kerana tugasnya hendak membaiki masyarakat mengikut sekadar rosaknya masyarakat itu. Sebagai gambaran, kalau seorang doktor berhadapan dengan seorang pesakit yang penyakitnya ringan sahaja, doktor tersebut hanya memberi pil-pil sahaja. Itu sudah cukup. Tidak perlu diberi suntikan dan rawatan lain kerana dengan makan pil sudah mencukupi.
Jadi, apabila mujaddid datang, Tuhan berikan ilmu kepada mereka sekadar untuk membolehkan mereka membaiki apa yang rosak di zamannya. Contohnya, mujaddid pertama iaitu Umar bin Abdul Aziz, hanya membaiki sistem pemerintahan. Sebab masyarakatnya pada waktu itu masih lagi masyarakat salafussoleh, iaitu masyarakat yang masih baik dan tidak rosak. Masyarakat yang baik yang disebut oleh Rasulullah ialah 300 tahun dari zaman Rasulullah. Umar bin Abdul Aziz datang 100 tahun selepas Rasulullah. Ketika itu aqidah, ibadah, syariat dan akhlak masih baik. Yang sudah mula rosak sedikit ialah sistem pemerintahannya. Sebab itu dia tidak perlu umur yang panjang. Dia hanya hidup (sebagai mujaddid) di dua tahun pertama, awal kurun kedua. Selepas itu dia wafat.
Selepas itu datang mujaddid yang kedua, pada awal kurun yang ketiga, iaitu Imam Syafie. Zaman itu masih sekitar zaman salafussoleh. Jadi kedatangan beliau tidaklah pula untuk memproses aqidah atau akhlak kerana semua itu masih baik. Bahkan perpaduan masyarakat masih baik. Tetapi ada masalah pada masa itu iaitu para ulama tidak pandai berijtihad. Sedangkan dunia sudah berkembang dan banyak hal-hal baru yang tidak ada di zaman Rasulullah tetapi sudah mula ada pada zaman itu. Masyarakat Islam mahukan panduan macam mana hendak melihat perkara ini dari perspektif Al Quran dan Hadis. Maka Allah bagi ilmu itu kepada Imam Syafie. Di tangan beliau lahirlah Usul Fiqh dan Qawa'idul Fiqh. Kaedah yang dibawanya diguna pakai oleh semua mazhab sehingga ke hari ini.
Jadi orang sudah mula pandai berijtihad dalam hal-hal fekah menggunakan dua panduan tadi. Mazhab-mazhab yang datang kemudian ikut merujuk kepada kaedah ini dan menerima kaedah Imam Syafie. Selepas selesai kerjanya, Imam Syafie wafat pada 204 Hijriah. Dia menjadi mujaddid hanya selama 4 tahun sejak tahun 200 Hijriah.
Kemudian lahir mujaddid yang ketiga iaitu Abu Hasan Al Asyaari. Masih dalam sekitar 300 tahun selepas Rasulullah iaitu zaman salafussoleh. Oleh kerana Islam sudah 300 tahun umurnya maka fahaman-fahaman luar seperti dari Yunani, Parsi, India dan lain-lain mula mempengaruhi umat Islam. Fahaman-fahaman tersebut membawa Muktazilah dan sebagainya. Maka aqidah umat Islam sudah mula dikotori. Sebab itu mazhab pertama dari segi aqidah ialah fahaman Muktazilah. Imam Abu Hasan Al Asyaari, mujaddid ketiga datang untuk membaiki sudut aqidah yang sudah bercampur dengan fahaman Muktazilah. Oleh kerana hendak menolak fahaman-fahaman falsafah yang merosakkan aqidah umat Islam maka Tuhan bekalkan khusus kepada Imam Abu Hassan kaedah mempelajari ilmu tauhid iaitu sifat 20.
Jadi hinggalah seterusnya, apabila sudah keluar dari zaman salafussoleh, kerosakan semakin banyak. Mujaddid-mujaddid yang datang adalah untuk membaiki kerosakan-kerosakan yang semakin banyak. Sekarang sudah 15 kurun berlalu. Kerosakan itu sudah berlaku di semua sudut. Sudut aqidah, syariat, cara berfikir, ekonomi, politik, perpaduan dan lain-lain lagi. Maka mujaddid kurun ini sangat berat kerjanya. Seolah-olah macam kedatangan para rasul yang hendak membaiki semua penyakit secara total. Sebab itu di kurun ini ada dua orang mujaddid diutuskan yang bertujuan untuk kuat-menguatkan iaitu yang pertama Pemuda Bani Tamim dan yang kedua Imam Mahdi.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Daripada Dzar, dari Abdullah, Rasulullah SAW bersabda: "Jika umur dunia tinggal sehari sahaja, nescaya Allah SWT memanjangkan hari itu sehingga bangkit padanya seorang lelaki dari keturunanku atau dari kaum keluargaku, yang namanya menyerupai namaku dan nama bapanya menyerupai nama bapaku, dia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana (sebelumnya) bumi dipenuhi kezaliman dan kekejaman." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar r.a., bahawa Rasulullah SAW sambil memegang tangan Sayidina Ali, baginda berkata: "Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu meyakini demikian itu hendaklah bersama Pemuda dari Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang panji-panji Al Mahdi." (Riwayat At Tabrani)
Kedua-dua mujaddid ini akan bergabung untuk membaiki kerosakan umat yang telah berlaku secara total. Mereka akan mengembalikan dunia kepada suasana aman damai, harmoni, bersatu padu, membawa keadilan dan kemakmuran. Manusia kembali cinta dan takutkan Tuhan. Tuhan akan dibesarkan dan diagungkan dalam setiap aspek kehidupan manusia sejagat.
Sajak
Ke Mana Pergi Sudah Tidak Selamat Lagi
Ke mana sahaja mahu pergi sudah tidak selamat lagi
Di mana sahaja kita berada keamanan tidak terjamin
Aduh! Ketakutan berlaku di mana-mana
Kebimbangan sentiasa memburu
di mana sahaja kita berada
Tiada manusia yang boleh dipercaya lagi
Hidup keseorangan tidak mungkin
Hidup bersama orang, takut sentiasa memburu
Aduh ke mana mahu lari?
Ke masjid tempat kata-mengata dan mencerca
Di pasar-pasar tempat penipuan dan berlalai-lalai
Di tempat-tempat keramaian
dan di stesen-stesen bas atau keretapi
tempat penyeluk saku
Bersama orang kaya, kita terhina
Kerana mereka sombong dan berbangga
Bersama orang politik, berkawan tidak setia
Masing-masing mementingkan diri
Sudah dapat kawan, mudah pula jadi lawan
Pagar-pagar negara, ibarat pagar makan padi
Para ulama hasad dengki
Membangga diri, memuji diri
Payah hendak dijadikan kawan sejati
Di tempat-tempat gelap
di kawasan-kawasan sunyi
bahaya sekali
Di situlah tempat kidnap dan rogol
Pemuda-pemudi liar, tidak boleh dikawal
Pergaulan bebas, hingga melahirkan anak-anak zina
Berlakulah bayi dibuang di mana-mana
Membuang bayi macam buang anak kucing
yang dibenci
Orang-orang tua sudah hilang wibawa
Kerana maruah mereka tidak dijaga
Hingga ada yang menjadi
haruan makan anak sendiri
Aduh sedihnya!
Hidup sentiasa di dalam ketakutan
Tuhan!
Datangkanlah penyelamat dengan segera
Agar kasih sayang berbunga semula
Menjelang tidur
25 - 07 - 2001
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi |
No comments:
Post a Comment