Monday, 11 April 2011

Pemurah dan Penyayangnya Tuhan

Ayat ketiga Surah Al Fatehah ialah:

Maksudnya:

"Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."

(Al Fatehah: 3)

Ada orang menterjemahkannya:

"Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang."

Saya cenderung untuk memilih terjemahan: "Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."

Pengasih dan Penyayang itu maknanya sama saja. Manakala Pemurah dan Penyayang ada bezanya.

Dilihat dari segi nahu, kedua-dua perkataan rahman dan rahim ini akarnya dari perkataan rahima-rahmanu-yarhamu. Kalau diterjemahkan sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang, maka banyak kesilapannya di sini. Mengapa? Mari kita bahaskan.

Kalau kita terjemahkan sebagai Maha Pengasih dan Maha Penyayang, bila Tuhan beri nikmat kepada orang yang ingkar dan mungkar atau orang kafir, adakah atas nama Tuhan yang pengasih? Seolah-olah sama sahaja tujuan Tuhan memberi. Tuhan beri kepada orang jahat atas dasar kasih dan Tuhan beri kepada orang baik pun atas dasar kasih. Jika begitu tidak adillah Tuhan. Maha Suci Tuhan dari sifat yang demikian.

Sesetengah orang tidak berhati-hati menterjemah. Satu perkataan pun, kalau salah terjemah, huraiannya boleh rosak. Sebab itu bukan senang hendak tafsir Quran. Sebelum menghurai, perlu tahu bahasa dahulu sebab bahasa itu asasnya. Makna lafaz itu asas. Kalau lafaz itu sudah tersalah, kalau yang dihurai itu panjang, berapa banyak yang tersilap.

Saya cenderung memberi makna rahman itu pemurah. Kalau seseorang itu memberi atas dasar pemurah, tidak semestinya dia kasih. Kadang-kadang orang pemurah itu, kalau ada orang yang susah, biasanya dia memberi kepada orang susah itu lebih banyak daripada dia memberi kepada orang yang dia kasih. Mungkin orang yang dia kasih itu sudah senang maka dia tidak perlu beri banyak. Tetapi orang yang dia tidak kasih itu susah, maka dia beri lebih atas dasar dia pemurah. Beri atas dasar pemurah, bukan semestinya kasih atau sayang. Sebab itu Tuhan buat dua nama. (Rahman dan Rahim) Kalau maksudnya sama, kenapa Tuhan sebut dua. Mengapa tidak sebut 'bismillahirrahman' sahaja atau 'bismillahirrahim" sahaja.

Rupanya Tuhan beri nikmat kepada makhluknya ada dua kategori, sama ada nikmat lahiriah, maknawiah atau nikmat rohaniah, iaitu:

1. Atas dasar pemurahnya Tuhan
2. Atas dasar kasih sayangnya Tuhan

1. Pemberian Tuhan pada manusia kerana pemurahnya Tuhan

Bagi orang jahat atau orang kafir, Tuhan beri nikmat atas dasar pemurah bukan atas dasar rahmat tapi atas dasar istidraj. Kadang-kadang Tuhan beri lebih banyak kepada orang kafir daripada orang Islam seperti banyak harta, banyak ilmu dan kuasa.

Ini supaya nanti di Akhirat adillah mereka menerima bala yang lebih dahsyat. Seorang yang apabila diberi sedikit, maka dosanya di atas yang sedikit itu dan bila diberi banyak, maka dosanya di atas yang banyak itu. Oleh kerana dia orang jahat, tentu dia akan salah gunakan nikmat itu. Ertinya dengan nikmat itu Tuhan hendak tambahkan bala dan azab kepada orang itu di Akhirat.

Rupanya dari kenyataan ini, apabila Tuhan beri sedikit atas dasar pemurah kepada orang jahat, walaupun lahirnya atas dasar istidraj, tetapi di situ ada rahmat Tuhan. Apabila dia diberi sedikit maka dosa orang itu di atas yang sedikit tadi. Ternyata dalam pemberian Tuhan pada manusia kalaulah manusia fahami maka kita akan sedar bahawa dalam hikmah ada hikmah. Dalam rahsia ada rahsia.

Maha Besar Tuhan, Tuhan beri sedikit pada orang jahat atas dasar pemurah itu rupanya ada rahmat. Oleh kerana dia jahat, kalau diberi banyak maka akan banyak lagi dia terlajak dan lebih berat lagi dia akan menanggung dosa di Akhirat kelak. Dalam jahat itu ada rahmat juga yakni supaya dia tidak teruk sangat di Akhirat. Yang dapat banyak, tandanya Tuhan sudah marah sangat dan dia akan parah di Akhirat. Jadi, bila Tuhan beri kerana marah, itu pun masih ada kasih sayang dan rahmat.

Selain itu, apabila pemberian itu atas dasar pemurah, side effectnya banyak. Di situ ada istidraj. Misalnya, kalau kita kaya, mungkin banyak penyakit, hidup dalam ketakutan kerana ada sahaja orang yang hendak bunuh, hendak tembak, hendak kidnap. Kalau berkuasa pula, rakyat benci. Terpaksalah dijaga oleh pengawal berlapis-lapis. Apalah seronoknya berjalan dalam keadaan dikawal. Mana lebih seronok, bebas berjalan seorang diri ke sana ke mari dengan penuh rasa selamat atau kita berjalan dengan dikawal berlapis-lapis. Kalau ramai orang, tentu perasaan terasa rimas dan lemas. Bagi yang ingin rileks sahaja, tentu suka jalan seorang dan rasa selamat. Indahnya kalau pemimpin begitu.

Oleh itu, kalau Tuhan beri atas dasar kasih sayang, dapat sedikit pun tidak mengapa. Kalau Tuhan beri atas dasar pemurah tetapi istidraj, nahaslah. Kalau tidak di dunia, jangka panjangnya akan berlaku di Akhirat.
Kenapa orang jahat pun Tuhan beri, atas dasar pemurah?

a. Di dalam Al Quran, Tuhan sudah berjanji dengan diri-Nya dan Dia tidak akan mungkir janji. Tuhan sudah berjanji pada azali lagi, selagi makhluk-Nya hidup, Dia jamin makan minumnya. Bukan kerana sayang tetapi kerana Dia sudah berjanji. Sekalipun pada orang jahat, Allah jamin rezekinya. Begitulah Tuhan kalau sudah berjanji pada diri-Nya. Perkara ini kita susah hendak buat. Kita bohong dengan orang dan bohong dengan diri sendiri. Katalah kita niat hendak sembahyang malam lebih sedikit tetapi setelah empat rakaat, sudah rasa tidak larat. Padahal sudah janji malam tadi hendak sembahyang lebih. Janji dengan diri pun tidak boleh ditunaikan. Apatah lagi janji dengan orang. Rupanya kerana Tuhan sudah berjanji, maka Dia beri rezeki, beri kuasa atas dasar janji-Nya itu.

b. Selain itu, Tuhan menganggap dunia ini tiada nilainya maka Tuhan beri pada orang kafir atas dasar pemurah-Nya. Dalam satu Hadis Qudsi Tuhan menyebut:


"Kalaulah dunia ini ada nilainya setimbang sebelah sayap nyamuk pun, maka orang kafir tidak akan dapat makan."

Bagi Tuhan, dunia ini langsung tidak ada nilai walau sebesar sayap nyamuk. Dunia ini walaupun besar, ada emas, ada timah, ada berlian, ada Jepun, Amerika dan Eropah tetapi Tuhan beritahu kita, seluruhnya itu kalau hendak dibandingkan dengan sebelah sayap nyamuk pun tidak ada nilainya. Kalau dunia ini ada nilai sekalipun hanya sekadar senilai sebelah sayap nyamuk, pasti Tuhan tidak akan beri kepada orang kafir dan orang jahat.

Maka sebab itulah nabi-nabi dan rasul menghayati perkataan 'arrahmanir rahim' itu. Mereka bangga dan rasa indah dengan miskin sebab mereka tahu Tuhan hendak kayakan mereka di Akhirat. Bagi mereka dunia tiada harga langsung, walaupun seharga sebelah sayap nyamuk. Macam kita pandang pasir itu tidak ada harga. Ambillah siapa yang mahu, ia menyusahkan sahaja.

Jadi Tuhan beri itu atas dasar janji. Atas dasar rahmat Rasulullah yang mana tidak dijadikan dunia kalau bukan atas dasar Nur Muhammad. Dunia tidak ada harga. Sebab itu orang-orang jahat dapat lebih dari orang baik. Tapi kalau orang itu tidak baik sangat, dia risau mengapa dia susah. Kalau Tuhan balikkan nanti, beri banyak, dia tidak tahan akhirnya dia dapat nikmat yang banyak itu bukan dari kategori kasih sayang tetapi atas dasar pemurahnya Tuhan sahaja, lagi malanglah ia.

2. Pemberian Tuhan pada manusia kerana kasih sayang-Nya

Kalau Dia beri nikmat itu atas kasih sayang, maka ia selamat lagi menyelamatkan. Kalau Dia beri atas dasar pemurah, maka ia berisiko sedikit kerana tidak ada rahmat. Mengapakah Tuhan beri lebih kepada orang kafir atau fasik sedangkan kepada orang baik itu, atas dasar kasih sayang, diberi-Nya sedikit? Di sini ada rahsia Tuhan. Ada rahmat dalam rahmat. Kepada orang yang Dia kasih, pemberian itu dalam rahmat.

Kemudian seorang itu diberi sedikit, atas dasar kasih sayang, seolah Tuhan tidak sayang. Kita tidak faham Tuhan sepertimana anak kita tidak faham kita. Bila kita beri sedikit, anak kita anggap kita tidak sayang, padahal kita hendak didik dia agar tidak rosak.

Atas dasar kasih sayang kepada orang-orang yang paling Tuhan sayang iaitu para rasul, Dia beri nikmat sedikit tetapi banyak ujian kesusahan. Di sini ada nikmat dalam nikmat. Dia beri sedikit tanda Dia kasih. Rupanya Dia beri sedikit itu ada kasih sayang besar yang akan berlaku di Akhirat. Sebab kalau beri banyak di sini, akan dapat sedikit di Akhirat. Dia beri sedikit di sini sebab dunia ini tidak bernilai dan tiada guna. Tuhan hendak beri banyak pada kekasih-Nya di Akhirat. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Kalau orang faham maksud Tuhan beri sedikit di dunia kerana hendak beri banyak di Akhirat, maka orang itu akan rasa Tuhan sayang padanya. Kuliah-kuliah begini mesti disampaikan pada anak-anak kita. Kalau mereka tidak faham, mereka anggap kita tidak sayang, maka jadi masalah. Sebab itu minda dan ilmu mesti diberi kepada anak didik kita.

Pada orang baik yang Tuhan beri dengan kasih sayang. Makin sedikit diberi, makin Tuhan sayang. Kalau orang baik diberi banyak, Tuhan kurang sayang. Tuhan sayang dia sebab dia baik tetapi sayang itu sedikit. Sungguh perkara yang kita lihat dengan akal seolah terbalik. Orang yang baik sangat, Tuhan beri sedikit, tetapi Tuhan sayang banyak. Orang yang baik, bila Tuhan beri banyak, ertinya sayang Tuhan padanya sedikit. Begitulah pentadbiran Tuhan. Begitulah sistem pemberian nikmat Tuhan.

Kalau manusia tidak faham, akan jadi masalah. Mengapa? Kalau dia dapat banyak, dia sombong. Kalau kita faham bahawa itu tanda yang Tuhan tidak sayang sangat dengan kita maka kita akan cepat-cepat berkorban. Bila orang mukmin itu mendapat banyak dari Tuhan, sebab dia takut di Akhirat nanti Allah murka, maka dia memberi-beri. Orang yang dapat sedikit pula redha, faham bahawa dia dapat sedikit kerana Tuhan sayang dan Tuhan hendak beri banyak padanya di Akhirat. Maka bila orang dapat pemberian dari Tuhan atas dasar kasih sayang-Nya, atas dasar rahmat-Nya, maka orang yang dapat sedikit pun jadi baik, yang dapat banyak pun jadi baik.

Itulah lebih kurang huraian 'Arrahmanir rahim' secara umum. Rupanya Tuhan memberi pada manusia atas dua keadaan iaitu kerana Dia pemurah atau kerana penyayang. Kepada orang-orang jahat, nikmat diberi atas dasar pemurah. Orang-orang baik pula diberi nikmat di bawah kategori kasih sayang. Kalau nikmat diberi atas dasar pemurah, banyak risikonya sedangkan kalau diberi atas dasar kasih sayang, ianya positif sebab di situ ada berkatnya.

PERBEZAAN AYAT PERTAMA DENGAN AYAT KETIGA

Apa beza huraian ayat pertama dan ayat ketiga Surah Al Fatehah ini? Mari kita bahas dua ayat di bawah ini:

Maksudnya: "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." (Al Fatehah: 1)
Maksudnya: "Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." (Al Fatehah: 3)

Maksud dari dua ayat ini, tidak ada beza cuma cara menggunakannya yang berbeza. Kalau kita ada ilmunya, kita baca 'Bismillah' itu ada satu cara. Kalau tidak ada ilmu, kita baca sekadar untuk ambil berkat sahaja. Kalau tidak baca Bismillah, nanti tidak ada berkat. Itu sahaja kefahaman kita. Rahman dan rahim itu, tafsirnya, bukan bersama Bismillah. Bila dihubungkan dengan bismillah itu, lainlah jadinya. Tanpa Bismillah, 'Arrahmanir rahim' itu ada peranannya. Tuhan ambil kira sekalipun satu perkataan. Ada hikmah yang luas sekalipun nampak macam sama. Cuma kita tidak faham kerana tidak cukup ilmu.

Rahim Tuhan itu untuk orang mukmin sahaja, sekalipun mukmin yang 'asi (derhaka). Untuk orang kafir, tidak ada rahim, hanya ada rahman sahaja. Ia dari perkataan yang sama. Rahmat itu dari perkataan rahimah. Tetapi untuk orang kafir, ia tidak dinamakan rahmat. Katalah ada dua orang, seorang mukmin dan seorang kafir. Keduanya sama-sama diberi nasi. Nampak tidak ada bezanya tetapi yang mukmin diberi atas rahmat dan yang kafir diberi atas dasar nikmat. Nikmat itu dari pemurahnya Tuhan. Tidak mesti dalam nikmat itu ada rahmat. Tetapi kalau dapat rahmat, dalam rahmat itu ada nikmat. Rugilah orang yang hanya mendapat nikmat sahaja.

Namun demikian, bila Tuhan beri sedikit pada orang kafir, sebenarnya dalam sedikit itu pun ada rahmat juga. Ibarat dua orang yang kena jel. Seorang kena 10 tahun dan seorang lagi 20 tahun. Bagi yang kena 10 tahun, atas dasar umur, itu nikmatlah walaupun jel itu laknat, istidraj atau bala. Kalau dibahas lagi, yang kena 10 tahun itu dapatlah sedikit rahmat kalau dibandingkan dengan orang yang kena jel 20 tahun. Kalau dibandingkan dua orang tadi, secara umumnya, mana ada rahmat. 10 tahun kena jel pun teruk. Cuma kalau dibahas lebih jauh, adalah rahmat sedikit bagi yang kena jel 10 tahun itu.

Apabila dikatakan orang kafir pun dapat rahmat dengan kedatangan Rasulullah, itu atas dasar kefahaman umum. Ibarat Tuhan berkata di dalam Al Quran, Tuhan hamparkan bumi ini. Benarkah bumi ini terhampar? Bukankah bumi ini bulat? Tapi takkan Tuhan berbohong. Tuhan gunakan perkataan hampar itu kerana kadang-kadang Tuhan cakap atas dasar level umum. Orang kampung yang tidak saintifik, dia lihat bumi ini terhampar maka Tuhan pun cakaplah bumi ini terhampar supaya senang untuk dia faham. Atas dasar ilmu, begitulah. Adakalanya Tuhan bercakap atas dasar umum. Orang mungkin tidak setuju kalau dikatakan orang Cina yang dapat ilmu dan kekayaan itu tidak dapat rahmat. Jenuhlah kita hendak berbahas kalau kita katakan kaya dan berilmu itu bukan rahmat bagi orang kafir. Jadi Tuhan sebut orang kafir dapat rahmat dengan kedatangan Rasulullah, itu Tuhan hendak menarik perhatian umum. Padahal rahmat di situ tidak mengikut definisi yang sebenar.

Tuhan sebut begitu untuk orang umum, sebab pada pandangan umum, seseorang yang rezekinya mewah, itu ertinya dapat rahmat. Jadi secara umum, Tuhan kata betullah itu tetapi kalau di sisi Tuhan, itu belum tentu dari kasih sayang-Nya. Katalah saya kenal seorang yang jahat dan seorang yang baik. Kebetulan pula saya kaya. Katalah suatu masa, saya beri duit pada dua orang itu, seorang RM100. Kalau secara umum, mesti orang ingat saya sayang kedua-duanya. Belum tentu demikian. Nanti bila ada kawan datang, saya ceritalah, "Mat, kamu tahu kenapa saya bagi duit pada dua orang itu. Seorang saya beri duit sebab saya sayang dan seorang lagi saya beri duit supaya dia tidak mengacau." Itulah dua alasan berbeza atas pemberian yang sama.


Sajak

Nikmat berserta rahmat
dan nikmat berserta istidraj

Di antara rahmat Allah Tuhan mencipta alam,
orang baik mahupun orang jahat diberi nikmat
Nikmat makan minum, nikmat tempat tinggal, harta,
kepandaian dan kejayaan serta lain-lain lagi
Orang baik dianugerahkan bersama redha-Nya,
orang jahat bersama kemurkaan-Nya
Orang soleh diberi dengan rahmat,
orang fasik diberi dengan istidraj atau laknat
Diberi dengan rahmat adakalanya sedikit sahaja,
tapi berkat, side effectnya baik
Diberi dengan laknat atau istidraj
adakalanya banyak tapi tidak berkat
side effectnya sangat negatif
Orang soleh dengan nikmat dia bersyukur
aman, damai, tenang, bahagia dan harmoni
Sekali-sekala diuji dengan kesusahan,
agar dia diampunkan dosa-dosanya
Orang fasik atau toleh dengan nikmat
dia kufur dan derhaka
dia lalai dan lupa
Kerana itu Tuhan tukar dengan masalah
yang menyusahkan tidak selesai-selesai
Makin kaya, berpangkat
berilmu, berjawatan tinggi
entah apa keistimewaannya lagi
Tuhan gantikan dengan orang benci
anak isteri tidak setia,
penyakit bertimpa-timpa
bala bencana silih berganti
Akibatnya kejayaan hidup
tidak memberi apa-apa erti
Hidup di dalam keluh-kesah,
fikiran berserabut, tidak bahagia
tidak tenang, tidak harmoni
Itulah yang banyak berlaku di dunia hari ini
Banyak orang pandai
tapi tidak dapat keredhaan Tuhan
Ramai orang yang berjaya
keredhaan Tuhan tidak diperolehinya
Tidak kurang orang yang mendapat kekayaan
keredhaan Tuhan tidak dapat
Ada bangsa yang maju, membangun
tapi dengan kemurkaan
atau istidraj dari Tuhan
Berlaku pula dalam masa yang sama jenayah banyak
krisis berlaku, peperangan terjadi
Pecah-belah, berbalah, bergaduh dan berkelahi
Apa sudah jadi?!
Kejayaan yang diperolehi penuh duri
di dalam ketakutan,
di dalam kebimbangan
Apa yang dihajat dapat
tapi dapat bersama ketakutan
Apalah ertinya hidup yang begini?

Menjelang Zuhur
24 - 09 - 2003

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment