Kalau para pejuang itu, walaupun mengaku memperjuangkan kebenaran, atau zaman sekarang ini dikatakan memperjuangkan Islam, tetapi sekiranya mereka bukan bersifat penyelamat, ertinya mereka itu bukan pejuang kebenaran. Mereka itu bukan orang-orang Tuhan. Mereka adalah penipu-penipu yang menjual nama Tuhan untuk kepentingan diri atau untuk kepentingan kelompok-kelompok mereka.
Bagaimana boleh berlaku, orang Tuhan datang ke tengah masyarakat tetapi tidak membawa keselamatan sedangkan Tuhan itu penyelamat? Ini bukti mereka bukan penyelamat. Mereka tidak membuat kerja Tuhan. Kalau mereka hanya sekadar membuat pengakuan dan berslogan-slogan, mereka itu tidak boleh dianggap sebagai penyelamat. Tolong ambil perhatian. Orang-orang Tuhan adalah penyelamat.
Apakah ertinya penyelamat itu? Apakah yang mereka selamatkan? Adakah mereka penyelamat dari miskin kepada kaya? Atau daripada bodoh kepada cerdik? Itu terlalu kecil. Tujuan-tujuan yang besar mengapa Tuhan datangkan penyelamat ialah:
1. Untuk menyelamatkan aqidah umat
Itulah tujuan yang paling besar. Siapa sahaja yang pejuangkan kebenaran dari dahulu hingga sekarang, yang hendak diselamatkannya adalah aqidah umatnya, kaumnya dan bangsanya. Sebab itu, kalau kita baca Al Quran terutama ayat-ayat Makkiyah, oleh kerana Tuhan itu hendak menyelamatkan aqidah para hamba-Nya, maka melalui Rasulullah dan Sahabat-Sahabatnya yang merupakan orang-orang Tuhan, Tuhan promosi diri-Nya dengan begitu banyak sekali. Selama 13 tahun Allah promosi diri-Nya. Selama 13 tahun Tuhan perkenalkan diri-Nya melalui ayat-ayat Makkiyah. Tuhan perkenalkan diri-Nya itu ada dua tahap iaitu:
a. Tahap pertama untuk betulkan aqidah. Agar manusia jangan mempertuhankan jin, patung, malaikat dan sebagainya.
b. Apabila orang sudah terima Tuhan itu adalah Allah, di tahap kedua, diperjuangkan pula supaya orang takut dan cintakan Tuhan.
Jadi aqidah itu ada dua peringkat atau tahap. Yang pertama hendak betulkan iman dan yang kedua agar sampai peringkat takut dan cinta dengan Tuhan. Kalau kita belajar 'Sifat 20', itu sekadar untuk sahkan aqidah dan iman. Takut dan cintakan Tuhan tidak akan boleh berlaku kerana 'Sifat 20' itu banyak bersifat akal dan falsafah. Ia tidak jatuh ke hati. Sebab itu ia tidak akan membuatkan seseorang itu sampai takut dan cinta pada Tuhan. Ia sekadar untuk percaya. Setakat hendak sahkan iman.
Bagi tahap kedua, kita lihat dalam Al Quran, Tuhan promosi diri-Nya supaya orang takut, cinta dan mabuk serta gila dengan-Nya. Tidak salah gila dengan Tuhan. Sebab itu Rasulullah berkata, "Ingatlah Allah banyak-banyak sampai orang kata engkau gila."
Kalau kita baca Quran terutama ayat Makkiyah, kita boleh lihat macam mana Tuhan kempen diri-Nya, seolah-olah Tuhan masuk pilihan raya. Di zaman Firaun, Dia bertanding dengan Firaun. Waktu itu Dia promosi diri-Nya. Dia kempen kepada manusia. "Kamu hendak jadikan Aku pemimpin atau Firaun sebagai pemimpin? Firaun itu Aku yang jadikan dia. Tidak hebatkah Aku? Patut engkau jadikan Aku sebagai pemimpin. Firaun itu macam kamu juga. Tahu letih dan tahu tidur. Aku tidak. Aku tidak makan dan tidak minum. Aku pencipta. Firaun pun Aku yang cipta. Maka hendaklah kamu lantik Aku sebagai pemimpin."
Setiap masa Tuhan buat kempen pilihan raya dengan para pemimpin di dunia. Yang tukang kempen adalah para pejuang kebenaran, para rasul, nabi, Sahabat, tabiin, tabiut tabiin dan sesiapa sahaja yang perjuangkan Tuhan. Merekalah tukang-tukang kempen Tuhan supaya manusia pilih Tuhan. Jangan pilih pemimpin dunia. Tuhan tidak rehat dari mempromosikan diri-Nya.
Cuba kita huraikan ayat Quran secara umum tentang bagaimana Tuhan promosi diri-Nya, kempen diri-Nya, mengajak orang mengakui diri-Nya Tuhan, diri-Nya pemimpin. Antaranya Tuhan berkata:
"Hai manusia! Langit dan bumi itu Aku yang jadikan."
"Hai manusia! Dunia dan Akhirat itu dan termasuk kamu semua, Aku yang jadikan."
"Hai manusia! Ingat, di tangan Aku kekuasaan. Tiada siapa boleh gugat. Aku menghidupkan dan Aku mematikan. Aku menentukan nasib semua makhluk. Aku boleh kayakan dan boleh miskinkan. Aku boleh sakitkan dan sihatkan. Aku boleh ledakkan semua gunung. Aku boleh gempakan bumi untuk mengazab kamu semua bila kamu derhaka dengan Aku. Akulah yang beri rezeki. Nafas kamu itu Aku yang jaga. Seluruh yang ada, Aku yang tadbir. Sama ada di alam ghaib atau alam nyata, Aku yang mentadbir. Aku yang mendidik, menyelamatkan, menjadikan. Tidak nampakkah kuasa Aku? Tidak takutkah dengan Aku?"
Jadi Tuhan minta siapa yang hendak perjuangkan kebenaran, bawa mesej ini. Tuhan promosi diri-Nya dan minta disebarkan. Pejuang-pejuang kebenaran adalah sebagai lidah-lidah untuk promosikan Tuhan. Adakah begitu yang berlaku? Tidak. Pejuang-pejuang Islam hari ini yang katanya memperjuangkan kebenaran, tetapi yang dibuatnya ialah membesarkan ekonomi atau masalah kemiskinan. Hilanglah Tuhan. Dikatakan itu satu perjuangan kebenaran sedangkan itu satu penipuan. Yang dipromosi makan minum, kemudahan hidup, promosi jalan raya, hendak beri biasiswa, atau hendak hidup selesa. Tuhan tidak dikempen. Tuhan tidak dikenalkan, tidak ditakuti dan tidak dicintai.
Pejuang-pejuang Tuhan mesti mengelakkan itu semua. Kempen utama kita ialah Tuhan. Pejuang-pejuang kebenaran itu yang utamanya ialah hendak menegakkan aqidah umat. Sudah dikatakan tadi, aqidah ada dua tahap. Tahap pertama ialah hendak mengesahkan iman. Yang susahnya ialah yang kedua, iaitu bagaimana agar sampai orang cintakan Tuhan, takutkan Tuhan dan mabuk dengan Tuhan serta merasakan bahawa Tuhan adalah segala-galanya. Hingga merasakan bahawa Tuhan Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa. Supaya hati itu penuh rasa bertuhan. Masa duduk atau berjalan, rasa bertuhan penuh di hatinya kerana sudah takut dan cintakan Tuhan.
Aqidah tahap kedua ini sangat susah. Yang pertama tadi, ramai juga orang buat. Sebab itu kalau mengaji 'Sifat 20', belum cukup. Orang mengaji 'Sifat 20' tetapi selepas itu dilupakan. Tidak mengaji lagi tentang Tuhan. Maka aqidah tahap yang kedua tertinggal. Macam mana hendak cinta dan takutkan Tuhan sedangkan Allah terabai. Takut dan cinta itu tidak lagi diperjuangkan dan diusahakan.
Jadi, tujuan perjuangan yang pertama iaitu hendak selamatkan aqidah umat dari bertuhankan selain Allah kepada bertuhankan Allah. Daripada takutkan selain Allah kepada takutkan Allah. Daripada cintakan selain Allah kepada cintakan Allah. Inilah yang pertama dan utama.
2. Untuk menyelamatkan Akhirat manusia
Mereka hendak menyelamatkan manusia daripada cintakan dunia dan mengutamakan dunia, kepada mengutamakan Akhirat dan cintakan Akhirat. Selepas Tuhan kempen dan promosi sungguh-sungguh diri-Nya, Tuhan promosi pula Akhirat-Nya. Dipromosikan bagaimana hebatnya Akhirat-Nya itu sama ada tentang nikmatnya atau azabnya. Kalau kita baca ayat-ayat Al-Quran, di antaranya banyak menunjukkan Tuhan mempromosikan Akhirat lebih daripada dunia. Di antara promosi oleh Tuhan itu ialah, Akhirat lebih utama, lebih baik dan lebih kekal.
Tuhan memberitahu bahawa selepas kita hidup, kita akan dimatikan. Selepas itu pula kita akan dipersoalkan. Ada empat tahap yang akan kita lalui iaitu:
a. Alam mati
b. Alam Barzakh
c. Alam Padang Mahsyar
d. Alam Akhirat
Hingga Tuhan beritahu bahawa tidak ada harganya dunia ini. Dalam Hadis, Tuhan menceritakan dengan menggunakan lidah Rasulullah bahawa dunia dan segala isinya ini harganya atau nilainya tidak sampai pun nilai dengan sebelah sayap nyamuk. Kalau begitu, hebatkah dunia ini? Kalaulah dunia ini ada nilainya, sekurang-kurangnya senilai dengan harga sebelah sayap nyamuk, pasti Tuhan tidak akan berikan nikmat kepada orang kafir. Tuhan tidak akan beri mereka makan. Maksudnya siapa yang ingkar dan menentang, Tuhan tidak akan beri makan. Tetapi kerana dunia tidak ada harga di sisi-Nya, Tuhan kata ambillah. Tuhan kempen betapa hinanya dunia. Tidak ada nilainya dunia. Begitulah Tuhan kempen hendak bandingkan dunia dan Akhirat. Tidak ada harga langsung dunia ini jika dinisbahkan dengan Akhirat.
Hinggakan Tuhan beritahu, bandingan dunia dengan Akhirat macam kita hidup satu jam sahaja di Akhirat. Katakan hidup kita di dunia selama 1,000 tahun. Bandingan 1,000 tahun di dunia itu hanya satu jam sahaja di Akhirat. Adakah kerana hidup satu jam itu, kita sampai sanggup hendak masuk ke Neraka? Hidup satu jam itu hendak dipertahankan sampai kita derhaka dan lalai dengan Tuhan. Hingga sanggup kekal abadi dalam Neraka. Itu kalau kita hidup 1,000 tahun. Sedangkan selalunya setakat 50 tahun sahaja, jadi berapa jam pula di Akhirat? Mungkin dua minit sahaja bandingannya di Akhirat.
Begitulah yang Tuhan kempenkan. Begitulah juga yang dikempenkan oleh orang-orang Tuhan. Inilah penyelamat. Sebab manusia telah cintakan dunia, besarkan dunia dan tidak besarkan Akhirat. Cinta Akhirat lebih-lebih lagilah tidak berlaku.
Oleh kerana cintakan dunia, manusia sanggup bergaduh dan jatuh-menjatuhkan. Sanggup fitnah-memfitnah. Kerana cinta dunia, sanggup berpecah-belah, hilang kawan dan berbunuh-bunuhan. Oleh kerana manusia mengutamakan dunia dan cinta dunia, jadilah dunia huru-hara. Bila huru-hara, itulah neraka sebelum Neraka.
Maka datangnya penyelamat yakni datangnya pejuang-pejuang Tuhan itu adalah untuk membetulkan fikiran manusia. Daripada cinta dunia kepada cinta Akhirat. Daripada mengutamakan dunia kepada mengutamakan Akhirat. Begitu Tuhan kempen. Begitu orang-orang Tuhan kempen. Cuma kempen Tuhan dan Akhirat, manusia hanya dengar-dengar di hujung telinga sahaja. Tetapi bila disebut keindahan dunia, semuanya masuk ke akal, hati dan nafsu.
Jadi tujuan kedua datangnya pejuang-pejuang kebenaran yang kedua ialah hendak membuatkan manusia cintakan Akhirat lebih dari cintakan dunia. Begitu juga pejuang-pejuang kebenaran sepanjang masa dan zaman datang ke tengah umatnya, kaumnya, puaknya dan masyarakatnya hendak menyelamatkan manusia dari hidup yang huru-hara kepada hidup yang selamat, aman-damai, berkasih sayang, bersatu-padu, di mana orang kaya menolong orang miskin, yang miskin doakan orang kaya, pemimpin menaungi dan rakyat pula taat, jiran berbaik-baik macam satu keluarga. Seolah-olah jiran pun keluarganya juga. Juga supaya aman damai rumah tangga, berkasih sayang sesama anak dan isteri, supaya ekonomi dan politik berjalan dengan baik. Untuk itulah maka Tuhan datangkan penyelamat.
3. Untuk membawa syariat Tuhan
Syariat Tuhan itu dipromosikan agar manusia hidup aman damai, berkasih sayang, harmoni dan bahagia. Syariat Tuhan sahaja yang boleh menyatukan orang, menghidupkan kasih sayang, hidup bekerjasama, hormat-menghormati, berperikemanusiaan, aman damai dalam keluarga, aman damai dalam masyarakat dan dalam kehidupan. Jadi pejuang-pejuang kebenaran mempromosikan syariat supaya syariat menjadi ilmu yang dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Maka itulah jalan selamat. Jalan yang selama ini tidak selamat akan menjadi selamat setelah pejuang-pejuang kebenaran promosikan Tuhan, Akhirat dan syariat-Nya.
Adakah itu berlaku kepada pejuang-pejuang kebenaran? Kalau ada pun, sedikit sangat. Sebaliknya ramai yang hendak perjuangkan hudud. Hudud itu ibarat habuk daripada keseluruhan syariat. Syariat itu khazanah, himpunan ilmu dan merupakan peraturan, disiplin hidup dan sistem hidup. Kalau diamalkan manusia boleh buat syurga sebelum Syurga yang hakiki. Kalau diamalkan, manusia boleh cipta syurga di dunia. Kalau diamalkan, manusia boleh dapat syurga yang didahulukan (Al-Janatul Ajilah).
Inilah peranan penyelamat yakni menyelamatkan manusia daripada huru-hara kepada aman damai dan berkasih sayang. Jadi, mesti promosi Tuhan sepanjang masa.
4. Untuk menyelamatkan akhlak umat
Manusia hendak diselamatkan daripada akhlak yang jahat kepada akhlak yang baik. Daripada akhlak yang hina kepada akhlak yang mulia. Daripada akhlak yang bertaraf haiwan kepada akhlak bertaraf malaikat. Inilah tugas pejuang-pejuang kebenaran sepanjang zaman. Menguruskan akhlak manusia, daripada bakhil kepada pemurah. Daripada sombong kepada tawadhuk. Daripada ingin glamor kepada menghinakan diri kepada Allah. Daripada rasa benci dan suka prejudis dengan manusia, datang rasa kasih sayang. Ini peranan penyelamat yang keempat yakni menyelamatkan akhlak umat.
Soal-soal yang lain itu seperti makan minum, tempat tinggal atau pakaian, Tuhan tidak ambil pusing sangat. Bahkan terhadap soal-soal ini, kadang-kadang Tuhan katakan, kalau seorang itu miskin, Tuhan minta agar bersabarlah. Tuhan bukan suruh perjuangkan supaya menjadi kaya. Kalau sakit, Tuhan tidak suruh orang-orang-Nya perjuangkan kesihatan, sebaliknya apa yang Tuhan pesan kepada orang-orang-Nya ialah sakit itu pahala, tanda Tuhan redha dan Tuhan sayang. Sakit itu kerana Tuhan hendak tinggikan darjat di Syurga. Jelas bahawa hal yang remeh-temeh, Tuhan tidak suruh tukar.
Namun berapa banyak parti Islam di seluruh dunia, yang mereka sibuk hendak selesaikan ialah soal makan minum. Kata mereka: "Kalau kami berkuasa, kami hendak berusaha kayakan orang. Kalau kami berkuasa kami hendak selesakan hidup orang."
Apa maksudnya itu? Ertinya benda remeh-temeh yang diperjuangkan. Bagaimanalah dunia tidak haru-biru? Macam mana tidak menjadi neraka dunia? Jelas di sini bahawa perkara yang utama dilupakan. Perkara yang remeh-temeh diutamakan. Kalau yang memperjuangkan ideologi, itu kita tidak fikirkan kerana memang ideologi menempah Neraka. Memang mereka fikirkan dunia semata-mata. Yang kita persoalkan ialah orang yang memperjuangkan Islam tetapi perjuangannya sama sahaja dengan perjuangan orang ideologi. Yang diperjuangkan adalah makan minum, tempat tinggal dan benda yang remeh-temeh. Itulah yang dibesar-besarkan.
Oleh itu, pejuang-pejuang kebenaran hendaklah perjuangkan empat perkara iaitu:
a. Aqidah
b. Akhirat
c. Syariat
d. Akhlak
Inilah tugas kita. Maka pejuang-pejuang kebenaran itu, hakikatnya adalah orang Tuhan yang hendak menyelamatkan manusia.
Sajak
Tujuan Berjuang
Tujuan berjuang kerana hendak mengenalkan
Tuhan pencipta alam
Agar Dia disanjung, dicintai,
disembah dan dijadikan idola
Selepas itu hendak kenalkan syariat-Nya
untuk keselamatan manusia
Agar manusia hidup bersatu, bekerjasama
harmoni dan bahagia
Berjuang bukan kerana ekonomi
membangun dan berkemajuan
Ia merupakan sampingan sahaja
kalau boleh dijadikan untuk Tuhan
Berjuang mengajak manusia membesarkan Akhirat
Mengingatkan manusia
Akhirat tempat akhir buat insan
Di sana tempat kekal abadi
Sama ada di Syurga mahupun di Neraka
Itulah dia tugas-tugas para da'i
mubaligh-mubaligh dan ulama
Mengajak manusia menyembah Tuhan
Jalan dan caranya itulah syariat-Nya
Jangan membesarkan Tuhan
atau menyembah-Nya
cara yang kita reka-reka
Sekalipun yakin betul, tapi tersesat jalannya
Ingin kepada Tuhan, jalannya telah dinyatakan
dan dijelaskan
Kalau jalannya mengikut cara sendiri
tidak sampai kepada-Nya
Hari ini dakwah dan ceramah merata negara
Mercup tumbuhnya macam cendawan tumbuh
di musim hujan
Tapi isinya politik dan unsur-unsur
yang membawa pergaduhan
Tuhan tidak dikenalkan
jauh sekali untuk disanjung
dan dibesarkan
Ini bukan pendakwah tapi pendakyah
Ia bukan fisabilillah
Tapi jalan yang sudah tersalah
Ini bukan hendak mencari redha Allah
Tapi mencari bala dan dosa ser
No comments:
Post a Comment