Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas. Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakon-lakon atau dibuat-buat. Mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.
Dalam sembahyang kita memuja dan memuji Tuhan. Kita kata Tuhan Maha Besar. Kita akui Tuhan Pentadbir dunia dan Akhirat. Hati kita rasa bertuhan. Rasa Tuhan itu Maha Besar. Kita rasa Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita.
Kita juga membuat janji dan ikrar bahawa semua solat, ibadah, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan. Ini sesuai dengan ayat Al Quran dan janji kita di dalam solat:
Maksudnya: "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Tuhan pentadbir alam." (Al An'am: 162)
Di sini, solat dan ibadah dipisahkan walhal solat itu pun merupakan ibadah juga. Itulah tandanya solat itu ibadah yang penting, utama dan pertama dari ibadah-ibadah yang lain sama ada yang wajib atau sunat.
Kita bertungkus-lumus melakukan pelbagai aktiviti di dalam kehidupan seharian kita. Aktiviti-aktiviti tersebut boleh menjadi ibadah dan boleh tidak. Ianya boleh jadi ibadah bilamana aktiviti-aktiviti tersebut menepati syarat ibadah. Sedangkan di dalam ayat ini, Tuhan mengajar kita berikrar supaya setiap perbuatan kita dari sekecil-kecil hingga sebesar-besarnya hendaklah dijadikan ibadah kepada Allah SWT. Jika ikrar-ikrar ini kita hayati sungguh-sungguh, mana boleh kita berehat-rehat.
Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Inilah janji kita dalam solat yang akan membuatkan kita cergas, aktif, rajin dan sentiasa bergerak. Segala macam perkara yang jadi ibadah kita buat. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadah. Maknanya solat itu membunuh kemalasan.
Kalau sesuatu kelompok itu ibadahnya banyak, baca Quran banyak, wirid dan zikirnya banyak, kita kata mereka hebat. Itu sebenarnya satu salah tafsir. Kita sangka mereka baik sebab mereka tidak tegur orang dan beriktikaf sahaja tetapi mereka tidak rajin dan tidak berkhidmat kepada masyarakat. Di sini konsep ibadah itu sudah silap. Itu menunjukkan mereka hanya ada ilmu tetapi tidak faham dan ilmu itu tidak dihayati. Pada orang ramai, mereka orang baik. Ini satu kesalahan yang besar. Orang yang baik itu bukan setakat boleh beribadah dan tidak mengganggu orang lain. Orang yang baik itu, mesti berkhidmat kepada orang lain dengan tenaganya, nasihat, harta dan wang ringgit.
Ada Hadis yang mengatakan:
Maksudnya: "Yang paling baik di antara kamu yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain" (Riwayat Qudha'i dari Jabir)
Sebab itu para salafussoleh itu, kerana ibadah mereka dihayati dan berperanan pada diri mereka, selepas waktu Subuh, kalau mereka tidak ada kerja yang khusus, mereka sengaja keluar cari-cari pasal untuk buat kebaikan dan mencari-cari kerja untuk berkhidmat kepada manusia lain. Mereka pergi tolong petik gandum, tolong mencangkul tanpa disuruh atau diminta. Kalau mereka melihat ada rumah yang bumbungnya bocor, mereka minta izin tuan rumah untuk membaikinya. Inilah yang dimaksudkan bahawa solat itu melahirkan orang yang aktif.
Hari ini, ramai orang solat dan banyak ibadah tetapi mereka jadi beku, jumud, tidak kreatif dan tidak membangun. Bahkan nasib mereka pun ditentukan oleh orang lain. Bukankah ini satu kesilapan yang besar? Hanya kerana mereka itu nampak lembut, tidak ganggu orang, kuat ibadah maka orang anggap itu baik dan bagus.
Sepatutnya orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Orang yang banyak berkhidmat dengan Tuhan, mesti banyak pula khidmatnya pada manusia. Kalau betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cintanya pada manusia. Itulah sepatutnya natijah atau hasil dari solat.
No comments:
Post a Comment