Thursday, 21 April 2011

Mengenal Sejarah Umat Islam Secara Umum (Khulasah Sejarah)

1. 1. Zaman Rasulullah SAW hingga wafatnya
2. 2. Zaman keadilan pemerintahan
3. 3. Zaman masyarakatnya secara umumnya baik
4. 4. Di dalam masa 700 tahun umat Islam telah menjadi empayar dunia
5. 5. Selepas 700 tahun empayar Islam
6. 6. 700 tahun yang kedua hingga ke zaman kita
7. 7. Selepas umat Islam mendapat kemerdekaan
8. 8. Kedatangan mujaddid setiap awal kurun
9. 9. Kemunculan toifah di celah-celah kerosakan umat Islam
10. 10. Perbezaan antara toifah tarekat dengan toifah mu­jaddid
11. 11. Banyak menerima ujian
12. 12. Lebih ramai pengikut
13. 13. Sebab-sebab berpecah-belah
14. 14. Selepas Khulafaur Rasyidin
15. 15. Selepas negara umat Islam merdeka
16. 16. Di zaman gemilang Islam
17. 17. Selepas kejatuhan empayar Islam
18. 18. Kerajaan atau pemerintah umat Islam selepas merdeka
19. 19. Perpecahan, perbalahan, krisis, pergaduhan dan pem­bunuhan selepas merdeka
20. 20. Di akhir zaman

Untuk membuka fikiran umat Islam, di antaranya hendaklah mereka mengetahui sejarah mereka sendiri yang ada hubung kait dengan Islam. Mengapa perlunya kita menge­tahui sejarah umat Islam ini? Antaranya ialah supaya:

  1. Setiap masa dan zaman yang dilalui oleh umat Islam seluruh dunia itu dapat diketahui dan dapat dinilai.
  2. Umat Islam dapat menentukan bagaimana sikap dan pen­dirian yang sepatutnya mereka miliki berdasarkan sejarah yang telah dilalui umat Islam dahulu.
  3. Umat Islam dapat menyelamatkan diri di zamannya masing-masing serta dapat mengambil iktibar dan pengajaran dari­pada sejarah yang telah berlaku dan berlalu.

Di bawah ini dicatat dan disenaraikan peringkat-peringkat yang telah dilalui oleh umat Islam secara umum sama ada pemerintahannya, masyarakatnya, jemaahnya dan toifahnya serta mazhab-mazhab yang timbul di setiap zaman serta jatuh bangun­nya umat Islam untuk perhatian kita bersama.

1. Zaman Rasulullah SAW hingga wafatnya

Ini dikatakan zaman kemuncak dan kegemilangan kerohanian dan pengabdian kepada Allah SWT. Zaman perpaduan dan ukhwah yang luar biasa. Zaman setiap orang sangat memberi khidmat kepada manusia. Zaman ‘Ruhbanun Billail Wafursanun Binnahar’ (bagaikan rahib di malam hari, seeperti singa di siang hari). Walaupun daerahnya belum luas dan walaupun tama­dun kebendaan belum maju, belum ada kitab-kitab yang ditulis, tapi pegangan umat Islam waktu itu hanya Al Quran dan Al Hadis.

2. Zaman keadilan pemerintahan

Zaman ini adalah dari bermulanya Rasu­lullah SAW berkuasa hinggalah pemerintahan Sayidina Ali k.w. sekitar 40 tahun. Ini bererti pemerintahan yang baik hanya 40 tahun.

3. Zaman masyarakatnya secara umumnya baik

Ini berlaku selama 300 tahun. Rata-rata masyarakatnya baik, tetapi pemerintahnya telah rosak. Kecuali berlaku di zaman Sayi­dina Umar Abdul Aziz sekitar dua tahun pemerintahannya. Kemu­dian berlaku lagi di zaman Salehuddin Al Ayubi dan Muhammad Al Fateh. Walaupun begitu, di sudut yang lain Islam telah ber­kembang di tiga perempat dunia. Ulama telah mula mengarang dalam berbagai-bagai bidang ilmu Islam serta telah menterjemah, menyaring serta menghurai ilmu bangsa Yunani dan Farsi serta mengembangkannya di dalam masyarakat. Dan dalam masa inilah juga telah lahir empat maz­hab Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti yang telah kita ketahui.

4. Di dalam masa 700 tahun umat Islam telah menjadi empayar dunia

Walaupun begitu, zaman itu pemerintahannya sudah tidak di­anggap adil lagi. Kerajaan Islam telah berpecah-pecah dengan diberi nama mengikut bani masing-masing. Di waktu itu juga telah lahir 72 mazhab yang sesat tapi semuanya bersandarkan kepada Islam. Masyarakat secara umumnya telah rosak tetapi tidaklah seteruk hari ini.

5. Selepas 700 tahun empayar Islam

Empayar umat Islam telah jatuh kerana dijajah oleh orang-orang Barat. Tapi pelik, masih berlaku lagi rahmat Allah. Di waktu itulah bangsa timur khususnya keturunan Melayu masuk Islam.

6. 700 tahun yang kedua hingga ke zaman kita

Tamadun Islam musnah sama sekali. Kerosakan yang berlaku di dalam masyarakat umat Islam telah berlaku di semua bidang.

7. Selepas umat Islam mendapat kemerdekaan

Timbul satu lagi bentuk perpecahan, iaitu lahirnya parti-parti politik yang membawa berbagai-bagai ideologi dan fahaman. Di antaranya ialah faham nasionalisme, sosialisme, komunisme, liberalisme demokrasi dan sebagainya.

8. Kedatangan mujaddid setiap awal kurun

Walaupun masyarakat Islam telah rosak tapi dengan rahmat Allah, setiap seratus tahun di awal kurun, Allah Taala lahirkan mujaddid yang menghidupkan semula ajaran Islam dan memperbaharui agama. Mereka membawa toifah atau jemaah. Pengikut-pengikut­nya adalah golongan yang terbaik di kalangan umat Islam di zamannya. Mereka membawa pengaruh juga kepada masyarakat umum. Mujaddid itu adalah ulama yang berwatak rasul. Di samping mendidik semula manusia di bidang ibadah dan akhlak, mereka membawa ilmu dan minda serta membawa satu stail perjuangan yang sesuai dengan zamannya.

9. Kemunculan toifah di celah-celah kerosakan umat Islam

Dengan rahmat Allah, di celah-celah kerosakan umat Islam dan di antara datangnya mujaddid, Allah SWT lahirkan ulama-ulama pengasas-pengasas tarekat. Tapi mereka adalah ulama yang berwatak nabi. Mereka tidak membawa minda. Mereka hanya membawa pengikut-pengikutnya beribadah dan berakhlak. Juga sedikit sebanyak membawa pengaruh di tengah masyarakat.

10. Perbezaan antara toifah tarekat dengan toifah mu­jaddid

Antara toifah ulama tarekat dengan toifah para mujaddid, toifah para mujaddid lebih hebat kerana mereka membawa ilmu ber­sama satu kaedah perjuangan yang sesuai dengan zamannya. Mereka juga menggugat pemerintahan di waktu itu kerana me­reka adalah ulama yang berwatak rasul. Mereka memperjuangkan hablumminallah dan hablumminannas.

11. Banyak menerima ujian

Dua golongan ulama ini secara umum lebih banyak menerima ujian dibandingkan dengan lain-lain ulama terutama ujian yang datang dari para pemerintah.

12. Lebih ramai pengikut

Dua golongan ulama ini secara umum lebih ramai pengikut. Kalau hendak dibandingkan dengan ulama-ulama lain juga lebih banyak disebut-sebut dan dikenang orang walaupun mereka sudah wafat beratus tahun lamanya.

13. Sebab-sebab berpecah-belah

Di antara sebab-sebab yang terbesar dan terpokok yang men­jadikan masyarakat Islam berpecah belah dan berbalah, dan adakalanya timbul peperangan adalah kerana:

a. Cinta dunia

b. Parti dan fahaman politik yang berbeza

c. Firqah yang sesat

d. Pengikut-pengikut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang jahil dan fanatik

e. Kerosakan para ulama

f. Kerosakan para pemerintah

g. Angkara penjajah

14. Selepas Khulafaur Rasyidin

Selepas pemerintahan Rasulullah SAW dan Khulafaur Rasyidin, lahir kerajaan umat Islam yang bersifat feudal atau kerajaan beraja. Pemerintahan itu tidak dipilih oleh rakyat tapi adalah pemerintahan warisan atau pusaka turun-temurun.

15. Selepas negara umat Islam merdeka

Pemerintahan secara umum selalu sahaja silih berganti. Jarang yang menjadi ketua negara seumur hidupnya. Sering kerajaan itu bertukar ganti sama ada dijatuhkan di dalam pilihan raya atau demonstrasi atau digulingkan oleh tentera.

16. Di zaman gemilang Islam

Di zaman gemilang Islam, ramai dan berduyun-duyun orang masuk Islam hanya kerana melihat kehidupan umat Islam dan akhlaknya yang indah. Hampir setiap hari orang masuk Islam hingga tidak ada bangsa yang tidak menganutnya.

17. Selepas kejatuhan empayar Islam

Tapi selepas kejatuhan empayar Islam bahkan selepas negara-negara umat Islam merdeka, merecup lahirnya para da’i dan mubaligh seperti cendawan tumbuh serta lahir banyak badan-badan dakwah. Tetapi untuk mengislamkan setahun seorang pun payah kerana orang bukan Islam melihat gerakan dakwah tapi tidak dapat melihat kehidupan Islam dan akhlak Islamnya.

18. Kerajaan atau pemerintah umat Islam selepas merdeka

Kerajaan atau pemerintah umat Islam selepas merdeka lebih kejam dan zalim kepada rakyatnya dibandingkan dengan kerajaan penjajah. Bahkan yang lebih dahsyat mereka menangkap dan membunuh atau menghukum rakyatnya terutama pejuang-pejuang Islam atas nama agama atau atas nama Allah dan Rasul. Sebahagian rakyat terkeliru dan turut membenarkan dan setuju tindakan itu diambil.

19. Perpecahan, perbalahan, krisis, pergaduhan dan pem­bunuhan selepas merdeka

Ini berlaku lebih dahsyat daripada zaman penjajahan bahkan para ulama di zaman ini lebih jahat daripada sebelumnya.

20. Di akhir zaman

Di akhir zaman ada khabar gembira dari Tuhan. Iaitu Allah Taala berjanji bahawa Islam akan bangkit di sebelah Timur. Ia akan m­e­nempa sejarah kegemilangan kali kedua menguasai dunia. Allah Taala simpan tiga orang tokoh untuk membangunkan kegemilangan itu iaitu Pemuda Bani Tamim yang mengasaskan tapaknya, Imam Mahdi yang memperluaskan tapaknya dan Nabi Isa a.s. yang menyempurnakan dan menggemilangkannya. Zaman gemilang itu selama 40 tahun seperti zaman awalnya. Bahkan di zaman gemilang itu berlaku dua kegemilangan iaitu kemuncak tamadun kerohanian dan kemuncak tamadun kebendaan.

21. Zaman Pemuda Bani Tamim

Kalau pemuda itu sudah berperanan, marilah bersama-sama kita menjadi pengikutnya dan berjuang bersama-samanya. Kemudian kita memohon kepada Allah Taala agar kita dapat bertemu zaman gemilang Islam atau paling tidak zaman Imam Al Mahdi Al Muntazar yang akan memperluaskan tapak Islam itu.

Begitulah rentetan sejarah Islam dan umat Islam secara ringkas atau khulasahnya. Ia terlalu matan. Kalau ingin mengetahuinya secara luas dan mendalam, rujuklah kepada kitab-kitab sejarah Islam.


Sajak

Bagaimana Berjuang di Akhir Zaman

Setiap pejuang-pejuang mesti faham situasi sekarang

Kita berjuang setelah dijajah oleh penjajah

beratus-ratus tahun yang silam

Kita umat Islam yang merdeka

mendapat ilmu dari penjajah hampir 100%

Setengah orang pemikiran terjajah

sudah berakar umbi

Di dalam jiwa, perasaan dan keyakinan

Sedangkan agama Islam yang dianuti

hanya sebagai warisan

Tuhan sekadar percaya tapi tak kenal

dan tak faham peranan-Nya

Syariat yang pokok-pokok atau asas-asasnya

itu pun sudah ditinggalkan orang

95% sudah tidak diamalkan

betapalah Islam secara global

rata-rata umat Islam tidak faham

akhlak umat Islam sudah punah-ranah dan musnah

perpaduan sudah berkecai

di samping kemiskinan

merata-rata berlaku di dunia Islam

Para ulama sudah tidak boleh diharapkan

Mereka memikirkan minum dan makan

Oleh itu apabila kita hendak perjuangkan Islam

tak kan hendak terus secara global

dan keseluruhan

Jadi apa yang patut kita buat:

Yang pertama:

kenalkan Tuhan dan takutkan Tuhan

serta cintakan Tuhan

Yang kedua:

ajak mereka sembahyang

dan menegakkan lain-lain rukun Islam

Selepas itu diajak perjuangkan yang lebih penting

iaitu berkasih sayang dan perpaduan

Selepas itu terus pimpin umat Islam

dengan akhlak yang mulia

Kemudian terus lagi diperjuangkan ajaran Islam

yang selepas itu pula

Bukan terus perjuangkan negara Islam

Negara Islam rukun iman pun tidak

rukun Islam pun bukan

Walaupun dia diwajibkan

Sedangkan di dalam ajaran Islam

Didiklah manusia perlahan-lahan

Secara berperingkat-peringkat mengikut keperluan

Yang dahulu didahulukan

Yang kemudian dikemudiankan

Kalau umat Islam rosak dalam semua hal

Terutama Tuhan sudah tidak dikenal

Umat Islam ramai sudah tidak sembahyang

tiba-tiba hendak ajak orang tegakkan negara Islam

ini satu kesalahan

Kerana itulah perjuangan umat Islam

tidak berkesan

Kerana berjuang tidak kenal situasi

tidak faham strategi

Tidak faham mana yang patut didahului

Dan mana yang patut dikemudiankan

Jadi pejuang-pejuang umat Islam di dalam kejahilan

Kerana tidak tahu mana satu yang patut diutamakan

Akibatnya makin berjuang makin mendapat kehinaan

Tidak faham situasi ertinya berjuang secara kejahilan

Tidak faham situasi tidak layak berjuang

Kalau dibuat juga kerosakan lebih banyak

daripada kebaikan

Lebih-lebih lagi pejuang-pejuang Islam

belum menjadi contoh dan teladan

Ertinya siapa yang hendak diikut orang

Pejuang-pejuang Islam pun

tidak boleh dijadikan ikutan

Jadi kalau orang ikut juga

matlamat Islam tidak kesampaian

Kerana mengikut orang

yang tidak boleh dijadikan suri dan teladan

Jadi orang yang mengamalkan Islam

sudah tidak cantik dan hilanglah keindahan Islam

Kalau Islam itu diamalkan tidak indah

Orang makin takut dengan Islam

Harap diambil perhatian

2.10 petang

19 - 02 - 05

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment