Thursday, 14 April 2011

Bahasan sifat-sifat mustahil bagi ALLAH [1]

Table of contents

1. MATAN
2. 1. 'Adam
3. Harus ALLAH Mentiadakan Alam
4. 2. Hudus
5. 3. Thuruwul 'Adam
6. Orang yang mati syahid ALLAH kekalkan jasadnya
7. 4. Al Mumasalatu lilhawadisi
8. ALLAH tiada mengambil faedah pada perbuatan dan hukum-Nya
9. 5. Ikhtiyaju ilal Ghairi

Matan

  1. 'Adam (tiada)
  2. Hudus (baharu)
  3. Thurul 'Adam (ada kesudahan)
  4. Almumasalatu lilhawadisi (bersamaan dengan segala baharu)
  5. Ihtiajuilal khairi (berhajat kepada yang lain)

Wajib atas tiap-tiap mukallaf mengetahui sifat-sifat yang mustahil pada Tuhan yang jadi lawan daripada dua puluh sifat yang wajib baginya dengan dinyatakan satu-persatunya. manakala telah ditetapkan satu-persatu sifat yang wajib bagi ALLAH Taala dua puluh sifat, maka tetaplah mustahil lawannya yang kekurangan itu. Kerana yang ditentukan pada alam ini mensabitkan segala 'aqoid atas jalan tafsil pada segala sifat. Dari itu terlalu besar salah mereka yang tiada mengetahui hal ini lebih daripada tiada mengetahui hukum-hukum feqah kerana jahil akan barang yang wajib bagi ALLAH Taala dan yang mustahil atas-Nya dihukumkan kafir tetapi jahil akan hukum-hukum feqah hanya maksiat jua. Maka dengan sebab itulah dinyatakan di sini sifat- sifat yang mustahil satu-persatunya.

  • Yang pertama - 'Adam ertinya tiada maka tiap-tiap yang lain daripada Tuhan dinamakan 'adam (boleh 'adam)
    Yang kedua - Hudus ertinya baharu iaitu ada permulaan bagi wujud Tuhan.
  • Yang ketiga - Thuruwul 'adam ertinya kedatangan 'adam. Yang dinamakan fana iaitu ada kesudahan bagi wujud Tuhan.
  • Yang keempat - Almumasalatu lilhawadisi ertinya bersamaan dengan segala yang baharu. Seperti ia jirim atau aradh atau baginya pihak atau pada pihak atau bertempat atau bermasa atau kecil atau besar atau bersifat sebagaimana sifat-sifat yang baharu atau mengambil faedah pada perbuatannya dan hukumnya.
  • Yang kelima - Ihtiyaju ilal ghairi ertinya berhajat kepada lainnya seperti berhajat kepada tempat berdiri dan berkehendak kepada yang menjadikan dia.

DALAM bab ini, kita akan perbahaskan sebahagian daripada sifat-sifat yang mustahil bagi ALLAH Taala. Dan mustahil di sini adalah mustahil pada akal yakni: sesuatu perkara itu tidak akan diterima oleh akal akan adanya, tetapi yang mahu diterima oleh akal ialah akan tiadanya.

Jadi bila kita memperkatakan sifat-sifat yang mustahil pada ALLAH SWT, ertinya kita akan membahaskan sifat-sifat yang tidak akan berlaku dan yang tidak akan mahu terjadi pada zat ALLAH SWT. Akal kita tidak akan mahu menerima yang sifat-sifat itu akan terjadi pada Zat ALLAH SWT.

1. 'Adam

Sifat mustahil yang pertama bagi ALLAH ialah 'adam () yang ertinya "tiada". Apa-apa yang selain dari ALLAH SWT, boleh dinamakan 'adam dan boleh jadi 'adam. Ertinya selain dari ALLAH SWT, boleh berlaku dan boleh terjadi sifat tiada itu kerana yang mengada dan yang mentiadakan sesuatu itu ialah ALLAH SWT.

Tetapi bagi ALLAH SWT, tidak akan berlaku dan mustahil berlaku, sifat tiada ini. Dan akal juga tidak mahu menerima yang ALLAH itu tiada. Yang mahu akal terima ialah adanya ALLAH SWT. Kerana kalau ALLAH itu tiada, bererti ALLAH itu ada yang mentiadakan dan mengadakan-Nya.

Dan kalaulah ALLAH itu ada yang menyebabkan Dia tiada dan Dia ada, maka lemahlah ALLAH. Tentulah yang mentiada dan yang mengadakan Allah itu lebih gagah. Dan kalau ALLAH itu lemah, maka bukanlah dinamakan ALLAH lagi. Sedangkan ALLAH SWT itu Maha Besar dan Maha Gagah. Tidak ada yang lebih besar dan lebih gagah dari ALLAH. Kerana itu, mustahil ALLAH itu bersifat tiada atau 'adam tetapi selain daripada ALLAH SWT, akan menerima 'adam.

Harus ALLAH Mentiadakan Alam

Ertinya selain dari ALLAH SWT, akan berlaku padanya tiada atau boleh jadi juga tiada. Jadi semua makhluk dan seluruh alam termasuk kita, haiwan-haiwan, pokok-pokok, binatang-binatang, matahari, langit dan lain-lainnya diadakan dan ditiadakan oleh ALLAH. Dan mentiadakan semua itu boleh jadi sahaja kerana mentiadakan seluruh alam ini harus sahaja bagi ALLAH SWT.

Tidak mesti atau tidak wajib bagi ALLAH mentiadakan semua alam dan makhluk yang telah dijadikan-Nya itu kerana kalau mesti bagi ALLAH maka bererti ALLAH terpaksa melakukannya. Kalau Allah terpaksa, maka ada yang memaksa-Nya. Dengan demikian, lemahlah ALLAH. Kalau ALLAH lemah, maka bukan Tuhanlah namanya. Kerana ALLAH itu Maha Gagah dan Maha Besar. Sebab itu, tidak boleh kita katakan yang wajib bagi ALLAH itu mentiadakan alam ini. Tetapi oleh kerana ALLAH sudah menceritakan di dalam Al Quran yang suatu masa nanti akan ALLAH tiadakan makhluk dan alam ini, maka yang demikian itu pasti berlaku tetapi dengan kehendak ALLAH sendiri, bukan ada sesiapa yang memaksa.

Jadi, seluruh makhluk dan alam ini akan berlaku padanya tiada setelab ia diadakan oleh ALLAH SWT. Tetapi ALLAH SWT itu, mustahil pada-Nya berlaku keadaan tiada kerana tidak ada siapa yang akan mentiadakan-Nya, tidak ada siapa yang akan mematikan-Nya, tidak ada siapa yang akan membinasakan-Nya dan tidak ada siapa yang akan memfanakan-Nya. Sebab ALLAH itu berkuasa di atas segala-galanya dan tidak ada siapa pun yang boleh menguasai ALLAH. Kerana itu mustahil ALLAH itu tiada di suatu masa yang akan datang.

2. Hudus

Sifat mustahil yang kedua bagi ALLAH SWT ialah hudus ( &3 b) yang ertinya "baharu". Iaitu ada perrnulaan bagi wujud ALLAH SWT. Mustahil ALLAH itu baharu atau ada permulaan. Dengan kata lain, mustahil bagi ALLAH itu pada mula-mulanya tiada dan kemudian baharu ada sebagaimana juga mustahil pada ALLAH itu disudahi dengan tiada. Sebaliknya, ALLAH SWT itu bersifat kekal yang tidak bermula dan tidak berakhir. Ertinya, tidak ada permulaan bagi ALLAH dan tidak ada kesudahan bagi-Nya.

Ini mesti kita yakin sungguh-sungguh kerana kalau tergelincir keyakinan kita, maka kita akan jatuh syirik. Kalau ketika itu kita mati, tidak sempat untuk bertaubat, maka kita akan kekal abadi di dalarn Neraka.

3. Thuruwul 'Adam

Sifat mustahil yang ketiga bagi ALLAH ialah thuruwul 'adam ( ) ertinya kedatangan 'adam yang dinamakan fana' iaitu ada kesudahan bagi wujud Tuhan. Dengan lain-lain perkataan, adalah mustahil bagi ALLAH itu menerima kesudahan. Tidak akan berlaku pada ALLAH SWT itu tiada di satu masa nanti. Mustahil ada akhir bagi ALLAH SWT.

Tetapi selain daripada ALLAH SWT, ada kesudahannya. Seluruh alam dan makbluk ini termasuklah kita, haiwan-haiwan, alam ini dan lain-lainnya, di satu masa nanti akan menerima kesudahan yakni diiringi dengan tiada, dan yang mentiadakannya ialah ALLAH SWT. Cuma di dalam kitab disebutkan, ada beberapa perkara yang ALLAH jadikan, tidak akan menerima kesudahan, sebaliknya akan dikekalkan-Nya. Perkara-perkara yang 10 banyaknya itu telah kita sebut dalam bab yang lalu. Kekalnya 10 perkara itu adalah kekal aradhi, bukan kekal hakiki; kalau ALLAH tidak mahu mengekal kannya, ALLAH boleh berbuat demikian. Yang kekal hakiki hanyalah zat ALLAH SWT.

Antara 10 perkara yang ALLAH kekalkan itu ialah jasad orang yang mati syahid. Ini sebagai penghormatan yang ALLAH hendak berikan kepadanya. Begitu sekali ALLAH muliakan jasadnya, sama seperti jasad para nabi dan rasul. Orang yang mati syahid ini, jasadnya macam jasad orang yang baharu mati walaupun sudah lama dikebumikan. Darah merahnya seperti hidup mengalir.

Ada keterangan sejarah yang mengatakan ada orang yang menemui jasad para Sahabat yang ditanam di tepi sungai terapung-apung akibat dihakis 'oleh air. Orang yang menemuinya mendapati jasad itu seperti jasad orang yang baharu mati, padahal ia sudah tertanam beratus-ratus tahun.

Kalau kita hendak mendapat penghormatan dari ALLAH dengan dikekalkan jasad kita setelah kita mati, hendaklah kita berniat untuk mati syahid. Malah ada keterangan Hadis yang mengatakan, barang siapa bemiat untuk mati syahid, kalaupun dia tidak mati syahid, dia masih diberi oleh ALLAH pahala syahid.

Tetapi untuk mendapatkan mati syahid bukanlah mudah. Yang boleh mendapatkannya ialah orang yang mati dalam keadaan menegakkan hukum-hakam ALLAH. Seorang Sahabat pemah bertanya kepada Rasulullah tentang mati yang dikira mati syahid. Sahabat itu bertanya, apakah mati kerana keberanian, kerana menegakkan bangsa dan sebagainya itu dikira mati syahid? Rasulullah menjawab, tidak. Kemudian Rasulullah mengatakan bahawa orang yang mendapat mati syahid itu ialah orang yang mati berjuang bagi menegakkan kalimah ALLAH agar menjadi tinggi.

Apakah yang dikatakan kalimah ALLAH itu? Ia adalah hukum-hakam yang telah ALLAH turunkan kepada manusia. Orang yang berjuang agar kalimah ALLAH itu menjadi tinggi, bererti dia berjuang untuk menegakkan hukum-hakam yang lima iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Dia berjuang mengajak manusia menerima semua hukum yang wajib dari ALLAH dan mengamalkannya dalam kehidupan sebagai perintah wajib. Kemudian dia berjuang agar hukum yang sunat dari ALLAH diterima sebagai hukum sunat oleh semua manusia dan diamalkan dalam kehidupan mengikut kemampuan masing-masing.

Seterusnya dia memperjuangkan hukum yang haram dari ALLAH sebagai perintah yang semua manusia mesti tinggalkan dan mesti jauhi sungguh-sungguh. Dan dia juga memperjuangkan agar hukum yang makruh dari ALLAH diterima sebagai makruh oleh semua manusia dan dijauhi perbuatan itu di dalam kehidupan mengikut yang terdaya.

Akhirnya dia berjuang menegakkan hukum yang harus dari ALLAH agar semua mengakui keharusannya Dan kalau ada yang hendak membuatnya atau hendak meninggalkannya, maka tidak dikira apa-apa kerana hukum harus itu ditakrifkan sebagai perbuatan yang kalau dilakukan tidak mendatangkan dosa dan kalau ditinggalkan pun tidak berdosa.

Inilah yang dikatakan orang yang berjuang supaya kalimah ALLAH itu menjadi tinggi. Ertinya, dia berjuang agar kelima-lima hukum ALLAH itu dapat ditingkatkan di dalam kehidupan manusia di semua aspek atau bidang, sama ada di dalam ibadahnya, di dalam akhlaknya, di dalam rumahtangganya, di bidang mengatur pendidikan anak-anak dan isterinya, di bidang kemasyarakatannya, di bidang pergaulannya, di bidang kenduri-kendaranya, di bidang iktisadnya, di bidang politiknya, di bidang negaranya, perjuangan dan jihadnya hinggalah kepada perhubungan antarabangsanya. Semua hukum yang lima itu mesti disuluh di bidang-bidang tersebut. Dan kelima-lima hukum itulah yang hendak kita tegakkan di dalam kesemua bidang kehidupan kita itu.

Jadi kalau seseorang itu berjuang hendak menegakkan hukum yang lima dari ALLAH itu di dalam dirinya, di dalam rumahtangganya, di dalam masyarakat, di dalam ekonominya hinggalah kepada persoalan negara dan antarabangsanya, maka kalau ditaqdirkan dia mati dibunuh orang ketika itu, matinya itu adalah mati syahid. Dan barulah jasad orang itu dikekalkan oleh ALLAH SWT dan dia dimasukkan ke dalam Syurga tanpa soal jawab dan tanpa sebarang hisab.

Mati yang demikian saja yang dikatakan oleh Rasulullah sebagai mati syahid. Selain dari itu, iaitu selain dari berjuang menegakkan kalimah ALLAH, kalau ditaqdirkan dia mati ketika itu, maka matinya itu bukan mati syahid. Jadi bukanlah mudah untuk mendapat mati syahid ini. Orang yang benar-benar dapat mati syahid, jasadnya ALLAH muliakan dengan ALLAH kekalkan ia. Segala dosanya ALLAH ampunkan dan dia ibarat kanak-kanak yang baharu lahir.

Kalaulah semangat ingin mati syahid ini dapat kita hidupkan kembali di dalam jiwa umat Islam, semua orang akan berjuang mati-matian untuk meninggikan kalimah ALLAH. Semua orang akan berjuang dan berjihad agar hukum-hakam ALLAH itu dapat dibangunkan di dalam semua bidang kehidupan dari persoalan diri, rumahtangga, anak isteri, aqidah, ibadah, masyarakat hinggalah kepada persoalan alam sejagat. Kemudian mana yang ALLAH sudah tentukan mati syahid, maka dia akan dapat mati syahid tetapi mana yang ALLAH tidak tentukan mati sy'ahid, dia mendapat kemuliaan di dunia. Dia akan menjadi kuat dan gagah di dunia. ALLAH akan hidupkan ia sebagai orang yang terhormat dan mulia.

Orang yang mati syahid ALLAH kekalkan jasadnya

Kerana dia berjuang untuk mati, maka ALLAH hidupkan dia sebagai orang yang mulia. Tetapi kalau dia berjuang kerana hendak hidup, insya-ALLAH akan ALLAH matikan dia. Kalaupun tidak mati jasad, jiwanya atau rohnya mati. Di sinilah syaitan begitu pandai sekali mencelah untuk menghasut manusia supaya mati kerana pangkat, kerana perempuan, kerana dunia, kerana hendak nama, kerana bangsa, kerana negara dan lain-lainnya. Semua orang akan bersungguh-sungguh berjuang. Tetapi kalau kita sebut mati syahid, tidak ada orang yang mahu. Sedangkan mati syahid itu mati yang paling mulia di sisi ALLAH SWT hingga ALLAH kekalkan jasadnya. Cuma kekal itu bukan kekal yang hakiki tetapi kekal aradhi.

4. Al Mumasalatu lilhawadisi

Kemudian sifat yang keempat yang mustahil pada ALLAH SWT ialah al mumasalatu lilhawadisi ( ) iaitu"bersamaan dengan segala yang baharu". Kita mesti tolak dan nafikan yang ALLAH itu bersamaan dengan segala yang baharu. Dan perlu kita ingat di sini bahawa apabila kita memperkatakan yang baharu, maksudnya ialah ma siwallah (selain ALLAH) iaitu makhluk, alam dan segala yang baharu.

Dengan lain-lain perkataan, ALLAH tidak sama dengan makhluk, tidak sama dengan alam dan tidak sama dengan yang baharu, Tidak sedikit pun ada persamaan ALLAH itu dengan segala yang baharu sama ada alam manusia atau alam haiwan, alam tumbuhan, Alam Syahadat, Alam Jabarut, Alam Kubur dan sebagainya. Kalau kita katakan ada sedikit sahaja persamaan ALLAH dengan yang baharu itu, maka kita telah kufur; kita telah murtad. Jadi hendaklah kita iktiqadkan yang ALLAH itu langsung tidak ada persamaannya dengan segala yang baharu.

Ertinya, ALLAH itu tidak serupa dengan manusia, tidak serupa dengan jin, tidak serupa dengan pokok-pokok, tidak serupa dengan bulan, tidak serupa dengan bintang, tidak serupa dengan malaikat dan apa saja. Sebab itu, bersamaan ALLAH itu dengan sebarang makhluk adalah mustahil. Akal kita tidak akan mahu menerimanya.

Cuba kita bahaskan di antara sifat-sifat makhluk atau yang baharu itu. Salah satu darinya ialah setiap makhluk itu adalah jirim, iaitu sesuatu yang mengarnbil lapang atau ruang. Dari segi sains, takrif jirim itu ialah sesuatu yang mengisi atau menempati ruang, dan jirim itu sama ada berbentuk pejal, cecair ataupun gas. Kalau demikian pengertiannya, maka setiap makhluk sama ada manusia, binatang, kerusi meja, buku-buku, bulan, bintang, udara, langit, lautan dan apa saja, semuanya adalah jirim. Kalau besar jirim itu, maka besarlah ruang yang diambilnya, dan kalau kecil jirim itu, maka kecillah ruang yang diisinya.

ALLAH SWT tidak menyerupai sebarang jirim kerana ALLAH tidak mengambil lapang dan tidak mengisi ruang. Mengapa? Sebabnya, lapang dan ruang itu sendiri pun ALLAH yang menjadikan. Kerana itu ALLAH tidak perlu kepada lapang dan ruang. Yang perlu kepada lapang dan ruang ialah jirim kerana jirim yang mengisi ruang dan lapang. Jadi, mustahil ALLAH itu menyerupai jirim.

Kemudian di antara sifat jirim ialah aradh yakni sifat-sifat yang mendatang pada jirim itu. Bolehlah kita katakan bahawa di antara sifat-sifat jirim ialah aradh iaitu setiap jirim, padanya akan berlaku keadaan gerak ataupun keadaan diam. Ertinya, jirim itu kadang-kadang bergerak dan kadang-kadang diam. Gerak dan diam itu berlaku silih berganti. Kalau jirim itu bergerak maka hilang diamnya tetapi kalau jirim itu diam maka hilang geraknya.

Apakah boleh berlaku pada jirim itu keadaan diam dan keadaan gerak dalam satu masa? Atau bolehkah jirim itu diam dan bergerak serentak? Tentunya mustahil. Akal kita tidak akan mahu menerima akan berlakunya keadaan gerak dan diam serentak pada jirim.

ALLAH SWT tidak menyerupai aradh pada makhluk. Sebab ALLAH itu tidak terlibat dengan gerak dan diam. Sedangkan gerak dan diam itu pun ALLAH yang menjadikannya. Yang demikian itu ALLAH tidak memerlukan gerak dan diam.

Kalau begitu, bagaimanakah keadaan ALLAH itu? Jawabnya, wallahu a'lam. ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui sifat-Nya. Kita tidak wajib mengetahui itu semua. Para nabi dan rasul pun tidak mengetahuinya. Kerana itu tidak perlu kita bahaskan.

Perbahasan tauhid ini tidak sama dengan perbahasan feqah. Di dalam mempelajari tauhid, setelah kita bahaskan sifat ALLAH itu hingga kita tidak tahu hakikatnya, maka itulah yang dikatakan orang yang telah mengetahui. Ertinya, perbahasan tauhid bukan hendak dilakukan sampai dapat kerana kalau dibahaskan tauhid itu sampai dapat, sampai tahu hakikat sifat Tuhan, maka itulah yang dikatakan tidak dapat. Salah-salah langkah, boleh tersesat.

Berlainan dengan feqah, yang mana kita perlu membahaskan sesuatu itu hingga kita dapat dan mengetahuinya. Selagi kita tidak mengetahui hakikatnya, kita akan terus melakukan kesalahan dan dosa. Tetapi bagi tauhid, yang perlu bagi kita ialah meyakininya. Itu saja. Keyakinan kita tidak boleh tergelincir walau sedikit pun.

Selanjutnya, sifat yang baharu ini ada baginya pihak-pihak. Umpamanya, kalau tidak di hadapan, ia di belakang; kalau tidak di kanan, ia di kiri; kalau tidak di atas, ia di bawah; kalau tidak di timur, ia di barat; kalau tidak di utara, ia di selatan dan seterusnya. Tiap-tiap ketika, ada baginya pihak-pihak. Tetapi ALLAH SWT tidak demikian. ALLAH tidak terlibat dengan pihak-pihak.

ALLAH tidak di hadapan atau di belakang; tidak di kiri atau di kanan; tidak di atas dan di bawah atau pihak mana sekalipun. Tegasnya, ALLAH itu tidak bertempat kerana ALLAH tidak memerlukan ruang. Yang memerlukan ruang hanyalah jirim, dan kerana itu jirim sahaja yang perlukan pihak dan bertempat-tempat.

Kemudian jirim pula selain dari ada baginya pihak-pihak, ia juga berpihak-pihak. Ertinya pada jirim ada pihak yang sebelah kiri dan yang sebelah kanan; ada pihak yang sebelah bawah dan yang sebelah atas; ada pihak yang luar dan ada pihak yang di dalam. ALLAH tidak boleh dikatakan demikian. Mustahil ALLAH itu berpihak-pihak. Tidak ada bagi ALLAH itu kiri atau kanan, atas atau bawah, dan sebagainya. Akal akan menolak berlakunya sifat demikian pada ALLAH kerana bersalahan ALLAH itu dengan segala yang baharu.

Seterusnya, setiap makhluk terlibat dengan masa. Katalah seorang kanak-kanak baharu lahir. Maka lahirnya itu, kalau tidak hari Ahad, hari Isnin dan kalau tidak Isnin, hari Selasa, dan begitulah seterusnya pada hari-hari yang kita kira. Kemudian kalau dia tidak lahir pagi, dia lahir pada petangnya atau pada malamnya dan seterusnya pada waktu-waktu yang tertentu. Ertinya, dia tetap akan terlibat dengan masa. Begitulah juga dengan semua makhluk, tidak ada yang boleh mengelak daripada terlibat dengan masa.

Tetapi ALLAH SWT tidak demikian. ALLAH tidak terlibat dengan hari-hari Isnin atau Selasa, Rabu dan seterusnya. ALLAH juga tidak terlibat dengan masa siang, malam, pagi dan petang. ALLAH juga tidak terlibat dengan sebarang waktu, detik atau saat. Demikianlah hebatnya ALLAH dibandingkan dengan makhluk seperti manusia. Walaupun seseorang itu besar kuasanya, besar pangkat dan darjatnya, banyak hartanya, ternama dan terbilang, namun dia tidak boleh berbangga kerana tarafnya dengan makhluk lain sama saja. Iaitu masing-masing tidak boleh melepaskan diri daripada terlibat dengan masa. Hanya ALLAH yang tidak terlibat dengan sebarang ketika. Sedangkan ketika, masa, hari dan sebagainya itu pun ALLAH yang jadikan.

Kalau begitu, makhluk seperti kita ini kerdil sangat di sisi ALLAH. Kerana itu, tidaklah boleh kita bersikap sombong dan bongkak kepada ALLAH. Dan kerana itu, tidaklah boleh tunjuk lagak tidak mahu menyembah ALLAH, tidak mahu ikut perintah ALLAH, tidak mahu pakai peraturan hidup ALLAH dan sebagainya.

Kemudian makhluk ada ukuran kecil dan besar. Tetapi ALLAH tidak ada ukuran kecil dan besar. Bila kita sebut ALLAH itu Maha Besar, perlu kita faham bahawa besar yang dimaksudkan bukan macam besar yang baharu seperti besar kita, besar gunung, besar langit, besar bumi dan sebagainya. Besar ALLAH itu bukan serupa dengan yang baharu. Kalau begitu, bagaimana besar ALLAH yang kita sebut-sebut Allahu Akbar itu? Jawabnya, kita tidak tahu, wallahu a'lam. ALLAH sahaja yang mengetahui sifat-Nya. Kita tidak perlu mengetahui hakikat besarnya ALLAH. Itu adalah hak ALLAH.

ALLAH tiada mengambil faedah pada perbuatan dan hukum-Nya

Yang wajib kita ketahui ialah ALLAH itu Maha Besar sesuai dengan kehendak-Nya, sesuai dengan segala sifat-Nya. Kerana itu jangan kita bayang-bayangkan ALLAH itu dengan sifat-sifat yang baharu, berkulit, berdaging, ada berwarna seperti hitam, putih, kuning dan sebagainya. Kalau kita berbuat demikian, kelak kita akan bertuhankan syaitan. ALLAH itu tidak bersifat sepertimana sifat segala yang baharu.

Begitu juga, mustahil bagi ALLAH mengambil faedah pada perbuatan-Nya dan pada hukum-Nya. ALLAH jadikan manusia, jin, haiwan, malaikat, bumi, langit dan segala yang baharu ini, bukan kerana hendak mengambil faedah darinya. Sebaliknya, ALLAH jadikan semua itu untuk faedah makhluk sendiri. ALLAH tidak perlu kepada segala yang dicipta-Nya itu.

Begitu juga hukum-hukum yang telah ALLAH tetapkan seperti hukum wajib, sunat, haram, makruh dan hams, hukum sah dan batal dan lain-lainnya, ALLAH tidak mengambil faedah darinya. ALLAH jadikan semua itu untuk faedah makhluk ini sendiri. Kalau makhluk dapat menghormati hukum-hukum ALLAH itu, bukan sahaja di Akhirat dia akan selamat, di dunia lagi dia selamat.

Betapa tidaknya. Kalau semua makhluk dapat menghormati hukum ALLAH, maka tentunya tidak akan timbul pergaduhan, pembunuhan, peperangan, curi-mencuri, maksiat dan lain-lainnya. Tirnbuhnya kemungkaran dan kedurjanaan itu adalah akibat dari manusia tidak mahu menghormati hukum ALLAH. Akhimya yang hidup susah ialah manusia sendiri. Sedangkan ALLAH tidak susah di atas kesusahan manusia.

Samalah seperti sebuah kerajaan yang mengadakan hukum lalulintas. Kalau manusia menghormatinya dengan mematuhi undang-undang itu, maka manusia itulah yang mendapat faedah darinya. Tetapi kalau dia tidak mahu ikut hukum, hendak langgar perintah lalulintas yang telah disediakan itu, tiba-tiba dia berlanggar dan masuk parit, siapakah yang menderita?

Hukum-hukum yang ALLAH jadikan untuk manusia demikian juga. Kalau semua manusia dapat menghormatinya, maka manusia akan hidup aman dan damai, tidak berlaku kekacauan dan sebagainya. Jadi faedahnya adalah untuk keselamatan hidup manusia itu sendiri, sama ada di Akhirat mahupun di dunia. ALLAH tidak mengambil sebarang faedah darinya.

Sama ada manusia hendak menghormati hukum-hukum itu ataupun tidak, ALLAH tidak susah. Kebesaran ALLAH tetap juga sepertimana kebesaran-Nya. Bagi ALLAH, ada orang menyembah-Nya ataupun tidak, Dia tetap begitu. Tidak ada satu pun cacat celanya. ALLAH tidak bertambah kebesaran-Nya kalau ramai orang yang menyembah-Nya dan tidak pula berkurang kebesaran-Nya kalau seorang saja yang menyembah-Nya. Katalah semua manusia di dunia ini boikot tidak mahu sembah ALLAH. Apakah ALLAH akan merasa yang kebesaran dan kekuasaan-Nya tergugat? Tidak sekali-kali. Tidak merosot kekuasaan dan kebesaran kerajaan ALLAH, kalau manusia kempen tidak mahu menyembah-Nya. ALLAH tetap Maha Besar, Maha Hebat, Maha Gagah, Maha Kuasa dan sebagainya.

Yang akan merosot kekuasaan dan kebesaran, kalau manusia kempen tidak mahu sokong ialah kerajaan manusia di dunia. Kalau seseorang raja itu, manusia pakat ramai-ramai tidak mahu sokong dia, maka merosotlah kekuasaannya. Mana boleh seseorang itu isytihar jadi raja kalau orang lain tidak mahu menerimanya! Tetapi, kalau semua rakyat memberi sokongan kepadanya, maka besarlah pemerintahannya.

ALLAH tidak langsung mengambil faedah dari sebarang perbuatan-Nya sama ada makhluk yang dijadikan ataupun hukum yang ditetapkan. Yang mengambil faedah dari sesuatu perbuatan ialah makhluk. Umpamanya, kalau kita buat rumah, faedahnya untuk kita duduk di dalamnya atau kalau kita tidak duduk, kita akan sewakan. Begitu juga dengan pemerintahan manusia di dunia ini; segala peraturan dan undang-undang adalah untuk faedah manusia. Sekurang-kurangnya untuk menjaga kepentingan kerajaan manusia itu supaya jangan ada yang mengancam dan sebagainya.

Kerana manusia berkepentingan dalam setiap perbuatan dan peraturannyalah, maka sampai ada setengah-setengah pemerintah di dunia tolong membuatkan peraturan bagi negara lain. Disediakannya peraturan berekonomi negara itu, disediakannya peraturan pendidikan negara itu, disediakannya peraturan ketenteraan negara itu dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk menjajah negara itu. Kita yang tidak tahu ini menyangka yang pemerintah itu begitu baik sekali hingga tolong menyediakan peraturan negara kita. Kita tidak sedar yang rupa-rupanya dia ada kepentingan.

Begitulah sifat makhluk yang mengambil faedah daripada perbuatannya. Tetapi ALLAH tidak demikian. Kerana ALLAH itu tidak langsung menyerupai makhluk walau di sudut mana sekalipun. Jadi mustahil ALLAH itu menyamai segala yang baharu. Hal ini tidak akan terjadi pada zat ALLAH SWT. Akal kita juga tidak akan mahu menerimanya.

5. Ikhtiyaju ilal Ghairi

Seterusnya sifat mustahil bagi ALLAH yang kelima ialah"berhajat kepada yang lain". Misalnya, mustahil ALLAH itu berhajat kepada tempat berdiri ataupun ALLAH itu berhajat kepada yang menjadikan Dia. Tidak akan dapat diterima oleh akal kita yang ALLAH itu berhajat demikian. Yang demikian kita kata ALLAH itu Ihtiyaju ilal ghairi (). Kita mesti tolak keyakinan ini.

Artikel ini adalah bagian dari buku Aqidah Mukmin Siri 3 yang berisi buah fikiran dan ilham dari Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi

No comments:

Post a Comment