Untuk menjadi seorang mukmin dengan menjadi seorang Islam tidak sama. Untuk menjadi orang mukmin, susah tetapi menjadi orang Islam senang. Oleh sebab itu dalam Al Quran tidak ada suatu ayat pun yang Tuhan memberitahu hendak bela, tolong, jamin memberi kemenangan, memberkati dan untuk memberi rezeki yang tidak terduga kepada orang Islam. Yang selalu Tuhan sebut ialah hendak memberi pertolongan, memberi bantuan, memberi rahmat, berkat dan kemenangan kepada orang mukmin dan bertaqwa. Di sinilah kadang-kadang kita terkeliru. Apabila menjadi orang Islam, kita sudah berpuas hati.
Menjadi seorang Islam itu soal lahir atau sikap lahir iaitu mengerjakan sembahyang, puasa, zakat, seterusnya haji bila cukup syarat. Bila itu dilaksanakan, seseorang itu tidak boleh dikatakan orang kafir. Malah lebih mudah dari itu iaitu siapa sahaja yang sudah mengucap dua kalimah syahadah, maka jadilah dia seorang muslim atau seorang Islam tetapi belum tentu dia mukmin.
Oleh kerana itulah kita baca dalam sejarah di zaman Rasulullah ada seorang Arab Badwi, dia sudah masuk Islam, maka dia buat pengakuan kepada Rasulullah bahawa dia sudah jadi orang mukmin lantas ditegur oleh Rasulullah masa itu juga.
Kata Rasulullah, "Jangan engkau katakan engkau telah beriman. Engkau katakan sajalah engkau sudah Islam."
Mengapa? Ini kerana iman ada hubungan dengan hati, roh, nafsu dan akal. Iman termasuk soal rohaniah. Bukan sahaja orang tidak nampak, bahkan kebanyakan orang yang rohnya tidak hidup, tidak tahu pun perjalanan dalamnya. Dia tidak boleh faham perjalanan rohaninya, tidak boleh membaca nafsu dan akalnya.
Iman ditentukan oleh faktor dalaman, Islam ditentukan oleh faktor luaran. Kesempurnaannya ialah gabungan kedua-duanya sekali tetapi yang penting ialah faktor dalaman. Iman itu isi manakala Islam itu kulit. Kalau tidak dipimpin oleh Tuhan atau ilmu kita tidak halus atau roh kita tidak bercahaya, kita akan banyak terlibat dengan dosa dan kederhakaan dalaman atau rohaniah tanpa kita sedar.
Manakala faktor luar, persoalannya adakah kita boleh melawan nafsu atau tidak, itu sahaja. Kita tahu dan sedar kalau kita terbuat dosa, itu satu kesalahan. Antara contohnya:
- Kalau kita curi ayam orang, tentu kita tahu kita berdosa. Tanyalah sesiapa pun. Kita tahu perbuatan itu salah tetapi jika hendak curi juga, itu persoalan lain. Namun kita tahu dan akan berkata, "Aku ini buat salah. Kalau polis tahu tentu kena tangkap."
- Katakanlah kita tampar orang. Bila ditanya tentu kita akan berkata, "Memang saya salah. Saya tidak dapat lawan nafsu saya." Begitu juga kalau orang tampar kita, dia pun akan jawab yang sama.
- Kalau kita maki orang tentu kita rasa bersalah.
Jadi soal Islam adalah soal luar. Kesalahan lahir yang berbentuk fizikal mudah kita kenal dan tahu. Tetapi yang lebih banyak kita berdosa dan derhaka ialah dalam soal iman, rohaniah, nafsu dan roh kita atau dalam istilah lain, dosa batin atau dosa hati. Bahkan setiap hari kita buat dosa dalaman tetapi kita sedar dan tidak rasa berdosa. Sebenarnya kalau kita faham, dosa dalaman kita lebih banyak dari dosa luar. Apabila kita tidak membuat dosa luar, seperti tidak mencuri, tidak membunuh orang, tidak pukul orang, tidak berzina dan tidak mengata orang, kita terasa senang hati. Terasa tidak ada dosa jadi rasa senang hati dan sudah terbayang mendapat Syurga. Sebenarnya kalau kita terbuat satu dosa lahir, maka dosa batin kita sepuluh. Kalau buat dua dosa lahir maka dosa batin dua puluh. Kalau langsung tidak terlibat dengan dosa lahir pun, pasti kita ada dosa batin. Rasa tidak berdosa itu pun adalah dosa batin. Itulah nisbah antara dosa lahir dan dosa batin. Jadi macam mana kita kata kita sudah bersih? Bagaimana hendak menjadi orang mukmin. Kita hanya boleh jadi orang Islam.
Tajuk untuk bab ini ialah rojak kerohanian. Kalau rojak yang dimakan, memang sedap sebab ada udang, mi dan lain-lain. Yang hendak diperkatakan ini rojak juga tetapi rojak kerohanian. Rojak ini tidak sedap. Rasanya pahit. Yang dimaksudkan rojak kerohanian ialah di dalam diri kita, secara rohaniahnya, bercampur bermacam-macam sifat baik dan buruk.
Mari kita membaca batin kita. Kita akan dapat hujah-hujah bahawa untuk menjadi orang mukmin itu memang susah. Contoh-contohnya seperti berikut:
1. Kalau lihat kumpulan budak lepak yang jahat, suka mengusik dan meragut barang orang, ada dua perasaan atau dua sikap kita yakni:
a. Kita kata itu dia punya pasallah. Bukan hal kita. Usah ganggu mereka kerana itu hak asasi mereka. Di Barat, orang bunuh orang pun dia anggap itu hak asasinya. Kalau hendak kena tangkap pun dia, bukan kita. Orang lain tidak tolong selamatkan pun tidak apa. Sudah sampai ke peringkat itu di Barat. Sikap yang pertama ini adalah dosa kerana tidak ada rasa tanggungjawab.
b. Bila melihat budak lepak, ada golongan yang mengatakan 'jahat betul', 'tak guna', 'sampah masyarakat'. Terasa tidak berdosa bila berkata begitu. Sikap yang kedua ini lagi berat. Sepatutnya bila melihat budak lepak itu timbul rasa kasihan lalu mendoakan mereka kerana mereka tidak dapat petunjuk. Kalau tidak berani memberi nasihat, takut dipukul oleh budak itu, berdoalah, "Wahai Tuhan, berilah petunjuk kepadanya." Sebaliknya kita menghina mereka. Pernahkah kita rasa berdosa, bila balik ke rumah rasa menyesal lalu istighfar jika tadi sudah terlajak cakap terhadap budak itu. Jika tidak, itulah dosa batin. Ertinya roh sudah rosak.
2. Bila kita melihat orang miskin, ada rasa simpati hendak tolong atau tidak? Kalau kita tidak mampu hendak tolong kerana kita pun miskin, adakah kita doakan semoga dia murah rezeki? Pernahkah kita rasa berdosa kerana tidak rasa begitu terhadap orang miskin? Adakah kita rasa berdosa sebab tidak merasa susah dengan kesusahan orang miskin?
3. Katakanlah pagi-pagi kita keluar selepas subuh dan petang baru balik. Sepanjang pemergian itu kita tidak berzina, tidak mencuri, tidak membunuh orang dan tidak mengata orang. Apakah sikap kita?
a. Senang hati kerana berasa satu hari tidak berbuat dosa dan tidak merasa berdosa.
b. Adakah kita rasa bertuhan, bahawa Tuhan sedang mengawasi, melihat kita dan bahawa kuasa Tuhan tidak pernah terlepas walau satu detik?
c. Adakah sepanjang hari itu kita rasa hamba? Iaitu perasaan hina, dhaif, tidak berguna dan malu. Walaupun berpakaian cantik tetapi rasa malu sebab di luar cantik sedangkan di dalam rasa seperti kain buruk. "Aku ini wahai Tuhan, hamba yang hina." Adakah terasa seperti itu?
d. Pernahkah rasa berdosa lantaran tidak adanya rasa-rasa tersebut?
Inilah yang dimaksudkan, dosa batin lebih besar daripada dosa lahir. Dosa lahir itu memang kita tidak mahu buat dan susah hendak terbuat. Tetapi dosa dalaman atau dosa batin, sehari berpuluh-puluh kali kita buat.
4. Satu hari kita dengar orang puji kita. Hati pun berbunga di dalam. Orang keji, kita terasa sakitnya. Pernahkah hati rasa berdosa? Berdosa kerana berbunga hati bila dipuji dan sakit hati bila dikeji. Walhal pujian itu pakaian Tuhan dan kejian itu pakaian hamba. Sebab itu hendak jadi orang mukmin sangat susah. Hendak jadi Islam, senang.
5. Sepanjang hari kita rasa sombong dan riyak. Pernahkah kita rasa berdosa? Sedangkan sombong, riyak, rasa megah adalah dosa besar. Kalau kita buat dosa lahir, contohnya curi ayam, itu dosa kecil. Jika orang terkenal atau popular yang mencuri telur ayam, beritanya sehingga masuk muka depan surat khabar, padahal itu dosa kecil. Tetapi dosa dalaman iaitu riyak, ujub, sombong, hati berbunga bila dipuji, bila dikeji sakit hati adalah dosa besar tetapi tidak terasa. Mencuri telur ayam semua orang riuh padahal itu dosa kecil. Buat dosa besar dalam hati tidak ada siapa yang kisah. Orang pandang besar dosa yang di luar tetapi yang di dalam itu tidak terasa walaupun dosa besar.
6. Kadang-kadang kita buat dosa yakni kita tidak sedar bahawa kita ada kepentingan diri. Kita fikir, "Mana aku ada kepentingan diri? Aku tak gila pangkat atau harta. Kalau gila harta atau pangkat, bolehlah kata ada kepentingan diri." Sebenarnya gila pangkat dan harta itu sudah besar sangat. Kalau orang yang ada asas, dia tidak akan buat perkara seperti itu. Antara kepentingan diri yang kita tidak sedar ialah:
a. Adakah kita ziarah ibu bapa kita? Kadang-kadang bila balik kampung, kena marah. Hubungan anak dengan ibu bapa lebih kurang sahaja. Sebab itu malas hendak balik. Baru tiba di depan pintu sudah kena 'sembur'. Kalau orang yang tidak ada kepentingan diri, dia fikir, "Hendak kena marah, hendak kena sembur ke, biarlah. Ziarah ibu bapa adalah tanggungjawab saya."
b. Bila dipanggil kenduri, cepat sahaja kita pergi tetapi bila ziarah orang sakit, atau orang mati, kita tidak mahu pergi. Adakah kita terasa jika ada sifat itu bermakna ada kepentingan diri? Kita hendak ke tempat yang seronok sahaja. Walhal ziarah orang sakit dan orang mati itu juga suruhan Tuhan.
Ramai yang terperangkap dengan dosa-dosa ini tetapi tidak menyedarinya. Kalau sedar, kita harap Tuhan ampunkan. Ramai orang yang mengerjakan sembahyang, puasa dan haji tetapi tidak sedar dengan dosa-dosa ini. Kita ingat kepentingan diri itu ialah rebut jawatan atau rebut harta tetapi jika suka pergi kenduri dan tidak suka ziarah orang sakit, tidak rasa itulah kepentingan diri. Kita dulukan kehendak kita dari kehendak Tuhan dan kehendak orang lain. Itu kepentingan dirilah namanya. Tidak sedar yang diri telah buat dosa.
7. Orang yang berdakwah sudah biasa terima duit. Ada tempat yang bagi duit atau envelope, ada tempat yang tidak bagi. Di tempat yang biasa ada imbuhan, kita rajin pergi berdakwah walaupun yang dengar lima orang sahaja. Tetapi bila sampai jadual dakwah di masjid atau ditempat yang tidak dapat bayaran, walaupun 500 orang yang dengar, kita tidak mahu pergi dengan alasan sakit-sakit badan. Adakah terfikir bahawa itu ada kepentingan diri. Itu semua adalah dosa batin.
8. Jika ziarah rumah kawan, kita rasa seronok kerana disambut dan diraikan. Tetapi balik ziarah rumah ibu bapa tidak seronok sebab bila sampai sahaja ibu bapa berkata, "Engkau hendak makan, masaklah." Itulah tanda ada kepentingan diri. Pernahkah rasa itu suatu dosa? Tidak pernah. Jika tidak rasa bertuhan dan tidak rasa hamba, sepanjang masa, tidak rasa berdosa.
9. Orang yang agak beragama, tidak meninggalkan sembahyang, tidak meninggalkan puasa, sekali-sekala keluar zakat, pergi haji bila cukup syarat, sekali-sekala umrah, baca Al Quran, wirid dan zikir, dia berkata, "Aku tidak cuai. Aku tidak salah." Dia terlupa bahawa dia tidak cuai tetapi lalai. Mana kita perasan kita tidak cuai tetapi lalai. Yang punya diri pun tidak perasan. Kalau tidak sembahyang, dia sudah tahu dia cuai dan terasa kecuaiannya. Kalau sudah cukup syarat tetapi tidak pergi haji, dia rasa cuai.
Bagaimanakah yang dikatakan tidak cuai tetapi lalai? Ertinya tidak cuai itu kerana ibadah dilaksanakan dan dibuat tetapi adakah ibadah itu dapat dihayati? Bila rukuk dan sujud apakah yang dibaca? Apakah yang kita rasa dengan Tuhan? Ini adalah kes atau contoh tidak cuai tetapi lalai. Inilah yang Tuhan maksudkan dalam ayat Al Quran:
Maksudnya: "Neraka Wail bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." (Al Ma'un: 4-5)
Masuk Neraka bukan kerana cuai tetapi kerana lalai sebab dalam ibadah tidak ada roh dan tidak dihayati. Kalau kerana cuai lebih teruk lagi, kerana langsung tidak berbuat. Terfikirkah kita yang kita membuat dosa lalai?
Lalai adalah satu dosa. Kita tidak cuai berpuasa dalam bulan Ramadhan tetapi berdosa kerana sepanjang puasa itu kita lalai, tidak ada rasa kehambaan, tidak ada rasa bertuhan, tidak takut dan tidak cinta dengan Tuhan. Pernahkah ada merasa berdosa atau menganggap berdosa kerana lalai dalam berpuasa?
Itulah hujah untuk mengatakan menjadi orang Islam senang sebaliknya untuk menjadi orang mukmin susah. Kita tidak cuai tetapi lalai. Tidak berbuat dosa lahir tetapi berbuat dosa batin. Ada kepentingan diri secara tidak sedar. Disangkakan orang yang berebut jawatan dalam parti dan dalam kerajaan, itulah orang yang berkepentingan diri. Sedangkan itu sudah besar sangat, tetapi kepentingan yang setiap hari kita buat, kita tidak sedar. Bagaimana kita boleh sedar bahawa kita sedang mengharungi dosa kejahatan batin?
10. Kalau sembahyang seorang diri, kita sembahyang lebih kurang sahaja tetapi berbeza kalau bersembahyang ramai atau berjemaah. Waktu berjemaah, kita begitu tertib. Apatah lagi kalau menjadi imam, sedap bacaannya. Sedangkan kalau sembahyang seorang diri, bacaan tidak sedap. Ada dosa di situ iaitu ada rasa kepentingan diri. Tidak sedar yang kita berbuat dosa.
Sebab itu Tuhan menyuruh kita sama ada ada dosa atau tidak, buat dosa atau tidak, nampak dan perasan ada dosa atau tidak, tetap disuruh rasa berdosa kerana memang ada dosa-dosa yang kita tidak sedar, iaitu dosa-dosa yang sangat tersirat. Lebih-lebih lagi kalau kita tidak ada pemimpin dan mursyid, banyak perkara-perkara halus dan seni yang kita tidak nampak.
Sebab itu rasa kehambaan dan rasa bertuhan perlu dikekalkan. Termasuklah taubat dan rasa menyesal. Rasa berdosa mesti dikekalkan kerana walaupun tidak nampak dosa yang dibuat tetapi pasti ada dosa tersembunyi yang tidak dapat hendak dicungkil.
Orang mukmin yang sejati, hatinya seperti gelombang ombak di laut, berombak-ombak tetapi tidak nampak. Kenapa? Ini kerana orang mukmin itu:
1. Sangat kenal dengan Tuhan.
2. Sangat kenal dengan dosanya.
3. Sangat dalam rasa kehambaannya.
4. Rasa kehambaan dan rasa bertuhan tidak boleh dipisahkan.
5. Sangat terjalin hubungan dengan Tuhannya sewaktu dia seorang diri.
Dosa batin lebih banyak daripada dosa lahir tetapi tidak disedari. Biasanya dosa yang tidak terampun adalah dosa batin. Oleh kerana tidak ada rasa berdosa maka kita tidak bertaubat. Dosa lahir mudah disedari dan ditaubatkan. Di Akhirat, ramai orang tidak lepas dan masuk ke Neraka kerana dosa batin.
Oleh itu penting kita memiliki ilmu kerana:
1. Ilmulah yang boleh menyuluh kejahatan dan kebaikan. Pada peringkat awal, ilmu itu menyuluh, memperlihatkan kejahatan dan kebaikan. Peringkat kedua, ia membantu untuk bertindak.
2. Seseorang yang mempunyai niat untuk berbuat baik tetapi tidak ada ilmu, apakah perkara yang hendak dimujahadahkan? Walaupun ada niat, bagaimana pula hendak memperbaiki diri kerana ilmu tidak cukup.
3. Apabila kekurangan ilmu, tidak dapat dilihat apakah kebaikan yang hendak dibuat dan bagaimana cara hendak membuatnya. Tetapi dia rasa dia tahu. Orang kurang ilmu, dia rasa dia tahu dan semuanya dia rasa mudah.
4. Apabila kekurangan ilmu, kisah-kisah yang dibaca dalam Al Quran tidak difahami kerana perkara-perkara yang halus tidak dapat dilihat.
5. Begitu juga dengan dosa. Dosa yang kasar-kasar jelas kelihatan tetapi oleh kerana ilmu kurang, dosa yang halus atau seni tidak dapat dilihat.
Kalau begitu, masih banyak lagi yang tidak selesai. Banyak lagi kejahatan batin yang berlaku. Oleh itu, banyakkan bertaubat dengan Tuhan. Cari ilmu lagi supaya boleh baiki diri. Tidak cukup hanya menjadi orang Islam sahaja. Kita mesti menjadi orang mukmin. Tuhan tidak akan menolong orang Islam kerana Tuhan hanya menolong orang mukmin. Kalau hendak mengharapkan bantuan dan pertolongan Tuhan, mestilah kemaskinikan diri untuk mendapat bantuan Tuhan itu.
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment