Bagi sesiapa yang memeluk agama Islam, seseorang itu akan bersyahadah. Maka dengan itu dia dikatakan 'masuk Islam'. Mengapa tidak dikatakan 'masuk iman'? Dengan syahadah, seseorang itu dianggap muslim. Tidak pula dikatakan dengan syahadah dia menjadi mukmin, sedangkan hanya mukmin yang diterima Tuhan. Islam tidak disebut pun tidak mengapa kerana secara automatik, Islam ada dalam iman. Tetapi kalau dia Islam, tidak bermakna dia ada iman. Ini menunjukkan orang yang 'masuk Islam', belum tentu 'masuk iman'. Sebab itu tidak dikatakan seseorang itu 'masuk iman'.
Iman itu adalah kemuncaknya. Oleh yang demikian marilah kita menjadi orang mukmin dan bukan hanya sekadar menjadi orang muslim. Iman dan Islam tidak sama. Orang mukmin dan orang Islam tidak sama. Tapi kedua-duanya mesti ada, mesti wujud dan mesti saling perlu-memerlukan.
Sebagai contoh atau tamsilan, di antara iman dan Islam itu ialah seperti buah. Isi buah itu iman dan kulit buah itu adalah Islam. Macam mana cantik sekalipun kulit buah, bukan kulitnya yang hendak dimakan. Yang hendak dimakan itu ialah isinya. Namun mana ada isi yang tidak ada kulit. Kalau ada isi buah yang tidak ada kulit, isi itu pun akan rosak, tidak boleh dimakan lagi. Sebab itu, apabila kita tengok buah yang kulitnya sudah agak rosak, dimakan oleh tupai atau burung contohnya, isi di dalam pun turut rosak.
Jadi, kulit dan isi tidak boleh dipisahkan. Tetapi perlu diingat, yang orang makan adalah isi buah itu, bukan kulitnya. Menunjukkan isi lebih utama daripada kulit. Tetapi kulit dan isi mesti bersatu, tidak boleh berpisah. Cuma yang lebih penting ialah isinya. Iman itu ibarat isi dan Islam itu ibarat kulit. Sebab itu, janganlah dipisahkan isi dengan kulit yakni iman dan Islam. Kalau begitu marilah kita berusaha menjadi orang mukmin dan jangan hanya sekadar menjadi orang muslim. Orang mukmin sudah tentu dia muslim. Orang muslim belum tentu dia mukmin.
Sebagai contoh lagi, Islam diibaratkan sebuah taman yang cantik dan indah, yang di dalamnya ada berbagai-bagai keindahan, kenikmatan dan kebaikan. Bagi seorang Islam yang dikatakan muslim itu, dia adalah seorang yang baru berada di muka pintu taman. Dia sudah masuk tetapi baru sekitar pintu sahaja, tidak sampai benar-benar masuk ke dalam taman. Jika Islam itu diibaratkan seperti taman yang disebutkan, bermakna seseorang itu baru melepasi pintunya. Seolah-olah Tuhan mempunyai satu taman yang indah dan cantik kemudian ada satu pintu masuk yang besar. 'Masuk Islam' itu seperti hanya masuk pintu, masih tidak tahu lagi apa yang ada di dalam taman. Jika sudah memasuki pintu, sudah berpeluang pula menjelajah taman dan dapat merasa segala keindahan dan nikmat yang ada dalam taman itu barulah seseorang itu dikira sudah beriman.
Yang dikatakan seorang mukmin itu, dia sudah pun menjelajahi taman. Dia sudah melihat kecantikan, kebaikan, kehebatan dan keindahan taman. Di dalam taman itu ada bermacam-macam keindahan yakni keindahan rasa, keindahan akal, keindahan pandangan, pendengaran dan lain-lain lagi. Bila 'masuk Islam', keindahan-keindahan itu belum dirasa. Bila seseorang itu sudah bebas dalam taman, dapat rasa pelbagai kenikmatan dalam taman itu, barulah dikatakan dia seorang mukmin.
Sebab itu beza antara orang Islam dan orang mukmin terlalu jauh. Ciri orang mukmin terlalu banyak. Kalau wujud ciri mukmin maka secara automatik ciri Islam itu wujud. Bagaimanapun kalau ciri Islam wujud pada seseorang, belum tentu ciri mukmin juga ada. Kerana itu iman perlu dicari. Dengan kata lain, iman itulah taqwa. Kalau begitu, tidak cukup hanya menjadi orang Islam sahaja tetapi mesti menjadi orang mukmin atau orang bertaqwa.
Bagi seorang yang sudah syahadah, mengerjakan sembahyang, berpuasa, membayar zakat dan mengerjakan haji, tidak boleh dikatakan dia tidak Islam. Seperti contoh yang digambarkan tadi, dia sudah masuk ke dalam taman tetapi hanya duduk di tepi pintu. Adakah itu mencukupi? Sebab itu, jangan sekadar menjadi orang Islam tetapi jadilah orang mukmin. Apabila kita sudah menjadi orang mukmin, secara automatik kita Islam. Tetapi kalau menjadi Islam belum tentu menjadi mukmin.
Kembali pada tamsilan buah tadi, Islam itu adalah kulit dan iman itu adalah isinya. Kalau begitu, kita mesti faham bahawa kulit buah itu kalau tidak cantik pun tidak mengapa asalkan kulitnya jangan rosak. Walaupun kulitnya nampak buruk tetapi jika ia tidak rosak, tidak ditebuk tupai, tidak dimakan ulat, biasanya isi di dalamnya juga baik. Berlaku juga buah yang kulitnya cantik sungguh tetapi kadang-kadang bila dibuka, rupanya masih muda lagi dan isinya tidak manis. Itulah gambaran untuk memudahkan kita faham.
Dengan kata lain, iman adalah hakikat dan Islam adalah syariat. Iman bersifat rohaniah manakala Islam bersifat lahiriah. Yang akan Tuhan nilai di Akhirat nanti adalah iman. Yang Tuhan akan nilai adalah hakikatnya. Hakikat bertapak pada roh iaitu hati. Hatilah yang Tuhan nilai tetapi bukan soal-soal lahir. Namun kedua-dua mesti dibuat. Keutamaannya adalah pada hati. Sebab itu untuk menjadi orang Islam adalah mudah. Bila sudah bersyahadah, seseorang itu tidak boleh dikatakan kafir lagi. Betapalah kalau dia sudah bersembahyang dan sebagainya. Tetapi sama ada dia sudah beriman atau tidak, belum diketahui. Orang mukmin dijamin masuk Syurga sedangkan orang Islam tidak dijamin masuk Syurga.
Satu sejarah di zaman Rasulullah, ada seorang Arab Badwi telah masuk Islam lantas berjumpa Rasulullah SAW. Dia pun berkata, "Ya Rasulullah, saya sudah jadi orang mukmin." Pada masa itu juga Rasulullah menegur, "Janganlah engkau katakan bahawa engkau sudah beriman. Cukuplah engkau katakan bahawa engkau sudah Islam." Apakah yang dimaksudkan oleh peristiwa ini? Di sini jelas menunjukkan bahawa orang Islam tidak semestinya beriman. Tetapi kalau orang beriman sudah semestinya Islam. Sebab itu orang Badwi tersebut ditegur oleh Rasulullah SAW.
Bagi orang Islam, walau macam mana banyak ibadah sekali pun, siang berpuasa sunat, malam tahajud, membaca Quran, wirid, zikir dan rajin pergi umrah tetapi itu semua tidak akan mengubah sikapnya. Dia masih lagi bakhil, tamak, cinta dunia, tidak ada kasih sayang, masih lagi sombong, megah, gila nama, gila puji, tidak takut buat salah, tidak cintakan makhluk Tuhan, tidak cinta dan takut kepada Tuhan, sekalipun ibadahnya mengkagumkan dan mengejutkan orang yang melihat. Kalau ibadah yang begitu banyak tetapi buahnya sedikit, masih masuk Neraka lagi. Sebab yang Tuhan pandang dalam ajaran Islam ini adalah hasil dari beriman dan hasil dari Islam. Hasil dari iman dan Islam ialah seseorang itu akan melahirkan buah-buah akhlak yang mulia seperti cinta-mencintai, berkasih sayang, bekerjasama, bertolong bantu, sabar, redha dan tawakal. Walaupun ibadahnya sedikit, buah ibadah itu lebih Tuhan pandang daripada banyak beribadah tetapi tidak melahirkan buah-buah akhlak tadi bahkan tidak takut dan tidak cinta pun kepada Allah.
Kita buat satu contoh iaitu orang yang menanam padi kerana hendakkan buah padi. Padi itu buahnya yang dimakan, bukan daunnya. Ia bukan jenis sayur tetapi pokok yang ada buah. Yang manakah lebih baik, antara mengusahakan 2 ekar bendang yang mengeluarkan hasil iaitu berbuah dibandingkan dengan mengusahakan 500 ekar tetapi tidak berbuah? Lebih baik mengusahakan 2 ekar tanaman padi yang berbuah daripada 500 ekar tanaman padi yang tidak berbuah. Apa yang diharapkan dari menanam padi dan yang dibanggakan adalah hasil padinya bukan banyaknya pokok padi atau luasnya kawasan tanaman.
Untuk menguatkan tamsilan ini, di sini dihuraikan lagi dua cerita yang berlaku di zaman Rasulullah. Pada satu masa, Rasulullah sedang berhadapan dengan para Sahabat. Adalah menjadi tabiat Rasulullah apabila berjumpa dengan seseorang apalagi kalau ramai, kesukaan baginda adalah bercakap tentang Tuhan, tentang Syurga dan tentang Neraka. Sama ada pertemuan itu berlaku secara kebetulan atau dirancang, rasmi atau tidak rasmi. Yang penting apabila berjumpa orang maka Rasulullah terus mengambil peluang.
Dalam satu majlis, selepas membaca Quran dan Hadis, tiba-tiba Rasulullah berkata, "Tidak lama lagi akan datang ke majlis kita ini seorang ahli Syurga." Tidak lama selepas itu terdengar suara orang memberi salam, "Assalamualaikum." Itulah suara ahli Syurga yang dimaksudkan itu. Kemudian dia masuk. Dia tidak tahu tentang hal yang dikatakan Rasulullah.
Ada seorang Sahabat yang sangat berminat dengan cerita itu. Apabila bersurai, Sahabat lain pun balik tetapi Sahabat ini tidak balik. Dia mengikut Sahabat yang dikatakan ahli Syurga itu dari belakang tanpa pengetahuannya. Tujuan Sahabat itu tadi adalah untuk melihat apakah amalan ahli Syurga ini supaya nanti dapat diikuti atau dicontohi.
Bila sudah sampai di rumah ahli Syurga itu, dia memberi salam, "Boleh tak saya bermalam di rumah saudara?"
"Sila-sila! Ahlan wa sahlan marhaban. Terima kasihlah kerana datang ke rumah saya." Yang dikatakan ahli Syurga tadi gembira menyambut Sahabat itu. Sahabat yang menjadi tetamu itu tidak memberitahu lagi maksud kedatangannya, sedangkan niatnya adalah kerana mahu melihat sendiri apa yang orang itu lakukan sehingga Rasulullah mengatakan bahawa orang itu akan masuk Syurga.
Mereka pun sama-sama bersembahyang Maghrib, sembahyang Isyak dan makan minum. Sahabat tadi melihat semuanya tetapi tidak perasan apa-apa lagi. Hinggalah tiba waktu tidur malam. Oleh kerana ada tujuan, dia tidak tidur sangat sebab hendak melihat apa yang berlaku di rumah itu. Begitulah sehingga sampai waktu Subuh. Akhirnya, dia pening memikirkan kerana Sahabat ahli Syurga tadi hanya mengerjakan ibadah yang wajib sahaja. Sunat rawatib pun tidak dibuatnya apatah lagi tahajud.
Selepas sembahyang Subuh, Sahabat pun berkata, "Sebenarnya saya datang hendak tengok keadaan kehidupan awak. Sebab semalam, saya dengar Rasulullah mengatakan awak ni ahli Syurga. Saya hendak tengok apa yang awak buat hingga masuk Syurga. Tapi saya lihat, sunat rawatib pun awak tidak buat. Yang wajib saja yang awak buat. Jadi saya hendak tahu mungkin ada hal-hal lain yang awak buat. Mesti ianya berkait dengan hal-hal hati, bukan soal-soal lahir."
Tuan rumah pun menjawab, "Saudara, dalam hidup saya, bukan sahaja saya tidak berhasad dengki dengan orang, terniat untuk berhasad dengki pun tidak."
Fahamlah Sahabat tadi. Patutlah Rasulullah SAW cakap dia ahli Syurga. Kelebihannya adalah hal keimanan. Munasabahlah cakap Rasulullah.
Begitulah yang diibaratkan buah yang kulitnya nampak tidak cantik tetapi isinya tidaklah rosak dan tidak cacat. Cuma tidak cantik. Macam durian kuning. Di luarnya tidaklah cantik benar tetapi isi di dalamnya cukup sedap.
Pada satu masa lain, ada Sahabat bertanya kepada Rasulullah, "Wahai Rasulullah, saya ada seorang jiran perempuan. Saya kagum dengan ibadahnya, banyak sungguh. Siang berpuasa sunat, malam tahajud. Selain itu sunat lain pun banyak dia buat seperti membaca Quran, wirid, zikir dan lain-lain. Cuma ada sedikit cacat. Dia selalu menggunakan lidahnya untuk menyakiti jiran. Dia mengata, mengumpat, menyakitkan dan bercakap kasar dengan jiran. Saya hendak tanya apa pandangan Rasulullah tentang itu sedangkan ibadahnya banyak?" Rasulullah menjawab bahawa dia adalah penghuni Neraka.
Di sini kita faham bahawa ibadahnya tidak berbuah. Orang yang menggunakan lidah untuk menyakiti orang lain adalah orang yang tidak berakhlak dan tidak bermoral. Sepatutnya orang yang beragama tujuannya untuk melahirkan akhlak mulia. Agamanya lebat tetapi tidak membuahkan akhlak.
Jelaslah bahawa kalau menjadi orang Islam sahaja tidak menjamin Syurga. Kalau sudah menjadi orang mukmin baru dijamin Syurga. Di sini baru kita faham perbezaan orang mukmin dan Islam. Apabila seseorang itu mukmin, dia pasti Islam. Tetapi seorang Islam belum tentu dia mukmin.
Kalau begitu apa perbezaan mukmin dan muslim? Inilah kemuncak pada bab ini. Saya hendak menggambarkan secara umum perbezaan antara muslim dengan mukmin. Ciri-ciri orang mukmin perlu diketahui supaya dapat diusahakan agar ciri-ciri itu menjadi pakaian diri. Untuk menjadi orang Islam mudah. Apabila seseorang itu sudah bersyahadah, dia tidak boleh dikatakan kafir hatta kalau dia tidak bersembahyang sekalipun. Jadi, di sini dijelaskan tentang ciri-ciri orang mukmin berdasarkan ayat Quran dan sebahagian daripada Hadis supaya nanti dapat dilihat apa sebenarnya sifat-sifat orang mukmin. Kemudian sifat-sifat itu boleh diusahakan agar kita dapat menjadi orang mukmin.
CIRI-CIRI MUKMIN
Di antara sifat orang mukmin yang dinyatakan di dalam Al Quran, seperti yang terkandung di dalam satu ayat pendek:
Maksudnya: "Sesungguhnya (orang mukmin itu) apabila disebut nama Tuhan, gementar hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambah imannya, sedang mereka itu bertawakal kepada Tuhannya." (Al Anfal: 2)
Ayat tersebut membawa tiga sifat orang mukmin iaitu:
1. Bila disebut nama Tuhan, orang mukmin akan rasa takut. Setidak-tidaknya ada rasa kehebatan dan kekuasaan Tuhan.
2. Apabila dibaca ayat-ayat Tuhan kepada mereka, akan bertambahlah iman. Bukan sekadar hendak mencari pahala kerana bagi orang mukmin, mereka tidak memikirkan tentang pahala. Apabila orang mukmin membaca Quran, akan datang rasa takut, semakin bertambah iman dan semakin dalam rasa kehambaan dan itulah pahala bagi mereka. Kalau orang Islam pula, tidak timbul rasa takut. Mereka cuma hendakkan pahala di Akhirat. Itulah bezanya. Ayat-ayat Tuhan di sini ada dua maksud:
a. Maksud yang bersifat rohani iaitu Al Quran. Baca saja ayat Al Quran, ada satu perasaan timbul iaitu rasa takut, hebat dan terasa adanya Tuhan.
b. Maksud ayat itu juga ialah ciptaan-ciptaan lahiriah seperti gunung-ganang, lautan, daratan, langit, bumi dan sebagainya. Kejadian diri kita itu termasuk dalam ayat-ayat Tuhan. Kejadian-kejadian yang menakutkan atau yang menggembirakan, itu semua termasuk dalam ayat-ayat Tuhan. Semuanya merupakan tanda-tanda adanya kehendak bagi yang mencipta. Bagi orang mukmin, apabila mendengar saja ayat Tuhan, terus datang perasaan takut.
3. Dalam ayat tadi juga, menggambarkan orang mukmin adalah orang yang menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Tuhan setelah mereka yakin dan percaya dengan Tuhan. Mereka tidak lagi meragukan tentang makan minum, kesihatan, nasib dan masa depan. Apa sahaja yang Tuhan buat itu mempunyai hikmah dan apa yang datang dari Tuhan, itulah yang lebih baik. Walaupun ada benda-benda negatif, mereka dapat melihat bahawa itu semua adalah baik. Mereka berbaik sangka dengan Tuhan yang Tuhan tidak zalim dan mereka tidak prejudis dengan Tuhan.
Bagi orang Islam, mereka masih prejudis lagi dengan Tuhan. Mereka percaya tetapi nasib mereka tidak diserah kepada Tuhan bulat-bulat. Masih ada rasa takut lagi, memikirkan hal itu dan ini. Mereka sebenarnya berlepas diri dengan Allah, bukan menyerah diri pada-Nya.
Di dalam ayat lain, Allah berfirman:
Maksudnya: "Sesungguhnya jawapan orang mukmin itu apabila diajak kepada Allah dan Rasul, agar menghukum di antara mereka, mereka berkata, 'Kami dengar dan kami patuh'." (An Nur: 51)
Apabila mendengar perintah Allah, orang mukmin hanya taat dan patuh. Tidak ada masalah bagi mereka untuk patuh. Tidak berlaku pada orang mukmin itu bila datang perintah dari Tuhan, dia tidak yakin atau mempertikaikannya. Sedikit pun tidak mempersoalkannya. Bukankah mahal sifat orang mukmin itu?
Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Dan tidaklah patut orang mukmin, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul memerintahkan sesuatu ketetapan (sama ada perintah suruh atau larang), ada bagi mereka pilihan lain (berdolak-dalik) dalam urusan mereka." (Al Ahzab: 36)
Ayat ini pula bermaksud, orang mukmin tidak memilih sebaliknya terus melaksanakan perintah. Orang mukmin itu apabila disuruh sembahyang, dia sembahyang. Disuruh puasa, dia puasa, begitu juga bersedekah dan sebagainya. Ada orang boleh sembahyang dan boleh puasa tetapi apabila disuruh berjuang dan berjihad, banyak alasannya. Terasa susah kerana cabarannya banyak. Ada pula yang bila diperintahkan sembahyang, puasa atau naik haji tidak ditolak tetapi apabila diminta membayar zakat dan sedekah, dia berdolak-dalik. Ertinya bagi golongan ini, ada perintah Tuhan yang diterima dan ada yang tidak boleh diterima. Bagi orang mukmin, semuanya diterima. Ada juga yang boleh sembahyang dan puasa tetapi apabila disuruh berpoligami, terus menentang sedangkan orang mukmin itu tidak memilih-milih.
Firman Allah Taala lagi:
Maksudnya: "Orang mukmin lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi pembantu bagi yang lain, mereka menyeru orang berbuat baik dan mengajak manusia menjauhi larangan Tuhan." (At Taubah: 71)
Dalam ayat ini, ada dua lagi sifat orang mukmin iaitu:
1. Menjadi pendakwah, motivator dan penasihat.
2. Berjuang menegakkan amal maaruf nahi mungkar secara berjemaah dan bekerjasama. Di antara satu sama lain ada ikatan atau jemaah. Tidak boleh berbuat secara bebas atau secara perseorangan seperti pejuang bebas, mubaligh bebas atau pendakwah bebas yang tidak ada ikatan iaitu tidak berjemaah. Seseorang mubaligh, motivator atau penasihat mesti terikat dengan jemaah supaya sejauh mana pun dia pergi, ada tempat untuk dirujuk. Tidak boleh menjadi seperti layang-layang putus tali, bebas dan tidak terikat. Itu bukan sifat orang mukmin.
Apabila orang mukmin itu sentiasa berdakwah, memberi nasihat, tunjuk ajar, mengajak kepada kebaikan dan menjauhi larangan serta sentiasa terikat dengan jemaah, ertinya dia ada pemimpin yang mengikatnya. Sebab yang penting pada jemaah itu ialah pemimpinnya. Tidak boleh menjadi pendakwah yang ibarat layang-layang putus tali. Supaya apabila ditanya atau diminta itu dan ini, ia akan menjadi mudah. Mereka boleh dibawa untuk merujuk kepada jemaah yang sudah ada tempat, pejabat atau pusatnya. Perkara itu tidak mungkin boleh dilakukan oleh pendakwah bebas. Begitulah cantiknya ajaran Tuhan. Sayangnya kalau ajaran itu tidak difahami. Suruhan supaya orang mukmin itu mesti terikat antara satu sama lain dikuatkan oleh Hadis:
Maksudnya: "Antara mukmin dengan mukmin itu ibarat satu bangunan yang mereka itu saling kuat-menguatkan (kemudian Rasulullah SAW merapatkan jari-jari tangan tangan Baginda)." (Muttafaqun 'alaih)
Rasul tidak mengatakan orang Islam dengan orang Islam itu bagaikan satu bangunan. Di dalam ayat ini disebut orang mukmin. Yang mana bangunan itu ialah gabungan dari bahagian-bahagian yang boleh diikat-ikatkan hingga boleh saling kuat-menguatkan satu sama lain. Itulah gambaran hidup orang mukmin. Kalaulah takdirnya bahan-bahan itu boleh bercakap, jika jurubina berkata, "Hai bahan-bahan rumah, aku mahu membina rumah dari engkau. Engkau menjadi atap, tiang dan dinding." Bahan-bahan itu menjawab, "Ya, kami sanggup." Tetapi jika tingkap berkata, "Saya tidak mahu terikat dengan dinding!" Dinding pula tidak mahu bersandar dengan tiang. Maka akan terbinakah bangunan itu?
Begitulah orang mukmin yang Rasul ibaratkan seperti satu bangunan. Semua bahagian mesti berkait dalam semua perkara. Bukan hanya satu dua perkara saja. Atas sebab inilah jemaah sangat penting dalam Islam. Malahan menegakkan jemaah itu adalah sunnah yang paling besar. Jemaah itu seolah-olah seperti satu kubu. Bagaimanapun berjuang, mesti ada kubu sebagai tempat berlindung yakni ada jemaah untuk menjadi tempat rujukan terutama apabila ada kesusahan.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Sesungguhnya orang mukmin itu sifatnya bersaudara (berkasih sayang) dari itu damaikanlah antara dua saudaramu (yang bertentangan)." (Al Hujurat: 10)
Di sini ada dua lagi sifat orang mukmin:
1. Berkasih sayang.
2. Berukhwah dan mendamaikan. Orang mukmin sifatnya sentiasa mendamaikan pergaduhan dan menyelesaikan masalah orang lain.
Maknanya orang mukmin ada rasa berkasih sayang, bersatu padu, ada rasa bersama dan bekerjasama seperti bersaudara.
Ciri lain lagi dalam ayat di atas ialah orang mukmin sentiasa berusaha mendamaikan dua saudara. Atau mereka sentiasa berjuang bagaimana hendak menyatukan umat Islam dan hendak menyatukan manusia. Kalau setakat orang Islam sahaja, tidak ada rasa bersama. Di masjid, orang Islam bergaduh dan bertumbuk. Kadang-kadang berebut hendak menjadi imam sembahyang. Sedangkan orang mukmin takut hendak menjadi imam sebab takut hendak menanggung semua makmum. Kalau semuanya baik, memang eloklah. Bagi orang Islam pula, mereka berebut hendak menjadi imam.
Hadis menyebut lagi tentang sifat orang mukmin:
Maksud: "Perumpamaan sifat orang mukmin itu dalam berkasih sayang dan kasihan belas (di antara satu sama lain) ibarat anggota badan. Kalau kepala (salah satu anggota) sakit, maka seluruh tubuh tidak dapat tidur dan demam." (Riwayat Muslim)
Kasih sayangnya dan saling cinta-mencintai sesama mereka ibaratkan satu badan. Dalam satu badan, mana-mana anggota yang sakit, yang lain pun ikut sakit. Contohnya kalau tangan sakit, air mata pun keluar. Otak pula tidak berapa berfungsi. Perasaan tidak stabil. Seluruh badan rasa sakit. Itulah orang mukmin. Ertinya, hati orang mukmin bila melihat orang sakit, dia akan turut rasa sakit. Bila orang mendapat hiburan dia turut rasa terhibur. Begitu juga kalau orang bergembira, dia pula yang merasakan kegembiraannya. Jangan-jangan dia lebih gembira dari orang yang gembira tadi. Kerana tuan punya diri yang mukmin malu hendak menunjukkan kegembiraannya. Tetapi orang lain yang tidak ada kena-mengena pula yang melahirkan kegembiraannya. Contohnya, bagi orang mukmin, kalau kawannya mendapat PhD, dia merasa gembira seolah-olah dia yang dapat. Dia pula yang sibuk hendak mempamerkan PhD kawannya kepada orang lain. Bukan senang hendak berbuat begitu. Kalau bukan orang mukmin, pasti tidak boleh melakukannya.
Bagi orang Islam kalau menghadapi situasi itu, mungkin tidak berasa hasad dengki tetapi dia akan moyok. Orang mendapat PhD, dia pula yang moyok. Tetapi itu dikira boleh tahan kerana tidak berhasad dengki cuma rasa tidak seronok sahaja.
Begitulah orang mukmin. Kesusahan orang seolah-olah dia yang susah. Kesenangan orang, dia turut merasa senang walaupun hidupnya sendiri merempat.
Begitu banyak sifat orang mukmin yang dapat disenaraikan. Jadi, apa yang dapat difahami setelah menghayati ayat-ayat Al Quran dan Hadis itu? Kalau tidak ada ciri-ciri itu, ertinya kita hanya Islam. Begitu juga dengan orang yang tidak gementar hatinya dengan Tuhan. Atau kalau masih memilih-milih perintah Tuhan. Itu masih setakat Islam sahaja. Kalau masih belum berkasih sayang, tidak tawakal, tidak ada penyerahan diri, tidak bekerjasama dan tidak masuk jemaah bererti belum menjadi mukmin. Apabila tidak terasa susah dengan kesusahan orang dan senang dengan kesenangannya maka itu ertinya hanya baru setakat Islam. Kalau begitu orang Islam tidak boleh diharap. Inilah yang berlaku pada dunia hari ini. Yang ramai adalah orang Islam bukan orang mukmin. Semua itu adalah panduan untuk menjadi orang mukmin.
Itulah sebab-sebabnya untuk menjadi orang mukmin itu sangat mahal. Oleh kerana mahalnya, mereka dianggap orang Tuhan iaitu orang yang bertaqwa. Apabila sudah menjadi orang Tuhan maka Tuhanlah yang bertanggungjawab ke atas mereka. Tuhan melindungi dan memberi perhatian kepada mereka. Pendengaran mereka adalah pendengaran Tuhan. Penglihatan mereka adalah penglihatan Tuhan dan begitulah seterusnya.
JANJI TUHAN UNTUK ORANG MUKMIN
Oleh kerana cintanya Tuhan kepada orang mukmin maka Tuhan menyebut dalam Al Quran bahawa hanya orang mukmin sahaja akan diberi kemenangan, kejayaan, rezeki tidak diduga, dilindungi dan dijauhkan dari mala petaka. Jaminan itu tidak diberikan kepada orang Islam. Contohnya, ayat Al Quran:
Maksudnya: "Bilamana penduduk sebuah kampung (atau negeri atau negara) itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami akan bukakan ke atas mereka barakah daripada langit dan bumi." (Al A'raf: 96)
Di situ, disebut 'beriman' dan 'bertaqwa' tetapi bukan 'Islam'. Nyatalah bahawa Tuhan memberi jaminan akan membuka barakah langit dan bumi apabila beriman dan bertaqwa kepada-Nya. Apabila Tuhan membuka barakah langit dan bumi, maka hidup manusia akan aman, harmoni, bahagia dan rezeki pula melimpah-ruah. Di dalam ayat tersebut, Tuhan tidak menyebut 'Islam' tetapi 'taqwa'. Di dalam ayat yang lain pula, Allah SWT berfirman:
Maksudnya: "Barang siapa bertaqwa pada Allah, Tuhan akan bagi dia jalan keluar daripada kesusahan, dan memberinya rezeki dari sumber yang tidak diduga." (At Talaq: 2-3)
Dalam ayat ini, Tuhan menyebut bahawa barang siapa bertaqwa kepada-Nya, maka Tuhan akan lepaskan dia dari kesusahan dan diberi rezeki dari sumber yang tidak diduga.
Ayat seterusnya berbunyi:
Maksudnya: "Sesungguhnya berhak atas Kami menolong orang mukmin." (Ar Rum: 47)
Ertinya jaminan kuat bahawa Tuhan akan menolong orang-orang mukmin. Tuhan tidak akan menolong orang Islam melainkan yang mukmin.
Allah SWT berfirman lagi tentang orang mukmin:
Maksudnya: "Sesungguhnya pemimpin kamu itu adalah Allah, Rasul dan orang mukmin, yang mendirikan sembahyang, yang menunaikan zakat, yang tunduk dan patuh. Dan barang siapa mengambil Allah, Rasul dan orang beriman menjadi pemimpinnya, maka sesungguhnya itulah dia parti Allah. Ketahuilah, parti Allah pasti akan menang." (Al Maidah: 55-56)
Ayat itu bermaksud, dalam Islam, pemimpinnya mesti orang mukmin. Sesiapa yang menjadi pemimpin, mesti daripada orang mukmin barulah menjadi parti Allah. Apabila seorang yang menjadikan Allah, Rasul dan orang mukmin sebagai pemimpinnya, itulah dia parti Allah.
Nampaknya menjadi orang mukmin itu begitu penting maka mesti diusahakannya sebab hanya orang mukmin yang dijamin kemenangan di dunia dan di Akhirat serta dijamin masuk Syurga. Orang Islam, di dunia tidak akan menang dan di Akhirat akan masuk Neraka. Cuma tidak kekal sebab sudah masuk Islam. Begitu pun, sekejap di Neraka itu, beribu tahun lamanya. Api Neraka itu satu hari pun tidak larat untuk ditanggung. Jadi perlulah kita menjadi orang mukmin.
Seorang Islam itu tentu masih ada hasad dengki, riyak, sombong dan lain-lain sifat mazmumah. Itulah yang menyebabkan huru-hara. Makin ramai yang sembahyang, makin ramai pergi masjid, makin rasa tidak seronok sebab yang mengisi masjid itu hanya orang Islam, bukan orang mukmin. Hati-hati orang Islam masih tidak boleh diikat. Kalau hendak melahirkan jemaah Islam di kalangan orang Islam, itu bukan menjadi rahmat tetapi bala. Seperti yang biasa dilihat, mereka bergaduh dalam mesyuarat hingga membaling kerusi. Ertinya, hanya orang mukmin yang boleh melahirkan jemaah. Kalau bukan mukmin, bila membuat jemaah akan jadi bala juga. Bukan dapat rahmat dan nikmat tetapi pening kepala. Macam-macam masalah.
Mahalnya mukmin dan pentingnya mukmin ini sebab kerana merekalah akan diberi kemenangan. Sebab itu Rasul berkata kepada Tuhan seperti yang dinyatakan di dalam Al Quran:
Maksudnya: "(Wahai Tuhan) jadikanlah kami pemimpin kepada pengikut yang bertaqwa." (Al Furqan: 74)
Pengikut yang bertaqwa itu maksudnya orang mukmin. Rasul tidak menyebut, "Wahai Tuhan, jadikan aku pemimpin bagi orang Islam." Oleh itu, di dalam hidup ini, kalau dapat menjadi orang mukmin baru dapat menjadi orang Tuhan. Apabila sudah menjadi orang Tuhan, barulah ada jaminan Tuhan akan bela dan Tuhan akan beri kemenangan.
Di sinilah rahsianya mengapa umat Islam di seluruh dunia hari ini hina dan tidak mendapat bantuan Tuhan. Yakni kerana masih di peringkat Islam bukan mukmin. Baru di peringkat muslim tetapi bukan bertaqwa. Adalah pelik bila ulama-ulama hendak mencari sebab mengapa umat Islam terjadi begini, iaitu hina, mundur dan bergaduh sesama sendiri, mereka mengatakan kerana kurangnya ilmu. Dikatakan pula umat Islam kurang maju dan terhina hari ini sebab tidak ada ilmu, tidak ada kemajuan dan miskin. Tidak pula disebut tentang taqwa dan tentang iman. Seolah-olah mereka tidak faham Al Quran sedangkan sudah ada ayat yang jelas tentang perkara ini tetapi tidak pula mereka menyebutnya. Mereka juga memberi alasan lagi bahawa umat Islam kurang memahami ilmu sains dan teknologi. Padahal sudah jelas bahawa Tuhan memberikan formula gagalnya orang-orang Islam ialah kerana tidak bertaqwa kepada Allah, bukan kerana tidak cukup ilmu sains dan teknologi.
Inilah yang Tuhan sedang sedarkan kita. Orang yang sudah Islam hendak kita mukminkan, hendak kita taqwakan. Inilah kerja kita. Memanglah berat. Di seluruh dunia hampir dua billion umat Islam dan kita hendak berjuang terhadap mereka iaitu hendak meningkatkan mereka daripada muslim kepada orang yang bertaqwa. Itu bukan kerja kecil. Sebab itu tidak mengapa kalau kita hanya kelompok kecil tetapi berjiwa besar. Kalau sudah menjadi orang Tuhan, kelompok yang kecil itu boleh memberi rahmat dan berkat yang besar kepada kelompok yang besar dengan izin Allah. Kalau sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan yang akan melakukannya.
Marilah kita berusaha menjadi orang mukmin yang bertaqwa bukan hanya setakat orang Islam.
Sajak
Hati Mukmin
Mengalirlah air mata mukmin atau mengalirlah
air mata hatinya bila mengingat Tuhannya
Malunya hati mukmin bila mengenang Rahim
dan Rahman Tuhan, anugerah dan pemberian-Nya
Remuk-redamlah hatinya bila teringat
Qahhar dan Jabbar-Nya
Kecut perutnya bila teringat hukuman dan azab-Nya
Resah gelisah jiwanya bila melakukan dosa
Sedih hatinya bila lalai dengan Tuhannya
kemudian sedar semula
Tidak tentu arah rasa hatinya
bila terbuat kesalahan dan kesilapan
Hati mukmin tidak pernah tenang dengan Tuhannya
tapi tenang dengan dunianya
Jiwanya sentiasa sahaja bergelombang
terhadap Tuhannya
Jiwanya bagaikan air lautan tidak pernah tenang
Kalaulah bukan kerana ada kewajipan masyarakat
yang patut dipertanggungjawabkan
Sudah tentu mereka suka bersendirian
Atau membawa diri berkelana bersama Tuhannya
Atau menyisihkan dirinya dari masyarakatnya
Kerana terlalu memikirkan diri terhadap Tuhannya
Begitulah hati seorang mukmin
Sentiasa gundah-gulana
Oleh itu mereka tidak sempat memikirkan
hal orang lain
Kerana terlalu memikirkan nasib dirinya
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment