Thursday, 21 April 2011

Sembahyang Membina Peribadi Berdisiplin

1. KENAPA SYARIAT TIDAK SAMPAI KEPADA TUHAN?

2. MESTI IKUT DISIPLIN TUHAN

3. Sajak Sudahkah Kita Mendisiplinkan Diri


Disiplin termasuk ciri penting untuk menjadi bangsa yang agung. Sebaliknya bangsa yang tidak berdisiplin, siapa sahaja yang melihat akan mentertawakan bahkan akan memperlecehkan mereka. Jika kita tidak ada disiplin di sudut mana pun, ia akan jadi bahan kelakar bagi orang Yahudi. Ini dapat kita lihat pada bangsa di Timur Tengah. Bila mana tidak berdisiplin, naik bas pun mereka berebut-rebut dan tidak tahu hendak beratur. Ini menyebabkan bangsa Yahudi tidak hormat, tidak takut dan tidak gerun dengan mereka. Itu juga sebab Yahudi berani memperkotak-katik dan menzalimi mereka.

Di dalam sembahyang kita berikrar dan berjanji bahawa hidup dan mati kita untuk Tuhan.

Maksudnya: "Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Tuhan pentadbir alam." (Al An'am: 162)

Kalau pengakuan seperti ini boleh dibuat dan dihayati dengan sepenuh hati, kita akan jadi seorang manusia yang penuh disiplin. Kalau satu bangsa boleh buat pengakuan seperti ini, maka bangsa itu akan menjadi satu bangsa yang berdisiplin.

Bila disebut mati, semua orang yakin akan mati. Bila mati ertinya kembali kepada Tuhan. Kembali ertinya pulang ke tempat asal. Maksudnya, asal kita adalah dari Tuhan. Datang dari Tuhan, kembali pun kepada Tuhan. Maka perlulah kita hidup dan mati kerana Tuhan.

Bila datang dari Tuhan dan kembali pun kepada Tuhan maka mesti ada jalan dari dan kepada Tuhan. Bila hidup dan mati kita ikrarkan untuk Tuhan, maka sudah tentu kita akan ikut jalan Tuhan. Maksud jalan Tuhan di sini ialah syariat Tuhan. Kita akan ikut syariat Tuhan. Taat dan patuh kepada syariat itu adalah disiplin.
Syariat atau jalan yang akan kita tempuh untuk menuju Tuhan adalah:

  1. Sembahyang. Inilah syariat yang paling besar.
  2. Amal ibadah khusus.
  3. Amal ibadah umum.

KENAPA SYARIAT TIDAK SAMPAI KEPADA TUHAN?

Apakah sebab-sebabnya, dua orang menempuh syariat atau jalan yang sama tetapi tidak sama-sama sampai kepada Tuhan? Ia kerana:
1. Niat tidak betul
Orang lain sembahyang, dia pun sembahyang tetapi dia sembahyang bukan kerana Allah. Dia fikir, kalau tidak sembahyang, takut nanti dia dipulaukan oleh masyarakat atau dikata oleh orang. Jalan sudah betul tetapi matlamatnya salah. Hadis ada menyebut:

Maksudnya: "Sesungguhnya setiap amalan itu disertai dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang dinilai dari apa yang diniatkan. Sesiapa yang hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya itu adalah dinilai kerana Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang hijrah kerana dunia yang diidamkan atau perempuan yang ingin dikahwininya maka hijrahnya dinilai kerana itulah." (Riwayat Bukhari)

2. Tidak berbekalkan taqwa
Ada pula yang sama-sama menempuh jalan, sama-sama satu tujuan dan sama-sama sampai kepada Tuhan. Cuma seorang membawa bekal taqwa manakala seorang lagi tidak. Maka sampai di Akhirat, orang yang tidak berbekal dengan taqwa, terjun ke Neraka. Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa." (Al Baqarah: 197)

3. Tidak ikut disiplin ibadah
Ada yang sama-sama mengikut jalan raya yang sama. Seorang ikut peraturan dan disiplin jalan raya. Dia selamat sampai ke matlamat. Manakala seorang lagi tidak ikut peraturan dan disiplin jalan raya. Dia merempuh halangan di tengah jalan raya lalu mati. Dia tidak sampai ke matlamat. Dalam ibadah, mesti ikut peraturan dan disiplin ibadah. Kalau tidak, tidak akan sampai kepada Tuhan. Maka menjaga disiplin-disiplin dalam syariat itu adalah penting untuk menjamin kita selamat sampai kepada Tuhan.

MESTI IKUT DISIPLIN TUHAN

Ada orang yang menempuh jalan syariat sekadar menjaga ilmu asas yakni menjaga syarat, rukun, sah dan batal sahaja. Bahkan ada yang beribadah tanpa ilmu. Ini lagi berat. Kita tidak boleh sekadar ikut jalan Tuhan melalui ibadah-ibadah umum dan khusus begitu sahaja kerana di dalam ibadah-ibadah tersebut ada disiplinnya.
Disiplin-disiplin di dalam syariat yang dimaksudkan seperti mana yang telah disentuh secara umum sebelum ini ialah:

  1. ilmu
  2. kefahaman
  3. penghayatan

Ertinya di dalam kehidupan kita, perjuangan kita, solat, puasa dan lain-lain ibadah itu mesti ada ilmunya. Ilmu tersebut memandu kita untuk memahami setiap maksud perbuatan dalam ibadah itu. Contohnya di dalam sembahyang, kita mesti tahu dan faham mengapa disuruh qiyam, apa maksud surah Al Fatehah, mengapa kita rukuk, sujud dan lain-lainnya. Kefahaman adalah peresapan ilmunya. Ia ilmu di dalam ilmu yang bila dijiwai akan membawa kepada penghayatan di dalam amalan yang dilakukan. Maka terbitlah perasaan-perasaan kehambaan dan rasa bertuhan di dalam ibadah.
Bila kita berikrar untuk hidup keranaTuhan, ertinya kita tekad untuk menempuh jalan syariat Tuhan. Maksud mati untuk Tuhan pula ertinya kita memastikan sungguh-sungguh diri kita benar-benar berada di atas jalan yang Tuhan kehendaki.
Mati untuk Tuhan itu ertinya dalam menempuh jalan Tuhan, kita kena menjaga segala pantang larang, peraturan dan disiplin. Kalau tidak ikut disiplin ertinya sudah terkeluar dari jalan Tuhan.
Contoh-contohnya:
1. Kalau berniaga dengan rasa sombong, tidak sampailah kepada Tuhan.
2. Sembahyang yang tidak dihayati dan dijiwai, tidak khusyuk, tidak akan diterima Tuhan.

Firman Allah:

Maksudnya: "Neraka Wail bagi orang-orang yang solat. (Iaitu) orang-orang yang lalai dari sembahyangnya." (Al Ma'un: 4-5)

Bila kita berjanji untuk hidup dan mati kerana Allah, maka kita sebenarnya berjanji kepada Tuhan untuk menempuh jalan Tuhan dan berusaha bersungguh-sungguh supaya kita kekal di atasnya. Bahawa kita berada di atas syariat Tuhan dan kita hendak ikut disiplin Tuhan. Untuk itu, kita akan sanggup mati kerana Allah. Untuk mati di jalan Allah bukan mudah. Ramai yang mati di jalan ibadah dan perjuangan tetapi tidak sampai kepada Allah hanya kerana sudah tersasar dari disiplin Tuhan.

Jadi di sini kita dapat melihat peranan solat atau sembahyang. Apabila kita ikut disiplin solat yakni ada ilmu, faham dan menghayatinya maka kita akan jadi orang yang berdisiplin. Kita akan menjadi orang yang sangat berhati-hati dalam semua hal. Maju bagaimana sekalipun, kita akan berhati-hati atas dasar hendak ikut disiplin Tuhan. Kita tidak mahu maju di luar disiplin Tuhan. Kemajuan seperti itu tidak akan sampai kepada Tuhan.

Nyatalah sembahyang yang dijiwai akan melahirkan peribadi yang agung disiplinnya. Manakala disiplin adalah salah satu ciri bangsa yang kuat dan agung.


Sajak Sudahkah Kita Mendisiplinkan Diri

Sudahkah kita mendisiplinkan diri
Sampai waktunya kita sembahyang
Bila sembahyang
bolehkah mendisiplinkan diri
tidak sembahyang seorang
Di dalam pergaulan
sanggupkah kita mengutamakan orang
Orang yang tersilap dan tersalah dimaafkan
Orang yang bercakap kita sanggup mendengarnya
Kita tidak akan bercakap kalau tidak ada manfaatnya
Kalau orang menghina kita diam sahaja
atau tidak menjawabnya
Inilah di antara disiplin di dalam pergaulan
Waktu lapang adakah kita berfikir
Atau membaca atau menulis pengalaman
Atau ilmu pengetahuan atau berzikir
Agar masa tidak sia-sia dan terbuang
Mampukah kita mendisiplinkan diri
Tidak mengata orang kecuali di sudut yang dibenarkan
Kalau kita hendak tidur mampukah kita tidak tidur
Selepas Subuh dan selepas Asar
Kedua-dua waktu ini adalah dilarang tidur
sebagai kebiasaan
Tapi tidur di waktu siang
iaitu waktu qailulah sebelum Zuhur digalakkan
Apabila makan tidak suka makan seorang
Bila mencari rezeki cari yang halalnya
Tolak yang haram sekalipun banyak untungnya
Bila berpakaian di hadapan ramai bersopan
Tertutup aurat badannya
Sifat-sifat mazmumah dijauhi
Terutama sombong dan dengki
Bakhil dan tamak ditakuti
Menzalim dan sewenang-wenang sangat dibenci
Itulah sebahagian disiplin orang mukmin
Banyak lagi
Setakat ini sudahkah kita mendisiplinkan diri?
Inilah dia disiplin yang sejati

Selepas Subuh
03 - 06 - 1997

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment