2. 2. Kelemahan kedua
Semenjak kejatuhan empayar Islam, maka di waktu itu segalanya sudah lemah. Cara berfikir sudah lemah, jiwa umat Islam sudah lemah, perpaduan sudah berkecai dan hidup nafsi-nafsi. Bahkan cerdik pandai Islam, yang hafaz Quran, pakar Hadis dan pakar hukum dalam Islam pun sekadar boleh miliki ilmu tetapi daya juang dan daya berfikir mereka sudah lemah. Ulama tidak dapat menyatukan umat yang sudah berpecah belah. Mereka seperti sudah kecewa dan sudah tidak ada mood.
Maka hasil dari keadaan ini ada dua perkara yang kita lihat sangat menonjol kelemahannya di kalangan masyarakat Islam iaitu:
1. Kelemahan pertama
Walaupun seseorang itu mengaji lama di Mekah, Universiti Islam atau Universiti Al Azhar, pakar-pakar itu, apabila pulang ke tanah air, yang disampaikannya tentang Islam itu ada dua perkara sahaja:
a. Perkara yang ada hubungan dengan ibadah khusus atau fadhoilul ‘amal
b. Hukum-hakam yakni tentang halal, haram, sunat, makruh. Mereka hanya bercakap tentang apa yang boleh dan tidak boleh, atau menghukumkan bahawa sesiapa yang buat sesuatu perkara, boleh jadi fasik, jadi zalim, jadi kafir atau jadi musyrik
Bagi orang yang ditakdirkan Tuhan imannya dan cintanya kepada Tuhan agak kuat, mereka mudah menerima tetapi bagi umat Islam yang semangatnya sudah luntur dan jiwa sudah rosak, kalau hanya ibadah dan hukum-hakam sahaja yang diperkatakan, maka mereka akan jemu. Padahal agama Islam itu terlalu luas dan global, lebih luas dari yang disebutkan tadi. Semua keperluan hidup ada dijelaskan oleh Al Quran dan Hadis, cuma sama ada boleh kita faham, boleh kita hayati dan boleh kita amalkan atau tidak. Sedangkan di hari ini, walaupun ramai yang mengaji tinggi, tetapi hanya dua perkara itu sahaja yang popular diajarkan iaitu ibadah berupa fadhoilul ‘amal dan hukum. Itu sahaja kemampuan para pakar dan ulama hari ini.
Kalau ditanya apa itu masyarakat Islam, mereka tidak boleh jawab. Kalau kita tanya apa itu psikologi Islam, mereka tidak boleh jawab. Kalau ditanya apa itu kekeluargaan Islam, perjuangan Islam, ekonomi Islam, politik Islam, pentadbiran Islam dan perhubungan Islam, pun mereka tidak boleh menjawabnya secara luas dan global. Sedangkan itu semua diperlukan oleh masyarakat Islam dan di situlah indahnya Islam.
Masyarakat Islam, perjuangan Islam dan kasih sayang itu sangat indah kalau dapat kita fahami, amalkan dan hayati. Tetapi yang diambil oleh ulama hari ini hanya dua aspek itu sahaja iaitu ibadah khusus dan tambahan serta hukum-hakam. Hasilnya, hendak cari cerdik pandai di kalangan pemuda-pemudi Islam sangat susah kerana mereka itu apabila diajak mengaji agama, mereka sudah mengagak mesti hendak diceritakan tentang ibadah dan halal haram. Mereka hilang minat. Ulama hanya memikirkan ilmu tentang hal-hal wajib, sunat, makruh, halal, haram, fasik atau kafir. Jadi orang Islam hendak mendengarnya terasa takut, betapalah orang yang bukan Islam.
Inilah yang berlaku setelah kejatuhan empayar Islam yakni cara berfikir dan jiwa umat Islam sudah lemah. Akibatnya umat Islam hidup nafsi-nafsi.
Masyarakat Islam perlu faham psikologi, pendidikan, perjuangan, falsafah, ekonomi, pentadbiran dan lain-lain. Itu perlu dalam kehidupan. Bila hal ini tidak diceritakan akhirnya ibadah dan hukum-hakamnya sahaja yang Islam tetapi pendidikan, ekonomi, pentadbiran dan teknologinya tidak Islam kerana diimport dari Barat. Kesan dari ulama dan cerdik pandai Islam tidak tahu bagaimana hendak sajikan keperluan hidup seperti ini sedangkan ianya amat diperlukan, maka apabila umat Islam ketemu keperluan hidup itu dari Jepun, China atau Barat, maka mereka mengambilnya bulat-bulat walaupun ia tidak selaras dengan kehendak Islam.
2. Kelemahan kedua
Kelemahan yang sangat menonjol ialah cara menyampaikan ilmu Islam yang sangat terbatas yakni dengan cara mengaji. Bagi orang dewasa, mereka mengaji agama di masjid atau surau manakala kanak-kanak belajar di sekolah. Ini sahajalah sumber ilmunya. Kalau tidak dengar dari pendakwah-pendakwah maka tidak dengarlah apa itu Islam yang sebenar. Sumber ilmunya sangat terbatas. Saluran lain tidak ada. Padahal sepatutnya cerdik pandai Islam mesti memikirkan saluran apa lagi boleh digunakan untuk menyampaikan Islam sesuai dengan keadaan semasa, dengan selera cerdik pandai atau golongan muda. Kita tidak pernah mendengar orang mengaji agama melalui sajak, filem, pementasan, teater dan lain-lain lagi padahal mengaji melalui filem, teater dan kebudayaan itu sangat berkesan.
Kita tidak pernah mendengar orang mengaji agama cara itu. Yang kita tahu, hendak faham Islam mesti mengaji secara tradisional. Kita pun belajar di sekolah dan dari pendakwah. Kita hanya dapat dari dua saluran itu sahaja. Itu pun ada pendakwah yang kita pergi dengar kuliahnya itu, suka mengata orang atau hanya memperkatakan hal politik. Padahal Islam boleh disampaikan dengan berbagai cara seperti sajak, drama, tulisan dan sebagainya.
Bagaimanakah cara yang paling berkesan untuk mengajak orang memahami Islam? Kalau kita orang berjuang, lihatlah musim, apa yang orang kampung buat dan apa pula yang orang bandar buat. Kalau orang kampung sedang buat bendang, kita hantar pasukan tolong orang kampung di bendang. Itu sangat berkesan. Kita tidak pernah dengar ada jemaah hantar orang dan traktor ke bendang untuk tolong bajak tanah sawah. Inilah masalahnya. Sedangkan perkara seperti ini berlaku di zaman Rasulullah. Kalau musim menuai, ada Sahabat tolong menuai atau mengutip buah. Kalau itu dibuat, kesannya lebih cepat. Begitu juga kalau kita dengar orang Islam berniaga kecil-kecilan, maju tidak, mundur pun tidak, sekadar boleh hidup. Sepatutnya ada jemaah Islam yang tolong.
Islam itu jika diamalkan cantik dan indah. Sebab itu hari ini kalau kita berjuang, supaya Islam lebih cepat berkembang maka dua perkara iaitu ibadah dan hukum-hakam itu dikekalkan, tetapi kena tambah kaedah lain lagi agar orang nampak betullah Islam itu penyelamat, menghiburkan dan memberi khidmat. Itu bahan untuk kita berfikir. Jika kita ada cita-cita perjuangan, maka melalui jemaah, kita berjuanglah supaya bila sebut Islam, umat Islam nampak keindahan, perpaduan dan kasih sayang. Agar nampak Islam itu cantik dan menarik.
Sajak
Memperjuangkan Islam Bukan Mudah
dan Senang
Memperjuangkan Islam bukan sekadar
memberitahu halal dan haram
Membangunkan Islam bukan cukup
hanya mengecap seseorang itu bidaah
sesat, fasik, munafik, ekstrim dan melampau
Memperjuangkan Islam bagaimana menyuburkan
tauhid dalam fikiran
Siapa yang takutkan Tuhan
dan mencintai serta menghayati Tuhan
Agar Tuhan jadi tempat rujuk
dan tempat menaruh harapan
Tuhan dibesarkan, diagungkan
bahkan tempat sandaran insan
Hingga Tuhan diingati di mana-mana
dan dirasakan Tuhan adalah segala-galanya
Dari sini barulah orang ingin bersyariat
sebagai melahirkan cinta kepada Tuhan
Dari sini orang akan cinta mencintai sesama insan
Orang akan bersatu padu
rasa bersama dan bekerjasama, lahir timbang rasa
mengutamakan orang lain, khidmat sesama manusia kerana Tuhannya
Orang kaya menjadi bank kerana pemurahnya
inginkan pahala dari Tuhannya
Cerdik pandai tawadhuk, yang bodoh merujuk
yang miskin sabar di dalam hidupnya
Begitu juga berjuang menunjuk jalan
bagaimana mengutamakan Akhirat
Menggunakan apa yang ada pada diri manusia
Memberitahu bagaimana bersatu di dalam Islam
Maju secara Islam, berhibur mengikut Islam
Menunjuk jalan bagaimana berekonomi menurut Islam
Bermasyarakat secara Islam
Yang lebih penting para pejuang di dalam diri mereka
ada role model untuk diikut
Ibadahnya, perpaduannya, masyarakatnya
ekonominya, keluarganya, kebersihannya
kasih sayangnya, kerjasamanya dan lain-lainnya
Inilah dia perjuangan Islam sebenarnya
Bukan sekadar cakap-cakap, slogan dan syarahan
Yang lebih awal daripada semua itu
Para pemimpin Islam ada ilmu untuk disarankan
Untuk pimpinan dan didikan
Ia merupakan panduan untuk insan
yang ada kemahuan
Bukan sekadar slogan, gesaan dan semangat-semangat yang tidak ada panduan
Kalau cara itu umat Islam berjuang
cepat membatalkan tujuan
Kalau tidak hanya angan-angan
bahkan membawa perpecahan
Para pejuang mestilah cukup persiapan
Persiapan ilmu, role model kepada manusia
yang hendak disedarkan
Kalau begitu berjuang bukan mudah dan senang
tapi amat mencabar
Bukan seperti makan minum
dan berpakaian serta hiasan
Selepas Zohor
14 - 05 - 2005
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment