Penakut adalah salah satu sifat atau ciri bangsa yang lemah. Bagaimana pula sembahyang boleh menjadikan bangsa itu berani? Tentulah dalam sembahyang itu ada ubat dan pil untuk menjadikan seorang itu berani.
Apa sahaja amal ibadah, perlu ada ilmu, kefahaman dan penghayatan. Apabila seorang betul-betul mengikut kaedah ilmu, kefahaman dan penghayatan, maka sewaktu dia mendirikan sembahyang, dia akan menghayati sembahyangnya. Seorang yang menghayati sembahyang akan memberi kesan kepada peribadi itu di luar sembahyang. Apa yang berlaku kepada peribadi itu di luar sembahyang ada hubung kait dengan apa yang dia dapat dalam sembahyangnya.
Katalah seseorang itu penyakitnya penakut, jadi dia mesti diberi ubat supaya jadi berani. Di antara ubat berani ialah dengan merasakan makhluk Tuhan ini terlalu lemah dan tidak ada kuasa langsung. Malahan sebelum mengangkat takbir sembahyang pun, sudah dirasakan betapa hebatnya kekuasaan Tuhan dan betapa lemahnya makhluk. Datang kesedaran bahawa makhluk tidak ada kuasa langsung. Malaikat, jin, harimau dan manusia lain semuanya setaraf. Setitik pun tidak ada kuasa dan kekuatan. Cuma kalau ada perbezaan antara satu sama lain adalah kerana Tuhan beri sedikit kelebihan kepadanya. Tuhan beri kelebihan tidak sama kepada setiap makhluk.
Yang kuat dan berkuasa itu Tuhan, bukan makhluk. Bukan malaikat, bukan jin, bukan manusia dan bukan harimau. Yang patut dan layak ditakuti ialah Tuhan. Bila Tuhan sebenar-benarnya ditakuti, maka akan lenyaplah takut dan akan timbullah rasa berani terhadap sesama makhluk.
Ini termasuk juga takut kepada miskin, sakit, hilang pangkat dan jawatan, hilang pengaruh, mati dan sebagainya. Kalau kita sedar semua itu adalah dari Tuhan, maka takut kita itu akan berpindah dari perkara-perkara tersebut kepada Tuhan.
Begitu juga rasa takut kepada bencana alam seperti banjir besar, gunung berapi, gempa bumi, tsunami dan wabak penyakit. Tuhan kata jadi maka jadilah. Tuhan kata tidak maka tidaklah. Akan datang rasa rakut kepada Tuhan lebih dari takut kepada bencana alam itu. Takut pada Tuhan itu adalah takut yang hak dan mesti dikekalkan. Takut pada makhluk adalah takut yang batil. Ia mesti dibuang.
Sajak Peranan Roh Sembahyang
Lima waktu sehari semalam Tuhan disembah
Dibesarkan, dipuja, dipuji
munajat dan meminta
Agar hati yang dilalaikan
oleh kesibukan dunia
terbangun semula
Supaya rasa bertuhan
rasa kehambaan hidup membara
Sembahyang lima waktu
adalah rahmat Tuhan
kepada hamba-hamba-Nya
Agar manusia tidak terus lalai
sepanjang masa
Hampir-hampir jiwa manusia lalai
dengan sembahyang sedar semula
Tidaklah sampai mati
hingga tertutup pintu hati
Rasa bertuhan dan rasa kehambaan
itulah mengawal manusia
Daripada melakukan kejahatan dan kederhakaan
Daripada berlalai-lalai
dan daripada melakukan dosa
Kalau tidak manusia tenggelam terus-menerus
dengan dosa dan durjana
Oleh itu dirikanlah sembahyang
jangan sekadar sembahyang
Sembahyang sahaja tidak menghidupkan jiwa
Mendirikan sembahyang
menghidupkan jiwa yang buta
Inilah hikmahnya mendirikan sembahyang
kelalaian tidak sampai mematikan jiwa
Apabila sembahyang didirikan ketika tiba masanya
Roh sembahyang itu tertanam di dalam jiwa
Rohnya itulah akan dibawa ke mana-mana
Semangat sembahyang itulah yang akan berperanan
di mana sahaja kita berada
Selepas Zuhur
25 - 10 - 2002
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment