Thursday 21 April 2011

Cinta Dunia Ibu Segala Kejahatan

Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sepotong Hadis:
Maksudnya: "Cintakan dunia ibu segala kesalahan." (Riwayat Al 'Uqaili)
Ada tiga perbahasan daripada Hadis ini iaitu:
1. Cinta
2. Dunia
3. Kesalahan

1. CINTA
Cintakan dunia ibu segala kesalahan. Bila dikatakan cinta, itu mudah difahami kerana cinta merupakan pengalaman kita. Ia perasaan hati atau roh yang payah digambarkan. Cinta itu untuk siapa, itu soal lain. Kadang-kadang orang jatuh cinta pada kereta, kadang-kadang pada isteri, pada rumah, pada duit, pada harta, pangkat, nama, glamor, jawatan dan lain-lain. Tidak ada orang yang tidak pernah merasa cinta sama ada kepada harta, ibu bapa, anak, isteri dan lain-lain. Perasaan cinta adalah fitrah semula jadi yang Tuhan bekalkan di dalam diri setiap manusia.

2. DUNIA
Apa itu dunia? Seluruh ciptaan Tuhan yang ada di muka bumi Tuhan ini adalah dunia. Oleh kerana dunia ini terlalu luas, tidak mungkin semuanya boleh dicintai. Hanya perkara tertentu sahaja kita cintai. Kecintaan yang besar adalah kepada perkara-perkara seperti pangkat, kekayaan, rumah cantik, kenderaan mewah, jawatan dan kedudukan. Manakala cinta biasa berlaku kepada ibu bapa, anak dan isteri.
Tuhan suruh kita ambil dunia sebab padanya boleh terlaksana kebaikan, boleh berkhidmat dan boleh dapat keredhaan Tuhan. Dari dunia boleh menghasilkan kasih sayang dan bertolong bantu. Bahkan dunia boleh memberi kekuatan kepada bangsa dan boleh digunakan untuk berkhidmat kepada umat. Dengan dunia yang ada kita boleh kuatkan agama, bangsa dan negara. Ini akan berlaku bila dunia diambil untuk mendapat keredhaan Tuhan, bukannya dunia diambil untuk dicintai. Tuhan hanya membenarkan manusia mengambil dunia untuk berbakti kepada Allah dan berkhidmat sesama manusia.

3. IBU KESALAHAN
Hadis ada menyebut ibu segala kesalahan (khatiiah). Rasulullah tidak sebut ibu segala maksiat atau ibu segala kemungkaran. Mengapa Rasulullah pilih perkataan salah? Ini adalah kerana, dunia bila dicintai adalah suatu kesalahan besar. Bila dunia diambil dengan cara yang salah; iaitu kerana cinta padanya; maka cinta dunia akan melahirkan buah-buah kesalahan yang banyak. Dari cinta dunia akan memperanakkan hal-hal negatif dengan banyaknya. Mari kita lihat beberapa contoh yang berlaku dalam kehidupan harian.
a. Kereta mewah
Seseorang beli kereta mewah untuk dicintai. Kemudian jadi megah dan sombong. Timbullah kejahatan. Itu anak kepada kesalahan tadi. Bila megah dan sombong, beranak-anak lagi kejahatan yakni orang lain sakit hati, meluat dan tersinggung. Berapa banyak hasil negatif, buah dari cinta dunia.
b. Harta
Tuhan tidak melarang mengambil harta untuk keredhaan Tuhan dan untuk berkhidmat kepada manusia. Kalau bertukar matlamat kepada cintakan harta, maka akan datang tamak, kemudian bakhil. Beranak-anak pula rasa tidak cukup dengan apa yang ada. Hingga akhirnya tiada tempat dan ruang untuk Tuhan. Bila harta dimiliki dengan rasa cinta, kasih sayang yang diperlukan sesama manusia punah dan hancur. Padahal kalau harta itu diagih-agihkan kepada manusia, orang miskin akan terbela dan bangsa yang lemah akan jadi kuat dengan harta tersebut.
c. Jawatan
Jawatan pula, kalau diambil kerana Tuhan, ia akan membuatkan orang berbakti kepada Tuhan dan boleh menolong sesama manusia. Akan datang kasih sayang dan pembelaan. Tetapi kalau jawatan dan pangkat dikejar kerana cinta pada jawatan dan pangkat tersebut, kalau tidak dapat, kita susah hati kerana tidak dapat apa yang dihajati. Itu kejahatan di sisi Tuhan. Tuhan bukan suruh kita susah hati dengan hal dunia. Yang perlu disusahkan apakah Tuhan sudah redha dengan kita atau tidak. Bila tidak dapat jawatan, susah hati. Bila dapat jawatan, megah. Bila megah, akan menzalimi orang bawah. Dalam mempertahankan jawatan, terpaksa jatuhkan orang lain dan rasuah. Lihat berapa banyak lahir perkara negatif bila jawatan itu masuk ke hati dan dicintai.

Virus cinta dunia akan mengharu-birukan dunia dan mencetuskan perang yang tidak pernah berhenti. Rehat berperang di satu tempat, berlaku di tempat lain. Bergaduhlah antara negara dengan negara, bangsa dengan bangsa, kampung dengan kampung, antara kelompok, antara keluarga dan sebagainya kerana cinta dunia.

CINTAKAN TUHAN ANAK KUNCI KESELAMATAN
Perpaduan, kasih sayang, rasa bersama dan bekerjasama akan berlaku bila cinta jatuh pada tempatnya iaitu cintakan Tuhan. Hanya Tuhan patut dicintai, selain itu tidak boleh dicintai. Dunia hanya untuk ditadbir, diagih dan digunakan untuk berkhidmat bagi mengikat hati orang. Bertolong bantu akan mengikat hati dan manusia akan jatuh hati antara satu sama lain.
Kunci supaya dunia tidak porak-peranda ialah cintakan Tuhan. Tuhan layak dicintai. Kalau Tuhan tidak jadikan kita, kita tidak ada di dunia ini. Kalau Tuhan tidak jadikan bumi, kita tidak punya bumi. Kalau tidak dijadikan khazanah bumi, kita tidak miliki kekayaan seperti emas, minyak dan kayu balak. Kalau tidak diberi nafas lagi teruk sebab kita akan mati. Waktu itu kalau ada kereta atau harta pun, tidak ada erti apa-apa.
Bila Tuhan tidak dicintai, kita akan jatuh cinta kepada makhluk. Segala yang ada pada kita akan digunakan untuk makhluk. Ini akan membawa kepada huru-hara dan porak-peranda. Untuk lahirkan perpaduan, untuk amankan dunia, mesti ajak manusia promosikan Tuhan. Kalau ada pemimpin ajak rakyat bersatu tetapi tidak pandai mendidik rakyat sampai rakyat tidak jatuh hati dengan dunia, dia akan gagal.
Tuhan mesti dikenalkan supaya orang jatuh hati kepada Tuhan. Takut dengan Tuhan hingga merasakan apa yang diberi adalah untuk Tuhan dan makhluk-Nya. Inilah rahsia keamanan dan perpaduan. Semua orang mahu berpadu dan berkasih sayang tetapi tidak tahu kaedahnya. Anak kuncinya sudah hilang.
Tepatnya perkataan Rasulullah iaitu, "Cintakan dunia ibu segala kesalahan." Rupanya kesalahan itu beranak menjadi kejahatan. Rasulullah begitu berhati-hati dalam penggunaan istilah yang betul. Ilmu ini kalau benar-benar diamalkan dan diaplikasikan akan menjadikan dunia aman damai, selamat dan menyelamatkan.


Sajak

Apabila Dunia Dicintai

Apabila dunia dicintai
Maka ia akan dijadikan matlamat hidup
Dunia pun menjadi buruan dan rebutan
Bila ia dijadikan rebutan
timbullah saingan dan perlawanan
Saingan dan perlawanan itu
akan membawa perbalahan dan permusuhan
Di dalam perebutan timbullah hasad dengki
jatuh-menjatuhkan, khianat-mengkhianati
Kemuncaknya pergaduhan
membunuh dan peperangan
Lebih-lebih lagi yang merebut itu para ulama
pemimpin dan orang-orang kaya
Maka krisis kerana dunia lebih hebat lagi
berlaku di dalam kehidupan
Maka punahlah kasih sayang
hilanglah timbang rasa
Persaudaraan hilang, simpati gersang
kerjasama terpaksa
Hidup nafsi-nafsi pun subur dan menjadi budaya
Masing-masing menjaga kepentingan diri sendiri
Hidup harmoni, kasih sayang, bertimbang rasa hilang
Akhirnya semua manusia di dunia
hidup di dalam ketakutan dan penderitaan
Cuma ketakutan dan penderitaan
di antara satu sama lain tidak sama
Orang miskin susah
kerana tidak ada yang hendak dipakai
dan yang hendak dimakan
Yang sakit terbiar
tidak ada wang untuk berubat
Ulama-ulama dihina
dan tidak dihormati lagi
Guru-guru, ibu bapa tidak dikasihi
Anak-anak atau rakyat jelata
tidak akan disayangi
Orang-orang kaya dibenci
harta mereka akan dirompak dan dicuri
Nyawa mereka sentiasa terancam
Para-para pemimpin tidak dihormati dan ditaati
Bahkan menjadi sasaran permusuhan
dari rakyatnya
Maka dunia pun menjadi neraka
kerana penyakit cinta dunia

Selepas Asar
14 - 07 - 2000

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment