Thursday, 21 April 2011

Falsafah Ilmu Dan Pendidikan

1. Ilmu Dan Pendidikan Tidak Boleh Terpisah
2. Ilmu Material
3. llmu Falsafah/Teori/Akal
4. llmu Praktikal
5. Ilmu Bina Insaniah

Kita sudah tahu bahawa pelajaran dan pen­di­dikan me­ru­pa­-kan keperluan yang paling penting dan be­sar da­­lam ke­hi­-dupan manusia. Ia adalah nyawa, roh dan nadi ba­gi sesuatu bangsa dan negara. Sekiranya rosak institusi tersebut, akan ranap­lah bangsa dan negara itu.

Oleh kerana pelajaran dan pendidikan suatu yang teramat penting dalam Islam, sepatutnya ia dikaitkan juga dengan fardhu ain dan fardhu kifayah, sama ada ilmu yang berbentuk fardhu ain dan fardhu kifayah atau amalan yang berbentuk fardhu ain dan fardhu kifayah. Tetapi di dalam bab ini, kita tidak akan membicarakan tentang dua perkara tersebut, kerana ianya telah banyak diperkatakan dan umum sudah memahaminya.

Ilmu Dan Pendidikan Tidak Boleh Terpisah

Di dalam Islam, ilmu dan pendidikan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan dan sangat saling perlu dan memerlukan. Pelajaran (ta’alim) dan pendidikan (tarbiah) sangat berhubung kait di antara satu sama lain. Sesungguhnya ta’alim dan tarbiah itu andai dipisahkan ia merupakan kesilapan besar dalam institusi ini. Tanpa pendidikan, ilmu tidak akan bermanfaat, ilmu tidak akan berguna. Ilmu menjadi sia-sia. Ilmu tidak mampu diamalkan. Ilmu akan jadi seperti pokok yang tidak berbuah. Hukama ada menjelaskan:

Maksudnya: “Ilmu yang tidak diamalkan seperti pokok yang tidak berbuah.”

Sepatutnya, ilmu yang ditimba dijadikan panduan untuk men­didik diri dan masyarakat. Ilmu yang bermanfaat mampu men­jadikan diri kita dan masyarakat dapat kenal Tuhan sehingga datang rasa cinta dan takut kepada Tuhan. Begitu juga ilmu yang bermanfaat mampu memperlihatkan syariat itu indah di kacamata masyarakat. Rasulullah SAW begitu takut dengan ilmu yang tidak bermanfaat hasil daripada tiada pendidikan sebagaimana doa baginda:

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat.”

Di dalam bab ini kita akan memperkatakan tentang ilmu ter­lebih dahulu. Ianya sangat penting dalam memastikan proses pen­didikan berjalan dengan baik. Semoga dengan ilmu dapat kita jadikan panduan bagaimana hendak mendidik manusia.

Secara umumnya ilmu terbahagi kepada dua:

1. Ilmu material

2. Ilmu bina insaniah, berkaitan dengan manusia/insan.

Ilmu Material

Ia adalah ilmu yang mempunyai kaitan dengan kebendaan atau material. Ilmu ini jika dipelajari, difahami dan dihayati akan mam­pu membangunkan tamadun kebendaan. Dengan pembangunan material, manusia akan hidup selesa. Manusia akan berada dalam serba kemajuan, maju di sudut pembangunan, maju di sudut sis­tem jalan rayanya, begitu juga di sudut makan minumnya dan lain-lain pembangunan hasil dari pembangunan material ini. Kemajuan ini akan menjadikan manusia lebih bertamadun dan cantik kehidupan mereka. Ilmu material termasuklah ilmu pem­bangunan pertanian, pengurusan perniagaan, sains dan teknologi, ilmu matematik dan lain-lain. Apabila dibangunkan sungguh-sungguh akan majulah pertanian, majulah ekonomi dan begitu juga di bidang yang lain. Kemajuan ini semua telah dikecapi oleh masyarakat Barat. Mereka sudah membangun dan pem­bangunan material mereka sangat mengkagumkan, tetapi kita orang Melayu baru di peringkat percubaan.

Dalam istilah lain, ilmu ini disebut juga sebagai ilmu dunia, kerana ilmu ini tidak diwahyukan dan tidak dibawa oleh Rasul. Di dalam Islam ilmu material ini juga dikatakan ilmu kasbi yang bererti ilmu yang boleh diusahakan dipelajari dan boleh difikirkan. Ilmu ini tidak perlu diwahyukan dan tidak datang melalui Rasul. Ilmu ini banyak berkaitan dengan kehidupan manusia. Islam boleh menerima ilmu ini jika diselaraskan dengan kehendak Tuhan dan syariat. Ini akan menjadikan manusia itu maju di dalam kehi­dupannya sekaligus akan dikira ibadah setiap apa yang dibangun­kannya. Ertinya setiap kemajuan yang diusahakan akan diberi pahala oleh Tuhan.

Begitulah indahnya agama Allah ini, boleh menerima apa sahaja dan sesiapa sahaja asalkan sesuai dengan kehendak Tuhan dan selaras dengan syariatnya. Itulah kemajuan dan itulah juga ibadah. Ertinya umat Islam akan dapat dua ke­untungan, maju dalam kehidupan dan mendapat keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT.

Maksudnya: “Negara yang aman makmur dan men­dapat keampunan Tuhan.” (Saba’: 15)

Ilmu kasbi ini terbahagi kepada dua bahagian

1. Ilmu falsafah/teori/akal

2. Ilmu praktikal

llmu Falsafah/Teori/Akal

Ilmu falsafah ini tidak ada hubungan dengan ilmu praktikal. Ilmu ini adalah hasil berfikir. Kalau ia betul dan tepat maka ia dianggap benar, tetapi kalau salah ia boleh mendatangkan dua akibat:

  1. Ia dianggap satu khayalan. Ia adalah sesuatu yang tidak berpijak di bumi nyata. Semuanya hanya agak-agak saha­ja. Fal­safah yang salah tidak boleh dikira ilmu, walaupun yang mempeloporinya seorang profesor atau filasuf. Orang ka­gum dengan pemikirannya tetapi teori dan jalan fikirannya ter­sa­sar jauh ke dalam gaung. Ibarat seorang filasuf yang meng­kaji tentang kain, kemudian natijah kajiannya didapati kain itu adalah air. Ini kajian yang sia-sia. Sama seperti teori Darwin yang mengatakan manusia berasal dari monyet. Itu tidak benar dan dianggap sia-sia. Sedangkan pelajar pering­kat menengah pun mampu mempersoalkan teorinya. Kalau benar manusia berasal daripada monyet, sudah tentulah hutan-hutan sekarang sudah sunyi daripada monyet kerana semuanya sudah jadi manusia. Walau bagaimanapun oleh kerana ia tidak ada hubungan dengan aqidah tidaklah sesat tetapi hanya sia-sia.
  2. Sekiranya apa yang difalsafahkan itu ada hubungkait dengan aqidah dan tersalah atau tersimpang dari aqidah yang se­benar, maka akibatnya adalah kekufuran dan kesesatan.

llmu Praktikal

Ilmu praktikal ini adalah ilmu-ilmu seperti ilmu pertanian, per­niagaan, kejuruteraan, kedoktoran dan lain-lain lagi. Ilmu-ilmu ini boleh membangunkan tamadun dan kemajuan material. Ia tidak seperti ilmu falsafah yang bersifat maknawi. Tetapi dunia mengagungkan ahli-ahli falsafah. Mereka dianggap hebat. Me­rekalah profesor atau filasuf agung. Malangnya tidak ada satu pun yang mereka bangunkan. Menurut Islam mereka yang meng­hasilkan ilmu falsafah yang tidak bermanfaat dianggap melakukan perkara yang sia-sia.

Ilmu praktikal ini boleh diamalkan boleh juga ditinggalkan, boleh dihayati, boleh tidak dihayati. Boleh maju dan boleh juga tidak maju. Orang yang mengecapi kemajuan material adalah orang yang dapat menguasai ilmu-ilmu ini dari jiwanya, pera­sa­annya, kehendak dan kemahuannya, dari cita-citanya dan ke­sungguhannya. Apabila dia mendapat hasilnya, dia merasakan ini satu yang besar, maka dia mencuba dan terus mencuba. Akhir­nya membangun dan majulah dia. Kemajuan yang dicetuskan adalah untuk manusia sejagat. Dengan itu lahirlah tamadun ma­terial. Hakikatnya inilah yang dipraktikkan oleh Barat walaupun mereka sesat. Umat Islam telah berjaya memiliki ilmu ini tapi malas mempraktikkannya.

Apa yang terjadi hari ini, umat Islam tidak boleh maju kerana telah hampir hilang kekuatan jiwanya dalam hendak mem­bangunkan ilmu praktikal ini, tidak berminat untuk mencuba dan terus mencuba. Mereka belajar bukan untuk mempraktiskannya tetapi semata-mata kerana sekeping sijil, kemudian bertanya-tanya, “Syarikat mana atau kerajaan mana yang hendak meng­gajikan aku?” Sebab itulah orang Islam walaupun memiliki ilmu yang boleh memajukan mereka tetapi tetap tidak maju. Ini kerana mereka belajar bukan bertujuan untuk membangunkan ilmu itu tetapi hanya untuk makan gaji dan menjadi kuli.

Ilmu praktikal bagi mereka seolah-olah sudah menjadi ilmu falsafah atau ilmu teori. Ilmu praktikal sudah tidak jadi prak­ti­kal lagi. Contohnya orang yang belajar tentang ilmu pertanian, me­reka tidak menggunakan ilmu mereka untuk membangunkan pertanian, malah ada di kalangan mereka yang tidak tahu bertani. Begitu juga berapa ramai pensyarah atau pakar ekonomi tidak mam­pu bangunkan walaupun satu kedai runcit. Inilah kelemahan orang Melayu Islam, ilmu yang praktikal sudah tidak dipraktikkan lagi.

Walaupun ilmu falsafah atau ilmu teori itu bersifat maknawi atau tidak bersifat praktikal, tetapi bagi orang Islam yang ada tauhid, yang hidupnya bertunjangkan Tuhan, bila dapat mengua­sai ilmu teori ini, dia akan mampu untuk berfikir secara global. Hakikatnya ilmu teori atau ilmu falsafah ini sangat memberi faedah. Tetapi sekali lagi umat Islam lemah kerana kebanyakan umatnya belajar ilmu bersifat praktikal. Mereka tidak minat dengan ilmu falsafah.

Walhasil mereka tidak boleh pergi jauh lebih dari bidangnya. Mereka hanya boleh bercakap dalam satu bidang sahaja. Misalnya seorang ahli ekonomi, dia hanya mampu bercakap tentang eko­nomi sahaja dan tidak tahu hal ehwal ma­syarakat. Padahal untuk memperbaiki masyarakat, menilai ma­syarakat, faham budaya ma­nusia, mengapa manusia menjadi kasar atau lembut, menga­pa manusia itu maju atau mundur, ini sepatutnya datang dari ilmu falsafah.

Umat Islam sebenarnya tidak boleh menolak ilmu ini. Lebih-lebih lagi masyarakat kita yang sedang dilanda masalah yang kian kronik. Oleh itu kita sangat memerlukan pemikiran yang ber­bentuk falsafah yang dipimpin oleh tauhid dan aqidah, yang mampu menjawab semua persoalan masyarakat. Penguasaan kedua-dua ilmu ini iaitu ilmu falsafah dan ilmu prakti­kal sangat membantu di dalam perjuangan dan sangat memban­tu untuk menggiatkan dakwah, sangat membantu dalam mempro­mosikan Tuhan, dan sangat membantu untuk memperkenalkan syariat itu sendiri, supaya syariat itu nampak cantik dan indah sehingga ma­sya­rakat rasa syariat itu sangat diperlukan. Ini semua memer­lukan ilmu akal atau ilmu falsafah yang canggih.

Hari ini apa yang berlaku, kerana sistem pendidikan di insti­tusi-institusi pengajian Islam sudah rosak, ilmu syariat pendu­kung-pendukungnya seguni tetapi ilmu falsafah dan ilmu akalnya hanya secawan. Ilmu akal secawan tidak mampu menghuraikan ilmu syariat. Ibarat kita naik kapal besar, hendak pergi ke lautan luas supaya boleh menjelajah dunia tapi enjinnya tidak ada horse power. Kalau akal itu ibarat bot tunda (tug boat), syariat itu kapal besar, maka tug boat itu mesti mampu untuk menarik kapal yang besar.

Inilah perkara yang mesti diambil perhatian oleh ahli-ahli agama dan para ulama. Kerana itulah bila sebut sahaja syariat, orang tidak nampak keindahan syariat itu sendiri. Sebab itu ilmu falsafah ini sangat penting dalam usaha untuk membangunkan syariat dan untuk memperkenalkan Tuhan kepada manusia se­luruhnya.

Ilmu Bina Insaniah

Ilmu bina insaniah ini dibahas pada bab berikut (Bab 3), yang bertajuk ‘Bagaimana Mendidik Manusia’.


Sajak

Akal Adalah Gudang Ilmu

Akal adalah gudang ilmu

Ia adalah khazanah maklumat

Ia adalah penyimpan pengalaman

apa yang ia lihat, dengar, rasa dan sentuh

dan boleh mengeluarkan

Itulah peranan akal

Hakikatnya akal adalah guru

atau pemimpin di dalam diri

pemimpin dan juga guru di luar diri

Ia boleh jadi guru di dalam diri

dan boleh menjadi guru di luar diri

Kalau ia benar-benar guru di dalam diri

dan boleh menjadi guru di luar diri

Kalau ia benar-benar guru, berfungsi sebagai guru

diri terpimpin, masyarakat di luar diri terpimpin

Diri dapat kesedaran

di luar diri juga dapat kesedaran

Di dalam diri dapat keinsafan

di luar diri juga mendapat keinsafan

Diri dapat nikmat, masyarakat juga mendapat nikmat

Diri dapat ilmu, di luar diri juga dapat ilmu

Diri juga dapat pimpinan

masyarakat juga mendapat pimpinan

Akal jugalah menunjuk jalan di dunia

akal jugalah menunjuk jalan ke Akhirat

Akal boleh membawa keselamatan di dunia

akal juga boleh membawa keselamatan di Akhirat

Di akhir zaman ia sungguh malang sekali

Akal sudah rosak ia bukan guru atau pemimpin lagi

Ia tidak berperanan lagi sebagai guru atau pemimpin

Peranannya sudah ditukar

kepada yang bukan peranannya

Dirinya rosak binasa, masyarakat di luar dirinya

juga rosak binasa

Akal hanya memikirkan mencari makan

Mencari harta, mencari kekayaan

mencari kesenangan, mencari nama

mencari keseronokan

Akal sudah setaraf dengan nafsu di dalam diri

sudah menjadi jahat juga di luar diri

Bukan sahaja dia rosak macam nafsu

masyarakatnya juga dirosakkan

Sungguh malang, kedudukan akal begitu tinggi

di sisi Tuhan

sekarang jatuh sejatuh-jatuhnya setaraf bumi

Begitu mulia di sisi Tuhan
ia jatuhkan diri setaraf haiwan atau syaitan

Akal sepatutnya cintakan dan takutkan Tuhan

Sekarang sudah jadi takut dan cintakan dunia

cinta murahan

Ini adalah akibat sistem pelajaran dan pendidikan

yang sudah tersasar jauh dari Tuhan

Habis akal dirosakkan

Dari asalnya menjadi pemimpin dan guru

Sekarang hanya berfungsi mencari makan

macam haiwan atau syaitan

Betulkan semula sistem pendidikan dan pelajaran

Agar akal menjadi pemimpin dan guru semula

diri dan masyarakat dapat dibetulkan

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment