Thursday, 21 April 2011

Sembahyang Membina Peribadi Berjiwa Besar

1. Sajak Ibadah Adalah Penyembahan Kepada Tuhan

Kalau benar sembahyang dibuat bukan setakat ilmu, tapi difahami dan dihayati, akan lahirlah manusia yang berjiwa besar. Bangsa yang kuat adalah bangsa yang berjiwa besar. Bagi bangsa yang berjiwa besar, tidak ada gunung yang sebegitu tinggi. Tidak ada lautan yang tidak boleh diseberangi dan tidak ada lurah dan gaung yang tidak boleh diharungi. Ertinya tidak ada kecewa, buntu dan putus asa baginya.

Sembahyang boleh menjadikan bangsa itu berjiwa besar. Bagaimana sembahyang boleh membina jiwa besar?
Mari kita lihat kepada ucapan dan pengakuan kalimah "Allahuakbar" ( ) yang terjemahannya ialah "Allah Maha Besar," yang kita sebut berulang-ulang kali di dalam sembahyang. Di antara maksudnya ialah:

  1. Di dalamnya terhimpun semua sifat Allah, semua Asmaul husna, semua kebesaran dan kekuasaan Allah. Tuhan adalah pemilik segalanya, pentadbir dunia dan Akhirat. Dia yang mewujudkan dan mentiadakan. Dia penentu dan pemutus sama ada baik atau buruk. Maha Hebat dan Maha Sempurna Tuhan. Maka layaklah seluruh pujian dikembalikan kepada-Nya. Kita manusia, tidak layak dipuji tetapi selayaknya dihina sebab kita tidak memiliki apa-apa. Kalau dihayati kalimah ini, si hamba akan bergantung sepenuhnya pada Tuhan
  2. Allah Maha Besar juga bermaksud, Dia tidak serupa makhluk ciptaan-Nya. Tuhan tidak serupa malaikat, manusia, gunung, binatang, syaitan, jin dan tidak serupa dengan apa jua. Zat-Nya tidak boleh dibayangkan. Mustahil dapat dibayangkan. Maha Suci Allah daripada menyerupai segala sesuatu.
    Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kuasa-Nya. Satu Zat yang tidak nampak kewujudan-Nya tetapi terasa wujud-Nya. Tidak hebatkah? Kalau dihayati sembahyang, kita akan terasa terlalu hebatnya Tuhan hingga terasa besarnya jiwa kita kerana dapat bersandar kepada satu Zat yang Maha Hebat.
  3. Lantas kerana kesempurnaan-Nya, Tuhan boleh buat apa sahaja. Tuhan suruh kita minta apa sahaja keperluan dari-Nya. Di antara yang disuruh minta ialah Siratal mustaqim yakni minta jalan yang lurus supaya tidak tersesat ke jalan syaitan dan Yahudi. Dia juga suruh kita minta ampun, minta hidayah dan rezeki. Begitu sekali Tuhan bersedia melayani kita. Kita serah dirilah kepada-Nya dan mintalah segala apa yang kita kehendaki kerana Dia mampu mengadakannya. Tidak hebatkah kalau kita berkawan dengan Kuasa seperti itu?

Hasil dari sembahyang yang dihayati ialah rasa beriman dan bertaqwa. Kalau itulah yang kita rasa maka akan timbullah rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertaqwa itu, Tuhan akui sebagai orang-Nya. Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya berbagai-bagai perkara termasuk keselamatannya, kemenangannya dan kejayaannya. Tuhan mempunyai tentera yang pelbagai termasuk angin, air dan malaikat. Tuhan boleh arah mereka bertindak. Kalau inilah keyakinan hasil dari solat kita maka kita akan beroleh jiwa yang besar.

Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan sembahyang. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar.

Sajak Ibadah Adalah Penyembahan Kepada Tuhan

Ibadah adalah satu penyembahan
kepada Tuhan
Menyembah ertinya memuja, membesarkan
mengagungkan, menyanjung
meminta, mengharap
memuji, berbual, munajat, berbisik-bisik
dan bermanja-manja dan meminta
Ini bermaksud beribadah kepada Tuhan
Berbagai-bagai perasaan yang dirasa oleh jiwa
Kalau ibadah tidak dihayati
jiwa tidak merasa berbagai-bagai rasa
Ibadah yang tidak dijiwai
sudah tentu tidak merubah
perangai manusia
Oleh itu ibadah kenalah tertib
Mutmainnah, tenang dan faham
Tidak boleh gopoh-gapah
Kenalah berlambat-lambat rukuk dan sujud
Rasakan kehebatan Allah
rasakan keagungan-Nya
Rasakan juga kasih sayang-Nya
Rasakan juga kuasa dan Iradah-Nya
Qahhar dan Jabbar-Nya
Rasakan Dia mendengar
mengetahui dan melihat
Begitulah kita beribadah kepada Allah
Bukan setakat fizikal yang bergerak
Tidak setakat lidah yang melafaz
Tapi yang penting hati dan jiwa yang bergerak
Hingga mempengaruhi fikiran dan sikap kita
Hingga membangun peribadi dan akhlak
Begitulah kesan dari ibadah yang dijiwai
Sangat mempengaruhi peribadi
dan kehidupan kita

Menjelang tidur
24 - 10 - 1999


Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment