Thursday, 21 April 2011

Kebahagiaan Rohaniah

Kalau kita lihat apa yang sedang berlaku di dunia ini secara umum dan secara khususnya di Asia, memang sangat menakutkan. Keadaannya menakutkan di semua aspek. Huru-hara di semua bidang. Tidak ada satu sudut yang benar-benar stabil. Hampir semua sudut sudah rosak. Ertinya sistem yang berlaku di dunia hari ini sudah rosak. Bila rosak, yang menerima akibatnya dan padahnya adalah manusia. Kita sebahagian darinya. Mengapa terjadi begini?

Kalau di zaman adanya rasul, bila semua sistem sudah rosak, di mana tidak ada lagi tempat yang selamat, di waktu itu Tuhan datangkan pemimpin dari Tuhan sendiri iaitu para rasul. Kerana pemimpin-pemimpin yang bukan rasul sudah tidak mampu menyelesaikan dan mengubat masalah. Bila rasul datang, dia memulihkan semula keadaan dunia yang sudah huru-hara. Rasul menunjukkan jalan bagaimana untuk mendapat keamanan, kedamaian dan keharmonian. Bagaimanapun selepas wafatnya seorang rasul, penyakit lama berulang kembali pada masyarakat. Datang pula rasul yang lain. Hilang sebentar penyakit. Datang rasul, dunia harmoni sekejap. Begitulah putaran sejarah.

Jadi dalam sejarah dunia, masa yang sulit dan huru-hara itu lama manakala masa yang harmoni dan aman itu sekejap. Bila kita baca sejarah manusia ini, kita dapat lihat secara umum manusia yang hidup di dunia mencari dua kebahagiaan iaitu:

  1. Kebahagiaan secara lahir, seperti mencari kekayaan, pangkat, ilmu pengetahuan, menjadi bangsa yang kuat, menjajah negara orang dan lain-lain lagi.
  2. Kebahagiaan secara rohaniah atau batiniah iaitu kebahagiaan jiwa, ketenangan hati dan fikiran, kasih sayang, bertolak ansur, rasa bersama, perikemanusiaan yang tinggi, tolong-menolong dan sebagainya. Ini semua bersifat rohaniah.

Apa yang berlaku, kehendak-kehendak yang bersifat luaran atau material banyak yang manusia dapat. Kejayaan material itu lebih dapat dikuasai oleh manusia daripada kejayaan rohaniah. Walaupun tidak semua orang dapat tetapi lebih ramai yang dapat berbanding dengan kebahagiaan yang kedua. Sedikit sahaja yang dapat kebahagiaan yang bersifat rohaniah.

Hampir semua golongan tidak dapat menguasai kebahagiaan yang bersifat rohaniah atau batiniah ini. Bukan sahaja orang miskin atau yang tidak berpangkat tidak dapat, bahkan orang yang cerdik, pandai, kaya, berjawatan tinggi sehinggalah yang menjajah negara orang pun tidak dapat. Mereka pun tidak dapat menguasai perasaan batiniah manusia. Padahal mereka berharap dengan menjajah negara orang, mereka akan dapat kebahagiaan. Mereka boleh mendapat kebahagiaan material tetapi oleh kerana kebahagiaan batiniah tidak diperolehi maka kejayaan luaran atau material pun tidak memberi apa-apa erti.

Di sini tidak akan diperpanjangkan mengapa dan kenapa demikian. Kita tidak akan bahaskan secara ilmiah mengapa terjadi begitu. Cuma disebutkan fakta-fakta sahaja tentang kenyataan-kenyataan yang sudah berlaku. Kita bawakan beberapa contoh sebagai bukti bahawa apabila kebahagiaan rohaniah tidak diperolehi maka kejayaan di sudut material itu tidak bermakna. Di antaranya:

  1. Katalah satu bangsa besar, yang ada kuasa besar, menjajah negara orang. Waktu itu ia belum ada pengalaman lagi. Bila sudah berjaya menjajah, rasa bahagia. Tentulah merasa puas. Tuhan lakukan begitu. Dahulu, banyak bangsa-bangsa yang menjadi penjajah. Kalau dulu ianya satu kebanggaan, tetapi hari ini kalau sesebuah negara itu cuba untuk menjajah negara lain, rakyatnya sudah tidak mahu. Buktinya lihatlah negara Amerika sekarang. Ia musnahkan Afghanistan dan Iraq itu, hanya dua, tiga orang politik sahaja yang suka. Rakyat dan tentera tidak bersetuju sebab mereka sudah ada pengalaman. Menjadi penjajah, dapat negara orang tetapi tidak mendapat kebahagiaan dalaman.

    Waktu Perang Dunia Pertama dahulu, sesuatu bangsa itu bangga kalau ia boleh tawan negara orang, sebab waktu itu belum ada pengalaman. Kalau sudah ada pengalaman, jadilah seperti rakyat Amerika yang tidak setuju dengan Bush untuk tawan Iraq. Sebab kebahagiaan bukan di situ. Bahkan rakyat Amerika menjadi takut pula untuk pergi ke mana pun, takut diculik atau ditembak. Sebab itu hasil perang bahkan hasil kejadian 11 September, iaitu keruntuhan World Trade Center (WTC) di New York, ramai rakyatnya bunuh diri. Yang bunuh diri itu bukan sebarang orang. Kalau orang bunuh diri, ertinya dalamnya sudah kosong walaupun di luar nampak hebat.

  2. Begitu juga bila dapat membangunkan empayar ekonomi, manusia rasa bahagia. Itulah yang Jepun buat. Dunia tercengang dengan kemampuan ekonomi Jepun. Tetapi apa sudah berlaku? Orang Jepun paling ramai bunuh diri. Negara yang ada kekuatan ekonomi di tangannya, paling ramai rakyatnya bunuh diri. Nampaknya kebahagiaan lahir sudah dapat tetapi kebahagiaan batin tidak dapat hingga mereka bunuh diri. Ini membuktikan bahawa kebahagiaan dalaman atau batin lebih bermakna daripada kebahagiaan lahir.

Di Asia ini, banyak negara Asia tercengang melihat Singapura. Dahulu ia adalah kepunyaan Malaysia tetapi dengan mudah telah dilepaskan. Lahir sebuah negara baru. Terkejut negara-negara Asia. Negara yang lebih lama atau lebih tua pun terkejut dengan munculnya negara baru tetapi lebih cantik dengan pembangunan dan kemajuan luar biasa. Rupanya satu bangsa yang sudah ketinggalan itu boleh menjadi satu bangsa baru, sehingga ia boleh kejar bangsa lama kerana ia hendakkan hal-hal lahir. Ia hendakkan keselesaan lahir. Singapura menjadi buktinya. Tetapi rakyatnya ramai yang bunuh diri. Lebih-lebih lagi selepas kejatuhan ekonomi. Yang bunuh diri ialah ahli-ahli korporat dan ahli-ahli perniagaan. Cukuplah ini semua sebagai contoh.

Rupanya manusia ini mudah mendapat kebahagiaan lahir tetapi jangka panjangnya tidak sampai ke mana. Orang yang dapat kebahagiaan lahir itu sudah ada pengalaman dan mereka tahu. Yang belum dapat, bersangka-sangka di situlah kebahagiaan. Kita bangsa Melayu juga berfikir macam mereka iaitu hendak kejar kebahagiaan lahir. Kalaulah kita dapat jadi kaya macam rakyat Singapura dan Jepun, nanti akibatnya akan sama.

Jadi baru kita tahu hendak cari kebahagiaan rohaniah, susah rupanya. Buktinya hari ini orang-orang atasan, yang sudah kaya, yang sudah menjajah orang dan orang pandai pun tidak mendapat kebahagiaan rohaniah ini.

Sekarang manusia jadi risau. Seluruh dunia tidak bahagia. Salah satu sebabnya ialah kerana kehilangan kasih sayang. Kasih sayang sudah hilang di semua peringkat masyarakat, justeru itu hilanglah bahagia. Bukan sahaja orang susah tetapi orang senang, orang ada ilmu, orang ada jawatan tinggi pun tidak bahagia. Kerana kasih sayang adalah keperluan bersama. Orang miskin atau orang kaya sama-sama perlukannya. Orang bawahan atau orang atasan perlukannya tetapi ia sudah hilang. Bila hilang kasih sayang, kita tidak lagi fikir orang. Terhadap orang susah, orang menderita, orang sakit, kita tidak rasa apa-apa. Kita tidak kasihan dan kita tidak simpati.

Mengapa hilang kasih sayang? Kerana manusia sudah tidak cintakan Tuhan lagi. Manusia sudah kehilangan Tuhan. Tuhan hanya sekadar dipercayai tetapi Dia sudah hilang dari hati manusia. Tuhan sudah tidak menjadi pegangan lagi. Akibatnya tentulah manusia tidak cintakan Tuhan. Bila Tuhan tidak dicintai, side effectnya manusia tidak tahu bercinta dan berkasih sayang sesamanya. Inilah yang berlaku. Sedangkan kasih sayang itu kebahagiaan dan sangat diperlukan.

Kita ini usahkan orang tidak sayang kita, kalau anak kita tidak sayangkan kita sebagai ayah, itu pun sudah cukup menyedihkan kita. Kalau kita sedar isteri tidak sayangkan kita, duit tidak ada erti lagi. Tidak ada erti lagi ilmu. Padahal baru seorang tidak sayangkan kita. Sekarang ini semua orang saling tidak menyayangi. Kemuncak tidak berkasih sayang sangat menakutkan. Kalau di luar tidak ada keamanan, setidak-tidaknya di rumah kasih sayang itu masih wujud. Tetapi bila sampai kemuncaknya, di rumah pun tidak ada kasih sayang. Cucu dirogol oleh datuk, anak dirogol oleh ayah, adik dirogol oleh abang.

Itulah kesan apabila tidak ada lagi sesuatu yang bersifat rohaniah yakni kasih sayang. Ke mana hendak pergi kalau di rumah pun sudah tidak selamat. Di masjid pun tidak selamat. Kalau di Pakistan, sedang angkat takbir pun boleh ditembak. Pernah berlaku, waktu seorang sedang sembahyang dalam masjid, tiba-tiba dia ditembak. Orang yang menembak itu pula seorang yang hafal Al Quran. Dia dapat Al Quran tetapi hilang Tuhan. Sebab itu dia tembak orang.

Di sini baru kita faham pentingnya kenal Tuhan. Bila kenal Tuhan kita akan jatuh hati dengan Tuhan. Bila jatuh hati dengan Tuhan, kita akan cintakan Tuhan. Bila cintakan Tuhan, automatik kita akan cinta sesama manusia. Inilah anak kunci kasih sayang sejagat. Bila ada kasih sayang sejagat manusia tidak akan mahu buat jahat lagi. Tidak akan zalimi orang, tipu atau malukan orang. Itulah rahsianya kebahagiaan rohaniah.

Sekarang manusia mencari kasih sayang tetapi anak kuncinya sudah tidak ada. Manusia sudah kehilangan anak kunci kasih sayang iaitu Tuhan. Sebab itu sesiapa yang hendak berjuang untuk pulihkan penyakit jiwa hari ini, jangan mulakan dari ekonomi. Dengan syariat pun jangan. Kempenkan dan promosikan Tuhan. Tuhan adalah segala-galanya. Bila kita selesai dengan Tuhan nanti semua keperluan hidup kita akan selesai.

Yang menyedihkan, ulama yang di tangannya ada Al Quran pun sudah tidak faham bagaimana hendak berjuang. Bila berjuang, fikir hukum-hakam dan jihad sahaja. Ada yang fikir hudud sahaja. Akhirnya jadi militan. Bila militan, timbul masalah. Lagi orang tekan kita. Bila orang tekan kita dalam keadaan kita lemah, lagi bertambah teruk. Lebih-lebih lagi kalau kita tidak faham. Jadi hari ini siapa hendak berjuang, promosikan Tuhan sampai orang takut dan cintakan Tuhan. Insya-Allah akan berlaku nanti keindahan hidup.

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment