Thursday, 21 April 2011

Setelah Memahami Sejarah Islam Bagaimana Pendirian Dan Sikap Kita

Sebelum ini kita telah memahami sejarah Islam secara ringkas. Kita telah mengetahui apa yang terjadi sama ada yang positif mahupun yang negatif. Apa yang telah terjadi itu bahkan apa yang akan berlaku sudah ada diceritakan lebih dahulu oleh Allah Taala melalui lidah Rasul-Nya, sama ada secara tegas mahupun secara isyarat. Ini adalah untuk panduan umat Islam di zaman masing-masing agar tindakan umat Islam di zaman masing-masing itu betul dan tepat. Yang penting iman selamat.

Berdasarkan apa yang kita faham, di bawah ini diceritakan pandangan, sikap dan pegangan serta tindakan-tindakan yang sepatutnya kita ambil. Moga-moga dengan itu kita sentiasa di dalam pimpinan Allah Taala agar kita selamat di dunia dan di Akhirat.

  1. Ikhtilaf di dalam perkara furuk yang berlaku di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah memang dibenarkan bahkan ia membawa rahmat kepada umat Islam. Kerana itu kita kenalah berlapang dada dan bertolak ansur menerima perkara khi­lafiah ini. Jangan kita lakukan sebaliknya.
  2. Ikhtilaf yang berlaku di kalangan firqah-firqah yang sesat adalah kerana perselisihan itu berlaku di dalam perkara-perkara pokok ajaran Islam. Ini kita tidak boleh terima sebagai rahmat. Kerana itu kita tidak boleh bertolak ansur dalam soal itu. Kita mesti tegas menolaknya, tapi perlu bijaksana. Jangan sampai berlaku permusuhan dan peperangan yang boleh menggugat keselamatan awam, yang mana kero­sakannya terlalu banyak.
  3. Perlu diingatkan orang masuk Islam secara umumnya adalah kerana tertarik dengan sikap, perbuatan dan akhlak umat Islam, bukan dengan ajaran dan ilmunya. Hanya sedikit sahaja daripada mereka yang terpengaruh dengan ilmu dan ajaran Islam. Ini harus diambil perhatian.
  4. Setiap awal kurun Hijrah umat Islam mesti mencari pemimpin yang berwatak rasul agar mereka selamat, kerana Allah Taala telah berjanji di awal setiap kurun seorang mujaddid dilahir­kan untuk memimpin umat Islam. Siapa yang menemuinya wajib memberi ketaatan.
  5. Di pertengahan kurun dan di hujung kurun, umat Islam wajib mencari pemimpin yang berwatak nabi untuk memimpin di bidang ibadah dan akhlak. Di waktu itu dibolehkan uzlah atau beruzlah secara kelompok yang dipimpin oleh guru. Untuk berjuang adalah tidak sesuai. Kalau dilakukan juga kerosakannya adalah lebih banyak daripada kebaikannya.
  6. Kalau di tempat masing-masing tidak ada juga pemimpin dan toifah yang kita maksudkan, namun yang ada hanya toifah-toifah atau jemaah yang lain yang tidak ada ciri-ciri kebenaran, maka tinggalkan sahaja jemaah-jemaah itu se­kalipun kita terpaksa bersendirian hingga memaksa kita memakan umbut-umbut kayu.
  7. Apabila kita berada di sebuah kerajaan atau pemerintahan yang zalim di kalangan umat Islam, mana arahan atau pe­rintah yang sesuai dengan syariat ikutlah. Mana yang menya­lahi syariat, tinggalkan. Dan dilarang kerajaan itu dijatuhkan atau ditumbangkan selama mereka masih bersembahyang.
  8. Kalau kita di suatu zaman berada di satu negeri atau negara ka­fir atau satu masyarakat yang telah rosak hingga mengan­cam iman kita maka wajib kita berpindah ke negeri yang selamat. Ertinya, kita kenalah lari membawa iman.
  9. Kita diperintahkan meninggalkan ulama-ulama suk (jahat). Bahkan kita patutlah takut dan larikan diri dari ulama suk lebih dari­pada kita takutkan harimau.
  10. Di waktu tidak bertemu pemimpin yang berwatak rasul atau pe­mimpin yang berwatak nabi, kita tidak digalakkan meng­am­bil bahagian di dalam urusan masyarakat. Kita disuruh banyak diam, banyak tinggal di rumah, kurangkan bergaul kecuali di dalam keadaan yang tidak boleh tidak.
  11. Sekarang adalah di awal kurun. Kita yakin Allah Taala telah lahirkan seorang mujaddid yang sudah berperanan kerana awal kurun telah hampir sampai ke hujungnya. Sepatutnya umat Islam di masa ini mesti mencari pemimpin itu. Untuk men­carinya tidaklah terlalu susah kerana Hadis telah menya­takan ia datang dari sebelah Timur. Oleh itu kita tidak perlu cari di seluruh dunia. Fokuskan sahaja di sebelah Timur ini. Teliti dan tiliklah seluruh jemaah yang ada di sebelah Timur ini. Banding-bandingkan di antara satu sama lain. Mana yang banyak ciri-ciri kebenaran itulah dia jemaah Pemuda Bani Tamim, mujaddid di kurun ini.
  12. Bagi siapa di kalangan umat Islam yang telah bertemu dengan pemimpin itu (Pemuda Bani Tamim) dan jemaahnya, sepatutnya tidak mengikut secara sambil lewa, tapi dengan penuh serius. Sungguh-sungguh berjuang dan berkorban habis-habisan bersama-sama pemimpin itu untuk mem­bangunkan tapak ummah dan memberi ketaatan yang tidak berbelah bagi. Kerana orang yang diberikan rezeki boleh berada bersama pemimpin itu untuk membangunkan tapak ummah, pahalanya tidak sama dengan orang yang ikut berjuang selepas itu.

Panduan yang telah digariskan ini adalah untuk menjadi keyakinan, pegangan serta tindakan oleh umat Islam di setiap zaman, agar mereka tidak menjadi bingung atau tidak tahu apa yang hendak dibuat dan bagaimana pendirian dan sikap yang patut diambil di setiap zaman.

Kita juga sepatutnya telah mengenal dan tahu di zaman apa kita berada sekarang dan tindakan apa yang sepatutnya dan yang mesti kita ambil agar kita dapat menyelamatkan iman kita. Moga-moga kita dengan hidayah dan taufik dari Allah Taala telah dapat meletakkan diri kita pada tempat dan keadaan yang tepat serta dapat memenuhi kehendak-kehendak semasa dan jangan hendak­nya kita berada di tempat yang tidak ada pimpinan Tuhan.

Ya Allah! Kami memohon hidayah dan taufik-Mu.


Sajak

Tanda Kedatangan Penyelamat

Apa yang telah berlaku di dalam sejarah

lihatlah Al-Quran sebagai panduan

Biasanya bala bencana besar-besaran

Tuhan timpakan kepada suatu kaum

setelah terjadi beberapa aspek:

Pertama: Telah lahir pemimpin kebenaran dari Tuhan membawa atau memberi peringatan

Kedua: Di masa yang sama kederhakaan berlaku berleluasa dan penzaliman berlaku di mana-mana

Ketiga: Pemimpin kebenaran itu dinyah dan disusahkan

Keempat: Peringatan diberi dalam masa

yang agak panjang

Pemimpin kebenaran itu tidak mesti nabi atau rasul

Mungkin bertaraf orang bertaqwa sahaja

Pemimpin kebenaran itu yang bukan rasul dan nabi

Dalam sejarah ialah seperti Thalut, Zulkarnain

Sam‘un Al Ghazi

Selepas Rasulullah SAW wafat

mereka-mereka itu ialah

Khulafaur Rasyidin, Sayidina Umar Ibnu Aziz

dan Muhammad Al Fateh

Di akhir zaman ialah Pemuda Bani Tamim

dan Imamul Mahdi

Imamul Mahdi tidak lama lagi akan lahir

Paling lambat lima tahun atau sekitar lima hingga sepuluh tahun lagi

Mungkin Pemuda Bani Tamim sudah lama lahir

Sejak awal kurun Masihi

Sudah lama berperanan

tapi masyarakat dunia tidak sedar

Kerana pemimpin dari Tuhan itu

payah hendak dikenali

Sedangkan rasul dan nabi

yang mempunyai wahyu dan mukjizat

pun orang tidak kenali

Betapalah orang bertaqwa

Lagilah susah untuk dikenali

Kerana mereka tidak mempunyai mukjizat

dan wahyu

Waktu ini untuk terhindar

daripada bencana besar dari Tuhan

Hendaklah kita membuat beberapa perkara:

i) Kembalilah kepada Tuhan

ii) Baiki diri agar bertaqwa

iii) Kenalilah orang Tuhan

iv) Jangan disakiti mereka

v) Banyak buat baik sesama manusia

Waktu Dhuha

26 - 01 - 2005

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment