Thursday, 21 April 2011

Parti Allah Atau Hizbullah

Membangunkan sebuah jemaah sepertilah membangunkan sebuah istana. Cuma istana itu bersifat material. Manakala jemaah ini bersifat maknawi dan rohaniah. Bangunan­nya tidak nampak. Mata tidak nampak bangunan jemaah itu tapi dapat dirasa kewujudannya. Yang terasa wujudnya adalah roh dan perasaan kita.

Kedua-duanya sama-sama bangunan tetapi istana merupakan bangunan material manakala jemaah adalah bangunan rohaniah. Dari segi kaedah, cara-cara melaksanakan pembangunannya adalah sama.

Untuk membangunkan sebuah istana, ia memerlukan:

  1. Seorang jurubina yang bijak. Tanpanya tidak akan terbangun­lah istana.
  2. Sebelum dia membangunkannya, mesti ada pelannya. Dia mesti tahu membuat pelan untuk jadi panduan orang-orang yang bekerja membangunkan istana itu.
  3. Membangunkan sebuah istana ertinya membangunkan se­buah bangunan yang besar, cantik dan indah. Kalau begitu, tentu ia memerlukan banyak bahan-bahan binaan untuk dibangunkan. Entah berapa ribu jenis bahan. Ada bahan yang murah, ada bahan yang mahal. Ada bahan yang sederhana harganya. Bahan-bahan inilah yang hendak dicantum-can­tum­kan, diikat, dihubungkaitkan antara satu sama lain agar terbangunlah sebuah istana yang indah dan teguh.
  4. Walaupun istana itu memerlukan bahan-bahan dari jenis yang mahal, murah dan sederhana harganya tetapi bahannya mestilah asli. Yakni bahan yang sama sekali bukan tiruan. Kalau bahan itu jenis mahal maka mahalnya bukan tiruan. Contohnya tiang yang mahal. Walau mahal tetapi jangan bahan tiruan. Kalau yang jenis sederhana seperti dinding misal­nya, mesti asli, tulen buatannya dan bukan tiruan. Be­gitulah juga bahan-bahan yang murah seperti paku dan simen. Walaupun murah tetapi ia diperlukan. Walaupun mu­rah tetapi jangan bahannya tiruan.

    Maka dengan bahan yang mahal, sederhana, murah dan bukan tiruan inilah jurubina akan membina bangunan. Bahan-bahan itu nanti akan dihubungkaitkan antara satu sama lain sehingga lahirlah sebuah istana yang cantik, teguh dan kuat. Kalau bahan-bahan yang digunakan tadi ialah bahan tiruan, walaupun kadang-kadang lebih cantik dari yang asli dan nampak hebat tetapi ia tidak tahan. Tidak lama ia akan runtuh. Oleh itu, untuk buat bangunan besar tidak boleh menggunakan bahan tiruan sama ada yang berharga seder­hana, mahal ataupun murah.
  5. Untuk bangunkan istana, setiap bahan yang mahal, sederhana dan murah itu perlu dan penting. Tiang tidak boleh men­dakwa dirinya saja yang penting. Demikian juga yang lain-lain. Tidak ada orang yang membuat bangunan mengguna­kan satu bahan saja. Kecuali orang zaman dahulu yang tebuk gunung untuk tinggal di dalamnya, sepertimana kaum Aad dan kaum Tsamud. Bahan tidak payah dibeli. Bahannya asli tetapi hanya satu. Berbeza dengan zaman sekarang, tidak boleh lagi begitu. Terbangunnya sesuatu bangunan itu hasil gabungan berbagai-bagai jenis bahan yang kesemuanya sama penting demi mendapatkan sebuah bangunan yang sempur­na, cantik dan teguh.

Demikianlah susahnya kalau kita hendak bangunkan sebuah bangunan atau istana yang bersifat lahiriah. Maka untuk mem­bangunkan bangunan yang bersifat rohaniah dan maknawiah lebih-lebih lagi susah. Ia memerlukan seorang pemimpin yang ber­taqwa yang tahu bagaimana hendak memimpin sehingga jemaah yang dibangunkan itu kuat, teguh dan cantik. Selain itu ia juga memerlukan:

  1. Manusia yang sejagat. Untuk membangunkan sebuah jemaah yang kuat, teguh dan cantik itu juga memerlukan bahan. Bahannya adalah manusia. Oleh kerana sifat sebuah jemaah Islam itu sejagat maka manusia yang menjadi bahan itu mestilah juga sejagat. Tidak boleh bangsa Indonesia sahaja atau orang Malaysia sahaja. Islam itu bersifat sejagat, maka jemaah yang hendak dibangunkan itu mesti sejagat, bukan untuk bangsa-bangsa tertentu sahaja.
  2. Manusia yang berbagai-bagai golongan. Manusia yang men­jadi bahan untuk membangunkan sebuah jemaah itu ada yang kaya dan berjawatan tinggi. Golongan ini ibarat tiang, ertinya bahannya mahal. Ada manusia yang sederhana yakni kekayaannya, ilmunya, kedudukannya adalah sederhana. Dalam sebuah jemaah Islam perlu ada yang sederhana. Kalau ditamsilkan dengan istana tadi, mereka ini ibarat dinding dan bumbung.

    Begitu juga dalam sebuah jemaah Islam perlu ada orang-orang di peringkat rendah. Orang miskin, orang yang ilmunya kurang, tidak ada kedudukan dan tidak dikenali tetapi me­reka ini perlu. Mana boleh dalam satu jemaah Islam itu ada orang kaya sahaja atau orang pandai sahaja atau orang miskin sahaja. Tuhan tidak menjadikan manusia itu semuanya pan­dai atau semuanya kaya sahaja. Walaupun manusia sentiasa berusaha untuk menjadi pandai dan kaya tetapi Tuhan tidak melakukannya seperti itu. Sebab Tuhan tahu itu akan menyu­sahkan manusia.

    Hari ini ada pemimpin yang targetnya hendak pandaikan semua orang, hendak beri kedudukan tinggi kepada semua orang dan mahu semua orang menjadi kaya walhal itu amat bahaya. Katalah semua orang dapat PhD maka siapa hendak sapu longkang? Siapa hendak kerja di restoran dan siapa hendak tangkap ikan di laut? Bukanlah maksudnya sengaja mengusahakan agar orang menjadi miskin. Sepertimana yang disebutkan tadi, walaubagaimana pun seseorang itu berusaha untuk jadi kaya, tapi bukan semua orang yang Tuhan kaya­kan. Tetap akan ada orang miskin dan melarat.

    Ertinya, Tuhan menyuruh manusia berjuang dan berusaha untuk mendapatkan ilmu setinggi-tingginya, pangkat setinggi-tingginya dan kekayaan sebanyak-banyaknya. Itulah ke­adilan Tuhan. Namun hasilnya Tuhan akan catur. Ada orang yang Tuhan hendak pandaikan, ada orang yang Tuhan hendak sederhanakan, ada orang yang Tuhan hendak miskinkan dan ada orang yang Tuhan mahu kayakan. Tentulah ada maksud Tuhan di situ.
  3. Jemaah yang terdiri dari bermacam-macam golongan manusia itu kalau dicatur oleh pemimpin maka jadilah dan lahirlah kehidupan yang sempurna. Kalau pemimpin itu benar-benar dipimpin oleh Tuhan maka semua golongan tadi akan diikat. Macam bahan-bahan untuk membuat istana tadi. Paku dikaitkan dengan tiang, tiang dengan dinding dan dinding dengan bumbung. Akan cantik dan teguhlah hasil­nya. Kalau tiang kata ia tidak mahu dengan paku kerana paku hina maka tidak akan tertegaklah bangunan.

    Begitulah sebuah jemaah. Bila adanya berbagai-bagai golongan dalam sebuah jemaah itu maka akan cantiklah jemaah. Ditambah pula kalau pemimpin pandai meletakkan golongan-golongan itu di tempat mereka yang patut dan sesuai, maka akan semakin cantik jemaah. Mana yang mampu memimpin diletakkan dalam team kepimpinan. Jika hendak membuka kedai atau berniaga, ada pula golongannya. Begitulah seterusnya. Orang yang tidak pandai tidak akan boleh buat kerja orang pandai. Orang pandai pula mungkin terasa susah hendak buat kerja-kerja orang yang tidak pandai. Orang yang ada PhD misalnya, mahukah dia jadi tukang sapu? Kalau dia sanggup sekalipun, jemaah pula rugi kerana kepandaiannya tidak disalurkan sepenuhnya sesuai dengan kemampuan­nya itu. Begitulah cantiknya sistem Tuhan ini.
  4. Soal ada yang kaya, ada yang pandai, ada yang miskin dan berbagai-bagai lagi golongan dalam jemaah itu bukanlah penting. Yang penting manusia-manusia yang menjadi bahan kepada jemaah itu mesti ‘asli’. Dengan kata-kata lain manusianya mestilah bertaqwa atau beriman. Tidak mengapa jadi paku yang murah. Murah itu Tuhan tidak ambil kira. Yang Tuhan ambil kira ialah paku itu asli atau tidak, paku itu jati atau tidak. Ertinya, bodoh pun tidak mengapa, asalkan beriman dan bertaqwa. Pandai pun tidak mengapa asalkan beriman dan bertaqwa. Sederhana hidup pun tidak mengapa asalkan beriman dan bertaqwa.
  5. Bilamana segala peringkat manusia tadi; yang semuanya beriman dan bertaqwa; disatukan maka akan lahir satu je­maah yang bersifat maknawi dan rohani itu. Ia gagah, kuat, indah dan cantik macam istana tadi. Sebab itu dalam jemaah tidak boleh ada orang yang mendakwa:

    “Saya diperlukan kerana saya pandai,” atau “Saya tidak pen­ting kerana saya orang bodoh.”

    Semua golongan diperlukan. Kalau tidak ada semua go­longan maka jemaah tidak boleh dibangunkan. Yang pen­ting, setiap golongan mesti beriman dan bertaqwa.

Begitulah kalau kita hendak bangunkan sebuah jemaah yang diibaratkan sebagai membangunkan sebuah istana. Dengan ‘bahan-bahannya’ yang berbagai-bagai golongan tetapi semua beriman dan bertaqwa maka terbinalah satu jemaah. Jemaah itu­lah sebenar-benar jemaah yang Tuhan katakan melalui lidah Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Jemaah itu rahmat, berpecah belah itu azab.” (Riwayat Al Qudha‘i dari Nu’man Bin Basyir)

Maksudnya: “Kekuatan itu Allah sertakan bersama jemaah, barang siapa menyimpangkan diri darinya, dia menyimpang menuju ke Neraka.” (Riwayat At Tirmizi)

Kalau jemaah itu bukan seperti yang digambarkan maka akibatnya ada jemaah macam tidak ada jemaah. Ertinya ia tidak memberi rahmat. Jemaah yang memberi rahmat yang dikatakan oleh Rasulullah itu adalah apabila semua golongan manusia yang berada dalam jemaah itu bertaqwa dan masing-masing bertugas di tempat masing-masing dengan penuh tanggungjawab. Barulah dapat rahmat dari Tuhan. Rahmat Tuhan ada yang berbentuk lahir dan ada yang batin. Ada yang bersifat maknawi, rohani dan material.

Rahmat yang bersifat batin atau maknawi ialah:

  1. Tuhan sentiasa limpahkan ilmu.
  2. Tuhan akan titiskan rasa takut pada-Nya.
  3. Tuhan akan letakkan rasa ketenangan walaupun berhadapan dengan ujian.
  4. Waktu kecemasan, Tuhan bantu dengan bantuan-bantuan ghaib.

Rahmat yang bersifat lahir, dapat dilihat oleh mata. Di antaranya:

  1. Kalaupun kita tidak boleh satukan umat secara sejagat; walaupun itu yang Tuhan mahu; setidak-tidaknya kita merasa juga nikmatnya di dalam jemaah. Contohnya, berkasih sa­yang. Kalau tidak ada jemaah, kita tidak dapat rasa langsung. Memang niat kita untuk kesatuan sejagat tetapi kalau tidak berjaya, sekurang-kurangnya ia berlaku juga dalam jemaah.
  2. Kalau ada jemaah, bila ada kerja besar dan berat, ia jadi mudah. Kalau yang ringan lebih-lebih lagi mudah kerana tenaga sudah disatukan. Maka kerja itu dilaksanakan secara gotong-royong. Itulah rahmat dan nikmat yang dapat kita lihat.
  3. Senang untuk mendidik anak dan isteri dengan adanya jemaah. Jemaahlah yang akan menjaga, mengawal dan melindungi. Kalau di luar jemaah, walaupun ada cita-cita hendak jadi orang bertaqwa tetapi ia sangat susah untuk dilaksanakan.
  4. Sesusah mana pun hidup dalam jemaah, tidak sama dengan susah di luar jemaah. Di luar jemaah kalau susah, pada siapa hendak mengadu? Tetapi kalau ada jemaah, waktu susah atau waktu ada ujian-ujian maka jemaah jadi tempat mengadu dan tempat rujuk. Sama ada makan minum, sakit pening, nikah kahwin dan lain-lain.
  5. Bila ada jemaah yang tepat seperti yang telah digambarkan itu; walaupun kita tidak dapat bangunkan Islam secara syu­mul sepertimana yang Tuhan suruh di peringkat masyarakat, negara seterusnya alam sejagat; setidak-tidaknya kita dapat laksanakannya dalam jemaah. Jadi kita dapat rasa macam mana Islam yang syumul itu. Tanpa jemaah, walaupun orang itu taqwanya tinggi, dia tidak akan dapat rasa bagaimana Islam yang syumul.
  6. Bila ada jemaah maka ada role model. Senanglah kita hendak tarik orang di luar jemaah kepada Islam. Ini kerana keba­nyakan manusia yang hendak dapat kesedaran itu, ia tidak terus dengan akal dan roh. Dia setakat mampu lihat dengan mata. Itu peringkat awal. Apabila dia melihat dengan mata dan nampak cantik serta indahnya Islam maka dia akan ikut. Selepas itu baru diberi ilmu dan dididik sampai ke peringkat rohaniah.
  7. Anggota-anggota jemaah yang keluar berdakwah ke tempat yang jauh, yang memakan masa seminggu dua misalnya, dia tidak bimbang sebab anak isterinya ditinggalkan dengan jemaah. Keselamatan keluarganya terjamin dan mendapat perlindungan. Walaupun hakikatnya Tuhanlah yang jaga tetapi Tuhan suruh lahirkan sebab. Jemaah itu sebagai tempat untuk berlindung. Berbeza dengan mubaligh bebas yang keluar dengan hati yang tidak senang dan orang yang di­tinggalkan pun rasa tidak senang hati. Kalau apa-apa hal siapa yang akan bertanggungjawab? Dengan siapa dia hendak mengadu.
  8. Para pejuang seperti mubaligh tadi, oleh kerana ada jemaah, dia lebih kuat, lebih mampu, lebih cepat bergelanggang sebab segala keperluannya ditanggung oleh jemaah. Kalau ber­sendirian menjadi mubaligh bebas, bolehkah keliling dunia? Kalau dia terkenal pun, dia terkenal di negaranya sahaja. Bagi mubaligh yang ada jemaah, dia boleh pusing dunia sebab dia ditanggung oleh jemaah sedangkan mubaligh bebas, siapa hendak tanggung?

    Begitu juga kalau kita hendak buat research, hendak buat kajian dan hendak buat perhubungan. Semuanya akan jadi mudah sebab dibacking oleh jemaah. Kalau buat kerja seorang diri, tidak mungkin dapat dilakukan dan sangat sulit.
  9. Kalau ada musuh pula kita akan hadapi secara berjemaah. Kita tidak akan hadapinya secara individu. Itu juga satu kekuatan kalau dibandingkan kita seorang hendak melawan musuh. Jika tidak ada jemaah, hendak mengadu dengan siapa? Bukankah susah. Tetapi bila ada jemaah, waktu genting itu kita hadapi bersama.

Itulah rahmat-rahmat lahir dari berjemaah merujuk pada Hadis Rasulullah:

Maksudnya: “Jemaah itu rahmat, berpecah belah itu azab.” (Riwayat Al Qudha‘i dari Nu’man Bin Basyir)

Setakat ini pun kita boleh lihat benarnya kata-kata Rasulullah bahawa jemaah itu rahmat. Kalau begitu, logiklah Rasulullah menyuruh dalam sabdanya:

Maksudnya: “Hendaklah (wajib) bagi kamu berada dalam jemaah.”

Ertinya kita tidak boleh bersendirian. Setelah kita bahas, memang logik dan munasabah kita perlu berada dalam jemaah. Di sini barulah kita nampak jemaah itu sangat penting. Jemaah tempat umat Islam berkubu dan berlindung. Tempat umat Islam dididik sehingga boleh menjadi role model. Tempat umat Islam boleh bangunkan kesyumulan Islam walaupun sekadar peringkat jemaah. Begitu juga kalau ada ujian besar, boleh hadapi bersama.

Tapi jemaah yang mampu buat begitu hanyalah jemaah seperti yang digambarkan tadi iaitu satu jemaah yang didirikan oleh berbagai-bagai golongan. Ada yang kaya, miskin, ada yang pandai dan sebagainya. Perbezaan itu tidak membezakan mereka kerana apa yang penting masing-masing bertaqwa. Dengan ketaqwaan itu, mereka boleh sama-sama membangunkan Islam. Itulah dia jemaah yang dikehendaki Allah. Itulah parti Allah. Itulah hizbullah.


Sajak

Jemaah Kebenaran

Setiap awal kurun hijrah ada pemimpin

yang ditunjuk Tuhan yang dinamakan mujaddid

Begitulah yang dapat difaham daripada Hadis

Maka setiap awal kurun

wajib umat Islam mencari mujaddid itu

Setiap pengikut yang taat setia

yang ikut sama berjuang, gabungan mereka itu

itulah jemaah kebenaran di waktu itu

Yang hanya menerima dari luar jemaah itu

adalah simpati sahaja

Masuk jemaah bukan gelanggang hendak mencari wang atau kekayaan atau jawatan atau nama

Masuk jemaah di zamannya

adalah hendakkan pimpinan mujaddid itu

Masuk jemaah kerana inginkan ilmu-ilmu

yang tidak dibawa oleh mana-mana ulama

di zaman itu

Pemimpin bersama ilmunya

membawa satu pembaharuan di zamannya

sangat memberi kesan kepada pengikut-pengikutnya

Ertinya pemimpin itu bersama ilmunya

dapat mendidik orang hingga mudah dapat iman

mudah mendapat taqwa

juga berkasih sayang sesama

Ia tidak dapat dilakukan oleh ulama-ulama besar

yang sezaman dengannya

Kerana itulah pemimpin itu banyak musuh-musuhnya

Ujian yang ditimpakan Tuhan terhadapnya amat berat terutama daripada ulama

dan pemerintah di zamannya

Sepertilah yang pernah ditimpakan

kepada para-para Rasul alaihimussolatuwassalam

di zamannya

Ahli jemaah adalah orang yang bersama berjuang

di dalam jemaah

Bukan sekadar bekerjasama

itu hanya dianggap simpati sahaja

Ahli sanggup berkorban kepada jemaah

dan terkorban kerananya

Bukan jemaah berkorban untuk ahli-ahlinya

Kalau seseorang rasa terkorban

kerana jemaah dan kesal

itu adalah satu kesilapan besar

Jika seseorang sedih jemaah belum berkorban untuknya itu orang ada kepentingan

Sepatutnya setiap ahli berfikir

sudahkah aku berkorban untuk jemaah

Bukan berfikir sudahkah jemaah berkorban untuk aku

Jadi masuk jemaah Tuhan

tidak semudah yang difikirkan

Kerana itulah jangka panjang

ramai ahli yang tertapis

tinggal sedikit sahaja baru menang

Setelah dikeluarkan orang-orang yang ada kepentingan mungkin wang, mungkin kekayaan

mungkin jawatan, mungkin nama

barulah diberi kejayaan

Keuntungan yang dapat di dalam jemaah

ialah pemimpin, ilmu, iman

taqwa dan kasih sayang

Soal wang kalau dapat alhamdulillah

kalau tidak dapat bukan masalah

Tidak dapat berkorban untuk jemaah

itulah masalah

Tujuan masuk jemaah kebenaran

untuk membaiki diri

bukan kepentingan peribadi

Kalau orang berkata: “Jemaah bukan ada

memberi apa-apa kepada saya

sayalah yang berkorban untuk jemaah.”

Sikap ini adalah orang yang celik nafsu, buta hati

Akalnya celik jiwanya mati

Orang semacam ini elok keluar sahaja dari jemaah

atau dikeluarkan sahaja agar tidak menghijab jemaah daripada bantuan Tuhan

Pada kita guru, ilmu, iman, taqwa dan kasih sayang

yang diperolehi di dalam jemaah itu amat mahal

Tidak boleh dibeli dengan wang ringgit

betapa pula hendakkan wang ringgit

Kerana iman, taqwa dan perpaduan

wang ringgit dikorbankan

bukan iman dan taqwa dikorbankan

kerana wang ringgit

Mengapa ada umat Islam yang tidak faham

bahkan yang lama berjuang pun

mudah kecundang

Niat berjuang sudah dipesongkan

sungguh menyedihkan

Selepas Isyak / menjelang tidur

12 - 09 - 2004

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment