Marilah kita lihat lagi ke dalam Ummul Kitab yang merupakan seluruh intipati isi Al Quran dan Sunnah, demi untuk keselamatan manusia dunia dan Akhirat. Ummul Kitab ataupun Al Fatehah itu, bagi siapa yang mengamalkannya akan mendapat kemenangan. Ia bukan sahaja surah pembuka Al Quran tetapi pengertian sebenarnya ialah 'Surah Kemenangan'. Dengan maksud, kalau diamalkan, ia adalah penentu, pembawa kemenangan. Ia bukan surah pertama diturunkan tetapi isinya itu kalau difahami, dihayati, diamalkan dalam kehidupan dan perjuangan, maka ia boleh membawa kemenangan.
Al Fatehah dimulai dengan:
Maksudnya: "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang."
(Al Fatehah: 1)
Di sini Tuhan sebut dengan nama-Nya, yang mana Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dua sifat ini adalah sifat Tuhan yang termasuk dalam Asmaul Husna yang 99. Ertinya sifat-sifat Tuhan yang disebut dalam Asmaul Husna yang ada dalam Quran dan Hadis itu semuanya merupakan satu pakej yang memperlihatkan kebesaran, keagungan dan kehebatan Allah. Daripada keseluruhan nama-Nya itu, yang Tuhan tidak sebut sebenarnya lebih banyak tidak terhingga. Ertinya kebesaran dan keagungan Tuhan tidak ada kesudahan tetapi Tuhan hanya sebutkan 99. Apa yang peliknya, daripada 99 sifat Tuhan itu, Tuhan sangat menonjolkan sifat Rahman dan Rahim-Nya. Sebab itu Hadis ada menyebut:
Maksudnya: "Setiap perkara yang baik, kalau tidak dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim maka terputuslah berkatnya."
Tuhan tidak pilih sifat-sifatnya yang lain.
Contohnya: Bismillahi Jabbar, Bismillahi Sobur atau Bismillahi Syakur. Mengapa Rahman dan Rahim yang dipilih? Daripada perkataan Bismillahirrahmanirrahim tersebut, bismi itu bukan sifat. Allah itu pula nama yang dikatakan Ismu Jalalah iaitu nama yang Maha Agung. Ia nama bagi satu Zat yang dikatakan Dialah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Manakala Rahman dan Rahim itu sifat Allah. Yang dimasyhurkan dan dipopularkan ialah dua sifat-Nya iaitu Rahman dan Rahim. Dua sifat inilah yang sangat menonjol.
Mengapa Tuhan suruh memulakan perkara yang baik dengan Bismillah?
Kalau kita kaji setidak-tidaknya ada beberapa maksud atau faedahnya iaitu:
Hikmah Pertama: Agar manusia merasa bahawa sifat Tuhan yang tertonjol adalah Rahman dan Rahim-Nya.
Mengapa Tuhan tonjolkan dua sifat ini? Kalau kita prihatin, memang dua sifat inilah yang tertonjol. Katalah Asy Syakur, ia tidak berapa nampak. Al Jabbar dan Al Qahar boleh dilihat sekali-sekala seperti tsunami, gunung berapi meletus, dilanggar kereta, ada pemimpin yang jatuh. Sekali-sekala nampak Al Kabir dan Al Kudrah-Nya. Sedangkan Rahman dan Rahim sangat tertonjol. Setiap detik ia tertonjol. Tapi pelik, kita tidak terkesan dan tidak prihatin. Sebaliknya kita terkesan dengan sifat-Nya yang sekali-sekala berlaku. Berlaku gempa bumi di Iran misalnya, sebulan orang perbualkan padahal berapa tahun sekali ia berlaku. Ajaib sekali. Bila ada orang mati dilanggar kereta, ia jadi bualan padahal bukan setiap detik ia berlaku.
Patutnya yang diperhatikan ialah Rahman dan Rahim Tuhan sebab ia bukan sahaja setiap detik berlaku bahkan setiap suku detik berlaku. Buktinya, ia berlaku sejak kita bangun tidur lagi iaitu:
- Sedar-sedar sahaja dari tidur kita boleh bernafas. "Hidup lagi aku. Sayangnya Tuhan dengan aku. Dengan nafas itulah aku boleh hidup." Dapat hidup itu sendiri adalah Rahman dan Rahim Tuhan.
- Bila kita pergi bilik air, itu juga Rahman dan Rahim Tuhan. "Boleh melangkah lagi aku. Tuhan sayang lagi dengan aku."
- Masuk bilik air, ada air untuk mandi. Lepas mandi kita rasa segar. Tenaga kita yang tidak aktif semalaman itu, bila dapat air, terasa segar. Padahal waktu sakit lenguh-lenguh badan itu betapa dahsyat. Bila kena air, 3/4 daripada sakit itu hilang. Itulah kasih sayang Tuhan. Baru sampai ke bilik air sahaja, berapa ribu Rahman dan Rahim Tuhan. Dapat bernafas dan dapat mandi dalam bilik air.
- Selepas itu kita menunaikan sembahyang. Dapat bersembahyang itu pun Rahman dan Rahim Tuhan juga.
- Seterusnya kita keluar pergi kerja dengan nafas yang turun naik, itu juga Rahman dan Rahim Tuhan yang berlaku setiap detik. Kita melangkah kaki, memijak di bumi Tuhan. Kalaulah Tuhan jerluskan, bukankah dahsyat. Kita dapat berpijak dengan baik di bumi Tuhan. Boleh pula melihat-lihat ciptaan Allah, "Rupanya mata aku tidak buta. Ini Rahman dan Rahim Tuhan."
Dengan Rahman dan Rahim Tuhan itu, kita seperti dilambak-lambak dengan nikmat Tuhan. Firman Allah:
Maksudnya:
"Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(An Nahl: 18)
Sejarah menceritakan bagaimana orang yang lurus dan bersih hatinya serta sangat sensitif itu sangat nampak rahmat Tuhan itu seolah-olah macam salji turun. Kalau dia bukan pemimpin; rasa itu untuk dirinya sahaja; maka dia akan mabuk (sakar) dengan Tuhan. Dia macam orang gila kerana tidak tahan dengan rahmat dan nikmat yang bukan sahaja matanya dapat lihat bahkan hatinya juga melihat.
Manakala bagi pemimpin, biasanya Tuhan kawal supaya tidak sampai mabuk. Setakat hatinya sahaja yang merasa rahmat dan nikmat Tuhan itu. Jika mabuk, dia tidak akan boleh memimpin. Kalau Rasulullah itu bukan pemimpin, mungkin dia pun sudah mabuk.
Bacalah kisah-kisah ahli sufi yang bukan pemimpin, ramai yang pelik-pelik. Kalau kita hendak ikut dia pun, dia tidak suka. Dia rasa terganggu perhubungannya dengan Tuhan kerana kita. Sayidina Ali dan Sayidina Umar pernah bertemu dengan Uwais Al Qarni yang mana tentulah pangkat dan darjat mereka lebih tinggi daripada Uwais Al Qarni. Uwais Al Qarni itu hanya afdhalut tabiin iaitu tabiin yang paling utama. Itu pun dia tidak mahu bercakap panjang dengan Sayidina Umar dan Sayidina Ali.
Orang yang ada hubungan hati dengan Tuhan, dia tidak seronok untuk berhubung dengan manusia. Ini kerana dia bukan pemimpin. Uwais hanya jaga kambing orang ramai. Dia adalah ulama berwatak nabi yang hanya jaga dirinya. Sebab itu dia mabuk dengan Allah. Sebaliknya kalau orang datang berjumpa Sayidina Umar dan Sayidina Ali, biasanya orang hendak berlama-lama kerana dia rasa itulah ibadahnya. Tengok muka mereka pun terasa terhubung hati dengan Tuhan, belum lagi mendengar kata-kata mereka. Hati mereka sangat terhubung dengan Tuhan tapi mereka tidak mabuk. Tidak seperti Uwais Al Qarni yang sentiasa terhubung dengan Tuhan sehingga jadi mabuk.
Jadi itu hikmah yang pertama mengapa Tuhan menonjolkan diri-Nya dengan dua sifat ini. Kalau orang prihatin dalam kehidupannya; mata, akal dan rohnya prihatin; memang sifat Rahman dan Rahim Tuhan sangat menonjol. Sifat Rahman dan Rahim Tuhan yang mencurah-curah itu ibarat seorang yang berada di padang pasir, didatangkan salji yang tidak berhenti-henti. Munasabahlah dua sifat ini tertonjol.
Peliknya, begitu sekalipun tertonjol dalam kehidupan manusia, bahkan Tuhan ingatkan selalu dengan disebut Rahman dan Rahim itu melalui Bismillahirrahmanirrahim namun kita buat tidak tahu dan kita tidak rasa. Padahal sepertimana yang disebut di atas tadi, sejak dari bangun tidur, di bilik air, di depan rumah, belum pun jauh kita melangkah, begitu banyaknya nikmat Tuhan kepada kita. Jadi munasabahlah Tuhan suruh menyebut nama ini pada setiap perbuatan yang baik. Memang sifat inilah yang tertonjol.
Malangnya sifat yang tertonjol ini tidak diperhatikan manusia. Menunjukkan hati manusia sudah terlalu lalai. Kalau ia berlaku kepada orang bukan Islam kita tidak hairan tapi orang Islam yang masih solat, puasa dan naik haji pun tidak rasa. Seolah-olahnya Rahman dan Rahim Tuhan itu kebetulan sahaja. Ini samalah dengan contoh berikut sebagai bandingan:
Katalah kita ada kawan, seorang kaya yang agak pemurah. Dia ajak kita jalan-jalan sekali-sekala. Dia beri kita pakaian, beri kita hadiah untuk dibawa balik. Dua bulan kemudian kita jumpa dia lagi. Dia ajak kita makan dan ajak kita bersiar-siar dengan keretanya. Ia berlaku sekadar sebulan sekali atau dua bulan sekali. Itu pun kita mula bercakap, "Baiknya orang itu. Pemurah dan berkasih sayang."
Tapi pelik, kita sebagai anak yang setiap hari duduk dengan emak, dia beri buku sekolah, dia beri pakaian, sekali-sekala dia bawa kita keluar, kita tidak pernah rasa mak atau ayah sayangkan kita. Malah sempat pula berfikir, "Mak ni sayang ke dengan aku? Jangan-jangan dia benci."
Hati kita boleh terikat dengan orang luar padahal sekali-sekala sahaja orang itu buat baik kepada kita. Itu pun kita sudah sayang dengan orang itu. Padahal mak ayah hari-hari buat baik pada kita, tanggung makan minum kita tapi tidak terasa mak ayah sayang.
Samalah seperti apa yang kita buat pada Tuhan. Tuhan pemurah dengan kita setiap detik dan setiap saat tetapi kita tidak pernah sebut. Setiap detik Tuhan beri kasih sayang tetapi kita tidak pernah terasa kasih sayang Tuhan. Tidak pernah jatuh hati dengan Tuhan. Tidak pernah terasa serba salah dan malu dengan Tuhan.
Kalau ikut akal, tidak logik ia berlaku. Kalau dibahaskan dari segi logik, tentulah kita akan lebih sayang dengan orang yang hari-hari belanja kita, bukan dengan orang yang belanja kita sebulan sekali. Anehnya yang tidak logik itulah yang berlaku. Begitulah kita buat pada Tuhan. Sekalipun kita sembahyang, puasa, wirid, zikir tetapi tidak nampak nikmat, rahmat dan kebaikan Tuhan. Enam bulan sekali, bila sakit gigi, kita kata, "Apa Tuhan ni?"
Yang sekali itu yang diingat. Waktu sihat itu kita lupa. Termasuklah kita yang berjuang, solat, puasa dan naik haji, kita tidak teringatkan rahmat dan nikmat Tuhan. Itu menunjukkan susahnya hendak hidupkan hati padahal kita dimandikan dengan Rahman dan Rahim Tuhan setiap hari. Jadi Tuhan suruh baca Bismillah kerana Tuhan hendak isytiharkan dua sifat yang menonjol ini. Sifat yang lain hanya berlaku sekali-sekala untuk menyedarkan dan menginsafkan manusia.
Hikmah kedua:
Supaya lahir cinta terhadap Tuhan dan sesama manusia.
Setiap kebaikan yang kita buat sama ada yang bersifat maddi atau maknawi, jangan lupa membaca Bismillah supaya berkat dan lahir cinta terhadap Tuhan. Apa rahsianya?
Kita cinta atau tidak cinta Tuhan, itu tidak jadi masalah bagi Tuhan. Keagungan Tuhan tetap dan tidak berubah sama ada kita cinta atau bencikan-Nya. Tuhan seolah-olah mengajar kita, apabila kita membaca Bismillah, kita akan tersedar atau tersentak yang mana waktu itu kita akan prihatin dengan banyaknya nikmat Tuhan. Ini supaya kita cintakan Tuhan. Agar kita jatuh hati dengan Tuhan.
Faedahnya bukan untuk Tuhan. Untungnya adalah untuk sesama manusia. Kalau orang cintakan Tuhan, automatik dia akan cinta sesama manusia. Bila cinta sesama manusia, tiada pergaduhan, ada tolak ansur, bekerjasama, bermaaf-maafan, tiada hasad dengki, tidak ada peperangan. Keuntungan, faedah dan manfaatnya untuk manusia, bukan untuk Tuhan. Di sini ada rahsia dalam rahsia. Dalam Rahman dan Rahim Tuhan itu, bila kita kaji hikmahnya, dalamnya itu ada Rahman dan Rahim. Hikmahnya itu juga adalah Rahman dan Rahim Tuhan. Dalam Rahman ada Rahman. Dalam Rahim ada Rahim. Dalam kasih ada kasih. Dalam cinta ada cinta. Dalam kebaikan ada kebaikan.
Kalau yang di luar pun kita tidak sedar, yang mata boleh lihat pun tidak perasan, betapalah yang tersirat. Kerana manusia ini, walaupun dia sembahyang tetapi hatinya sudah buta. Kalaulah Tuhan tidak ingatkan dengan Bismillah, teruslah buta hati kita. Walau sudah diingat-ingatkan pun masih tidak sedar. Macam anak kita yang setiap hari duduk di rumah, kita beri pakaian, pergi sekolah beri duit belanja, beri buku, tetapi tidak pernah dia rasa emaknya sayang. Orang yang sekali-sekala belanja dia, dia kata, "Macam mana saya tidak sayang dia, sebab dia belanja." Padahal orang itu belanja sebulan sekali. Sedangkan emak dia setiap hari beri belanja, dia tidak sayang. Manalah hati tidak menangis. Itu adalah kerana kita juga iaitu emak ayah tidak pun jatuh cinta dengan Tuhan maka Tuhan balakan. Maka anak kita pun tidak dapat rasa kasih sayang kita. Itu di antara anak, emak ayah dan orang luar. Yang kita pula, antara manusia dengan Tuhan. Pemberian manusia kita rasa tetapi pemberian Tuhan kita tidak rasa. Jadi kita sama dengan anak kita.
Ada orang pemurah dengan kita, kita puji tetapi Tuhan setiap detik beri kita rahmat, tidak pernah kita puji atau promosikan-Nya. Tidak rasa bersalah dengan Tuhan, tidak fikir macam mana hendak balas nikmat Tuhan. Khusyuk atau tidak kita dalam solat adalah sebagai tanda kesyukuran kita kepada Tuhan. Jadi patutlah Tuhan suruh baca Bismillah. Besar peranannya yakni hendak menyedarkan manusia bahawa Tuhan itu berkasih sayang. Agar dengan itu manusia cinta Tuhan. Hasil cinta Tuhan, akan cinta sesama manusia. Akan berlakulah keamanan, keselamatan dan kebahagiaan.
Selama ini kita belajar Bismillah, "Kalau hendak buat sesuatu perkara, baca Bismillah ya. Jangan tidak ikut Sunnah ya." Setakat itu sahaja. Kalau baik sedikit, "Kalau tak baca Bismillah, nanti tidak berkat." Hanya sekadar itu. Tidak perasan mengapa besarnya Rahman dan Rahim Tuhan itu. Tidak terasa besarnya Tuhan, tidak terasa peranan-Nya besar. Tidak nampak hikmahnya besar. Tidak nampak besarnya rahmat dan nikmat Tuhan. Tidak nampak patutnya kita cinta Tuhan supaya kita cinta sesama manusia.
Hikmah ketiga:
Supaya manusia dapat rasa kehambaan.
Tuhan suruh setiap kebajikan itu dimulakan dengan Bismillah. Ertinya dalam satu hari, berapa ratus kali kita baca Bismillah. Hendak makan, minum, pakai pakaian, hendak berjalan, kita baca Bismillah. Apa maksudnya yang lain?
Maksudnya ialah supaya kita rasa hamba. Rupa-rupanya kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan. Rasa kehambaan itu sifat tawadhuk yang wajib. Tuhan suka sangat hamba itu rasa hamba. Jadi bagi orang yang prihatin, dengan sendiri dia jadi tawadhuk, rasa perlu dengan Tuhan, dia rasa kalau tidak kerana Tuhan, dia tidak boleh hidup. Lahir rasa bertuhan. Tidak besarkah? Akhirnya hati kita sentiasa berhubung dengan Tuhan. Rupanya kehendak Tuhan supaya kita baca Bismillah, kebanyakannya hari ini tidak sampai matlamat. Paling baik, baca Bismillah itu dapat berkat kerana ikut Sunnah Rasulullah.
Hikmah keempat:
Agar apa yang dibuat, diberkati Tuhan
Hikmah lain yang tersirat, kalau kita tidak baca Bismillah dalam berpakaian, makan minum ertinya apa yang kita buat tidak berkat. Kalau tidak berkat, Tuhan tidak bersama kita. Bila Tuhan tidak bersama, itu yang jadi masalah. Bila makan minum, penyakit pun banyak. Bila kita berpakaian, hati jadi lalai, rasa diri cantik dan hebat. Lalai itu adalah satu bala dari Tuhan. Buat apa pun kalau tidak baca Bismillah, walaupun berjaya, Tuhan beri secara istidraj. Maju di satu sudut tetapi negatif di sudut lain. Berniaga maju tetapi orang benci, anak isteri tidak harmoni. Oleh kerana Tuhan marah, diberi secara istidraj. Untung di satu sudut, di lain sudut Tuhan tarik kasih sayang, makan banyak datang penyakit dan lain-lain lagi.
Hikmah kelima:
Bismillah dan Fatehah diwajibkan dalam sembahyang sebagai
kasih sayang Tuhan.
Dalam solat, selepas baca Fatehah sampai habis, kemudian sebelum baca ayat atau surah lain, kita baca lagi Bismillah. Selain hendak pertahankan berkat, kedudukannya sunat sahaja. Tetapi bagi Al Fatehah, diwajibkan membaca Bismillah kerana ia satu ayat daripada surah itu. Kalau tidak baca Bismillah, batal Fatehah dan batal solat. Apa maksudnya?
Sebenarnya kita baca Bismillah ini merupakan kasih sayang Tuhan. Al Quran yang isinya ada dalam Al Fatehah itu, kalau kita ada ilmunya, boleh fahami, hayati dan applykannya dalam kehidupan kita, itu rahmat dan nikmat Tuhan yang paling besar, yang mana kita akan selamat di dunia dan Akhirat. Begitu kasih sayang Tuhan. Patutlah Tuhan suruh baca Bismillah di awal Al Fatehah sebab Tuhan itu Maha Pengasih dan Penyayang. Patutlah wajib baca Bismillah pada Al Fatehah, tidak seperti surah-surah lain.
Inilah yang sebenarnya kemuncak hikmah Rahman dan Rahim Tuhan. Apa yang saya cerita tadi, termasuk dalam isi Fatehah. Saya dahulukan ia supaya kita nampak, sebab nikmat yang lahir ini mudah untuk kita faham dan cepat terasa. Nikmat yang bersifat rohaniah perlu dikaji dan dibahaskan baru terasa. Begitu juga rahmat dan nikmat Tuhan yang bersifat aqliah lebih mudah kita rasa daripada yang bersifat ruhiyyah atau maknawiah.
Nikmat Tuhan ada tiga bentuk iaitu yang bersifat mata, bersifat akal dan bersifat roh. Mata cepat nampak nikmat tetapi itu pun payah untuk terasa. Yang bersifat aqliah, mungkin lambat sedikit untuk terasa. Manakala yang bersifat ruhiyyah itu lebih-lebih lagilah lambat untuk dikesan dan dirasa. Ia perlu dikaji, dicungkil dan diulaskan baru terasa.
Sajak
Sifat dan Kasih Sayang Tuhan
Sifat-sifat Tuhan itu tidak terhingga banyaknya
Tapi yang Tuhan sebut dalam Al Quran 99 sifat sahaja
Yang dikatakan Asmaul Husna
Semua sifat-sifat Tuhan itu keagungannya sama
Tapi bagi orang yang prihatin
Sifat kasih sayang Tuhanlah yang amat tertonjol
Buktinya ialah:
Tuhan suruh setiap perbuatan baik yang hendak dibuat
Ingat sifat Tuhan yang Maha Pengasih Maha Penyayang
dengan menyebut: Bismillahirrahmanirrahim
Sebab itu setiap orang yang hendak buat baik
Seperti makan, minum dan berpakaian
Maka dimulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim
Kalau Bismillah itu difahami
dan dihayati setiap kali membaca
Terasa kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya
Maha Baiknya Tuhan kepada makhluk-Nya
Hati jadi lembut
Jiwa jadi lunak
Hasil menyebut sifat Tuhan itu
Tuhan tidak menyuruh menyebut sifat-sifat-Nya yang lain ketika membuat kebaikan
Sebab sifat yang lain itu kalau disebut
sangat menakutkan manusia
Hati tidak terhibur
Tapi dengan Bismillah, hati hamba Tuhan terhibur
Tahukah kita kasih sayang Tuhan itu
bagaimana terhadap kita?
Kita sebut dengan ringkas sahaja:
Kita dijadikan oleh Tuhan itu
adalah kasih sayang dari-Nya tanpa kita minta
Dijadikan kita ini dengan indah dan sempurna
Nak berhibur dengan pandangan,
dijadikan mata untuk kita
Nak berhibur dengan suara merdu,
dijadikan untuk kita telinga
Nak berhibur dengan ilmu,
dijadikan untuk kita akal fikiran
Nak berhibur dengan makan minum, dijadikan mulut
Nak berhibur dengan biologi kita,
dijadikan suami atau isteri untuk kita
Kalau nak berhibur dengan makan angin,
dijadikan kaki boleh berjalan
Sedangkan itu semuanya tanpa kita minta
Waktu diciptakan kita melalui proses yang lama
Supaya kita dapat sesuaikan diri dengan kehidupan dunia
Sesuai dengan peringkat umur
Dari bayi kepada kanak-kanak, budak
muda, dewasa dan tua
Padahal Tuhan mampu jadikan manusia terus dewasa
Namun Tuhan menjadikan melalui prosesnya
Agar manusia dapat menyesuaikan diri
hidup di dunia ini dengan selesanya
Kalau manusia itu terus hidup, panjang umurnya
Untuk menyambung nyawa detik ke detik
Diberi oksigen ciptaan-Nya
Tanpa oksigen matilah manusia
Itukan kasih sayang-Nya?
Ada lagi perkara yang tidak diminta mahupun diminta
Tuhan anugerahkannya
Ada yang diminta, dikabulkan doanya
Seperti minta kaya, dikayakannya
Seperti minta pandai, dipandaikannya
Seperti minta kesihatan, disihatkannya
Waktu sakit disembuhkannya
Entah apa lagi yang kita minta atau tidak minta
Tuhan bagi kepada kita
Semuanya itu merupakan kasih sayang dari Tuhan kita
Rahmat dan nikmat-Nya kepada manusia
Di sini kita faham yang tidak kita minta
lebih banyak diberi-Nya
Bahkan lebih berharga
Yang kita minta sebahagian diberi-Nya
Tidak semua yang kita minta dikabulkan-Nya
Yang tidak diminta lebih berharga, seperti nyawa
Daripada yang diminta dikabulkan Tuhannya
seperti harta
Demikianlah, kalau kita prihatin bahawa Tuhan itu
kasih sayang-Nya kepada kita sangat tertonjol
Kalau begitu, mengapa kita tidak bersyukur kepada-Nya?
Tersembam muka menyembah-Nya?
Rukuk dan sujud untuk mengagungkan-Nya?
Kalau kita bawa berfikir
tidak patut kita derhaka pada-Nya
Kerana kasih sayang-Nya pada kita
begitu ketara dan nyata
Tapi manusia hatinya sudah buta
Atau memikirkan dunia
Rahmat dan nikmat Tuhan tidak begitu terasa
Patutlah kejayaan manusia Tuhan murka
Munasabahlah manusia mati banyak yang masuk Neraka
Kerana rahmat Tuhan yang begitu nyata tidak terasa
Seolah-olah Tuhan tiada
Seolah-olah dunia ini hasil ciptaan dan usaha manusia
Bukan anugerah Tuhan kepada manusia
Lepas Zuhur
12 - 11 - 2005
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi |
terima kasih
ReplyDeleteSubhanallah..alhamdulillah
Deleteterima kasih berkongsi ilmu
Subhanallah..alhamdulillah
Deleteterima kasih berkongsi ilmu