2. 1. FIZIKAL
3. 2. AKAL
1. Peringkat-peringkat Akal Manusia
2. Bagaimana Mengasah Akal yang Lemah
3. Kesan dari Pancaindera yang Cacat
4. Bentuk-bentuk Ilmu
4. 3. NAFSU
5. 4. ROH
6. Sajak Mari Kita Mengenal Manusia dan Bagaimana Dia Berperanan
Memperkatakan tajuk "Mari Mengenal Manusia" ertinya mengajak manusia mengenal dirinya. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Barangsiapa kenal dirinya, akan kenal Tuhannya."
Jadi kita hendak mengenal diri kita. Kalau tidak kenal diri, tidak kenal Tuhan. Semakin banyak kenal diri, makin banyak kita kenal Tuhan. Makin mendalam kita kenal diri, makin mendalam kita kenal Tuhan.
Perkataan manusia itu dalam Bahasa Melayu. Dalam Bahasa Inggeris disebut human being manakala Bahasa Arab disebut insan. Insan itu kalau diterjemah ke dalam Bahasa Melayu ertinya pelupa. Mari kita kenal bahawa manusia ialah makhluk pelupa. Bila disebut manusia atau insan, ia bukanlah satu benda yang gah. Kalau disebut, "Mari kita kenal intan," ia suatu yang berharga dan menarik. Tetapi kalau disebut, "Mari kita kenal orang pelupa," tidak ada yang indah. Intan tidak ada rasa bangga walaupun ia bernilai tetapi manusia yang pelupa ini suka bangga. Apalah indahnya bila Tuhan kata manusia ini makhluk pelupa?
Mari kita kenali makhluk pelupa iaitu manusia. Makhluk pelupa atau insan ini, ada empat unsur yang paling penting padanya. Kalau empat unsur ini tiada, dia bukan manusia atau bukan makhluk pelupa. Mungkin ia malaikat, binatang, syaitan atau jamadat iaitu benda-benda yang keras seperti kayu, batu, tanah.
Pada diri manusia ada empat unsur yang sangat penting. Ia merupakan satu pakej yang menggerakkan tenaga manusia. Satu sama lainnya, saling perlu-memerlukan. Jika terdapat salah satu yang tidak boleh bekerjasama, akan berlaku kerosakan. Oleh kerana itu keempat-empat unsur ini hendaklah dihidupkan dan dicengkam untuk membolehkan manusia berfungsi dan bergerak. Unsur-unsur itu adalah:
- Fizikal (atau dalam bahasa Arabnya, jawarih)
- Akal
- Nafsu
- Roh
PERANAN EMPAT UNSUR PADA MANUSIA
1. FIZIKAL
Anggota lahir adalah rakyat dalam diri. Ia merupakan alat yang digunakan oleh roh, akal dan nafsu. Fizikal lahir taat sahaja. Jika tiga unsur tadi tidak aktif, fizikal pun tidak aktif, menjadikan manusia itu seorang yang kaki tidur. Oleh kerana akal, roh dan nafsu tidak aktif, maka ia tidur. Anggota lahir atau fizikal tidak pandai berfikir atau merancang. Ia hanya menunggu arahan, menjadi rakyat dalam kerajaan diri.
2. AKAL
Kita perlu mengenali akal kerana ia sebahagian dari manusia. Akal itu peranan atau kerjanya menerima maklumat, pengalaman, ilmu, kemudian masuk ke otak, diproses dan disimpan. Bila perlu ia dikeluarkan semula. Proses itu dikatakan berfikir. Contohnya bila melihat cawan, maklumat itu masuk ke dalam otak, lalu ia berfikir tentang bentuknya, warnanya, diperbuat daripada apa, saiznya, gunanya, cantik atau tidak dan sebagainya. Dia tidak biarkan sahaja maklumat itu. Ini menandakan otaknya aktif. Kebanyakan umat Islam hari ini, tidak mengajak akalnya bekerja. Walaupun maklumat-maklumat sudah diperolehi, akalnya tidak memproses maklumat itu, menjadikan akalnya pasif.
Pernahkah kita melihat kilang beroperasi? Ada kilang yang tidak menggunakan mesin. Prosesnya secara manual iaitu menggunakan tangan. Ada kilang menggunakan mesin yang terhegeh-hegeh dan ada kilang menggunakan mesin yang canggih. Kalau secara manual, satu jam baru kuih boleh siap. Kalau menggunakan mesin canggih dalam masa satu minit boleh siap. Begitulah juga otak manusia, ada yang laju dan ada yang perlahan. Bila akal laju, dengar maklumat sahaja, ia boleh terus proses dan keluarkan maklumat. Akal yang perlahan, lambat memproses maklumat kerana tidak dilatih. Ini sangat merugikan.
Peringkat-peringkat Akal Manusia
Akal ada banyak peringkat iaitu:
a. Genius atau dalam Bahasa Arab, 'abqari
Genius itu pula ada di pelbagai bidang. Contohnya di bidang kedoktoran, ada seorang genius. Di bidang engineering, ada seorang genius. Dalam apa jua bidang, genius ini, dalam seratus tahun ada seorang. Genius itu manusia luar biasa yang bukan nabi. Genius ialah orang pertama yang membuat penemuan dalam apa-apa bidang. Dengan kata-kata lain, genius ialah pembuat matan. Ilmu itu betul-betul darinya. Dia originator. Kalau orang Islam, di bidang syariat, geniusnya ialah Imam Syafie dan di bidang tasawuf, Imam Ghazali.
b. Cerdik
Akal yang cerdik, bila dapat satu benda yang telah ditemui oleh orang pertama atau genius (pembuat matan), dia boleh hurai. Kalau orang pertama, dapat matan satu jilid, orang yang cerdik ini akan kaji dan hurai hingga dapat 10 jilid. Bagi orang yang tidak bersekolah, tentu menganggap orang yang boleh membuat 10 jilid itulah yang lebih bijak. Hakikatnya orang yang dapat membuat satu jilid itulah yang paling bijak kerana dia seorang genius yang dapat menghasilkan matan. Yang membuat 10 jilid itu hanya menghurai.
c. Cerdik sederhana
Iaitu pembuat hasyiyah. Dari 10 jilid tadi, pembuat hasyiyah boleh hurai hingga menjadi 20 jilid. Imam Syafie mengarang kitab Al Umm menjadi satu jilid kecil (matan). Dari Al Umm, terhasil pula kitab Tuhfah dan Majmuk oleh mereka yang memiliki akal yang cerdik dan cerdik sederhana ini.
d. Sederhana
Golongan ini ramai. Mereka boleh menerima ilmu tetapi tidak pandai hendak mengeluarkannya semula. Mereka faham tetapi susah hendak keluarkan.
e. Lemah
Golongan ini hanya faham yang asas-asas. Kalau diberi lebih daripada itu, mereka jemu dan tidak boleh faham.
f. Dungu
Perkara yang asas pun susah untuk mereka faham.
Kebanyakan manusia secara umum, akalnya seperti peringkat ketiga dan keempat iaitu cerdik sederhana dan sederhana. Peringkat pertama iaitu genius hanya berlaku 100 tahun seorang. Kita boleh agak akal kita di peringkat mana. Kalau rasul, dia special case. Dia tidak boleh dikatakan genius atau abqari. Ada istilah tersendiri iaitu dia dikatakan fathonah. Selain rasul tidak boleh dikatakan fathonah walau hebat macam mana pun. Rasul special case. Otaknya boleh terima wahyu. Kalau otak biasa terima wahyu, boleh mati. Bukti Rasulullah SAW memiliki otak yang fathonah, kadang-kadang ketika sedang naik unta, datang wahyu, terduduk unta itu di atas tanah. Peluh Rasulullah keluar sebesar biji jagung. Itu pun mungkin satu dua ayat sahaja yang turun tetapi unta pun terduduk. Jadi kalau otak tidak seperti rasul, dapat satu ayat wahyu pun tidak ada manfaat kerana boleh membawa maut.
Dalam masyarakat insan yang tidak bersatu dan tidak ada kasih sayang, ramai orang yang otaknya cerdik tetapi terbiar. Di sinilah rahsianya kemunduran umat Islam. Hari ini ada berapa ramai profesor. Orang kata profesor hebat tetapi dia jadi profesor bukan sebab dia cerdik. Otaknya sederhana tetapi dia diberi peluang. Ibu bapanya mungkin kaya atau dia dibantu oleh orang-orang tertentu. Sedangkan mungkin ada anak orang miskin yang begitu cerdik dan bijak tetapi orang tidak ambil peduli. Sekolah sampai darjah enam. Sebab itu umat Islam sudah tidak membangun sejak 700 tahun dahulu. Orang-orang cerdiknya terbiar. Ini sangat merugikan.
Banyak otak cerdik terkorban kerana tidak dapat peluang. Sebab itu, tidak perlulah tengok 100 tahun yang lalu. Kita ambil bukti yang agak dekat iaitu 50 tahun lalu. Dalam bidang bahasa, tidak ramai orang Islam, khususnya orang Melayu yang jadi pendita. Hanya ada seorang iaitu Zaaba. Apakah tidak ada orang lain yang cerdik? Ada tetapi terpinggir. Masyarakat kampung tidak peduli. Sebab itu profesor ramai tetapi tidak ada seorang pun jadi pendita. Berapa ramai profesor yang ada, tetapi tidak ada seorang pun yang boleh hasilkan 50 buku. Yang ada, tesisnya sahaja. Akhirnya umat Islam rugi. Orang Islam sekarang tidak lagi boleh mencabar dunia.
Semenjak 50 tahun yang sudah, mana ada lahir seorang pujangga selepas kematian Hamka dan Agus Salim. Kenapa? Sebab yang cerdik tidak diberi peluang. Yang berilmu sekarang ini, orang yang tidak cerdik tetapi diberi peluang. Akhirnya yang rugi adalah orang Melayu. Selepas Agus Salim, Hamka, Mustafa Abdul Rahman, mana ada penulis besar. Penulis artikel ramai tetapi penulis buku-buku tebal, tidak ada. Mana ada pengganti. Sebab orang-orang pandai sekarang bukan sebab otaknya baik tetapi sebab diberi peluang. Orang yang otaknya geliga, tidak sekolah. Dia tidak mampu. Masyarakat biarkan. Akhirnya negara yang rugi.
Bagaimana Mengasah Akal yang Lemah
Orang yang otaknya memang lemah, kalau dia mujahadah, dia belajar, dia boleh jadi pandai tetapi tidak cerdik. Cerdik itu anugerah Tuhan. Mungkin dia boleh jadi profesor.
Pandai dan cerdik itu berbeza. Pandai itu kerana banyak belajar dan kumpul ilmu. Cerdik itu otak yang tajam. Orang pandai tidak semestinya cerdik. Kalau orang itu pandai dan cerdik, itu lagi hebat.
Hamka tidak ada kelulusan. Agus Salim dan Mustafa Abdul Rahman juga tidak ada kelulusan. Zaaba setakat sekolah menengah tetapi dia dapat jadi pendita. Mereka itu cerdik. Kalau diberi peluang, mereka boleh jadi pandai.
Otak macam kita, kalau hendak jadi pandai, kena usaha lebih tetapi kalau otak cerdik, mengaji lebih kurang sahaja sudah memadai.
Mao Tse Tong, ketua komunis China yang ada dua juta pengikut hingga Barat dan Amerika tercabar. Dia hanya peon (office boy). Genius otaknya. Dia jadi peon di sebuah universiti. Dia tidak ada peluang belajar. Dia hanya mencuri-curi dengar kuliah hingga akhirnya boleh mencabar Amerika dan Barat.
Kaitan Akal dengan Pancaindera
Pancaindera itu akan aktif bila akal, nafsu dan roh sudah aktif. Kalau roh tidak aktif, akal tidak berfikir, nafsu tidak bertindak, fizikal termasuk pancaindera pun tidaklah aktif sebab ia adalah rakyat atau tentera. Kalau tidak diarah, ia tidak aktif.
Kesan dari Pancaindera yang Cacat
Lihat saluran mana yang penting. Antara mata dan telinga, telingalah yang penting. Orang buta, kalau telinganya boleh dengar, dia boleh jadi pandai. Tapi kalau orang tidak boleh dengar, otak cerdik pun tidak guna sebab saluran maklumat sudah terputus. Bagi orang yang cacat mata dan telinganya serentak, itu dianggap tidak mukalaf, dia masuk Syurga percuma.
Bentuk-bentuk Ilmu
Ilmu ada dua yakni:
- i. Ilmu kasbi
Yakni ilmu yang diperolehi dari hasil usaha. Kena belajar, kena mentelaah, kena berguru dan kena masuk sekolah. - ii. Ilmu wahbi
Yakni ilmu yang datang dari Tuhan, yang dianugerahkan tanpa usaha. Kalau bagi rasul, ianya wahyu. Kalau bagi wali, ia adalah ilham. Ilham itu ilmu laduni.
3. NAFSU
Nafsu peranannya berkehendak. Dia pendorong. Tanpa nafsu, manusia tidak boleh hidup sebagai manusia. Kalau nafsu itu terdidik, ia akan mendorong manusia kepada kebaikan dan kepada mentaati Tuhan. Kalau ia tidak terdidik, ia akan mendorong kepada kejahatan dan jalan syaitan. Ia akan jadi kawan dan kroni syaitan. Tuhan berfirman:
Maksudnya: "Sesungguhnya nafsu itu sangat menyuruh kepada kejahatan." (Yusuf: 53)
Nafsu kena dididik. Nafsu adalah musuh utama manusia. Ia adalah musuh dalaman. Musuh kedua adalah syaitan. Syaitan musuh luaran. Syaitan meniti di atas nafsu. Nafsu ini ada peringkat-peringkatnya. Peringkat-peringkat nafsu ini dibahas dengan lebih lanjut di bahagian E (Pendidikan), Bab 3, di bawah tajuk, 'Bagaimana Mendidik Manusia.'
4. ROH
Roh itu dikatakan juga hati atau jiwa. Peranannya ialah untuk merasa. Merasa susah, senang, suka, duka, takut, cemas, bimbang, risau, resah, gelisah, gembira, sedih dan sebagainya. Ia raja di dalam diri. Roh terbahagi kepada dua iaitu:
- Ruhul hayah
- Ruhul tamyiz
Ruhul Hayah
Roh ini terdapat pada semua makhluk yang bernyawa termasuk manusia, malaikat, jin, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ruhul hayah ini peranannya ialah menghidupkan.
Ruhul Tamyiz
Ia dinamakan juga ruhul amri. Ia roh yang berperanan menjadikan makhluk itu mukalaf, yakni yang bertanggungjawab untuk membangunkan syariat. Ruhul tamyiz memikul beban untuk membangunkan apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Makhluk yang mempunyai ruhul tamyiz termasuklah manusia, malaikat dan jin.
Roh manusia itu sensitif dan selalu berubah-ubah. Sekejap baik dan sekejap jahat. Perubahan ini berlaku terlalu cepat hingga susah kita hendak mengesannya. Sifat-sifat roh terbahagi kepada dua iaitu:
- Sifat-sifat mahmudah (sifat baik atau positif) seperti zuhud, ikhlas, tawadhuk, amanah dan lain-lain.
- Sifat mazmumah (sifat keji atau negatif) seperti riyak, ujub, sombong, pemarah dan sebagainya.
Sajak Mari Kita Mengenal Manusia dan Bagaimana Dia Berperanan
Maha Besar dan Maha Suci Tuhan yang menjadikan
di dalam diri manusia ada empat anasir
yang berfungsi dan berperanan
Jasad, roh, nafsu dan akal yang merupakan satu pakej kejadian manusia yang luar biasa dan berperanan
Keempat-empat anasir itulah yang bertindak
bekerjasama satu sama lain menggerakkan manusia
di dalam kehidupan.
Sama ada manusia sedar atau tidak sedar
begitulah diri manusia itu bertindak
di waktu hidupnya
Kalau semua anasir itu sihat dan sama-sama dewasa
dan matang, ia akan jadi manusia luar biasa
tetapi jarang berlaku
Peranannya sangat mengkagumkan, beruntunglah
kalau satu bangsa itu ada rakyatnya begitu
bukan sahaja individunya beruntung
Mari kita mengenal manusia lahir dan batinnya
Agar kita kenal diri kita dan kenal juga orang lain
dan mengenal watak dan sikap manusia
untuk pandai mendidiknya
Jasad lahir tidak perlu diperkata
kerana mudah manusia mengenalnya
Kita akan perkatakan tiga anasir yang penting sahaja kerana susah difaham oleh manusia yang ramai
Tugas roh hanya merasa
Seperti rasa marah, rasa suka, rasa takut, rasa cemas
rasa sedih, rasa gembira, rasa senang
rasa meradang, rasa dendam, rasa sayang
rasa cinta, rasa simpati, rasa jijik, rasa dengki
rasa pelik, rasa lega dan sebagainya
Nafsunya peranannya berkehendak atau merangsang
Tugas nafsu hanya merangsang dan berkehendak
Kehendaknya sama ada baik atau jahat
kehendaknya semula jadi sangat gelojoh
rakus, tamak dan bakhil
Kemahuannya sangat luar biasa, tidak ada batasnya
macam laut tidak bertepi, kalau hendak diikutkan badan boleh merana, terseksa dan binasa
Tugas akal lain pula
ia mempunyai peranan yang tersendiri
Akal hanya memikir, mengkaji, mencari ilmu
menerima maklumat dan pengalaman
kemudian menilai, menapis
menyimpan dan mengeluarkan
Akal IQnya pula ada enam kategori atau enam peringkat eloklah diketahui oleh ibu bapa, guru-guru
dan para pemimpin
Akal genius atau abqari
kekuatan berfikir yang luar biasa dan istimewa mungkin seratus juta seorang di dalam satu zaman
Akal ini mampu membuat teori
atau membuat penemuan-penemuan baru
dikatakan membuat matan satu-satu ilmu
Selepas itu akal cerdik
boleh dan mampu menghurai teori-teori tadi
atau matan hingga mudah difaham oleh ramai
Mungkin 10 juta seorang sahaja yang mendapat IQ ini
Sesudah itu IQ cerdik biasa
boleh memahami sebahagian apa yang sudah dihurai dan diperjelas jika seseorang itu
diberi pelajaran yang cukup
Golongan ini agak ramai, ibu bapa dan guru-guru
para pemimpin juga patut dapat menilai
Di bawah ini hanya IQ biasa
tidak cerdik dan tidak pula bodoh
itulah yang teramai di dunia ini
Di bawah ini ada lagi IQ, iaitu yang bodoh
dan yang dungu tapi golongan ini
tidak ramai bilangannya
IQ ini tidak mampu mempelajari ilmu-ilmu yang dalam dan tinggi-tinggi
Kalau didorong pun tidak boleh pergi
mungkin setakat darjah rendah sahaja
atau sekolah dasar
Roh ada empat kategori pula
roh yang bercahaya, roh yang bersih
roh yang kabur dan roh yang hitam-legam
Setiap peringkat roh ini ada hubungan
dengan sejauh mana baiknya dan jahatnya nafsu
Nafsu pula ada 7 peringkat:
- Ammarah nafsu yang sangat jahat.
- Lawwamah nafsu yang lemah mujahadah
kerana itulah selalu sahaja mencerca dirinya - Mulhamah nafsu yang sudah mula terpimpin
dan terdidik tapi belum kuat, belum mendarah mendaging, masih di dalam kebimbangan lagi
Itulah nafsu orang yang soleh - Nafsu Mutmainnah, nafsu yang sudah tenang
Ia tidak dapat lagi digugat oleh kesenangan
mahupun kesusahan, sudah dapat darjat wali kecil - Nafsu Radhiah, nafsu yang sudah redha
apa sahaja yang telah ditentukan oleh Allah Taala sama ada senang mahupun susah - Nafsu Mardhiah, nafsu yang Tuhan pula redha
- Nafsu Kamilah kemuncak kebersihan nafsu
ini hanya ada pada rasul-rasul
dan para nabi sahaja
Jasad lahir ia hanya tentera-tentera
atau pekerja-pekerja suruhan hati
ia hanya taat semata-mata
sama ada kepada kebaikan mahupun kejahatan
Jasad hanya perlu dijaga kesihatannya
Agar mampu melaksanakan arahan hati
raja di dalam diri
Jika ia sihat, ia akan cergas dan aktif
serta tahan lasak melaksanakan kehendak
raja diri iaitu kehendak hati
Oleh itu kesihatan badan kenalah juga
diusahakan dan dijaga
Makanannya hendaklah diberi
zat-zat makanan yang boleh menjaga kesihatannya hendaklah diusahakan
Keempat-empat anasir di dalam diri manusia
bekerjasama satu sama lain jika ia hendak bertindak
Sama ada tindakannya itu baik mahupun jahat.
Mula-mula hati atau roh (raja diri) merasa
Kemudian rasa itu dihantar kepada nafsu
maka nafsu pun berkehendak atau merangsang
untuk mahu bertindak
Selepas itu ia hantar pula kepada akal
bagaimana hendak melaksanakan
maka akal pula yang memikirkan
Sesudah ada keputusan dari akal, ia arahkan
seluruh anggota bertindak, untuk mendapatkannya
Jika Tuhan kehendaki berjaya, maka berjayalah
jika Tuhan tidak mengkehendaki, maka gagallah
Itulah dia manusia dan bagaimana dia berperanan
ketahuilah ilmu ini untuk pandai mendidik manusia
Selesailah sudah, maaf kalau salah
Menjelang Zuhur & Asar
01 - 06 - 2004
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment