2. BAGAIMANA RASULULLAH MEMBANGUNKAN BANGSA ARAB
3. JANJI TUHAN UNTUK MASYARAKAT BERTAQWA
Ajaran Islam bukan sahaja mengandungi hukum-hakam, fardhu ain, fardhu kifayah serta bagaimana untuk beribadah serta menyembah Tuhan. Bahkan Tuhan di dalam ajaran-Nya mengajar umat Islam bagaimana hendak menjadi satu bangsa yang kuat dan berdaulat hingga dunia ini boleh dicatur dengan ajaran Tuhan. Hasilnya bukan sahaja umat Islam dapat manfaat tetapi orang bukan Islam juga dapat manfaat di dunia ini. Hal inilah yang jarang diajarkan iaitu bagaimana hendak membangunkan satu bangsa yang berkasih sayang, bersatu padu, rasa bersama dan bekerjasama, boleh berdaulat dan menjadi empayar.
Tuhan berjanji Islam akan bangkit dan menguasai dunia sekali lagi bermula dari Timur. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Daripada Ibnu Umar r.a., bahawa Rasulullah SAW sambil memegang tangan Sayidina Ali, baginda berkata: "Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu meyakini demikian itu hendaklah bersama Pemuda dari Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang panji-panji Al Mahdi." (Riwayat At Tabrani)
Sejak umat Islam di seluruh dunia ini dijajah, tidak kira apa bangsanya, sama ada Arab, Melayu, Pakistan, Turki dan lain-lain, selepas merdeka mereka ingin kuat dan menjadi satu bangsa yang berdaulat. Setidak-tidaknya menjadi negara yang boleh berdikari. Namun kaedah dan formula yang digunakan tidak merujuk kepada Islam dalam segala hal. Bahkan mereka merujuk kepada ajaran dan sistem dari Barat, sedangkan mereka adalah Islam.
Akhirnya walaupun umat Islam sudah merdeka 40-50 tahun, cuba tunjukkan satu negara umat Islam yang kuat? Bahkan negara-negara yang sudah lebih lama merdeka pun masih lemah. Umat Islam belum menggunakan formula dari Tuhan yang dicontohkan oleh Rasulullah.
LATAR BELAKANG SEJARAH PERJUANGAN RASULULLAH
Mengapa Allah utuskan Rasulullah kepada satu bangsa yang paling lemah waktu itu dan tiba-tiba bangsa itu menjadi empayar? Supaya siapa yang hendak menguatkan bangsa dan negaranya mengambil contoh dari Baginda. Tuhan contohkan Rasulullah yang diutuskan di kalangan negara dan bangsa yang paling mundur ketika itu. Berikut adalah gambaran bangsa Arab waktu itu:
- i. Waktu itu bangsa Arab paling miskin dibandingkan dengan Rom, Parsi dan negara China
- ii. Bangsa Arab waktu itu sangat berpecah belah, suka berperang sesama etnik dan kabilah sejak beratus tahun. Kadang-kadang kerana seekor kambing atau perkara-perkara kecil, kabilah itu boleh berperang selama seratus atau dua ratus tahun. Kalau ada seseorang hendak pinang anak gadis dalam kabilah itu, syaratnya dia kena penggal kepala musuh sebagai mas kahwin.
- iii. Ekonominya dikuasai Yahudi terutama di Madinah. Orang Arab jadi hamba. Barang mentah dikawal oleh Yahudi. Ia diproses, dijual dengan harga yang mahal.
- iv. Mereka hidup secara primitif dan semula jadi.
- v. Mereka tidak tahu membaca dan menulis. Contohnya, dalam kabilah Sayidina Umar, hanya dia seorang sahaja yang boleh membaca dan menulis. Paling banyak dalam sesuatu kabilah hanya dua atau tiga orang sahaja yang celik huruf.
- vi. Lantaran itu, bangsa Arab ketika itu sentiasa dijajah oleh dua empayar besar iaitu Rom dan Parsi. Kadang-kadang oleh Rom dan kadang-kadang oleh Parsi. Rom dan Parsi sentiasa berperang kerana hendak wujudkan kuasa di negara Arab itu.
Bilamana Allah hendak utuskan Rasul-Nya, Allah tidak utuskan kepada Rom dan Parsi. Kalau kepada Parsi tentu lebih mudah kerana bangsa itu sudah bertamadun, boleh membaca dan menulis. Begitu juga kalau diutus kepada Rom, sudah ada ramai ahli falsafah seperti Aristotle, Plato dan lain-lain. Kalau Rasulullah diutus kepada bangsa Rom sudah tentu Rasulullah mengambil masa tiga tahun sahaja untuk didik bangsa itu menjadi empayar kerana mereka memang cerdik, tinggal hendak diberi iman sahaja.
Tetapi Allah sengaja utuskan Rasulullah kepada bangsa Arab yang waktu itu sangat dahsyat kerosakannya. Namun satu rekod di dalam sejarah kepimpinan dunia, Rasulullah ambil masa 23 tahun sahaja. Bukan sahaja bangsa Arab jadi berdaulat bahkan menjadi empayar, jadi guru kepada dunia hingga Barat menjadi murid kepada Islam.
BAGAIMANA RASULULLAH MEMBANGUNKAN BANGSA ARAB
Bagaimana Rasulullah mendidik bangsa Arab yang begitu dahsyat?
Allah utus Rasulullah sekitar 22 tahun 2 bulan 22 hari. Maha Bijaksana Tuhan, dengan kaedah-kaedah dari Tuhan, bangsa yang tidak berguna pada dunia boleh jadi empayar. Cerdiknya Rasulullah apply ilmu dari Tuhan untuk bangsanya. Bagaimana? Oleh kerana Al Quran bersifat ilmu, ia bukan mudah difahami. Jadi mari kita melihat praktikal yang Rasulullah buat:
Rasulullah berjuang dalam dua peringkat, pertama peringkat Mekah dan kedua peringkat Madinah. Allah turunkan wahyu Al Quran pula, ada ayat Makkiyah dan ada ayat Madaniyah.
Rasulullah ambil masa 13 tahun untuk bangunkan roh manusia dan menanamkan rasa takut dan cintakan Tuhan di peringkat Mekah. Dalam masa 13 tahun itu para Sahabat belum diajar berpuasa, tidak dibenarkan berjihad dan tidak dibangunkan ekonomi. Bahkan sembahyang pun hanya diperintahkan setelah 11 tahun Rasulullah menjadi rasul. Kerana apa erti menyembah Tuhan kalau rasa bertuhan tidak ada, Tuhan tidak dicintai dan tidak ditakuti.
Maka Rasulullah menanamkan rasa bertuhan hingga manusia mabuk dengan Tuhan. Hingga orang-orang kafir melihat orang-orang Islam seperti orang-orang gila. Mereka menganggap Rasulullah menyihir para Sahabat kerana mereka begitu fanatik dengan Rasulullah.
Selepas 13 tahun, lahirlah peribadi-peribadi mulia di kalangan para Sahabat yang benar-benar cinta dan takutkan Tuhan. Bila takut Tuhan, takut hendak buat salah dengan orang lain. Bila cinta Tuhan, automatik berkasih sayang sesama manusia. Lahir kasih sayang luar biasa. Waktu itulah Allah pindahkan Rasulullah ke Madinah.
Waktu itu barulah datang hukum halal haram, perintah jihad, perintah bagaimana hendak bangunkan ekonomi, bagaimana hendak berhadapan dengan Yahudi. Juga bagaimana berhadapan dengan orang yang tidak mahu ikut tetapi tidak menentang dan bagaimana menghadapi orang yang menentang.
Bila cinta Tuhan, timbul cinta sesama manusia. Maka lahirlah masyarakat yang luar biasa, bersatu padu, sangat memikirkan hal orang lain, bertanya-tanya khabar sesama kawan seperjuangan. Bila ada yang miskin, tidak payah sampaikan ke pihak pemerintah. Masing-masing tahu dan berebut-rebut untuk membantu atau memberikan pertolongan. Jadilah orang miskin lebih senang dari orang kaya.
Contohnya, katalah dalam satu masyarakat kampung, hasil kenal-mengenal, penduduk tahu siapa yang kaya dan siapa yang miskin. Seorang yang orang tahu dia kaya maka orang tidak fikirkan sama ada dia makan atau tidak sebab dia kaya. Tapi kalau masyarakat kampung tahu ada seorang yang miskin, masing-masing beri makanan sehingga banyak makanannya setiap hari. Hinggalah terjadi orang miskin begitu kaya-raya dengan rezeki manakala orang kaya hanya kaya biasa.
JANJI TUHAN UNTUK MASYARAKAT BERTAQWA
Kesan dari Rasulullah menanamkan rasa cinta dan takutkan Tuhan yang sangat mendalam di hati para Sahabat, kesan dari tauhid yang benar-benar dihayati, bangsa Arab jahiliah bertukar menjadi suatu bangsa baru yang kuat dan berwibawa. Mereka sangat menyintai Tuhan dan kasih sesama manusia.
Gambaran masyarakatnya ialah gambaran masyarakat bertaqwa. Bila bertaqwa, apa janji Tuhan di dalam Al Quran? Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Dan apabila penduduk sebuah kampung beriman dan bertaqwa, Kami (Tuhan) akan bukakan ke atas mereka berkat dari langit dan bumi." (Al A'raf: 96)
Untuk masyarakat bertaqwa Tuhan melimpahkan berkat dan rahmat-Nya di dalam setiap apa yang mereka perjuangkan. Berkat dalam ekonomi, masyarakat, pendidikan, kebudayaan dan lain-lainnya. Tuhan beri berkat kalau untuk orang biasa dapat satu, orang bertaqwa dapat 10. Kalau berekonomi orang biasa dapat 1000, orang bertaqwa dapat 10i000. Seorang bertaqwa boleh lawan 10 orang yang tidak bertaqwa.
Dalam 23 tahun perjuangan Rasulullah, umat Islam berperang sebanyak 74 kali. Setiap kali perang, jumlah musuh lebih ramai dan senjata mereka lebih banyak. Cuma sekali sahaja tentera Islam kalah. 73 kali menang. Telah berlaku golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang ramai. Begitulah yang Allah maksudkan, "Bilamana penduduk sebuah kampung atau satu kelompok itu benar-benar beriman dan bertaqwa, Kami Tuhan akan datangkan berkat dari langit dan bumi." Para Sahabat berjuang dengan hati yang cintakan Tuhan hingga mereka sanggup mati demi Allah dan Rasul-Nya.
Setelah Rasulullah wafat disambung oleh Khulafa ur Rasyidin. Bila bertaqwa, Tuhan lembutkan hati orang untuk menerima Islam. Tidak perlu berperang kecuali di sesetengah tempat seperti di Syria dan Iraq. Kebanyakan negara lain, apabila mendengar sahaja tentera Islam hendak datang, mereka berkata, "Ahlan wa sahlan. Kami sudah lama tidak tahan dengan kerajaan yang ada. Silalah masuk."
Sahabat datang ke China tanpa perang. Orang China melihat Sahabat ambil wudhuk sahaja mereka terus masuk Islam. Itulah taqwa para Sahabat. Inilah yang kita perlu contohi. Saidi Abdul Aziz, seorang ulama sufi dari Iraq datang ke Melaka lebih kurang 600 tahun yang lepas. Sampai di pantai, dia sembahyang. Waktu itu orang Melayu masih beragama Hindu. Apabila melihat Saidi sembahyang, rakyat memaklumkan kepada Sultan. Sultan sampai ke pantai dan hatinya terpikat melihat Saidi Abdul Aziz sembahyang. Sultan dan Saidi Abdul Aziz waktu itu berlainan bahasa, bangsa dan agama, lalu hanya menggunakan bahasa isyarat. Kerana taqwanya Saidi Abdul Aziz, secara isyarat pun, Sultan boleh faham lantas memeluk agama Islam. Maka rakyatnya pun masuk Islam, tanpa perang. Hanya dengan kasih sayang dan kekuatan roh.
Mengapa negara-negara Islam seluruh dunia tidak belajar dari sejarah ini? Mengapa ambil kaedah-kaedah lain? Akhirnya kita terhina.
Islam ada kaedah sendiri. Membangunkan bangsa bukan dengan kekuatan ekonomi atau pembangunan lahiriah. Umat Islam akan menjadi bangsa yang kuat apabila mereka dikuatkan dengan Allah. Rasa takut dan cintakan Tuhan akan melahirkan rasa cinta sesama manusia. Dari situ akan lahir perpaduan dan kekuatan bangsa tersebut.
Sajak
Orang Bertaqwa Aset Negara
dan Ummah
Orang-orang bertaqwa
adalah aset negara dan ummah
Dari merekalah turunnya berkat dan rahmat
Kemakmuran wujud, kemewahan melimpah ruah
kerana mereka
Disebabkan mereka rezeki murah
keamanan wujud, bala dijauhkan
Tapi ramai manusia yang tidak sedar
dan tidak mengerti soal ini
Bahkan setengah manusia bermusuh
dengan mereka
Mereka difitnah, disusahkan
bahkan adakalanya mereka dibuang
daripada tanah airnya
Manusia menganggap aset negara itu
ialah bahan-bahan mentah yang berharga
Bangunan yang komersil, harta yang tersimpan
mata benda yang bernilai
kenderaan yang mahal
Mereka tidak terfikir orang yang bertaqwa
adalah aset negara
Adanya mereka terjatuhnya pandangan Tuhan
Kepada merekalah keredhaan Tuhan
Kerana mereka adalah orang Tuhan
dan kesayangan-Nya
Keberadaan mereka, orang ramai mendapat
keselamatan dan perlindungan
Awaslah jangan sampai bermusuh dengan mereka
Memusuhi mereka laksana memakan racun
Siapa memakan racun pasti binasa
Ertinya Tuhan akan mendatangkan bala bencana
di dalam negara
Kesusahan yang akan menimpa
adalah merata manusia
Takutilah Allah pada mereka
Kalau tidak boleh mengikut mereka
jangan bermusuh dengan mereka
Kita akan nahas dan bahaya
Menjelang tidur
23 - 04 - 2000
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment