Monday, 11 April 2011

Tunjukilah Kami Jalan Yang Lurus

APAKAH JALAN TUHAN ITU?

Ayat keenam dan ketujuh Surah Al Fatehah ialah:

Maksudnya:

'Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat kepada mereka dan bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat."

(Al Fatehah: 6-7) - "Perkenankanlah."

Kalau kita imbas kembali ayat-ayat yang lepas, setelah kita faham dan benar-benar kenal Tuhan, yakni setelah Allah perkenalkan diri-Nya maka Allah suruh sembah dan minta tolong dari-Nya. Setelah kita kenal Tuhan, akui Tuhan, maka kita disuruh meminta pada-Nya. Meminta itu pun Tuhan yang ajar. Kalau Tuhan tidak ajar, kita pun tidak tahu meminta. Begitulah lemahya manusia.

Apakah yang Tuhan suruh kita minta? Tuhan suruh minta jalan yang lurus iaitu jalan yang telah diberikan kepada rasul, nabi dan wali-wali. Walaupun di situ tidak disebut nabi, rasul dan wali-wali tetapi ada Hadis yang sebut. Hadis itulah yang mentafsirkan ayat ini. Ada ayat Quran yang ditafsir oleh ayat lain, ada yang ditafsir oleh Hadis atau atsar (pendapat Sahabat). Sebab itu bila mentafsirkan ayat Quran, yang mana Quran tidak tafsirkan, terpaksa cari hadis untuk tafsirkan.

Maksud ayat "... jalan orang-orang yang telah Engkau berikan nikmat..." itu umum. Macam mana yang dikatakan jalan nabi, rasul dan wali-wali itu?
Di sini nampaknya tidak dikhususkan apa dan dari sudut mana yang dikatakan jalan nabi dan rasul, sama ada ibadahnya, akhlaknya atau lain-lain. Hanya disebut jalan. Ini pun perlu ditafsirkan.

Bila dikatakan jalan, watak jalan ini, walau apa pun bentuk dan apa sifatnya tetapi baik buruknya sama. Cuba tengok jalan di dunia. Bila dikatakan jalan maka ciri-cirinya ialah:

1. Mesti ada panduan jalan raya.
2. Ada papan-papan tanda, lampu-lampu isyarat. Semua itu ada maksudnya.
3. Ada disiplin.

Bila orang menempuh jalan raya itu, kadang-kadang kita lihat orang kemalangan, masuk gaung atau berlanggar sesama sendiri. Itulah sifat jalan raya.
Oleh kerana jalan raya dunia ini bersifat maddi (fizikal) yang dapat dilihat maka mudah dibantu oleh akal fikiran. Lebih ramai orang yang selamat dari yang tidak selamat ketika melalui jalan raya dunia itu.

Jalan Tuhan tidak boleh dilihat. Adakalanya akal pun tidak boleh melihat jalan Tuhan itu. Yang boleh melihatnya adalah roh. Kadang-kadang roh dibantu juga oleh akal. Kalau dengan akal semata-mata, ia tidak boleh melihat jalan Tuhan itu. Akal boleh bantu roh atau hati hanya jika hati boleh melihatnya. Jadi jalan Tuhan; jalan yang pernah ditempuh oleh para nabi, rasul, wali atau setidak-tidaknya oleh orang soleh itu; bersifat rohaniah dan maknawiah. Hanya sedikit yang bersifat lahiriah.

Bila dikatakan jalan, ada undang-undang, peraturan atau syariat. Jalan di dunia ini bersifat lahir maka boleh dilihat dan boleh dibantu pula oleh akal. Itu pun ramai orang masuk gaung atau bertembung. Jalan yang kita boleh nampak itu pun setiap hari berlaku pelanggaran. Di jalan Tuhan, untuk menuju Tuhan dan Akhirat, yang bersifat rohaniah, yang mata dan akal tidak dapat lihat itu tentu lebih banyak berlaku kemalangan. Di jalan raya dunia, 90% manusia selamat, 10% tidak selamat. Sebaliknya di jalan Tuhan, yang selamat 10%, manakala yang tidak selamat 90%.

Jalan dunia tidak sentiasa kita lalui kecuali apabila perlu sahaja. Sedangkan jalan Tuhan setiap detik, setiap naik turun nafas kita lalui tetapi kita tidak sedar. Padahal itulah jalan Tuhan menuju Akhirat. Sepatutnya kita cemas apakah kita boleh selamat atau tidak. Kalau kita tidak faham peraturan, di mana ada selekoh, bangunan dan lain-lain, jangan-jangan setiap detik kita jatuh gaung atau terlibat dengan kemalangan tetapi kita tidak terasa sebab ia bersifat maknawi dan rohani.

Jalan raya dunia yang bersifat maddi, walaupun ada peraturan dan undang-undang, cukup dengan sekali belajar, orang sudah boleh guna. Namun demikian jalan menuju Tuhan, tidak boleh begitu. Setiap diri perlu ada guru mursyid. Setiap orang yang hendak selamat di jalan Tuhan, mesti ada mursyid. Kalau mursyid tidak ada di depan, kita boleh masuk gaung yakni masuk Neraka. Wal'iyazubillah. Bukankah amat sulit? Malangnya, bagi kebanyakan orang, untuk melalui jalan maknawi dan rohani ini, masing-masing jadi mursyid dirinya sendiri. Tentulah berlaku kemalangan. Jika untuk jalan di dunia, bolehlah begitu tetapi tidak bagi jalan ke Akhirat.

Bila kita katakan jalan bersifat maknawi dan rohani, ertinya ia tidak dapat dilihat oleh mata. Tuhan suruh kita minta jalan itulah iaitu jalan para rasul, nabi, wali atau paling tidak jalan orang soleh. Hari ini di depan kita tidak ada rasul, nabi atau wali. Sudahlah jalannya sulit, orang yang hendak ditiru pun tidak ada. Kalaupun ada mujaddid atau mursyid tetapi kalau kita tidak ada ilmunya, tidak boleh juga. Jadi kita mesti ada ilmu.

APAKAH JALAN TUHAN ITU?

Jalan Tuhan bersifat rohani, maknawi dan lahir. Tiga pakej ini mesti selaras. Ertinya tiga jalan inilah jalan para rasul, nabi, wali dan orang soleh. Tiga jenis jalan ini mesti dalam satu pakej yang tidak boleh terpisah antara satu sama lain.

Mari kita lihat ilmunya. Jalan Tuhan bersifat rohani, maknawi dan sedikit bersifat lahir. Ertinya, bila kita minta jalan yang lurus, kita minta supaya perjalanan rohani kita macam perjalanan rohani para wali, nabi dan rasul. Begitu juga perjalanan fikiran biarlah macam perjalanan fikiran para wali, nabi dan rasul. Seterusnya perjalanan hidup yang lahir juga macam perjalanan lahir mereka. Apa maksudnya?

Ertinya, macam mana nabi dan rasul berperasaan, maka begitulah kita mesti berperasaan. Macam mana nabi dan rasul berfikiran, begitulah hendaknya kita berfikiran. Begitu juga di sudut perjalanan lahir kita mestilah sama dengan para rasul, nabi dan wali. Kalau hendak dihurai lagi, roh mereka itu berperasaan sebagaimana yang Tuhan kehendaki yakni rasa bertuhan, takut dengan Tuhan, cinta dengan Tuhan, rasa hamba, merendah diri, sabar, rasa berdosa, sedih dengan dosa, bertimbang rasa, kasih sayang sesama manusia, susah dengan kesusahan manusia dan senang dengan kesenangan manusia. Itulah jalan Tuhan yang bersifat rohaniah.

Ilmu yang dimiliki oleh mereka, adalah ilmu yang diasaskan dari Quran dan Hadis sama ada dari segi ibadah, akhlak, perjuangan, bermasyarakat, ekonomi, pendidikan, pentadbiran dan lain-lain. Ilmu mestilah bersumberkan wahyu dan sunnah. Dari Quran dan Hadis, kita tahu apa yang haram, halal, fardhu ain dan lain-lain. Ilmu ini mesti berjalan dalam semua aspek. Contohnya dalam ibadah, ada yang wajib, sunat, haram, dan makruh. Begitulah juga di sudut-sudut lain seperti kebudayaan, politik dan ekonomi. Yang disuruh, kena buat. Yang tidak boleh, kena ditinggalkan. Itulah jalan maknawi.

Bila bertindak, kita nampak bahawa dalam apa perkara pun, inilah tiga pakej yang selari, yang datang dari Tuhan dan yang pernah ditempuh oleh nabi, rasul serta wali-wali.

Itu maksudnya perjalanan akal, fikiran yang bersumberkan Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Hendak tempuh jalan ini, amatlah sulit. Walaupun sudah belajar ilmu maknawinya, contoh ikutannya tidak ada. Alangkah sulitnya. Sebab itu ramai yang gagal. Kita berjalan di atas satu jalan tetapi rupanya di hujung jalan itu ialah Neraka. 90% manusia masuk Neraka. Hanya 10% ke Syurga.
Jalan yang saya bahas tadi ada Tuhan sebut di dalam Al Quran:

Maksudnya:

"Dan jangan ambil jalan yang banyak, kerana ia akan memecah belahkan kamu dari jalan-Nya."

(Al An'am: 153)

Bila kita bahas lagi yang bersifat maknawiah, jalan inilah yang Tuhan maksudkan. Sesungguhnya jalan ini jalan yang lurus. Maka hendaklah kita tempuh. Tuhan kata, jangan tempuh jalan yang banyak, nanti akan berpecah belah sesama sendiri. Apa maksud Tuhan?

Lurus itu ertinya Tuhan, rasul dan umatnya itu lurus di atas satu garisan. Kemudian Tuhan beri amaran, "Jangan ambil jalan yang banyak". Apakah jalan yang banyak itu? Ada yang bersifat rohani, maknawi dan ada yang bersifat lahir. Ayat ini ditujukan pada setiap generasi.

Apa maksud saya pada setiap generasi? Dari kurun pertama Islam hingga hari ini sudah 1500 tahun. Generasi di kurun pertama Islam dan kedua tidak sama. Makin ramai manusia, kemajuan makin banyak dan ajaran-ajaran bertambah. Kalau di sesuatu zaman itu ada kapitalisme dan feudalisme maka jangan ikut jalan itu. Itu contoh bagi yang bersifat politik. Yang bersifat agama, ada Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan lain-lain. Maka jangan ditempuh jalan-jalan itu, nanti kita akan berpecah belah.

Jika di zaman Rasulullah, 'jalan yang banyak' itu ada enam atau tujuh jalan, hari ini jalan-jalan itu sudah bertambah banyak. Sedangkan jalan-jalan itu pun bersifat rohani, maknawi dan lahir. Kalau zaman Rasulullah ada sedikit, kini mungkin ada 30 jalan yang mengganggu jalan yang lurus itu. Jadi banyak kesesatan berlaku di akhir zaman. Sebab jalan-jalan lain sudah banyak mengganggu jalan Tuhan. Misalnya jika ada 40 jalan dan kita disuruh pilih satu jalan, tentu kita kena belajar untuk dapat tempuhi jalan yang betul.

Itulah ayat yang mentafsir ayat keenam Al Fatehah: "Tunjuki kami jalan yang lurus..."
Satu lagi ayat yang berhubungan dengan jalan yang lurus ini ialah:

Maksudnya:

"Dan mereka yang berjihad di jalan Kami nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang melakukan kebaikan."

(Al Ankabut: 69)

Maksud ayat ini, setelah kita dapat ilmunya maka nafsu sudah bersedia untuk dihalakan pada apa yang Tuhan kehendaki. Itulah jalan mujahadah. Kemalangan yang berlaku di jalan-jalan di dunia adalah akibat tidak mahu mujahadah.

Jalan menuju Tuhan perlu mujahadah. Kalau tidak, kita tidak akan jadi baik. Dalam ayat di atas, Tuhan tidak sebut Dia akan bantu atau tolong orang-orang yang melakukan kebaikan. Tuhan sebut, Dia bersama. Ertinya Dia sangat dekat sekali. Sangat rapat. Begitulah rapatnya Tuhan dengan orang bertaqwa. Kalau tolong, dari jauh pun boleh tolong tetapi apabila dikatakan "bersama orang yang berbuat baik," ertinya sangat dekat. Bukan berdekatan secara fizikal. Itu menunjukkan terlalu akrab tetapi bukan secara fizikal.

Kejayaan menuju Tuhan ditentukan dari mujahadah. Kalau kita mujahadah, kita akan selamat. Jika tidak mujahadah, pasti tidak selamat.

Kemudian cuba lihat kalau orang yang peka dengan ayat tadi, "..mereka-mereka yang berjihad di jalan Kami nescaya Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami..." Tadi Tuhan kata jalan yang lurus itu satu tetapi mengapa dalam ayat ini Tuhan sebut, "jalan-jalan Kami"? Seolah-olah jalan Tuhan itu banyak.

Ayat dari Fatehah itu, maksudnya lain. Jalan Tuhan itu walaupun satu pakej tetapi sumbernya satu. Manakala dalam ayat ini, maksud jalan itu lain pula. Maksudnya, yang banyak itu adalah aspek-aspek yang kita hendak laksanakan dalam syariat itu banyak. Ada ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya. Jadi aspek-aspek yang banyak ini akan dibantu oleh Tuhan bila ada mujahadah. Setelah faham tentang jalan rohani dan maknawi, barulah boleh mujahadah. Barulah Tuhan tunjuk jalan kepada aspek-aspek itu. Ia bukan bermaksud jalan utama. Setelah dicaing-caing maka terjadilah ibadah itu satu jalan, ekonomi satu jalan dan lain-lain lagi. Maka akan jadilah manusia itu orang yang baik-baik. Bila telah jadi orang baik maka Tuhan bersama mereka. Di Syurga nanti, mereka dapat duduk-duduk bersama para nabi dan rasul. Amalannya sama dengan para nabi dan rasul iaitu melalui jalan yang lurus itu. Cuma mereka itu tidak tergolong sebagai nabi atau rasul.

Meminta jalan yang lurus itu adalah asas dalam kita meminta dari Tuhan. Permintaan itulah yang menjadi asas kepada kebahagiaan manusia di dunia dan Akhirat. Perkara-perkara yang lain seperti makan minum dan pakaian, itu adalah sampingan atau tambahan. Sayangnya, kebanyakan orang melihat perkara-perkara sampingan itu sebagai utama. Sedangkan sepatutnya kita minta dahulu perkara yang asas dari Tuhan yakni Tuhan suruh minta nikmat yang Tuhan beri pada nabi, rasul, wali-wali dan orang-orang soleh.

Sepatutnya, selesailah dengan kita meminta jalan yang lurus, tetapi Tuhan perkuatkan lagi dengan menyambung, "...bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat". Ertinya permintaan itu sangat penting yang menentukan kebahagiaan manusia di dunia dan di Akhirat.

Mengapa dibezakan antara orang yang dimurkai dan orang yang sesat? Bukankah apabila sesat itu pasti dimurkai Tuhan? Mengikut tafsir dari kitab, maksud orang yang dimurkai di sini ialah seperti Firaun dan Qarun. Manakala yang sesat seperti Yahudi dan Nasrani. Bagi orang yang dimurkai, dia menolak semuanya iaitu aqidah dan syariah. Dia menolak secara total. Sedikit pun dia tidak terima kebenaran itu. Manakala bagi orang yang sesat seperti Yahudi dan Nasrani yang agamanya juga dari langit, asalnya tidak sesat tetapi di tengah jalan mereka sesat. Mereka tidak dikatakan yang dimurkai sebab ada jiwa tauhidnya tetapi di hujung mereka sesat. Komunis itu termasuk orang yang dimurkai.

Orang Islam sendiri pun ada yang sesat yakni telah ada 72 firkah yang sesat sebagaimana yang Rasulullah sebut. Jadi ramai orang-orang yang Tuhan murka dan ramai juga orang yang sesat. Sebab itu Tuhan suruh kita minta jalan yang lurus. Tuhan mahu kita ikut jalan yang lurus. Bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan jalan orang yang sesat.

'Amin' yang selalu kita baca di hujung Fatehah itu maksudnya perkenankanlah atau kabulkanlah permintaan kami. Ia sunat disebut, bukan wajib.


Sajak

As Siratal Mustaqim

As siratal mustaqim adalah jalan Tuhan
Jalan untuk keselamatan manusia
di dunia di dalam kehidupan
dan di Akhirat di penghujungnya
Jalan Tuhan tidak nampak oleh mata
bahkan tidak dinampak
oleh semata-mata akal fikiran
kalau tidak dipandu oleh wahyu Tuhan
Jalan Tuhan adalah bersifat maknawi dan rohani
Di sepanjang jalan ada tanda-tanda jalan
untuk panduan insan
Siapa faham dan ikut peraturan
dia selamat dan menyelamatkan
Jika tidak faham
atau faham tapi disiplin jalan raya Tuhan
tidak dijadikan panduan
Ramailah orang eksiden
berlakulah perlanggaran
bahaya pun datang membinasakan
Bukan senang hendak menempuh jalan Tuhan
yang tidak nampak oleh mata
bahkan tidak mampu dilihat oleh akal fikiran
Tanda-tanda jalan juga sebagai panduan
adalah juga bersifat maknawi dan rohani
yang tidak kelihatan oleh mata
Kalau mata rohani tidak celik
dan tidak dibantu pula oleh akal fikiran
yang disuluh oleh wahyu Tuhan
Berlakulah selalu perlanggaran
huru-haralah kehidupan insan
musnahlah kehidupan
Banyak orang tersesat jalan
ada yang tidak tersesat
tidak pula mengikut peraturan
Kedua-dua cara ini merbahaya
yang satu tidak sampai penghujung jalan
yang satu lagi terkandas di tengah jalan
di dalam perjalanannya

Menempuh jalan Tuhan
perlukan seorang pemandu jalan raya
yang faham undang-undang, berdisiplin
mengikut pula undang-undang
Sedangkan hendak menempuh jalan
yang bersifat maknawi dan rohani itu
payah hendak dikesan
Orang yang matanya di hatinya sahaja
yang dapat benar-benar faham
perjalanan as siratal mustaqim
Atau mata hati yang celik sahaja
yang suluhannya mampu menempuh jalan selamat
Mata hati dibantu oleh wahyu dan oleh akal fikiran
Akal fikiran yang telah diberi kekuatan
dari hati yang disuluh oleh wahyu Tuhan
Orang eksiden di jalan yang bersifat maknawi dan rohani tidak dapat dikesan
Kecuali mata hati orang yang celik
dan akal yang ada pengetahuan
dari Hadis dan Quran
Kerana ia adalah jalan ke Akhirat
negara yang berkekalan
tidak kelihatan oleh mata

Tidak seperti jalan raya dunia
yang bersifat maddi
jelas mata memandang amat terang
Kerosakannya mudah dikesan
bahayanya jelas kelihatan
tidak ada kesamaran
Jalan raya ke Akhirat setiap waktu
jelas berlaku perlanggaran
setiap hari eksiden tidak kelihatan
Bahayanya jangka panjang baru dapat dikesan
Eksiden atas jalan raya ke Akhirat
lebih kerap kejadiannya, sangat memudaratkan
Ego melanggar hasad, dendam melanggar pemarah
pengumpat melanggar orang sabar
Bakhil melanggar pemurah
gila nama melanggar gila kuasa
gila puji melanggar gila harta
Perlanggaran ini atau eksiden ini
orang menganggap bukan satu perlanggaran
Kerana bahayanya tidak nampak secara spontan
Tapi apa yang berlaku di dunia hari ini
orang bergaduh, berkrisis, berbunuh-bunuhan
peperangan, harta musnah, pembangunan punah kerana eksiden tadilah
Kejadian itu berlaku
kerana tidak mengikut jalan as siratal mustaqim
Atau ikut jalan tapi tidak ada panduan
atau tidak mengikut peraturan jalan

Selepas Zuhur
09 - 02 -2004

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment