Thursday, 21 April 2011

Apa Itu Jemaah

1. Apa itu jemaah Islam?


Perkataan ‘jemaah’ yang berasal dari bahasa Arab ini sudah digunapakai sebagai bahasa Melayu di Malaysia dan di Indonesia. Oleh itu agak susah hendak menterjemahkan perkataan jemaah kerana ia sudah menjadi bahasa kita bersama. Tentunya masing-masing bahasa mempunyai pengertian sendiri tentang jemaah.

Kalau kita suluh dengan ilmu, setidak-tidaknya jemaah itu ada dua makna iaitu makna biasa mengikut bahasa dan makna mengi­kut istilah. Walau bagaimanapun erti jemaah mengikut isti­lah itulah yang tepat dan benar.

Makna biasa bagi ‘jemaah’ mengikut bahasa:

Jemaah mengikut makna biasa atau mengikut bahasa ialah satu kelompok manusia yang berada di sebuah bangunan atau satu kelompok manusia yang menduduki satu tempat atau berada dalam satu parti. Satu rombongan manusia yang berkumpul sedang menghala ke satu tempat, itu pun disebut jemaah juga. Walau­pun matlamatnya tidak jelas tetapi dianggap sebagai jemaah juga. Ada orang sebut jemaah masjid dan jemaah surau. Jemaah haji pun disebut jemaah juga.

Begitulah pandangan biasa atau erti biasa atau menurut tata bahasa kepada perkataan ‘jemaah’. Namun bukan itu erti jemaah yang kita kehendaki. Makna yang kita hendak ialah jemaah mengi­kut pengertian yang kedua.

Makna jemaah mengikut istilah:

Jemaah menurut istilah atau mengikut pengertian yang kedua ialah satu kumpulan atau satu kelompok manusia yang berada dalam satu jemaah yang:

  1. Mempunyai satu cita-cita. Cita-cita itu mungkin cita-cita ekonomi, cita-cita bangsa, cita-cita negara, cita-cita pendidikan atau lain-lain.
  2. Menuju kepada satu matlamat. Mungkin matlamatnya ke­menangan dan lain-lain lagi.
  3. Dipimpin oleh seorang pemimpin.

Itulah makna jemaah secara umum mengikut pengertian yang kedua, sama ada jemaah yang hak mahupun batil, jemaah Islam atau bukan jemaah Islam. Oleh kerana kita hendak bangunkan Islam dan jemaah Islam maka fokus kita sekarang ialah jemaah Islam.

Apa itu jemaah Islam?

Di dalam Al Quran ia dikatakan parti Allah – hizbullah. Mengikut pengertian yang tepat, parti Allah adalah satu kelompok atau satu kumpulan manusia yang terdiri dari berbagai-bagai etnik dan berbagai-bagai bangsa, juga berbagai-bagai latar belakang, berada dalam satu jemaah yang:

  1. Mempunyai cita-cita Islam.
  2. Berjuang ke satu arah matlamat iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
  3. Berada di bawah satu kepimpinan atau di bawah seorang pemimpin sama ada pemimpin itu ditunjuk oleh Tuhan ataupun tidak.
  4. Mendapat ilmu dari sumber yang satu iaitu dari pemimpin di dalam jemaah itu. Ilmunya pula mencakup pelba­gai as­pek ilmu untuk membangunkan berbagai-bagai sistem dalam jemaah dengan tujuan mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Itulah dia jemaah Tuhan atau parti Tuhan atau jemaah Islam. Jadi, kalau sebahagian dari sifat-sifat yang disenarai tadi tidak ada maka jemaah itu bukan jemaah Tuhan atau jemaah Islam. Contohnya:

a. Katalah pengikut atau kelompoknya sudah ada, ada pemim­pin dan jelas matlamatnya tetapi ilmunya dikutip dari merata-rata sumber, bukan dari pemimpin itu sendiri. Atau mungkin sebahagian ilmu itu dari pemimpin tetapi selebihnya dikutip-kutip dari sumber-sumber yang lain. Ertinya pemimpinnya tidak cukup syarat. Maka itu bukan jemaah Islam. Pemimpin jemaah itu sudah cacat dan tidak sempurna.

Kalau pemimpinnya Rasul maka ilmunya dari Tuhan iaitu wahyu. Rasulullah tidak kutip ilmu dari Rom dan Parsi, ke­mudian campur sedikit dengan wahyu. Tidak mungkin be­gitu. Jadi kalau pemimpin dalam satu jemaah atau satu parti, ilmunya bercampur-campur yakni ada yang dari dia dan ada dari hasil dikutip-kutip, maka jemaah itu akan rosak. Lebih-lebih lagi kalau dia ambil ilmu dari idea pengikut untuk di­jadikan idea jemaah. Ertinya jemaah itu lebih-lebih lagi akan rosak lantaran pemimpinnya sudah tidak cukup syarat dan tidak layak. Kalau pemimpin tidak layak, nanti dia akan me­rosakkan jemaah.

b. Cita-cita atau matlamat kelompok dalam satu jemaah itu tidak sama. Mereka masuk dalam jemaah itu kerana masing-masing ada strategi hendak menggunakan jemaah sebagai platform untuk mencapai cita-cita masing-masing. Mungkin ada untuk tujuan bangsa, tujuan ideologi, tujuan ekonomi, mungkin juga ada untuk tujuan Islam. Ertinya tujuan atau cita-cita antara anggota jemaah sudah bercampur-campur. Ini lebih-lebih lagi rosak. Ini bukan jemaah Islam.

Mana mungkin satu jemaah Islam yang kalau diibaratkan sebuah kapal atau sebuah kereta, penumpangnya minta dibawa ke pelbagai destinasi. Tidak hairanlah kita lihat jemaah-jemaah Islamiah di dunia hari ini selalu bergaduh. Bergaduh di mana-mana sebab orang yang ada di dalam parti atau jemaah itu mempunyai arah tujuan yang tidak sama. Cuma masing-masing tidak memberitahu atau tidak isyti­har arah masing-masing. Tetapi dari sikap, gelagat, tindak-tanduk mereka, kita faham bahawa masing-masing ada tujuan sendiri. Sebab itu tidak boleh bersatu, selalu bergaduh dan ber­krisis sahaja. Begitu pun mereka masih mengatakan parti mereka adalah parti Islam.

Apabila ternafi ciri-cirinya maka ia bukan lagi parti atau jemaah Islam. Lebih-lebih lagi kalau ciri-cirinya banyak yang tidak ada, maka lebih-lebih lagilah ia bukan parti Islam atau parti Tuhan. Bukan orang kafir yang merosakkan parti Islam tetapi pendokong-pendokongnya yang merosakkan parti atau jemaah mereka sendiri. Bukan orang kafir yang merosakkan tetapi orang Islam sendiri yang merosakkannya. Ini menggambarkan perjuangan mereka tidak seperti yang Tuhan kehendaki.

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment