Thursday, 21 April 2011

Pentingnya Wibawa

Dalam bab ini, kita akan perkatakan tentang wibawa dalam jemaah perjuangan. Yang hendak diperkatakan adalah tentang jemaah Islam supaya kita boleh faham bagaimana sebuah jemaah itu dikatakan kuat dan bagaimana pula sebuah jemaah itu dikatakan lemah.

Mari kita mengimbas kembali pangkal sejarah yakni sejak zaman Rasulullah hinggalah ke zaman 300 tahun selepasnya. Walaupun jangka masa empayar Islam itu 700 tahun tetapi selepas 300 tahun yang pertama, ia sudah berpecah-pecah. Sudah ada banyak kerajaan dan kesemuanya tidak merujuk pada satu sumber atau satu ketua.
Ertinya, walaupun Islam pernah menguasai dunia selama 700 tahun tetapi selepas 300 tahun yang awal, tempat rujuknya sudah banyak sebab waktu itu sudah mula berpecah-pecah. Ada kerajaan Abbasiyah, Fatimiyah dan lain-lain lagi. Sehingga sampai ke 700 tahun itu, masyarakat Islam antara bangsa sudah banyak tempat rujuknya. Yang terima kerajaan Abbasiyah, merujuk ke sana, maka ada kawasan yang dikuasainya. Orang yang terpengaruh dengan kerajaan Fatimiyah, merujuk kepada pemerintahnya dan ada pula kawasannya. Waktu itu walaupun Islam masih lagi menguasai dunia, sudah tidak ada perpaduan.
Keadaan umat Islam yang betul-betul bersatu dan berpadu, yakni hanya merujuk kepada satu ketuanya ialah di sekitar 300 tahun selepas Rasulullah. Inilah yang solid. Rupa-rupanya kalau kita baca sejarah jemaah Islam, waktu gagah dan waktu kuatnya itu bukan waktu ramai pengikutnya. Waktu itu pengikutnya sedikit tetapi ada wibawa. Di sini akan dibawakan beberapa contoh:

Contoh 1:
Di zaman Rasulullah SAW, walaupun bangsa Arab itu hampir seluruhnya masuk Islam kecuali sedikit sahaja yang tidak Islam, tetapi ia jadi kuat kerana ada satu kelompok kecil yang menunjangi iaitu puak Quraisy. Bangsa Arab ada banyak puak dan puak Quraisy adalah tunjangnya. Kerana wibawanya tinggi, ia disegani dan dihormati hingga orang bukan Islam pun percaya dan yakin, maka puak Quraisy inilah yang menaungi orang Arab sama ada Islam atau bukan Islam. Akhirnya ia menaungi tiga suku dunia. Bertambah banyak bangsa-bangsa dan etnik-etnik yang duduk di bawah naungannya. Ada yang Islam dan ada yang tidak Islam. Jadi jangan sangka kekuatan itu ada pada seluruh bangsa Arab. Ia ada pada terasnya sahaja yakni pada puak Quraisy.
Kemudian teras itu beralih kepada kerajaan Muawiyah. Waktu itu kerajaan Islam masih merujuk kepada Muawiyah. Jemaah Islam ketika itu masih ada wibawa sebab itu diyakini dan disegani. Bangsa Arab berbaris di belakangnya, sama ada Islam mahupun yang bukan Islam. Termasuk juga bangsa asing, yang Islam dan yang tidak Islam. Selepas itu beralih pula kepada puak Abbasiyah. Pun masih ada wibawa. Dunia masih merujuk pada kepimpinan yang satu.
Selepas pemerintahan Abbasiyah itu hingga 700 tahun, walaupun Islam sudah kuasai tiga suku dunia, tempat rujuknya sudah tidak sama. Kerajaan Islam yang berkuasa sudah tercaing-caing dan berpecah kepada tiga. Ada yang merujuk kepada Abbasiyah, Muawiyah dan Fatimiyah. Tetapi kalau orang tidak belajar sejarah Islam, dia akan menganggap selama 700 tahun Islam berkuasa itu, seolah-olah merujuk kepada satu pimpinan. Sebenarnya waktu itu sudah ramai pemimpin, sudah banyak tempat rujuk dan tempat bernaung. Di sini kita nampak ramainya umat Islam bukan bererti kuat. Perpecahan itu menunjukkan kelemahan. Banyak tempat rujuk menunjukkan kelemahan. Luasnya daerah yang dikuasai itu tidak semestinya menunjukkan kekuatan. Itu bukti sejarah.
Perlulah kita faham bahawa jemaah Islam yang ada wibawa itu ia boleh diterima oleh orang sama ada yang Islam atau kafir walaupun pengikut jemaah itu sedikit. Orang Islam dan kafir senang hati untuk bernaung di bawahnya. Walaupun pengikut jemaah itu sedikit tapi sangat berwibawa. Di sinilah kita hendak belajar supaya jangan berfikir sesebuah jemaah itu perlu kepada ahli yang ramai sahaja tetapi tidak ada wibawa. Sedikit pun tidak mengapa asalkan ada wibawa. Hasilnya yang bukan ahli pun boleh terima sekalipun bukan Islam.

Contoh 2:
Di Turki, bangsa yang terkenal ialah Saljuk tetapi Tuhan memilih bangsa Uthmaniah untuk membangunkan empayar Islam, yang mana pengasasnya, Uthman, lahir di kawasan hulu. Hulu itu bolehlah diibaratkan seperti di Hulu Tembeling. Dia berjuang sehingga dapat menawan seluruh negeri dan akhirnya berjaya menawan seluruh negara, yang memakan masa beratus tahun. Setelah beratus tahun, apabila sampai kepada generasi Muhammad Al Fateh, barulah bangsa itu dapat satu kekuatan yang terpusat. Dari keturunannya, dia dapat menawan seluruh Timur dan Barat. Padahal di Turki itu, terdapat banyak bangsa dan etnik. Puak Saljuk juga pernah berkuasa tetapi tidak sempat meluaskan kuasanya. Mungkin kerana tidak ada wibawa dan tidak ada pemimpin yang pandai.
Ini adalah satu contoh dalam dunia Islam. Di sini baru kita faham faktor kuat bukan kerana bilangan yang ramai dan banyak aset, tetapi adalah kerana wibawa sehingga orang yakin dan boleh menerima. Orang Islam yang tidak fikir tentang perjuangan pun boleh terima.

WIBAWA PADA PEMIMPIN
Wibawa adalah kekuatan bagi seorang pemimpin. Dari situlah orang boleh menerimanya. Sehingga orang kafir pun boleh jatuh hati padanya. Apakah ciri-ciri pemimpin yang berwibawa?

1. Berakhlak mulia dan bertaqwa
Pemimpin berwibawa itu mempunyai akhlak mulia dan sifat taqwa.

2. Ada cita-cita besar
Bila bercita-cita besar, jiwanya besar. Oleh kerana ada cita-cita besar dan dia hendak mencapainya maka dia gigih berjuang.

3. Sangat sabar dan tabah
Dia tidak mudah kecewa dan merajuk. Walaupun ada ketikanya, setelah diuji, pengikutnya lari dan tinggal sedikit, dia teruskan perjuangannya. Dia sangat degil dan hatinya juga degil dalam menempuh kesusahan ujian dan cabaran.

4. Ilmunya dari Tuhan
Dia mendapat ilmu dari Tuhan, bukan dari hasil membaca. Kalau membaca pun, itu hanya peringkat asas. Kalau Tuhan tidak beri dia ilmu, dia bukan sahaja tidak jadi pemimpin, malah dia hanya jadi orang Islam biasa yang dianggap tiada ilmu. Orang yang diberi ilmu oleh Tuhan, kalau dia rasul, itu dipanggil wahyu. Kalau bukan rasul, ilmu itu dinamakan ilham. Tuhan beri ilmu laduni, yang kerana itulah dia jadi pandai. Padahal dia tidak belajar sangat. Ilmu hasil belajar hanya ilmu asas sahaja. Ertinya ilmunya yang banyak bukan dari hasil dikutip di sana sini. Dia ada lubuknya sendiri. Kalau ibarat intan berlian, dia ada lombongnya sendiri. Tidak perlu mengambilnya dari tempat lain. Tetapi kalau pemimpin itu ilmunya dikutip dari sana dan sini, dia bukanlah pemimpin Islam sebenar. Sebab itu pemimpin seperti itu, sebelum dia beri motivasi atau sebelum dia beri kuliah, dia mencatat dahulu. Kalau hilang catatannya, tidak dapatlah dia memberi kuliah. Kalau tertinggal di dalam beg di rumah, dia akan patah balik. Bila orang dengar kuliahnya, rupanya sudah ada orang yang mendengar kuliah yang sama di tempat lain.
Pemimpin Islam yang ada wibawa, ada ilmunya tersendiri. Kecuali yang berkaitan dengan hukum-hakam. Itu memang sudah tetap. Yang halal haram sudah memang tetap dari dulu hingga sekarang. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu yang di luar hukum-hakam. Orang yang mendengar ilmunya tidak jemu-jemu kerana ada sahaja benda baru yang diperkatakan. Juga tidak ada ulama lain yang boleh mengaku ilmu itu dia yang ajar atau datang dari dia. Itulah dia wibawa yang keempat yang bersangkutan dengan ilmu.

5. Orang boleh merujuk kepadanya
Dia menjadi tempat rujuk dalam semua masalah, bukan hanya yang berkaitan dengan hukum-hakam, tetapi juga dalam hal ekonomi, politik dan lain-lain.

6. Mampu mendidik pengikutnya
Dia mampu mendidik pengikutnya sehingga boleh berubah daripada negatif kepada positif. Malah kadang-kadang perubahannya itu secara mendadak. Itulah pemimpin yang ada wibawa. Kadang-kadang ulama atau pemimpin itu, walaupun bersyarah bertahun-tahun tetapi manusia tidak pun berubah.

7. Pandai berstrategi dan pandai menggelecek
Kalau diibaratkan seperti memandu kereta, apabila ada sahaja kayu yang menghalang atau ada lubang, dia pandai mengelak. Kalau tidak berstrategi, berlakulah banyak kerosakan terutamanya kepada pengikut. Itu adalah di antara sifat-sifat pemimpin berwibawa di dalam sesebuah jemaah Islam. Apabila ada wibawa, Tuhan akan backing dari belakang. Atas nama pemimpin itulah jemaah itu ditolong oleh Tuhan.

8. Pandai memilih pemimpin-pemimpin di bawahnya
Dia akan pandai membina satu team kepimpinan yang juga ada wibawa, yang mana mereka ini menerima ilmu dari satu sumber iaitu dari pemimpin nombor satu. Kalau sebuah jemaah, team kepimpinannya ada pandangan masing-masing maka ini sangat merbahaya kerana ada pendapat yang berbeza. Maka tidak ada wibawalah jemaah itu. Fenomena ini berlaku kepada jemaah-jemaah yang ada sekarang. Apabila mengulas satu-satu isu, nyata tidak sama pendapatnya. Orang pun terkeliru. Jemaah Islam yang sebenar itu, pimpinan dan rohnya adalah sama. Perasaannya sama sebab sudah sampai ke kemuncaknya. Hendak menyatukan akal pun sudah susah, apalagi hendak menyatukan roh. Itu lagi payah.

WIBAWA PADA PENGIKUT
Ciri-ciri pengikut yang berwibawa ialah:

1. Boleh menerima ilmu-ilmu daripada pemimpin
Oleh kerana pemimpinnya berwibawa, dengan bantuan Tuhan, pengikut-pengikutnya boleh menerima ilmu-ilmu dari pemimpinnya.

2. Sangat taat
Pengikut-pengikutnya sangat taat sehingga orang kafir menganggap mereka fanatik. Seperti yang berlaku di zaman Rasul, ada yang menganggap para Sahabat terkena sihir. Masyarakat ada yang menganggap tidak munasabah sekali kerana mereka ini mengikut secara melulu. Tentu mereka ini disihir. Tuduhan sihir dan fanatik ini sebenarnya membuktikan sejarah telah berulang. Tuduhan yang sama telah dilemparkan kepada pemimpin dan jemaah benar yang terdahulu. Sebab-sebab berlakunya di luar logik akal.

3. Memiliki akhlak yang mulia
Pengikut yang berwibawa mempunyai akhlak yang mulia.

WIBAWA PADA JEMAAH
1. Pengikut faham dasar perjuangan
Jemaah yang ada wibawa itu mempunyai pengikut yang sedikit, namun demikian pengikut yang sedikit itu faham akan dasar perjuangan pemimpinnya.

2. Boleh melaksanakan sistem hidup Islam
Jemaah yang ada wibawa itu, ia boleh melaksanakan sistem hidup Islam di dalam jemaahnya seperti mana Rasulullah bersabda, 'zohirina alal haq' ( ), iaitu menzahirkan kebenar-an dalam jemaahnya. Rasulullah tidak pula bersabda 'qa ilina alal haq' ( ), iaitu bukan memperkatakan sahaja tentang kebenaran. Ertinya satu sistem hidup Islam itu wujud di dalam jemaah. Jika orang hendak merujuk hal-hal berkaitan dengan bidang ekonomi, kebudayaan dan lain-lain, semuanya sudah wujud. Bertambah indahlah jemaah itu. Dan ia akan memukau semua orang termasuk yang bukan Islam. Ini menunjukkan, walaupun pengikut-pengikutnya sedikit tetapi pengaruhnya sangat besar.


Sajak

Bila Pemimpin Hilang Wibawa

Bila pemimpin hilang wibawa
rakyat kurang taat setia
Bila ibu bapa tidak bermaruah
anak-anak kurang hormat
Bila orang tua tidak menjadi contoh
kata-katanya sia-sia saja
Bila berkawan tidak setia
hilang keyakinan kawan kita
Para pemimpin jadilah teladan
agar rakyat mudah dipimpin
Wahai ibu bapa, jagalah maruah
agar anak-anak mengikut kata
Wahai orang tua, jagalah wibawa
agar orang muda mendengar nasihat
Wahai saudara, setialah berkawan
keyakinan orang itu aset kita
Gambarkanlah jika rakyat tidak taat
di dalam negara
Anak-anak pula tidak taat kepada ibu bapa
Anak-anak muda tidak mendengar nasihat dan kata
Manusia satu sama lain curiga-mencuriga
Bila masalah timbul di dalam masyarakat umat
Kehidupan manusia tercabar setiap detik dan masa
Ketenangan hidup yang dicari hancur dan punah
Maka carilah punca mengapa timbul masalah
Setiap golongan bercakap untuk mengatasi masalah
Diberilah pandangan
mengapa perkara negatif itu terjadi
Dikatalah sebab-sebab masalah terjadi
kerana itu dan ini
Yang sebenarnya sebab-sebab itu
ada pada diri sendiri
Mengapa perkara yang mudah
amat sulit mengatasinya
Mengapa perkara yang dekat
terlalu jauh kelihatan
Kerana panduan semata-mata nafsu
dan otak manusia
Agama Islam sudah tidak menjadi panduan sejati

04 - 08 - 1995


Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment