2. PEMBAHAGIAN PUJIAN
Selepas Bismillah, ayat yang kedua ialah:
Maksudnya:
"Segala puji bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam."
(Al Fatehah: 2)
Setelah kita hurai, bahas, ulas dan nilai Bismillah, barulah terasa munasabah selepas itu kita puji Tuhan. Yakni setelah kita terasa banyaknya nikmat dan rahmat Tuhan. Setelah kita terasa kita tidak boleh hidup tanpa Tuhan. Setelah kita terasa kita ini hamba-Nya yang patut merendah diri pada-Nya, sebab pada Tuhan ada segalanya yang mana pada Dialah keselamatan kita. Setelah kita rasa patut kita cintai dan takut dengan-Nya. Maka setelah semua itu barulah rasa sedap hendak sebut alhamdulillah. Bila sebut alhamdulillah itu, kita sudah terbayang begitu banyak rahmat dan nikmat Tuhan yang melimpah-ruah. Jika tidak, kita sebut alhamdulillah tapi tidak rasa apa-apa.
Tamsilnya ibarat kita kenal seseorang yang dia itu orang yang baik dan suka membantu. Tentu kita akan cerita dengan orang lain yang tidak tahu sangat hal orang itu. Kita puji orang itu baik. Kita yang memujinya terasa dan tahu orang itu suka menolong dan suka memberi. Manakala orang yang kita ceritakan padanya tentang kebaikan orang yang pertama tadi, mungkin percaya atas dasar kita puji. Tapi dia mungkin tidak terasa apa-apa sebab itu bukan pengalamannya. Sekadar dia baik sangka sahaja terhadap orang itu.
Begitulah kita selama ini puji Tuhan tidak terasa apa-apa. Kadang-kadang alhamdulillah itu jadi wirid pula: alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah... hanya sekadar tidak prejudis, baik sangka, merasakan ia perkataan baik yang patut disebut selalu tetapi kita tidak terasa apa-apa.
Kalau tidak rasa apa-apa ertinya ia tidak boleh bangunkan jiwa. Jiwa tidak hidup dan tidak terangsang. Berlainan sekali dengan orang yang memuji Tuhan dan dapat merasa yang mana akal serta perasaannya terasa dimandikan oleh rahmat dan nikmat Tuhan. Sama ada yang mata boleh lihat, yang tangan boleh sentuh, yang boleh difikirkan dan yang ada dalam perasaan. Maka dalam keadaan itu, bila dia puji Tuhan, dia sangat terasa, sangat terhibur, sangat bahagia, sangat terbangun perasaannya. Orang yang begitu bila puji Tuhan, terutama bila dijadikan zikir, dia terasa sangat indah, sangat lazat, sangat terhibur dan sangat bahagia sebab ada satu rasa yang tidak boleh hendak digambarkan. Ini kerana dia memuji Zat yang Maha Berkuasa, yang sudah memperlihatkan pada dirinya rahmat dan nikmat Tuhan itu. Seolah-olah di depan matanya, nikmat dan rahmat itu macam salji yang turun. Maka terasalah indahnya bila dia sebut alhamdulillah.
Orang yang tidak nampak nikmat Tuhan sekalipun melalui matanya, tidak dirasa oleh hati, lebih-lebih lagi nikmat atau rahmat yang bersifat rohaniah, dia baca alhamdulillah sekadar untuk cari fadhilat. Ianya tidak dapat bangunkan sahsiah dan akhlak. Ia tidak mampu sebab apa yang dia sebut itu tidak menggugat perasaannya. Tidak terasa apa-apa.
Maka patut sekali Tuhan meletakkan Alhamdulillah itu selepas Bismillahirrahmanirrahim. Kalau kita faham Bismillah itu seperti yang disyarahkan, maka kita pun cakap atau ucapkan alhamdulillah. Ia akan jadi sangat indah, sangat memberi kesan dan sangat memberi erti. Kalau tidak, kita tidak akan rasa apa-apa. Maha Besar Tuhan.
Mari pula kita terokai isi atau intipati Alhamdulillah. Sama ada yang bersifat mata, aqliah atau rohaniah.
'Segala puji bagi Tuhan.' Apakah 'puji' itu?
Erti puji ialah ungkapan-ungkapan perkataan yang baik untuk ditujukan kepada seseorang (kalau orang), atau pada Zat (kalau Tuhan), yang mana ungkapan-ungkapan itu layak bagi orang itu atau layak bagi Zat itu.
Kalau itulah takrif pujian atau itulah isi pujian, maka bagaimanakah untuk memuji Tuhan mengikut takrif tersebut? 'Baiknya Tuhan', 'Hebatnya Tuhan', 'Maha Kuasanya Tuhan', 'Pemurahnya Tuhan' dan 'Maha Agungnya Tuhan'. Semua ungkapan itu layak bagi Tuhan. Tetapi kalau kita hendak puji Tuhan atas dasar kelayakan-Nya, ia bukan sekadar itu. Kelayakan Tuhan itu tidak ada batas. Sifat-sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga banyaknya.
Katakanlah Tuhan izinkan kita boleh hidup sejuta tahun. Sepanjang sejuta tahun itu kalau kita hendak puji Tuhan, tidak akan habis pujian kita itu. Mengapa? Sebab sifat kesempurnaan Tuhan itu tidak terhingga dan tanpa batas. Kalaupun Tuhan izinkan kita hidup sejuta tahun yang mana kita sentiasa memuji-Nya dengan lazat, tanpa rasa susah, tanpa terleka, maka sejuta tahun itu tidak akan cukup kerana ia tidak ada kesudahannya. Maha Besarnya Tuhan!
Justeru itu patutlah selepas Bismillah ialah Alhamdulillah yakni 'segala puji bagi Allah' sebab perkataan yang layak bagi Tuhan itu tidak ada kesudahan. Jadi kalau kita hendak puji Tuhan, ia tidak akan berkesudahan. Oleh kerana umur kita pendek, tidak mungkin kita boleh buat. Kalau dipanjangkan umur kita berjuta-juta tahun pun, Tuhan lihatkan pada kita kesempurnaan-Nya, tidak akan ada noktahnya. Sebab itulah dirangkumkan pujian itu dengan kata-kata: Segala puji bagi Allah.
Jadi kalau kita faham, baru sedap menyebut alhamdulillah sebab kita nampak mengapa patut kita puji Tuhan itu, sebab sifat yang patut bagi Tuhan itu tidak terhingga. Maha Bijaksana Tuhan meletakkan perkataan Bismillah kemudian diikuti dengan Alhamdulillah.
PERINGKAT MEMUJI TUHAN
Memuji Tuhan ini ada tiga peringkat:1. Memuji yang ada hubungan dengan Zat-Nya.
2. Memuji yang ada hubungan dengan sifat-sifat-Nya.
3. Memuji atas rahmat dan nikmat-Nya.
Jadi memuji Tuhan itu adakalanya berhubung dengan Zat-Nya, adakala berhubung dengan sifat-sifat-Nya dan adakala atas rahmat serta nikmat-Nya. Rahmat dan nikmat itu sudah kita perkatakan, yakni ada yang bersifat mata, yang bersifat akal dan bersifat rohaniah.
1. Memuji Tuhan di atas Zat-Nya
Contohnya:
"Wahai Tuhan, Engkau Maha Kekal."
"Wahai Tuhan, Engkau Maha Esa."
"Wahai Tuhan, Engkau tidak perlukan ruang."
"Wahai Tuhan, Zat Engkau tidak menyerupai segala yang baru."
"Ya Tuhan, Maha Suci Engkau dari mengambil tempat, berada dalam masa dunia dan Akhirat."
2. Memuji Tuhan berkait dengan sifat-Nya
Contohnya:
"Engkau Maha Pengasih, Maha Penyayang."
"Engkau Maha Pengampun."
"Engkau Maha Lemah Lembut."
"Engkau Maha Qahhar (keras) dan Jabbar."
"Engkau Maha Bersyukur, Engkau Maha Agung, Engkau Maha Tinggi, Engkau Maha Pemarah (Tuhan memang layak)."
Itulah pujian yang memang layak ke atas Tuhan.
3. Memuji Tuhan di atas pemurah dan penyayang-Nya (rahmat dan nikmat-Nya).
Contohnya:
"Pemurahnya Engkau Tuhan, Engkau beri aku makan, beri aku ilmu (ada hubungan dengan nikmat aqli)."
"Terima kasih Tuhan kerana kenalkan diri-Mu padaku."
"Terima kasih Tuhan kerana Engkau jadikan Engkau Tuhan aku (itu nikmat dan rahmat)."
"Terima kasih kerana memberi aku kesenangan, anak, pakaian, kesihatan, pemandangan yang indah dan macam-macam lagi."
Jadi memuji Tuhan itu, yang semuanya layak untuk Tuhan, adakalanya pada Zat-Nya, adakala pada sifat-sifat-Nya, adakala pada nikmat dan rahmat-Nya.
PEMBAHAGIAN PUJIAN
Pembahagian pujian itu pula ada lima iaitu:
1. Puji Tuhan pada diri-Nya
Tuhan memuji diri-Nya. Ini banyak terdapat dalam Al Quran dan Hadis. Contohnya:
"Aku Tuhan, sembahlah Aku. Tidak ada Tuhan selain Aku. Aku adalah Qahhar, Aku Jabbar. Aku Pengasih dan Penyayang."
Dia memuji diri-Nya. Ada Hadis mengatakan:
"Aku kasih kepada hamba-Ku, lebih dari seorang ibu mengasihi anaknya."
Apakah hujah untuk membenarkan Tuhan memuji diri-Nya? Hujahnya ialah kerana Tuhan itu memang layak. Lagipun mana ada yang lebih atas dari Tuhan. Kalau Dia hendak puji diri-Nya, siapa hendak hukum Dia. Kalau kita hendak puji diri sendiri, nanti ada yang lebih atas yang akan tegur sebab ada orang yang lebih layak. Kalau Tuhan puji diri-Nya, Dia pun memang tidak ada tandingan.
Sebab itu ada amalan-amalan khusus kerana kita tidak mampu untuk puji Tuhan maka kita berkata:
"Aku puji Engkau Tuhan, sebanyak mana Engkau puji diri Engkau sendiri. Anggaplah ini juga pujianku untuk-Mu."
Ini termasuk rahmat Tuhan. Ini cara shortcut sebab kita memang tidak larat dan tidak mampu hendak puji Tuhan.
2. Pujian Tuhan pada hamba-Nya
Contohnya:
"Aku suka pada orang yang bertaubat."
"Aku suka orang yang bertaqwa."
"Aku suka orang yang pemurah."
"Aku suka pada seorang yang buat dosa dan kemudian bertaubat atas dosanya."
"Aku lebih suka pada orang yang merintih atas dosanya daripada tasbih para auliya."
3. Pujian seorang hamba pada Tuhannya
Itu mudah kita faham. Selemah-lemah kita, kita ada puji Tuhan.
4. Puji hamba kepada hamba
Contohnya A berkata, "B ini pandai dan sabar."
Elok memuji di belakangnya, takut dia tidak tahan hingga merosakkan hatinya. Puji di depan itu macam letak kayu balak di bahu. Apakah ada orang yang boleh pikul kayu balak 10 tan atas bahunya?
Pujian itu dibolehkan kerana hakikatnya dia puji Tuhan. (Barangsiapa yang tidak bersyukur pada manusia, hakikatnya dia tidak bersyukur pada Tuhan.) Kalau kita puji manusia, hakikatnya kita puji Tuhan. Sebab orang itu dapat nikmat dari Tuhan. Nikmat itu bukan hakiki.
5. Pujian seseorang atas dirinya sendiri
Itu tidak boleh kecuali atas dasar hendak sebut nikmat Tuhan yang ada pada dirinya. Tetapi itu mesti berhati-hati. Takut berbunga di dalam hati.
Contohnya, nabi-nabi terpaksa puji dirinya. Macam Rasulullah berkata, "Saya adalah seorang yang paling takut dengan Tuhan."
Kalau Rasulullah tidak sebut, umat akan terkeliru. Jangan ada orang yang anggap, ada orang yang lebih takut pada Tuhan daripada Rasul. Dia ceritakan nikmat Tuhan pada dirinya bukan kerana megah.
Rasulullah mengatakan, "Saya adalah orang yang paling fasih menyebut (huruf) dhad." Sebab menyebut huruf dhad itu susah. Memuji diri itu tidak digalakkan kecuali atas dasar hendak sebut nikmat Tuhan sepertimana yang dilakukan oleh Rasul setelah diilhamkan.
Itulah huraian dan tafsirannya bagi alhamdulillah yang bermaksud 'Segala puji hanya layak bagi Tuhan' itu. Selepas sebut Bismillah, baru seronok hendak katakan Alhamdulillah iaitu segala puji hanya layak bagi Tuhan. Yang lain tidak layak dipuji.
Sajak
Kuasa-Mu Terserlah Sekali
Ya Allah, Ya Tuhanku
Kuasa-Mu terserlah sekali
Keagungan dan Kebesaran-Mu sangat nyata
seterang matahari begitu ketara
Langit dan bumi Engkau cipta
Malam dan siang silih berganti
Malam untuk rehat, siang untuk kerja
Engkau ciptakan bulan
di malam yang gelap menjadi terang
Engkau cipta bintang-bintang bertaburan di langit
Menjadikan keindahan malam
Bintang-bintang juga panduan
untuk orang berjalan di waktu malam
Terutama di lautan
Di waktu malam bintang bertaburan
Bertambah keindahan malam
Menyinari malam yang gelap-gelita
menjadi cerah dan terang
Engkau jadikan air untuk manusia bersuci
dan untuk menghilangkan dahaga
Dan Engkau hidupkan tumbuh-tumbuhan
untuk faedah manusia
Engkau jadikan bumi tempat manusia berpijak
Setiap hari untuk kemudahan mereka hidup
Engkau jadikan udara
Untuk nafas mereka
Agar mereka boleh bernafas dengan selesa
Engkau ciptakan bahan-bahan makanan
seperti padi, ubi, gandum dan ikan
untuk makanan mereka
untuk menguatkan fizikal manusia
Engkau cipta berbagai-bagai pemandangan yang indah
Untuk hiburan manusia
Untuk hilangkan dukacita dan menghiburkan mereka
Entah apalagi ciptaan-Mu
Yang patah lidah untuk dikata
Sememangnya itu adalah faedah untuk manusia
Sekaligus memperlihatkan kuasa-Mu
Rahmat, keadilan dan kebesaran-Mu
Ramai manusia kebanyakannya tidak melihat
kuasa, keadilan dan kebesaran-Mu
Bahkan ada di kalangan mereka
Tidak percaya kewujudan-Mu
Hingga mereka derhaka dengan-Mu
Dan tidak takut dan tidak cinta dengan-Mu
Mereka berlagak sebagai Tuhan
Walaupun mereka tidak mengaku Tuhan
Tapi mereka melakukan sesuka hati di dalam dunia ini
Hinggakan keamanan dan keselamatan sejagat tergugat
Kesusahannya kembali kepada mereka manusia
Kebanyakan manusia kagum dengan kebesaran mereka
Lebih-lebih lagi bila manusia itu berkuasa
Seolah-olah manusia yang berkuasa itu
Ada kuasa dan melihat kebesarannya
Padahal mereka sekadar membuat jalan raya
Jalan raya dibuat di atas bumi yang Engkau cipta
Untuk kemudahan manusia hidup di dunia
Boleh pergi ke mana-mana
untuk mencari kehidupan mereka
Atau memproses bahan-bahan makanan
ciptaan Engkau juga
Dijadikan makanan dan minuman
Untuk keperluan kehidupan mereka
Mereka membina rumah dan gedung-gedung
Atau mencipta kenderaan
untuk kemudahan hidup mereka
Semua itu dari bahan-bahan ciptaan-Mu Tuhan
Begitu juga mereka membuat kemudahan tempat bekerja
Dan tempat kemudahan mendapatkan ilmu
Untuk kepentingan mereka
Itu pun manusia sudah melihat
keagungan dan kebesaran mereka
Tetapi kekuasaan-Mu, keagungan dan kebesaran-Mu
Lebih nyata dan terserlah daripada itu
Mereka tidak melihat keagungan dan kebesaran-Mu
Kerana hati mereka sudah buta
Mata mereka yang celik semata-mata
Sebab itulah kebesaran manusia nyata kepada mereka
Tapi kebesaran-Mu mata hati mereka buta melihatnya
Kerana itulah penguasa di dunia
Lebih dibesarkan atau diagungkan oleh manusia
Daripada Engkau Tuhan manusia
Seolah-olah penguasa dunia itu tuhan bagi mereka
Tuhan yang sebenarnya iaitu Engkau, dilupakan mereka
Padahal penguasa-penguasa dunia itu
Membuat untuk kepentingan manusia
Bahan yang dibuat, bahan yang Engkau cipta
Maka penguasa-penguasa manusia
lebih derhaka daripada manusia biasa
Patutlah di dunia lagi Engkau azab mereka
Di mana Engkau jadikan bencana alam
Seperti air bah, gunung berapi, gempa bumi
Bukit runtuh dan mereka bergaduh sesama sendiri
Untuk menyedarkan mereka
serta menghukum di dunia lagi
Di Akhirat Engkau azab lagi mereka
Lebih dahsyat lagi daripada dunia
07.10 pagi, Rumah Tamu Rufaqa'
Nilai
21 - 02 - 2006
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi |
No comments:
Post a Comment