2. BUDAYA HIDUP PARA SAHABAT YANG BERTAQWA
3. Sajak 1 Rahmat Allah kepada Rasulullah
4. Sajak 2 Rasulullah Manusia Luar Biasa
Kejayaan besar seorang Rasul yang tidak mampu dibuat oleh mana-mana tokoh pun selainnya ialah menyelamatkan kehidupan manusia di dunia lagi dan memberi syafaat kepada umatnya di Akhirat. Rasul penyelamat roh dan fizikal manusia, membangunkan tamadun rohaniah dan tamadun material yang selamat dan menyelamatkan. Hingga dengan itu manusia dan dunia yang sudah rosak dengan dahsyatnya berjaya dipulihkan. Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin." (At Taubah: 128)
Kalaulah pemimpin-pemimpin ideologi, politik dan falsafah boleh buat kerja yang paling rumit ini tidak perlulah Allah mengutuskan rasul ke bumi ini. Peranan rasul adalah paling penting, yang tiada tandingannya. Hanya rasul yang boleh selesaikan masalah dunia jahiliah yang sesekali melanda dunia. Dalam sejarah, Allah SWT mengutuskan seorang rasul hanya setiap 700 tahun sekali atau 500 tahun sekali atau 300 tahun sekali. Yakni di waktu semua sistem hidup manusia di dunia benar-benar sudah jammed, buntu dan koma yang tiada seorang ahli fikir lagi yang boleh memberi jalan keluar.
BAGAIMANA RASULULLAH MENERIMA WAHYU
Rasulullah SAW mempunyai roh yang sangat suci dan kuat hingga Baginda dapat melakukan sesuatu yang mustahil dapat dibuat oleh seorang filasuf. Sebagai utusan Allah SWT, Baginda beroleh pimpinan langsung dari Allah. Caranya adalah:
- Baginda dapat melihat dan mendengar Jibril, pembawa ilmu wahyu dari Allah. Cara itulah Rasul belajar dengan mendapat ilmu melalui perantaraan Jibril.
Firman Allah SWT:Maksudnya: "Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya), yang diajarkan kepadanya oleh (Jibril) yang sangat kuat." (An Najm: 4-5)
- Kadang-kadang hatinya yang amat terang itu, menerima langsung gelombang ilmu Allah yang jatuh ke hatinya, tanpa perantaraan Jibril.
Bagi ulama-ulama mujtahid atau mujaddid pewaris Rasul pula, hati mereka yang sangat bertaqwa kepada Allah membolehkan roh Rasulullah menjatuhkan terus ilmu Allah ke hati mereka. Ini dinamakan ilmu ilham.
Rasulullah sangat kenal Allah dan berhubung rapat dengan malaikat. Tahap kenalnya Rasulullah kepada Allah begitu tinggi sekali sehingga bagindalah makhluk yang paling takut dan cinta kepada Allah SWT. Itulah satu-satunya keistimewaan seorang rasul yang tidak mampu ditiru oleh seorang manusia biasa yang bukan rasul.
Kerana itulah Rasulullah mampu melahirkan manusia yang bertaqwa kepada Allah. Para Sahabat bukan sekadar percaya bahkan terlalu cinta dan terlalu takut kepada Allah Taala. Berbeza sekali dengan kelompok-kelompok lain, para Sahabat mendapat sebesar-besar rahmat dan nikmat yang tiada tandingannya, yakni mendapat Allah SWT. Hati mereka sangat kenal Allah, hingga Allah begitu dicintai, ditakuti, disembah, disucikan dan diagungkan.
Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Dan tidaklah Kami mengutuskan kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam." (Al Anbiya': 107)
BUDAYA HIDUP PARA SAHABAT YANG BERTAQWA
Bila hati manusia sudah mendapat sifat taqwa, maka dari pokok taqwa itu akan lahirlah buah-buah kehidupan dengan banyaknya. Akan lahirlah sebuah tamadun insaniah yang sangat cemerlang. Manusia sesamanya akan mampu berkasih sayang, rasa bersama, saling bekerjasama dan boleh bertimbang rasa walau apa pun bangsa dan agama manusia itu.
Hati manusia yang dibangunkan dengan perasaan takut dan cintakan Allah oleh guru rohaniah yang pakar, yang rohnya aktif dan boleh pula mengaktifkan roh-roh pengikutnya, sungguh akan melahirkan manusia-manusia yang baik-baik, yang soleh dan solehah. Pokok taqwa yang tumbuh di hati akan melahirkan manusia yang berkasih sayang, rasa bersama, saling bekerjasama, bertimbang rasa sesama manusia sekalipun berlainan bangsa, agama, bahasa, warna kulit, budaya dan sebagainya.
Golongan kaya menolong yang miskin. Golongan miskin sabar dan tidak meminta-minta. Orang yang bersalah meminta maaf. Orang yang tidak bersalah memberi maaf. Orang-orang besar, para ulama, guru-guru, ibu bapa dihormati dan dimuliakan. Golongan bawahan disayangi, diberi simpati, diperhati dan diambil peduli.
Tiada kasta miskin kaya dalam masyarakat orang bertaqwa, kerana mereka menganut fahaman bahawa miskin dan kaya sama sahaja di sisi Allah. Mulia dan hina bukan ditentukan oleh kaya atau miskin tetapi oleh taqwa. Sistem dan budaya ini bermula dalam masyarakat Rasulullah SAW, sangat subur dalam tempoh 300 tahun berikutnya dan terus diwarisi oleh masyarakat Islam selama 700 tahun yakni sebelum empayar Islam jatuh ke tangan Barat.
Kalau masyarakat kita hari ini penuh dengan kes-kes jenayah, pergaduhan, pembunuhan, jatuh-menjatuhkan, hasad dengki, pencurian, penipuan, rasuah, penzaliman, penindasan, pengkhianatan, perogolan, penzinaan, benci-membenci, fitnah-memfitnah, hina-menghina dan sebagainya, masyarakat Islam di zaman Rasulullah dan 300 tahun selepas Rasulullah sunyi dari semua kezaliman seperti seperti yang disebut di atas. Kalau ada pun terlalu kecil angkanya hingga tidaklah menjadi ancaman apa-apa kepada majoriti masyarakat. Kehidupan manusia bolehlah dikategorikan sebagai aman, damai, selamat, tenang dan makmur. Allah SWT menamakan masyarakat seperti ini di dalam firman-Nya:
Maksudnya: "Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Tuhan." (Saba: 13)
Di dalamnya manusia mengecapi syurga dunia yang penuh kebahagiaan, kasih sayang, persaudaraan dan keharmonian. Yakni syurga sementara sebelum Syurga hakiki yang abadi di Akhirat, hasil dari pembangunan material yang diimbangi dengan pembangunan insaniah.
Sajak 1 Rahmat Allah kepada Rasulullah
Di antara rahmat Allah kepada Rasulullah SAW
sebagai pemimpin kepada semua kaum dan bangsa
Ialah Nabi Muhammad bukan sahaja mampu mempersatukan di antara puak-puak
kabilah-kabilah, kaum, golongan
dan bangsa di dunia
Tapi berjaya menanamkan kasih sayang
di antara hamba dengan tuan
di antara Badwi dengan orang pekan
di antara orang miskin dengan orang kaya
Mampu mendidik orang cinta-mencintai
satu sama lain
walaupun berlainan kaum dan warna kulit
Boleh cinta-mencintai di antara Arab dengan ajam
di antara bangsa Timur dengan bangsa Barat
Di antara orang biasa dengan pembesar-pembesar
kaum dan bangsa
Yang lebih aneh dari itu boleh berkasih sayang
di antara rakyat dengan para pemimpin
Setelah tercetus kasih sayang, cinta-mencintai
lahirlah satu bangsa yang bersatu padu
Akibat dari kasih sayang dan cinta-mencintai
lahir pulalah buah akhlak yang mulia di antaranya:
Malu, pemurah, tawadhuk, mengutamakan orang lain
bertimbang rasa, perikemanusiaan yang tinggi
bekerjasama
Secara automatis pula tidak berlaku hasad dengki
pemarah, khianat, penipu, pembohong
berdendam, pergaduhan dan perbalahan
Ya Rasulullah sungguh besar jasamu!
Jasamu patut dikenang oleh setiap orang
di setiap zaman
Ya Allah ya Tuhanku!
Bila lagikah Engkau hendak lahirkan
seorang pemimpin
yang boleh membawa kasih sayang
Yang dapat mempersaudarakan
dan menyatukan semua golongan manusia
seolah-olah hidup macam satu keluarga
Manusia hari ini di dunia ini di dalam penderitaan
Kerana kehilangan kasih sayang di kalangan manusia
Mereka satu sama lain sentiasa di dalam perpecahan
dan perbalahan
Satu sama lain sentiasa curiga-mencurigai
bahkan prejudis sesama sendiri
Mereka sentiasa jatuh-menjatuhkan
di antara satu sama lain
Kata-mengata, hina-menghina
fitnah-memfitnah berlaku setiap hari
Aduh, manusia sudah hidup terseksa
dengan perbuatan mereka sendiri
Tuhan segerakanlah datangkan seorang pemimpin
sebagai penyelamat
Agar dengan pimpinannya
manusia satu sama lain
dapat dipersaudarakan semula
Selepas Asar
1 Safar 1421
Sajak 2 Rasulullah Manusia Luar Biasa
Rasulullah SAW manusia yang luar biasa
ajaib, pelik, mengkagumkan, berjasa
Banyak kejayaan yang dibuatnya
Di dalam kepimpinan, sebagai hamba Allah
sebagai ahli ilmu, sebagai bapa
sebagai seorang kawan, sebagai guru
dan lain-lain aspek lagi
Mari kita bercerita tentangnya
sebagai seorang pemimpin dan guru sahaja
Dia berjaya mengenalkan Tuhan dan hidup di Akhirat itulah dia kejayaannya yang paling besar
dan tidak ada taranya
Bukan sahaja mengenalkan Tuhan
Tuhan disembah orang, diagungkan, dipuji
disucikan, ditakuti, dicintai, diingati
Orang fanatik dengan Tuhan, mabuk dengan Tuhan macam orang tidak siuman, tapi siuman
Bangsa yang buta huruf
menjadi bangsa yang cerdik dan pandai
Bangsa yang mundur menjadi bangsa yang bertamadun
Kaum, puak, bangsa yang hatinya keras
macam batak hingga menjadi kejam, zalim
tidak ada perikemanusiaan
menjadi lunak, jinak, merendah diri
berakhlak tinggi
Manusia yang tidak kenal kasih sayang
boleh bersaudara, berkasih sayang, bersatu padu
rasa bersama bekerjasama
Manusia yang hidup nafsi-nafsi, fikir diri sendiri
orang lain apa peduli
Menjadi manusia mementingkan orang lain
menangis kerana penderitaan orang
sanggup susah untuk orang lain.
Bangsa yang tidak tahu erti maaf-bermaafan
Menjadi bangsa yang pemaaf, meminta maaf
membuat baik kepada orang
yang membuat jahat kepadanya
Rasulullah, berjaya mengenalkan keadilan
dan mempraktikkan keadilan
bersifat global dan sejagat
Keadilan di dalam hukuman
keadilan di dalam keluarga
di dalam menggunakan masa
di dalam harta, di dalam membuat kerja
menggunakan tenaga dan lain-lainnya
Berjaya memimpin kaum dan bangsa
yang bergaduh dan berperang beratus tahun
tanpa renti-renti boleh berhenti
Dan boleh pula berkasih sayang dan berpadu
bekerjasama dan rasa bersama
Boleh mengenalkan hak asasi setiap manusia
hingga menjadi piagam antarabangsa
Boleh mengasihani pengikut
Menjelang Zuhur
30 - 03 - 2003
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment