Kedatangan Islam di dunia adalah untuk menghiburkan manusia. Di situlah indahnya Islam. Islam itu menghibur. Penghibur yang paling besar ialah Tuhan yang Maha Agung. Kalau Tuhan itu dikenali dan kalau kita tahu kerja-kerja Tuhan, maka kita akan dapati Tuhan itu sangat menghiburkan. Tuhan adalah penghibur yang agung.
Mari kita lihat bagaimana Tuhan itu Maha Penghibur. Sebagai contoh:
- Perkara biasa yang selalu kita tempuh tetapi kita tidak sedar, iaitu menyedut udara. Udara itu udara Tuhan. Kalau tidak ada udara, kita akan mati. Ertinya, dapat menyedut udara itu satu hiburan. Ia menghiburkan tapi kita tidak sedar. Kalau Tuhan cabut udara itu, kita terseksa bahkan kita mati. Ertinya kita tidak terhibur.
- Bumi yang kita pijak adalah ciptaan Tuhan. Bila mendongak ke langit biru; itu langit Tuhan; ia menghiburkan mata. Melihat pemandangan hijau dan indah, pergi ke pasar mencari lauk, ikan, daging, sayur-sayuran dan lain-lain, ini semua menghiburkan. Tapi kita tidak perasan dan tidak pernah kita ceritakan. Kita hanya pandang bersahaja.
- Bila kita bekerja menggunakan tenaga, kita jadi letih dan perlu rehat. Tuhan bagi kita rasa mengantuk. Kalau kita tidak mengantuk walaupun cuba tidur, kita tidak boleh tidur. Ertinya mengantuk itu menghiburkan. Bila tidur, ia dapat menyegarkan badan. Badan kita pun segar kembali. Itu hiburan dari Tuhan.
- Bertemu dengan manusia, kita dapat meluahkan perasaan dan dapat berkongsi rasa. Dia juga meluahkan perasaannya kepada kita. Apabila dapat meluahkan perasaan, lega rasanya. Itu pun hiburan dari Tuhan. Tuhan menghiburkan kita setiap masa.
- Apabila kita membuat sesuatu perkara yang baik, kita disuruh menyebut nama Tuhan. Tuhan suruh kita sebut: Bismillahirrahmanirrahim (dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang). Tuhan pilih dua nama-Nya dari 99 nama Allah, iaitu Ar Rahman dan Ar Rahim. Dengan Ar Rahman, Tuhan beri kita segala macam nikmat. Dengan Ar Rahim, Tuhan beri kita segala macam rahmat. Cara itu Tuhan menghibur kita. Ertinya Tuhan kenalkan diri-Nya, 'Akulah penghibur.' Tuhan tidak suruh kita sebut: Bismillahijabbarulqahhar (dengan nama Allah yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa). Selama ini kita tidak perasan dan kita tidak sedar. Kita hanya tahu kalau sebut Bismillahirrahmanirrahim, kita dapat fadhilat. Kita tidak diajar bahawa Tuhan itu penghibur agung. Kita diajar fadhilat saja.
- Tuhan buat siang dan malam. Kejadian siang malam itu hiburan dari Tuhan. Kalau malam saja, ia menyusahkan kita. Demikian pula kalau siang saja. Siang untuk keperluan kerja. Malam untuk berehat iaitu dengan tidur. Bila bangun pagi, badan segar kembali dan penuh dengan tenaga yang baru. Tidak terhiburkah kita?
Kita tidak pernah diajar tauhid seperti ini. Tuhan itu penghibur agung, tidak ada penghibur seagung Tuhan. Sebab itulah Allah datangkan syariat, seolah-olah Tuhan berkata, "Kalau Aku menciptakan kamu, Aku adalah penghibur agung kamu. Sebab itu Aku buat syariat sebagai peraturan dan sistem hidup buat menghiburkan kamu."
SYARIAT: HIBURAN DARI TUHAN
Tuhan adalah penghibur agung. Didatangkan syariat itu sebagai hiburan kedua. Tetapi ramai manusia menganggap syariat itu menekan dan menyusahkan. Mereka kata syariat itu menghilangkan kebebasan. Bagaimana syariat itu merupakan hiburan dari Tuhan? Antaranya ialah:
- Syariat mengajarkan kita bahawa kalau orang bersalah, kita maafkan. Tidak terhiburkah? Padahal kalau tidak dimaafkan, betapa sakit perasaan orang itu.
- Tuhan kata jiran mesti dijaga walaupun kafir, perlu dibuat macam keluarga sendiri. Tidak terhiburkah?
- Bila berkawan, mesti setia. Tidak terhiburkah?
- Bila ada orang menentang kita dalam berdakwah, kita doakan dia. Tidak terhiburkah? Cuba baca sejarah orang yang paling kuat berjuang seperti para rasul yang tidak ada tandingannya. Baca sejarah Nabi Adam, Nabi Idris, Nabi Musa, Nabi Nuh, Nabi Daud. Mereka tidak pernah bunuh orang, kecuali Nabi Musa a.s. yang telah membunuh seorang lelaki Qibti sebelum baginda dilantik menjadi nabi. Itu pun secara tidak sengaja. Rasulullah SAW menyertai peperangan sebanyak 27 kali tetapi tidak sekali pun membunuh orang, padahal peluang ada. Walaupun ada peluang, Rasulullah memilih untuk maafkan. Tidak terhiburkah hati orang?
- Tuhan datangkan Rasulullah untuk menghiburkan manusia. Baginda sangat berlemah lembut dengan musuh-musuhnya. Kalau mereka tidak mahu masuk Islam, Rasulullah biarkan dengan harapan satu hari nanti anak cucunya masuk Islam. Tidak terhiburkah?
Kenapakah sesetengah ulama atau pejuang-pejuang Islam hari ini bila mengajak untuk berjihad, mereka hendak bunuh orang? Hendak tembak dan bom orang. Dari mana mereka belajar? Para rasul tidak ada yang berbuat begitu. Akibatnya orang kafir takut dengan Islam dan pejuang Islam malah orang Islam pun jadi takut.
Jadi Tuhan minta kepada manusia untuk menghiburkan orang dengan mencontohi Tuhan sendiri yang Maha Penghibur. Tuhan juga datangkan orang-orang-Nya yang berjuang untuk menghiburkan manusia. Walaupun mereka susah, yang penting orang terhibur. Bagi orang-orang Tuhan seperti ini, kesusahan itu sendiri satu hiburan kepada mereka.
Sajak
TUHAN PENGHIBUR AGUNG
Tuhan adalah penghibur yang Maha Agung.
Kalau kita faham Tuhan dan kerja-Nya
serta ciptaan-Nya
Dia adalah penghibur manusia
yang tidak ada taranya
Jika kita sedar bahawa Tuhan
penghibur yang Maha Agung
kita jatuh hati kepada-Nya
Bahkan kita bercampur takut kepada-Nya
kalau hiburan-Nya ditarik balik
atau ditarik semula
Mari kita kaji bahawa Tuhan itu
benar-benar Maha Penghibur manusia
Nafas turun naik, oksigen kepunyaan-Nya
bukankah itu hiburan untuk makhluk-Nya
Pijaklah bumi, bumi kepunyaan-Nya
tidakkah kita terhibur
Lihatlah ke langit, langit kepunyaan-Nya
bukankah itu hiburan juga
Lihatlah pemandangan yang hijau
sejuk mata memandangnya
bukankah itu hiburan dari ciptaan Tuhan
Di waktu lapar kita makan nasi dan lauk
rezeki dari Tuhan itukan hiburan
Di waktu sakit kita disembuh-Nya
senang dan terhibur hati dibuatnya
Dijadikan-Nya malam dan siang
siang mencari rezeki dan ilmu
bukankah itu hiburan dari Tuhan
Malam rehat setelah letih waktu siang
hiburan juga namanya
Di waktu hendak berseronok-seronok
kita ada isteri atau suami dari anugerah Tuhan hiburan bukan?
Suami isteri tempat melepaskan rindu dendam
nikmat dari Tuhan, itu adalah hiburan
Di waktu musafir atau mengembara
banyak jenis hiburan yang kita lihat
atau dapat atau rasa, hiburan dari Tuhan
Bahkan perkara yang negatif pun
merupakan hiburan dari Tuhan
kalau kita faham
Umpamanya sakit, miskin, kesusahan
ia adalah penghapus dosa atau darjat
atau pahala di Syurga
Bukankah itu berita gembira dari Tuhan
ia adalah hiburan jangka panjang
Itu semuanya hiburan dari Tuhan di sudut aqidah
Di aspek syariat Tuhan juga hiburan dari Tuhan
Ertinya syariat Tuhan atau disiplin hidup dari Tuhan adalah hiburan untuk insan
Mari kita lihat bahawa syariat Tuhan itu
adalah penghibur manusia
Tuhan menyuruh memaafkan orang bersalah
yang bersalah meminta maaf
bukankah itu satu hiburan
Siapa tidak terhibur jika diberi maaf
atau orang meminta maaf
Syariat menyuruh orang miskin dibantu
atau ditolong, bukankah itu hiburan
Berkawan kenalah setia
utamakan kawan dari diri sendiri itu
bukankah hiburan
Jiran disuruh hormati, tidak boleh disakiti
jiran disuruh buat sebagai keluarga sendiri
Bukankah itu hiburan untuk insan
siapa tidak suka?!
Syariat Tuhan menyuruh membuat baik
kepada orang yang membuat jahat
betapalah orang yang membuat baik
Itu adalah hiburan
Syariat menyuruh berkasih sayang
rasa bersama, bekerjasama, bertolak ansur
ini semuanya bersifat hiburan
Itu sebagai contoh yang mudah difaham
yang tidak disebut kiaskan sahaja
akan dapat jawapan
Jelas kepada kita bahawa Tuhan adalah penghibur
yang Maha Agung yang tiada taranya
Juga syariat-Nya membawa hiburan
kepada manusia.
Tetapi mengapa umat Islam berjuang menjadi kasar
ekstrim, membunuh?!
Mengapa umat Islam berjuang
menyusahkan dan menakutkan orang?
Padahal Islam membawa kasih sayang
Ia adalah hiburan!
Di mana kita belajar?
Hadis dan Al Quran tidak menyuruh demikian
Mengapa kita tersesat jalan, Islam adalah indah
ia membawa hiburan kepada setiap insan
kafir mahupun Islam
Persembahkanlah Islam kepada manusia
dengan kasih sayang dan khidmat
Kasih sayang dan khidmat adalah hiburan buat insan
Haraplah diambil ingatan
Menjelang tidur
30 - 03 - 2004
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment