Thursday, 21 April 2011

Sembahyang Membina Peribadi Sabar

1. 1. Sabar sebelum sembahyang

2. 2. Sabar di dalam sembahyang

3. 3. Sabar selepas sembahyang

1. MINTA PERTOLONGAN TUHAN UNTUK SABAR

4. Sajak Sembahyang Titik Tolak Segalanya

Sembahyang itu agung kerana melalui sembahyang, kita berhubung terus dengan Tuhan yang Maha Agung. Di antara ciri yang boleh menjadikan sesuatu bangsa itu bangsa yang agung adalah sifat sabar. Sabar itu ialah tahan menanggung atau menerima ujian dan kesusahan dalam mencari redha Tuhan. Orang yang sabar itu, dia takut dengan Tuhan. Takutkan Tuhanlah pemangkin bagi sifat sabar. Takutkan Tuhan boleh didapati dalam sembahyang yang dihayati sungguh-sungguh. Siapa dapat sabar ertinya sudah mendapat perisai dari tipuan syaitan.

Sifat sabar lebih utama bagi seorang pemimpin. Oleh itu sifat sabar yang tertinggi dihadiahkan Tuhan kepada pemimpin, kepada para rasul terutamanya yang Ulul 'Azmi. Sabar adalah syarat utama bagi seorang pemimpin. Mereka hanya layak menjadi pemimpin untuk mengatur dan mentadbir manusia sekiranya mereka memiliki sifat sabar. Bahkan Tuhan ada menyebut dalam Al Quran:

Maksudnya: "Dan Kami pusakakan kepada kaum yang telah ditindas itu, negeri-negeri bahagian timur bumi dan bahagian baratnya yang telah Kami beri berkah padanya. Dan telah sempurnalah perkataan Tuhanmu yang baik (sebagai janji) untuk Bani Israel, disebabkan kesabaran mereka." (Al A'raf: 137)

Selain itu, dalam sembahyang ada ubat, ada pil untuk menjadikan seseorang itu sabar. Sama ada kita sedar atau tidak, sembahyang melatih dan mendidik kita supaya mendapat sifat sabar di tiga tempat iaitu:

  1. Sebelum sembahyang
  2. Di dalam sembahyang
  3. Selepas sembahyang

1. Sabar sebelum sembahyang

Hendak bersembahyang pun satu ujian. Contohnya, bilamana sembahyang belum sebati dalam diri, bukan senang hendak bangun sembahyang Subuh sewaktu kita sedang sedap tidur. Sebab itu sesetengah orang, apabila terjaga dari tidur, dia duduk-duduk dan menung dulu. Bukan istighfar tetapi mengenangkan betapa beratnya hendak pergi bilik air. Kalau tidak sabar, kita akan tidur balik.
Kemudian hendak ke bilik air, di situ ada tandas yakni ada najis. Memang kita tidak suka tetapi terpaksa. Setengah jam sebelum sembahyang kena bersiap-siap, mandi dan sebagainya. Kita terpaksa bertarik tali dengan diri sendiri. Tanpa sedar di sini ada latihan sabar. Nyata sebelum sembahyang pun sudah perlu banyak sabar.
Bagi orang yang merasakan sembahyang itu indah, hal ini semua jadi mudah. Bahkan bila hendak masuk waktu sembahyang, mereka sudah gelisah dan tidak seronok hendak buat kerja lain atau hendak tidur kerana terlalu rindu untuk bertemu Tuhan.

2. Sabar di dalam sembahyang

Seseorang yang menghayati sembahyang dia akan jumpa banyak perkara-perkara yang besar, yang sangat memukul rohnya di dalam sembahyang. Contohnya bila kita sebut:

Maksudnya: "Tuhan yang menguasai dan mentadbir hari Akhirat." (Al Fatehah: 4)

Kita pasti akan sampai ke Akhirat jua nanti. Bagaimana keadaan kita nanti? Kalau dihayati, cuba dirasai dan dibayangkan segalanya, tentulah sangat mencemaskan. Bagaimana kita hendak hadapi Tuhan di Akhirat nanti?

Di sinilah didikan sembahyang yang sangat mendidik hati, yang akan jadi pemangkin supaya seseorang itu boleh bersabar. Bersabar melaksanakan suruhan Tuhan dan bersabar meninggalkan larangan Tuhan kerana takutkan Neraka dan inginkan Syurga-Nya. Biarlah bersusah-susah sedikit. Biarlah tidak dapat mengikut kehendak nafsu asalkan di Akhirat kita selamat. Dengan itu ia memudahkan kita untuk bersabar.

Untuk mudah dilogikkan, ia sama seperti orang yang mengejar dunia. Hendak sekolah bukan seronok. Hendak belajar bukan senang. Hendak masuk universiti bukan mudah. Tetapi demi untuk menjadi pandai, supaya dapat kerja dan jawatan yang tinggi, bersusah payah pun dibuat juga. Orang boleh bersabar menghadapi apa yang dia benci, apa yang dia tidak suka dan apa yang menjemukannya, asalkan matlamat dan cita-citanya tercapai.

Kalau kita lihat dalam sembahyang itu ada banyak lagi perkara yang besar-besar. Antaranya, kita sebut berulang kembali 'Allah Maha Besar', kalimah yang memukul jiwa kita berapa ratus kali ganda lebih hebat. Tuhan boleh hidupkan, matikan, senangkan dan susahkan. Kalau ini yang menekan perasaan kita, itulah yang menjadi pemangkin untuk kita sabar di dalam sembahyang.

3. Sabar selepas sembahyang

Kalau sembahyang itu benar-benar dihayati, perkara-perkara besar yang kita dapat di dalam sembahyang akan menyebabkan kita rasa takut kalau-kalau di Akhirat kita terjunam ke Neraka yang dahsyat. Maka perkara-perkara yang Tuhan benci dan yang tidak senonoh, kita tidak akan buat. Bahkan dari tidak suka berkorban, kita akan berkorban. Dari tidak suka taat, kita akan taat. Dari tidak suka hendak berjuang, kita akan berjuang dan sanggup bersusah payah untuk Tuhan.

Sembahyang mendidik kita supaya sabar. Tetapi berapa orang yang dapat sabar. Rasanya dalam 100 000 orang, mungkin ada seorang sahaja. Bagi ramai orang, buah hasil sembahyang bukan sahaja tidak sabar, bahkan mazmumah pun tidak terangkat. Maksiat masih dibuat. Sembahyang hanya jadi budaya atau jadi adat. Orang sembahyang, dia pun sembahyang. Kalau tidak buat, malu pula dengan orang lain. Seperti orang pergi kenduri-kendara, dia pun pergi. Tidak pergi, tidak boleh. Nanti apa orang kata. Pergi sembahyang dengan pergi kenduri, sama sahaja niatnya.

Seseorang yang berdiri di hadapan Tuhan dengan penuh penghayatan akan sabar. Penyakit tidak sabar boleh diubati melalui sembahyang. Sabar itu seolah-olah membuat kita jadi kebal. Perpecahan berlaku di mana-mana sebab kita tidak kebal. Kita tidak kebal kerana kita tidak sembahyang.

Segala yang besar-besar, yang kita dapat di dalam sembahyang akan melahirkan perasaan takut, kecut, gerun dan hebat kepada Tuhan. Kita buat berbagai janji dan ikrar di dalam sembahyang. Selepas sembahyang, janji dan ikrar itu akan memburu kita. Itulah yang akan jadi pemangkin untuk kita sabar. Kita sanggup bersabar dengan kerja-kerja Tuhan, kerana kita meyakini Neraka itu lebih dahsyat azabnya dan Syurga itu lebih hebat nikmatnya.

MINTA PERTOLONGAN TUHAN UNTUK SABAR

Di dalam Al Quran, Tuhan berfirman:

Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar." (Al Baqarah: 153)

Ertinya oleh kerana untuk mendapat sabar itu sangat susah dan berat, para hamba diperintah supaya meminta pertolongan Tuhan untuk bersabar. Mintalah pertolongan Tuhan agar lahir dan batin kita di dalam sembahyang dipimpin dan diberi kekuatan oleh Tuhan. Mintalah pertolongan Tuhan untuk dapat kita memiliki sifat sabar.


Sajak Sembahyang Titik Tolak Segalanya

Kebaikan seseorang hamba itu
Bermula daripada membaikkan sembahyangnya
Dari sembahyanglah titik tolak segala-galanya
Apabila sembahyang itu sempurna lahir batinnya
Khusyuk, khuduk, tadharuk
dan faham apa yang dibaca
Selepas itu rahmat dan berkat daripada Tuhan pun mencurah-curah
Dianugerahkan kepadanya
Allah Taala akan bersihkan jiwanya
Tuhan akan masukkan hidayah ke dalam hatinya
Cinta, takut, kasih sayang, pemurah, bertimbang rasa
Sabar, redha, tawakal, pemaaf pun berbunga
Kelihatan pula kepada peribadinya
syariatnya sangat dijaga
Akhlak mulianya
disiplin peribadinya ketara
Kerana itu betulkan sembahyang kita
Hayati sembahyang hingga kita terasa
bahawa kita menyembah-Nya
Janganlah kita anggap jiwa boleh dibersihkan
tanpa sembahyang
Atau boleh jiwa kita dimurnikan
dengan sembahyang yang lebih kurang
Sembahyang adalah ibu ibadah
Sembahyang adalah sumber segala kebaikan
Di dalam Islam sembahyang sangat diambil perhatian
Apabila baik sembahyang
segala-galanya akan menjadi baik
Jika sembahyang sudah dicuaikan
Atau bersembahyang tidak ada penghayatan
Maka seluruh pintu kebaikan akan tertutup
Kalau ada juga orang boleh buat kebaikan
tanpa sembahyang
Ini adalah kebaikan bukan bertunjangkan iman
Boleh jadi kebaikan itu secara kebetulan
atau ikut-ikutan
Haraplah diambil perhatian
tentang sembahyang

27 - 09 - 1999

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

No comments:

Post a Comment