2. 2. Apabila tidak takut Tuhan, perkara yang bukan masalah, iaitu perkara yang disukainya, pun menjadi masalah
3. 3. Cara menilai masalah sudah tidak tepat
4. Sajak 1 Orang yang Bersalah dari Kesalahan Orang Lain
5. Sajak 2 Punca Masalah ialah Tidak Kenal Tuhan dan Peranan-Nya
Di dunia hari ini, orang menilai masalah tidak sama. Ma- salah yang dimaksudkan di sini ialah sesuatu yang orang tidak suka. Sesuatu yang menekan dan menyusahkan orang. Sesuatu yang menghimpit, yang membuatkan orang risau, bimbang dan susah hati. Kebanyakan masalah tidak disukai orang. Jadi, masalah yang tidak disukai oleh manusia itu dinilai tidak sama. Kadang-kadang masalah tidak dikatakan masalah. Manakala yang bukan masalah dikatakan masalah.
Pandangan orang secara umum hari ini, ada di antara masalah itu sangat ditakuti bahkan hendak dibanteras. Di antaranya ialah masalah kemiskinan, sakit atau kemunduran. Sedangkan pada Tuhan dan pada orang bertaqwa, sakit, miskin dan kemunduran bukan masalah. Tuhan tidak kata, siapa mundur berdosa atau masuk Neraka. Adakah Hadis atau ayat Al Quran yang mengatakan, "Siapa sakit masuk Neraka," atau "Siapa sakit Tuhan benci?" Kalau tidak ada, itu menunjukkan ia bukan masalah.
Jadi kenapa manusia menganggap sesuatu yang Tuhan katakan bukan masalah itu sebagai satu masalah. Mengapa kebanyakan manusia sama ada pemimpin, ulama atau rakyat biasa menganggap perkara-perkara yang disebutkan tadi itu sebagai masalah. Malah apa yang menjadi masalahnya di sini ialah bilamana masalah yang bukan masalah itu dijadikan masalah, maka ia menimbulkan masalah yang lebih besar lagi. Jadi apakah masalah yang sebenarnya? Apakah masalah yang paling besar? Siapakah yang boleh menjawab persoalan ini?
Sebenarnya masalah yang paling besar ialah tidak takut Tuhan. Namun tidak pernah orang sebut bahawa masalah tidak takut Tuhan itu masalah yang paling besar. Walhal, masalah yang paling besar di dunia hari ini ialah orang tidak kenal dan tidak takut Tuhan.
Apakah kesannya bila orang tidak takut Tuhan?
1. Apabila tidak kenal dan tidak takut Tuhan, perkara yang sepatutnya bukan masalah menjadi masalah
Contohnya kemiskinan sepertimana yang disebutkan di atas tadi. Walaupun kebanyakan manusia tidak suka miskin, tapi ia bukan masalah. Bagi orang miskin yang tidak kenal dan tidak takut Tuhan, kemiskinan menjadi masalah kepadanya. Bila menjadi masalah, orang susah hati, menderita, jadi risau dan resah, maka ia menjadi masalah.
Ia akan lebih lagi menjadi masalah kalau mereka tidak sabar. Akhirnya mereka mencuri, menipu, merompak dan mungkin membunuh orang. Bila masalah yang pertama itu wujud, iaitu tidak takut Tuhan, yang tidak menjadi masalah seperti kemiskinan akhirnya menjadi masalah.
2. Apabila tidak takut Tuhan, perkara yang bukan masalah, iaitu perkara yang disukainya, pun menjadi masalah
Di antaranya ialah pandai. Pandai bukan masalah. Begitu juga kaya, ia bukan masalah kerana semua orang suka. Berjawatan tinggi bukan masalah sebab semua orang suka. Jadi pemimpin juga bukan masalah. Tetapi bila masalah yang satu itu wujud iaitu tidak takut Tuhan, perkara yang bukan masalah menjadi masalah. Ini lebih-lebih lagi ramai manusia yang tidak sedar dan tidak faham. Sebagai contoh:
a. Pandai
Pandai itu bukan masalah. Tanyalah sesiapa pun. Tidak ada siapa pun yang berkata tidak mahu menjadi pandai kerana ianya menjadi masalah. Tidak ada orang yang mengatakan yang pandai itu akan menjadi penyakit masyarakat.
Sebaliknya hari ini, kepandaian sudah menjadi masalah kerana tidak takut Tuhan. Bila pandai tetapi tidak takut Tuhan, datang sifat sombong hingga menjadi masalah. Datang rasa ego hingga menjadi masalah. Bila pandai dan tidak takutkan Tuhan, dia menghina orang yang tidak pandai. Bukankah itu sudah menjadi masalah? Padahal kepandaian sebenarnya bukan masalah. Tetapi bila manusia tidak takut Tuhan, yang bukan masalah menjadi masalah. Pandai pun boleh jadi masalah. Kerana pandai, boleh bergaduh.
Jadi puncanya ialah tidak takut Tuhan. Tidak takut Tuhan inilah yang mesti dibanteras dulu. Inilah punca masalah. Bagi orang yang tidak takut Tuhan, yang bukan masalah pun menjadi masalah betapalah kalau memang perkara itu masalah, bertambah lagilah bermasalah dan berentetanlah masalah itu. Justeru itu kita mesti kempen supaya orang takutkan Tuhan.
b. Kaya
Kaya juga bukan masalah. Semua orang hendak dan suka menjadi kaya. Tetapi bila tidak takut Tuhan, orang kaya akan melahirkan masalah seperti menjadi bakhil, tamak, sombong, melakukan pembaziran, nafsi-nafsi, menghina orang miskin dan lain-lain lagi. Dari situ timbul bermacam-macam masalah dalam masyarakat. Di sini kita lihat, betapa banyak masalah timbul dari sesuatu yang bukan masalah hanya kerana tidak takut Tuhan.
c. Pemimpin
Begitu juga menjadi pemimpin bukan satu masalah. Semua orang suka adanya pemimpin. Sama ada rakyat suka pemimpin, mahupun yang punya diri suka menjadi pemimpin. Itu bukan masalah. Semua orang tahu itu bukan masalah. Tetapi bila tidak takut Tuhan, ia menjadi masalah. Misalnya bila sudah dapat jadi pemimpin, dia menjadi sombong dan ada kepentingan diri. Dia menjadi zalim lebih-lebih lagi bila hendak mempertahankan kedudukannya. Dia akan cantas musuh-musuhnya. Dia akan bagi rasuah supaya ada orang mempertahankannya. Begitulah perkara yang asalnya bukan masalah tetapi bila tidak takut dengan Tuhan, akhirnya menjadi masalah.
3. Cara menilai masalah sudah tidak tepat
Selain itu, nilaian manusia hari ini terhadap masalah pun sudah tidak tepat. Mereka menilai masalah yang kecil dan remeh-temeh sebagai masalah besar. Katalah miskin itu adalah masalah. Itu remeh-temeh tetapi sudah jadi masalah besar. Bahkan berlakunya macam-macam masalah dan kerosakan yang lebih besar di dunia hari ini adalah berasal daripada perkara yang orang anggap bukan masalah. Semuanya berpunca daripada tidak takut Tuhan.
Kerosakan atau masalah yang ditimbulkan oleh orang miskin atau orang bodoh yang tidak takut Tuhan hanya kecil-kecil saja. Sebaliknya kerosakan yang dibuat oleh orang-orang cerdik pandai atau pemimpin yang tidak takut Tuhan, mengakibatkan negara lingkup dan habis wang serta khazanah negara.
Jadi bila semakin banyak perkara yang dianggap masalah maka semakin banyak masalah timbul. Perkara kecil jadi besar dan masalah besar dikatakan kecil. Ada masalah paling besar tapi tidak dianggap masalah iaitu masalah tidak takut Tuhan. Walhal daripada tidak takut Tuhanlah melahirkan macam-macam masalah. Yang tidak menjadi masalah pun akhirnya menjadi masalah.
Jadi hal-hal yang beginilah yang mesti difahami oleh semua orang. Kalau tidak kenal masalah, masalah tidak akan habis. Makin difikirkan masalah, makin banyak masalah timbul. Sedangkan bagi Tuhan, masalah paling besar ialah orang tidak takut Tuhan. Bila tidak takut Tuhan, yang buruk bertambah buruk dan yang baik pun menjadi buruk. Jawatan misalnya, ia perkara baik tetapi bila tidak takut Tuhan, ia akan jadi negatif dan akan melahirkan kerosakan.
Jadi para pejuang kebenaran mesti berani ketengahkan perkara ini dalam forum, ceramah, motivasi, majalah atau apa saja media massa supaya dunia dapat melihat apa sebenarnya masalah yang berlaku. Kalau tidak kenal masalah sebenarnya, masalah tidak akan habis. Bahkan makin memikirkan masalah, makin banyak masalah timbul.
Ditekankan lagi bahawa masalah yang paling besar ialah tidak takut Tuhan. Bila tidak takut Tuhan, yang positif jadi negatif dan yang negatif bertambah negatif. Yang baik pun menjadi buruk. Yang buruk bertambah buruk. Ini kerana orang yang tidak takut Tuhan akan menyalahgunakan apa yang ada seperti menyalahgunakan kemiskinan, kemunduran, sakit, ilmu, kekayaan, jawatan, kepandaian dan lain-lain lagi. Positif dan negatif akhirnya sudah jadi sama. Sepatutnya biarlah yang baik tidak jadi masalah. Biarlah masalah atau perkara yang negatif sahaja yang jadi masalah. Masalah yang sebenar ialah tidak kenal dan tidak takut Tuhan!
Sajak 1 Orang yang Bersalah dari Kesalahan Orang Lain
Ramai orang bersalah kerana kesalahan orang lain
Bahkan sering sahaja berlaku orang buat salah
kerana kesalahan orang
Adakalanya kesalahan itu lebih besar
daripada kesalahan orang terhadapnya
Mengikut Tuhan, orang yang bersalah
kerana orang itu membuat salah kepadanya
tetap dianggap salah
Itu berdendam namanya
berdendam adalah salah dan haram
Tiada siapa yang boleh menghukum orang lain
sekalipun membuat salah kepadanya
kecuali melalui pemerintah
Kesalahan itu mestilah dihukum
mengikut ketentuan Allah
atau yang tidak ditentukan adalah takzir
berdasarkan kebijaksanaan hakim
Kesalahan yang berlaku kerana kesalahan orang
lumrah berlaku di mana-mana sahaja
di dalam kehidupan
Orang sombong dengannya
dia pun berdendam dengannya
menunggu peluang untuk merosakkan orang itu
dia pun fitnah orang itu
Orang tipu dia, dia pun marah
kemudian orang itu dipukulnya
Orang fitnah dia, dia pun sakit hati
dibakarnya rumah orang itu hingga musnah
Ada orang mengganggu anak isterinya
kerana marah, dibunuhnya orang itu
kesalahannya lebih besar daripada orang itu
Ada orang menghina dia, dia pun membenci
setiap kali bertemu dimakinya orang itu
Orang curi barangnya
dia umpat merata negeri orang itu
hingga orang itu malu
Tidak kurang ada orang mencerca kita
mengata-ngata kita, kita doakan dia kebinasaan
atau kecelakaan
Cukup sekadar itu sebagai contoh
yang lain kiaskan sahaja
Begitulah umat Islam hari ini di seluruh dunia
mereka sering berdosa
kerana dosa orang lain kepadanya
Mereka melakukan kesalahan
kerana kesalahan umat Islam yang lain kepadanya
Di mana ada persaudaraan?
Di mana kasih sayang?
Di mana perpaduan?
Di mana maaf-bermaafan?
Maaf-bermaafan sudah tidak ada
bertolak ansur sudah tidak berlaku
berlapang dada sudah hilang
04 - 03 - 2004
Sajak 2 Punca Masalah ialah Tidak Kenal Tuhan dan Peranan-Nya
Ada masalah di dalam kehidupan
bukanlah satu masalah
Masalah memang sudah menjadi sunnatullah
di dalam kehidupan di kalangan insan
Yang menjadi masalah, bukan masalah itu
tetapi yang menjadi masalah
orang tidak tahu peranan Tuhan
Tidak kenal Tuhan dan peranan-Nya
itulah yang sebenarnya masalah
Jadi sudah jadi dua masalah
yang bukan masalah jadi masalah
yang masalah memanglah masalah
Apabila tidak kenal peranan Tuhan
masalah itu memanglah jadi masalah
dua kali masalah
Kalaulah masalah itu adalah jadi masalah
kekasih Tuhan tidak akan ditimpakan masalah
Kalaulah masalah itu adalah masalah
rasul, nabi, Tuhan tidak akan
timpakan mereka masalah
Tapi Tuhan datangkan berbagai-bagai masalah
kepada kekasih-Nya
Tuhan tahu pada mereka bukan masalah
Kerana itulah mereka ditimpakan masalah
Pada mereka masalah itu adalah ibadah
Masalah itu adalah pahala dan Syurga
Masalah itu adalah kecintaan dan keredhaan Allah
Kerana itulah masalah itu
mereka tidak jadikan masalah
Bahkan mereka rasa bahagia dengan masalah
Dengan masalah rasa kehambaan mereka bertambah
Rasa kehambaan itu adalah ibadah kepada mereka
pangkat dan darjat di dalam Syurga
Oleh itu Tuhan sering sahaja menambahkan mereka itu
dengan berbagai-bagai masalah
Tuhan bertambah cinta kepada mereka
dengan masalah, yang mereka anggap
bukan masalah tapi ibadah
Maha Suci Tuhan dari menyeksa kekasih-kekasih-Nya
Orang yang bodoh sahaja
yang tidak faham kerja-kerja Allah
Pada Tuhan masalah yang ditimpakan
kepada kekasih-kekasih-Nya
bukanlah masalah
Kerana itulah Tuhan biarkan sahaja
mereka bermasalah
Dengan masalah-masalah itulah
mereka mendapat ketinggian darjat
di dalam Syurga
Sungguh pelik kerja Tuhan
payah hendak difaham oleh orang biasa
Menjelang Maghrib
08 - 03 - 2004
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi
No comments:
Post a Comment