Saturday, 23 April 2011
Thursday, 21 April 2011
Agama Yang Khalis
Maksudnya: "Kepunyaan Tuhanlah agama yang murni itu." (Az Zumar: 3)
Semoga huraian kepada ayat ini menjadi ilmu yang kita boleh fahami, hayati dan applykan dalam kehidupan kita. Ayat ini boleh dihuraikan dalam tiga bahagian:
1. Kepunyaan Tuhan
2. Ad Din
3. Agama yang murni (khalis)
KEPUNYAAN TUHAN
Tuhan memiliki satu khazanah kepunyaan-Nya yang paling berharga. Satu khazanah yang terlalu indah, cantik, selamat dan menyelamatkan. Sewaktu di alam roh, Tuhan telah menawarkan khazanah-Nya yang paling berharga ini kepada bumi, langit dan gunung-ganang. Tuhan telah mempromosi betapa cantik, indah, selamat dan menyelamatkan khazanah ini lalu ia mesti dijaga betul-betul dan dipelihara dengan penuh bertanggungjawab. Dari itu datanglah takut pada bumi, langit dan gunung-ganang. Mereka menolak tawaran Tuhan kerana takut tidak dapat menjaga amanah dan tidak dapat bertanggungjawab.
Maka akhirnya Tuhan menghadapkan khazanah ini kepada roh-roh manusia. Mendengarkan keindahan khazanah itu tanpa rasa cemas terhadap tanggungjawabnya, mereka berkata, "Kami sanggup, wahai Tuhan." Waktu di alam roh, kita mengaku tetapi bila roh masuk ke jasad, kita lupa. Lantas untuk mengingatkan kembali kepada manusia akan amanah yang diberi oleh Tuhan, inilah hikmahnya Tuhan datangkan rasul, nabi, mujaddid dan para ulama ul amilin. Khazanah Tuhan yang berharga itu adalah Ad Din. Ad Din atau agama sebenarnya adalah khazanah kepunyaan Tuhan yang paling berharga.
Rupa-rupanya kita telah berjanji dengan Tuhan di alam arwah (roh) untuk menjaga amanah ini. Satu amanah yang langit, bumi dan gunung-ganang tidak sanggup menerimanya tetapi kita sanggup. Amanah ini adalah Ad Din iaitu agama yang murni.
AD DIN
Ad Din adalah khazanah Tuhan yang cantik, indah, selamat dan menyelamatkan. Ad Din bermaksud agama. Dalam bahasa Sanskrit 'a-' maknanya tidak, 'gama' maknanya berpisah-pisah atau bercaing-caing. 'Agama' ertinya tidak berpisah-pisah, tidak bercaing-caing.
Dalam bahasa Arab, Din itu agama yang bermaksud cara hidup. Maka agama adalah satu cara hidup yang tidak boleh dipisah-pisahkan antara satu sama lain. Ertinya ia berangkai. Kita tidur, itu cara hidup, mesti jadi agama. Bangun dari tidur juga cara hidup, mesti jadi agama. Selepas itu sembahyang Subuh, itu cara hidup yang mesti jadi agama. Sarapan pagi juga cara hidup, mesti dijadikan agama. Kita pergi kerja, itu cara hidup yang mesti jadi agama. Jadi tidur, bangun, aktif bergerak, semuanya adalah aktiviti manusia yang pelbagai bentuk, tetapi ia berangkai, tidak terpisah. Masa juga tidak memisahkannya kerana masa itu bersambung. Rupa-rupanya agama adalah cara hidup yang tidak boleh dipisah-pisahkan.
Janganlah hanya sembahyang, puasa, naik haji jadi agama tetapi di dalam pekerjaan, berekonomi, bermasyarakat, berpendidikan tidak jadi agama. Sedangkan semuanya mesti berangkai. Pergi mengembara jangan terkeluar dari agama. Kita bangunkan ekonomi, itu dunia, itulah juga agama. Di dalam mentadbir, berkebudayaan, kesihatan, perhubungan, jangan ia dipisahkan dari agama.
Apa pun aktiviti hidup mesti kita agamakan. Mesti ada hubung kait dengan Tuhan. Tuhan mahu apa sahaja cara hidup kita sama ada yang lahir atau batin, jangan terkeluar dari agama. Apa pun dibuat mesti jadi agama. Kerana kita telah berjanji kepada Tuhan di alam arwah untuk menerima amanah dan tanggungjawab menjaga agama-Nya. Mampukah nanti di Akhirat kita bertanggungjawab di hadapan Tuhan kalau agama-Nya kita khianati?
Perumpamaan Din itu adalah sebagai jaring. Jaring yang elok boleh mendapatkan sesuatu, contohnya ikan. Tetapi kalau jaring itu sudah bolong merata-rata, tentu tidak dapat ikan. Apa maksud jaring bolong? Iaitu hidup kita dari mula bangun, bekerja, ada yang dijadikan agama, ada yang dijadikan dunia. Ibarat jaring bolong, tidak dapat ikan. Ertinya Islam kita tidak lengkap. Bila tidak lengkap, tidak boleh dapat taqwa. Bila tidak dapat taqwa, inilah rahsianya mengapa umat Islam tidak maju, tidak mendapat bantuan Allah SWT. Sedangkan Allah berfirman dalam Al Quran:
Maksudnya: "Allah jadi pembela bagi orang bertaqwa." (Al Jasiyah: 19)
AGAMA YANG KHALIS (MURNI)
Setidak-tidaknya ada dua maksud agama yang murni:
1. Agama yang khalis bermaksud agama yang murni, 'pure' atau tulen. Ertinya tidak boleh sebahagian hidup jadi agama, sebahagian lagi jadi dunia. Bila sudah bercampur hal-hal dunia maka tidak 'pure' lagi agama kita.
Bila sembahyang di masjid, itu banyak hablumminallah. Sedangkan di pasar ada hablumminallah dan ada hablumminannas. Hablumminannas adalah hubungan dengan manusia seperti tidak terlalu berkira, mesra, jujur dan berkasih sayang semasa berniaga. Hablumminallah bermaksud hatinya bersama Allah secara batin sewaktu berniaga. Perniagaan itu diniatkan sebagai suatu ibadah kepada Tuhan dan suatu khidmat kepada manusia. Kiranya ada keuntungan akan disedekahkan kepada jalan Allah. Itu yang dimaksudkan di pasar itu kita beragama.
Apa yang berlaku sekarang sembahyang jadi agama, tapi apabila di pasar sudah bukan agama. Boleh tipu-menipu, tindas-menindas, mengamal riba dan sebagainya. Bahkan sekarang di masjid pun sudah tidak ada agama yang tulen. Di masjid pun hal agama telah dicampur dengan hal dunia. Kadang-kadang hal agama diduniakan. Di pejabat lagilah susah. Khalis itu maksudnya jangan agama dengan dunia dicampur. Manusia telah merosakkan agama Tuhan apabila urusan kehidupan diduniakan.
2. Agama murni yang batin itu bagaimana? Di dalam agama, niat adalah penting. Niat adalah roh ibadah. Kalau niat sudah rosak, rosaklah semuanya.
Peranan niat ini sangat penting. Apa pun yang kita lakukan walaupun sekecil-kecil perkara, jangan diniatkan selain kerana Tuhan. Contoh, "Aku hendak sembahyang jemaah di masjid, Tuhan suka." Kemudian ada pula terselit niat, "Aku suka sembahyang di masjid sebab orang selalu kenduri." Itu sudah tidak khalis. Ada niat kerana Allah, ada kerana hendak makan.
IKHLAS YANG BERCAMBAH
Tuhan hanya menerima apabila agama yang kita sembahkan itu agama yang murni. Jangan ada termasuk kerana selain Allah. Bagi orang yang benar-benar menghayati agamanya, bukan saja dapat khalis yang asas bahkan bercambah lagi. Contohnya, "Saya hendak sembahyang jemaah di masjid kerana itu kesukaan Tuhan. Nanti bolehlah berkasih sayang dan bersilaturrahim. Di masjid itu ramai orang, boleh berbincang tentang Islam, tentang perjuangan. Di sebelah masjid ada restoran, senanglah hendak belanja kawan."
Maka ikhlasnya disuburkan, dicambahkan lagi. Sedangkan kalau kita dapat murnikan niat yang asas pun sudah cukup. Namun ada orang yang kerana ikhlasnya, niat asalnya bercambah-cambah lagi kerana terlalu menghayati Tuhan.
Jadi yang dimaksudkan agama yang khalis itu adalah agama yang benar-benar tulen, sama ada yang lahir mahupun niat yang batin. Hari ini bukan sahaja yang batin, yang lahir pun sudah rosak. Hingga yang bukan agama pun dianggap agama.
Kesimpulannya, yang dikatakan Din atau agama, ialah sesuatu kepunyaan Tuhan, khazanah milik Tuhan yang maknanya adalah cara hidup. Cara hidup itu pula berangkai-rangkai dan tidak boleh dipisah-pisahkan. Dengan maksud seorang itu hendaklah beragama dengan cara hidup yang Tuhan aturkan dan dalam beragama hendaklah ikhlas. Agama tidak boleh dicampurkan dengan ideologi lain atau dengan niat-niat lain. Agama Islam yang khalis itu adalah agama yang murni, pure dan tulen. Ia cara hidup yang tidak berpisah-pisah atau bercaing-caing. Agama Islam yang khalis itulah agama yang selamat dan menyelamatkan.
Sajak
Ilmu untuk Mencari Kebenaran
Marilah kita menjadi orang yang berilmu
supaya kenal Tuhan
cinta kepada-Nya
takut terhadap-Nya
tunduk kepada-Nya
Pandai pula kita bersyukur
pandai bergaul mengikut syariat
agar selamat
Jangan menjadi orang yang berilmu dan pandai
sombong dan takabur
Sombong dan takabur perangai syaitan
Mengapa kita jadikan ilmu dan kepandaian
perangkap syaitan
Jangan pula dengan ilmu dan kepandaian
dengan tujuan cari makan
Mengapa pula ilmu
dijadikan barang murahan
Ilmu sangat mahal buat insan
Hidup cari makan perangai haiwan
Mengapa kita yang berilmu dan pandai
jatuhkan diri ke taraf haiwan
yang tidak ada ilmu dan kepandaian
Ilmu fungsinya mencari kebenaran
Kebenaran adalah mahal
hanya ilmu sahaja yang dapat mengenalkan
Ilmu adalah cahaya
menyuluh jalan kehidupan
menuju ke Akhirat untuk keselamatan
Kalau ilmu hanya untuk berbangga
dan untuk cari makan
Haiwan yang tidak masuk sekolah
pandai cari makan
Perkataan mencari makan
sangat menjatuhkan maruah insan
Apatah lagi insan yang berilmu
dan berkepandaian
lebih-lebih lagilah maruahnya tercemar
Menjelang tidur
21 - 02 - 2004
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi |
Demi Waktu Dhuha Dan Waktu Malam
AL QURAN KHAZANAH ILMU
Al Quran sebenarnya adalah khazanah ilmu. Khazanah ilmu dunia dan ilmu Akhirat. Siapa yang faham tentang Al Quran ertinya orang itu memiliki ilmu dunia dan Akhirat. Bila Al Quran difahami, dihayati dan diapplykan, maka orang itu akan maju di dunia dan Akhirat. Itulah Al Quran.
Bila dikatakan khazanah, ia adalah bahan mentah yang belum diproses dan belum dicaing-caing lagi. Bila hendak diproses, ia memerlukan kepakaran. Oleh kerana Al Quran itu merupakan khazanah, pakar yang pertama dan utama yang mampu menggali isi Al Quran ialah Rasulullah SAW. Itulah yang dikatakan Hadis dan Sunnah. Seolah-olah Hadis dan Sunnah itu satu alat yang sangat canggih untuk memproses Al Quran. Sehingga terkeluarlah isi Al Quran itu dalam berbagai aspek dan bidang.
Al Quran mengandungi ilmu yang berlapis-lapis. Di dalam ilmu ada ilmu, di dalam ilmu ada ilmu lagi. Ianya berkembang. Kerana itulah tidak cukup Hadis yang memproses, maka datanglah pakar-pakar dari golongan ulama untuk memproses lagi. Berbagai-bagai ilmu akan keluar, sesuai dengan perkembangan manusia dan sesuai dengan kemajuan manusia.
Tetapi apa yang kita lihat hari ini, pakar-pakar sudah tidak mampu menggali isi Al Quran. Entah di manalah salah dan silapnya. Kalau ibarat mendapat emas seketul, pakar-pakar itu tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan emas seketul itu. Sedangkan ia mesti dibuat cincin, kalung, gelang dan sebagainya barulah boleh digunakan dan dimanfaatkan.
Lantaran itu kalau ditanya kepada para pelajar jurusan agama sama ada mereka boleh jelaskan ilmu psikologi dalam Al Quran, mereka tidak akan boleh menjawab. Begitu juga jika ditanyakan tentang ilmu kemasyarakatan dalam Al Quran atau ilmu falsafah dalam Al Quran, mereka tidak boleh menjawab. Yang boleh mereka jawab adalah tentang ilmu hukum-hakam, halal dan haram. Khazanah ilmu sejarah, ilmu ekonomi, ilmu politik dalam Al Quran sudah tidak dapat dicungkil.
Walaupun Al Quran dan Hadis masih dapat dihafaz dan ilmu hukum-hakam meluas, kalau dinisbahkan dengan bahan makanan, maka sudah banyak. Ada ikan, sotong, daging dan sebagainya. Tetapi bila hendak disajikan, semuanya masih mentah. Lantas orang terpaksa makan makanan mentah. Oleh kerana tidak boleh diproses, ilmu itu akan terhasil dalam dua bentuk:
1. Beku, jumud dan pasif
Ibarat daging mentah, ia tidak boleh dimakan. Ilmu yang jumud dan beku tidak dapat diapplykan dan dipraktikkan dalam kehidupan. Ilmunya hanya tinggal ilmu, dijadikan mental exercise dan bahan untuk perbahasan dan mujadalah. Ilmu Al Quran yang tidak diproses tidak boleh lahirkan kemajuan.
2. Ilmu militan
Ilmu yang begini bila disebut sahaja, orang jadi takut dan bimbang. Orang yang mendengar akan merasakan Islam terlalu keras dan kasar. Susah untuk diamalkan. Kalau amal pun secara terpaksa. Sedangkan Islam adalah cara hidup yang mudah, praktikal dan indah.
Al Quran adalah khazanah yang merupakan mukjizat Rasulullah. Ia kalamullah kepunyaan Allah, bukan sesuatu yang dicipta. Tentulah ilmunya luar biasa. Setiap satu ayat dan perkataan di dalam Al Quran boleh diproses, dicungkil hingga terhurai pelbagai ilmu. Walaupun dari satu perkataan Al Quran, ia mengandungi ilmu.
Contohnya Allah berfirman di dalam surah Ad Dhuha:
Maksudnya: "Demi waktu dhuha dan demi waktu malam bila ia berlabuh." (Ad Dhuha: 1-2)
'Wad dhuha' ertinya 'demi waktu dhuha', dan 'wallaili' ertinya 'demi waktu malam'. Kita akan bahaskan dua perkataan Al Quran ini sahaja. Maksudnya Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha dan Tuhan bersumpah dengan waktu malam. Perlu diingat bahawa bila Tuhan bersumpah dengan sesuatu perkara atau keadaan, itu menunjukkan perkara atau keadaan itu sangat penting. Ia suatu perkara yang menarik perhatian. Kalau tidak penting tentu Tuhan tidak sebut. Tuhan tidak berkata, "Demi habuk" atau "demi debu", yang manusia tidak dapat manfaat darinya. Bila Tuhan bersumpah dengan sesuatu perkara atau keadaan, itu sesuatu yang besar, yang manusia akan dapat manfaat penting darinya.
DEMI WAKTU DHUHA
Bilamana Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha, ia membawa beberapa tafsiran:
1. Waktu dhuha adalah waktu yang memberi erti yang sangat besar kepada kehidupan manusia. Waktu dhuha adalah waktu penting yang mesti diberi perhatian.
2. Waktu dhuha adalah 15 minit selepas waktu isyrak (terbit matahari) sehingga kedudukan matahari tepat dan tegak di atas kepala. Ertinya ilmu kedudukan matahari penting diperhatikan oleh manusia.
3. Waktu dhuha adalah waktu yang paling berfaedah buat manusia. Manusia baru bangun dari tidur, otak dan tenaga masih segar. Bila otak dan tenaga yang segar bertemu dengan waktu dan suasana yang segar, akan memberi hasil dan faedah yang banyak.
Waktu inilah manusia hendak keluar bekerja, hendak mengaji, hendak berniaga, bertani, belajar, mengajar dan sebagainya. Waktu ini juga bagi kebanyakan negara-negara terutamanya di sebelah Timur, ia tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Ini menyebabkan kita seronok bekerja dan tidak cepat letih. Kalau bertani akan mendapat hasil yang banyak. Kalau sedang belajar, waktu ini juga kita boleh menerima banyak ilmu.
Walaupun boleh bekerja dan belajar hanya untuk 3 atau 4 jam di waktu dhuha tetapi hasilnya lebih banyak daripada 10 jam. Kerana itulah Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha. Jadi kita kena jaga waktu ini. Inilah waktu perdana (prime time) di mana manusia boleh berusaha dan memberikan hasil yang maksima.
QAILULAH
Selepas waktu dhuha, Tuhan sunatkan tidur qailulah selama satu jam atau setengah jam menjelang zuhur. Mengikut disiplin Islam masa bekerja cukup selama empat jam sahaja di waktu dhuha. Kemudian qailulah supaya dapat bangun malam untuk tahajud. Dalam sistem Barat, tidak boleh tidur qailulah malah akan menimbulkan kemarahan majikan. Sistem Tuhan tidak sama. Tuhan Maha Baik menjaga dan mentadbir para hamba-Nya sehingga jadual kehidupan para hamba-Nya juga, Dia yang menyusunnya. Dia Maha Mengetahui tentang waktu yang Dia ciptakan dan tentang kemampuan manusia ciptaan-Nya.
DEMI WAKTU MALAM
Ayat kedua ialah "Demi waktu malam bila ia berlabuh." Ini boleh ditafsirkan dalam beberapa aspek:
1. Kita kenal waktu 'malam' itu dari bila ia bermula dan bila akhirnya. Iaitu daripada mula ghurub (terbenam matahari) hingga terbit fajar.
2. Tuhan bersumpah dengan waktu malam untuk perhatian manusia bahawa banyak perkara negatif berlaku pada waktu malam. Waktu malam selalunya manusia tidak beranikan diri. Ramai orang buat kejahatan seperti merompak, mencuri, membunuh, berbuat maksiat di waktu malam. Tuhan juga suruh berjaga-jaga dan berwaspada terutama daripada binatang buas yang keluar mencari makan di waktu malam. Hal-hal lahiriah yang merbahaya ini diberi amaran oleh Tuhan.
3. Perkara negatif yang batiniah ialah bila Tuhan memberitahu bahawa pada waktu malam, iblis melepaskan tentera-tenteranya untuk menggoda dan mengacau orang-orang yang hendak beribadah. Pada waktu ghurub, Tuhan mensunatkan menutup pintu dan tingkap. Syaitan akan keluar pada waktu itu dan mengambil peluang untuk mengganggu anak kecil, orang bersembahyang dan sebagainya. Di waktu malam juga jangan menyidai pakaian di luar kerana syaitan-syaitan itu akan muntah ke pakaian itu dan menyebabkan penyakit. Juga sunat memadamkan lampu waktu hendak tidur.
4. Rahmat Tuhan jadikan waktu malam untuk manusia berehat. Agar kecergasan akal dan fizikal dapat dipulihkan kerana pada waktu siang, akal dan tenaga telah digunakan.
Firman Allah:
Maksudnya: "Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu beristirehat padanya dan (menjadikan) siang yang terang-benderang (agar kamu mencari kurnia Allah)." (Yunus: 67)
5. Pada waktu malam Tuhan mendisiplinkan kepada para hamba-Nya yang cinta dan takut kepada-Nya agar bangun malam untuk tahajud.
Waktu malam juga Tuhan membekalkan kekuatan hati dan jiwa di mana Tuhan menyuruh kita bangun untuk menyembah Tuhan, bermunajat dan merintih-rintih kepada Tuhan. Malam adalah waktu untuk para hamba bertaubat di atas segala dosa yang telah dilakukan di siang hari atau sebelumnya. Supaya hamba mendapat keampunan Tuhan, mendapat kekuatan dan ketahanan jiwa. Supaya dengan kekuatan itu kita dapat bekerja pada esok harinya dan berupaya menempuh segala ujian, cabaran atau masalah yang datang dengan bantuan Tuhan.
Begitulah Tuhan bersumpah, meminta hamba-Nya menjaga waktu malam untuk kekuatan di siang hari. Lantas munasabahlah Tuhan bersumpah dengan waktu dhuha dan waktu malam. Dua waktu ini kena dijaga betul-betul untuk kesihatan, kekuatan dan kemajuan.
Sajak
Membuang Masa Percuma
Jangan membuang masa sia-sia tanpa berusaha
untuk kehidupan Akhirat atau dunia
Kerja sia-sia itu tidak mesti
perkara yang haram sahaja
Masa sangat berharga, apabila berlalu
masa yang berlalu tidak akan tiba
Kalau masa tiba juga, itu adalah masa yang lain pula
Alangkah malangnya masa yang berlalu itu
tidak diisi dengan kerja-kerja yang berguna
Padahal di Akhirat kelak
di antara yang Tuhan akan tanya
adalah masa yang merupakan umur kita
Di antara masa-masa yang sia-sia
asyik tidur-tidur sahaja
di waktu bukan masa tidur
Berbual-bual kosong berjam-jam lamanya
sekalipun tidak membualkan
perkara yang haram di sisi agama
Menung yang lama, bukan memikirkan dosa
atau ilmu atau sesuatu yang berguna
Melepak-lepak tidak ada tujuan dan matlamatnya
Berjalan-jalan yang tidak ada tujuan
dan matlamat apa-apa sama ada
untuk faedah Akhirat mahupun faedah dunia
Selain itu seperti bermain daun pakau berlama-lama sekalipun bukan berjudi
hanya seronok-seronok aja
Termasuk juga bermain catur
yang memakan masa
yang tidak memberi faedah apa-apa
Di waktu itu kalau diisi
dengan amalan-amalan Akhirat
atau usaha-usaha mencari rezeki
alangkah baiknya
Termasuk juga kerja sia-sia
melihat orang lalu-lalang tanpa tujuan apa-apa
Menghabiskan masa berangan-angan
tanpa usaha dan kerja
Angan-angan apa dapat?
Hanya dapat angin dan habuk sahaja
Itulah dia yang dikatakan
membuang masa yang sia-sia
Matlamat dan tujuan Akhirat pun tidak
tujuan untuk dunia pun tidak
Hanya membuang-buang masa percuma
dengan tidak ada tujuan apa-apa
Menjelang tidur
24 -
Mengapa Kita Patut Tegakkan Islam Sebagai Undang-Undang Bukan Sekadar Aqidah Dan Ibadah?
Mereka itu bila disebut sahaja Islam patut dijadikan perlembagaan dan undang-undang, ada yang mencemik. Ada yang kerut muka. Ada yang mengatakan:
- "Nanti apa kata bangsa lain."
- "Nanti orang takut."
- "Boleh membawa huru-hara."
- "Kita tidak mahu patah ke belakang."
- "Kita akan jadi mundur."
Bahkan bermacam-macam perkataan yang kita akan dengar daripada lidah mereka yang tidak setuju.
Kalau Islam itu ditegakkan sebagai aqidah dan ibadah, tidak mengapa. Mereka tidak menyanggah kerana golongan yang menentang itu pun sebahagiannya orang yang beraqidah dan melaksanakan ibadah. Cuma yang mereka tidak setuju ialah undang-undang Islam itu dijadikan perlembagaan hidup. Ini mereka tidak boleh terima. Kalau kita datangkan hujah-hujah dan dalil-dalil dari nas-nas Al Quran dan Sunnah pun mereka tidak akan setuju. Orang Islam zaman ini lebih senang menerima logik akal atau fikiran yang rasional. Katanya ini adalah zaman teknologi, zaman IT, zaman globalisasi, zaman langit terbuka dan zaman dunia tanpa sempadan (borderless world), bukan zaman unta.
Sekiranya ada sesiapa yang serius juga memperjuangkan serta beria-ia sungguh untuk mendaulatkan Islam sebagai undang-undang, dia akan dicurigai, dimusuhi, ditentang, dihalang, dibuang, dituduh memecah belah umat dan menggugat keselamatan negara. Kerana itulah umat Islam yang lemah semangat atau yang ada kepentingan, sudah tidak mampu lagi memperjuangkan Islam itu secara global kerana tidak sanggup menerima risiko yang berat.
Sebenarnya kalau kita menggunakan hujah akal pun, adalah logik, rasional, patut serta munasabah bahawa Islam itu dijadikan undang-undang hidup untuk semua manusia di dalam berbagai-bagai bidang kehidupan mereka. Kalau jiwa tidak berpenyakit, akal mereka pun boleh menerima mengapa Islam itu patut dijadikan perlembagaan hidup. Tapi apabila jiwa sudah berpenyakit, terutama penyakit cinta dunia dan kuasa, hujah apa sekalipun yang dibawa, orang yang jiwa berpenyakit itu tetap tidak akan menerima. Mereka tetap juga akan berdalih dan menolaknya.
Di sini mari kita bawa hujah-hujah dan dalil-dalil akal yang amat logik dan rasional mengapa syariat Islam yang bersumberkan Al Quran dan Sunnah itu patut dijadikan perlembagaan hidup manusia bukan hanya sekadar di dalam sebuah negara tetapi juga untuk manusia sejagat. Di antaranya adalah seperti berikut:
- Dunia ini adalah ciptaan Tuhan dan seluruh isinya termasuk manusia adalah ciptaan-Nya juga. Oleh itu siapa dapat menafikan bahawa dunia dan seluruh isinya adalah kepunyaan dan milik Tuhan. Manusia hanya menumpang sementara waktu di atas muka bumi ini. Oleh yang demikian adalah tidak logik dan tidak masuk akal bahawa Allah yang bersifat Rahman (pemurah) kepada hamba-hamba-Nya, demi kebaikan dan keselamatan hamba-Nya tidak membuat peraturan untuk manusia hidup di bumi ini. Tentulah Allah membuat peraturan. Takkanlah manusia yang menumpang ini pula yang membuat peraturan.
Sebagai contoh, kalau kita duduk di rumah tumpangan, apakah kita yang berhak membuat peraturan dan menentukan disiplin atau yang empunya rumah itu yang berhak membuat peraturan dan disiplin? Tentulah akal kita boleh menerima dan patut menerima yang punya rumah itulah yang berhak membuat peraturan. Kita yang menumpang tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan di rumah tumpangan itu. Ertinya Allah jua yang berhak membuat peraturan di dunia dan bukannya manusia. - Setiap bangunan yang hendak dijadikan tempat orang menumpang seperti hotel, hospital, guest house, tidak pernah berlaku tuan punyanya tidak menetapkan peraturan. Demi keselamatan rumah itu bahkan demi keselamatan penumpang sudah tentu tuan punya rumah itu membuat peraturan. Apatah lagi Tuhan Pencipta alam yang Maha Bijaksana yang sangat kasih terhadap hamba-hamba-Nya, demi keselamatan hamba-Nya sudah pasti Dia membuat peraturan. Tidak munasabah Tuhan mencipta makhluk-Nya tanpa peraturan dan undang-undang. Tidak masuk akal, setelah makhluk dicipta kemudian Tuhan biarkan tanpa peraturan. Sedangkan manusia pun bila membuat sesuatu diadakan peraturannya.
- Di dalam kehidupan kita di dunia, tidak pernah berlaku bahawa setiap sesuatu ciptaan itu; demi keselamatan barang ciptaan itu; katalog dan manual penggunanya dibuat oleh si pengguna. Biasanya tukang cipta tentulah lebih arif tentang ciptaannya daripada pengguna. Oleh kerana itulah katalog dan manual pengguna bagi sebuah kereta contohnya, yang mengandungi peraturan-peraturan tentang pengendalian kereta, pencipta keretalah yang membuatnya. Kalau begitu, tentu lebih logik lagi untuk akal menerima bahawa demi keselamatan dunia terutama keselamatan manusia, maka Allah jua yang Maha Mengetahui tentang ciptaan-Nya itu. Sudah tentu Allah membuat peraturan untuk dunia dan manusia iaitu syariat Islam yang termaktub di dalam Al Quran dan Sunnah.
- Akal dan fitrah semula jadi kita tidak boleh menerima jika ada orang datang ke rumah kita, kemudian dia memandai-mandai membuat peraturan. Dialah yang hendak menentukan peraturan-peraturan di rumah kita. Dia hendak berbuat sesuka hati. Begitulah juga bagi akal yang waras dan jiwa atau fitrah yang bersih, sudah tentu boleh menerima bahawa kita sebagai hamba Allah yang menumpang di dunia ciptaan-Nya ini tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan di dunia ini dan membuat apa sahaja dengan semahu-mahunya. Kerana dunia ini bukan ciptaan dan kepunyaan kita. Kita ini adalah ciptaan Allah. Kita hanya menumpang sementara waktu di dunia ini. Adalah dianggap tidak beradab kalau kita yang membuat peraturan dan bertindak sesuka hati, kemudian kita tolak peraturan dari Allah pencipta bumi tempat kita menumpang ini dan juga yang mencipta kita. Sepatutnya kita rasa malu dan merasa bersalah jika kita menolak peraturan Tuhan.
- Katalah di dalam sebuah rumah yang besar, di dalamnya ada keluarga yang besar, yang dikepalai oleh seorang ayah yang bijaksana dan bertanggungjawab. Demi kebaikan keluarga itu dan agar mereka boleh hidup bersatu padu, boleh hidup aman damai, mana lebih logik diterima oleh seluruh keluarga? Peraturan dari ayah sebagai ketua keluargakah yang boleh menyatupadukan seluruh keluarga atau setiap orang bebas membuat peraturan untuk semua?
Fitrah semula jadi dan akal yang waras tentu boleh menerima bahawa peraturan dari ayah lebih mudah kerana yang membuat peraturan itu adalah ayah bersama. Tiada siapa yang iri hati. Tapi kalau dibebaskan setiap orang membuat peraturan untuk semua orang di dalam rumah itu tentu akan timbul perbalahan. Abang yang tua tentu tidak boleh menerima pandangan adik kerana dia merasa tercabar. Dia akan berkata: "Mengapa patut saya mengikut adik." Yang adik pula walaupun dia adik, mungkin kerana dia merasa lebih pandai dari abang-abangnya memandangkan dia lulusan universiti sedangkan abangnya bersekolah rendah sahaja, maka dia akan berkata: "Aku kelulusan universiti, mengapa pula aku mesti ikut abang yang tidak berpelajaran." Jika setiap orang membuat cadangan, mesti ada kepentingan. Yang lain tidak akan boleh terima kerana curiga.
Begitulah di dalam dunia ini ada berbagai-bagai kaum dan bangsa yang sama-sama duduk menumpang di bumi Tuhan. Kalau setiap orang, kaum atau bangsa membuat peraturan, dalam bentuk sistem dan ideologi ciptaan masing-masing seperti fahaman sosialisme, nasionalisme, komunisme atau kapitalisme untuk diguna pakai kepada semua manusia, manusia lain yang sama-sama menumpang tentu menganggap orang yang mencetuskan sistem atau ideologi itu mesti ada kepentingan untuk kaum, bangsa atau kelompoknya. Ertinya ada yang curiga.
Selain itu ada golongan lain pula yang akan merasa tercabar. Mereka akan berkata: "Mereka manusia macam kami juga. Kami juga ada kemampuan membuat sistem hidup. Mengapa kita mesti ikut mereka." Kerana manusia ini ada ego, payah bagi manusia hendak mengikut satu sama lain. Kalau begitu, bilakah manusia hendak bersatu? Tapi kalau semua manusia ini menerima peraturan Tuhan iaitu Tuhan yang sama yang menciptakan bumi dan menciptakan mereka sebagai manusia, ego mereka tidak akan terpukul atau tercabar. Mereka sama-sama menumpang di bumi Tuhan dan menerima Tuhan yang kepunyaan bersama iaitu Tuhan bersama. Kalau ada yang menentang itu manusia yang sudah terlalu jahat kerana mereka yang kena cipta (makhluk) hendak melawan Khaliq yang mencipta mereka. - Di dalam kehidupan manusia di dunia ini, demi keperluan dan kepentingan bersama, manusia memerlukan berbagai-bagai sistem hidup, seperti sistem politik, ekonomi, masyarakat, pendidikan, perhubungan, ketenteraan, kebudayaan, perhubungan antarabangsa dan sebagainya. Kalau begitu apa yang hendak ditakutkan sangat dengan undang-undang Islam kerana di dalamnya mengandungi berbagai-bagai sistem kehidupan yang lebih mantap, lebih baik lagi adil demi untuk kebaikan manusia sejagat. Hal ini telah berjalan beberapa lama dan telah dibuktikan oleh sejarah sejak zaman Rasulullah SAW hinggalah ke tujuh ratus tahun kemudian. Semua kaum dan bangsa yang bernaung di bawah sistem itu rasa selamat dan berpuas hati, sekalipun ada di kalangan mereka tidak memeluk Islam yakni tidak menukar aqidah dan agama mereka. Mereka berasa selesa duduk di bawah sistem Islam yang dibawa oleh umat Islam daripada undang-undang dan peraturan hidup yang dibuat oleh bangsanya, kerajaannya dan rajanya sendiri.
- Selain aqidah dan ibadah, peraturan dan undang-undang lain serta akhlak di dalam Islam, ia bersifat sejagat. Ertinya fitrah semula jadi manusia boleh menerima dan boleh berkongsi bersama bahkan apa yang dikongsikan bersama itu, itulah perkara yang mereka bersama-sama mencari. Semua orang atau golongan tidak kira bangsa, etnik dan agama menginginkannya kerana ia merupakan keindahan hidup manusia. Contoh perkara yang menjadi keinginan bersama ialah sifat-sifat positif seperti adil, jujur, menunai janji, penyayang, pemurah, mengutamakan orang lain, bekerjasama, memberi maaf dan meminta maaf. Contoh perkara yang dibenci bersama ialah yang negatif seperti benci kepada perzinaan, mencuri, menipu, khianat, berbohong, membunuh, merompak, menzalim dan pemalas. Di dalam Islam perkara-perkara yang positif tadi sangat digalakkan dan dipuji serta diberi pahala oleh Allah. Sifat-sifat negatif tadi sangat dibenci, sangat ditentang. Di dunia lagi ada hukuman-hukumannya dan di Akhirat nanti kena hukum lagi iaitu dicampakkan ke dalam Neraka. Di dalam ajaran agama lain dan di dalam mana-mana ideologi, dua perkara yang kita sebutkan itu tidak diambil berat dan tidak dipentingkan. Kalau ada pun disebut tidak secara serius, tidak seperti di dalam ajaran Islam.
- Keindahan dan kebaikan sistem Islam itu telah terbukti. Ia telah dicatat dalam sejarah bahkan telah dijadikan bahan kajian. Keindahan dan kebaikannya telah diterima bersama dan diakui oleh berbagai kaum, bangsa dan penganut agama lain seperti Kristian dan Yahudi. Mereka rasa terjamin dan amat selesa duduk di dalam sistem itu. Hal sedemikian belum dapat dibuktikan oleh mana-mana sistem yang lain seperti fahaman yang dibawa oleh Barat sama ada bersifat agama seperti Kristian atau bersifat ideologi seperti faham liberalisme, kapitalisme, sosialisme, demokrasi atau komunisme seperti yang diamalkan di China dan Rusia. Sejarah telah mencatatkan ideologi mereka itu penuh dengan sejarah hitam. Berlaku berbagai-bagai penzaliman dan penindasan. Manusia hidup di dalam neraka, walaupun di masa yang sama mereka membawa kemajuan dan pembangunan. Yang paling menderita di bawah sistem mereka adalah umat Islam. Dunia tahu tentang hal ini dan tiada siapa yang boleh menafikan.
- Selepas negara-negara umat Islam dijajah, terutama dijajah oleh bangsa-bangsa Barat, kemudian negara-negara tersebut telah merdeka satu demi satu, sejak 60 tahun yang lampau, hampir semua negara-negara umat Islam yang telah merdeka itu, undang-undang negara mereka belum kembali kepada Islam. Kalau ada pun hanya pada nama. Dalam amalan belum berjalan betul dan serius secara Islam. Negara-negara umat Islam ada yang undang-undang negaranya berdasarkan sosialisme atau nasionalisme, ada yang berdasarkan liberalisme, kapitalisme atau fahaman demokrasi Barat. Semuanya dengan tujuan untuk membangunkan perpaduan, kasih sayang, kemajuan, ilmu pengetahuan, pembangunan, kekuatan ekonomi, ketenteraan, keharmonian masyarakat dan agar masyarakat bersih daripada gejala-gejala negatif atau tidak sihat. Untuk kembali kepada perlembagaan Islam, mereka masih takut dan bimbang. Bahkan ada yang anti dan memusuhi undang-undang Islam. Tapi apa telah terjadi? Secara umum, kemajuan dan pembangunan negara-negara umat Islam belum sampai ke mana, ilmu masih bersandar dengan orang lain dan krisis politik tidak habis-habis, negara miskin, sekalipun khazanah negaranya kaya. Kalau ada negara yang kaya, kekayaannya hanya diperolehi oleh golongan yang kecil dan terbatas. Rakyat umum masih ramai yang papa kedana. Pergaduhan, pergeseran, pembunuhan dan peperangan lebih banyak berlaku di negara-negara umat Islam. Gejala masyarakat seperti dadah, rasuah, zina, arak, perpecahan keluarga, rogol, sumbang mahram masih berleluasa berlaku di negara-negara umat Islam. Hal-hal ini berlaku disebabkan sistem-sistem yang telah disebutkan tadi. Bukan kerana berjalannya undang-undang Islam di negara-negara itu. Patutnya dengan pengalaman-pengalaman ini umat Islam menjadi sedar dan insaf terutama para-para ulamanya, pemimpin-pemimpin negara, ahli-ahli ekonomi, cendekiawan-cendekiawan dan pemimpin-pemimpin masyarakat kerana mereka boleh berfikir.
Sepatutnya umat Islam kembali kepada ajaran Islam dengan penuh berani dan tekad bahawa Islam itu memang kepunyaan mereka, yang telah terbukti kebaikannya, beratus-ratus tahun yang silam. Dengan ajaran Islam, umat Islam menjadi tuan guru, contoh teladan dan ikutan bangsa-bangsa lain. Oleh itu apa hendak ditunggu-tunggu. Dengan sistem orang lain sudah kita cuba dan hasilnya adalah kehinaan, kelemahan, perpecahan, kemungkaran, kerosakan masyarakat dan kemelaratan.
Apakah kita hendak teruskan undang-undang dan sistem yang kita pinjam itu, yang telah merosakkan kita? Atau kita tunjukkan keberanian kita dengan menerima Islam semula secara total sebagai perlembagaan hidup demi kebaikan kita dan juga alam sejagat. - Barat dengan fahaman dan ideologi mereka, di sudut ilmu dan fizikal, memang mereka berjaya. Mereka telah meneroka berbagai-bagai bidang ilmu. Sains dan teknologi mereka tinggi dan canggih, kemajuan dan pembangunan mereka mengkagumkan tetapi di segi atau di aspek pembangunan insaniahnya mereka gagal. Insaniah mereka punah-ranah, musnah, hancur dan lebur. Apa tidaknya, malu sudah tiada. Kehidupan lucah menjolok mata. Perlakuan seks macam haiwan, merata-rata tidak kira tempat dan masa. Rogol, zina, homoseksual dan lesbian jadi budaya. Zina bukan sahaja berlaku dengan yang bukan muhrim, dengan muhrim pun biasa sahaja.
Sistem kekeluargaannya punah-ranah, hidup nafsi-nafsi, bertukar-tukar bini, seks bebas biasa sahaja. Agama sudah tidak ada tempat. Orang tuanya terbiar manakala orang mudanya liar. Bunuh-membunuh dan tembak-menembak jadi hiburan. Bunuh diri sebagai jalan keluar bagi menyelesaikan masalah yang tidak boleh hendak diselesaikan. Pemimpin-pemimpin dan cerdik pandai mereka telah bingung. Mereka ingin mencari jalan keluar daripada kemelut dan kekusutan yang ada. Mereka tidak nampak jalan. Mereka telah jemu dan rasa kecewa dengan sistem hidup mereka sendiri tapi tidak ada alternatif. Hendak ikut Islam, tidak ada model. Umat Islam pun macam mereka juga kerana sistem hidupnya sama atau hampir-hampir sama.
Oleh itu mengapa umat Islam tidak mahu berfikir lagi? Mengapa kita mengikut orang Barat yang sistem hidup mereka sudah gagal. Sistem mereka telah merosakkan insaniah manusia. Ianya boleh membangunkan fizikal tapi memusnahkan insaniah. Sistem hidup mereka berjaya melahirkan lambang-lambang syaitan, lambang-lambang haiwan dan lambang-lambang pokok kayu tetapi gagal melahirkan lambang-lambang Tuhan pada diri manusia.
Itulah di antara hujah-hujah mengapa manusia sejagat terutama umat Islam sendiri patut dan mesti menerima undang-undang Islam sebagai perlembagaan hidup. Hujah-hujah yang telah diberi tadi boleh diterima oleh akal. Bahkan memang logik sangat diterima. Oleh itu apa lagi yang tidak kena dengan undang-undang Islam? Apa lagi yang hendak ditakuti? Akal pun merasakan undang-undang dan sistem Islam itu tidak kolot, tidak ketinggalan zaman, rasional, bahawa adalah logik undang-undang Islam itu patut didaulatkan dan ia tidak memalukan. Akal yang waras dan tidak prejudis, boleh menerimanya bahkan merasa ia patut diterima. Kita harap moga-moga negara kita Malaysia adalah negara pertama di dunia, di akhir zaman ini yang akan menerima Islam sebagai perlembagaan negara.
Sajak
Selarikan Kehendak Kita
Dengan Kehendak Tuhan
Selarikanlah kehendak kita
dengan kehendak Tuhan
Kehendak Tuhan penuh hikmah
dan terjamin keselamatannya
Kehendak kita bukan ada pertimbangan
Hanya mengikut hawa nafsu
atau ego dan angan-angan
Selaraskan, kenalah makan, minum, pakaian, bekerja
berjuang, berkeluarga, berpolitik, berekonomi
dengan kehendak Tuhan
Jangan pula kehendak Tuhan lain
kehendak kita lain
Kehendak Tuhan kita tolak
kehendak kita yang kita terima
Ia akan merosakkan kehidupan kita
Sedangkan fitrah semula jadi kita sebagai manusia
tidak mahu kerosakan
Hari ini rata-rata kebanyakan manusia
kehendaknya yang diamalkan
Kehendak Tuhan sudah tidak dihormati
dan dikesampingkan
Apa sudah jadi kepada kehendak manusia?
Perpecahan berlaku, peperangan terjadi
Jenayah menjadi-jadi menakutkan semua orang
Kasih sayang dan persaudaraan punah dan musnah
Sedangkan manusia tidak mahu itu semua berlaku
Sistem kekeluargaan hancur sama sekali
Perhubungan murid-murid
dengan guru-gurunya punah-ranah
Perhubungan suami isteri
hanya di waktu baru berkahwin
Perhubungan anak-anak dengan ibu bapa
renggang dan tunggang-langgang
Manusia bukan mahu perkara-perkara
yang disebutkan tadi berlaku
Tapi manusia sudah tidak tahu
bagaimana hendak mengatasinya
Para pemimpin, cerdik pandai sudah bingung
Sekarang semua golongan sudah hidup
dalam ketakutan
Resah, gelisah, kecewa, putus asa
Akibat menerima kehendak sendiri
dan menolak kehendak Tuhan
Bilakah manusia itu mahu menerima
kehendak Tuhan?
Agar dunia kembali aman damai
dan harmoni
Menjelang Maghrib
31 - 12 - 1999
(25 Ramadhan 1420)
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi |
Tujuan Berkenal-Kenalan
Maksudnya: "Sesungguhnya Kami Tuhan menjadikan kamu daripada seorang lelaki dan perempuan iaitu Nabi Adam dan Siti Hawa, maka lahirlah berbagai-bagai bangsa, dengan tujuan supaya kamu berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Tuhan adalah mereka yang paling bertaqwa." (Al Hujurat: 13)
Ayat ini nampaknya pendek tetapi ilmunya banyak. Ia dapat menggambarkan hidup manusia yang syumul dan global. Ia menggambarkan kehidupan manusia secara menyeluruh dan menggambarkan kehidupan manusia dalam pelbagai aspek.
Antara yang disebutkan di dalam ayat ini adalah:
1. Kita dapat faham bahawa manusia ini dari keturunan Adam dan Hawa. Ini dengan sendiri menolak teori Darwin yang mengatakan manusia berasal dari beruk.
2. Kita dapat faham di sini bahawa dari asal dua manusia yang cinta-mencintai satu sama lain akhirnya lahirlah zuriat-zuriat yang banyak. Hinggalah ke zaman kita ini, entahkan sudah berapa ribu tahun, katanya penduduk dunia hari ini sudah mencecah 6.6 bilion orang. Daripada 6 bilion lebih manusia itu, ada banyak bangsa-bangsa. Dari bangsa itu lahir etnik-etnik yang beribu-ribu banyaknya dan lahir berbagai bahasa dan warna kulit. Saiznya tidak sama. Ada yang besar, ada yang sederhana dan ada yang kecil. Ada hidung panjang, bengkok dan sederhana macam kita serta yang berhidung pesek. Ada bangsa yang sangat cantik, yang sederhana cantik dan ada yang buruk. Ada yang tidak cantik tetapi dipandang manis. Begitulah kuasa Tuhan.
3. Dari manusia yang banyak bangsa dan etnik itu, yang utama yang Tuhan mahu dan hendak ialah lita'arafu, iaitu supaya berkenal-kenalan di antara satu sama lain. Lita'arafu adalah lafaz musyarakah. Apa maksud lafaz musyarakah? Ertinya ia perlu-memerlukan, bukan dari satu pihak sahaja. Ianya melibatkan dua pihak sama ada dua individu, dua bangsa atau dua jemaah, yang mereka itu perlu-memerlukan. Jadi rupanya di sini Allah memberitahu, satu bangsa tidak akan boleh hidup atas bangsanya sahaja. Dia memerlukan bangsa lain. Kalau dia paksa juga untuk hidup tanpa bangsa lain, maka tidak sempurna kehidupannya. Macam orang asli yang hanya bergaul dengan bangsanya sahaja. Apa jadi? Dari dahulu sampai sekarang tidak bertamadun dan tidak berubah. Hidupnya sama sahaja sebab mereka cuma hidup sesama mereka. Maka Allah jadikan berbagai bangsa dan suku itu untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain.
4. Begitu pun perlu diingat bahawa Tuhan suruh berkenalan bukan tanpa matlamat. Maha Suci Tuhan dari melakukan perkara yang sia-sia. Berkenal-kenalan itu bukanlah tanpa maksud atau tanpa matlamat yang besar. Daripada kenal-mengenal dan perlu-memerlukan di antara satu sama lain, sebenarnya ada maksud besar dari Tuhan untuk kepentingan manusia itu sendiri.
Kita akan huraikan perkara-perkara yang penting dan yang terpokok sahaja dalam ayat ini. Tujuan lita'arafu atau berkenal-kenal antara sesama manusia itu ada maksud besar. Di antara kepentingan lita'arafu atau kenal-mengenal itu ialah:
1. Atas dasar Tuhan
Berkenal-kenalan itu, yang terpokok, yang terpenting, yang wajib, yang tidak boleh tidak adalah atas dasar mengenal Tuhan. Supaya kita tahu siapa Tuhan itu, bagaimana Tuhan itu dan apa peranan Tuhan. Itulah tauhid dan itulah yang akan melahirkan orang bertaqwa. Jadi tujuan pertama Tuhan suruh berkenal-kenalan itu supaya boleh promosi Tuhan. Setelah promosi lalu orang kenal Tuhan maka datanglah cinta dan takut kepada Tuhan. Bila datang cinta pada Tuhan, lahirlah cinta sesama manusia. Bila takut pada Tuhan, side effectnya takut hendak buat salah sesama manusia. Rupanya hasil daripada takut dan cinta itu, manusia yang untung. Bukan Tuhan yang untung kerana side effectnya atau hasil kebaikannya diperolehi oleh manusia.
Takut Tuhan membuatkan orang takut hendak buat salah dengan manusia. Maka jenayah dan kejahatan tidak banyak berlaku. Bila cintakan Tuhan, maka manusia akan cinta sesama manusia. Manusia yang dapat untung. Bila sudah cinta sesama manusia maka yang susah dibantu, yang sakit diziarahi dan diubati, yang senang memberi kerjasama dan ada rasa bersama, ada timbang rasa, bermaafan dan sebagainya. Rupanya penting cinta dan takut Tuhan ini kerana kesan baiknya pada manusia.
Jadi inilah yang penting dalam hal lita'arafu ini. Yakni untuk datangkan cinta dan takut pada Allah. Kita buat tamsilan: Biasanya seorang itu apabila dia kenal dengan seseorang, selepas itu dia suka hendak berkenalan lagi, mesti ada sesuatu yang menarik pada orang itu. Mungkin kerana orang itu baik, pemurah, lemah lembut dan hormat tetamu. Kalau salah dia maafkan, kalau dia salah, dia minta maaf, akhlak dan perikemanusiaannya tinggi. Kesusahan orang dirasakan kesusahannya dan kesenangan orang lain adalah kesenangannya. Orang sebegitu, bukan sahaja kita suka hendak jumpa bahkan kita akan promosi dan bercakap tentangnya. Walaupun dia tidak suka dicakapkan atau dia tidak suruh, kita cakap juga. Begitulah fitrah. Orang yang baik itu selalu dipromosikan.
Kalau sesama manusia yang sama-sama lemah, kadang-kadang sama-sama dapat sakit, kadang-kadang sama-sama dapat ujian, bila ada sedikit kebaikan pada seseorang itu, kita cakap dan kita puji-puji dia. Mengapa tidak begitu terhadap Tuhan? Mengapa kita tidak promosi Tuhan? Sangat zalim manusia! Sedangkan manusia yang buat sedikit kebaikan pun kita puji, mengapa Tuhan yang kebaikan-Nya tidak dapat digambarkan, tidak kita promosikan? Rahmat dan nikmat-Nya tidak dapat dihitung. Dia yang menjadikan langit dan bumi, dunia dan Akhirat, yang mana dunia menjadi tempat tinggal manusia yang pertama dan Akhirat tempat tinggal manusia yang kedua. Dia benarkan manusia membangun dan maju. Disiapkan macam-macam bahan untuk manusia membangun, macam-macam makanan dan pakaian. Untuk berhibur pun dijadikan lelaki, perempuan atau suami isteri.
Begitu banyak nikmat dari Tuhan, mengapa tidak kenalkan Tuhan? Mengapa tidak promosikan Tuhan? Mengapa tidak beritahu jasa-jasa Tuhan? Sedangkan apabila manusia buat sedikit kebaikan, dipuji merata-rata. Lebih-lebih lagi kalau dia ahli sains sedangkan ahli sains hanya menemukan bahan-bahan dari Tuhan. Kalau tidak ada bahan dari Tuhan, dia tidak akan boleh mencipta barang. Dia tidak akan boleh cipta kereta, kapal terbang dan lain-lain. Tetapi kerana hasil dapat cipta kapal terbang dan semua itu, maka namanya disebut-sebut dan dikempen merata-rata. Orang kata: "Lihat Al Khindi, Al Farabi dan lain-lain saintis." Hari ini ahli sains lebih besar dari Tuhan terutama ahli sains Barat. Ulama-ulama pun membesar-besarkan mereka. Kadang-kadang bersyarah dua jam, sekalipun tidak sebut Tuhan sebaliknya nama ahli sains yang bermain di bibir mulut. Seolah-olah besar sangat jasa ahli sains itu berbanding dengan jasa Tuhan. Manusia sudah bangga dengan diri sendiri dan sudah menzalimi diri sendiri.
Tuhan yang menentukan nasib kita, hidup atau mati, sakit atau sihat, kaya atau miskin, pandai atau bodoh. Tidak takutkah? Tidak perlu kasihkah? Ahli sains yang hanya menemukan bahan ciptaan Tuhan dicanang merata-rata. Tuhan yang banyak jasa boleh dilupakan oleh semua bangsa bahkan umat Islam pun melupakan-Nya. Jadi inilah tujuan terpenting Tuhan ciptakan kita, iaitu supaya manusia kenal-mengenal untuk tujuan mempromosi dan mengenal Tuhan. Di sinilah keberkatan hidup kita.
2. Atas dasar nikah kahwin
Tujuan lita'arafu yang kedua, adalah berkenal-kenalan dengan tujuan untuk bernikah kahwin. Tapi perlu diingat, oleh kerana nikah kahwin itu ada bercampur nafsu, maka kadang-kadang kita menganggap atas dasar nafsulah kita bernikah kahwin. Kita pun menganggap bahawa nikah kahwin hanya untuk tujuan itu. Sebenarnya Tuhan mempunyai maksud yang lebih besar dari itu. Bahkan Tuhan tidak galakkan satu bangsa kahwin dengan bangsanya atau etniknya sahaja. Lebih-lebih lagi kahwin itu di sekitar keluarganya sahaja. Makruh hukumnya berkahwin dengan keluarga terdekat (sepupu). Tuhan dan Rasul tidak galakkan walaupun halal.
Kalau kita buat kajian, kita kahwinkan 10 pasang sepupu, kita akan dapati sekurang-kurangnya enam pasangan itu akan melahirkan anak yang lemah otaknya. Jadi sebab itulah makruh kahwin sepupu dan kerana itulah kita disuruh kahwin dengan yang jauh jarak hubungan keluarganya dengan kita.
Kemudian sekiranya perkenalan itu dibuat atas dasar Tuhan dahulu dan setelah ditunjangi tauhid, barulah bernikah kahwin, maknanya perkahwinan itu bertunjangkan Tuhan maka hasilnya akan lahir manusia yang cerdik. Itulah hikmahnya.
Hikmah yang lain, manusia ini biasanya kalau jelas sangat bangsanya, etniknya, jangka panjang yakni kalau dia sudah lupa Tuhan dan Tuhan tidak lagi jadi cita-citanya maka akan lahirlah fahaman kebangsaan. Kalau hanya tumpu pada bangsa sahaja, lahirlah nanti fahaman kebangsaan yang merbahaya, yang akan mengundang permusuhan antara bangsa-bangsa. Di antara punca peperangan yang berlaku di dunia adalah kerana menganut fahaman kebangsaan ini. Untuk mengelakkan peperangan, pergaduhan dan perpecahan inilah maka Islam menggalakkan kahwin campur demi untuk membunuh fahaman kebangsaan yang mana apabila orang itu sudah bangga dengan bangsanya, dia akan perjuangkan bangsanya dan akan menghina serta memandang rendah bangsa lain.
Lihat bijaknya Tuhan menyuruh kita berkahwin dengan orang yang jauh hubungan kekeluargaan dan kahwin campur. Gabungan etnik-etnik yang kahwin campur akan berjaya membunuh fahaman kebangsaan di mana kadang-kadang orang berperang kerana fahaman kebangsaan itulah.
Inilah tafsiran lita'arafu yang kedua iaitu berkenal-kenalan antara satu sama lain atas dasar nikah kahwin.
3. Atas dasar ilmu
Tujuan lita'arafu yang ketiga ialah dari sudut menuntut ilmu. Di antara keperluan utama manusia ini adalah Tuhan, nikah kahwin dan juga ilmu. Bolehkah seseorang itu kata bahawa hidupnya ini untuk kahwin sahaja? Bila sudah kahwin, ilmu sudah tidak perlu. Apakah ada orang yang berkata bahawa dia hanya perlu ilmu sahaja? Ada ilmu sudah cukup, tidak perlu kahwin? Itu akan menyebabkan kekurangan. Jadi maksud lita'arafu yang ketiga ialah menuntut ilmu berteraskan tauhid. Ini pun perlu-memerlukan. Hendak dapat ilmu, perlu jumpa guru. Kalau tidak jumpa guru, tidak akan dapat ilmu. Ertinya murid perlu dengan guru. Guru pula perlu ada murid untuk disampaikan ilmu. Maka guru dan murid perlu-memerlukan. Untuk itu perlunya menuntut ilmu itu bertunjangkan tauhid. Bila ada rasa tauhid, guru akan pandang muridnya macam anak sendiri. Kalau dia rotan atau hukum, itu atas dasar sayang. Begitu juga murid. Kalau dia ambil ilmu dari guru atas dasar takut dan cintakan Tuhan maka dia akan merasakan bahawa gurunya ada jasa terhadapnya. Dia akan hormat, muliakan dan puji gurunya. Kalau dia dirotan, dia tahu itu atas dasar hendak membaikinya.
Tetapi sekarang apa sudah jadi? Orang hendakkan ilmu dan orang memberi ilmu tetapi bilamana keperluan murid dengan guru bukan ditunjangkan oleh tauhid, tidak takut dan tidak cintakan Tuhan, akibatnya murid jadi kurang ajar dengan guru dan tidak hormat guru. Guru pula tidak bertanggungjawab dan tidak anggap murid sebagai anaknya. Kalau dahulu guru rotan murid, sekarang murid rotan dan pukul guru. Oleh kerana keperluan ini tidak diikat dengan Tuhan maka kedua-dua pihak tidak untung. Oleh itu apabila murid telah berpisah dengan guru, walaupun dapat PhD, seumur hidup pun dia tidak akan kenang jasa gurunya kerana dia tidak rasa guru berjasa padanya. Sebab dia belajar bukan atas dasar takut dan cinta Tuhan. Apa sudah jadi? Murid dengan guru tidak habis-habis berkonfrontasi.
Yang pelik, apabila terjadi begitu, ibu bapa, guru-guru dan pemimpin buat pelbagai undang-undang untuk mengatasinya. Ini bukan soal undang-undang tetapi soal kehilangan Tuhan. Tuhan sudah berlepas diri dan tidak mahu bertanggungjawab. Manusia belajar atas kepentingan masing-masing, bukan kerana Tuhan, maka Tuhan berlepas diri. Patutnya apabila terjadi begini, ulama dan pemimpin yang hendak membaiki keadaan perlu sedar bahawa tali pengikatnya sudah tidak ada. Kita sudah kehilangan Tuhan maka sepatutnya kita promosikan Tuhan semula, bukan buat peraturan dan undang-undang. Kalau sudah lupa Tuhan, murid dan guru akan jadi jahat. Di atas kejahatan bersama itu, maka akan jadi huru-hara.
Sebab itulah Tuhan suruh berkenal-kenalan dengan bertunjangkan tauhid supaya nikmat yang kita dapat tidak jadi bala. Dapat ilmu itu nikmat tetapi bergaduhnya murid dengan guru, itu adalah bala. Apa erti makanan sedap tetapi ada racun. Ilmu dapat tetapi berkrisis sebab belajar dan mengajar tidak hubungkan dengan Tuhan. Tuhan sudah berlepas diri dari kita.
Yang peliknya, ulama yang membahaskan tentang kejahatan murid, dia fikir untuk selesaikan masalah, hantar polis ke sekolah. Macam mana kalau polis pun tidak takut dan tidak cinta Tuhan? Macam mana orang yang tidak cinta dan takut Tuhan hendak jaga orang? Lagi bala nanti.
4. Atas dasar ekonomi
Selain itu, tujuan berkenal-kenalan yang dimaksudkan oleh Tuhan ialah mempunyai hubungan perniagaan atau ekonomi tetapi syaratnya juga mesti bertunjangkan tauhid. Perhubungan ekonomi atas dasar cinta dan takut Tuhan. Selain ilmu, ekonomi juga penting. Bentuknya luas, bahan yang hendak dikendalikan terlalu banyak dan keperluan manusia dalam perniagaan juga terlalu banyak. Bukan hanya dalam soal makan minum sahaja tetapi juga rumah dan alat-alat kehidupan yang lain. Maka lebih-lebih lagilah perlukan Tuhan.
Kalau Tuhan tidak masuk campur dan Tuhan dilupakan, walaupun kita berniaga antara dua orang atau antara dua puak di mana kedua-dua pihak mengharapkan keuntungan, tetapi ia tidak akan berlaku begitu. Yang akan berlaku ialah perniagaan itu jadi tipu-menipu. Saya tipu kamu, kamu tipu saya. Saya bohong, kamu pun bohong. Bukan sahaja antara Melayu dan Cina tipu-menipu, bahkan Cina dengan Cina dan Melayu dengan Melayu pun sanggup menipu. Sebab sudah kehilangan Tuhan. Bukan sahaja antara yang Islam dan bukan Islam tipu-menipu, bahkan sesama umat Islam pun tipu-menipu. Sebab perniagaan itu dibuat dalam keadaan tanpa Tuhan. Tuhan tidak jadi tunjang. Tidak takut dan tidak cintakan Tuhan. Apa sudah jadi hari ini? Ramai orang yang banyak duit mengadu bahawa mereka ada duit tetapi takut hendak berniaga. Jualan habis tetapi untung tidak dapat. Orang yang ada duit takut hendak berniaga, betapalah yang tidak ada duit.
Akibat sudah kehilangan Tuhan, tidak cinta dan tidak takut Tuhan, itulah yang berlaku di dunia hari ini. Orang pandai dan bijak, tekan orang bodoh. Yang pandai, monopoli ekonomi. Akhirnya kekuatan ekonomi di tangan satu puak. Rakyat jelata susah dan merempat. Kesan dari masing-masing tidak takut dan tidak cinta Tuhan.
5. Atas dasar membuat kajian
Tujuan lain lita'arafu yang Tuhan maksudkan ialah berkenal-kenalan untuk membuat kajian. Yakni dengan pergi ke tempat satu sama lain untuk melihat dan mengkaji adat bangsa di negeri itu, apa keutamaannya, apa yang baik yang boleh dijadikan teladan dan yang tidak baik, hendak dijadikan sempadan. Tapi sekali lagi dikatakan bahawa perkara itu tidak akan boleh terjadi, kalau kajian-kajian itu semua tidak bertunjangkan Tuhan. Bukan atas dasar cinta dan takutkan Tuhan. Akan terjadilah nanti orang yang membuat kajian di Barat menjadi lebih Barat dari orang-orang Barat. Patutnya kita Islamkan orang Barat tetapi sebaliknya kita yang jadi Barat. Amat malang sekali.
Selain itu kaji-mengkaji yang sepatutnya boleh membawa kasih sayang, rupa-rupanya digunakan oleh masing-masing untuk mencari kelemahan orang dan untuk menekan orang. Dia akan cari kelemahan sesuatu bangsa supaya mudah untuk jatuhkan bangsa itu. Masing-masing berniat untuk jatuh-menjatuhkan. Mengapa terjadi demikian sedangkan kita sangat perlukan pengalaman, perlu pertukaran kajian dan maklumat serta patut kasih-mengasihi? Sebab kita sudah kehilangan Tuhan. Akhirnya, hasil kajian itu menyusahkan kita balik. Ia jadi bala. Apabila kita lupakan Tuhan, maka Tuhan melupakan kita.
Kesimpulannya, ayat yang pendek tadi kalau dihurai, banyak sangat ilmu di situ, yang menggambarkan kehidupan manusia secara global. Kalau kehidupan secara global itu ditunjang oleh tauhid, atas dasar takut dan cinta Tuhan, maka akan jadi hebat manusia ini yang asalnya satu ibu dan ayah. Munasabahlah jadi satu keluarga besar sebab asal usulnya satu ibu dan dan satu ayah yakni dari Nabi Adam dan Hawa. Tetapi ia tidak terjadi demikian walaupun logiknya ia patut terjadi demikian. Rupa-rupanya kerana ada satu rahsia yakni kerana masing-masing sudah lupakan Tuhan. Tuhan yang begitu berjasa, boleh dilupakan begitu saja tetapi ahli sains pula dikenang jasanya. Bahkan ada orang yang buat perkara pelik, yang tidak pun menguntungkan agama dan bangsa, itu pun disanjung tinggi dan diberi pingat. Padahal apa manfaatnya? Begitu tersasul sekali cara kita berfikir. Itulah akibatnya apabila sesuatu bangsa itu sudah kehilangan Tuhan.
Maha Besar Tuhan. Ini satu ayat pendek yang besar ertinya kalau manusia ada ilmu dan faham ayat ini serta diimplementasikan dalam kehidupan. Hidup akan penuh dengan keindahan. Manusia akan jadi keluarga besar yang hidup aman damai, bahagia dan harmoni. Moga-moga kita boleh faham dan boleh praktikkan ilmu ini dalam kehidupan.
SAJAK
Adab Masyarakat
Bermasyarakat perlu bekerjasama
Menegakkan kebaikan dan keperluan bersama
Berkorban tenaga, menyumbang harta
Ikhlasnya hati waktu bekerja
Kemungkaran sama-sama membasmi
dan mencegahnya
Jangan biarkan ia bertapak
di dalam kehidupan
Kerana ia perosak perpaduan
Kena tumpaskan waktu ia bermula
Bertolak ansur di dalam pergaulan
Sabarlah menerima ujian
Lupakanlah kesalahan kawan
Maaf-bermaafan perlu ada
Kesalahan kita jangan dilupakan
Memohon maaf kenalah ada
Sikap itu sangatlah mulia
Allah Taala suka, manusia juga suka
Panjatkanlah doa kepada Tuhan
Memohon pertolongan kepada-Nya
Usaha kita tiada berkesan
Bantuan Tuhan perlu ada
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi |
Peranan Wanita Dalam Islam
Kalau hendak kita contohkan, ia seperti benda-benda lain juga, cuma yang ini berbentuk maknawi dan rohani. Sebagai contoh kita lihat buah pisang. Pisang itu, jika ditukar namanya kepada nama-nama lain, hakikatnya tetap tidak berubah iaitu ia adalah pisang. Namanya boleh berubah tetapi hakikatnya tidak akan berubah. Perubahan nama tidak akan mengubah hakikat. Jadi kalau orang hendakkan pisang, kita pula berikan epal, maka itu sudah tidak benar. Pisang tidak akan berubah menjadi epal walaupun namanya boleh diubah. Kalau seseorang itu tidak suka menyebut pisang, boleh sahaja dia memanggilnya dengan nama lain tetapi hakikatnya tidak boleh berubah. Pisang tetap pisang.
Begitu juga Islam sebagai agama dari Tuhan. Sama seperti pisang tadi cuma ia bersifat maknawi dan rohani. Namanya juga boleh diubah. Kalau seseorang itu tidak mahu sebut Islam, maka disebutlah dengan nama-nama yang lain, tetapi hakikatnya tetap Islam.
Islam itu pada namanya pun sudah cantik. Islam itu ertinya selamat dan menyelamatkan. Indah dan cantik ertinya. Cuma pada hari ini kita lihat Islam itu tidak begitu. Lebih-lebih lagi apabila Islam itu diperjuangkan secara militan. Apabila Islam jadi militan ertinya ia telah berubah bentuk dan dasarnya. Ertinya itu bukan Islam walaupun slogannya Islam. Ia sama seperti kalau ada orang meminta pisang lalu diberi epal, sudah tentu ia tidak betul. Begitulah Islam itu selamat dan menyelamatkan, sedangkan militan itu merosakkan.
Jadi peranan wanita dalam Islam bererti peranan wanita kepada satu agama yang selamat dan menyelamatkan. Peranan wanita dalam satu agama yang namanya Islam, iaitu selamat dan menyelamatkan. Inilah yang akan diperbahaskan dalam bab ini.
Islam itu juga dikatakan agama fitrah. Ia sesuai dengan instinct atau naluri manusia. Maka instinct atau naluri atau fitrah itu adalah satu pakej yang ada dalam diri manusia yang terdiri dari akal, roh, nafsu dan jasadnya. Keempat-empat perkara itu tadi ia sandar-menyandar, kuat-menguatkan dan perlu-memerlukan di antara satu sama lain. Ia tidak boleh bertindak sendiri.
Daripada empat perkara yang ada dalam pakej ini, yang boleh dilihat dengan mata kasar hanya jasad lahir. Akal, roh dan nafsu tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Tetapi yang tiga inilah yang paling penting dan besar peranannya. Fizikal hanya mengikut sahaja. Suruh buat, ia buat. Suruh pergi, ia pergi. Tidak ada pilihan. Kecuali kalau dia lumpuh atau kakinya patah. Jika tidak, ia akan bertindak atas arahan tiga unsur tadi.
- Roh itu peranannya ialah berperasaan seperti rasa suka, benci, senang dan lain-lain.
- Nafsu pula peranannya merangsang atau mendorong.
- Akal pula memikirkan apa yang dirasai tadi serta apabila didorong oleh nafsu, bagaimana untuk berbuat. Setelah berfikir, ia mendapat satu kaedah lalu ia mengarahkan fizikal untuk bertindak.
Berdasarkan ini, iaitu bilamana ada perasaan, dorongan dan fikiran, maka hasilnya kita dapati tabiat semula jadi manusia itu berkemajuan. Dengan adanya pakej tadi, manusia berkemajuan. Tidak seperti haiwan. Haiwan itu kalau dahulu telanjang, sampai sekarang pun masih bertelanjang. Ia tidak berubah kerana tidak ada pakej kemajuan dalam dirinya. Kalau pokok-pokok kayu itu lebih-lebih lagilah tidak berkemajuan. Ia langsung tidak ada perasaan, akal atau nafsu. Kalau ia maju pun kerana dimajukan oleh manusia. Dari hutan dibina rumah hingga kelihatan cantik. Namun bukan kerana ia majukan dirinya sendiri tetapi manusia yang memajukannya. Kalau manusia boleh hidup 1000 tahun lagi, entah apa bentuk kemajuan lagi yang manusia akan bangunkan. Kenderaan seperti kereta dan kapal terbang mungkin tidak lagi seperti yang ada pada hari ini.
Jadi jelaslah kepada kita bahawa watak manusia itu ialah bertamadun. Tabiat bertamadun itu pula, bukan hanya berlaku kepada orang lelaki sahaja. Di sinilah isi perbahasan kita. Kejadian lelaki dan wanita itu adalah sama. Kejadian asal adalah dari tanah. Kejadian yang kedua dari air mani. Sebab itu tabiatnya sama. Tidak ada perbezaan. Kalau lelaki ada persiapannya untuk maju, wanita juga begitu.
Kalau begitulah Tuhan jadikan watak perempuan yang sama dengan lelaki dalam hal tabiatnya yang berkemajuan, maka adalah salah kalau watak itu dikorbankan. Adalah salah jika sifat madaninya iaitu sifat berkemajuan atau sifat hadharinya iaitu sifat mahu bertamadun dihalang. Sifatnya sama dengan lelaki dan tidak boleh berubah.
Jadi kalau Tuhan jadikan dalam diri seorang perempuan sama dengan lelaki iaitu ada watak hendak maju, andainya disekat, itu adalah satu kesalahan dan satu penzaliman. Jika tidak, maka untuk apa Tuhan jadikan watak hendak maju di dalam diri seorang perempuan itu. Apabila Tuhan menjadikannya berwatak madani, ertinya Tuhan membenarkannya bertindak untuk maju. Kemajuan itu pula dalam semua sudut seperti makan minum, rumah, kenderaan dan lain-lainnya. Tidak boleh dihalang atau disekat. Sebab unsur-unsur itu ada dalam dirinya sama seperti lelaki juga.
Cuma Tuhan dengan kasih sayang-Nya tidak mahu kemajuan itu semata-mata untuk kemajuan kerana dalam kemajuan itu ada bahayanya. Oleh itu Tuhan buatkan peraturan. Dorongan rasa hendak maju itu sudah cantik tetapi Tuhan itu penyelamat. Dia sangat berbelas kasihan kepada hamba-hamba-Nya lalu ditetapkan supaya maju tetapi jangan ada huru-hara. Maju tetapi jangan ada negatifnya. Jangan ada jenayah dan penzaliman. Sebab itu Tuhan buat peraturan. Hendak maju boleh tetapi ada syaratnya.
Contohnya, hendak maju boleh tetapi jangan ada rasuah. Orang benci rasuah. Jangan bergaduh dan jatuh-menjatuhkan. Apa ertinya maju kalau bergaduh. Boleh maju tetapi jangan bergaul bebas lelaki perempuan. Sebab, kalau sudah bebas dan berlaku berbagai salah laku dan maksiat antara lelaki dan perempuan, maka tiada ertinya maju. Nanti dalam maju ada penzinaan, ada pelacuran, ada perogolan dan ada penculikan. Hasilnya tidak ada erti apa-apa kemajuan itu.
Sebab itu Tuhan buat peraturan supaya semua selamat. Kaum ibu turut boleh berkemajuan. Boleh menjadi doktor, jurutera dan lain-lainnya. Kemajuan yang dibangunkan itu faedahnya untuk umum, bukan untuk dirinya sahaja. Faedahnya merata tetapi disiplin kena jaga. Peraturan itu penting supaya bila berkemajuan jangan ada yang negatif. Apa ertinya maju kalau balik ke rumah bergaduh dengan suami kerana tidak ada disiplin? Apa erti maju jika suami tinggal di rumah, isterinya pulang ke rumah jam dua pagi?
Tuhan benarkan maju sebab ada watak maju tetapi Tuhan buat peraturan supaya dalam maju jangan ada negatif. Tentu tidak boleh diterima jika di atas nama ingin maju, seorang isteri pulang ke rumah jam dua pagi. Fitrah setiap suami adalah sama. Kalau isteri pandai memandu kapal terbang tentu suami turut berbangga. Tetapi kalau balik ke rumah pukul dua pagi, mana ada suami yang boleh terima.
Mengapa kalau hendak maju kena korbankan rumah tangga? Mengapa tidak boleh diprogramkan? Kita semua hendak maju tetapi kalau sampai balik pukul dua pagi, ia tidak betul dan boleh membawa kepada hilangnya kebahagiaan rumah tangga. Fitrah semua manusia adalah sama.
Mengapa pemimpin-pemimpin Islam di dunia dan ulama-ulama Islam tidak boleh susun jadual. Wanita boleh maju tetapi hendaklah diprogramkan atau dijadualkan. Yang penting ada peraturan. Ini peranan pemimpin. Hendakkan kemajuan itu tidak boleh dihalang tetapi kalau dibiarkan akan membawa perkara negatif. Apa ertinya isteri-isteri yang maju boleh membuat kereta tetapi pulang ke rumah dihantar pula oleh lelaki yang suami pun tidak kenali.
Jadi wanita juga seperti lelaki, ada kecenderungan untuk berkemajuan. Ia boleh dimanfaatkan untuk agama, bangsa dan negara. Yang salahnya pemimpin tidak programkan. Akhirnya sama-sama naik. Maju pun naik, jenayah pun naik. Maju pun naik, krisis pun naik. Maju pun naik, dedah aurat pun naik. Apa ertinya wanita kita maju tetapi berbagai perkara negatif berlaku. Masalahnya bukan tidak boleh maju tetapi pemimpin tidak disiplinkan. Biarlah maju dalam disiplin, barulah selamat dan menyelamatkan.
Sajak
Keindahan dan Kecantikan
Seorang Wanita
Malu pada seorang wanita itu
sebenarnya di situlah letaknya
keindahan dan kecantikannya
Bersopan santun, berakhlak mulia
maruahnya dijaga
kerana ia adalah harga dirinya
Pandai bergaul tapi tidak bebas dan terbabas
Pakaiannya kemas tapi tidak menampakkan
terlalu mewah atau menunjuk-nunjuk
dan tidak pula terlalu rendah mutunya
kecuali tidak ada
Berbudi bahasa, peramah dan mesra
tapi tidak mengada-ngada
Auratnya dijaga tidak didedahkan
kepada yang bukan muhramnya
Matanya selalu ditundukkan
terutama kepada laki-laki ajnabi
kecuali perlu sahaja
Bahasa bersahaja
mengikut fitrah semula jadinya
tidak dibuat-buat
atau mengada-ngada
Percakapannya dijaga
tidak menyindir-nyindir
atau mengata-ngata orang
atau memuji-muji diri dan keturunannya
Suaminya dihormati dan ditaatinya
keluarga suaminya dimuliakannya
Berkasih sayang dan berlemah lembut
dengan anak-anaknya
tetapi tidak terlalu dimanja
dan dimewah-mewahkan
Rajin bekerja dan mengemaskan rumah tangga
budaya hidupnya
Beribadah dengan Tuhan tidak diabaikan
bahkan istiqamah ibadahnya
Jiran dan kehormatan jiran sangat dijaga
macam menjaga keluarganya
Ketika berjalan jauh bersama muhramnya
atau bersama 3 orang wanita
yang boleh dipercaya
Tidak tamak, tidak bakhil
sentiasa baik sangka
dengan suaminya
Apatah lagi cemburu
dan prejudis dengan suaminya
tidak ada di benak kepalanya
Jika suaminya susah
sanggup bersama-sama susah
dengan suaminya
Tidak suka meminta-minta dengan suaminya
kecuali terlalu perlu sahaja
Tidak suka bertanya-tanya suaminya ketika balik
"Abang ke mana? Dari mana?
Buat apa di sana?
Mengapa lambat balik?"
Suaminya balik disambut
dan dilayan dengan baik
Di waktu itu dia tahu dan faham
apa keperluan suaminya.
Hingga sikapnya itu suaminya senang
tenang, terhibur dan lapang fikirannya
Tidak meninggikan suara dengan suaminya
kalau dia bersalah cepat meminta maaf
dengan suaminya
Kesalahan dan kesilapan suaminya
dilupa-lupakan sahaja
Tidak mengungkit-ungkit suaminya
sekalipun di waktu dia tidak senang
dengan suaminya
Itulah kecantikan dan keindahan
seorang wanita.
Manalah hendak kita cari
wanita semacam ini sekarang?
13 - 03 - 2004
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi |
Islam Itu Selamat Dan Menyelamatkan
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu masuk ke dalam Islam (keselamatan) secara menyeluruh (global)." (Al Baqarah: 208)
Di dalam ayat ini, Tuhan memerintahkan manusia dengan perintah masuk ke dalam keselamatan (Islam), secara umum dan menyeluruh, iaitu bukan secara individu atau perseorangan. Masuk ke dalam keselamatan itu pula bukan separuh-separuh atau bukan di sesetengah aspek sahaja tetapi secara keseluruhan iaitu secara global. Dalam ayat ini Allah mengajar kita bahawa hidup ini mestilah bukan secara individu tetapi ada hubung kait dengan orang lain. Dalam memikirkan diri kita, fikirkan juga orang lain. Kita ada hubungan dengan orang lain dan orang lain juga ada hubungan dengan kita. Jadi manusia tidak boleh memikirkan dirinya sahaja.
Tuhan mengajak kita masuk ke dalam keselamatan secara umum dan secara global. Jadi kalau ingin selamat, tentu kita harap agar orang lain juga selamat atau agar orang lain juga berada dalam keselamatan. Kalau kita ingin masuk ke dalam keselamatan secara global, kita harap orang lain pun demikian juga.
Demikianlah perintah Tuhan kepada manusia agar saling jaga-menjaga antara satu sama lain di mana kita menjaga orang dan orang menjaga kita. Dalam kita memikirkan diri kita, kita fikirkan juga diri orang lain. Dalam waktu orang lain memikirkan dirinya, dia juga memikirkan kita. Sebab itu Tuhan beri nama agama-Nya, Islam, sesuai dengan ayat tadi. Perkataan Islam yang istilah asalnya, 'aslama-yuslimu-islaman' ( ), bukan hanya ertinya 'selamat' tetapi juga 'menyelamatkan'.
Kita bahaskan perkataannya dahulu. Islam itu bukan ertinya 'selamat'. 'Selamat' dikatakan 'salmun' ( ). Islam maksudnya menyelamatkan. Sesuai dengan perkataan dalam ayat tadi, iaitu menyelamatkan itu secara jemaah, bukan secara individu. Kita fikirkan orang dan orang fikirkan kita. Sebab itu Tuhan beri nama agama-Nya dengan perkataan 'Islam' ( ) dan bukan 'salmun' ( ). Ramai orang terjemahkan maksud 'Islam' itu 'selamat'. Agama Islam itu maknanya yang tepat ialah agama yang 'menyelamatkan'.
Apa ertinya menyelamatkan? Ertinya menyelamatkan diri dan menyelamatkan orang lain. Orang lain menyelamatkan dirinya dan menyelamatkan diri kita juga. Sebab itu perkataan 'Islam' dipilih oleh Tuhan. Tidak dipilih perkataan 'salmun'. Kita selamat dan menyelamatkan. Inilah dasar dan prinsip Islam.
Apa maksud selamat dan menyelamatkan? Ertinya kita menyelamatkan diri kita dan diri orang lain daripada sebarang perkara yang negatif, sama ada besar mahupun kecil. Sama ada yang berbentuk Akhirat, mahupun yang berbentuk dunia. Sama ada yang bersifat lahir mahupun yang bersifat batin. Diri kita selamat dan orang lain pun selamat. Inilah dasar agama Tuhan. Ini prinsip agama Tuhan yang mesti difahami, yang mesti diperjuangkan dan yang mesti dihayati serta diaplikasikan di dalam kehidupan.
Kalau begitu mari kita lihat, bagaimana untuk mengaplikasikan agama yang selamat dan menyelamatkan itu dalam kehidupan harian.
Dalam kehidupan harian, Tuhan kata, masuklah ke dalam keselamatan itu secara 'kaaffah' ( ). Bila katakan 'kaaffah' atau menyeluruh, maka salah sekalilah apa yang kita dengar dan kita lihat selama ini, yakni:
1. Golongan yang menganggap Islam itu mementingkan ibadah sahaja
Golongan ini nampak Islam itu di surau, masjid, waktu berpuasa, waktu sembahyang, waktu haji dan waktu wirid sahaja. Yang lain tidak diambil kira. Mereka nampak Islam itu hanya di sudut ibadah sahaja. Yang lain-lain seperti makan, minum, tidur, baring, berehat dan berkeluarga tidak dianggap Islam. Mereka tidak terfikir bahawa mencari ilmu, menziarah, berhimpun dan berhibur itu juga Islam. Bukankah ini berlawanan dengan prinsip tadi, yakni "Hendaklah kamu masuk ke dalam Islam (keselamatan) secara menyeluruh (global)."
2. Golongan yang mengambil berat tentang Islam itu dari segi politik dan pentadbiran negara sahaja
Mereka ini selalu sahaja kata, "Lihat Tuhan berkata, masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh." Mereka nampak negara, politik dan pentadbiran. Pada mereka, itulah agama. Ibadah itu kecil. Sebab itu kerana politik mereka tinggalkan sembahyang. Kalau sembahyang pun, Subuhnya pukul tujuh pagi. Ertinya mereka lebih pentingkan politik daripada sembahyang. Itu kalau dia hendak sembahyang. Ramai yang memperjuangkan politik tapi tidak sembahyang. Oleh kerana dia anggap politik itu besar, sembahyang jadi kecil. Ini juga bukankah melanggar prinsip ayat tadi. Mana boleh politik negara dan pentadbiran dianggap global. Itu hanya satu sudut dalam Islam. Sedangkan Islam itu menyeluruh.
Kalau seseorang itu ada ilmunya, boleh dihayati dan boleh pula diamalkan dalam kehidupan, barulah dia benar-benar hamba Tuhan. Bila dikatakan hamba Tuhan, ertinya dia terhubung dengan Tuhan 24 jam. Kalau begitu mari kita lihat bagaimanakah hendak melaksanakan Islam yang bersifat kaaffah tadi di dalam setiap aspek kehidupan kita dengan tidak memikirkan atau mempersoalkan apakah ianya fardhu ain, sunat, fardhu kifayah dan lain-lain. Yang penting ia termasuk dalam kawasan silmi, iaitu kawasan keselamatan, yang selamat dan menyelamatkan.
Tentang ibadah di dalam Islam, itu tidak payah kita persoalkan. Itu orang sudah tahu. Begitulah juga aspek politik dan negara, pun tidak perlu kita bahaskan. Orang sudah faham. Itu sudah satu aspek. Yang hendak disebut di sini ialah satu perkara atau satu aspek yang jarang orang sebut iaitu tindakan kita setiap hari. Setelah kita hurai nanti, barulah kita tahu sama ada kita berada dalam 'silmi kaaffah' atau tidak. Sama ada kita masuk dalam keselamatan global atau tidak.
Katalah daripada bangun tidur, bagaimana kita hendak masuk kepada Islam atau kepada silmi itu? Kalau tidak berada dalam silmi, maka syaitanlah yang akan mempengaruhi kita. Ia akan berlaku salah satu. Kalau Tuhan tidak pengaruhi kita, syaitanlah akan pengaruhi kita. Tidak ada vacuum. Di antara contoh bagaimana hendak melaksanakan Islam yang bersifat kaaffah di dalam setiap aspek kehidupan kita adalah seperti berikut:
Apabila kita bangun sahaja dari tidur, kita bersyukur pada Tuhan. Kalau tidak tahu hendak baca ayat doanya, sekurang-kurangnya hati kita berkata, "Terima kasih Tuhan kerana hidupkan saya." Kita pun niatkan, "Ya Allah, bermula daripada saya bangun ini, sampai saya tidur semula, saya hendak buat baik. Tolonglah bantu saya." Niat sudah ada. Ertinya sudah mula masuk pada silmi. Kalau kita tidak buat begitu, ertinya sudah tidak selamat. Syaitan akan mempengaruhi hati kita sebab kita tidak bermula dengan ingat Tuhan. Bila tidak ingat Tuhan, ertinya syaitan mempengaruhi kita waktu itu.
Kemudian kita pun ke bilik air, dengan niat semua perbuatan adalah untuk Tuhan. Itu kita sudah maklum. Kita terus pergi ke bilik air dengan tujuan hendak bersihkan diri, hendak basuh diri, hendak mandi dan hendak ambil wuduk. Tujuannya untuk Tuhan. Syaitan sudah tidak boleh mencelah di situ. Kita sudah berada dalam kawasan atau keadaan silmi itu tadi. Selepas itu kita sembahyang. Itu juga dalam silmi.
Selepas itu, tentulah manusia ini hendak bertebaran di atas muka bumi. Tentu hendak keluar rumah. Mengapa Tuhan pilih perkataan bertebaran? Sebab tidak semua orang bekerja. Ada orang hendak mengaji, ada orang hendak mengembara, ada orang hendak berziarah dan bersilaturrahim dan ada orang hendak menunaikan hajat-hajat lain. Jadi selepas sembahyang, masing-masing akan memenuhi keperluan masing-masing. Bila hendak keluar rumah tentu kita akan berdoa dengan berkata:
Maksudnya: "Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah."
Jadi kita sambunglah memasuki kawasan keselamatan atau silmi secara global tadi. Kalau kita tidak baca doa itu, kalau kita tidak terfikir atau terlupa hendak baca, di sudut itu sudah tidak selamat. Syaitan sudah menguasai hati.
Bila melangkah, kita langkah dengan kaki kanan. Sebab berkanan-kanan ini Tuhan suka. Selamatlah dari kemurkaan Tuhan. Kalau kita langkah dengan kaki kiri, kita sudah buat sesuatu yang negatif, sebab orang kafir suka mulakan dengan sebelah kiri. Sama ada untuk makan atau lain-lain. Cuba kita lihat orang kafir makan terutama orang Barat. Sama ada pakai garpu atau tangan, mereka gunakan tangan kiri. Tuhan benci. Apabila Tuhan benci, ia sudah masuk kepada negatif. Ia sudah tidak selamat sebab Tuhan sudah murka sebab kita ikut budaya orang kafir. Ertinya kita sudah tidak selamat.
Selepas itu kita naik kereta dan membaca doa naik kenderaan. Itu paling tidak. Tadi sudah dikatakan bahawa Islam itu bukan kita sahaja selamat bahkan ia selamat dan menyelamatkan. Yang lebih baik waktu itu, kita ingat tentang berapa ramai orang yang campur tangan untuk menghasilkan kereta itu. Dari bahan mentah, siap menjadi kereta hingga sampai ke tangan kita, berapa ribu manusia yang terlibat. Doakan dalam hati:
"Ya Allah berilah mereka petunjuk. Ampunkan dosa mereka dan murahkan rezeki mereka."
Kalau boleh, hadiahkan Al Fatehah untuk mereka dan niatkan dalam hati, kita hadiahkan Fatehah untuk yang Islam. Bagi buruh-buruh yang tidak Islam, dia sudah termasuk dalam doa tadi yakni agar diberi petunjuk. Moga-moga dengan itu, kita selamat dan menyelamatkan orang lain. Itu lebih ikhlas. Orang yang kita doakan pun tidak tahu. Itu paling ikhlas. Pahalanya selamat. Kalau kita doakan orang ramai yang ada di depan kita, payah hendak jaga hati kita. Sebab hati akan berkata, "Supaya orang anggap aku baik, aku akan doakan mereka." Habislah pahala amalan kita. Payah rupanya hendak ikhlas. Bila begitu, ertinya hati kita bukan Tuhan yang dapat tetapi syaitan yang dapat.
Jadi kalau kita mendoakan orang tetapi tidak ada siapa yang tahu seperti mendoakan orang-orang yang terlibat dalam menghasilkan kereta tadi, yang mereka itu duduk merata-rata, inilah yang selamat dan menyelamatkan.
Inilah yang orang tidak buat. Perkara seperti ini mudah dapat pahala tetapi orang tidak buat. Yang susah dapat pahala itulah yang orang hendak buat sebab kita sudah diberi gambaran yang salah tentang ajaran Islam itu. Perkara-perkara yang tersirat seperti ini tidak pernah digambarkan atau difikirkan orang. Padahal Islam itu selamat-menyelamatkan. Sekarang kita sudah selamatkan orang yakni orang yang ada hubungan dengan kereta kita. Daripada yang menyiapkan bahan mentah, yang proses, yang buat, yang tukang jual, sampai ke tangan kita, berapa ribu orang yang terlibat. Kalau doa kita makbul, berapa ribu orang yang akan selamat.
Seterusnya, kereta pun meluncur. Waktu baru naik kereta, hendak hidupkan enjin, ada bacaan doanya. Waktu kereta berjalan juga ada bacaannya. Mengapa kita baca doa-doa itu? Moga-moga Tuhan selamatkan kita. Sebab ajaran Islam itu selamat-menyelamatkan. Setidak-tidaknya kita dahulu yang selamat. Bila masuk ke simpang, walaupun itu jalan kita, jika ada kereta lain hendak lalu, kita beri laluan. Menyelamatkan. Itulah yang dimaksudkan Islam itu selamat dan menyelamatkan. Bagi peluang kepada orang lain jalan dahulu. Kalau kita cakap, "Mana boleh! Ini jalan aku." Mengikut undang-undang jalan raya, memang tidak salah kalau kita tidak mahu beri laluan tetapi mengikut undang-undang Tuhan, tidak baik. Kalau mengikut undang-undang kerajaan memang kita yang patut jalan dahulu. Kalau mengikut undang-undang Tuhan, kita beri orang lain jalan dahulu. Kita hendak menyelamatkan orang. Boleh jadi dia memang ada keperluan hendak cepat. Kita beri peluang kepada orang dahulu, senangkan hati orang. Bila kita senangkan hati orang, kita sudah dapat pahala pula. Jadi kesenangan orang itu secara tidak langsung menyenangkan kita pula.
Begitulah pula kalau kita jalan jauh. Bila menuruni jalan yang tinggi atau bukit, ada pula ayatnya. Selagi menurun, kita baca, "Subhanallah... Maha Suci Tuhan, Maha Suci Tuhan." Jangan sampai jiwa kita itu vacuum atau kosong. Biar sentiasa terhubung dengan Allah. Kalau jauh kereta kita menurun, lamalah kita baca, "Subhanallah..." Apabila tiba-tiba kereta mendaki kawasan atau jalan yang tinggi, baca, "Allahu Akbar" pula. Tuhan siapkan bagaimana agar kita sentiasa terhubung dengan-Nya supaya hati kita tidak vacuum.
Katalah tiba-tiba kita nampak orang kemalangan. Kita kata, "Segala puji bagi Tuhan yang telah menyelamatkan aku daripada apa yang telah ditimpakan kepada orang itu." Terhubung lagi hati dengan Tuhan. Tidak boleh ada vacuum dalam hati. Jika vacuum, syaitan masuk. Bila syaitan masuk, kita sudah tidak selamat. Padahal Islam itu cantik. Bukan sahaja kita selamat, orang lain pun selamat.
Apabila kita teruskan perjalanan lagi, kita haus maka kita pun singgah di restoran. Berapa banyak perhubungan kita dengan Tuhan di situ. Kita baca bismillah, dan mulakan minum dengan tangan kanan maka kita terhubung secara tidak langsung dengan Tuhan. Bila hendak bayar, kita bayarkan untuk orang yang makan di kiri kanan kita. Selamatkan orang lain. Bukan sahaja kita selamat dari lapar dan dahaga bahkan kita juga telah selamatkan orang lain. Islam itu selamat-menyelamatkan. Tidak indahkah ajaran Islam itu? Kita sentiasa berhubung dengan manusia, sama ada secara langsung atau tidak secara langsung. Bila terhubung dengan Tuhan, secara automatik kita terhubung dengan manusia. Cantiknya ajaran Islam.
Itulah yang dimaksudkan Islam itu selamat dan menyelamatkan yakni ia merupakan amalan harian. Sedangkan ada orang anggap masuk kepada keselamatan secara keseluruhan atau global itu, hanya di sudut ibadah sahaja atau sembahyang sahaja. Yang minat politik pula nampak keseluruhan atau global itu di sudut negara atau pentadbiran sahaja. Ibadah pun sudah jadi kecil baginya. Apa yang diceritakan ini, lagilah dia tidak nampak. Mana orang pernah syarahkan. Seolah-olah ini bukan agama. Agama itu ialah jadual harian. Walaupun satu detik dalam hidup, tidak lepas dari Tuhan dan tidak lepas dari manusia. Tidak ada vacuum. Tidak ada kekosongan.
Jadi itulah perintah Tuhan tadi, "Hendaklah kamu masuk Islam (keselamatan) itu secara menyeluruh (global)." Dan sebab itu Tuhan bagi nama agama-Nya, Islam, sesuai dengan arahan dalam ayat tadi. Islam ertinya selamat dan menyelamatkan. Menyelamatkan diri dan menyelamatkan orang lain. Kalau ini dapat difahami, dihayati, dan diamalkan dalam kehidupan harian, maka dengan Tuhan kita terhubung dan dengan manusia kita terhibur. Kita selamat dan orang lain pun selamat. Kalau begitu, mana ada ruang untuk bergaduh atau berkrisis. Tidak ada. Tetapi oleh kerana kita tidak faham Islam secara benar dan kita hanya faham sepertimana yang kita faham selama ini, sebab itu Islam yang kita bawa tidak selamat dan tidak menyelamatkan. Kadang-kadang kita bawa Islam, di situ boleh bergaduh. Ini sudah tidak betul. Menyalahi ayat tadi.
Itu sebahagian kecil yang digambarkan bagaimana Islam itu adalah kehidupan seharian. Dalam sudut-sudut lain, kita sudah tahu. Kalau belum tahu, eloklah kita belajar lagi kerana ia terlalu banyak dan menyeluruh. Iaitu tindakan dalam kehidupan kita. Jadi cantik sekalilah ajaran yang selamat-menyelamatkan ini.
Begitulah seterusnya, apabila kita balik ke rumah untuk berehat, ada disiplin-disiplin tertentu dan ada bacaan-bacaan tertentu. Kalau tidak faham bacaan, pasanglah niat-niat baik kita dengan Tuhan, supaya sentiasa terhubung dengan Tuhan. Itu paling tidak. Memang tajuk semacam ini kurang diminati kerana bab ini susah hendak diamalkan setiap hari. Cukup setakat ini. Setidak-tidaknya kita sudah faham prinsip Islam yakni Islam itu selamat dan menyelamatkan.
Sajak
Agama Adalah Seluruh Kehidupan
Agama adalah seluruh kehidupan
Ada yang lahir ada yang batin
Iman, Islam dan ihsan adalah patinya
atau ajaran terpokok
Pecahan dari tiga aspek tadi
yang merupakan satu pakej
jadilah agama itu luasnya
seluruh kehidupan
Adakalanya disebut hablumminallah
wahablumminannas
Hablumminallah adalah asas
dan tapak agama dari Tuhan
Hablumminannas adalah cabangnya
atau buah daripada hablumminallah
Ertinya agama itu ia berlaku dan mesti berlaku
di mana-mana
Di dalam masjid sudah tentu semua orang tahu
Ia berlaku di pejabat, di pasar
di tengah masyarakat
di dalam perjuangan
di dalam kebudayaan
dan perhubungan
Di rumah tangga
di dalam perhubungan
di dalam negara atau antara bangsa
Berlaku di dalam jiran tetangga
di dalam pendidikan formal
atau tidak formal
Berkasih sayag, rasa bersama bekerjasama
bersatu-padu adalah agama
Di dalam perhimpunan
di dalam perayaan
di dalam mesyuarat
di dalam bersukan mesti ada agama
Bertimbang rasa, perikemanusiaan
bertolak ansur, berlapang dada
agama juga
Di waktu memandu di jalan raya
membersihkan bandar
ketika bertugas menjadi nelayan
bekerja di kilang
semuanya agama
Mentadbir negara, menjaga negara
menjaga keselamatan dan keamanan
juga agama
Berkawan, berkenalan, berbual
makan, rehat-rehat
tidur dan baring adalah agama
Begitulah luasnya agama
tidak seperti yang difaham
selama ini oleh kita
Tanggapan ramai orang Islam agama itu
hanya semata-mata ibadah
rukun Islam serta sunat-sunatnya
Kalau agama itu berlaku di mana-mana
selagi berlaku syariat Tuhan
sebagai disiplinnya
itu ibadah umumlah namanya
Ertinya agama atau ibadah itu berlaku
di udara, di darat, di laut
di hutan, di bukit, di gunung
di padang pasir
selagi ada manusia
Kalau agama berlaku di mana-mana
ertinya ibadah umum berlaku
di mana-mana sahaja selagi ada manusia
Sekiranya agama berlaku di mana-mana sahaja selamatlah manusia
Kerana maknanya agama itu tidak kacau
mengikut bahasa Sanskrit
Ertinya orang beragama tidak huru-hara
di dalam kehidupan
ertinya aman damai
harmoni, bahagia
Tapi makna agama itu telah dipersempit
maka manusia hidup huru-hara di mana-mana bahkan berlaku di masjid
Kerana itulah umat Islam hina di mana-mana
kerana agama yang diamalkan selama ini
adalah sempit
Menjelang Zuhur
04 - 03 - 2004
Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi |
Pemuda Pemudi Aset Bangsa Dan Negara
Begitu pun, menurut pandangan umum sama ada Islam atau yang bukan Islam, pemuda-pemudi itu dianggap aset bagi sebuah bangsa atau sebuah negara. Mereka adalah aset bangsa dan negara. Sebab itu untuk jadi satu bangsa yang kuat, atau untuk menjadi satu negara yang kuat, pemerintah perlu bijaksana menjaga orang-orang mudanya kerana mereka aset negara. Maksud aset negara ialah harta negara. Aset ada dua bentuk iaitu:
1. Bahan-bahan semula jadi - sama ada dari dalam bumi, dari dalam laut atau dalam hutan. Contohnya seperti minyak, emas, perak, kayu-kayan dan lain-lain lagi. Itu semua aset juga tetapi itu aset benda mati.
2. Aset yang lebih penting ialah 'man power' atau tenaga manusia. Terutama di kalangan muda-mudi atau putera-puteri.
Yang dikatakan aset itu ialah apa yang ada pada pemuda-pemudi atau putera-puteri yakni:
a. Akal (ilmunya)
b. Rohnya
c. Fizikal (tenaganya)
d. Nafsunya
Bagi orang Barat, roh dan nafsu tidak termasuk aset. Mereka hanya fikirkan fizikal dan akal sahaja. Apa yang hendak diperkatakan ini adalah secara umum dahulu. Sebab itu kadang-kadang disebut pandangan sekular, kadang-kadang disebut di sudut pandangan Islam. Nanti akan difokuskan kepada pandangan Islam. Jadi yang dikatakan pemuda-pemudi ini aset adalah pada akalnya, ilmunya, rohnya dan jasad lahirnya. Bahkan nafsunya juga adalah aset.
Jadi pemuda-pemudi adalah aset paling besar. Lebih besar dari emas dan perak serta bahan-bahan mentah yang lain. Sebab kalau aset yang kedua ini tidak dapat dibangunkan, kita boleh lihat, banyak negara yang kaya dengan khazanah negaranya tetapi merempat kerana tidak ada tenaga manusia dan ilmu yang berguna. Ada pula negara yang ia tidak ada khazanah dalam negaranya tetapi ada man power yang ada akal, ada ilmu dan badan yang sihat. Dengan itu habis kekayaan atau khazanah negara orang dibongkar. Hinggakan negara tuan punya khazanah itu terpaksa bersandar hidup dengan mereka. Kalau tidak, tidak dapat pula dimanfaatkan bahan mentahnya. Maka negara itu terpaksa panggil tenaga dari Amerika, Jepun atau Korea contohnya, untuk mengeluarkan bahan mentahnya.
Jadi sebuah negara yang ada banyak kekayaan buminya tidak akan berguna apa-apa bilamana tenaga manusianya itu tidak berfungsi. Khazanah negara Jepun tidak banyak tetapi ia jadi negara kaya sehingga hampir-hampir mencabar Amerika. Padahal ia bukan empayar manakala Amerika itu empayar. Itu tidaklah menghairankan. Tapi kebanyakan negara Islam yang kaya dengan khazanah negaranya menjadi negara yang merempat kerana kalaupun negara atau bangsa itu mempunyai tenaga manusia atau man power, tenaga pemuda-pemudi itu tidak dijaga hingga tidak boleh digunakan.
Kesimpulannya, tenaga pemuda-pemudi itu sebenarnya aset paling besar bagi sesebuah negara. Sebab itu negara yang baik atau bangsa yang baik, akan menjaga asetnya itu sejak dari kanak-kanak lagi yakni dengan cara-cara seperti berikut:
1. Negara atau bangsa itu akan membuat satu sistem pendidikan yang baik untuk bangunkan akal pemuda-pemudi dan untuk beri ilmu kepada mereka sebab mereka adalah pelapis bagi orang-orang tuanya. Mereka diberikan ilmu di berbagai bidang.
2. Kesihatan lahirnya dijaga. Dibuatkan sistem kesihatan yang baik untuk menjaga kesihatan rakyatnya terutama kesihatan di peringkat kanak-kanak hingga mereka membesar menjadi pemuda dan pemudi yang sihat dan cergas. Sebab kalau pandai pun tetapi kesihatannya tidak baik, seperti kena sakit jantung, kencing manis, darah tinggi atau barah, tentulah tidak boleh hendak buat kerja. Ilmu yang ada tidak akan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya kalau tenaga sudah lumpuh.
Bagi orang Islam, bukan itu saja yang dijaga. Yang paling penting adalah rohnya. Roh ini adalah aset yang paling besar, mengatasi akal atau fizikal kerana:
1. Roh yang menentukan apakah tenaga manusia dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.
2. Rohlah yang menentukan apakah akal fikiran dan ilmu itu dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.
3. Roh juga yang menentukan apakah kekayaan negara dan bahan-bahan mentah dalam sebuah negara itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya atau tidak. Sama ada ia digunakan untuk umum atau sebaliknya. Kalau roh sudah rosak, segala kekayaan negara akan masuk poket dua tiga orang pemimpin. Akibatnya, negara kaya tetapi rakyat miskin. Sebaliknya kalau roh itu baik, maka kekayaan yang Tuhan bagi itu akan dimanfaatkan untuk rakyat dan negara.
Hari ini, roh itulah yang menjadi masalah. Orang Barat tidak ambil peduli tentang roh. Jepun juga tidak ambil pusing tentang roh. Oleh kerana Jepun dan Barat maju, orang Islam pun, kerana hendak maju seperti mereka, turut mengabaikan soal roh. Akhirnya, nama sahaja negara itu kaya tetapi hakikatnya yang kaya hanya dua tiga orang pemimpin sahaja kerana orang yang kuasai negara itu, roh atau hatinya sudah kotor. Rakyat susah dan miskin. Pengagihan harta dan kekayaan sudah tidak dilakukan dengan baik.
Akal, roh, fizikal dan nafsu pada pemuda-pemudi itu adalah aset paling besar. Kalau kurang khazanah negara pun tidak apa. Mereka akan boleh cari kekayaan dari luar negara untuk dibawa masuk ke dalam negara. Tapi sayang, dunia Islam sudah rosak. Kerana kononnya hendak ikut Barat maka man power yakni aset negara yang ada pada pemuda-pemudi itu jadi rosak. Mereka hanya jaga akal dan fizikal tetapi tidak menjaga roh. Bila roh tidak dijaga maka pendidikannya hanya berdasarkan akal dan jasad sahaja. Pemuda-pemudi hanya perlu pandai dan sihat. Tidak diambil kira baik atau tidak hatinya.
Akhirnya apa sudah terjadi? Maka terdedahlah mereka dengan gejala-gejala dari luar. Lebih-lebih lagi dari Yahudi yang tidak suka dunia ini aman damai dan bersatu padu. Sama ada dunia Islam, mahupun dunia bukan Islam, diharu-birukannya. Pemuda-pemudinya diracun iaitu dengan dibanyakkan filem lucah, pergaulan bebas, menggalakkan zina dan arak supaya aset-aset yang baik ini jadi rosak. Orang yang ada ilmu dan banyak kepandaian dirosakkannya. Dengan itu, Yahudi boleh menguasai. Walaupun nampaknya Yahudi seperti tidak ada kuasa tetapi mereka berkuasa melalui proksi yakni dengan menggunakan orang-orang tertentu, negara-negara dan pemimpin-pemimpin tertentu untuk melaksanakan kehendak-kehendak mereka.
Pemuda dan pemudi Islam patut tahu tentang hal ini. Malangnya, kebanyakan orang yang mengaji agama atau belajar agama pun tidak tahu hal ilmu ini. Akhirnya orang tipu kita. Inilah masalahnya. Padahal ini termasuk ilmu dari Al Quran dan Hadis. Pemuda-pemudi yang hendak bangunkan Islam, mesti tahu ilmu ini.
Oleh kerana negara-negara di dunia ini, terutama umat Islam, tidak jaga man power yang merupakan asetnya, yakni hanya memikirkan kecemerlangan otak dan kesihatan badan pemuda-pemudinya sahaja tetapi melupakan rohnya, maka Yahudilah yang berjaya merosakkan pemuda-pemudi kita. Berapa ramai pemuda-pemudi yang masuk ke pusat serenti? Berapa ratus ribu di kalangan mereka yang tidak boleh dipakai lagi. Sesetengahnya itu jurutera, doktor dan pegawai-pegawai kerajaan. Mereka itu hendak dimanfaatkan tidak boleh, hendak dibunuh juga tidak boleh kerana mereka adalah manusia. Kalau mereka itu ayam, bolehlah disembelih sahaja. Hendak diharapkan tidak boleh lagi tetapi terpaksa juga diberi makan. Berapa susah negara dan bangsa kerana melupakan roh. Pemuda-pemudi cemerlang kerana dapat jadi DO, jadi arkitek, jadi jurutera dan sebagainya tetapi masuk pusat serenti. Orang yang masuk pusat serenti, tenaganya sudah expired. Kalau makanan yang tidak boleh dimakan atau digunakan, bolehlah dibuat baja pokok. Tapi kalau orang sudah expired, maka dia sudah jadi masalah kepada bangsa dan negara. Sekarang kerajaan dan pemimpin sudah pening kepala kerana tidak tahu apa hendak dibuat.
Zaman dahulu, kebanyakan orang hanya sekolah setakat darjah 5 tetapi tidak jadi seperti hari ini. Hari ini berapa ramai pemuda-pemudi yang melepak-lepak dan menjadi sampah masyarakat hingga memeningkan kepala kerajaan serta masyarakat. Ada yang bergaul bebas dan tidak boleh didisiplinkan lagi. Inilah akibatnya apabila negara mengabaikan pemuda pemudi padahal mereka adalah aset paling besar. Akibat hanya dibangunkan akal dan fizikal mereka sahaja manakala soal roh tidak diambil pusing, akhirnya pandai pun tidak berguna. Yang tidak masuk pusat serenti pula, terlibat dengan rasuah dan tipu duit rakyat.
Kalau kita baca sejarah dunia sejak ribuan tahun dahulu, bangsa-bangsa yang telah dapat jadi empayar ada tiga kategori yakni:
1. Waktu tidak ada bangsa yang bangunkan rohaniah atau waktu semua bangsa tidak fikir rohaniah manusia, bangsa yang memikirkan aqliah atau akal itu boleh menguasai. Dia jadi empayar. Contohnya Rom dan Parsi. Waktu itu bangsa-bangsa lain di dunia ini tidak membangunkan rohani dan akalnya. Bangsa Rom dan Parsi dapat bangunkan akal, maka merekalah yang dapat menguasai dunia.
2. Bila datang Islam, dibangunkan roh, akal dan fizikal umatnya. Maka umat Islam jadi empayar, mengalahkan Rom dan Parsi yang hanya ada kekuatan akal.
3. Di zaman pertengahan, waktu itu roh sudah rosak semula dan akal pun sudah mula rosak. Orang tidak fikir tentang akal dan roh lagi maka bangsa yang fizikalnya kuat dapat menjadi empayar iaitu bangsa Tartar dari Monggol. Jadi kekuatan fizikal menguasai dunia setelah orang abaikan akal dan roh. Barulah tenaga dan fizikal jadi empayar. Apa yang berlaku ketika itu, penjajah yang menjajah dengan kekuatan fizikal, dia ikut agama negara yang dijajahnya sebab dia sendiri tidak bawa tamadun, tidak bawa ilmu dan keyakinan. Apabila dia menjajah negara Islam maka dia ikut Islam. Bila pergi ke negara Hindu, dia jadi Hindu. Pergi ke negara Buddha, dia jadi Buddha. Itulah yang berlaku kepada bangsa Monggol.
Perkara ini perlu kita fahami kalau kita hendak berjuang. Jangan hanya berjuang ikut semangat tetapi ilmunya tidak ada. Jadi kita boleh suluh dunia. Dunia ini ibarat hutan. Ilmu itu jalan. Keluar masuk hutan, kalau tidak nampak jalan dan tidak bawa peta, bagaimanalah harimau tidak baham kita, beruang tidak cakar dan koyakkan kita dan lipan tidak gigit kita. Janganlah apabila hendak perjuangkan Islam, hanya fikir halal haram, fikir hudud, fikir hendak potong tangan orang sahaja. Mengapa disempitkan sangat Islam kita ini. Mengapa persempitkan ilmu sedang ini ilmu Islam dari Al Quran.
Bagi kebanyakan negara umat Islam di seluruh dunia, pemuda-pemudinya yang menjadi aset utama, sudah dirosakkan. Untuk bangunkan mereka semula, sangat susah. Untuk membela keselamatan dunia Islam, pemuda-pemudinya perlu dibangunkan roh dan dibaiki nafsunya.
Sajak
Pemuda Pemudi Pemimpin Pelapis
Putera-puteri pemuda-pemudi
adalah pemimpin pelapis di masa depan
Pemimpin pelapis bagi sebuah negara, bangsa dan agama demi kebahagiaan dan keselamatan
Mereka yang akan mengambil alih pimpinan negara
mengganti pemimpin yang ada sekarang
Kalau pemimpin yang ada tidak pandai
mendidik, menjaga mereka
pemimpin yang akan datang dari mereka
akan merosakkan negara, bangsa dan agama Islam
Mereka adalah aset bagi satu bangsa dan negara
Aset yang lebih berharga daripada aset semula jadi
yang menjadi khazanah negara.
Bahkan aset yang mati dan beku itu
aset yang menjadi man power itulah
yang akan menggerak dan mentadbirnya
Kalau mereka telah rosak
kerana kecuaian pemimpin yang ada
kekayaan negara di masa hadapan
merekalah yang akan membolotnya
Bagaimana menjaga mereka
sebagai aset negara dan bangsa?
Bangunkan akal mereka dengan berbagai-bagai bidang pengetahuan dan pengalaman
untuk agama, bangsa dan negara
Jagalah kesihatan mereka hingga fizikal mereka terpelihara, cergas dan berguna
Didiklah nafsu mereka agar tidak rakus
dengan nikmat dunia
dan tidak sombong dengan kerjayanya
Bangunkan roh mereka dengan mengenalkan Tuhan
takutkan Tuhan, cintakan Tuhan
tanamkan rasa bertuhan.
Hati mereka akan bersih dari noda-noda dunia
Mereka akan menjadi manusia berakhlak mulia
Akhlak yang mulia adalah bunga diri
dan bunga bangsa
Hati mereka yang bersih
itulah ketahanan diri mereka
daripada godaan dunia dan betina
Jika mereka berhadapan dengan kesusahan
dan penderitaan, jiwa mereka tahan
Mereka akan sabar menerima ujian
sama ada daripada manusia
mahupun kejadian bencana alam
Gejala-gejala negatif daripada luar
buatan musuh mereka dapat hindarkan
Kerana ketahanan jiwa mereka begitu kebal dan tebal
Pemimpin yang ada sekarang diharap ambil perhatian terhadap anak-anak muda
Tersilap mendidik mereka
merekalah yang akan menghancurkan
agama, bangsa dan negara mereka
Satu bangsa kalau sudah tersilap
untuk memulihkannya semula
memakan masa ratusan tahun lamanya
Aduh berapa generasi yang akan rosak dibuatnya
Moga-moga Tuhan lindungi kita semua
Menjelang Maghrib
01 - 03 - 2004