Thursday, 21 April 2011

Pemuda Pemudi Aset Bangsa Dan Negara

Bagi kebanyakan bangsa atau negara di dunia, pemuda-pemudi itu merupakan aset bangsa dan aset negara. Cuma istilah pemuda dan pemudi ini menurut Islam dan bukan Islam agak sedikit berbeza. Kalau mengikut ajaran Islam, apabila seseorang itu baligh sahaja, dia sudah dianggap pemuda atau pemudi. Sebab waktu itu kalau dia kahwin, sudah boleh melahirkan anak. Jadi menurut Islam, yang dikatakan pemuda-pemudi itu ialah seseorang dari sejak balighnya hingga berumur 40 tahun. Jadi yang tercepat, di usia 9 tahun yakni kalau ketika umur 9 tahun sudah baligh. Itu sudah dianggap pemuda-pemudi atau putera-puteri, hinggalah berumur 40 tahun. Tetapi menurut pandangan umum, terutama pandangan Barat yang bersifat sekular, gelaran pemuda dan pemudi itu diberikan kepada seorang yang berumur 18 tahun ke atas hingga ke umur 40 tahun.
Sebab itu dunia hari ini, termasuk negara kita juga menggunakan istilah atau takrif ini. Maka dari umur 18 tahun ke bawah, kalau mereka terlibat dengan jenayah, ianya dianggap kes juvana yakni kes di bawah umur, di mana ia mempunyai undang-undang yang tersendiri. Mereka terkecuali daripada undang-undang orang dewasa. Tetapi menurut Islam, belum baligh itu juvana. Kalau sudah baligh, tidak boleh lagi disebut juvana tetapi dianggap dewasa. Bila melanggar peraturan Islam, tidak ada beza dengan orang tua. Bila dia berzina, kena rejam. Kalau mencuri, kena potong tangan. Kalau bunuh orang, dia kena bunuh, walaupun umurnya 9 tahun, kerana dia sudah baligh. Sebab di dalam Islam, dia sudah dianggap dewasa. Jadi di sini ada sedikit perbezaan antara pandangan Islam dengan pandangan sekular.
Begitu pun, menurut pandangan umum sama ada Islam atau yang bukan Islam, pemuda-pemudi itu dianggap aset bagi sebuah bangsa atau sebuah negara. Mereka adalah aset bangsa dan negara. Sebab itu untuk jadi satu bangsa yang kuat, atau untuk menjadi satu negara yang kuat, pemerintah perlu bijaksana menjaga orang-orang mudanya kerana mereka aset negara. Maksud aset negara ialah harta negara. Aset ada dua bentuk iaitu:
1. Bahan-bahan semula jadi - sama ada dari dalam bumi, dari dalam laut atau dalam hutan. Contohnya seperti minyak, emas, perak, kayu-kayan dan lain-lain lagi. Itu semua aset juga tetapi itu aset benda mati.
2. Aset yang lebih penting ialah 'man power' atau tenaga manusia. Terutama di kalangan muda-mudi atau putera-puteri.
Yang dikatakan aset itu ialah apa yang ada pada pemuda-pemudi atau putera-puteri yakni:
a. Akal (ilmunya)
b. Rohnya
c. Fizikal (tenaganya)
d. Nafsunya

Bagi orang Barat, roh dan nafsu tidak termasuk aset. Mereka hanya fikirkan fizikal dan akal sahaja. Apa yang hendak diperkatakan ini adalah secara umum dahulu. Sebab itu kadang-kadang disebut pandangan sekular, kadang-kadang disebut di sudut pandangan Islam. Nanti akan difokuskan kepada pandangan Islam. Jadi yang dikatakan pemuda-pemudi ini aset adalah pada akalnya, ilmunya, rohnya dan jasad lahirnya. Bahkan nafsunya juga adalah aset.
Jadi pemuda-pemudi adalah aset paling besar. Lebih besar dari emas dan perak serta bahan-bahan mentah yang lain. Sebab kalau aset yang kedua ini tidak dapat dibangunkan, kita boleh lihat, banyak negara yang kaya dengan khazanah negaranya tetapi merempat kerana tidak ada tenaga manusia dan ilmu yang berguna. Ada pula negara yang ia tidak ada khazanah dalam negaranya tetapi ada man power yang ada akal, ada ilmu dan badan yang sihat. Dengan itu habis kekayaan atau khazanah negara orang dibongkar. Hinggakan negara tuan punya khazanah itu terpaksa bersandar hidup dengan mereka. Kalau tidak, tidak dapat pula dimanfaatkan bahan mentahnya. Maka negara itu terpaksa panggil tenaga dari Amerika, Jepun atau Korea contohnya, untuk mengeluarkan bahan mentahnya.
Jadi sebuah negara yang ada banyak kekayaan buminya tidak akan berguna apa-apa bilamana tenaga manusianya itu tidak berfungsi. Khazanah negara Jepun tidak banyak tetapi ia jadi negara kaya sehingga hampir-hampir mencabar Amerika. Padahal ia bukan empayar manakala Amerika itu empayar. Itu tidaklah menghairankan. Tapi kebanyakan negara Islam yang kaya dengan khazanah negaranya menjadi negara yang merempat kerana kalaupun negara atau bangsa itu mempunyai tenaga manusia atau man power, tenaga pemuda-pemudi itu tidak dijaga hingga tidak boleh digunakan.
Kesimpulannya, tenaga pemuda-pemudi itu sebenarnya aset paling besar bagi sesebuah negara. Sebab itu negara yang baik atau bangsa yang baik, akan menjaga asetnya itu sejak dari kanak-kanak lagi yakni dengan cara-cara seperti berikut:
1. Negara atau bangsa itu akan membuat satu sistem pendidikan yang baik untuk bangunkan akal pemuda-pemudi dan untuk beri ilmu kepada mereka sebab mereka adalah pelapis bagi orang-orang tuanya. Mereka diberikan ilmu di berbagai bidang.
2. Kesihatan lahirnya dijaga. Dibuatkan sistem kesihatan yang baik untuk menjaga kesihatan rakyatnya terutama kesihatan di peringkat kanak-kanak hingga mereka membesar menjadi pemuda dan pemudi yang sihat dan cergas. Sebab kalau pandai pun tetapi kesihatannya tidak baik, seperti kena sakit jantung, kencing manis, darah tinggi atau barah, tentulah tidak boleh hendak buat kerja. Ilmu yang ada tidak akan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya kalau tenaga sudah lumpuh.

Bagi orang Islam, bukan itu saja yang dijaga. Yang paling penting adalah rohnya. Roh ini adalah aset yang paling besar, mengatasi akal atau fizikal kerana:
1. Roh yang menentukan apakah tenaga manusia dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.
2. Rohlah yang menentukan apakah akal fikiran dan ilmu itu dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.
3. Roh juga yang menentukan apakah kekayaan negara dan bahan-bahan mentah dalam sebuah negara itu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya atau tidak. Sama ada ia digunakan untuk umum atau sebaliknya. Kalau roh sudah rosak, segala kekayaan negara akan masuk poket dua tiga orang pemimpin. Akibatnya, negara kaya tetapi rakyat miskin. Sebaliknya kalau roh itu baik, maka kekayaan yang Tuhan bagi itu akan dimanfaatkan untuk rakyat dan negara.

Hari ini, roh itulah yang menjadi masalah. Orang Barat tidak ambil peduli tentang roh. Jepun juga tidak ambil pusing tentang roh. Oleh kerana Jepun dan Barat maju, orang Islam pun, kerana hendak maju seperti mereka, turut mengabaikan soal roh. Akhirnya, nama sahaja negara itu kaya tetapi hakikatnya yang kaya hanya dua tiga orang pemimpin sahaja kerana orang yang kuasai negara itu, roh atau hatinya sudah kotor. Rakyat susah dan miskin. Pengagihan harta dan kekayaan sudah tidak dilakukan dengan baik.
Akal, roh, fizikal dan nafsu pada pemuda-pemudi itu adalah aset paling besar. Kalau kurang khazanah negara pun tidak apa. Mereka akan boleh cari kekayaan dari luar negara untuk dibawa masuk ke dalam negara. Tapi sayang, dunia Islam sudah rosak. Kerana kononnya hendak ikut Barat maka man power yakni aset negara yang ada pada pemuda-pemudi itu jadi rosak. Mereka hanya jaga akal dan fizikal tetapi tidak menjaga roh. Bila roh tidak dijaga maka pendidikannya hanya berdasarkan akal dan jasad sahaja. Pemuda-pemudi hanya perlu pandai dan sihat. Tidak diambil kira baik atau tidak hatinya.
Akhirnya apa sudah terjadi? Maka terdedahlah mereka dengan gejala-gejala dari luar. Lebih-lebih lagi dari Yahudi yang tidak suka dunia ini aman damai dan bersatu padu. Sama ada dunia Islam, mahupun dunia bukan Islam, diharu-birukannya. Pemuda-pemudinya diracun iaitu dengan dibanyakkan filem lucah, pergaulan bebas, menggalakkan zina dan arak supaya aset-aset yang baik ini jadi rosak. Orang yang ada ilmu dan banyak kepandaian dirosakkannya. Dengan itu, Yahudi boleh menguasai. Walaupun nampaknya Yahudi seperti tidak ada kuasa tetapi mereka berkuasa melalui proksi yakni dengan menggunakan orang-orang tertentu, negara-negara dan pemimpin-pemimpin tertentu untuk melaksanakan kehendak-kehendak mereka.
Pemuda dan pemudi Islam patut tahu tentang hal ini. Malangnya, kebanyakan orang yang mengaji agama atau belajar agama pun tidak tahu hal ilmu ini. Akhirnya orang tipu kita. Inilah masalahnya. Padahal ini termasuk ilmu dari Al Quran dan Hadis. Pemuda-pemudi yang hendak bangunkan Islam, mesti tahu ilmu ini.
Oleh kerana negara-negara di dunia ini, terutama umat Islam, tidak jaga man power yang merupakan asetnya, yakni hanya memikirkan kecemerlangan otak dan kesihatan badan pemuda-pemudinya sahaja tetapi melupakan rohnya, maka Yahudilah yang berjaya merosakkan pemuda-pemudi kita. Berapa ramai pemuda-pemudi yang masuk ke pusat serenti? Berapa ratus ribu di kalangan mereka yang tidak boleh dipakai lagi. Sesetengahnya itu jurutera, doktor dan pegawai-pegawai kerajaan. Mereka itu hendak dimanfaatkan tidak boleh, hendak dibunuh juga tidak boleh kerana mereka adalah manusia. Kalau mereka itu ayam, bolehlah disembelih sahaja. Hendak diharapkan tidak boleh lagi tetapi terpaksa juga diberi makan. Berapa susah negara dan bangsa kerana melupakan roh. Pemuda-pemudi cemerlang kerana dapat jadi DO, jadi arkitek, jadi jurutera dan sebagainya tetapi masuk pusat serenti. Orang yang masuk pusat serenti, tenaganya sudah expired. Kalau makanan yang tidak boleh dimakan atau digunakan, bolehlah dibuat baja pokok. Tapi kalau orang sudah expired, maka dia sudah jadi masalah kepada bangsa dan negara. Sekarang kerajaan dan pemimpin sudah pening kepala kerana tidak tahu apa hendak dibuat.
Zaman dahulu, kebanyakan orang hanya sekolah setakat darjah 5 tetapi tidak jadi seperti hari ini. Hari ini berapa ramai pemuda-pemudi yang melepak-lepak dan menjadi sampah masyarakat hingga memeningkan kepala kerajaan serta masyarakat. Ada yang bergaul bebas dan tidak boleh didisiplinkan lagi. Inilah akibatnya apabila negara mengabaikan pemuda pemudi padahal mereka adalah aset paling besar. Akibat hanya dibangunkan akal dan fizikal mereka sahaja manakala soal roh tidak diambil pusing, akhirnya pandai pun tidak berguna. Yang tidak masuk pusat serenti pula, terlibat dengan rasuah dan tipu duit rakyat.
Kalau kita baca sejarah dunia sejak ribuan tahun dahulu, bangsa-bangsa yang telah dapat jadi empayar ada tiga kategori yakni:
1. Waktu tidak ada bangsa yang bangunkan rohaniah atau waktu semua bangsa tidak fikir rohaniah manusia, bangsa yang memikirkan aqliah atau akal itu boleh menguasai. Dia jadi empayar. Contohnya Rom dan Parsi. Waktu itu bangsa-bangsa lain di dunia ini tidak membangunkan rohani dan akalnya. Bangsa Rom dan Parsi dapat bangunkan akal, maka merekalah yang dapat menguasai dunia.
2. Bila datang Islam, dibangunkan roh, akal dan fizikal umatnya. Maka umat Islam jadi empayar, mengalahkan Rom dan Parsi yang hanya ada kekuatan akal.
3. Di zaman pertengahan, waktu itu roh sudah rosak semula dan akal pun sudah mula rosak. Orang tidak fikir tentang akal dan roh lagi maka bangsa yang fizikalnya kuat dapat menjadi empayar iaitu bangsa Tartar dari Monggol. Jadi kekuatan fizikal menguasai dunia setelah orang abaikan akal dan roh. Barulah tenaga dan fizikal jadi empayar. Apa yang berlaku ketika itu, penjajah yang menjajah dengan kekuatan fizikal, dia ikut agama negara yang dijajahnya sebab dia sendiri tidak bawa tamadun, tidak bawa ilmu dan keyakinan. Apabila dia menjajah negara Islam maka dia ikut Islam. Bila pergi ke negara Hindu, dia jadi Hindu. Pergi ke negara Buddha, dia jadi Buddha. Itulah yang berlaku kepada bangsa Monggol.

Perkara ini perlu kita fahami kalau kita hendak berjuang. Jangan hanya berjuang ikut semangat tetapi ilmunya tidak ada. Jadi kita boleh suluh dunia. Dunia ini ibarat hutan. Ilmu itu jalan. Keluar masuk hutan, kalau tidak nampak jalan dan tidak bawa peta, bagaimanalah harimau tidak baham kita, beruang tidak cakar dan koyakkan kita dan lipan tidak gigit kita. Janganlah apabila hendak perjuangkan Islam, hanya fikir halal haram, fikir hudud, fikir hendak potong tangan orang sahaja. Mengapa disempitkan sangat Islam kita ini. Mengapa persempitkan ilmu sedang ini ilmu Islam dari Al Quran.
Bagi kebanyakan negara umat Islam di seluruh dunia, pemuda-pemudinya yang menjadi aset utama, sudah dirosakkan. Untuk bangunkan mereka semula, sangat susah. Untuk membela keselamatan dunia Islam, pemuda-pemudinya perlu dibangunkan roh dan dibaiki nafsunya.


Sajak

Pemuda Pemudi Pemimpin Pelapis

Putera-puteri pemuda-pemudi
adalah pemimpin pelapis di masa depan
Pemimpin pelapis bagi sebuah negara, bangsa dan agama demi kebahagiaan dan keselamatan
Mereka yang akan mengambil alih pimpinan negara
mengganti pemimpin yang ada sekarang
Kalau pemimpin yang ada tidak pandai
mendidik, menjaga mereka
pemimpin yang akan datang dari mereka
akan merosakkan negara, bangsa dan agama Islam
Mereka adalah aset bagi satu bangsa dan negara
Aset yang lebih berharga daripada aset semula jadi
yang menjadi khazanah negara.
Bahkan aset yang mati dan beku itu
aset yang menjadi man power itulah
yang akan menggerak dan mentadbirnya
Kalau mereka telah rosak
kerana kecuaian pemimpin yang ada
kekayaan negara di masa hadapan
merekalah yang akan membolotnya

Bagaimana menjaga mereka
sebagai aset negara dan bangsa?
Bangunkan akal mereka dengan berbagai-bagai bidang pengetahuan dan pengalaman
untuk agama, bangsa dan negara
Jagalah kesihatan mereka hingga fizikal mereka terpelihara, cergas dan berguna
Didiklah nafsu mereka agar tidak rakus
dengan nikmat dunia
dan tidak sombong dengan kerjayanya
Bangunkan roh mereka dengan mengenalkan Tuhan
takutkan Tuhan, cintakan Tuhan
tanamkan rasa bertuhan.
Hati mereka akan bersih dari noda-noda dunia
Mereka akan menjadi manusia berakhlak mulia
Akhlak yang mulia adalah bunga diri
dan bunga bangsa
Hati mereka yang bersih
itulah ketahanan diri mereka
daripada godaan dunia dan betina
Jika mereka berhadapan dengan kesusahan
dan penderitaan, jiwa mereka tahan
Mereka akan sabar menerima ujian
sama ada daripada manusia
mahupun kejadian bencana alam
Gejala-gejala negatif daripada luar
buatan musuh mereka dapat hindarkan
Kerana ketahanan jiwa mereka begitu kebal dan tebal

Pemimpin yang ada sekarang diharap ambil perhatian terhadap anak-anak muda
Tersilap mendidik mereka
merekalah yang akan menghancurkan
agama, bangsa dan negara mereka
Satu bangsa kalau sudah tersilap
untuk memulihkannya semula
memakan masa ratusan tahun lamanya
Aduh berapa generasi yang akan rosak dibuatnya
Moga-moga Tuhan lindungi kita semua

Menjelang Maghrib
01 - 03 - 2004

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

Bagaimana Membaca Dan Memahami Masyarakat

Aset yang paling besar dalam sebuah negara ialah putera dan puterinya atau pemuda-pemudinya. Ini kerana mereka adalah pelapis-pelapis atau pengganti generasi yang sedia ada. Masa depan sesuatu bangsa itu bergantung kepada mereka. Baik mereka, akan baiklah bangsa itu. Manakala jika mereka rosak, akan rosaklah bangsa itu.

Kerana itulah jika seseorang pemimpin itu baik, bertaqwa dan bertanggungjawab terhadap Tuhan, agama dan bangsanya, dia akan menitikberatkan soal perkembangan pemuda-pemudi yang sedang membesar itu. Dia akan menganggap mereka adalah suatu aset yang penting. Andai tersilap dalam menjaganya, akibatnya akan punah dan rosaklah satu bangsa. Kesan negatif itu setidak-tidaknya akan berlanjutan untuk 100 tahun yang akan datang.
Sebaliknya kalau pemimpin itu jahat, tidak bertaqwa, tidak takut Tuhan, tidak bertanggungjawab terhadap Tuhan, agama dan bangsanya, dia akan mengambil kesempatan ke atas aset penting ini untuk kepentingan peribadinya. Dia akan merancang satu sistem pendidikan yang membuatkan pemuda-pemudi itu rosak. Ini supaya apabila mereka rosak, hasilnya mereka tidak akan berfikiran panjang dan mudah diperalatkan untuk membuat kerja-kerja demi kepentingan peribadi pemimpin itu.

Memang terdapat pemimpin yang sanggup berbuat demikian demi kepentingan peribadinya. Pemuda dan pemudi yang telah rosak itu adalah ladangnya. Di situlah sumber kekayaan dan kesenangannya. Cuma hal ini tidak dapat dikesan kerana kerosakan itu sudah meluas di kalangan kebanyakan orang di waktu ini.
Maka terkorbanlah agama dan bangsa selama beratus tahun. Sejak empayar Islam jatuh 700 tahun yang lalu, hingga kini masih belum ada bangsa atau negara Islam yang maju dan disegani kawan dan lawan. Umat Islam kini terhina di mana-mana bahkan di tanah air mereka sendiri. Mereka tidak dapat melepaskan diri dari menumpang musuh-musuh mereka sama ada dalam soal kehidupan, ilmu, ekonomi, teknologi dan lain-lain lagi. Begitulah keadaan umat Islam dan sehingga hari ini keadaan itu masih belum pulih lagi.

Sebab itu pemimpin yang takutkan Tuhan dan bertaqwa kepada Allah, dia sangat menjaga aset ini walaupun dia terpaksa berkorban, tiada masa rehat bahkan sentiasa memimpin ketika sakit sekalipun. Pemuda-pemudi adalah pelapis pemimpin dan generasi yang sedia ada. Rosak mereka ini bererti tidak akan ada pemimpin dan generasi pelapis.
Tetapi tidak ramai bahkan boleh dibilang jari umat Islam yang berfikiran begini. Hari ini kebanyakan umat Islam hendak jadi pemimpin kerana di situ ada kepentingan peribadi. Tidak mengapa kalau rakyat hancur dan jadi alat demi kepentingan mereka. Kerosakan dan keruntuhan akhlak para pemuda dan pemudi bangsa tidak menjadi kebimbangan mereka demi menjayakan agenda peribadi mereka. Begitulah cara berfikir kebanyakan umat Islam hari ini.
Tetapi bagi orang yang boleh berfikir dan boleh menganalisa masyarakat, apabila melihat kepada apa yang berlaku waktu ini, dia sudah tahu apa akan terjadi 50 tahun akan datang. Yakni dia melihat sama ada dari segi:
- perkembangan politik
- perkembangan pemuda-pemudinya
- perkembangan hasil pendidikannya
- ekonominya
- keadaan masyarakatnya.
Begitulah kaedahnya untuk membaca masyarakat. Untuk menjadi seorang yang peka dalam hal ini tidaklah susah. Caranya ialah dengan:
- mengasah akal
- menghidupkan roh
- memahami isu-isu semasa seperti perkembangan sistem pendidikan, politik dan sebagainya
- melihat buahnya atau hasil perkembangan tadi yakni apa yang telah terjadi kepada muda-mudi.
Dengan itu kita akan dapat menjangkakan apa yang akan jadi 100 tahun akan datang. Begitulah asas-asas untuk kita menjadi orang yang berfikir mengenai masa depan agama dan bangsa kita. Semua orang boleh berperanan sebegitu tetapi selama ini kita telah membunuh akal dan jiwa kita sehingga hilang kepekaan terhadap apa yang berlaku kepada agama dan bangsa, perkara itu tidak dapat kita fikir dan rasakan.
Selama ini kebanyakan orang Islam hanya memikirkan soal makan dan minum serta bagaimana untuk hidup senang dan berseronok sahaja. Justeru itu, tiada kepekaan terhadap apa yang akan berlaku kepada agama dan bangsa. Tetapi bagi mereka yang peka dan bertanggungjawab, dia akan rasa takut dan bimbang terhadap apa yang akan menimpa bangsa dan negaranya.
Walaupun tidak belajar tinggi hingga ke peringkat universiti, seseorang itu tetap boleh menjadi orang yang berjiwa besar dan berfikir mengenai masa depan bangsanya dengan menajamkan akal dan rohnya dan berguru dengan pengalaman dalam kehidupan yang dilaluinya. Dia akan dapat melihat apa yang akan berlaku pada orang Melayu 20 tahun lagi hingga dengan sebab itu dia akan sentiasa memikirkan nasib bangsanya.
Kalau kita lihat masyarakat, sewaktu taraf pendidikan masih di peringkat awal kemajuannya di tahun-tahun 50 dan 60-an dahulu, tidak pernah pula berlaku kes-kes seperti murid melawan guru, murid bergaduh hingga berbunuh-bunuhan, gejala lepak dan sebagainya. Tetapi sekarang di waktu sudah begitu ramai profesor dan tokoh-tokoh pendidikan, kita dapati ramai pula yang terlibat dengan masalah-masalah yang disebut di atas termasuk penyalahgunaan dadah. Semakin ramai yang ditangkap dan dihantar ke pusat-pusat pemulihan dan pusat serenti.
Yang lebih menyedihkan lagi, kebanyakan yang masuk ke pusat-pusat pemulihan itu adalah dari kalangan bangsa Melayu. Di kalangan mereka itu ada guru, jurutera, pegawai dan sebagainya. Yang menjadi masalah kepada masyarakat, jumlah mereka mencecah angka ratusan ribu. Ia berlaku di tengah-tengah masyarakat yang ada ilmu. Begitulah hasil pendidikan pada hari ini. Walaupun perkembangan ilmu makin pesat namun gejala yang melanda masyarakat juga makin berleluasa.
Dari sudut perkembangan politik pula, masyarakat boleh berpecah belah bahkan suami isteri pun boleh bercerai disebabkan perbezaan fahaman politik. Dalam masjid pun boleh berlaku pergaduhan kerana perbezaan politik. Ini buah dari perkembangan politik hari ini. Ketika musim pilihan raya kita dapat lihat nanti ada emak ayah, adik-beradik dan suami isteri tidak bertegur sapa walaupun hidup serumah hanya kerana perbezaan fahaman politik. Begitu haru-biru dibuatnya. Itulah buah politik hari ini.
Manakala perkembangan ekonomi pula, kita dapati belum banyak lagi kemajuan pembangunan ekonomi yang berlaku di tangan orang Melayu. Walaupun sudah berbagai usaha dari pihak kerajaan bagi memajukan ekonomi orang Melayu namun keadaan masih tidak banyak berubah. Yang ada hanya ekonomi negara. Sejak tahun 1957 sampai sekarang, sudah adakah sebuah bandar yang dibangunkan dan dimajukan sepenuhnya oleh orang Melayu? Walaupun sudah 50 tahun berusaha untuk membangunkan ekonomi orang Melayu, tetapi sebuah pekan orang Melayu pun belum ada.
Kebudayaan pula sudah rosak. Kebudayaan sebenarnya ialah cara hidup seperti cara berkeluarga, cara bermasyarakat, cara berekonomi dan cara berpendidikan. Kebudayaan itu dari perkataan budi dan daya. Budi itu akhlak manakala daya pula ialah usaha dan tatacara. Ertinya dalam pergaulan sesama manusia, apakah ada budi di situ? Apakah ada akhlak atau tidak? Apakah tatacaranya betul? Budaya itu cara hidup dari semua aspek. Contohnya, umat Islam, budayanya apabila berhimpun, perempuan di satu tempat, lelaki di satu tempat yang lain. Tapi cuba lihat apa yang berlaku sekarang. Umat Islam bebas bergaul lelaki dan perempuan di mana-mana. Begitu juga dengan berpakaian. Budaya umat Islam berpakaian menutup aurat. Namun bukan sedikit umat Islam sekarang yang tidak menutup aurat, baik lelaki mahupun perempuan.
Jadi begitulah beberapa contoh bagaimana kita membaca masyarakat. Kita sudah dapat melihat buah atau hasil dari perkembangan empat sistem dalam kehidupan iaitu pendidikan, politik, ekonomi dan kebudayaan. Untuk memahami hal ini tidak semestinya kita mempunyai degri dalam bidang-bidang berkenaan. Jika kita tajamkan akal dan ada cita-cita untuk membaiki nasib bangsa, kita akan dapat melihat dan memahaminya.

Sajak

Masa Depan Bangsa Melayu

Orang Melayu tidak peka dengan bangsanya sendiri sekalipun para pemimpin dan ulama
Mereka tidak membuat kajian
tentang bangsanya di masa depannya
Kalau peka pun dengan bangsa Melayu
ia ada hubungan dengan sejarah yang silamnya
Bangsa Melayu dengan sejarah yang silam
apalah hendak dibanggakan
Di segi ilmu belum pun pernah
meneroka sejarah gemilang
Di segi politik pun belum ada bukti
menjadi empayar yang dimegahkan
Kalaupun bangsa Melayu menyebut
Kerajaan Melayu Sri Vijaya
masih boleh dipertikaikan
Kalaupun ada, hendak diterima juga
ia hanya bercorak kuno bukan moden
padahal sebelum itu sudah ada bangsa
yang terkenal maju
Di sudut ekonomi pun belum pernah
menempa sejarah yang gah dan megah
Hendak dibanggakan dengan ahli sejarah
dan pengembara ulung
pun belum pernah menempa sejarah
Sedangkan bangsa-bangsa lain telah meneroka
dan menempa sejarah
di bidang masing-masing yang megah
Kalau orang Melayu peka dan mengkaji Hadis
mengenai bangsa Melayu
yang tersirat masa depannya
Tentulah orang Melayu ada khabar gembira
di masa depannya yang akan menempa sejarah
Orang Melayu akan menjadi empayar dunia
gah dan megah atas nama Tuhan dan Islam
Saya sudah mengkaji sejak 40 tahun yang lampau
dan sedang mencuba ke arah yang diperkatakan
Kalau orang Melayu peka dengan apa
yang hendak berlaku dengan orang Melayu
di masa depan di atas nama Tuhan dan Islam
Orang Melayu sudah tentu
di samping perjuangan politik
Tuhan dan Islam menjadi jadual perjuangan
Walaupun PAS berjuang atas nama Islam
tapi tidak bersama serius memperjuangkan Tuhan
Islam yang diperjuangkan oleh PAS pun
di sudut undang-undang (hudud) yang sempit
Tapi PAS tidak memperjuangkan kasih sayang
tidak memperjuangkan akhlak
yang mulia sesama insan
Bukan perjuangan macam itu yang kita maksudkan
Sekarang mari kita orang Melayu tukar stail berjuang
Berjuang atas nama Melayu sudah berlaku dan berlalu
Sekarang mari berjuang ke arah
menagih janji Tuhan buat orang Melayu
Perjuangkan Tuhan, perjuangkan Islam
yang membawa kasih sayang
perjuangkan akhlak yang mulia sesama insan
Kalau kita tidak mahu
Kerana janji Tuhan, Tuhan akan dorong
satu puak Melayu lain
perjuangkan Tuhan dan kasih sayang
Janji Tuhan pasti berlaku
Ini adalah giliran buat orang Melayu
Bangsa yang akhir dan yang bongsu
menjadi empayar atas nama Tuhan dan Islam
atas faktor janji
Jangan ragu, jangan takut Amerika dan cabaran
Tuhan di belakang kita
Kerana Tuhan yang berjanji
Janji Tuhan tidak kosong, pasti terjadi
Orang Arab menjadi empayar
atas nama Tuhan dan Islam, atas faktor janji
Orang Kurdi menjadi empayar bersama Arab
atas faktor janji
Orang Turki menjadi empayar
atas nama Tuhan dan atas nama Islam
atas faktor janji
Orang Melayu akan menjadi empayar
atas nama Tuhan dan Islam
atas faktor janji pasti terjadi
Kalau kita tidak ambil peluang alangkah ruginya?
Atas faktor janji apa sahaja yang menghalang
akan dapat dilepasi jangan bimbang
Faktor janji itu sangat mahal, ia dijamin oleh Tuhan
Jangan banyak mengguna akal lagi
ikut sahajalah jadual Tuhan
Mari kita bersama masuk saham kerana kita diberitahu
Yang tidak tahu atau yang tidak ambil tahu
dan yang tidak mahu, biarkan
Kerana memang tidak semua
orang Melayu yang menjayakan
Hanya orang Melayu yang dianugerahkan oleh Tuhan
yang akan menempa sejarah gemilang
Tapi semua orang Melayu akan dapat pembelaan
Sekitar 5 tahun kedaulatan Melayu akan berlaku
Sekitar 10 tahun empayar Melayu pun berlaku
Begitulah apa yang saya difahamkan
ia di ambang pintu kejayaan

Menjelang Asar / menjelang tidur
12 - 10 - 2004

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

Kedatangan Mujaddid Membaiki Kerosakan Umat

Rasulullah adalah manusia istimewa dan luar biasa. Pim- pinannya sangat memberi kesan. Rasulullah datang ke dunia ketika dunia sudah terlalu kusut. Pada waktu itu, dunia sedang terlalu parah dengan krisis, perpecahan dan peperangan yang berlaku. Bahkan pada masa itu manusia hidup macam haiwan. Maka Rasulullah dengan kekuatan, kemampuan, keistimewaan dan keluarbiasaan yang Allah beri padanya, boleh menyatukan aqidah dan pemikiran manusia. Rasulullah boleh satukan manusia sama ada secara batin mahupun fizikal. Rasulullah dapat melahirkan satu perasaan di kalangan manusia, hingga dapat menyatukan berbagai bangsa dan etnik. Baginda juga dapat menyatukan berbagai-bagai ideologi, aliran dan fahaman. Itulah di antara keistimewaan Rasulullah yang tidak berlaku pada mana-mana rasul. Tidak juga berlaku pada mana-mana pemimpin yang terdahulu dan terkemudian. Itulah keistimewaan Rasulullah, kekasih Tuhan.

Kalau dulu, ajaran yang dibawa oleh Rasulullah macam air yang begitu jernih yang tidak perlu diproses atau ditapis lagi kerana ianya datang dari sumber yang asli. Siapa yang meminumnya bukan saja boleh melepaskan dahaga tetapi boleh menyihatkan badan. Itulah ajaran Islam. Itulah kebenaran dari Tuhan. Itulah ajaran aqidah atau tauhid, syariat dan akhlak. Inilah ajaran-ajaran kebenaran dari Tuhan. Itulah air yang paling jernih. Air yang telah menjadi ubat kepada dunia waktu itu. Air yang dapat membaiki aqidah, roh, nafsu, hati, lahir dan batin manusia. Itulah kebenaran yang asli dari sumber yang asli.
Setelah lebih 1400 tahun ditinggalkan oleh Rasulullah, air kebenaran itu sudah mengalir begitu jauh dan memakan masa yang lama. Perjalanannya begitu jauh sebelum sampai ke destinasinya iaitu laut. Air itu sudah menempuh berbagai-bagai keadaan sepanjang alirannya. Sudah melalui lumpur, bertemu dengan rumput-rumput busuk, kayu-kayu yang reput dan najis-najis haiwan yang telah bercampur baunya dengan air tersebut. Sebab itu bila sampai kepada kita hari ini, air itu sudah berubah dan itulah yang kita minum. Ada yang minum air mustakmal, air mutanajis dari najis mughalazah, mutawasitah, mukhafafah, air berlumpur, air yang sudah bercampur dengan najis haiwan dan air yang sudah bercampur dengan daun-daun kayu yang sudah busuk.
Hasil meminum air yang sudah begitu berubah, maka akibatnya adalah seperti apa yang kita lihat sedang berlaku pada masyarakat orang Islam:
1. Umat Islam terdiri daripada berbagai bangsa dan etnik yang duduk di berbagai-bagai negara. Setelah meminum 'air' yang sudah digambarkan tadi, dengan maksud 'menerima kebenaran yang sudah berubah', apa sudah terjadi kepada dunia Islam? Apa sudah terjadi kepada masyarakat Islam? Yang telah terjadi adalah aqidah mereka dan pegangan agama mereka terbahagi kepada 73 golongan dengan 73 mazhab. Itu yang pokok atau yang asas. Kalau dikaji dengan lebih halus, dalam perpecahan aqidah itu ada perpecahan lagi. Dan dalam perpecahan itu ada perpecahan lagi dan begitulah seterusnya dari segi aqidah dan dari segi pegangan agama itu sendiri. Maka akhirnya sudah terpecah kepada 700 pecahan. Itu perpecahan dari segi aqidah dan pegangan agama. Dari segi itu pun sudah cukup menakutkan kita. Sudah rasa mustahil untuk disatukan semula.
2. Sesudah itu, timbul lagi perpecahan lain, contohnya perpecahan dari segi politik. Ada yang berfahaman komunis, sosialis, kapitalis dan ada yang berfahaman demokrasi. Ada juga yang berfahaman pragmatisme. Di dalam semua itu ada lagi perpecahan. Di dalam kapitalis itu, ada pecahan-pecahan kapitalis. Begitu juga dalam demokrasi, sosialis dan sebagainya. Tidak diketahui berapa pecahannya. Itu semua tambah menakutkan. Perpecahan pertama itu pun sudah susah hendak disatukan. Datang lagi perpecahan yang kedua dan seterusnya.
3. Berlaku pula perpecahan atas nama bangsa. Dulu Rasulullah dapat mengikat semua bangsa dengan satu aqidah hinggakan pada waktu itu mereka malu hendak menyebut nama bangsa masing-masing. Sebagai contoh, sebelum kedatangan Rasulullah, seseorang itu berbangga kerana berbangsa Mesir. Di zaman Rasulullah, mereka berbangga mengaku diri orang muslim dan bukan bangsa Mesir. Hendak menyebut bangsa pun sudah tidak mahu. Semua etnik hanya mahu mengaku dirinya muslim. Tetapi sekarang, masing-masing berbangga dengan bangsa sendiri. Contohnya, seseorang itu bangga mengaku dirinya orang Melayu atau orang Arab, Jordan, Iraq, Indonesia, Jawa, Banjar, Cina, Turki dan sebagainya. Atas nama bangsa, berpecah lagi. Dalam satu bangsa pula berpecah lagi sehingga entah berapa ratus perpecahan kecil. Lagilah rasa mustahil hendak disatukan.
4. Tidak cukup dengan itu, ditambah lagi dengan perpecahan-perpecahan di sudut lain pula. Contohnya, perpecahan dari sudut status. Orang kaya tidak boleh bersatu dengan orang miskin. Orang pandai tidak boleh bersatu dengan orang yang tidak pandai. Orang yang ada jawatan tidak boleh bersatu dengan yang tidak ada jawatan. Berpecah lagi atas nama status. Bahkan dalam perpecahan status itu pun, banyak lagi perpecahan-perpecahan kecil. Lagi menakutkan. Sehingga terasa sudah hancur lebur umat Islam hari ini. Tidak cukup dengan perpecahan itu, timbul lagi perpecahan orang kampung tidak boleh bersatu dengan orang bandar.
5. Kita belum lagi menceritakan atau menggambarkan perpecahan di sudut umat Islam tidak beramal. Dari huraian tadi, dapat dilihat dengan akal tentang gambaran perpecahan manusia dan umat Islam serta sudut-sudut perpecahan. Kalaulah perpecahan-perpecahan yang sudah banyak berlaku seperti yang digambarkan tadi adalah perpecahan yang berlaku sambil umat Islam terus beramal, maka itu masih boleh tahan. Boleh tahan kalau dikatakan seseorang itu walaupun berbeza dan tetap dengan apa yang dipunyainya dan apa yang ada padanya tetapi tetap bertindak dan beramal dengan amalan yang sama. Tetapi kebanyakannya tidak beramal. Keyakinan masing-masing yang sampai berpecah dengan orang lain itu dalam keadaan tidak beramal. Buktinya boleh diambil dari satu sudut yakni ibadah. Dalam 73 mazhab itu, dalam setiap satu mazhab, ramai yang tidak sembahyang. Maknanya mazhab itu boleh dinamakan mazhab yang tidak beramal. Kalau ada mazhab yang beramal, itu boleh tahan. Setidak-tidaknya, nampaklah hasil dari keyakinan itu, iaitu ada sikap, tindakan, atau projek yang terhasil. Setidak-tidaknya bagi orang yang hendak mencari kebenaran boleh memilih berdasarkan hasil dari keyakinan itu. Tetapi 73 mazhab yang berpecah itu ialah mazhab yang tidak beramal.
6. Dalam 73 mazhab itu, ada yang berjuang dan ada yang tidak berjuang walaupun aqidahnya sama. Orang yang berjuang dan tidak berjuang bukan boleh berdekatan. Mereka sentiasa renggang. Itu satu perpecahan lagi iaitu perpecahan antara yang berjuang dan yang tidak berjuang. Bagi yang berjuang pula ada bermacam-macam cara, walaupun dalam satu fahaman dan dalam aqidah yang satu. Bila hendak berjuang, lahirlah teknik, cara atau method yang tidak sama. Ada yang militan, ekstrim, cara politik, cara kebajikan, ada cara kasih sayang dan sebagainya. Dalam perjuangan pun ada perpecahan lagi.
7. Berlaku juga perpecahan di aspek lain iaitu dalam hal perasaan-perasaan yang dinamakan mazmumah. Ini disebut perpecahan dalam mazmumah. Setiap mazhab ada yang hasad dengki, lahirlah mazhab hasadiah (hasad dengki). Begitulah seterusnya, lahir mazhab pemarah, mazhab ego dan berpecah lagi kepada pecahan-pecahan lain.
Jadi kalaulah masyarakat orang Islam sudah begitu sekali rupa perpecahannya sehingga tidak ada satu sudut kecil pun yang tidak ada perpecahan, ertinya, bolehlah dikatakan masyarakat umat Islam ini sudah kronik penyakitnya dan sudah menunggu maut atau nazak. Para doktor pun sudah bingung, bagaimana hendak mengubatinya. Malah para doktor pun terkena penyakit yang sama. Walaupun ada doktor namun hakikatnya seperti tidak ada doktor.
Kalau diibarat barang busuk, dunia Islam ini penuh dengan najis. Tidak tahu bagaimana hendak dibasuh atau di mana hendak dimulakan proses pembersihan itu. Walaupun ulama ramai tetapi ulama pun terkena najis yang sama.

KEDATANGAN MUJADDID SETIAP AWAL KURUN
Oleh kerana dunia hari ini sudah tidak ada rasul maka jangan menganggap bahawa ada lagi rasul yang akan datang. Bahkan sesiapa yang menganggap ada lagi rasul yang akan datang, ia kafir kerana anggapan itu bertentangan dengan Hadis dan bertentangan dengan Al Quran. Tetapi dengan kasih sayang Tuhan, walaupun tidak ada lagi rasul dan nabi, Tuhan melahirkan pemimpin yang ditunjuk, yang bukan rasul dan bukan nabi tetapi berwatak rasul. Tidaklah 100% berwatak rasul tetapi sebahagian besarnya ada watak rasul. Tentulah pemimpin itu dibezakan daripada rasul yang sebenar. Dan pada peribadinya ada watak-watak rasul. Itulah yang dikatakan mujaddid atau reformer (yang membaharukan).
Mujaddid inilah yang Tuhan utuskan setiap 100 tahun sekali iaitu setiap awal kurun hijrah sebagai pengganti rasul sebab rasul sudah tidak ada. Sekarang, umat Islam sudah menerima kedatangan 14 orang mujaddid. Peranan mujaddid itu pula tidak sama antara kurun ke kurun kerana tugasnya hendak membaiki masyarakat mengikut sekadar rosaknya masyarakat itu. Sebagai gambaran, kalau seorang doktor berhadapan dengan seorang pesakit yang penyakitnya ringan sahaja, doktor tersebut hanya memberi pil-pil sahaja. Itu sudah cukup. Tidak perlu diberi suntikan dan rawatan lain kerana dengan makan pil sudah mencukupi.
Jadi, apabila mujaddid datang, Tuhan berikan ilmu kepada mereka sekadar untuk membolehkan mereka membaiki apa yang rosak di zamannya. Contohnya, mujaddid pertama iaitu Umar bin Abdul Aziz, hanya membaiki sistem pemerintahan. Sebab masyarakatnya pada waktu itu masih lagi masyarakat salafussoleh, iaitu masyarakat yang masih baik dan tidak rosak. Masyarakat yang baik yang disebut oleh Rasulullah ialah 300 tahun dari zaman Rasulullah. Umar bin Abdul Aziz datang 100 tahun selepas Rasulullah. Ketika itu aqidah, ibadah, syariat dan akhlak masih baik. Yang sudah mula rosak sedikit ialah sistem pemerintahannya. Sebab itu dia tidak perlu umur yang panjang. Dia hanya hidup (sebagai mujaddid) di dua tahun pertama, awal kurun kedua. Selepas itu dia wafat.
Selepas itu datang mujaddid yang kedua, pada awal kurun yang ketiga, iaitu Imam Syafie. Zaman itu masih sekitar zaman salafussoleh. Jadi kedatangan beliau tidaklah pula untuk memproses aqidah atau akhlak kerana semua itu masih baik. Bahkan perpaduan masyarakat masih baik. Tetapi ada masalah pada masa itu iaitu para ulama tidak pandai berijtihad. Sedangkan dunia sudah berkembang dan banyak hal-hal baru yang tidak ada di zaman Rasulullah tetapi sudah mula ada pada zaman itu. Masyarakat Islam mahukan panduan macam mana hendak melihat perkara ini dari perspektif Al Quran dan Hadis. Maka Allah bagi ilmu itu kepada Imam Syafie. Di tangan beliau lahirlah Usul Fiqh dan Qawa'idul Fiqh. Kaedah yang dibawanya diguna pakai oleh semua mazhab sehingga ke hari ini.
Jadi orang sudah mula pandai berijtihad dalam hal-hal fekah menggunakan dua panduan tadi. Mazhab-mazhab yang datang kemudian ikut merujuk kepada kaedah ini dan menerima kaedah Imam Syafie. Selepas selesai kerjanya, Imam Syafie wafat pada 204 Hijriah. Dia menjadi mujaddid hanya selama 4 tahun sejak tahun 200 Hijriah.
Kemudian lahir mujaddid yang ketiga iaitu Abu Hasan Al Asyaari. Masih dalam sekitar 300 tahun selepas Rasulullah iaitu zaman salafussoleh. Oleh kerana Islam sudah 300 tahun umurnya maka fahaman-fahaman luar seperti dari Yunani, Parsi, India dan lain-lain mula mempengaruhi umat Islam. Fahaman-fahaman tersebut membawa Muktazilah dan sebagainya. Maka aqidah umat Islam sudah mula dikotori. Sebab itu mazhab pertama dari segi aqidah ialah fahaman Muktazilah. Imam Abu Hasan Al Asyaari, mujaddid ketiga datang untuk membaiki sudut aqidah yang sudah bercampur dengan fahaman Muktazilah. Oleh kerana hendak menolak fahaman-fahaman falsafah yang merosakkan aqidah umat Islam maka Tuhan bekalkan khusus kepada Imam Abu Hassan kaedah mempelajari ilmu tauhid iaitu sifat 20.
Jadi hinggalah seterusnya, apabila sudah keluar dari zaman salafussoleh, kerosakan semakin banyak. Mujaddid-mujaddid yang datang adalah untuk membaiki kerosakan-kerosakan yang semakin banyak. Sekarang sudah 15 kurun berlalu. Kerosakan itu sudah berlaku di semua sudut. Sudut aqidah, syariat, cara berfikir, ekonomi, politik, perpaduan dan lain-lain lagi. Maka mujaddid kurun ini sangat berat kerjanya. Seolah-olah macam kedatangan para rasul yang hendak membaiki semua penyakit secara total. Sebab itu di kurun ini ada dua orang mujaddid diutuskan yang bertujuan untuk kuat-menguatkan iaitu yang pertama Pemuda Bani Tamim dan yang kedua Imam Mahdi.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Daripada Dzar, dari Abdullah, Rasulullah SAW bersabda: "Jika umur dunia tinggal sehari sahaja, nescaya Allah SWT memanjangkan hari itu sehingga bangkit padanya seorang lelaki dari keturunanku atau dari kaum keluargaku, yang namanya menyerupai namaku dan nama bapanya menyerupai nama bapaku, dia akan memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana (sebelumnya) bumi dipenuhi kezaliman dan kekejaman." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar r.a., bahawa Rasulullah SAW sambil memegang tangan Sayidina Ali, baginda berkata: "Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu meyakini demikian itu hendaklah bersama Pemuda dari Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang panji-panji Al Mahdi." (Riwayat At Tabrani)

Kedua-dua mujaddid ini akan bergabung untuk membaiki kerosakan umat yang telah berlaku secara total. Mereka akan mengembalikan dunia kepada suasana aman damai, harmoni, bersatu padu, membawa keadilan dan kemakmuran. Manusia kembali cinta dan takutkan Tuhan. Tuhan akan dibesarkan dan diagungkan dalam setiap aspek kehidupan manusia sejagat.

Sajak

Ke Mana Pergi Sudah Tidak Selamat Lagi

Ke mana sahaja mahu pergi sudah tidak selamat lagi
Di mana sahaja kita berada keamanan tidak terjamin
Aduh! Ketakutan berlaku di mana-mana
Kebimbangan sentiasa memburu
di mana sahaja kita berada
Tiada manusia yang boleh dipercaya lagi
Hidup keseorangan tidak mungkin
Hidup bersama orang, takut sentiasa memburu
Aduh ke mana mahu lari?
Ke masjid tempat kata-mengata dan mencerca
Di pasar-pasar tempat penipuan dan berlalai-lalai
Di tempat-tempat keramaian
dan di stesen-stesen bas atau keretapi
tempat penyeluk saku
Bersama orang kaya, kita terhina
Kerana mereka sombong dan berbangga
Bersama orang politik, berkawan tidak setia
Masing-masing mementingkan diri
Sudah dapat kawan, mudah pula jadi lawan
Pagar-pagar negara, ibarat pagar makan padi
Para ulama hasad dengki
Membangga diri, memuji diri
Payah hendak dijadikan kawan sejati
Di tempat-tempat gelap
di kawasan-kawasan sunyi
bahaya sekali
Di situlah tempat kidnap dan rogol
Pemuda-pemudi liar, tidak boleh dikawal
Pergaulan bebas, hingga melahirkan anak-anak zina
Berlakulah bayi dibuang di mana-mana
Membuang bayi macam buang anak kucing
yang dibenci
Orang-orang tua sudah hilang wibawa
Kerana maruah mereka tidak dijaga
Hingga ada yang menjadi
haruan makan anak sendiri
Aduh sedihnya!
Hidup sentiasa di dalam ketakutan

Tuhan!
Datangkanlah penyelamat dengan segera
Agar kasih sayang berbunga semula

Menjelang tidur
25 - 07 - 2001


Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

Pentingnya Wibawa

Dalam bab ini, kita akan perkatakan tentang wibawa dalam jemaah perjuangan. Yang hendak diperkatakan adalah tentang jemaah Islam supaya kita boleh faham bagaimana sebuah jemaah itu dikatakan kuat dan bagaimana pula sebuah jemaah itu dikatakan lemah.

Mari kita mengimbas kembali pangkal sejarah yakni sejak zaman Rasulullah hinggalah ke zaman 300 tahun selepasnya. Walaupun jangka masa empayar Islam itu 700 tahun tetapi selepas 300 tahun yang pertama, ia sudah berpecah-pecah. Sudah ada banyak kerajaan dan kesemuanya tidak merujuk pada satu sumber atau satu ketua.
Ertinya, walaupun Islam pernah menguasai dunia selama 700 tahun tetapi selepas 300 tahun yang awal, tempat rujuknya sudah banyak sebab waktu itu sudah mula berpecah-pecah. Ada kerajaan Abbasiyah, Fatimiyah dan lain-lain lagi. Sehingga sampai ke 700 tahun itu, masyarakat Islam antara bangsa sudah banyak tempat rujuknya. Yang terima kerajaan Abbasiyah, merujuk ke sana, maka ada kawasan yang dikuasainya. Orang yang terpengaruh dengan kerajaan Fatimiyah, merujuk kepada pemerintahnya dan ada pula kawasannya. Waktu itu walaupun Islam masih lagi menguasai dunia, sudah tidak ada perpaduan.
Keadaan umat Islam yang betul-betul bersatu dan berpadu, yakni hanya merujuk kepada satu ketuanya ialah di sekitar 300 tahun selepas Rasulullah. Inilah yang solid. Rupa-rupanya kalau kita baca sejarah jemaah Islam, waktu gagah dan waktu kuatnya itu bukan waktu ramai pengikutnya. Waktu itu pengikutnya sedikit tetapi ada wibawa. Di sini akan dibawakan beberapa contoh:

Contoh 1:
Di zaman Rasulullah SAW, walaupun bangsa Arab itu hampir seluruhnya masuk Islam kecuali sedikit sahaja yang tidak Islam, tetapi ia jadi kuat kerana ada satu kelompok kecil yang menunjangi iaitu puak Quraisy. Bangsa Arab ada banyak puak dan puak Quraisy adalah tunjangnya. Kerana wibawanya tinggi, ia disegani dan dihormati hingga orang bukan Islam pun percaya dan yakin, maka puak Quraisy inilah yang menaungi orang Arab sama ada Islam atau bukan Islam. Akhirnya ia menaungi tiga suku dunia. Bertambah banyak bangsa-bangsa dan etnik-etnik yang duduk di bawah naungannya. Ada yang Islam dan ada yang tidak Islam. Jadi jangan sangka kekuatan itu ada pada seluruh bangsa Arab. Ia ada pada terasnya sahaja yakni pada puak Quraisy.
Kemudian teras itu beralih kepada kerajaan Muawiyah. Waktu itu kerajaan Islam masih merujuk kepada Muawiyah. Jemaah Islam ketika itu masih ada wibawa sebab itu diyakini dan disegani. Bangsa Arab berbaris di belakangnya, sama ada Islam mahupun yang bukan Islam. Termasuk juga bangsa asing, yang Islam dan yang tidak Islam. Selepas itu beralih pula kepada puak Abbasiyah. Pun masih ada wibawa. Dunia masih merujuk pada kepimpinan yang satu.
Selepas pemerintahan Abbasiyah itu hingga 700 tahun, walaupun Islam sudah kuasai tiga suku dunia, tempat rujuknya sudah tidak sama. Kerajaan Islam yang berkuasa sudah tercaing-caing dan berpecah kepada tiga. Ada yang merujuk kepada Abbasiyah, Muawiyah dan Fatimiyah. Tetapi kalau orang tidak belajar sejarah Islam, dia akan menganggap selama 700 tahun Islam berkuasa itu, seolah-olah merujuk kepada satu pimpinan. Sebenarnya waktu itu sudah ramai pemimpin, sudah banyak tempat rujuk dan tempat bernaung. Di sini kita nampak ramainya umat Islam bukan bererti kuat. Perpecahan itu menunjukkan kelemahan. Banyak tempat rujuk menunjukkan kelemahan. Luasnya daerah yang dikuasai itu tidak semestinya menunjukkan kekuatan. Itu bukti sejarah.
Perlulah kita faham bahawa jemaah Islam yang ada wibawa itu ia boleh diterima oleh orang sama ada yang Islam atau kafir walaupun pengikut jemaah itu sedikit. Orang Islam dan kafir senang hati untuk bernaung di bawahnya. Walaupun pengikut jemaah itu sedikit tapi sangat berwibawa. Di sinilah kita hendak belajar supaya jangan berfikir sesebuah jemaah itu perlu kepada ahli yang ramai sahaja tetapi tidak ada wibawa. Sedikit pun tidak mengapa asalkan ada wibawa. Hasilnya yang bukan ahli pun boleh terima sekalipun bukan Islam.

Contoh 2:
Di Turki, bangsa yang terkenal ialah Saljuk tetapi Tuhan memilih bangsa Uthmaniah untuk membangunkan empayar Islam, yang mana pengasasnya, Uthman, lahir di kawasan hulu. Hulu itu bolehlah diibaratkan seperti di Hulu Tembeling. Dia berjuang sehingga dapat menawan seluruh negeri dan akhirnya berjaya menawan seluruh negara, yang memakan masa beratus tahun. Setelah beratus tahun, apabila sampai kepada generasi Muhammad Al Fateh, barulah bangsa itu dapat satu kekuatan yang terpusat. Dari keturunannya, dia dapat menawan seluruh Timur dan Barat. Padahal di Turki itu, terdapat banyak bangsa dan etnik. Puak Saljuk juga pernah berkuasa tetapi tidak sempat meluaskan kuasanya. Mungkin kerana tidak ada wibawa dan tidak ada pemimpin yang pandai.
Ini adalah satu contoh dalam dunia Islam. Di sini baru kita faham faktor kuat bukan kerana bilangan yang ramai dan banyak aset, tetapi adalah kerana wibawa sehingga orang yakin dan boleh menerima. Orang Islam yang tidak fikir tentang perjuangan pun boleh terima.

WIBAWA PADA PEMIMPIN
Wibawa adalah kekuatan bagi seorang pemimpin. Dari situlah orang boleh menerimanya. Sehingga orang kafir pun boleh jatuh hati padanya. Apakah ciri-ciri pemimpin yang berwibawa?

1. Berakhlak mulia dan bertaqwa
Pemimpin berwibawa itu mempunyai akhlak mulia dan sifat taqwa.

2. Ada cita-cita besar
Bila bercita-cita besar, jiwanya besar. Oleh kerana ada cita-cita besar dan dia hendak mencapainya maka dia gigih berjuang.

3. Sangat sabar dan tabah
Dia tidak mudah kecewa dan merajuk. Walaupun ada ketikanya, setelah diuji, pengikutnya lari dan tinggal sedikit, dia teruskan perjuangannya. Dia sangat degil dan hatinya juga degil dalam menempuh kesusahan ujian dan cabaran.

4. Ilmunya dari Tuhan
Dia mendapat ilmu dari Tuhan, bukan dari hasil membaca. Kalau membaca pun, itu hanya peringkat asas. Kalau Tuhan tidak beri dia ilmu, dia bukan sahaja tidak jadi pemimpin, malah dia hanya jadi orang Islam biasa yang dianggap tiada ilmu. Orang yang diberi ilmu oleh Tuhan, kalau dia rasul, itu dipanggil wahyu. Kalau bukan rasul, ilmu itu dinamakan ilham. Tuhan beri ilmu laduni, yang kerana itulah dia jadi pandai. Padahal dia tidak belajar sangat. Ilmu hasil belajar hanya ilmu asas sahaja. Ertinya ilmunya yang banyak bukan dari hasil dikutip di sana sini. Dia ada lubuknya sendiri. Kalau ibarat intan berlian, dia ada lombongnya sendiri. Tidak perlu mengambilnya dari tempat lain. Tetapi kalau pemimpin itu ilmunya dikutip dari sana dan sini, dia bukanlah pemimpin Islam sebenar. Sebab itu pemimpin seperti itu, sebelum dia beri motivasi atau sebelum dia beri kuliah, dia mencatat dahulu. Kalau hilang catatannya, tidak dapatlah dia memberi kuliah. Kalau tertinggal di dalam beg di rumah, dia akan patah balik. Bila orang dengar kuliahnya, rupanya sudah ada orang yang mendengar kuliah yang sama di tempat lain.
Pemimpin Islam yang ada wibawa, ada ilmunya tersendiri. Kecuali yang berkaitan dengan hukum-hakam. Itu memang sudah tetap. Yang halal haram sudah memang tetap dari dulu hingga sekarang. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu yang di luar hukum-hakam. Orang yang mendengar ilmunya tidak jemu-jemu kerana ada sahaja benda baru yang diperkatakan. Juga tidak ada ulama lain yang boleh mengaku ilmu itu dia yang ajar atau datang dari dia. Itulah dia wibawa yang keempat yang bersangkutan dengan ilmu.

5. Orang boleh merujuk kepadanya
Dia menjadi tempat rujuk dalam semua masalah, bukan hanya yang berkaitan dengan hukum-hakam, tetapi juga dalam hal ekonomi, politik dan lain-lain.

6. Mampu mendidik pengikutnya
Dia mampu mendidik pengikutnya sehingga boleh berubah daripada negatif kepada positif. Malah kadang-kadang perubahannya itu secara mendadak. Itulah pemimpin yang ada wibawa. Kadang-kadang ulama atau pemimpin itu, walaupun bersyarah bertahun-tahun tetapi manusia tidak pun berubah.

7. Pandai berstrategi dan pandai menggelecek
Kalau diibaratkan seperti memandu kereta, apabila ada sahaja kayu yang menghalang atau ada lubang, dia pandai mengelak. Kalau tidak berstrategi, berlakulah banyak kerosakan terutamanya kepada pengikut. Itu adalah di antara sifat-sifat pemimpin berwibawa di dalam sesebuah jemaah Islam. Apabila ada wibawa, Tuhan akan backing dari belakang. Atas nama pemimpin itulah jemaah itu ditolong oleh Tuhan.

8. Pandai memilih pemimpin-pemimpin di bawahnya
Dia akan pandai membina satu team kepimpinan yang juga ada wibawa, yang mana mereka ini menerima ilmu dari satu sumber iaitu dari pemimpin nombor satu. Kalau sebuah jemaah, team kepimpinannya ada pandangan masing-masing maka ini sangat merbahaya kerana ada pendapat yang berbeza. Maka tidak ada wibawalah jemaah itu. Fenomena ini berlaku kepada jemaah-jemaah yang ada sekarang. Apabila mengulas satu-satu isu, nyata tidak sama pendapatnya. Orang pun terkeliru. Jemaah Islam yang sebenar itu, pimpinan dan rohnya adalah sama. Perasaannya sama sebab sudah sampai ke kemuncaknya. Hendak menyatukan akal pun sudah susah, apalagi hendak menyatukan roh. Itu lagi payah.

WIBAWA PADA PENGIKUT
Ciri-ciri pengikut yang berwibawa ialah:

1. Boleh menerima ilmu-ilmu daripada pemimpin
Oleh kerana pemimpinnya berwibawa, dengan bantuan Tuhan, pengikut-pengikutnya boleh menerima ilmu-ilmu dari pemimpinnya.

2. Sangat taat
Pengikut-pengikutnya sangat taat sehingga orang kafir menganggap mereka fanatik. Seperti yang berlaku di zaman Rasul, ada yang menganggap para Sahabat terkena sihir. Masyarakat ada yang menganggap tidak munasabah sekali kerana mereka ini mengikut secara melulu. Tentu mereka ini disihir. Tuduhan sihir dan fanatik ini sebenarnya membuktikan sejarah telah berulang. Tuduhan yang sama telah dilemparkan kepada pemimpin dan jemaah benar yang terdahulu. Sebab-sebab berlakunya di luar logik akal.

3. Memiliki akhlak yang mulia
Pengikut yang berwibawa mempunyai akhlak yang mulia.

WIBAWA PADA JEMAAH
1. Pengikut faham dasar perjuangan
Jemaah yang ada wibawa itu mempunyai pengikut yang sedikit, namun demikian pengikut yang sedikit itu faham akan dasar perjuangan pemimpinnya.

2. Boleh melaksanakan sistem hidup Islam
Jemaah yang ada wibawa itu, ia boleh melaksanakan sistem hidup Islam di dalam jemaahnya seperti mana Rasulullah bersabda, 'zohirina alal haq' ( ), iaitu menzahirkan kebenar-an dalam jemaahnya. Rasulullah tidak pula bersabda 'qa ilina alal haq' ( ), iaitu bukan memperkatakan sahaja tentang kebenaran. Ertinya satu sistem hidup Islam itu wujud di dalam jemaah. Jika orang hendak merujuk hal-hal berkaitan dengan bidang ekonomi, kebudayaan dan lain-lain, semuanya sudah wujud. Bertambah indahlah jemaah itu. Dan ia akan memukau semua orang termasuk yang bukan Islam. Ini menunjukkan, walaupun pengikut-pengikutnya sedikit tetapi pengaruhnya sangat besar.


Sajak

Bila Pemimpin Hilang Wibawa

Bila pemimpin hilang wibawa
rakyat kurang taat setia
Bila ibu bapa tidak bermaruah
anak-anak kurang hormat
Bila orang tua tidak menjadi contoh
kata-katanya sia-sia saja
Bila berkawan tidak setia
hilang keyakinan kawan kita
Para pemimpin jadilah teladan
agar rakyat mudah dipimpin
Wahai ibu bapa, jagalah maruah
agar anak-anak mengikut kata
Wahai orang tua, jagalah wibawa
agar orang muda mendengar nasihat
Wahai saudara, setialah berkawan
keyakinan orang itu aset kita
Gambarkanlah jika rakyat tidak taat
di dalam negara
Anak-anak pula tidak taat kepada ibu bapa
Anak-anak muda tidak mendengar nasihat dan kata
Manusia satu sama lain curiga-mencuriga
Bila masalah timbul di dalam masyarakat umat
Kehidupan manusia tercabar setiap detik dan masa
Ketenangan hidup yang dicari hancur dan punah
Maka carilah punca mengapa timbul masalah
Setiap golongan bercakap untuk mengatasi masalah
Diberilah pandangan
mengapa perkara negatif itu terjadi
Dikatalah sebab-sebab masalah terjadi
kerana itu dan ini
Yang sebenarnya sebab-sebab itu
ada pada diri sendiri
Mengapa perkara yang mudah
amat sulit mengatasinya
Mengapa perkara yang dekat
terlalu jauh kelihatan
Kerana panduan semata-mata nafsu
dan otak manusia
Agama Islam sudah tidak menjadi panduan sejati

04 - 08 - 1995


Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

Faktor-Faktor Penyebab Sesuatu Bangsa Itu Tidak Maju

Jemaah perjuangan adalah penyelamat. Tidak cukup kalau penyelamat itu hanya memiliki ilmu Akhirat semata-mata. Seorang penyelamat tidak cukup hanya tahu ilmu tentang hukum-hakam sahaja. Memiliki ilmu dunia, sangat membantu dalam memperjuangkan Akhirat. Bahkan ilmu dunia itu boleh diakhiratkan atau boleh dijadikan ibadah.

Kegagalan pejuang-pejuang Islam sebelum ini adalah kerana mereka hanya memiliki ilmu sekitar ilmu agama semata-mata. Mereka hanya memiliki ilmu tentang hukum-hakam. Ilmu dunia mereka tidak berapa faham. Bahkan tidak minat. Ini adalah satu kesalahan. Jadi orang yang perjuangkan kebenaran, yang hendak jadi penyelamat kepada manusia, perlu kuasai kedua-dua ilmu itu yakni ilmu Akhirat dan ilmu dunia.
Keselamatan kita di Akhirat ditentukan oleh bagaimana kehidupan kita di dunia. Apabila dikatakan ia ditentukan oleh kehidupan kita di dunia maka tentulah ilmu dunia itu perlu kita miliki. Kalau tidak, bagaimana kita hendak bertindak. Kedua-dua ilmu ini yakni ilmu dunia dan ilmu Akhirat kenalah digabungkan. Barulah perjuangan kita tepat dan layak digelar penyelamat.

FITRAH MANUSIA HENDAK MAJU
Mari kita lihat kata-kata hukama atau kata-kata ahli falsafah, yang berbunyi, "Manusia itu tabiat semula jadinya adalah makhluk yang maju." Apa maksud makhluk yang maju? Tuhan siapkan kekuatan-kekuatan dalam diri manusia membolehkan manusia itu maju dan hendakkan kemajuan. Jadi kalau manusia itu menggunakan alat-alat atau unsur-unsur yang ada dalam dirinya, iaitu dorongan, kehendak-kehendak, rangsangan-rangsangan untuk maju, kemudian menggunakan alat-alat yang ada pada dirinya juga, seperti kekuatan akal fikiran misalnya, maka manusia itu boleh maju.
Berbeza dengan haiwan. Dari mula-mula dijadikan sampailah beranak cucu, budaya hidupnya tidak berubah. Mana yang makan rumput, daripada awal sampai sekarang makan rumput. Kalau rumput itu tidak pernah dimasak, sampai Kiamat pun ia tidak dimasak. Begitulah yang makan daging. Haiwan makan daging yang mentah. Sampailah ia mati dan hingga ke akhir zaman, ia tetap akan makan daging mentah. Begitulah kalau asalnya mereka tidak berpakaian, sampai hari Kiamat pun tidak berpakaian. Haiwan tidak ada alat dalam dirinya yakni tidak ada rangsangan dan dorongan untuk ia berubah atau bertamadun. Hidup seperti itu memang senang. Hendak tidur, ia tidak fikir tilam, tidak fikir alas. Kalau hendak makan rumput, makan sahajalah. Kalau yang makan daging, ia terkam haiwan lain dan makan sahaja. Tidak perlu hendak cincang, hendak masak atau hendak cari rencah-rencahnya.
Sebab itu manusia awal dahulu, di zaman batu, keupayaannya lebih sedikit sahaja daripada haiwan. Ada yang duduk atas pokok, gunakan sumber air semula jadi dan ada yang makan daging mentah. Lama-kelamaan manusia berubah sebab ada rangsangan dalam dirinya. Ada kehendak, kemahuan dan akal pun memikirkan bagaimana hendak buat pembaharuan. Akal pun gunakan alat-alat yang ada dalam dirinya untuk mendapat satu-satu kemajuan. Mula-mula makan ikan mentah. Bila sudah jemu, ada rangsangan maka mereka pun berfikir-fikir. Datang cara untuk buat api maka ikan itu pun dibakarlah. Bila mereka fikir-fikir lagi, maka direbuslah pula ikan itu.
Begitu juga dalam hal-hal pembangunan dan jalan raya. Dahulu, jalan raya hanyalah laut dan sungai. Atas sebab itulah orang berkampung di tepi sungai dan laut. Tidak duduk di tengah hutan. Kalau duduk di tengah hutan pun, hutan yang ada sungai. Kalau tidak, tidak boleh hidup.
Tabiat yang ada pada diri manusia inilah yang merangsang dan mendorong untuk dia bertindak. Bila dia sudah terdorong, dia berkehendak maka dia merangsang otaknya untuk berfikir. Maka otak pun berfikir bagaimana hendak berbuat. Kemudian ia arahkan anggota fizikal untuk membangun. Akhirnya bersambung-sambunglah ilmu itu hinggalah dunia jadi macam sekarang. Yang jadi masalah, walaupun ahli hikmah berkata, manusia itu tabiat semula jadinya boleh maju, tidak ada perbezaan antara apa bangsa atau etnik, tetapi kita lihat ada bangsa yang sangat maju, ada yang sederhana dan ada yang seolah-olahnya hidup seperti 700-800 tahun dahulu. Antaranya, penduduk Afrika. Rangsangan sama, dorongan sama, rasa hendak berubah sama, cara berfikir sama, kemampuan menggunakan tenaga lahir pun sama tetapi hasilnya tidak sama.

MENGAPA ADA BANGSA MAJU DAN ADA MUNDUR?
Kalau ada orang bertanya kepada kita, mengapa ada bangsa yang maju sangat dan sebaliknya ada yang mundur? Kalau yang bertanya itu bangsa asing, orang bukan Islam, tidak wajar kita hendak jawab secara hukum-hakam, secara hukum halal dan haram atau dengan ayat Al Quran atau Hadis. Maka bagaimana hendak jawab? Inilah buktinya ilmu dunia sangat perlu. Di sinilah pejuang-pejuang Islam gagal. Mereka hanya boleh jawab di sudut hukum-hakam sahaja. Bila ditanya tentang ilmu dunia, mereka tidak boleh jawab.
Kalau kita peka, kita akan dapati manusia itu fitrahnya sama tetapi hasilnya tidak sama kerana sebab-sebab berikut:

1. Malas
Bagi sesetengah bangsa, rangsangan ada, kemahuan ada tetapi bila hendak berbuat, terasa malas. Bila fikir bagaimana hendak buat, perlu minta bantuan Allah, banyak cabaran, terasa malas. "Makan sahajalah apa yang ada. Biar sajalah. Hiduplah dengan apa yang ada." Malas boleh menjadikan sesuatu bangsa itu tidak maju. Sayangnya kerana dia tidak manfaatkan kemahuan dan dorongan dari tabiat semula jadi manusia yang mahukan kemajuan itu. Dia tidak gunakan pendorong yang Allah sudah beri itu. Kerana tidak tahan cabaran dan tidak mahu bersusah payah, akhirnya manusia jadi malas.

2. Kerana bangsa itu pernah dijajah
Bangsa yang malas tidak akan berjuang tetapi bangsa yang rajin akan berjuang. Bangsa yang rajin menjajah bangsa yang malas. Maka bangsa yang malas kena jajah. Suatu bangsa yang kena jajah, memakan masa paling singkat 100 tahun. Malaysia dijajah selama 450 tahun. Orang yang rajin berjuang, menjajah negara orang yang malas. Penjajah ini dasarnya, dia sekadar hendak ambil khazanah harta dari jajahannya. Bukan dia hendak didik anak jajahannya. Dia hanya didik beberapa orang untuk bantu kerjanya. Yang lain, pandai-pandailah hendak hidup sendiri. Sebab itu jalan raya dan bangunan dibina sekadar perlu. Ilmu pun dia catu. Macam dulu, sekolah setakat darjah 7 sahaja. Selepas itu jadi guru. Itulah juga orang yang jadi nazir dan guru besar. Penjajah hanya ambil dua tiga orang, dipandaikannya untuk bantu tadbir negara itu dan digunakan untuk tundukkan rakyat. Penjajah ambil rakyat sendiri untuk tundukkan rakyat. Bila rakyat hendak bangkit, mereka tidak marahkan penjajah tetapi marahkan tali barut-tali barut itu. Jadi faktor kedua mengapa sesuatu bangsa itu tidak maju ialah kerana pernah dijajah.

3. Faktor ilmu
Walaupun sebuah negara itu sudah merdeka tetapi ia tidak boleh maju kerana faktor kekurangan ilmu. Tidak boleh hendak maju, hendak adakan bangunan pencakar langit, hendak buat jalan raya yang moden kerana tidak ada ilmu. Maka tidak cukup ilmu juga adalah antara faktor menjadikan suatu bangsa itu tidak maju.

4. Faktor anak-anak didik penjajah
Kebanyakan negara-negara yang baru merdeka, sebelum itu penjajah menjadi pemimpinnya. Penjajah itu mungkin Amerika, Perancis, Sepanyol, Portugis, Itali dan Inggeris. Waktu pemimpinnya adalah penjajah, ada anak-anak tempatan yang mendapat sedikit ilmu hasil dididik oleh penjajah. Bila negara dimerdekakan, maka kepada merekalah negara tersebut diserahkan. Tentulah tidak diserahkan kepada orang yang tidak ada ilmu. Penjajah menyerahkan negara itu pada orang-orangnya juga iaitu pada orang Melayu yang otaknya otak penjajah, orang Indonesia yang berotak penjajah atau orang Arab yang juga sudah berotakkan penjajah. Dulu penjajah yang tadbir negara. Sekarang otak penjajah yang ambil alih kuasa. Rupa tidak sama tetapi perasaan dan otaknya sama dengan penjajah. Hendak tukar rupa susah tetapi otak dan jiwanya sama saja dengan penjajah. Bila penjajah balik ke negara asal, maka kepada mereka itulah diserahkan negara.
Bila diserahkan negara kepada orang yang berjiwa penjajah, yang masih berhubung dengan penjajah, maka mereka bukan hendak bangunkan rakyatnya tetapi semua kekayaan masuk ke poketnya. Sesetengah negara, bahan mentah dan hasil negara banyak tetapi tidak maju. Contohnya Indonesia. Orangnya Indonesia tetapi berotak dan berjiwa Belanda. Buat sedikit untuk negara, yang banyak masuk poketnya. Padahal kalaulah yang ganti Belanda itu otaknya otak Islam, jiwa Islam, Indonesia sudah membangun. Kalau yang ambil alih itu berjiwa Islam, Indonesia sudah jadi syurga. Harta negara banyak. Khazanah negara banyak tetapi tidak dapat dimanfaatkan. Kenapa? Kerana orang yang pandai-pandai yang menggantikan penjajah itu, otaknya otak Belanda dan perasaannya perasaan Belanda.
Jadi sebab yang keempat mengapa sesuatu bangsa itu tidak maju ialah kerana kepentingan-kepentingan pemimpin yang otaknya otak penjajah dan jiwanya jiwa penjajah, memerah hasil negara itu. Kalau maju pun hanya untuk beberapa kelompok manusia sahaja tetapi rakyat lain terbiar.

5. Ideologi
Kita boleh lihat, mana-mana negara yang menganut ideologi komunis, negaranya tidak maju. Bukan mereka tidak boleh berbuat tetapi itu disengajakan. Buktinya Rusia yang kekuatannya boleh cabar Amerika. Mereka hebat di bidang senjata tetapi kemajuan yang ada hubungan dengan rakyat, tidak ada. Rakyatnya hidup susah. Itu ertinya bukan mereka tidak boleh buat sebab terbukti di sudut senjata, ia boleh cabar Amerika. Begitu juga kapal perangnya. Kemampuan sains dan teknologinya boleh cabar Amerika tetapi untuk rakyat, tidak ada kemajuan. Kerana begitu kehendak ajaran komunis. Kerajaan tidak mahu rakyatnya itu bermewah-mewahan. Jadi sebab kelima mundurnya satu bangsa adalah ditentukan oleh ajaran ideologi.
Begitu juga dengan China komunis. Ia negara yang sangat mundur. Walaupun di bidang senjata, ia boleh lawan Amerika tetapi rakyatnya masih pakai cangkul di bendang. Cuba ke negara China. Bendangnya melaut luasnya tetapi mereka masih pakai cangkul. Bukan mereka tidak pandai tetapi kerana dasar negaranya berfahaman komunis. Jadi ideologi juga boleh menghalang kemajuan sesuatu bangsa.

6. Kerana sentiasa berperang
Apabila satu negara itu tidak habis-habis berperang maka ia tidak boleh membangun. Contohnya seperti Afghanistan dan Iraq. Akibat perang, hendak membangun pun tidak boleh. Kalau sentiasa berperang, tentulah tidak boleh buat pembangunan dan kemajuan yang baru.

7. Kerana tidak ada perpaduan
Walaupun sesebuah negara itu tidak berperang tetapi kerana tidak ada perpaduan maka tidak boleh membuat kemajuan. Rakyatnya hidup sendiri-sendiri sedangkan kemajuan bangsa tidak boleh dibangunkan kecuali kalau ada kerjasama. Mesti ada rasa bersama dan bertolong bantu. Kalau bangsa itu hidup nafsi-nafsi, tentu tidak boleh maju. Kemajuan yang canggih tidak boleh dibuat. Yang ada hanya ala kadar sahaja.

8. Kerana terlalu banyak jenayah di dalam negara
Walaupun tidak berperang tetapi apabila jenayah terlalu banyak dalam negara maka susah untuk maju. Ramai orang jahat. Sekejap merompak, sekejap membunuh, sekejap berlaku kes culik. Ini juga mengganggu untuk membangun. Penjenayah-penjenayah ini mencari makan di projek-projek pembangunan itu. Kadang-kadang dia ambil pekerjanya. Kadang-kadang dia culik taukenya. Walaupun tidak perang tetapi jenayah menjadi penghalang satu bangsa untuk maju.

Itulah lapan sebab terbesar mengapa sesetengah manusia tidak boleh maju sedangkan fitrah manusia sama. Kalau fitrah itu tidak disekat, tidak ada halangan dan tidak ada cabaran, maka semua manusia boleh membangun. Tetapi lapan halangan ini membuatkan kemajuan semua bangsa-bangsa di dunia tidak seimbang. Ada yang maju dan ada yang mundur. Yang lain-lain itu hanya tambahan. Lapan perkara ini sangat menghalang.
Kalau orang tanya mengapa bangsa tertentu tidak maju, tentulah kita perlukan ilmu dunia untuk menjawabnya supaya keyakinan orang tebal. Bukan sahaja orang Islam, bahkan orang bukan Islam pun akan yakin. Kalau ada orang Islam tidak yakin, ia mengganggu juga perjuangan kita. Takkanlah kita hendak jawab dengan hukum halal haram atau dengan ayat Al Quran dan Hadis. Perjuangan yang dilagangkan secara politik atau militan sangat lemah terutama dalam hal-hal ilmu dunia. Oleh itu setiap pejuang kebenaran semestinya memiliki ilmu dunia dan Akhirat.
Cuba imbas kembali sejarah orang yang terdahulu dari kita di sekitar tahun 50-an dan 60-an. Guru-guru agamanya sangat alim. Bukan macam sekarang. Walaupun begitu, kalau ditanya hal-hal dunia, mereka tidak boleh jawab. Begitu juga bila mereka berhadapan dengan orang besar, mereka tidak boleh bercakap kecuali tentang hukum hakam dan halal haram. Ketika itu kebanyakan orang seronok dengan cara itu. Bahkan ada sesetengah orang alim bercakap, "Tengok, Tuhan tipu orang bukan Islam. Kita hendak makan sayur, Cina tanamkan. Kita hendak naik kapal terbang, Amerika buatkan." Begitulah pemikiran mereka hingga akhirnya orang bukan Islam yang menguasai tampuk ekonomi Malaysia.
Inilah antara hujah-hujah mengapa perlunya seorang pejuang mengetahui ilmu dunia dan tahu cara untuk menggunakannya. Ilmu-ilmu seperti ini tidak ada di dalam kitab-kitab tetapi Al Quran dan Hadis ada menyarankan agar kita berfikir akan hal-hal seperti ini.


Sajak

Maju Bersama Ketakutan
atau Mundur Bersama Keamanan

Kalau aku disuruh pilih
maju bersama ketakutan
mundur bersama keamanan
Aku memilih mundur bersama keamanan
Kerana tidak adanya keamanan
ia lebih menakutkan
daripada tidak ada kemajuan
Jika memperjuangkan kekayaan
lahir perpecahan dan pergaduhan
Tapi di dalam kemiskinan
lahir kasih sayang dan perpaduan
Aku memilih kemiskinan
Kerana kasih sayang diperlukan setiap masa
oleh setiap manusia dan insan
Ia merupakan makanan jiwa
Apa ertinya kekayaan kalau jiwa menderita
Tidak mengapa miskin jika jiwa bahagia
Kalau aku mempunyai dan memiliki
berbagai-bagai keistimewaan
tapi kehilangan Tuhan
Tapi dapat memiliki Tuhan
hilang segala-gala keistimewaan
Biarlah aku kehilangan segala-gala keistimewaan
Kehilangan segala-galanya tapi memiliki Tuhan
Kehilangan segala-galanya tidak mencacatkan
Tapi kalau kehilangan Tuhan dapat segala-galanya
Segala-galanya sudah tidak memberi erti apa-apa
Kerana kehilangan Tuhan
mendapat kecacatan yang terlalu besar
atau cacat yang maha besar
Segala-galanya tidak akan dapat menampungnya
Jika dapat Tuhan
ia dapat menampung segala-galanya
yang tidak ada
Kerana itulah di dalam kehidupan ini
jangan sampai kehilangan Tuhan
Tuhan adalah segala-galanya
Korbankanlah segala-galanya
demi mendapatkan Tuhan
Jangan korbankan Tuhan
untuk segala-galanya
Kita akan berhadapan dengan kerugian
yang maha besar

Lepas Asar
16 - 05 - 2000

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

Bagaimana Membangunkan Bangsa Secara Islam

1. LATAR BELAKANG SEJARAH PERJUANGAN RASULULLAH
2. BAGAIMANA RASULULLAH MEMBANGUNKAN BANGSA ARAB
3. JANJI TUHAN UNTUK MASYARAKAT BERTAQWA


Ajaran Islam bukan sahaja mengandungi hukum-hakam, fardhu ain, fardhu kifayah serta bagaimana untuk beribadah serta menyembah Tuhan. Bahkan Tuhan di dalam ajaran-Nya mengajar umat Islam bagaimana hendak menjadi satu bangsa yang kuat dan berdaulat hingga dunia ini boleh dicatur dengan ajaran Tuhan. Hasilnya bukan sahaja umat Islam dapat manfaat tetapi orang bukan Islam juga dapat manfaat di dunia ini. Hal inilah yang jarang diajarkan iaitu bagaimana hendak membangunkan satu bangsa yang berkasih sayang, bersatu padu, rasa bersama dan bekerjasama, boleh berdaulat dan menjadi empayar.
Tuhan berjanji Islam akan bangkit dan menguasai dunia sekali lagi bermula dari Timur. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: "Daripada Ibnu Umar r.a., bahawa Rasulullah SAW sambil memegang tangan Sayidina Ali, baginda berkata: "Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang memenuhi bumi ini dengan keadilan. Maka apabila kamu meyakini demikian itu hendaklah bersama Pemuda dari Bani Tamim itu. Sesungguhnya dia datang dari sebelah Timur dan dialah pemegang panji-panji Al Mahdi." (Riwayat At Tabrani)

Sejak umat Islam di seluruh dunia ini dijajah, tidak kira apa bangsanya, sama ada Arab, Melayu, Pakistan, Turki dan lain-lain, selepas merdeka mereka ingin kuat dan menjadi satu bangsa yang berdaulat. Setidak-tidaknya menjadi negara yang boleh berdikari. Namun kaedah dan formula yang digunakan tidak merujuk kepada Islam dalam segala hal. Bahkan mereka merujuk kepada ajaran dan sistem dari Barat, sedangkan mereka adalah Islam.
Akhirnya walaupun umat Islam sudah merdeka 40-50 tahun, cuba tunjukkan satu negara umat Islam yang kuat? Bahkan negara-negara yang sudah lebih lama merdeka pun masih lemah. Umat Islam belum menggunakan formula dari Tuhan yang dicontohkan oleh Rasulullah.

LATAR BELAKANG SEJARAH PERJUANGAN RASULULLAH

Mengapa Allah utuskan Rasulullah kepada satu bangsa yang paling lemah waktu itu dan tiba-tiba bangsa itu menjadi empayar? Supaya siapa yang hendak menguatkan bangsa dan negaranya mengambil contoh dari Baginda. Tuhan contohkan Rasulullah yang diutuskan di kalangan negara dan bangsa yang paling mundur ketika itu. Berikut adalah gambaran bangsa Arab waktu itu:

  • i. Waktu itu bangsa Arab paling miskin dibandingkan dengan Rom, Parsi dan negara China
  • ii. Bangsa Arab waktu itu sangat berpecah belah, suka berperang sesama etnik dan kabilah sejak beratus tahun. Kadang-kadang kerana seekor kambing atau perkara-perkara kecil, kabilah itu boleh berperang selama seratus atau dua ratus tahun. Kalau ada seseorang hendak pinang anak gadis dalam kabilah itu, syaratnya dia kena penggal kepala musuh sebagai mas kahwin.
  • iii. Ekonominya dikuasai Yahudi terutama di Madinah. Orang Arab jadi hamba. Barang mentah dikawal oleh Yahudi. Ia diproses, dijual dengan harga yang mahal.
  • iv. Mereka hidup secara primitif dan semula jadi.
  • v. Mereka tidak tahu membaca dan menulis. Contohnya, dalam kabilah Sayidina Umar, hanya dia seorang sahaja yang boleh membaca dan menulis. Paling banyak dalam sesuatu kabilah hanya dua atau tiga orang sahaja yang celik huruf.
  • vi. Lantaran itu, bangsa Arab ketika itu sentiasa dijajah oleh dua empayar besar iaitu Rom dan Parsi. Kadang-kadang oleh Rom dan kadang-kadang oleh Parsi. Rom dan Parsi sentiasa berperang kerana hendak wujudkan kuasa di negara Arab itu.

Bilamana Allah hendak utuskan Rasul-Nya, Allah tidak utuskan kepada Rom dan Parsi. Kalau kepada Parsi tentu lebih mudah kerana bangsa itu sudah bertamadun, boleh membaca dan menulis. Begitu juga kalau diutus kepada Rom, sudah ada ramai ahli falsafah seperti Aristotle, Plato dan lain-lain. Kalau Rasulullah diutus kepada bangsa Rom sudah tentu Rasulullah mengambil masa tiga tahun sahaja untuk didik bangsa itu menjadi empayar kerana mereka memang cerdik, tinggal hendak diberi iman sahaja.
Tetapi Allah sengaja utuskan Rasulullah kepada bangsa Arab yang waktu itu sangat dahsyat kerosakannya. Namun satu rekod di dalam sejarah kepimpinan dunia, Rasulullah ambil masa 23 tahun sahaja. Bukan sahaja bangsa Arab jadi berdaulat bahkan menjadi empayar, jadi guru kepada dunia hingga Barat menjadi murid kepada Islam.

BAGAIMANA RASULULLAH MEMBANGUNKAN BANGSA ARAB

Bagaimana Rasulullah mendidik bangsa Arab yang begitu dahsyat?
Allah utus Rasulullah sekitar 22 tahun 2 bulan 22 hari. Maha Bijaksana Tuhan, dengan kaedah-kaedah dari Tuhan, bangsa yang tidak berguna pada dunia boleh jadi empayar. Cerdiknya Rasulullah apply ilmu dari Tuhan untuk bangsanya. Bagaimana? Oleh kerana Al Quran bersifat ilmu, ia bukan mudah difahami. Jadi mari kita melihat praktikal yang Rasulullah buat:

Rasulullah berjuang dalam dua peringkat, pertama peringkat Mekah dan kedua peringkat Madinah. Allah turunkan wahyu Al Quran pula, ada ayat Makkiyah dan ada ayat Madaniyah.
Rasulullah ambil masa 13 tahun untuk bangunkan roh manusia dan menanamkan rasa takut dan cintakan Tuhan di peringkat Mekah. Dalam masa 13 tahun itu para Sahabat belum diajar berpuasa, tidak dibenarkan berjihad dan tidak dibangunkan ekonomi. Bahkan sembahyang pun hanya diperintahkan setelah 11 tahun Rasulullah menjadi rasul. Kerana apa erti menyembah Tuhan kalau rasa bertuhan tidak ada, Tuhan tidak dicintai dan tidak ditakuti.

Maka Rasulullah menanamkan rasa bertuhan hingga manusia mabuk dengan Tuhan. Hingga orang-orang kafir melihat orang-orang Islam seperti orang-orang gila. Mereka menganggap Rasulullah menyihir para Sahabat kerana mereka begitu fanatik dengan Rasulullah.

Selepas 13 tahun, lahirlah peribadi-peribadi mulia di kalangan para Sahabat yang benar-benar cinta dan takutkan Tuhan. Bila takut Tuhan, takut hendak buat salah dengan orang lain. Bila cinta Tuhan, automatik berkasih sayang sesama manusia. Lahir kasih sayang luar biasa. Waktu itulah Allah pindahkan Rasulullah ke Madinah.

Waktu itu barulah datang hukum halal haram, perintah jihad, perintah bagaimana hendak bangunkan ekonomi, bagaimana hendak berhadapan dengan Yahudi. Juga bagaimana berhadapan dengan orang yang tidak mahu ikut tetapi tidak menentang dan bagaimana menghadapi orang yang menentang.

Bila cinta Tuhan, timbul cinta sesama manusia. Maka lahirlah masyarakat yang luar biasa, bersatu padu, sangat memikirkan hal orang lain, bertanya-tanya khabar sesama kawan seperjuangan. Bila ada yang miskin, tidak payah sampaikan ke pihak pemerintah. Masing-masing tahu dan berebut-rebut untuk membantu atau memberikan pertolongan. Jadilah orang miskin lebih senang dari orang kaya.

Contohnya, katalah dalam satu masyarakat kampung, hasil kenal-mengenal, penduduk tahu siapa yang kaya dan siapa yang miskin. Seorang yang orang tahu dia kaya maka orang tidak fikirkan sama ada dia makan atau tidak sebab dia kaya. Tapi kalau masyarakat kampung tahu ada seorang yang miskin, masing-masing beri makanan sehingga banyak makanannya setiap hari. Hinggalah terjadi orang miskin begitu kaya-raya dengan rezeki manakala orang kaya hanya kaya biasa.

JANJI TUHAN UNTUK MASYARAKAT BERTAQWA

Kesan dari Rasulullah menanamkan rasa cinta dan takutkan Tuhan yang sangat mendalam di hati para Sahabat, kesan dari tauhid yang benar-benar dihayati, bangsa Arab jahiliah bertukar menjadi suatu bangsa baru yang kuat dan berwibawa. Mereka sangat menyintai Tuhan dan kasih sesama manusia.
Gambaran masyarakatnya ialah gambaran masyarakat bertaqwa. Bila bertaqwa, apa janji Tuhan di dalam Al Quran? Firman Allah SWT:

Maksudnya: "Dan apabila penduduk sebuah kampung beriman dan bertaqwa, Kami (Tuhan) akan bukakan ke atas mereka berkat dari langit dan bumi." (Al A'raf: 96)

Untuk masyarakat bertaqwa Tuhan melimpahkan berkat dan rahmat-Nya di dalam setiap apa yang mereka perjuangkan. Berkat dalam ekonomi, masyarakat, pendidikan, kebudayaan dan lain-lainnya. Tuhan beri berkat kalau untuk orang biasa dapat satu, orang bertaqwa dapat 10. Kalau berekonomi orang biasa dapat 1000, orang bertaqwa dapat 10i000. Seorang bertaqwa boleh lawan 10 orang yang tidak bertaqwa.

Dalam 23 tahun perjuangan Rasulullah, umat Islam berperang sebanyak 74 kali. Setiap kali perang, jumlah musuh lebih ramai dan senjata mereka lebih banyak. Cuma sekali sahaja tentera Islam kalah. 73 kali menang. Telah berlaku golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang ramai. Begitulah yang Allah maksudkan, "Bilamana penduduk sebuah kampung atau satu kelompok itu benar-benar beriman dan bertaqwa, Kami Tuhan akan datangkan berkat dari langit dan bumi." Para Sahabat berjuang dengan hati yang cintakan Tuhan hingga mereka sanggup mati demi Allah dan Rasul-Nya.

Setelah Rasulullah wafat disambung oleh Khulafa ur Rasyidin. Bila bertaqwa, Tuhan lembutkan hati orang untuk menerima Islam. Tidak perlu berperang kecuali di sesetengah tempat seperti di Syria dan Iraq. Kebanyakan negara lain, apabila mendengar sahaja tentera Islam hendak datang, mereka berkata, "Ahlan wa sahlan. Kami sudah lama tidak tahan dengan kerajaan yang ada. Silalah masuk."

Sahabat datang ke China tanpa perang. Orang China melihat Sahabat ambil wudhuk sahaja mereka terus masuk Islam. Itulah taqwa para Sahabat. Inilah yang kita perlu contohi. Saidi Abdul Aziz, seorang ulama sufi dari Iraq datang ke Melaka lebih kurang 600 tahun yang lepas. Sampai di pantai, dia sembahyang. Waktu itu orang Melayu masih beragama Hindu. Apabila melihat Saidi sembahyang, rakyat memaklumkan kepada Sultan. Sultan sampai ke pantai dan hatinya terpikat melihat Saidi Abdul Aziz sembahyang. Sultan dan Saidi Abdul Aziz waktu itu berlainan bahasa, bangsa dan agama, lalu hanya menggunakan bahasa isyarat. Kerana taqwanya Saidi Abdul Aziz, secara isyarat pun, Sultan boleh faham lantas memeluk agama Islam. Maka rakyatnya pun masuk Islam, tanpa perang. Hanya dengan kasih sayang dan kekuatan roh.
Mengapa negara-negara Islam seluruh dunia tidak belajar dari sejarah ini? Mengapa ambil kaedah-kaedah lain? Akhirnya kita terhina.

Islam ada kaedah sendiri. Membangunkan bangsa bukan dengan kekuatan ekonomi atau pembangunan lahiriah. Umat Islam akan menjadi bangsa yang kuat apabila mereka dikuatkan dengan Allah. Rasa takut dan cintakan Tuhan akan melahirkan rasa cinta sesama manusia. Dari situ akan lahir perpaduan dan kekuatan bangsa tersebut.


Sajak

Orang Bertaqwa Aset Negara
dan Ummah

Orang-orang bertaqwa
adalah aset negara dan ummah
Dari merekalah turunnya berkat dan rahmat
Kemakmuran wujud, kemewahan melimpah ruah
kerana mereka
Disebabkan mereka rezeki murah
keamanan wujud, bala dijauhkan
Tapi ramai manusia yang tidak sedar
dan tidak mengerti soal ini
Bahkan setengah manusia bermusuh
dengan mereka
Mereka difitnah, disusahkan
bahkan adakalanya mereka dibuang
daripada tanah airnya
Manusia menganggap aset negara itu
ialah bahan-bahan mentah yang berharga
Bangunan yang komersil, harta yang tersimpan
mata benda yang bernilai
kenderaan yang mahal
Mereka tidak terfikir orang yang bertaqwa
adalah aset negara
Adanya mereka terjatuhnya pandangan Tuhan
Kepada merekalah keredhaan Tuhan
Kerana mereka adalah orang Tuhan
dan kesayangan-Nya
Keberadaan mereka, orang ramai mendapat
keselamatan dan perlindungan
Awaslah jangan sampai bermusuh dengan mereka
Memusuhi mereka laksana memakan racun
Siapa memakan racun pasti binasa
Ertinya Tuhan akan mendatangkan bala bencana
di dalam negara
Kesusahan yang akan menimpa
adalah merata manusia
Takutilah Allah pada mereka
Kalau tidak boleh mengikut mereka
jangan bermusuh dengan mereka
Kita akan nahas dan bahaya

Menjelang tidur
23 - 04 - 2000

Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi

Pejuang-Pejuang Kebenaran Adalah Penyelamat

Pejuang-pejuang kebenaran itu, sepanjang zaman, sejak dari rasul-rasul dan nabi-nabi hinggalah ke akhir zaman, sebenarnya mereka adalah orang-orang Tuhan. Kalau benarlah apa yang diperjuangkan itu sesuatu dari Tuhan, ertinya mereka adalah orang Tuhan. Orang-orang Tuhan ini berjuang, datang ke tengah masyarakat, datang kepada kaumnya, bangsa dan puak-puaknya adalah sebagai penyelamat.

Kalau para pejuang itu, walaupun mengaku memperjuangkan kebenaran, atau zaman sekarang ini dikatakan memperjuangkan Islam, tetapi sekiranya mereka bukan bersifat penyelamat, ertinya mereka itu bukan pejuang kebenaran. Mereka itu bukan orang-orang Tuhan. Mereka adalah penipu-penipu yang menjual nama Tuhan untuk kepentingan diri atau untuk kepentingan kelompok-kelompok mereka.

Bagaimana boleh berlaku, orang Tuhan datang ke tengah masyarakat tetapi tidak membawa keselamatan sedangkan Tuhan itu penyelamat? Ini bukti mereka bukan penyelamat. Mereka tidak membuat kerja Tuhan. Kalau mereka hanya sekadar membuat pengakuan dan berslogan-slogan, mereka itu tidak boleh dianggap sebagai penyelamat. Tolong ambil perhatian. Orang-orang Tuhan adalah penyelamat.

Apakah ertinya penyelamat itu? Apakah yang mereka selamatkan? Adakah mereka penyelamat dari miskin kepada kaya? Atau daripada bodoh kepada cerdik? Itu terlalu kecil. Tujuan-tujuan yang besar mengapa Tuhan datangkan penyelamat ialah:

1. Untuk menyelamatkan aqidah umat
Itulah tujuan yang paling besar. Siapa sahaja yang pejuangkan kebenaran dari dahulu hingga sekarang, yang hendak diselamatkannya adalah aqidah umatnya, kaumnya dan bangsanya. Sebab itu, kalau kita baca Al Quran terutama ayat-ayat Makkiyah, oleh kerana Tuhan itu hendak menyelamatkan aqidah para hamba-Nya, maka melalui Rasulullah dan Sahabat-Sahabatnya yang merupakan orang-orang Tuhan, Tuhan promosi diri-Nya dengan begitu banyak sekali. Selama 13 tahun Allah promosi diri-Nya. Selama 13 tahun Tuhan perkenalkan diri-Nya melalui ayat-ayat Makkiyah. Tuhan perkenalkan diri-Nya itu ada dua tahap iaitu:
a. Tahap pertama untuk betulkan aqidah. Agar manusia jangan mempertuhankan jin, patung, malaikat dan sebagainya.
b. Apabila orang sudah terima Tuhan itu adalah Allah, di tahap kedua, diperjuangkan pula supaya orang takut dan cintakan Tuhan.
Jadi aqidah itu ada dua peringkat atau tahap. Yang pertama hendak betulkan iman dan yang kedua agar sampai peringkat takut dan cinta dengan Tuhan. Kalau kita belajar 'Sifat 20', itu sekadar untuk sahkan aqidah dan iman. Takut dan cintakan Tuhan tidak akan boleh berlaku kerana 'Sifat 20' itu banyak bersifat akal dan falsafah. Ia tidak jatuh ke hati. Sebab itu ia tidak akan membuatkan seseorang itu sampai takut dan cinta pada Tuhan. Ia sekadar untuk percaya. Setakat hendak sahkan iman.
Bagi tahap kedua, kita lihat dalam Al Quran, Tuhan promosi diri-Nya supaya orang takut, cinta dan mabuk serta gila dengan-Nya. Tidak salah gila dengan Tuhan. Sebab itu Rasulullah berkata, "Ingatlah Allah banyak-banyak sampai orang kata engkau gila."
Kalau kita baca Quran terutama ayat Makkiyah, kita boleh lihat macam mana Tuhan kempen diri-Nya, seolah-olah Tuhan masuk pilihan raya. Di zaman Firaun, Dia bertanding dengan Firaun. Waktu itu Dia promosi diri-Nya. Dia kempen kepada manusia. "Kamu hendak jadikan Aku pemimpin atau Firaun sebagai pemimpin? Firaun itu Aku yang jadikan dia. Tidak hebatkah Aku? Patut engkau jadikan Aku sebagai pemimpin. Firaun itu macam kamu juga. Tahu letih dan tahu tidur. Aku tidak. Aku tidak makan dan tidak minum. Aku pencipta. Firaun pun Aku yang cipta. Maka hendaklah kamu lantik Aku sebagai pemimpin."
Setiap masa Tuhan buat kempen pilihan raya dengan para pemimpin di dunia. Yang tukang kempen adalah para pejuang kebenaran, para rasul, nabi, Sahabat, tabiin, tabiut tabiin dan sesiapa sahaja yang perjuangkan Tuhan. Merekalah tukang-tukang kempen Tuhan supaya manusia pilih Tuhan. Jangan pilih pemimpin dunia. Tuhan tidak rehat dari mempromosikan diri-Nya.
Cuba kita huraikan ayat Quran secara umum tentang bagaimana Tuhan promosi diri-Nya, kempen diri-Nya, mengajak orang mengakui diri-Nya Tuhan, diri-Nya pemimpin. Antaranya Tuhan berkata:
"Hai manusia! Langit dan bumi itu Aku yang jadikan."
"Hai manusia! Dunia dan Akhirat itu dan termasuk kamu semua, Aku yang jadikan."
"Hai manusia! Ingat, di tangan Aku kekuasaan. Tiada siapa boleh gugat. Aku menghidupkan dan Aku mematikan. Aku menentukan nasib semua makhluk. Aku boleh kayakan dan boleh miskinkan. Aku boleh sakitkan dan sihatkan. Aku boleh ledakkan semua gunung. Aku boleh gempakan bumi untuk mengazab kamu semua bila kamu derhaka dengan Aku. Akulah yang beri rezeki. Nafas kamu itu Aku yang jaga. Seluruh yang ada, Aku yang tadbir. Sama ada di alam ghaib atau alam nyata, Aku yang mentadbir. Aku yang mendidik, menyelamatkan, menjadikan. Tidak nampakkah kuasa Aku? Tidak takutkah dengan Aku?"
Jadi Tuhan minta siapa yang hendak perjuangkan kebenaran, bawa mesej ini. Tuhan promosi diri-Nya dan minta disebarkan. Pejuang-pejuang kebenaran adalah sebagai lidah-lidah untuk promosikan Tuhan. Adakah begitu yang berlaku? Tidak. Pejuang-pejuang Islam hari ini yang katanya memperjuangkan kebenaran, tetapi yang dibuatnya ialah membesarkan ekonomi atau masalah kemiskinan. Hilanglah Tuhan. Dikatakan itu satu perjuangan kebenaran sedangkan itu satu penipuan. Yang dipromosi makan minum, kemudahan hidup, promosi jalan raya, hendak beri biasiswa, atau hendak hidup selesa. Tuhan tidak dikempen. Tuhan tidak dikenalkan, tidak ditakuti dan tidak dicintai.
Pejuang-pejuang Tuhan mesti mengelakkan itu semua. Kempen utama kita ialah Tuhan. Pejuang-pejuang kebenaran itu yang utamanya ialah hendak menegakkan aqidah umat. Sudah dikatakan tadi, aqidah ada dua tahap. Tahap pertama ialah hendak mengesahkan iman. Yang susahnya ialah yang kedua, iaitu bagaimana agar sampai orang cintakan Tuhan, takutkan Tuhan dan mabuk dengan Tuhan serta merasakan bahawa Tuhan adalah segala-galanya. Hingga merasakan bahawa Tuhan Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa. Supaya hati itu penuh rasa bertuhan. Masa duduk atau berjalan, rasa bertuhan penuh di hatinya kerana sudah takut dan cintakan Tuhan.
Aqidah tahap kedua ini sangat susah. Yang pertama tadi, ramai juga orang buat. Sebab itu kalau mengaji 'Sifat 20', belum cukup. Orang mengaji 'Sifat 20' tetapi selepas itu dilupakan. Tidak mengaji lagi tentang Tuhan. Maka aqidah tahap yang kedua tertinggal. Macam mana hendak cinta dan takutkan Tuhan sedangkan Allah terabai. Takut dan cinta itu tidak lagi diperjuangkan dan diusahakan.
Jadi, tujuan perjuangan yang pertama iaitu hendak selamatkan aqidah umat dari bertuhankan selain Allah kepada bertuhankan Allah. Daripada takutkan selain Allah kepada takutkan Allah. Daripada cintakan selain Allah kepada cintakan Allah. Inilah yang pertama dan utama.

2. Untuk menyelamatkan Akhirat manusia
Mereka hendak menyelamatkan manusia daripada cintakan dunia dan mengutamakan dunia, kepada mengutamakan Akhirat dan cintakan Akhirat. Selepas Tuhan kempen dan promosi sungguh-sungguh diri-Nya, Tuhan promosi pula Akhirat-Nya. Dipromosikan bagaimana hebatnya Akhirat-Nya itu sama ada tentang nikmatnya atau azabnya. Kalau kita baca ayat-ayat Al-Quran, di antaranya banyak menunjukkan Tuhan mempromosikan Akhirat lebih daripada dunia. Di antara promosi oleh Tuhan itu ialah, Akhirat lebih utama, lebih baik dan lebih kekal.
Tuhan memberitahu bahawa selepas kita hidup, kita akan dimatikan. Selepas itu pula kita akan dipersoalkan. Ada empat tahap yang akan kita lalui iaitu:
a. Alam mati
b. Alam Barzakh
c. Alam Padang Mahsyar
d. Alam Akhirat
Hingga Tuhan beritahu bahawa tidak ada harganya dunia ini. Dalam Hadis, Tuhan menceritakan dengan menggunakan lidah Rasulullah bahawa dunia dan segala isinya ini harganya atau nilainya tidak sampai pun nilai dengan sebelah sayap nyamuk. Kalau begitu, hebatkah dunia ini? Kalaulah dunia ini ada nilainya, sekurang-kurangnya senilai dengan harga sebelah sayap nyamuk, pasti Tuhan tidak akan berikan nikmat kepada orang kafir. Tuhan tidak akan beri mereka makan. Maksudnya siapa yang ingkar dan menentang, Tuhan tidak akan beri makan. Tetapi kerana dunia tidak ada harga di sisi-Nya, Tuhan kata ambillah. Tuhan kempen betapa hinanya dunia. Tidak ada nilainya dunia. Begitulah Tuhan kempen hendak bandingkan dunia dan Akhirat. Tidak ada harga langsung dunia ini jika dinisbahkan dengan Akhirat.
Hinggakan Tuhan beritahu, bandingan dunia dengan Akhirat macam kita hidup satu jam sahaja di Akhirat. Katakan hidup kita di dunia selama 1,000 tahun. Bandingan 1,000 tahun di dunia itu hanya satu jam sahaja di Akhirat. Adakah kerana hidup satu jam itu, kita sampai sanggup hendak masuk ke Neraka? Hidup satu jam itu hendak dipertahankan sampai kita derhaka dan lalai dengan Tuhan. Hingga sanggup kekal abadi dalam Neraka. Itu kalau kita hidup 1,000 tahun. Sedangkan selalunya setakat 50 tahun sahaja, jadi berapa jam pula di Akhirat? Mungkin dua minit sahaja bandingannya di Akhirat.
Begitulah yang Tuhan kempenkan. Begitulah juga yang dikempenkan oleh orang-orang Tuhan. Inilah penyelamat. Sebab manusia telah cintakan dunia, besarkan dunia dan tidak besarkan Akhirat. Cinta Akhirat lebih-lebih lagilah tidak berlaku.
Oleh kerana cintakan dunia, manusia sanggup bergaduh dan jatuh-menjatuhkan. Sanggup fitnah-memfitnah. Kerana cinta dunia, sanggup berpecah-belah, hilang kawan dan berbunuh-bunuhan. Oleh kerana manusia mengutamakan dunia dan cinta dunia, jadilah dunia huru-hara. Bila huru-hara, itulah neraka sebelum Neraka.
Maka datangnya penyelamat yakni datangnya pejuang-pejuang Tuhan itu adalah untuk membetulkan fikiran manusia. Daripada cinta dunia kepada cinta Akhirat. Daripada mengutamakan dunia kepada mengutamakan Akhirat. Begitu Tuhan kempen. Begitu orang-orang Tuhan kempen. Cuma kempen Tuhan dan Akhirat, manusia hanya dengar-dengar di hujung telinga sahaja. Tetapi bila disebut keindahan dunia, semuanya masuk ke akal, hati dan nafsu.
Jadi tujuan kedua datangnya pejuang-pejuang kebenaran yang kedua ialah hendak membuatkan manusia cintakan Akhirat lebih dari cintakan dunia. Begitu juga pejuang-pejuang kebenaran sepanjang masa dan zaman datang ke tengah umatnya, kaumnya, puaknya dan masyarakatnya hendak menyelamatkan manusia dari hidup yang huru-hara kepada hidup yang selamat, aman-damai, berkasih sayang, bersatu-padu, di mana orang kaya menolong orang miskin, yang miskin doakan orang kaya, pemimpin menaungi dan rakyat pula taat, jiran berbaik-baik macam satu keluarga. Seolah-olah jiran pun keluarganya juga. Juga supaya aman damai rumah tangga, berkasih sayang sesama anak dan isteri, supaya ekonomi dan politik berjalan dengan baik. Untuk itulah maka Tuhan datangkan penyelamat.

3. Untuk membawa syariat Tuhan
Syariat Tuhan itu dipromosikan agar manusia hidup aman damai, berkasih sayang, harmoni dan bahagia. Syariat Tuhan sahaja yang boleh menyatukan orang, menghidupkan kasih sayang, hidup bekerjasama, hormat-menghormati, berperikemanusiaan, aman damai dalam keluarga, aman damai dalam masyarakat dan dalam kehidupan. Jadi pejuang-pejuang kebenaran mempromosikan syariat supaya syariat menjadi ilmu yang dihayati dan diamalkan dalam kehidupan. Maka itulah jalan selamat. Jalan yang selama ini tidak selamat akan menjadi selamat setelah pejuang-pejuang kebenaran promosikan Tuhan, Akhirat dan syariat-Nya.
Adakah itu berlaku kepada pejuang-pejuang kebenaran? Kalau ada pun, sedikit sangat. Sebaliknya ramai yang hendak perjuangkan hudud. Hudud itu ibarat habuk daripada keseluruhan syariat. Syariat itu khazanah, himpunan ilmu dan merupakan peraturan, disiplin hidup dan sistem hidup. Kalau diamalkan manusia boleh buat syurga sebelum Syurga yang hakiki. Kalau diamalkan, manusia boleh cipta syurga di dunia. Kalau diamalkan, manusia boleh dapat syurga yang didahulukan (Al-Janatul Ajilah).
Inilah peranan penyelamat yakni menyelamatkan manusia daripada huru-hara kepada aman damai dan berkasih sayang. Jadi, mesti promosi Tuhan sepanjang masa.

4. Untuk menyelamatkan akhlak umat
Manusia hendak diselamatkan daripada akhlak yang jahat kepada akhlak yang baik. Daripada akhlak yang hina kepada akhlak yang mulia. Daripada akhlak yang bertaraf haiwan kepada akhlak bertaraf malaikat. Inilah tugas pejuang-pejuang kebenaran sepanjang zaman. Menguruskan akhlak manusia, daripada bakhil kepada pemurah. Daripada sombong kepada tawadhuk. Daripada ingin glamor kepada menghinakan diri kepada Allah. Daripada rasa benci dan suka prejudis dengan manusia, datang rasa kasih sayang. Ini peranan penyelamat yang keempat yakni menyelamatkan akhlak umat.
Soal-soal yang lain itu seperti makan minum, tempat tinggal atau pakaian, Tuhan tidak ambil pusing sangat. Bahkan terhadap soal-soal ini, kadang-kadang Tuhan katakan, kalau seorang itu miskin, Tuhan minta agar bersabarlah. Tuhan bukan suruh perjuangkan supaya menjadi kaya. Kalau sakit, Tuhan tidak suruh orang-orang-Nya perjuangkan kesihatan, sebaliknya apa yang Tuhan pesan kepada orang-orang-Nya ialah sakit itu pahala, tanda Tuhan redha dan Tuhan sayang. Sakit itu kerana Tuhan hendak tinggikan darjat di Syurga. Jelas bahawa hal yang remeh-temeh, Tuhan tidak suruh tukar.
Namun berapa banyak parti Islam di seluruh dunia, yang mereka sibuk hendak selesaikan ialah soal makan minum. Kata mereka: "Kalau kami berkuasa, kami hendak berusaha kayakan orang. Kalau kami berkuasa kami hendak selesakan hidup orang."
Apa maksudnya itu? Ertinya benda remeh-temeh yang diperjuangkan. Bagaimanalah dunia tidak haru-biru? Macam mana tidak menjadi neraka dunia? Jelas di sini bahawa perkara yang utama dilupakan. Perkara yang remeh-temeh diutamakan. Kalau yang memperjuangkan ideologi, itu kita tidak fikirkan kerana memang ideologi menempah Neraka. Memang mereka fikirkan dunia semata-mata. Yang kita persoalkan ialah orang yang memperjuangkan Islam tetapi perjuangannya sama sahaja dengan perjuangan orang ideologi. Yang diperjuangkan adalah makan minum, tempat tinggal dan benda yang remeh-temeh. Itulah yang dibesar-besarkan.
Oleh itu, pejuang-pejuang kebenaran hendaklah perjuangkan empat perkara iaitu:
a. Aqidah
b. Akhirat
c. Syariat
d. Akhlak
Inilah tugas kita. Maka pejuang-pejuang kebenaran itu, hakikatnya adalah orang Tuhan yang hendak menyelamatkan manusia.

Sajak

Tujuan Berjuang

Tujuan berjuang kerana hendak mengenalkan
Tuhan pencipta alam
Agar Dia disanjung, dicintai,
disembah dan dijadikan idola
Selepas itu hendak kenalkan syariat-Nya
untuk keselamatan manusia
Agar manusia hidup bersatu, bekerjasama
harmoni dan bahagia
Berjuang bukan kerana ekonomi
membangun dan berkemajuan
Ia merupakan sampingan sahaja
kalau boleh dijadikan untuk Tuhan
Berjuang mengajak manusia membesarkan Akhirat
Mengingatkan manusia
Akhirat tempat akhir buat insan
Di sana tempat kekal abadi
Sama ada di Syurga mahupun di Neraka
Itulah dia tugas-tugas para da'i
mubaligh-mubaligh dan ulama
Mengajak manusia menyembah Tuhan
Jalan dan caranya itulah syariat-Nya
Jangan membesarkan Tuhan
atau menyembah-Nya
cara yang kita reka-reka
Sekalipun yakin betul, tapi tersesat jalannya
Ingin kepada Tuhan, jalannya telah dinyatakan
dan dijelaskan
Kalau jalannya mengikut cara sendiri
tidak sampai kepada-Nya
Hari ini dakwah dan ceramah merata negara
Mercup tumbuhnya macam cendawan tumbuh
di musim hujan
Tapi isinya politik dan unsur-unsur
yang membawa pergaduhan
Tuhan tidak dikenalkan
jauh sekali untuk disanjung
dan dibesarkan
Ini bukan pendakwah tapi pendakyah
Ia bukan fisabilillah
Tapi jalan yang sudah tersalah
Ini bukan hendak mencari redha Allah
Tapi mencari bala dan dosa ser

ta Neraka Artikel ini diambil dari buku Buah Fikiran Siri 2, karangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At Tamimi